Anda di halaman 1dari 2

Didik pekerja budayakan gaya hidup sihat

KONGSI ARTIKEL

Share

Tweet

PENGUMUMAN Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bahawa kerajaan bersetuju
dengan cadangan supaya setiap kementerian mengadakan aktiviti bersenam sekurang-kurangnya 15
minit sehari perlu disambut dengan baik.

Rasanya bukan di pihak kementerian atau kakitangan kerajaan saja perlu berbuat demikian, semua
pekerja di negara ini patut dididik untuk membudayakan gaya hidup sihat.

Melihatkan gaya hidup rakyat Malaysia hari ini boleh disifatkan masih amat membimbangkan
walaupun kesedaran untuk mengamalkan gaya hidup dan pemakanan sihat sudah mula wujud dalam
kalangan segelintir daripada kita.

Mana tidaknya, selain sikap sebilangan daripada kita yang boleh dikatakan terlalu ‘manja’ dan
‘segan’ untuk berjalan serta berpeluh, kemudahan teknologi juga menjadikan mereka semakin susah
bergerak.

Lihat saja di kebanyakan pejabat, ramai yang lebih sanggup menunggu lif daripada menaiki tangga,
manakala jika mencari tempat letak kereta jika boleh mahu mendapatkan parkir betul-betul di
hadapan premis yang mahu dikunjungi.

Itu belum lagi soal makan memandangkan tempat makan cukup mudah didapati di negara ini tidak
kira siang atau pun malam. Ditambah dengan adanya kemudahan khidmat pesanan makanan
menerusi aplikasi telefon juga membuatkan masyarakat hari ini lebih banyak menghabiskan cara
hidup yang menyebabkan mereka kurang bergerak.

Tingkat produktiviti kerja

Seharusnya program X-Break yang diperkenalkan kerajaan itu sudah lama diperkenalkan dan tidak
seharusnya hanya terhad untuk pekerja melakukan aktiviti senaman pagi atau petang saja.
Sudah terbukti senaman bukan saja menjadikan mereka sihat, tetapi juga boleh meningkatkan
produktiviti kerja, sekali gus memberi kebaikan kepada jabatan atau syarikat.

Kajian penyelidik dari Universiti Yale dan Universiti Oxford membuktikan senaman memberikan
kesihatan mental dan fizikal yang sempurna selain menikmati kegembiraan lebih berbanding
memiliki wang yang banyak.

Tiada gunanya memiliki pangkat dan wang tetapi kesihatan diri terabai disebabkan komitmen dan
beban kerja yang tidak pernah berkesudahan

Anda mungkin juga menyukai