Anda di halaman 1dari 34

Pak Kaduk

Sebermula, maka adalah sebuah negeri bernama Cempaka Seri, rajanya bernama
Indera Sari. Maka baginda itu cukup lengkap seperti adat istiadat kerajaan yang lain-lain
juga, akan tetapi ada pun tabiat baginda itu terlalulah suka menyabung dan berjudi,
sehingga menjadi suatu amalan pada baginda itu. Dengan hal yang demikian, habislah
sekalian rakyat seisi negeri itu menjadi asyik leka dengan berjudi juga pada setiap masa
tiada sekali-kali mengambil berat kepada mendirikan syariat Nabi Sallallahu alaihi
wasalam kerana raja-raja dan orang besar-besarnya terlalu amat suka mengerjakan
pekerjaan maksiat itu.

Maka adalah pula seorang tua sedang dalam pertengahan umur namanya Pak Kadok,
tinggal ditepi sungai di hujung negeri itu juga. Ada pun akan Pak Kadok ini terlalu dungu
berserta dengan tololnya. Maka adalah kepada suatu hari Pak Kadok berkata kepada
isterinya, aku ini mak Siti, ingin pula rasanya hendak pergi menyabung ke gelanggang
baginda itu kerana terlalulah suka pula aku melihatkan orang menyabung beramai-ramai
di situ. Mari kita sabung ayam biring Si Kunani kita itu, kerana ayam itu pada petuanya
terlalu bertuah. Boleh kita taruhkan kampung kita kepada baginda. Kalau menang kita
tentulah kita mendapat duit baginda itu.

Maka ujar isteri Pak Kadok, jikalau begitu baiklah, pergilah awak menyabung, bawa
ayam kita itu. Maka sahut Pak Kadok, jahitkanlah baju dan seluar aku dahulu dari kertas
yang baru kubeli ini. Lekaslah menjahitnya. Maka kata isterinya, bagaimana awak
hendak membuatkan baju dan seluar ini. Jikalau dipakai kelak tentulah carik
bertelanjang tengah gelanggang sabungan itu. Bukankah awak malu besar? Ujar Pak
Kadok, tiada mengapa. Buatkan juga lekas-lekas aku hendak pergi.

Setelah itu isteri Pak Kadok pun segeralah mengambil gunting lalu mengguntingkan
seluar dan baju itu dengan tiada berdaya lagi. Maka kata Pak Kadok, usahlah di jahit,
pelekat sahajalah supaya cepat.
Serta lepas digunting oleh isterinya itu dengan sesungguhnya dilekatlah olehnya.
Apabila sudah, lalu diberikan kepada Pak Kadok, maka ia pun segeralah memakai
pakaiannya sedondon iaitu berbunga tanjung, merah, kuning, hitam dan putih, terlalu
hebat rupanya, tambahan pula dikenakan tengkolok helang menyongsong angin.
Apatah lagi tampaknya.

Pak Kadok seperti juara yang maha faham pada sabung menyabung. Setelah sudah
bersedia sekaliannya, Pak Kadok pun lalu turun menangkap ayamnya biring Si Kunani
itu, serta dengan tabung tajinya, lalu berjalan menuju ke gelanggang baginda itu. Selang
tiada berapa lamanya, ia pun sampailah ketengah medan menyabung itu. Sehingga
setelah dilihat oleh baginda akan Pak Kadok datang itu, maka dikenallah oleh baginda
seraya bertitah, Hai Pak Kadok, apa khabar? Menyabungkah kita? Maka sembah Pak
Kadok pun segeralah menyembahkan ayamnya itu lalu disambutkan oleh baginda serta
diamat-amati.

Diketahuilah oleh baginda tersangat bertuah ayam Pak Kadok itu. Maka titah baginda,
Hai Pak Kadok, mari kita bertukar ayam. Ambillah ayam beta ini, elok, cuba lihat
romannya jalak putih mata, dan ayam Pak Kadok biring Si Kunani sahaja tiada berapa
tuahnya.

Setelah didengar oleh Pak Kadok akan titah baginda menggula dirinya itu, percayalah
ia. Maka sembahnya Ampun Tuanku beribu-ribu ampun, jikalau sudah dengan titah duli
yang maha mulia, relalah patik, seperti titah itu sedia terjunjung di atas jemala ubun-
ubun patik.

Pada akhirnya lalu bertukarlah keduanya akan ayam masing-masing. Maka sangatlah
sukacita baginda beroleh ayam Pak Padok itu. Maka baginda pun bertitah kepada juara-
juaranya menyuruh bulang ayam itu. Maka Tok Juara tua pun lalulah membulang balung
ayam biring Si Kunani yang bertukar dengan pak Kadok itu mengenakan taji bentok
alang serta dengan berbagai-bagai isyarat dan petuanya. Maka Pak Kadok pun
segeralah membulang ayamnya bertukar dengan baginda itu, iaitu tuntung tajinya
dihalakan kehadapan dan putingnya kebelakang.
Maka titah baginda, Hai Pak Kadok, apakah taruhnya kita menyambung ayam ini?
Soronglah dahulu supaya beta lihat. Maka sembah Pak Kadok, Ampun Tuanku beribu-
ribu ampun, patek ini tiada harta apa harta yang ada, hanya kampung sebuah itu
sahaja. Jikalau ada ampun dan kurnia kebawah dulu Tuanku, kampung itulah patik
gadaikan kebawah duli Tuanku menjadi tanggungan memohonkan berhutang kadar lima
puluh rial. Maka titah baginda, baiklah.

Lalu dikurniakan oleh baginda wang yang sebanyak permintaan Pak Kadok itu kepada
dengan memegang gadaian kampung itu. Telah sudah, baginda pun menyorongkan
taruhnya lima puluh rial juga, jumlahnya seratus rial. Maka serta sudah, baginda pun
mengajak Pak Kadok melepaskan ayam masing-masing. Sembah Pak Kadok,
silakanlah Tuanku.

Maka baginda pun lalulah menguja-uja ayam keduanya itu. Maka naiklah bengis
keduanya, serta merta meremang bulu suak ditengkuknya, lalulah bersama-sama
melepaskan ayam masing-masing. Maka ayam biring Si Kunani pun datanglah
menggelepur ayam jalak. Dan Si Jalak pun segeralah membalas pula, tetapi kasihan,
sungguh pun Si Jalak membalas, percuma saja kerana tajinya dibulang oleh Pak Kadok,
juara tuntungnya kehadapan dan putingnya kebelakang. Jadinya bila Si Jalak membalas
itu tertikamlah pada dadanya sendiri lalu tersungkur menggelupur ditengah gelanggang
itu, kerana dua liang sudah lukanya sekali terkena tikam oleh taji Si Biring dan sekali
ditikam oleh tajinya sendiri.

Setelah Pak Kadok melihatkan ayam jalak sudah mati dan Si Biring itu menang maka ia
pun lupalah akan hal ia telah bertukar dengan baginda tadi. Wah apatah lagi ia pun
tiadalah sedarkan dirinya seraya bertepuk tangan dan bersorak serta melompat-lompat
lalu menyerukan tuah ayamya itu. Maka oleh tersangat bertepuk dan melompat itu,
habislah pecah bercarik-carik seluar dan baju kertasnya itu, bercabiran berterbangan
oleh angin berkeping-keping kesana kemari bercampang-camping. Maka Pak Kadok
pun tinggallah berdiri ditengah khalayak yang banyak itu dengan bertelanjang bogel
sahaja.

Hatta demi dilihat oleh baginda dengan sekalian orang besar-besar dan rakyat, tertera
hina dina sekalian akan hal Pak Kadok ini, semuanya tertawa serta bertepuk tangan
dengan tempik soraknya kesukaan melihat temasya Pak Kadok itu. Demikian juga
baginda pun tertawa bersama-sama.

Maka ada pun akan Pak Kadok, demi ia melihat sekalian mereka itu habis tertawa, ia
pun tercengang pula kerana pada sangkanya mereka itu menumpang kesukaan dirinya
itu. Kemudian apabila ia menoleh kepada tubuhnya, barulah diketahuinya akan dirinya
bertelanjang bulat itu. Aduhai! Malunya yang amat sangat lalu ia berkerja lari dengan
bersungguh-sungguh hati, langsung pulang ke rumahnya. Maka baginda pun berseru
dengan nyaring suaranya. Inilah malang Pak Kadok, ayamnya menang, kampung
tergadai. Maka baginda dengan sekalian yang ada di dalam medan sabung itu pun
kembalilah masing-masing kerumahnya.

Ada pun akan Pak Kadok lari itu tiadalah ia memandang lagi ke kiri kekanan. Serta ia
sampai kerumahnya seraya terpandang oleh Mak Siti, maka terpanjatlah orang tua itu
seraya berkata, Apa kena awak, Pak Kadok seperti orang gila ini? Maka oleh Pak Kadok
di kabarkannya ialah daripada awal hingga keakhirnya. Serta didengar sahaja oleh
isterinya akan hal suaminya itu, ia pun menagislah kerana mengenangkan untungnya
yang malang itu dengan berbagai-bagai sungut leternya akan Pak Kadok oleh
kebodohannya itu. Maka Pak Kadok pun diamlah terkosel-kosel, tiada berani menjawab
akan isterinya lalu ia pergi membuat kerjanya sehari-hari itu juga.

Sekali peristiwa Pak Kadok dijemput oleh orang makan kenduri. Mula-mula datang
orang yang dihilir sungai tempatnya tinggal itu mempersilakan Pak Kadok kerumahnya
pada esok hari, waktu zohor iaitu makanannya seekor kerbau. Maka katanya Baiklah.
Setelah mereka itu sudah kembali, ada seketika datang pula orang dari hulu sungai itu
menjemput Pak Kadok kerumahnya pada esok hari juga tatkala tengah hari muda, iaitu
jamuannya memotong lembu dua ekor pula. Itu pun disanggupnya juga.

Telah hari malam, Pak Kadok pun tidurlah kedua laki isteri. Ada pun adat pak Kadok
telah lazim padanya setiap pagi memakan nasi dingin yang telah direndam oleh
isterinya pada malam itu. Apabila sudah makan nasi yang tersebut itu, barulah ia pergi
barang kemana-mana membuat kerjanya.

Hatta setelah keesokan harinya, pagi-pagi pak Kadok pun bangunlah bersiap memakai,
lalu turun memikul pengayuh berjalan menuju kepangkalan. Serta dilihat oleh isterinya ia
pun menyeru akan suaminya katanya, Hai Pak Siti, tidakkah hendak makan nasi
rendam ini lagi? Sementangkan nak makan lembu dan kerbau nasi ini ditinggalkan
sahaja. Maka sahut Pak Kadok, Tak usahlah, curahkan ketanah biar dimakan oleh ayam
kita. Maka oleh isterinya dengan sebenar nasi itu dibuangnya ketanah, dan Pak Kadok
pun turun keperahu lalu berkayuh.

Ada pun pada masa itu air sungai sedang surut terlalu amat derasnya. Maka Pak Kadok
berfikir di dalam hatinya, kemana baik aku pergi. Jika ke hilir tiada penat dan teruk aku
berkayuh, hanya menurutkan air dihilir sahaja, tetapi kerbau seekor kemanakah
padanya. Kalau begitu baiklah aku mudek juga.

Ia pun lalu berkayuh mudik menongkah air surut itu dengan terbengkil. Apabila penat dia
berhenti sambil berfikir pula, dan perahunya hanyut balik ke hilir setanjung dua tanjung
jauhnya berkayuh pula. Demikianlah hal Pak Kadok, kayuh-kayuh berhenti dengan
berfikir juga.

Beberapa lamanya air pun tenang surut. Hampir akan pasang baharulah Pak Kadok
sampai kerumah jemputan itu, tetapi apalah gunanya. Sia-sia sahajalah penat jerihnya
itu kerana matahari pun telah zuhur, jamuan itu pulang ke kampung masing-masing.
Maka apabila terlihat oleh tuan rumah akan Pak Kadok datang itu, ia pun berkata,
Amboi kasihannya di hati saya oleh melihatkan penat sahaja Pak Kadok datang, suatu
pun tidak ada lagi, yang ada semuanya telah habis. Malang sungguhlah Pak Kadok ini.
Telah didengar oleh Pak Kadok, maka ujarnya, sudahlah apa boleh buat. Sahajakan
nasib saya.

Maka ia pun berkayuhlah hilir pula, hasratnya hendak mendapatkan rumah yang
memotongkan kerbau itu pula, tetapi air sudah pasang deras. Maka Pak Kadok pun
berkayuhlah bersungguh-sungguh hatinya menongkah air pasang itu, terbengkil-bengkil
di tengah panas terik dengan lapar dahaganya. Tetapi kerana bebalnya itu tiadalah ia
mahu singgah kerumahnya langsung sahaja ia kehilir, hendak segera menerpa kerbau
yang lagi tinggal itu. Sehingga air pasang hampir akan surut, barulah Pak Kadok sampai
ke sana pada waktu asar rendah dan sekalian orang jemputan pun sedang hendak
turun berkayuh pulang kerana sudah selesai jamuan itu. Maka apabila dilihat oleh Pak
Kadok akan hal itu ia pun tiadalah hendak singgah lagi kerumah orang kenduri itu, lalu
ia memaling haluan perahunya, langsung berkayuh mudik dengan rungutnya seperti
baung dipukul bunyinya, kerana terlalu amat penatnya terpaja-paja ke hulu kehilir di
tengah panas terik itu, perut pun sudah kebuluran dan mata Pak Kadok naik berbinar-
binar, tambahan pula mudik itu pun menongkah juga. Maka pada waktu senja baharulah
ia sampai kepangkalannya seraya menambat perahu dan naik ke rumah.

Shahadan, apabila dilihat oleh isterinya akan muka suaminya masam dan diam tiada
berkata-kata, maka ia pun menyeru akan Pak Kadok, katanya apakah agak sebabnya
orang pergi memakan lembu dan kerbau ini masam sahaja? Apa lagi yang kekurangan?
Perut sudah kenyang makan daging.

Maka berbagai-bagai bunyi ratap Pak Kadok. Kemudian ia pun naiklah metanya, serta
mengambil kayu api dan berkata, kenyang memakan kepala bapa engkau. Lalu ia
memalu kepala isterinya. Dengan takdir Allah, sungguh pun sekali pukul sahaja, isteri
Pak Kadok pun rebah lalu mati. Setelah dilihat oleh Pak Kadok isterinya sudah mati, ia
pun merebahkan dirinya disisi isterinya itu lalu menangis mengolek-golekkan dirinya
seraya berkata, aduhai malang nasibku ini, sudahlah penat berkayuh kehulu kehilir,
mana kebuluran, sampai kerumah isteriku pula mati oleh perbuatanku juga. Maka
berbagai-bagailah bunyi ratap Pak Kadok. Kemudian ia pun menjemput segala pegawai
akan menanamkan isterinya itu.

Setelah selesai daripada pekerjaan itu, maka Pak Kadok pun berniat hendak pindah dari
rumahnya, bertandang duduk barang kemana-mana rumah yang lain, asalkan boleh ia
meninggalkan kampung halamannya itu sudahlah, kerana fikirannya dari sebab ia
tinggal di rumah dan kampungnya itulah, maka ia beroleh kemalangan yang begitu
sialnya.
.
Setelah tetaplah fikirannya yang demikian, maka Pak Kadok pun mengemaskan
sekalian harta bendanya lalu diangkatnya turun ke perahu. Serta bersedia ia pun
melangkah dengan tauhid hatinya meninggalkan kampung halaman dengan rumah
tangganya, akan berpindah ke kuala sungai itu menumpang duduk di rumah seorang
handainya di sana. Arakian, Pak Kadok pun membabarkan layarnya seraya menujukan
haluan perahunya ke kuala. Tetapi kasihan. Percumalah penat jereh Pak Kadok
membentang layar dan mengemudikan perahunya itu, dari kerana sungguh pun pada
masa ia menarik layar tadi angin paksa sedang kencang bagus, tetapi serta layarnya
sudah sedia, angin pun mati seperti direnti-rentikan oleh yang hasad akan Pak Kadok
lakunya. Maka perahu Pak Kadok pun hanyutlah terkatong-katong ke hulu ke hilir, ke
tengah dan ke tepi menantikan angin. Beberapa lamanya dengan hal yang demikian,
hari pun hampirlah akan petang, tubuh Pak Kadok terlalu amat letih dan lesunya. Lama
kelamaan datang bebal hatinya serta merampas lalu ia menurunkan layar dan melabuh
sauhnya seraya membentangkan kajang berbaring-baring melepaskan jerihnya.

Maka dengan kudrat Allah yang maha kaya menunjukkan kemalangan nasib Pak
Kadok, angin paksa pun turunlah berpuput dengan ugahari kencangnya seolah-olah
khianatkan Pak Kadok lakunya. Tetapi sia-sialah sahaja puputan bayu yang sedemikian
itu moleknya hingga menjadi paksa yang maha baik dengan sebab kemalasan menjadi
kemalangan bagi diri Pak Kadok, hingga ditaharkan perahunya ulang-aling di palu oleh
ombak dengan gelombang ditengah sungai itu, seraya berkata Cheh! Angin bedebah ini
sahajakan ia hendak menunjukkan makarnya kepada aku. Sedanglah sudah sehari
suntuk aku hanyut, tak mahu turun, agaknya oleh tegar hatiku. Biarlah tak usah aku
belayar, asalkan puas rasa hati ku. Jangan aku menurutkan kehendak engkau.
Kemudian ia pun tidurlah dengan terlalu amat lenanya kerana lelah dan kelaparan.

Hatta setelah keesokan harinya, pagi-pagi Pak Kadok pun bangunlah membongkar
sauhnya seraya berkayuh perlahan-lahan seharian itu, hingga petang barulah ia sampai
kerumah sahabatnya itu, seraya mengangkat sekalian barang-barangnya naik kesitu.
Maka tinggallah Pak Kadok menumpang di rumah handainya itu selama-lamanya
dengan tiada sekali-kali ingatannya hendak kembali ke kampung halamannya dari
sebab bodohnya.

Maka dari kerana kemalangan diri Pak Kadok itu sentiasa di perbuat orang akan bidalan
oleh sekalian mereka pada zaman sekarang dengan seloka, demikianlah bunyinya:

Aduhai malang Pak Kadok!


Ayamnya menang kampung tergadai
Ada nasi di curahkan
Awak pulang kebuluran
Mudik menongkah surut
Hilir menongkah pasang
Ada isteri di bunuh
Nyaris mati oleh tak makan
Masa belayar kematian angin
Sudah di labuh bayu berpuput
Ada rumah bertandang duduk.
Aduhai malang Pak Kaduk

BATU BELAH BATU BERTANGKUP

Sepasang suami isteri miskin, Si Kantan dan Si Tanjung tinggal dekat Bukit Berapit
Sebatu dari Pangkalan Kampar. Mereka menyara hidup dengan mengambil upah
menganyam atap nipah, bersawah, menganyam tikar, menangkap ikan sungai dan
sebagainya sehingga berjaya memiliki sebidang tanah dan sebuah rumah.

Pada suatu hari, mereka pergi ke pinggir hutan untuk mencari sayur. Tatkala sedang
memetik daun cemperai, mereka terdengar suara kuat yang amat menyeramkan. Si
Kantan memeritahu isterinya bahawa itulah gua Batu Belah Batu Bertangkup
sebagaimana pernah diceritakan oleh datuknya. Beberapa tahun kemudian mereka
memperolehi dua orang anak, seorang Si Bunga Melur dan seorang lagi Si Pekan.
Malang menimpa, Si Kantan mati sewaktu anak-anaknya masih kecil menjadikan Si
Tanjung hidup tidak keruan, dan hilang tempat bergantung.

Mak Tanjong asyik bersedih kerana baru kehilangan suami tersayang. Tekanan emosi
menjadikan Mak Tanjong kurang seimbang, tambahan pula dia terpaksa menjaga
anaknya dalam keadaan yang miskin dan daif.

Kesedihan, tekanan perasaan dan kedaifan hidup membuatkan Mak Tanjong terlupa
akan rahmat Tuhan. Depresi yang terlalu lama dirasai membutakan hati Mak Tanjong
akan dua keajaiban dalam hidupnya – Melor dan Pekan. Kasihan Mak Tanjong terus
berasa keseorangan walaupun Pekan dan Melor sebenarnya amat dekat kepadanya.

Pada suatu hari, Mak Tanjong teringin sangat memakan telur ikan tembakul. Dia pun
pergi ke sungai untuk menangkap ikan itu. Bukan main suka hati Mak Tanjong apabila
seekor ikan tembakul yang besar dapat ditangkap.

“Besarnya ikan tu mak!” teriak si Pekan sambil menepuk tangan kegembiraan.

“Ya nak, ni namanya ikan tembakul. Mak rasa ikan ni ada telurnya. Lama mak teringin
makan telur ikan tembakul,” balas Mak Tanjong.
Mak Tanjong terus menyiang ikan tembakul tersebut. Setelah bersih diberikan kepada
Melor untuk dibuat gulai.

“Buat gulai ikan dan goreng telur ikan tembakul ni, ya Melor? Mak ke hutan cari kayu.
Kalau mak lambat balik, Melor dan Pekan makan dulu, ya? Tapi, jangan lupa, tinggalkan
sikit telur ikan untuk mak nanti,” pesan Mak Tanjong.

Selesai membuat gulai, Melor menggoreng pula telur ikan tembakul itu. Dia terus
menyimpan sedikit telur ikan seperti pesanan Mak Tanjong. Namun, walau lama
menunggu, ibu mereka tidak pulang-pulang.

Pekan, si kecil nakal, menangis kelaparan. Melor terus menyajikan nasi putih, telur
goreng dan gulai ikan tembakul untuk dinikmati bersama Pekan.

“Sedapnya telur ikan ni,” kata Pekan sambil menikmati juadah yang tersedia.

“Tapi Pekan, jangan adik asyik makan telur ikan tu saja. Makanlah nasi dan gulai juga,”
pesan Melor kepada adiknya yang baru berusia 5 tahun itu.

“Kak, telur dah habis. Minta lagi, minta lagi. Adik nak lagi!” rayu Pekan merengek-
rengek.

“Dik, telur ikan tak banyak. Nah, adik ambil bahagian kakak, ya?” Melor yang berusia 13
tahun itu berkorban demi melayan kehendak adiknya yang terlalu dimanja.

Pekan makan telur ikan kakaknya dengan lahap. Mungkin kerana enak rasa telur ikan
itu, mungkin juga kerana minda kanak-kanaknya yang belum matang, si Pekan mula
merengek lagi sambil menangis yang dibuat-buat.

“Kak, Pekan nak lagi. Nak lagi kak, nak lagi kak. Bagi telur ikan tu kak... Pekan nak,
kak!” Pekan meraung-raung sambil menarik-narik tangan si Melor.

“Mana ada lagi! Dah habis. Sudahlah, Pekan makan nasi dan gulai ikan, ya? Lagipun,
telur ikan yang sikit lagi tu untuk mak. Mak dah pesan supaya kakak simpan sikit telur
ikan untuk dia,” Melor menjelaskan.

Sayangnya, Pekan tetap mendesak dan terus menangis. Raungannya kuat kedengaran
dan dia meronta-ronta di atas tikar mengkuang di lantai dapur mereka. Puas Melor
memujuk Pekan tetapi si kecil nakal itu terus berdegil. Secara tiba-tiba, Pekan melompat
dan mencuri telur ikan yang disimpan oleh Melor untuk ibu mereka.

“Kan dah dapat... adik dah dapat. Adik dapat telur ikan! Adik dapat telur ikan!” teriak
Pekan begitu gembira.

“Pekan!!!” jerit Melor. “Adik jangan makan telur tu! Kakak simpankan untuk mak telur tu,”
pekik Melor sambil cuba mengambil kembali telur goreng berkenaan.

Malangnya, Pekan langsung tidak mempedulikan pekikan kakaknya. Dengan lahap,


Pekan menelan telur ikan itu sehingga habis. Tidak lama kemudian, Mak Tanjong pun
pulang. Melor terus menyajikan makanan untuk ibunya.

“Mana dia telur ikan tembakul mak, Melor?” tanya Mak Tanjong.

“Melor... Melor... Melor ada simpankan. Tapi mak, Pekan dah ambil semuanya.
Bahagian Melor pun dia ambil mak. Melor dah larang tapi dia ambil juga!”

“Jadi? Jadi sikit pun tak ada untuk mak?” Mak Tanjong hampa.

Melor terdiam tidak menjawab. Dia terasa amat bersalah. Dia sedih melihat ibunya yang
sebegitu hampa kerana tidak dapat merasa telur ikan tembakul.

“Mak dah lama mengidam makan telur ikan tembakul. Ya Tuhan, sedihnya hati...
sanggup anak-anak mak lupakan mak... sanggup kamu berdua... sanggup kamu!”

Mak Tanjong bingkas berdiri. Dia memandang Melor dan Pekan dengan penuh rasa pilu
lalu berjalan tidak bermaya menuju ke hutan. Hatinya bertambah sayu mengenangkan
arwah suami. Mak Tanjong merasakan dirinya tidak disayangi lagi. Kesedihan membuat
Mak Tanjong semakin yakin bahawa anak-anaknya teramat bencikan dirinya.

Mak Tanjong terlupa amanah yang diberi Tuhan. Mak Tanjong terlupa nikmat memberi
kemaafan. Mak Tanjong nekad meninggalkan anak-anaknya, meninggalkan dunia
kerana tidak dapat menikmati telur ikan tembakul.

Melor dan Pekan berlari mengejar ibu mereka. Mereka berteriak sambil menangis
memujuk ibu mereka supaya ikut pulang.

“Mak, jangan pergi, jangan pergi mak! Pekan minta maaf, Mak! Ampunkan Pekan mak!
Ampun mak! Ampun mak! Pekan tak buat lagi mak!” jerit Pekan sekuat hati sambil
memeluk erat kaki Mak Tanjong.

Melor juga turut menangis sekuat hati, berteriak meminta simpati Mak Tanjong, “Mak,
kesianlah kami mak! Ampunkan kami mak! Jangan pergi mak! Jangan pergi mak!”

Malangnya kasihan sudah hilang dari hati ibu tunggal itu. Tidak ada secebis pun rasa
simpati buat Pekan dan Melor. Semuanya sudah diganti rasa hampa dan marah. Bagi
Mak Tanjong, tidakkan ada kemaafan untuk anak-anak yang tidak mengenang budi.
Sekuat-kuat hatinya Mak Tanjong menolak Pekan ke lantai hutan dan berlari sepantas
yang termampu.

Melor menarik tangan adiknya sambil mereka berdua mengejar Mak Tanjong.
Sayangnya mereka terlambat, Mak Tanjong tidak mempedulikan rayuan mereka.
Ternyata, Mak Tanjong sudah menyeru Batu Belah Batu Bertangkup agar membuka
pintunya. Sebaik sahaja Mak Tanjong melangkah masuk, pintu gua itu pun tertutup
rapat. Melihatkan itu, si Melur pun jatuh pengsan.

Sewaktu pengsan, Si Bunga Melur sedang bermimpi didatangi seorang tua


menasihatinya supaya tidak pulang lagi ke rumahnya.

Sebaliknya disuruh mengambil tujuh helai rambut ibunya yang terjulur itu serta
membawa telur ayam yang mahu dibuat lauk ibunya itu.

Dia hendaklah berjalan mengikut arah kakinya dan membakar sehelai daripada rambut
ibunya setiap kali hendak tidur.

Si Melur mendukung Si Pekan meredah hutan belukar dan semak samun sehingga
sampai ke rumah Dato’ Penghulu. Orang tua itu bersimpati dan ingin memelihara
mereka. Sewaktu tidur, Si Bunga Melur bermimpi didatangi orang tua yang sama
menyuruh dia meneruskan perjalanan ke kampung yang ketiga.

Si Bunga Melur dan adiknya Si Pekan meneruskan perjalanan sehingga tiba di


Kampung Bukit Perah Lantan, mereka menemui Tok Batin yang melayani mereka
dengan baik. Malam itu Si Pekan menangis tanpa henti walaupun dijampi Tok Batin
sehinggalah dikalungkan dengan sekeping besi kuning di lehernya.

Keesokan harinya Si Bunga Melur meneruskan perjalanan ke Kampung Bukit Kapar dan
menumpang bermalam di rumah keluarga seorang petani dan tinggal di situ beberapa
malam. Petani itu menceritakan kepada Si Bunga Melur tentang kegemaran Ratu
Jayang Sakti menyabung ayam.

Tinggal satu kampung lagi untuk dituju. Si Bunga Melur dan adiknya meneruskan
perjalanan dan tiba di Kampung Kerayung Tamarulan, di sini mereka bertemu dengan
Nenek Kebayan yang tertarik dan bersimpati dengan penderitaan mereka berdua.

Pada malam itu, Si Bunga Melur sekali lagi bermimpi didatangi orang tua yang sama.
Kali ini menyuruh Melur meletakkan telur yang dibawa itu ke dalam sangkar ayam di
belakang rumah. Tujuh hari lagi telur itu akan menetas dan peliharakanlah anak ayam
itu sebaik mungkin.

Orang tua itu meramalkan Si Pekan kelak akan menjadi juara ayam tersohor dan
meminta Si Bunga Melur meletakkan besi kuning kalung Si Pekan ditaji ayam apabila
hendak bersabung kelak.

Beberapa tahun telah berlalu kedua-dua mereka telah meningkat remaja. Si Bunga
Melur kelihatan begitu cantik dan pandai mengubah bunga serta anyaman lain untuk
dijual oleh Nenek Kebayan sementara Si Pekan sentiasa menang di gelanggang sabung
ayam.
Kemasyurannya sampai kepada pengetahuan Ratu Jayang Indera Sakti, raja negeri
tersebut. Akhirnya Si Pekan diundang bersabung dengan ayam raja di istana.

Bertemulah ayam Jalak Bukit Berapit kepunyaan Si Pekan dengan ayam raja.
Pertaruhannya, Si Pekan akan menjadi hamba raja sekiranya kalah dan
berkehendakkan makanan serta pakaian dari istana jika menang.

Seperti biasa, ayam Si Pekan dapat membunuh ayam raja. Hulubalang dan bentara
diperintahkan membawakan makanan dan pakaian ke rumah Nenek Kebayan. Di sana
mereka terpandang akan kecantikan dan budi pekerti Si Bunga Melur, kakak Si Pekan
lantas apabila pulang mereka pun menyembah maklum kepada Sang Ratu.

Si Bunga Melur diperintahkan ke istana dan raja akhirnya tertawan dengan kejelitaan
dan kesantunan Si Bunga Melur. Si Bunga Melur dikahwinkan dengan raja lalu diangkat
sebagai permaisuri.

Pada suatu hari Si Bunga Melur dilihat raja bermuram durja dan sentiasa termenung.
Raja ingin tahu apa yang difikirkan oleh permaisuri baginda apabila melihat isterinya
sedemikian rupa.

Akhirnya Si Bunga Melur pun menceritakan tentang Batu Belah Batu Bertangkup yang
telah menelan ibunya itu. Rombongan raja hadir ke hadapan gua batu tersebut dan raja
sendiri memanah ke dalam gua yang menyeramkan itu.

Sejak dari itu tiada terdengar lagi suara seram dan sebarang pergerakan dari batu
tersebut.

Bawang Putih Bawang Merah

Sejak ketiadaan ayah dan ibu kandungnya,Bawang Putih tinggal bersama ibu tirinya,
Mak Kundur dan adik tirinya Bawang Merah.Mereka sangat benci akan Bawang
Putih.Dia sering dimarahi dan dipukul.

Pada suatu malam,Bawang Putih bermimpi bertemu ibunya.Ibunya menyuruhnya masuk


ke hutan dan mencari pohon beringin rendang.”Pergilah hiburkan hatimu dan
bersabarlah,suatu hari nanti kau akan mendapat kebahagiaan.” Keesokan
harinya,Bawang Putih segera menyiapkan kerja-kerja rumah.Setelah ibu tirinya pergi
bekerja dan adik tirinya masih tidur,Bawang Putih pun masuk ke hutan.Dia mencari
pohon beringin rendang itu.

Setelah puas mencari,dia pun sampai ke situ.Dia terpandan sebuah buaian yang
tergantun di pohon beringin.Tempat tersebut seakan-akan sebuah taman tempat puteri
kayangan turun ke bumi untuk bermain-main. Ketika dia duduk di atas buaian itu,tiba-
tiba buaian itu berayun dengan sendiri.Semakin lama semakin laju.Dia dapat melihat
bunga-bunga yang mengelilingi pohon beringin itu turut bergoyang-goyang.Hatinya
terasa sungguh terhibur.

Tiba-tiba Bawang Putih teringatkan Mak Kundur.Ibu tirinya pasti akan memarihanya bila
pulang dan mendapati dirinya tiada di rumah.Namun Bawang Putih tidak tahu
bagaimana hendak memberhntikan buaian itu.Bawang putih lalu berkata kepada buaian
itu,”Wahai buaian,tolonglah berhenti,akuingin pulang ke rumah.”Tiba-tiba buaian itu pun
berhenti dengan sendirina.Pokok-pokok bunga juga turut berhenti bergoyang.

Pada sutu hari Bawang Putih bermaian buaian seperti biasa.Tanpa disedarinya seorng
putera raja sedang memerhatinya.Baginda tertarik melihat bagaimana buaian itu boleh
berayun sendiri bila Bawang Putih menaikinya.

Ketika Bawang Putih hendak pulang baginda menyuruh penirinya mengekorinya.Setelah


tahu di mana Bawang Puth tinggal,baginda pergi ke rumah tersebut,Ketika itu Mak
Kundur dan Bawang Merah berada di halaman rumah.”Di manakah anak makcik yang
seorang lagi?”Tanya baginda.Mak Kundur menyangka baginda adalah orang
kaya.”Makcik mana ada anak yang lain.Bawang Merah inilah satu-satunya anak
makcik,” kata Mak Kundur.

Baginda menceritakan tentang gadis yang dilihatnya bermain buain di hutan.”Bawang


Merah inilah yang bermain buaian itu,”bohong Mak Kundur.Setelah beredar,Mak Kundur
memaksa Bawang Putih menunjukkan tempat buaian itu. Mak Kundur membawa
Bawang Merah bermaian buaian itu.Namun buaian itu tidak berayun dengan
sendiri.Putera raja mengintainya dari sebalik pokok.Baginda menyuruh pengiringnya ke
rumah Mak Kundur dan membawa Bawang Putih ke situ.Pengiringnya pun pergi tetapi
mendapati Bawang Putih dikurung dan diikat.Maka dia segera membuka ikatan itu dan
membawa gadis itu bertemu dengan baginda.Mak Kundur terkejut melihat kehadiran
bainda dan Bawang Putih.

Bila Bawang Putih berbuai dan menyanyi,buaian itupun berayun laju.”Makcik telah
berbohong kepada beta!” kata putera raja.Ketika itu barulah Mak Kundur tahu bahawa
lelaki itu adalah putera raja.”Kamu ibu yang zalim.Kamu telah menyeksa Bawan Putih!”
kata baginda lagi.Mak Kundur menangis dan meminta ampun kepada baginda.Bawaqng
Merah pula meraung dan menanis kerana dewngkikan Bawang Putih.Bawang Putih yan
baik hati meminta utera raja mengampunkan Mak Kundur dan Bawang Merah.Baginda
kagum dengan sifat kemuliaan Bawang Putih.Putera raja akhirnya mengahwini Bawang
Putih.

SI TANGGANG DERHAKA

Si Talang dan Si Deruma mempunyai seorang anak lelaki bernama Si Tanggang.


Kehidupan mereka sekeluarga amatlah miskin. Si Tanggang selalu berkhayal untuk
menjadi kaya dan terkenal.

Pada suatu hari, Si Tanggang terlihat sebuah kapal besar berlabuh di muara sungai
yang berhampiran dengan rumahnya. Si Tanggang pergi berjumpa dengan Nakhoda
kapal itu dan meminta untuk dijadikan anak kapalnya. Nakhoda kapal itu terus bersetuju
kerana telah melihat kecekapan Si Tanggang bersampan dan bekerja.

Walaupun Si Talang dan Si Deruma amat keberatan untuk melepaskan Si Tanggang


belayar mengikut kapal Nakhoda itu, mereka terpaksa mengalah. Si Tanggang berjanji
akan kembali ke kampung setelah menjadi kaya.

Si Tanggang melakukan apa sahaja kerja yang diperintahkan oleh Nakhoda. Nakhoda
amat suka dengannya kerana dia rajin bekerja. Lalu, Si Tanggang pun diambil sebagai
anak angkat.

Apabila Nakhoda menjadi uzur, maka Si Tanggang dilantik menjadi nakhoda baru. Dia
dipanggil Nakhoda Tanggang.

Si Tanggang cekap dan pandai berniaga. Namanya menjadi terkenal. Oleh itu dia
dijemput oleh Sultan ke istana. Tidak lama kemudian, Si Tanggang pun berkahwin
dengan puteri Sultan. Si Tanggang membawa isterinya berlayar ke banyak tempat di
merata negeri.

Pada suatu hari, kapal Si Tanggang berlabuh di muara sungai kampung asal-usulnya.
Orang kampung mengetahui nakhoda kapal itu Si Tanggang. Mereka pun memberitahu
kepada orang tuanya.

“ Anak kita sudah pulang. Marilah kita pergi tengok” kata Si Talang.

“ Ya, aku rindukan Si Tanggang. Khabarnya dia sudah kaya sekarang, “ kata Deruma
dengan gembira.

Si Talang dan Si Deruma pun pergilah berkayuh sampan menuju ke kapal Nakhoda
Tanggang. Si Deruma membawa makanan kegemaran Si Tanggang, iaitu pisang salai.
Apabila tiba di kapal, seorang anak kapal melarang mereka naik.

Seketika kemudian, Si Tanggang muncul dengan isterinya.


“ Siapakah kedua-dua orang tua ini?” tanya Si Tanggang kepada anak kapalnya.
“ Mereka mengaku sebagai ibu bapa tuan,” jawab anak kapal itu.
“ Betulkah mereka ini ibu bapa kanda ?” tanya isteri Si Tanggang.
Si Tanggang berasa malu untuk mengaku orang tua itu ibu bapanya. Kesusahan dan
kemiskinan membuat Si Talang dan Si Deruma kelihatan begitu uzur dan daif sekali.
“ Ibu bapa kanda? Oh, tidak! Kanda tidak mempunyai ibu bapa lagi. Mereka bukan ibu
bapa kanda. Jangan benarkan kedua pengemis ini naik ke kapal !” herdik Si Tanggang.
Mukanya merah padam kerana malu dan marah.
“ Oh, anakku, Si Tanggang! Aku ibumu. Ibu ada bawakan pisang salai kegemaranmu,
nak “ kata Si Deruma.

“ Pergi! “ tengking Si Tanggang. Dia memukul jari ibunya yang bergayut pada bahagian
tepi kapal. Pisang salai yang dibawa ibunya, dibuang ke laut.

Si Talang dan Si Deruma berasa terlalu sedih dan kecewa. Sungguh tidak disangka
anak kesayangan mereka telah berubah. Mereka pun berdayung ke tepi. Apabila tiba di
daratan, Si Deruma memandang ke langit.

Sambil mengangkat kedua-dua belah tangan dia berseru “ Oh, Tuhan! Tunjukkanlah
kepada Si Tanggang bahawa akulah ibu kandungnya.”
Tiba-tiba petir berdentum. Angin bertiup kencang. Kapal yang sedang berlabuh itu
terumbang-ambing.

Ketika itulah, Si Tanggang berasa kesal. Dia sedar Tuhan telah memperkenankan doa
ibunya. Dia akan menerima balasannya kerana telah menderhaka. “ Oh, ibu!
Ampunkanlah Tanggang. Tanggang mengaku, Tanggang anak ibu!' teriak Si Tanggang.
Akan tetapi, Si Tanggang sudah terlambat.

Gelombang yang kuat memecahkan kapalnya. Apabila ribut reda, kapal Si Tanggang
menjadi batu. Semua anak kapal juga bertukar menjadi batu. Si Tanggang dan isterinya
turut menjadi batu.

Badang

Pada zaman dahulu terdapat seorang hamba di Temasik. Temasik sekarang dikenali
sebagai Singapura. Hamba itu bernama Badang. Tuannya bernama Orang Kaya Nira
Sura. Badang diberikan tugas oleh tuannya untuk menebas hutan dan membersihkan
semak-samun di sebuah bukit. Tempat itu hendak dijadikan kawasan bercucuk tanam.

Berhampiran tempat Badang menebas itu terdapat sebatang anak sungai. Di kaki bukit
berhampiran sungai itulah Badang berehat selepas penat bekerja. Setelah selesai
sembahyang, barulah Badang membuka bekalan. Badang makan nasi di dalam upih
pinang yang dibawanya. Walaupun berlaukkan pucuk dicecah dengan sambal garam,
nasi sebungkus itu habis dimakannya.

Selepas itu, Badang pergi ke anak sungai. Di situ, kelihatan anak-anak ikan bermain-
main di dalam air yang jernih. Badang terfikir, "Daripada aku makan nasi dengan
sambal, lebih baik aku cuba tangkap ikan itu. Boleh juga dibuat lauk. Kalau dapat
banyak boleh aku bawa pulang kepada tuanku. Tentu tuan aku suka kalau dapat
merasa ikan tebarau, terbuk, dan lain-lain."
Sebelum Badang pulang, dia menebang buluh. Dia membuat lukah, iaitu sejenis
perangkap untuk menangkap ikan. Dia menahan lukah itu di dalam sungai.

Keesokan harinya, pagi-pagi lagi Badang turun pergi menebas. Sebelum mula kerja
menebas, Badang turun ke sungai untuk melihat lukah yang ditahannya. Namun,
Badang terperanjat apabila melihat terdapat timbunan tulang ikan di tebing sungai
berhampiran lukahnya. Badang dengan segera pergi mengangkat lukahnya. Dia
mendapati lukahnya telah diusik orang. Di dalamnya tidak ada ikan, kecuali tinggalan
sisik-sisik ikan. Dia berasa hairan. Badang menahan lagi lukahnya di tempat yang sama.
Kemudiannya, dia pergi menyiapkan kerja.

Seperti biasa apabila hari petang, Badang balik ke rumah tuannya. Dia tidak pergi
melihat lukahnya pada waktu petang kerana lukah akan mengena pada waktu malam.

Esoknya pula, Badang pergi menebas seperti biasa. Setelah sampai di tempat itu,
Badang terus pergi ke anak sungai untuk melihat lukahnya. Sekali lagi, dia terperanjat
kerana timbunan tulang ikan di tepi sungai itu bertambah banyak. Badang terus pergi
mengangkat lukahnya. Dia mendapati lukahnya itu tiada ikan, kecuali sisik ikan sahaja
yang tinggal. Badang bertambah hairan.

"Siapakah yang makan ikan mentah?" dia bertanya dalam hatinya.

Akhirnya, Badang mengambil keputusan ingin mengintai siapakah yang mencuri ikan di
dalam lukahnya itu. Dia menahan semula lukah itu.

Kemudian, dia pergi menebas seperti biasa. Apabila hari sudah senja, Badang tidak
balik. Dia terus pergi bersembunyi untuk mengintai siapakah yang mencuri ikan di dalam
lukah itu. Dia menyorok di sebalik semak.

Apabila larut malam, datanglah satu lembaga. Matanya merah, bertaring panjang,
berjanggut, dan berambut panjang. Muka lembaga itu sangat hodoh. Kukunya panjang.

Lembaga itu mengangkat lukah lalu mengambil ikan-ikan di dalamnya. "Wah, hantu
rupa-rupanya!" kata Badang di dalam hati. "Aku tidak takut kepada hantu itu!" ujar
Badang lagi di dalam hatinya. Badang lalu memberanikan dirinya, walaupun berasa
seram. Dia segera menerkam dan menangkap janggut lembaga itu.

Berlakulah pergelutan. Namun, Badang tidak melepaskan lembaga itu. Akhirnya,


lembaga itu mengaku kalah. Lembaga itu minta dilepaskan. Namun, Badang tidak
melepaskan lembaga itu dengan begitu mudah. Lembaga itu merayu-rayu minta
dilepaskan.

"Kalau tuan hamba melepaskan hamba, hamba akan berikan apa sahaja yang tuan
hamba mahu," ujar lembaga itu.

Badang terfikir, "Betulkah janji lembaga ini?" Badang mahu menguji, adakah kata-kata
lembaga itu benar? Badang cuba memikirkan apa yang dia mahu minta.

Kalau minta banyak harta, nanti harta itu akan menjadi milik tuannya. Kalau minta isteri
cantik, mungkin akan diambil oleh tuannya juga. Tetapi kalau minta jadi gagah perkasa,
tentu boleh menolong tuannya untuk membersihkan hutan itu. "Baiklah! Aku mahu jadi
gagah perkasa," kata Badang.

"Kalau tuan hamba mahu jadi gagah, tuan hamba hendaklah makan muntah hamba,"
kata lembaga itu. Badang termenung dan berfikir sejenak. "Baiklah! Aku setuju. Cepat!
Biar aku jadi gagah," kata Badang.

Lembaga itu muntah di atas daun keladi yang ada di situ. Tanpa berlengah lagi, Badang
pun makanlah muntah lembaga itu hingga habis. Lembaga itu minta dirinya dilepaskan.

"Belum boleh lagi! Tunggu dulu," Badang berkata sambil tangannya masih lagi
memegang janggut lembaga itu. Dia mengheret lembaga itu ke arah sebatang pokok
besar. Badang cuba mengangkat pokok itu dengan sebelah tangannya. Pokok itu
tumbang.

Badang berasa sangat gembira hajatnya termakbul.


Badang mengucapkan terima kasih kepada lembaga itu. Lembaga yang muka hodoh
dan bertaring tadi tiba-tiba bertukar wajah menjadi manusia yang berambut putih dan
berjanggut putih.

"Aku bukanlah hantu sebagaimana yang kamu sangkakan. Aku datang untuk
menolongmu. Kamu seorang yang cekal, tabah, dan jujur," kata lelaki tua itu. Kemudian
dia ghaib daripada pandangan Badang.

"Mungkin dia seorang alim!" fikir Badang.Badang bersyukur kepada Tuhan kerana
memperoleh kekuatan yang luar biasa itu. Malam itu, Badang membersihkan semua
hutan sebagaimana yang diarahkan oleh tuannya. Setelah selesai, dia pun pulang.

Pada keesokannya, dia tidak pergi menebas lagi. Tuannya memanggil dan bertanya
mengapa dia tidak pergi menebas. Badang memberitahu bahawa dia telah
membersihkan hutan dan semak-samun tersebut.

Tuannya, Orang Kaya Nira Sura itu tidak percaya apa yang diceritakan oleh Badang.
Dia pergi ke hutan untuk melihat sendiri keadaan tanahnya. Orang Kaya Nira Sura
hairan kerana hutan dan semak-samun itu memang telah habis dibersihkan oleh
Badang. Orang Kaya Nira Sura berasa gembira kerana hutan di tanahnya sudah
dibersihkan.

Namun, dia berasa bimbang, kalau-kalau Badang mengapa-apakannya pula. Orang


Kaya Nira Sura lalu mempersembahkan Badang kepada Raja Temasik. Maka Badang
pun dibebaskan daripada tuannya. Sekarang Badang tinggal di istana Raja Temasik
sebagai budak suruhan.
Pada suatu hari, Pemaisuri raja mengidam mahu makan buah mempelam. Permaisuri
menyuruh Badang mengambil buah mempelam muda. Badang tidak lengah-lengah lagi.
Dia terus memanjat pokok mempelam di hadapan istana raja itu.

Disebabkan buah mempelam itu berada di hujung ranting, dia terpaksa menghulurkan
tangan untuk mengambil buah mempelam itu. Tiba-tiba dahan tempat Badang berpijak
itu patah. Dia terjatuh ke tanah. Kepalanya terhempas ke batu. Batu besar di bawah
pokok mempelam itu terbelah dua.

Namun, kepala Badang tidak cedera Permaisuri berasa hairan melihat kejadian itu.
Permaisuri lalu pun memberitahu kejadian itu kepada raja. Raja datang menyaksikan
sendiri. Baginda melihat batu besar di hadapan istana itu terbelah dua. Baginda sangat
hairan akan peristiwa itu.

Raja Temasik lalu mengangkat Badang sebagai pahlawan gagah perkasa. Kehebatan
Badang tersebar di seluruh Temasik. Kemasyhuran itu turut tersebar ke Benua Keling.
Maharaja Keling datang ke Temasik dengan membawa pahlawan yang kuat lagi
perkasa dari negaranya.

Pahlawan itu bergelar Pahlawan Gagah Perkasa. Pahlawan itu dibawa masuk untuk
beradu kekuatan dengan Badang. Raja Temasik bersetuju pertandingan itu diadakan di
hadapan pembesar-pembesar negara dan rakyat jelata. Maka tibalah hari yang
ditetapkan. Hari pertandingan kekuatan di antara dua buah negara.

Sementara menunggu masa dan ketika peraduan dimulakan, Pahlawan Gagah Perkasa
dari Benua Keling itu duduk berhampiran dengan Badang. Dia lalu menindih paha
Badang dengan pahanya secara bergurau. Namun, Badang boleh mengangkat paha
pahlawan itu. "Wah, gagah sungguh Pahlawan Temasik ini!" ujar Pahlawan Gagah
Perkasa itu dalam hatinya.

Tetuang dibunyikan menandakan pertandingan akan dimulakan. Pahlawan Gagah


Perkasa dari Benua Keling itu mula mengangkat batu di hadapan majlis raja-raja dan
pembesar negara masing-masing.

Dengan rasa megah pahlawan itu dapat mengangkat batu itu setinggi paras lututnya.
Dia lalu membawa batu itu ke hadapan raja dan diletakkannya di situ. Maharaja Keling
dan para pembesar negara pun ketawa kerana gembira.

Riuh rendah kedengaran. Akhirnya, sampailah masanya giliran Badang. Badang yang
bertubuh kerdil berjalan masuk dengan lemah longlai menuju ke batu besar itu. Badang
lalu mengangkat batu itu dan membalingnya ke Teluk Belanga.

Pahlawan Gagah Perkasa Benua Keling berasa malu kerana tidak dapat menandingi
kekuatan Badang yang sungguh gagah perkasa itu. Demikianlah kemasyhuran Badang
sebagai seorang yang gagah perkasa pada zaman dahulu. Itulah sebabnya
kemasyhurannya menjadi buah mulut yang dituturkan orang dari zaman ke zaman.

Hang Nadim

Pada suatu ketika beratus-ratus tahun dahulu Singapura telah diserang ikan todak.
Secara tiba-tiba, beratus-ratus ikan todak melompat ke arah pantai Singapura dan
menikam ramai rakyat Singapura yang sedang berada di tepi pantai. Ramai rakyat
Singapura mati terkena tikaman todak hingga keadaan darurat berleluasa di seluruh
negeri.

Sultan yang merajai Singapura amat terperanjat dengan berita serangan todak ini.
Baginda pun pergi ke pantai untuk melihat sendiri malapetaka yang telah menimpa
negeri itu. Baginda berasa sedih kerana melihat ramai rakyat jelata mati dibunuh oleh
ikan todak.

Untuk mengatasi masalah ini, baginda memerintahkan rakyatnya berkubukan betis di


sepanjang pantai agar ikan-ikan todak tidak lagi dapat menyerang. Malangnya, lebih
ramai pula rakyat yang mati apabila kaki-kaki mereka ditikam oleh ikan todak.

Pada waktu itu juga hidup seorang kanak-kanak lelaki yang pintar lagi cerdas bernama
Hang Nadim. Hang Nadim pada ketika itu baru berusia tujuh tahun! Setelah
menyaksikan serangan kejam ikan todak ini, Hang Nadim pun mempunyai buah fikiran
untuk melawan serangan ikan-ikan todak yang kejam. Tanpa berlengah lagi, Hang
Nadim pun memohon menghadap Sultan Singapura yang telah mati akal dan tidak lagi
dapat memimpin negerinya dengan baik.

"Tuanku, patik rasa jika kita terus menyuruh hamba rakyat menggunakan betis mereka
untuk menahan serangan ikan todak, lebih ramai rakyat Singapura yang akan mati
Tuanku," sembah Hang Nadim ke hadapan Sultan.

"Hai si kecil, adakah kamu mempunyai cadangan yang lebih baik untuk beta?" Sultan
pun bertanya kepada Hang Nadim.

"Ya Tuanku! Patik rasa adalah lebih baik jika kita menggunakan batang-batang pisang
untuk melawan serangan ikan-ikan todak itu," jawab Hang Nadim.

"Batang pisang? Bagaimana caranya wahai Hang Nadim?" tanya Sultan dengan penuh
hairan.

"Kita boleh menggunakan batang-batang pisang sebagai kubu di sepanjang pantai


negeri kita. Apabila ikan-ikan todak menyerang, jongor todak akan terlekat pada batang
pisang. Apabila ikan-ikan todak ini sudah terlekat, nah rakyat sekalian boleh menetak
kesemuanya hingga mati," hujah Hang Nadim.

Apabila kata-kata Hang Nadim didengar oleh Sultan Singapura, baginda sedar akan
kebenarannya. Tanpa berlengah lagi, baginda pun memerintahkan semua rakyat negeri
itu untuk menanam batang-batang pisang di sepanjang pantai untuk dijadikan kubu.

Akhirnya, terbukti buah fikiran Hang Nadim berjaya mendatangkan hasil dan ikan-ikan
todak semuanya berjaya ditewaskan dan negeri Singapura akhirnya terselamat.

Sultan Singapura berasa sungguh gembira dan baginda pun menghujani Hang Nadim
dengan hadiah-hadiah yang istimewa. Baginda amat bersyukur kerana negeri Singapura
dikurniakan dengan seorang kanak-kanak yang sungguh pintar lagi cerdas.

Malangnya, para pembesar negeri itu berasa sangat iri hati dan dengki dengan kepintar-
cerdasan Hang Nadim. Mereka takut kalau-kalau Hang Nadim akan mengambil tempat
mereka sebagai penasihat di-Raja dan kelak Hang Nadim akan menjadi lebih
berpengaruh dan lebih berkuasa berbanding mereka.

"Budak lelaki ini masih kecil tetapi dia sungguh bijak. Apabila dia besar nanti, tentu akan
menjadi lebih bijak. Aku yakin Sultan akan mengambilnya sebagai penasihat tertinggi
baginda," kata Tun Bendahara yang menjadi ketua kepada para pembesar negeri yang
lain.

"Hang Nadim mesti dibunuh, saudara-saudaraku! Aku akan memujuk Raja untuk
membunuh budak itu dengan sokongan kalian semua," tambah Tun Bendahara dengan
marahnya.

Para pembesar negeri pun bersepakat untuk menghasut Sultan agar membunuh Hang
Nadim. Mereka menasihati Sultan agar membunuh Hang Nadim yang pintar cerdas itu
kerana takut apabila besar kelak, dia akan menjadi lebih cerdik. Malah, mereka berjaya
menyakinkan Sultan jika Hang Nadim menjadi lebih pintar cerdas dan mencapai umur
remaja, nescaya mahkota Sultan pun akan cuba dirampasnya.

Mendengar hasutan para pembesar negeri yang tidak berasas itu, Sultan Singapura
dengan serta-merta menjatuhkan hukuman bunuh tanpa usul periksa ke atas Hang
Nadim, walaupun Hang Nadim telah berjasa kepada negeri Singapura.

Dengan kejamnya, Hang Nadim diikat dengan rantai besi lalu dihumban ke dalam laut
hidup-hidup. Semua rakyat negeri Singapura berasa sungguh sedih dengan kematian
Hang Nadim akan tetapi mereka semua berasa terlalu takut dan tidak berdaya untuk
melakukan apa-apa usaha untuk menentang kezaliman itu.

Hari ini tinggallah nama Hang Nadim dalam lipatan sejarah dunia di sebelah sini,
sebagai si kecil pintar cerdas yang telah menyelamatkan negara Singapura dari
serangan todak tetapi jasanya yang amat besar dibalas dengan kekejaman dan
kezaliman tanpa pembelaan.
Si Luncai

Si Luncai telah dijatuhkan hukuman oleh raja supaya dibuang ke tengah laut. Si Luncai
dihukum kerana kesalahannya mempermain-mainkan raja serta pembesar-pembesar
baginda oleh itu dia menerima hukuman itu dengan tenang.

Pesuruh raja pun bersiaplah membawa Si Luncai ke dalam perahu untuk dibawa ke
tengah laut kerana Si Luncai akan dibuang ke dalam laut itu nanti. Si Luncai telah
dimasukkan ke dalam sebuah guni dan dipikul ke pangkalan.

Apabila sekaliannya telah siap, maka perahu itu pun dikayuhlah ke tengah laut. Dari
dalam guni itu Si Luncai dapat melihat beberapa biji labu air terdapat di dalam perahu.
Setelah lama mereka berkayuh, maka Si Luncai berkata; “kasihan benar aku melihat
kamu semua terlalu teruk berkayuh. Mahukah kamu semua jika aku ajarkan lagu untuk
menghilangkan penat kamu semua itu?”

Salah seorang daripada mereka berkata; “Diamlah kamu, sebentar lagi kamu akan
dicampakkan ke dalam laut ini”. Mendengar kata-kata yang sedemikian itu, maka Si
Luncai pun menyanyilah. “Si Luncai terjun dengan labu-labunya. Biarkan! Biarkan!”

Mendengar Si Luncai menyanyi itu, pesuruh raja itu mula tertarik dan beberapa orang
pekayuh mula menyanyi: “Si Luncai terjun dengan labu-labunya!”

Maka beberapa orang yang lain pun menjawablah: “Biarkan! Biarkan!” Akhirnya mereka
menjadi dua kumpulan menyanyikan lagu itu.

“Si Luncai terjun dengan labu-labunya!”

“Biarkan! Biarkan!”

Demikian lagu itu dinyanyikan berulang-ulang hingga lekalah mereka semuanya.

Melihatkan keadaan itu, maka Si Luncai pun keluar dari guni dan dia mengisikan
beberapa biji labu ke dalam guni itu dan kemudian dia mengambil dua biji labu yang lain
lalu terjun dar perahu itu. Si Luncai berenang ke tepian menggunakan pelampung labu
air yang dua biji itu.

Apabila sampai ke tengah laut, pesuruh raja pun mencampakkan guni itu ke dalam laut.
Pada mereka, matilah Si Luncai dan merka pun baliklah memberitahu raja akan hal itu.
Tiada siapa yang tahu bahawa Si Luncai sebenarnya telah berenang sampai ke pantai.

Lebai Malang

Di sebuah desa, terdapat seorang lebai yang diberi gelaran Lebai Malang. Beliau tinggal
di sebuah dusun.

Ketika dalam perjalanan, Pak Lebai terjumpa dengan penduduk kampung yang
menghadiri pengebumian jenazah itu. Mereka bertanyakan sebab Pak Lebai tidak hadir
semasa upacara pengebumian. Pak Lebai hanya menjawab, "sudahlah, apa boleh
buat? Tiada hendak menjadi rezeki saya".

Pada suatu hari, datang seorang lelaki ke rumahnya untuk mengajaknya pergi
menziarahi jenazah. Kemudian, datang pula seorang kanak-kanak menjemput Pak
Lebai untuk menghadiri kenduri berkhatam pengajian. Kemudian, datang seorang lagi
mempersilakan Pak Lebai untuk datang ke rumahnya untuk berbincang tentang kenduri
sempena Maulidur Rasul. Maka ketiga-tiga mereka itu pun pulanglah ke rumah masing-
masing setelah mendapat persetujuan daripada Pak Lebai.

Pada petang itu, ketiga-tiga orang tetamu yang mengajak Pak Lebai sebentar tadi
menunggu ketibaan Pak Lebai. Namun begitu, Pak Lebai tidak juga datang dan mereka
terpaksa menjalankan urusan majlis mereka.

Pada masa yang sama, setelah selesai solat Zohor, Pak Lebai pun duduk memikirkan
jemputan yang diterimanya pagi tadi. Dia berfikir majlis manakah yang sepatutnya dia
pergi pada petang itu. Jika dia pergi menziarahi jenazah, dia akan menerima sedekah
kain putih dan segulung tikar. Kedua, jika dia pergi ke majlis khatam pengajian dan
kenduri Maulidur Rasul, dia akan menikmati jamuan makan dan dapat membawa pulang
bekalan makanan.

Akhirnya, Pak Lebai membuat keputusan untuk menziarahi jenazah terlebih dahulu.

Kemudian, Pak Lebai pun pergi ke majlis khatam pengajian. Setibanya Pak Lebai di
sana, semua tetamu sudah hendak pulang. Mereka bertanyakan sebab Pak Lebai tidak
hadir semasa majlis berkhatam sebentar tadi. Pak Lebai hanya menunduk dan
menjawab, "tiada mengapa, asalkan sudah selamat, sudahlah".

Kemudian Pak Lebai pun berjalan ke majlis kenduri Maulidur Rasul. Setibanya Pak
Lebai di sana, semua tetamu juga sudah hendak pulang ke rumah. Mereka bertanyakan
kepada Pak Lebai sebab dia tidak hadir ke kenduri tengah ari tadi.

Pak Lebai bernasib baik kerana tuan rumah kenduri telah menyimpan sebungkus
lempeng untuk Pak Lebai. Pak Lebai pun mengambil bungkusan itu lalu pulang ke
rumah.

Ketika dalam perjalanan pulang, tiba-tiba Pak Lebai teringat akan bungkusan air nira
yang diikatnya di atas pohon kabung. Pak Lebai terus menuju ke pokok kabung itu.

Pak Lebai terus memanjat pokok kabung dan mengikat bungkusan lempeng pada
dahan pokok. Tanpa disedari Pak Lebai, seekor anjing telah menggonggong bungkusan
lempengnya. Pak Lebai pun terus membaling bungkusan air nira ke arah anjing tetapi
gagal. Pak Lebai pun turun dari pokok kabung lalu mengejar anjing itu.

Semasa mengejar anjing itu, hari sudah beransur malam. Pak Lebai ternampak anjing
itu sedang bersembunyi di dalam sebuah lubang kayu. Pak Lebai terus membuka
pakaiannya lalu disumbat ke dalam lubang tersebut.

Tanpa disedarinya, anjing itu telah melarikan diri melalui lubang kayu kedua. Pak Lebai
hanya mampu melihat anjing tersebut melarikan diri bersama-sama dengan bungkusan
lempengnya.

Pak Lebai terus menjejaki anjing itu tetapi gagal. Apabila Pak Lebai pulang ke tempat
lubang kayu tadi untuk mengambil pakaiannya, Pak Lebai sangat terkejut apabila
pakaiannya telah hilang.

Pak Lebai pun pergi ke pokok kabung untuk mengambil bungkusan air niranya tetapi dia
mendapati bungkusan air nira itu telah pecah.

Pak Lebai berasa sangat menyesal dengan perbuatannya yang cuai. Pak Lebai pun
pulang ke rumah dengan keadaanya yang tanpa berpakaian itu.

Mat Jenin

Syahadan, maka tersebutlah kisah seorang pemuda yatim piatu yang dikenali sebagai
Mat Jenin. Pemuda itu hidup sebatang kara di sebuah desa di gerubuk peninggalan
ibubapanya. Gerubuk itu teramatlah daifnya dengan dindingnya yang senget dan atap
rumah yang bocor apabila hujan turun dengan lebatnya.

Akan tetapi semua itu tidaklah dipedulikan oleh Mat Jenin kerana dia amat malas
membuat kerja. Malah untuk membaiki gerubuk pusaka itu pun tidak di pedulikannya.
kerjanya pula sehari-harian hanyalah memasang angan-angan.

Maka mashyurlah seluruh daerah itu tentang tabiat dan perangainya itu menjadi buah
mulut orang. Akan apabila Mat Jenin berasa lapar, pergilah ia ke kedai makan dan
duduk menunggu di situ kalau-kalau ada orang yang baik hati yang akan menanggung
makan-minumnya. Maka kalau ada sesiapa yang ingin berseronok, segeralah dia
menegur Mat Jenin bertanyakan angan-angannya yang terbaru. Mat Jenin pun
bersegeralah menceritakan angan-angannya itu tanpa bertangguh lagi apatah lagi jika
yang menegur itu pula menyuruh dia meminta apa-apa makanan yang diingini.

Maka Mat Jenin akan bercerita sehingga sehari suntuk tidaklah dia mahu berhenti.
Apabila kerbau sudahpun balik ke kandang, ayam dan itik pulang ke sarang, api
menyala di dian, barulah dia balik ke gerubuk buruknya itu untuk tidur. Angin ribut yang
bertiup pun tidak dibimbangnya, malah jikalau gerubuk buruknya bergegar dipukul
angin, dia hanyalah menarik kain selimutnya dengan lebih rapat lagi sambil berangan-
angan. Katanya jikalaulah roboh gerubuk itu, tentulah jiran-jiran sekeliling akan
membantu dia membina rumah baru. Jadi tidaklah lagi dia perlu bersusah-payah
membaiki teratak buruk itu.

Akan begitulah kerja Mat Jenin itu sehari-harian. Jika apabila tidak ada orang yang
hendak membayar makan-minumnya barulah dia mencari kerja. Tetapi kerja yang
dibuatnya pula dipilih-pilih, tidaklah dia ingin membanting tulang di sawah padi kerana
panas, ataupun pergi menangkap ikan kerana mabuk katanya. Oleh itu apa yang
sanggup dilakukan oleh Mat Jenin hanyalah memanjat pokok kelapa, kerana
menurutnya kerja itu teduh dan berangin pula. Itupun Mat Jenin hanyalah mengambil
upah memanjat pokok kelapa apabila dia memerlukan duit belanja.

Tersebutlah pada suatu hari nasib Mat Jenin tidak begitu baik kerana tidak ada orang
yang ingin membayar makan-minumnya. Maka terpaksalah dia mencari-cari sesiapa
yang ingin mengupahnya memanjat pokok kelapa.

Tetapi lebih malang lagi nasibnya itu, pada hari itu dia tidak berjumpa dengan sesiapa
pun yang memerlukan kelapanya dipetik. Maka terpaksalah dia merayau-rayau
sekeliling kampung dalam keadaan kelaparan. Sedang dia duduk berfikir-fikir seorang
diri tentang apa yang perlu dilakukannya maka nampaklah olehnya seorang nenek tua
sedang mendongak-dongak ke atas melihat-lihat buah kelapa.

"Nenek nak kelapa? Saya boleh tolong panjatkan." sapa Mat Jenin Nenek itu berpaling
ke arah Mat Jenin.
"Memang nenek mencari buah kelapa untuk memasak. Boleh ke cucu tolong petikkan
untuk nenek?"
"Sudah tentu boleh nenek. tetapi apa yang nenek boleh berikan kepada cucu sekiranya
cucu tolong petikkan buah kelapa nenek?" tanya Mat Jenin.

Jawab nenek tua itu, "Nenek tak ada banyak benda nak nenek beri. Tetapi kalau cucu
sanggup petikkan buah kelapa ini untuk nenek, bolehlah cucu makan sekali dengan
nenek. Lagipun nenek boleh berikan beberapa biji telur ayam untuk cucu."

"Saya nak buat apa telur ayam tu." kata Mat Jenin.

"Telur ayam ini kalau cucu eramkan, nanti akan menetas. Bolehlah cucu membela
ayam,"jawab nenek itu lagi.

Mat Jenin duduk berfikir sejenak di dalam hatinya, kalau telur itu menetas sudah tentu
aku akan dapat membela ayam untuk aku jual.

" Baiklah nenek, sangguplah saya memanjat kelapa ini untuk nenek." Setelah berkata
demikian, maka Mat Jenin pun mulalah memanjat pokok kelapa itu. Ketika mula hendak
memanjat itu, dia asyik berfikir tentang kata-kata nenek itu maka hatinya bertambah
girang.
"Kalau aku eramkan telur-telur itu tentulah telur-telur itu menetas. Bolehlah aku biarkan
ayam-ayam itu sekeliling gerubuk aku sehingga besar. Apabila sudah besar bolehlah
aku makan."

Setelah berfikir demikian, dia pun berpaling kepada nenek itu dan berkata,
"Kalau telur-telur itu menetas bolehlah saya makan ayamkan, nenek?"
Nenek tua itu kehairanan tetapi terus sahaja menjawab
"Betul cu."

Sambil Mat Jenin berangan-angan, dia terus memanjat pokok kelapa itu semakin tinggi.
"Tetapi kalau aku biarkan ayam-ayam itu bertelur tentulah semakin banyak ayam-
ayamaku membiak. Jadi tentunya aku akan dapat banyak daging dan telur untuk aku
makan.Tetapi kalau terlalu banyak tentu susah aku menjaganya. Jadi baik aku tukarkan
ayam-ayam itu dengan kambing tentu lebih beruntung.

Bolehlah aku biarkan kambing-kambing itu mencari makan di keliling gerubuk aku. Tak
perlu aku bersusah payah memanjat pokok kelapa lagi. Dan lagi tidak perlulah aku
risau-risaukan menjaga ayam-ayam itu banyak-banyak." fikirnya lagi. Setelah berfikir
demikian, dia pun berpaling kepada nenek itu dan berkata

"Kalau ayam-ayam itu saya jual bolehlah saya dapatkan kambing, kan nenek?" Nenek
tua itu berasa geli hati mendengarkan kata-kata Mat Jenin itu tetapi dia terus menjawab

"Betul tu cu." Mat Jenin memanjat semakin tinggi, sambil itu dia berangan-angan
semakin tinggi,
"Kalau aku sudah banyak kambing, aku akan tukarkan dengan lembu pula. Lagipun
lembu itu lebih gemuk dan banyak dagingnya. Tentu aku bertambah kaya dan dihormati
orang."

Sekali lagi dia menoleh ke bawah melihat nenek itu, "Kalau saya tukarkan kambing itu
dengan lembu tentu lagi baik, kan nenek?" dia menjerit ke bawah. Nenek itu terus
menjawab "Betul tu cu.." sambil tersenyum-senyum, menampakkan gusinya yang tidak
bergigi itu.

Nasib baik Mat Jenin sudah jauh di atas pokok kelapa dan tidak nampak nenek itu
mentertawakan dia.
Mat Jenin semakin kuat berangan-angan, "Kalau aku sudah dapat membela lembu,
tentu aku dapat mengupah orang untuk menjaga lembu-lembu itu sehingga beranak
pinak. Jadi aku akan dapat lebih banyak lembu, aku akan jadi kaya. Tak perlulah aku
susah payah berkerja lagi . Bolehlah aku membela kerbau pula nanti." Sekali lagi dia
memekik ke bawah,

"Nenek! kalau saya sudah banyak lembu bolehlah saya tukarkan dengan kerbau pula
ye, nenek. Kayalah saya masa itu." Sekali lagi nenek itu menjawap, "Betul tu cu." "Kalau
cu sudah kaya bolehlah cucu berkahwin." tambahnya lagi.
Mat Jenin mengangguk-anggukkan kepalanya,
"Kawin!" Dia terus memanjat semakin tinggi meninggalkan nenek itu sayup-sayup di
bawah sana.

Ya! Ya! Kalau selama ini tidak ada perempuan yang ingin memandang mukanya kerana
kemiskinannya, tentu akan berebut-rebutlah perempuan yang gilakannya setelah dia
kaya nanti. Tetapi, masa itu dia tidak akan melayan perempuan- perempuan itu. Dia
sudah pun kaya dan tentu dia dapat memilih siapa calon isterinya nanti. Ya! Ya! dia
sudah tentu memilih isterinya dari perempuan-perempuan yang istimewa. Dia akan
memilih puteri raja.

"Nenek! Saya akan kahwin dengan puteri raja." jeritnya ke bawah. Jawapan nenek itu
hanya sayup-sayup, tidak didengarinya kerana dia sudah pun tinggi di atas pokok
kelapa. "Tentu aku akan mempunyai ramai anak." fikirnya lagi sambil tersenyum-
senyum. "Dan mereka akan berlari-lari membuat bising. Isteri aku tentu akan
mengidamkan perhiasan emas dan meminta dari aku. tetapi aku tidak akan beri.

Kalau dia membuat bising, tentu aku akan tampar dia seperti ini." Serentak dengan itu
Mat Jenin melepaskan pelukannya dan menampar pelepah kelapa itu sambil
menengking "Jangan nak mengada mintak barang kemas dari aku.", dan ketika itu
bertempiaranlah seekor tupai yang sedang menyorok di celah pelepah kelapa itu,
mengejutkan Mat Jenin dari angan-angannya itu. Mat Jenin terkejut besar sehinggakan
terlepaslah pegangannya dari pokok kelapa itu.Maka jatuhlah dia dari pokok kelapa itu
sampai ke bawah, berdebuk seperti buah kelapa tua yang luruh bunyinya.

Terkejutlah nenek tua itu melihatkan Mat Jenin terjatuh dan bersegeralah dia meluru
untuk memberikan pertolongan Malangnya MatJenin telah mati di situ juga. Maka
dengan itu tamatlah riwayat Mat Jenin yang terlampau suka berangan-angan
sehinggakan menjadi mangsa angan-angannya itu sendiri. Demikianlah diceritakan
orang kisah Mat Jenin yang malang.

Pengajaran yang didapati ialah:


1.Jangan berangan-angan
2.Buat kerja dengan bersungguh-sungguh
3.Jangan lalai ketika membuat sesuatu pekerjaan.

Nujum Pak Belalang.

Di sebuah desa di negeri Terang Bulan, ada seorang duda bernama Pak Belalang. Pak
Belalang bukan sahaja miskin, malah seorang yang pemalas. Pak Belalang ada seorang
anak bernama Belalang. Belalanglah yang diharapkan untuk mencari nafkah.

Walaupun masih kecil, namun Belalang rajin bekerja. Sepanjang hari Pak Belalang
menghabiskan masanya dengan tidur sahaja. Soal makan dan minumnya, terserah
kepada Belalang. Belalang mencari nafkah dengan bekerja membantu orang kampung.
Pada suatu hari, Belalang terserempak dengan dua orang pencuri. Mereka sedang
melarikan kerbau kepunyaan orang kampung. Belalang mengekori pencuri itu ke tempat
persembunyian mereka.

Kemudian, dia pulang dan memberitahu bapanya. Tetapi Pak Belalang menyuruh
Belalng untuk tidak ikut campur. Belalang menjawab "Saya tahu di mana kerbau itu
disembunyikan. Bagaimana kalau bapak menyamar jadi ahli nujum. Boleh saya beritahu
orang kampung, bapak pandai menilik. Sebaik saja kerbau itu ditemui, tentu kita akan
dapat upah yang lumayan!"
"Ya tak ya juga," kata Pak Belalang.

Keesokan harinya, orang kampung heboh dengan kehilangan kerbau mereka. Mereka
mengadu kepada penghulu. Kebetulan ketika itu Belalang ada di situ. "Bapak saya
pandai menilik. Tentu dia boleh tolong carikan kerbau itu," kata Belalang. "Betulkah?"
tanya penghulu. "Kalau begitu mari kita jumpa dia." Mereka beramai-ramai menuju ke
rumah Pak Belalang.

Pak Belalang berpura-pura menyamar sebagai ahli nujum dan berkata bahwa kerbau itu
ada di hulu kampung dimana ada sebatang pokok merbau. Orang kampung beramai-
ramai pergi ke tempat itu dan memang benar kerbau itu ada disana. Mereke
memberinya pelbagai hadia sebagai rasa terima kasih. Nama Pak Belalang menjadi
masyur dan banyak orang mencarinya. Hidupnya pub berubah menjadi senang dan dia
tidak perlu bekerja lagi

Pada suatu hari, sebuah kapal berlabuh di pelabuhan negeri Terang Bulan. Nakhodanya
lantas menghadap sultan "Tuanku," kata nakhoda itu. "Patik dari negeri Antan Kesuma.
Kami ingin beradu kepandaian dengan nujum di sini. Kalau tuanku menang, kapal kami
menjadi milik tuanku. Tapi kalau tuanku kalah, negeri tuanku menjadi jajahan takluk
kami!"

Sultan negeri Terang Bulan segera memanggil para pembesarnya dan bermesyuarat
untuk mencari kata sepakat. Seorang pembesar memberikan saran untuk meminta Pak
Belalang untuk mewakili negri Terang Bulan. Sultan pun setuju dan menitahkan Pak
Belalang menghadap

Tidak lama kemudian, Pak Belalang masuk menghadap. Dia terketar-ketar ketakutan.
Dia khuatir kalau rahsianya terbongkar. Selama ini dia cuma berpura-pura menjadi
nujum. "Hai Pak Belalang!" titah sultan."Benarkah kamu seorang nujum yang handal?"
"Benar, tuanku!" jawab Pak Belalang dengan ketakutan. "Bagus!" titah sultan. Baginda
berasa sukacita kerana nujum dari negeri Terang Bulan beradu kepandaian dengan
nujum dari negeri Antan Kesuma.

Sultan Terang Bulan turut datang. Baginda berharap Pak Belalang dapat menewaskan
nujum dari negeri Antan Kesuma.
"Soalan pertama!" kata nujum dari negeri Antan Kesuma.
"Apa binatang, ketika pagi berkaki empat, ketika tengah hari berkaki dua dan ketika
petang berkaki tiga?" "Manusia!" jawab Pak Belalang dengan selamba. "Sebab ketika
kecil dia merangkak, ketika dewasa, berjalan dan ketika tua, bertongkat!" Rakyat negeri
Terang Bulan bersorak riang. Jawapan Pak Belalang memang tepat.

"Yang kedua!" kata nujum negeri Antan Kesuma.


"Bagaimana hendak menentukan yang mana hujung dan yang mana pangkal kayu ini?"
Dia menunjukkan sebatang kayu yang lurus dan sama besar. Pak Belalang mengambil
sebesen air. Dia pun memasukkan kayu itu ke dalam air. "Ini hujung dan ini
pangkalnya," kata Pak Belalang. "Pangkal kayu ini tenggelam dahulu kerana ia lebih
berat!"Jawapan Pak Belalang memang tepat.Sebenarnya, Pak Belalang sudah tahu
akan semua jawapan soalan itu, sebab anaknya, Belalang, telah mendengar perbualan
nujum negeri Antan Kesuma tempoh hari.

Akhirnya, nujum negeri Antan Kesuma mengaku kalah. Kapal mereka terpaksa
diserahkan kepada sultan negeri Terang Bulan. Mereka terpaksa pulang ke negeri
Antan Kesuma dengan hanya sehelai sepinggang. Sultan negeri Terang Bulan sangat
berbesar hati dengan Pak Belalang. Baginda melantik Pak Belalang menjadi Nujum
Diraja. Pak Belalang kemudian dikahwinkan dengan puteri baginda yang bernama Laila
Sari. Akhirnya, Pak Belalang dan anaknya, Belalang hidup aman damai di istana sultan.

Kisah Pak Pandir

Pada zaman dahulu, terdapat sepasang suami isteri yang tinggal di sebuah kampung. Si
suami bernama Pak Pandir dan si isteri pula bernama Mak Andeh. Mak Andeh seorang
wanita kampung yang tersangat biasa keadaan tubuh badannya. Tidak cantik tetapi
tidak pula buruk. Segalanya serba sederhana. Tetapi sayang. Mungkin jodoh Allah telah
menetapkan Mak Andeh berkahwin dengan Pak Pandir. Pak Pandir ini adalah seorang
lelaki yang tersangat bodoh lagi pandir. Kerana halnya itulah maka dia digelar Pak
Pandir. Banyak hal menjadi kelam-kabut atas sebab kebodohannya itu.

Sungguhpun Pak Pandir itu tersangat bodoh namun Pak Pandir itu seorang yang lurus
dan baik hati. Tidak pernah pula dia menyakiti hati dan berbuat aniaya ke atas orang
lain. Kehidupan Pak Pandir dan Mak Andeh sangat bahagia. Cuma sahaja mereka itu
tersangat miskin dan tidak dikurniakan anak pula.

Oleh kerana kemiskinan mereka itu, suatu hari Pak Pandir dan Mak Andeh bersepakat
untuk menerun membuka tanah baru. Mudah-mudahan di tempat baru kelak, rezeki
lebih menyebelahi mereka.

Suatu hari berangkatlah mereka suami isteri menuju ke Hulu Tanah Kuning membuka
tanah berhampiran dengan Sungai Kerdas yang mengalir laju. Berhampiran dengan
jeram itu mereka bersepakat membuka tanah mereka di situ. Mereka pun memulakan
kerja. Yang mana patut ditebang, ditebang. Yang mana patut dipangkas, dipangkas.
Sehingga akhirnya teranglah hutan sekeliling sedia untuk dibuat huma dan ditanam
sayur labu.

"Andeh, aku teringin nak makan pisang" kata Pak Pandir.


"Yalah. Kalau begitu kita tanam pisang juga, ye!!" kata Mak Andeh.
"Kalau kita tanam pisang, esok boleh keluar buah pisang ke?" tanya Pak Pandir lagi.
"Eh, tentulah tak boleh. Kita tanam anak pisang. Selepas 4 purnama, barulah anak
pisang itu mengeluarkan buah. Masa tu barulah Pak Pandir boleh makan pisang tu.."
"Ooohh... begitu"

Mereka pun menanam anak pisang bersebelahan dengan rumah yang mereka bina.
Selepas sepurnama, kelihatan pokok pisang itu melangut naik tumbuh subur. Selepas 3
purnama pula, kelihatan jantung pisang mulai tumbuh keluar. Pak Pandir sangat
gembira melihat tandan pisang mulai mekar. Dia tidak sabar-sabar ingin menikmati
pisang hasil tuaiannya. Setelah tandan pisang itu besar dan pisangnya sudah cukup
muda Mak Andeh menebang pokok pisang itu lalu meletakkan tandan pisang itu di atas
para untuk diperam. Bimbang Mak Andeh sekiranya dibiarkan masak di pokok, pasti
pisang itu habis dimakan burung dan juga musang.

"Andeh, dah boleh makan ke pisang tu?" tanya Pak Pandir.


"Belum. Pisang tu mesti diperam di atas para. Kalau Pak Pandir hendak makan pisang
tu, Pak Pandir kenalah tunggu seminggu lagi, kalau pisang tu dah jadi kuning nanti
kalau Pak Pandir nak makan habis satu tandan pun boleh" jelas Mak Andeh. Pak Pandir
merasa hampa.

Setelah beberapa hari, Pak Pandir mendapati pisang itu sudah mulai kuning. Pak Pandir
semakin tidak sabar. Mak Andeh tiada di rumah. Dia ke huma. Tiada siapa di rumah
untuk menegur Pak Pandir. Pak Pandir kemudian naik ke atas para langsung
dimakannya pisang setandan itu satu persatu. Akhirnya habis pisang itu dimakannya
sehingga setandan. Ketika itu perut Pak Pandir sudah seperti guni. Pak Pandir terlalu
kekenyangan sehingga dia sukar untuk menggerakkan badannya. Gayanya pun seperti
seekor ular sawa yang kekenyangan.

Mak Andeh pulang dari huma. Dilihatnya rumah sekeliling teramat sunyi. Tiada kelibat
Pak Pandir yang kelihatan.

"Pak Pandir... oooo Pak Pandir" laung Mak Andeh.


"Uuuuuhhhh..." suara Pak Pandir menyahut sayup-sayup

Mak Andeh masuk ke rumah bersiap untuk memasak hidangan tengahari. Pak Pandir
masih belum juga kelihatan. Di kebun agaknya!! fikir Mak Andeh. Sewaktu Mak Andeh
melintas di tepi para tempat menyimpan pisang yang diperam, Mak Andeh terperanjat
besar.
"Oh, tikus!! Mak kau tikus. Tikus besar. Tikus besar" kata Mak Andeh melatah.
"Janganlah terkejut Andeh. Ini akulah, Pak Pandir" kata Pak Pandir sambil tersenyum.
Dia berbaring sambil mengiring mengadap Mak Andeh.

"Amboi, sedap betullah pisang ni Andeh, kau kata makanlah setandan aku pun
makanlah". kata Pak Pandir lagi. Mak Andeh hanya mampu melihat pisang yang sudah
tinggal tandan dan kulit pisang yang berlonggok di atas para. Haram sebiji pisang pun
ditinggalkan oleh Pak Pandir untuk Mak Andeh. Sampai hati, Pak Pandir!!.

Tidak beberapa purnama sesudah itu, datang ancaman binatang pemusnah


merosakkan padi di huma Mak Andeh. Habis padi-padi Mak Andeh dimakan oleh babi-
babi. Mak Andeh pada ketika itu sedang sarat mengandung. Padi di dalam kepuk tinggal
sedikit sahaja lagi.

Akhirnya habis semua bekalan padi Mak Andeh. Mereka sudah tiada makanan lagi.
Mahu tidak mahu mereka harus mencari makanan yang lain.

"Pak Pandir. Kita sudah tiada beras lagi. Mahukah Pak Pandir pergi mengail ikan?
Sekurang-kurangnya, perut kita terisi juga malam ini" kata Mak Andeh.

"Mahu tu memanglah mahu. Tapi aku ni tak pandai mengail, Andeh" kata Pak Pandir.
"Tak apa. Nanti Mak Andeh ajar caranya. Mula-mula Pak Pandir kena buat pancing
dulu.."
"Pancing? Pancing tu apa..?" tanya Pak Pandir.
"Pancing tu alat untuk menangkap ikan"
"Oooohhh..."

"Pancing tu dibuat dari kayu yang panjang. Pak Pandir cari kayu panjang dua depa. Pak
Pandir ikat dengan tali. Di hujung tali tu, Pak Pandir letakkan mata pancing.."
"Mata Pancing tu serupa mata kitakah, Andeh?"
"Bukan.. Mata pancing tu besi tajam yang dibengkokkan. Kemudian diikat pada tali
pancing.."

Pak Pandir mendengar cerita Mak Andeh dengan teliti.

"Selepas siap, barulah boleh dipancing ikan-ikannya. Oh ya, sebelum memancing itu
Pak Pandir mestilah letak umpan dahulu.." kata Mak Andeh.
"Apa yang harus aku letak umpannya, Andeh?" tanya Pak Pandir.
"Umpan Belalang Rusa" kata Mak Andeh.

Rusa????

Pak Pandir tersilap dengar kata Mak Andeh. Pak Pandir masuk jauh ke dalam hutan.
Tiba di bawah suatu rumpun buluh, Pak Pandir ternampak seekor rusa yang sedang
tidur. Perlahan-lahan Pak Pandir menghampiri rusa itu sambil sedia dengan mata
pancing sebesar jari telunjuk...
Setelah hampir sahaja dengan rusa itu, Pak Pandir terus mencangkuk belakang rusa itu
dengan mata kail besarnya. Rusa itu terjaga dan terpinga-pinga apabila merasa sakit di
bahagian belakangnya. Terus sahaja rusa itu meronta-ronta ingin melarikan diri. Namun
mata kail dan pelukan Pak Pandir menghalangnya untuk berbuat demikian.

Rusa itu pun bertempik sehingga mengejutkan seisi alam. Tempikan rusa
berkumandang jauh sehingga dapat didengar oleh Mak Andeh yang tinggal di pinggiran
hutan itu. Dalam kegawatan, Pak Pandir mencempung rusa yang sedang meronta-ronta
itu langsung dicampakkannya rusa itu ke dalam paya yang disangkakannya banyak
berisi ikan.

Sebaik sahaja rusa itu dicampakkan ke dalam paya, rusa itu bertempik lebih kuat lagi.
Habis air di dalam paya itu berkocak kuat. Gamat suasana. Mak Andeh yang meninjau-
ninjau dari rumah merasa tidak enak hati lantas menurut suara tempikan rusa itu
sehingga membawa Mak Andeh ketemu Pak Pandir di tepian paya.

"Ehhh... Pak Pandir tengah buat apa..???" cemas suara Mak Andeh.
"Mak Andeh suruh aku mengail ikan dengan umpan rusa. Ini aku tengah mengaillah ni.."
"La... umpan belalang rusa. Bukan rusa!!!" kata Mak Andeh
"Cepat Pak Pandir, angkat rusa tu naik ke tebing. Mati rusa tu nanti, tak dapatlah kita
sembelih dia untuk dibuat lauk"

Sewaktu dinaikkan ke tebing, rusa itu sudah agak lemah. Ini memudahkan Mak Andeh
dan Pak Pandir menyembelihnya. Banyak daging yang mereka perolehi.
Sebahagiannya dibuat gulai, sebahagiannya dibakar dan sebahagian lagi disalai untuk
dibuat bekalan makanan esok lusa. Maka kenyanglah perut mereka hari itu berlaukkan
daging rusa.

Setelah cukup tempoh mengandung, Mak Andeh pun sakit hendak bersalin. Pak Pandir
pun memanggil bidan yang tinggal berhampiran untuk membantu Mak Andeh bersalin.
Pak Pandir sangat gembira. Dia beroleh anak laki-laki. Wajahnya seperti dia juga. Anak
bapak!!

Setelah habis tempoh berpantang, Mak Andeh terpaksa pergi ke huma untuk menanam
padi. Nak diharap Pak Pandir, dia tak tahu cara menanam padi. Jika tiada bekalan padi
dan beras, bermakna kebuluranlah mereka sekeluarga.

"Pak Pandir nanti jangan lupa mandikan anak kita, ye!!" pesan Mak Andeh.
"Baiklah. Tetapi bagaimana aku ingin memandikan anak kita?" tanya Pak Pandir.
"Pak Pandir gunalah air suam"
"Air suam tu apa..?"
"Air suam itu air mendidih yang bercampur dengan air sejuk" kata Mak Andeh.

Air mendidih????

Lagi sekali Pak Pandir tersilap mendengar kata Mak Andeh. Sebaik sahaja Mak Andeh
keluar, Pak Pandir menghidupkan api dan terus menjerang air. Apakala air sudah
mendidih, Pak Pandir terus mencurahkan air mendidih itu ke seluruh badan anaknya.
Sampai hilang suara bayi malang itu menangis kepanasan. Sehingga akhirnya bayi itu
meninggal dunia sambil terseringai tanda seksa kesakitan.

"Eh, eh... seronoknya anak aku dapat mandi. Tersenyum saja dia" kata Pak Pandir.
Sangkanya anaknya itu sedang tersenyum. Hakikat sebenarnya, anaknya itu telah
meninggal dunia.

Apabila pulang dari huma, Mak Andeh terus bertanyakan kepada Pak Pandir tentang
anak mereka.

"Dia sedang tidur selepas aku memandikannya tadi.." kata Pak Pandir.

Apakala dilihat oleh Mak Andeh, anaknya tidak bergerak-gerak dan tubuh badannya
melecur di sana sini, tahulah Mak Andeh bahawa anaknya sudah meninggal dunia.
Meraunglah Mak Andeh. Pak Pandir terpinga-pinga.

"Kenapa Andeh? Kenapa engkau menangis?"


"Anak kita sudah mati"
"Mati..??" tanya Pak Pandir seperti tidak percaya.
"Bagaimana badannya boleh melecur?" tanya Mak Andeh.
"Aku tak tahu. Aku cuma memandikannya sahaja" kata Pak Pandir.
"Dengan air apa..?"
"Air suam. Kata engkau air suam itu air yang mendidih"

Maka meraunglah Mak Andeh seakan menyesal berlakikan seorang yang pandir. Pak
Pandir cuba memujuk. Makin dipujuk, makin kuat Mak Andeh menangis. Akhirnya Pak
Pandir buntu. Tidak tahu akan silap sebenar dirinya.

"Anak kita sudah meninggal Pak Pandir. Sekarang pergilah Pak Pandir tanam mayat
anak kita ini" kata Mak Andeh.

Tanpa banyak soal, Pak Pandir pun membungkus mayat anak mereka dalam gulungan
tikar. Terus dicempungnya mayat anaknya itu untuk dikebumikan. Di pertengahan jalan,
mayat anaknya itu telah melungsur jatuh dari gulungan tikar itu langsung terletak di
tengah jalan. Pak Pandir terus berjalan sehingga ke pinggir hutan tanpa menyedari
bahawa anaknya telah melurut jatuh dari gulungan. Di situ dia menggali lubang.
Ditanamnya gulungan tikar kosong yang dibawanya itu.

Sewaktu pulang ke rumah, Pak Pandir terpandangkan mayat anaknya yang telah tercicir
itu.
"Eh, eh... budak ini serupa macam anak aku..." kata Pak Pandir.

"Andeh, Andeh.... Aku jumpa seorang budak di tepi jalan. Cuba lihat ini, wajahnya seiras
dengan anak kita" kata Pak Pandir seraya menunjukkan pada Mak Andeh, bayi yang
ditemuinya di tepi jalan itu.
"Eh, eh.. ini bukankah anak kita? Kenapa Pak Pandir belum tanam-tanam lagi?" tanya
Mak Andeh kehairanan.
"Aku sudah tanam. Sewaktu aku pulang, aku jumpa budak ni di tepi jalan" kata Pak
Pandir pula.
"Habis tu siapa yang Pak Pandir tanam tadi" tanya Mak Andeh. Pak Pandir cuma
mengangkat bahu tanda tidak tahu.

Mak Andeh kemudiannya menyuruh Pak Pandir mengorek semula kubur di mana dia
mengambus mayat anak mereka itu. Setelah dibuka gulungan tikar itu, yang kelihatan
hanyalah kosong. Mereka kemudiannya mengebumikan mayat anak mereka untuk
"kedua" kalinya. Pulanglah mereka berdua laki bini dalam keadaan dukacita yang
teramat sangat mengenangkan satu-satunya anak mereka sudah pergi diambil oleh
tuhan.

Setelah cukup 40 hari kematian anak mereka, Mak Andeh bercita-cita untuk
mengadakan Kenduri Arwah sempena mengingati pemergian anak mereka. Cadang
Mak Andeh, biarlah kenduri itu besar sedikit kerana itulah satu-satunya anak mereka.

"Pak Pandir. Kalau Andeh bagi duit, bolehkah Pak Pandir mencarikan seekor lembu?"
tanya Mak Andeh.
"Lembu..?? Lembu tu bagaimana rupanya, Andeh?" tanya Pak Pandir pula.
"Lembu itu makan rumput" kata Mak Andeh.
"Pak Pandir carilah orang yang ada lembu. Bagikan wang ini pada dia. Selepas itu, Pak
Pandir mesti ikat lembu itu dan tarik sampai ke rumah kita" kata Mak Andeh lagi
sebelum menghulurkan 10 keping wang timah.

Di sepanjang jalan ke kampung yang berhampiran, Pak Pandir tidak berhenti-henti


menoleh ke kiri dan ke kanan untuk mencari seekor lembu. Tiba sahaja di simpang
Padang Kumbang, Pak Pandir terpandangkan seorang lelaki yang sedang menyabit
rumput. Begitu pantas lelaki itu bekerja, sehingga padang itu segera habis
dikerjakannya.

"Waahhh... barangkali inilah lembu yang dikatakan oleh Andeh itu" fikir Pak Pandir.
Pak Pandir segera menghampiri lelaki itu.
"Apa boleh saya beli lembu encik ini?" tanya Pak Pandir penuh bersopan.
"Lembu..??? Saya tak ada membela lembu" kata lelaki itu pula.
"Itu!! di tangan encik itu bukankah lembu?"
"Ini sabitlah..." jawab lelaki itu tertawa kerana menyangkakan Pak Pandir itu bergurau
dengannya.
"Tapi dia makan rumput, bukan?" tanya Pak Pandir.
"Ya, dia makan rumput" jawab lelaki itu masih tertawa-tawa.

"Kalau begitu berilah saya membelinya..." tegas Pak Pandir. Lelaki itu kemudiannya
terkesima. Hairan dengan sikap orang yang baru ditemuinya. Apa perlunya membeli
sabit buruknya jika di merata tempat mudah diperolehi sabit. Orang tidak cukup akal
barangkali, fikir lelaki itu.

"Berapa harganya encik membeli lembu ini dulu?" tanya Pak Pandir. Lelaki itu
bertambah bingung sambil membelek-belek sabitnya berulang-ulang kali.
"Errr... anu, 3 kupang!!" katanya.
"Nah, ambillah sekeping wang timah ini" kata Pak Pandir seraya menarik sabit itu dari
tangan lelaki itu sebelum mengikatnya dengan tali yang dibawanya bersama.

Sepanjang jalan itu Pak Pandir terus-terusan menunda sabit itu. Ditariknya sabit itu
seperti gaya orang menarik lembu. Sudah pastilah sabit itu akan terlambung-lambung
kerana keberatannya yang tidak sepertinya. Setiapkali melambung, pasti mata sabit itu
menyinggahi ke kaki Pak Pandir sehingga menyebabkannya luka-luka.
"Aduuuhhhh, Andeh!!! lihatlah kaki aku ini sudah luka-luka dimakan dek lembu" teriak
Pak Pandir dari jauh lagi.

Mak Andeh lihat Pak Pandir seakan menarik sesuatu. Tetapi Mak Andeh terkesankan
ada sesuatu yang tidak kena. Hujung tali yang mengikat benda yang ditarik Pak Pandir
itu letaknya di bumi.
"Ya, Allah. Sabit yang dibeli oleh Pak Pandir"

Mak Andeh jatuh terduduk di serambi mengenangkan kebodohan Pak Pandir. Itu belum
lagi hal kakinya yang sudah luka-luka.

Akhirnya Mak Andeh yang pergi membeli lembu untuk dibuat masak kenduri. Luka di
kaki Pak Pandir beransur sembuh selepas dipupuk dengan pucuk Sentang setiap pagi
menjelang.
"Eh, eh Andeh. Besarnya lembu tu ye..!!" kata Pak Pandir.

Setelah tiba hari kenduri, hanya Pak Pandir dan Mak Andeh sahaja yang menyembelih
dan melapah lembu itu. Tidak ada bantuan orang kampung kerana mereka itu hidup
berjauhan dengan orang. Akhirnya segala persiapan kenduri pun siap.

"Pak Pandir, Andeh hendak pergi ke kampung untuk menjemput orang makan kenduri.
Pak Pandir pula pergilah ke kampung seberang memanggilkan Pak Imam dan juga Pak
Lebai datang ke kenduri kita.." kata Mak Andeh.
"Baiklah. Tetapi aku tak kenal Pak Imam dan Pak Lebai tu, Andeh.."
"Oohh, begini. Pak Imam itu orang yang pakai topi putih (songkok putih). Pak Lebai pula
orang yang ada janggut.." terang Mak Andeh.

Setelah Mak Andeh turun dari rumah menuju ke kampung, Pak Pandir pun bersiap-siap
menuju ke kampung seberang untuk menjemput Pak Imam dan Pak Lebai datang
makan kenduri. Setelah turun dari sampan, Pak Pandir tercangak-cangak di tepi tebing
sungai mencari orang yang dimaksudkan oleh Mak Andeh itu.

Di hadapannya ada simpang tiga. Pak Pandir memutuskan untuk mengambil jalan terus.
Mudah-mudahan akan bertemu dengan Pak Imam dan Pak Lebai, fikirnya. Namun
semakin Pak Pandir jauh berjalan, dia semakin mendekati kawasan belukar. Tiba-tiba
terbang di hadapannya beberapa ekor Merbah Jambul yang mempunyai bulu jambul
berwarna putih.

"Barangkali inilah Pak Imam itu" fikir Pak Pandir.


Burung-burung itu hinggap di sebatang dahan pokok. Pak Pandir kemudiannya
menghampiri pokok itu.
"Pak Imam, Pak Imam. Andeh jemput Pak Imam makan kenduri..!!"
"Peeetttttt peeettttt... peeettttt peettttt..." burung-burung itu berbunyi.
"Eh, jangan buat ceritalah Pak Imam. Rumah kami tak sempit!!!" bantah Pak Pandir.
Marah juga dia apabila "Pak Imam" itu mengatakan rumahnya sempit.

Oleh kerana burung-burung itu masih juga tidak turun mendapatkannya, Pak Pandir
bertekad untuk menangkap sendiri burung-burung itu. Pak Pandir kemudiannya
memanjat pokok itu dan setelah dihampiri, burung-burung itu terkejut dan terus terbang
jauh. Pak Pandir tergesa-gesa turun dari pokok dan terus mengejar burung-burung itu.

Akhirnya Pak Pandir kepenatan. Burung-burung itu terbang entah ke mana.


"Nampaknya Pak Imam tak sudi nak datang makan kenduri di rumahku" fikir Pak Pandir.

Pak Pandir kemudiannya berehat di bawah sepohon pokok. Matahari semakin lama
semakin tinggi. Sedang Pak Pandir berehat itu, dia terlihatkan beberapa ekor kambing
yang sedang meragut di padang yang berhampiran. Melihatkan janggut Kambing
Randuk yang panjang itu, Pak Pandir menyangkakan bahawa itulah Pak Lebai yang
dicarinya. Pak Pandir pun menghampiri bapak randuk itu.

"Pak Lebai, Pak Lebai. Andeh panggil makan kenduri"


Kambing jantan itu masih lagi asyik meragut rumput seperti tidak mengendahkan
panggilan Pak Pandir.
"Pak Lebai!!! Andeh panggil makan kenduri" jerit Pak Pandir pada kambing itu.
Kambing itu terkejut kemudian mengembek memanggil kawanannya.
"Beeekkkkk beeekkkkk..."
"Eh, Pak Lebai. Nasi rumah kami tak lembik" bantah Pak Pandir.

Melihatkan kambing itu seolah-olah tidak memperdulikan jemputannya. Pak Pandir


kemudiannya mendakap kambing randuk itu kemas-kemas untuk dibawa ke rumahnya.
Sudah tentu sahaja kambing itu meronta-ronta. Puas Pak Pandir mengemaskan
pelukannya, namun akhirnya kambing itu terlepas juga. Yang dapat hanyalah hamis bau
kambing sahaja. Pulanglah Pak Pandir dengan perasaaan hampa.

"Pak Imam dan Pak Lebai itu sombong benar" cerita Pak Pandir pada Mak Andeh.
"Sudahlah tak sudi datang kenduri, dikatakannya pula rumah kita sempit dan nasi kita
lembik, Andeh" cerita Pak Pandir.
Mak Andeh cuma terdiam kerana dari cerita Pak Pandir itu, dia tahu bahawa Pak Pandir
telah berjumpa dengan kawanan burung dan kambing sahaja.
"Beginilah Pak Pandir. Pak Pandir pergi semula ke kampung seberang itu. Sampai
sahaja di simpang tiga itu, Pak Pandir ambil jalan ke kanan. Jalan kanan itu akan terus
ke rumah Pak Imam dan Pak Lebai" kata Mak Andeh.

Pak Pandir menurut sahaja cakap Mak Andeh. Sampai di simpang tiga itu, Pak Pandir
terlupa kata Mak Andeh. Kanan atau kiri??? hatinya tertanya-tanya. Pak Pandir
memutuskan untuk mengambil jalan kiri. Jalan itu membawanya ke rumah gergasi tiga
beranak.

"Pak Imam, Andeh panggil makan kenduri" panggil Pak Pandir.


Gergasi-gergasi itu teramat sukacita memperolehi jemputan makan kenduri itu. Satu
peluang yang tidak pernah diperolehi mereka sebelum ini. Gergasi-gergasi itu
kemudiannya mengikut Pak Pandir pulang ke rumah.

"Naiklah Pak Imam. Silakan!!" jemput Pak Pandir.

Melihatkan kedatangan gergasi-gergasi itu, orang kampung bertempiran melarikan diri.


Tanpa bertanggung, gergasi-gergasi itu terus menjamah hidangan kenduri dengan
lahap sehingga habis nasi sekawah.

"Ya Allah!! kenapa Pak Pandir jemput gergasi-gergasi ini ke rumah kita???" cemas Mak
Andeh.
"Andeh suruh aku jemput Pak Imam. Ini bukankah Pak Imam?" tanya Pak Pandir.
"Ini gergasi!!!!!" tegas Mak Andeh.
"Bagaimana Pak Pandir boleh jemput gergasi-gergasi ini?"
"Haiiii..?? bukankah Andeh suruh aku ikut jalan kiri. Aku ikutlah jalan kiri..."
"Jalan kanan!!!!!!!"

Gergasi-gergasi itu masih lagi lapar. Mereka bertempik tanda meminta lebih banyak
makanan. Mak Andeh dan Pak Pandir mula ketakutan. Bimbang gergasi-gergasi itu
akan memakan mereka pula, senyap-senyap mereka keluar dari rumah dan terus
melarikan diri. Sejak dari hari itu tiada lagi berita dari pasangan Pak Pandir dan Mak
Andeh.

Anda mungkin juga menyukai