Anda di halaman 1dari 9

PERBILANGAN ADAT PERPATIH CERMINAN JATI DIRI MELAYU

oleh:
Norhayati Idris
Institut Pendidikan Guru Kampus Keningau, Sabah
nbi_jpmipgkk@yahoo.com

ABSTRAK

Perbilangan adat Perpatih merupakan rangkaian kata-kata atau ungkapan yang


membawa konotasi adat. Dalam perbilangan itu terdapat peraturan atau petunjuk
yang digunakan sebagai pedoman serta amalan seluruh aspek kehidupan masyarakat.
Gaya bahasa perbilangan adat warisan Minangkabau yang dibawa ke
Semenanjung oleh Sultan Balun yang dikenali sebagai Datuk Perpatih Nan Sebatang
ini mengandungi makna yang tersirat (konotatif) dan tersurat (denotatif) serta
bersifat puitis hingga menjadikan perbilangan Adat Perpatih sebagai sebuah hasil
kesusasteraan Melayu yang unggul dan kaya dengan keindahan bahasa. Keindahan
gaya bahasanya menyerlahkan cara hidup pendukung adat ini baik dari aspek sosial,
ekonomi, budaya mahupun politik.
"Bulat air kerana gopong, bulat manusia kerana muafakat'' dan "sesusun bak
sirih, seharta sebenda, sepandan seperkebunan, sehina semalu, malu seorang malu
semua" adalah antara perbilangan adat yang jelas menggambarkan jati diri Melayu;
bertunjangkan falsafah dan pemikiran serta pegangan hidup bermasyarakat yang
perlu diimplementasi dalam kehidupan sejagat.

Kata kunci:
perbilangan ~ disebut juga sebagai teromba, undang-undang yang tetap dan kata adat
jati diri ~ identiti; imej sesuatu bangsa
Melayu ~ takrifan berdasarkan Perlembagaan Malaysia Perkara 160 (2)

Pengenalan

Perbilangan adat merupakan gundalan kata adat, iaitu ikatan puisi yang menyatakan adat lembaga
atau asal usul adat lembaga khususnya terdapat dalam kalangan mereka yang memakai Adat
Pepatih, terutamanya di Negeri Sembilan Darul Khusus. Dalam perbilangan Adat Perpatih terdapat
ungkapan-ungkapan yang menggunakan unsur-unsur perbandingan dan perlambangan seperti
metafora, simile, dan figuratif yang memberikan nilai estetika yang tinggi terutamanya dari aspek
keindahan gaya bahasa dan makna tersiratnya. Selain itu, bahasa perbilangan adat memancarkan
kehalusan perasaan yang diimbangi oleh keluasan, kedalaman serta ketajaman pemikiran
pendukung Adat Perpatih terhadap alam yang melandasi kehidupan serta aktiviti sosial, ekonomi
dan politik sebagaimana ungkapan 'alam terkembang jadikan guru'.
Menurut Abdul Rahman Ahmad Hanafiah (2002), pepatah-petitih perbilangan adat
sebagaimana ungkapan adat yang sebenar adat, adat yang teradat, adat yang diadatkan

1 | Seminar Antarabangsa Penyelidikan Mengenai Melayu, 29-31 Mac 2013


dan adat-istiadat memperlihatkan bahawa tatacara kehidupan masyarakat Melayu
sangat berpegang pada adat.

Adat Perpatih dapat dianggap sebagai satu kawalan sosial dan merupakan satu
sistem kekerabatan yang amat liberal dan menyeluruh. Perbilangan adat " berat sama
dipikul, ringan sama dijinjing "mencerminkan semangat gotong-royong yang
menjadi kekuatan perpaduan bangsa Melayu, khususnya pendukung Adat Perpatih.

Genre Perbilangan Adat Perpatih

Za'ba (1962) menggolongkan perbilangan adat sebagai satu jenis peribahasa.


Peribahasa ini terbahagi kepada dua jenis; satu daripadanya bidalan dan pepatah, dan
yang lainnya ialah perbilangan. Contoh:

Hidup di-kandung adat


Mati di-kandung tanah

Mati tidak kerana sumpah


Hidup tidak kerana kaul

Merajuk pada yang kasih


Manja kepada yang sayang

Meminta kepada yang ada


Berkaul kepada yang keramat

(Za'ba, 1962: 171-173)

Contoh-contoh yang diberikan oleh Za'ba (1962) ini tidak jauh berbeza
daripada kata adat atau perbilangan adat. Oleh sebab itu, perbilangan bolehlah
digolongkan dalam genre puisi sepertimana peribahasa berirama dalam perbilangan
Adat Perpatih atau teromba.
Mohamed Din Bin Ali (1957) menggunakan istilah 'kiasan adat' di samping
pepatah adat dan gurindam adat. Manakala istilah 'tambo' pula telah digunakan oleh
Mangantar Simandjuntak (1965) seperti contoh yang berikut:

Maka adalah adat


Tatkala negeri sudah lebar
Orang pun sudah ramai
Adat tertentu, bilang teratur
Beroleh kecil pada yang gadang
Beroleh yang gadang pada yang tua
Apakah kata orang tua?
Dalam alam rajanya

2 | Seminar Antarabangsa Penyelidikan Mengenai Melayu, 29-31 Mac 2013


Dalam luak penghulunya
Dalam suku lembaganya
Berimpuk masing-masing
Harta orang jangan ditarik
Untuk anak jangan diberikan

Gaya bahasa tambo atau perbilangan Adat Perpatih di atas lebih berbentuk
naratif yakni menceritakan tentang pembentukan negeri dan hierarchy pentadbiran
negeri; raja berkuasa dalam alamnya (bumi atau kawasan pemerintahan atau
negerinya), penghulu berkuasa dalam luak atau daerah tertentu manakala Dato'
Lembaga mentadbirkan sukunya. Selain itu, terdapat nilai murni yang diterapkan:
"Harta orang jangan ditarik, untuk anak jangan diberikan " bermaksud bahawa
seorang pemimpin tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil harta orang lain
untuk diberikan kepada anak-anaknya. Hal ini selaras dengan perbilangan adat,
"bila besar jangan melanda...".
Dalam sistem pemerintahan Melayu tradisional, unit politik yang paling besar
ialah negeri. Sesebuah negeri dipimpin oleh Sultan (Selangor Darul Ehsan, Pahang
Darul Makmur, Perak Darul Ridzuan, Kedah Darul Aman, Kelantan Darul Naim,
Johor Darul Takzim, dan Terengganu Darul Iman) atau Raja (Perlis Indera
Kayangan), Yamtuan Besar atau Yang Dipertuan Besar (Negeri Sembilan Darul
Khusus).
Kedudukan Sultan, Raja atau Yang Dipertuan Besar ini amat tinggi dalam
masyarakat Melayu. Mereka adalah simbol kedaulatan dan lambang perpaduan
rakyat. Bagi masyarakat di Negeri Sembilan, setiap pemimpin atau ketua adat mesti
adil dalam membuat sesuatu keputusan atau ketika menjatuhkan sesuatu hukuman.
Mereka tidak boleh bertindak

Ibarat limau masam sebelah


Perahu karam sekerat
Tiba di mata dipicingkan
Tiba di perut dikempiskan
Berbinar ke pangkal lengan
Bersaksi ke hujung tapak

(Harun Mat Piah, 1989)

Biasanya, 'limau yang masam sebelah ' ialah limau yang sudah rosak isinya dan
tidak berapa disukai orang manakala ' perahu karam sekerat' menunjukkan bahawa
terdapat kebocoran pada perahu itu dan tidak sesuai digunakan lagi kerana ia boleh
mendatangkan mudarat atau kecelakaan kepada penumpangnya.
Seorang pemimpin yang tidak adil adalah sama seperti 'limau masam sebelah'
dan 'perahu karam sekerat'. Mereka bersikap ' tiba di mata dipicingkan '
(maksudnya memejamkan mata), ' tiba di perut dikempiskan' (menyangkal dakwaan
yang dikenakan terhadap waris yang bersalah). Sikap ini adalah bertentangan sama
sekali dengan ciri-ciri pemimpin adat yang seharusnya mempunyai ' budi yang dalam,
tutur yang halus' atau dalam erti kata lain, pemimpin mestilah:

3 | Seminar Antarabangsa Penyelidikan Mengenai Melayu, 29-31 Mac 2013


tahu menimbang awal dan akhir
tahu Allah dengan Rasul
tahu menentu sunat dan fardhu
tahu membeza halal dan haram

(Norhalim Hj Ibrahim, 1996)

Unsur anafora atau perulangan kata ' tahu' pada awal perbilangan adat
menunjukkan tahap kematangan seseorang pemimpin yang dapat memahami,
mengerti dan memaklumi sesuatu perkara secara lebih mendalam, khususnya yang
berkaitan dengan pentadbiran negeri. Kualiti kepimpinan ini membolehkan mereka
mempunyai keyakinan memberi pendapat dalam menyelesaikan masalah yang timbul
dengan berlandaskan hukum Allah dan sunnah Rasulullah. Dalam sistem
pemerintahan Malaysia, pemimpin dikehendaki "Bersih, Cekap dan Amanah".
Kesimpulannya, perbilangan adat Perpatih merupakan puisi tradisional Melayu
yang disampaikan secara lisan. Bentuknya adalah bebas; dalam seuntai kata
perbilangan adat Perpatih terdapat pantun, peribahasa berangkap, gurindam atau
kombinasi pelbagai bentuk puisi.

Fungsi Perbilangan Adat Perpatih

Secara umumnya, perbilangan adat Perpatih berfungsi sebagai


1. Gambaran kepercayaan, nilai dan pegangan hidup masyarakat
2. Gambaran perlakuan dan tingkah laku
3. Huraian dan perincian terhadap undang-undang dan peraturan yang mesti
dipatuhi atau diikuti oleh kelomok masyarakat pendukung adat Perpatih
4. Bahasa kiasan atau rujukan
5. Bahan gunaan

Menyelusuri Budaya Melayu dalam Perbilangan Adat Perpatih

Terdapat pelbagai pendapat tentang erti etimologi "Melayu". Ada berpendapat


perkataan Melayu berasal daripada perkataan "Malaju " yang berasal daripada kata dasar
laju yang bermakna cepat, deras dan tangkas. Berasaskan sebutan tersebut dapat diberikan
pengertian bahawa orang Melayu bersifat tangkas, cerdas, segala tindak tanduk mereka
cepat dan deras. Hal ini jelas tergambar dalam perbilangan adat di bawah:

Rundingan jangan selisih


Muafakat jangan bercanggah
Tuah pada sekata
Berani pada seia
Bulat air kerana pembetung
Bulat manusia kerana muafakat

4 | Seminar Antarabangsa Penyelidikan Mengenai Melayu, 29-31 Mac 2013


Pemilihan kata atau diksi dalam perbilangan adat di atas ternyata mementingkan
kejelasan, ketepatan serta keutuhan maknanya (Norhayati, 1999). Penggunaan kata
rundingan memaparkan kecerdasan pemikiran Melayu dalam memupuk semangat
kerjasama dan kesepakatan selaras dengan hukum-hukum agama Islam1. Firman Allah
S.W.T (Surah Al-Syura: 38) yang bermaksud:

"Dan (bagi) orang-orang yang


menerima (mematuhi) seruan Tuhannya
dan mendirikan solat, sedang urusan
mereka diputuskan dengan mesyuarat
antara mereka..."

Hasil rundingan dan toleransi yang diamalkan (tanpa mementingkan diri sendiri) telah
berjaya menghasilkan kata sepakat yang mampu memelihara kesejahteraan dan keharmonian
komuniti serta menghalang musuh daripada mencemar kesejahteraan dan keamanan sejagat seperti
maksud perbilangan"tuah pada sekata, berani pada seia".
Salah satu nilai dalam budaya Melayu ialah gotong-royong secara berkumpulan. Gotong-
royong diamalkan semasa kenduri-kendara, menanam dan menuai padi, membersihkan masjid dan
tanah perkuburan. Hubungan akrab dan sifat kerjasama ini jelas digambarkan dalam perbilangan

Bulat air kerana pembetung


Bulat manusia kerana muafakat

Bulat air teguh dek gopong


Bulat manusia tegal dek muafakat

Faham sesuai benar seukur


Bulat segolek pipih selayang

Perulangan kata 'bulat' di awal kata jelas mencerminkan kesepakatan atau kesatuan idea
berasaskan toleransi dan kerjasama antara kelompok masyarakat pendukung Adat Perpatih,
khususnya dan masyarakat Melayu, amnya. Simbol air yang menempati ruang jelas mempamerkan
kecerdasan dan kepekaan masyarakat pendukung Adat Perpatih terhadap alam sekitar mereka.
Air yang bersifat membentuk ruang merupakan sumber alam yang terpenting dalam
kehidupan sejagat. Air bukan sahaja menjadi sumber minuman kepada manusia dan haiwan
bahkan memenuhi lebih tujuh puluh peratus daripada muka bumi; menjadi alat untuk memasak,
menyiram tumbuh-tumbuhan, bahan pencuci kotoran dan sebagainya. Bahkan manusia juga
terbentuk daripada air sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah al-Mukmin ayat 67 yang
bermaksud:

1
Orang Melayu ditakrifkan dalam Perkara 160(2) sebagai :
i. seseorang yang beragama Islam.
ii. bercakap dalam bahasa Melayu
iii. mengamalkan adat istiadat Melayu.
iv. lahir sebelum kemerdekaan di Persekutuan atau di Singapura; atau ibu atau bapanya lahir di Persekutuan atau di
Singapura; atau pada hari kemerdekaan di Persekutuan atau di Singapura.

5 | Seminar Antarabangsa Penyelidikan Mengenai Melayu, 29-31 Mac 2013


"Dialah yang menciptakan kamu
daripada tanah kemudian daripada
setitis air mani, sesudah itu daripada
segumpal darah, kemudian dilahirkan
kamu sebagai seorang anak kemudian
dibiarkan kamu hidup lagi sampai tua,
di antara kamu ada yang diwafatkan
sebelum itu (Kami perbuat demikian)
supaya kamu sampai kepada ajal yang
ditentukan dan supaya kamu
memahaminya."

Selain sifat air yang membentuk ruang, air juga memberi pelbagai manfaat kepada manusia.
Antara keajaiban air kepada kesihatan tubuh badan manusia ialah:

i. mengekalkan bentuk badan yang cantik


ii. membantu meningkatkan tenaga
iii. mengurangkan stres
iv. membina otot badan
v. mencantikkan kulit
vi. mempercepat proses penghadaman, dan
vii. mengurangkan pembentukan batu karang

Selain penggunaan kata 'air' bagi mengungkapkan keutuhan perpaduan dan semangat
kerjasama, rasa kesatuan dalam kalangan masyarakat pendukung Adat Perpatih turut tergambar
melalui perbilangan adat di bawah:

Sesusun bak sireh


Seharta sebenda
Sepandan seperkebunan
Sehina semalu
Malu seorang malu semua

Isi perbilangan adat ini jelas menggambarkan pegangan hidup masyarakat Melayu yang
mementingkan etika kehidupan bermoral dan saling menyayangi antara satu sama lain. Dalam erti
kata lain, pendukung Adat Perpatih amat menitik beratkan kehidupan bermasyarakat sejajar dengan
falsafah dan tuntutan agama Islam (sehina semalu, malu seorang malu semua). Idea
kemasyarakatan merupakan asas pembentukan masyarakat yang harmonis dan hidup sejahtera tanpa
sengketa. Penggunaan kata 'se' dan 'se...an' memantapkan kesan pernyataan semangat kekitaan dan
kesatuan atau sistem masyarakat yang kolektif dan bersatu padu (dalam konteks Malaysia disebut 1
bangsa, satu bahasa, satu negara - 1Malaysia).
Dalam sistem sosial masyarakat Melayu (termasuklah masyarakat pengamal Adat Perpatih),
budi merupakan nilai yang utama kerana kesemua unsur Adat Perpatih berkait rapat dengan budi.
Segala peraturan hidup yang termaktub dalam Adat Perpatih merangkumi sistem kekeluargaan,
sistem politik, sistem ekonomi, sistem hukum dan sistem perlapisan yang berasaskan budi; bukan
terletak pada harta kekayaan, pangkat atau darjat semata-mata bahkan merangkumi hati dan jiwa,
iaitu peribadi dan bangsa. Hal ini selaras dengan sabda Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud,

6 | Seminar Antarabangsa Penyelidikan Mengenai Melayu, 29-31 Mac 2013


"Bahawa budi adalah permulaan dari pembinaan masyarakat yang adil dan makmur. Selagi
masyarakatnya memegang teguh teori itu dia berhasil menduduki tempat yang layak dalam
sejarah" (Asmad, 1993).
Memandangkan nilai budi amat dipandang mulia dalam Islam dan Adat Perpatih yang
mengamalkan sistem matrilineal (nasab ibu) ini, sebarang keputusan haruslah dibuat melalui
kerapatan (Norhalim, 1996) bagi membincangkan masalah, cara penyelesaian masalah dan
perkara-perkara yang berkaitan dengannya. Dalam peraturan hidup ada diperbilangkan:

Lama-kelamaan mengadakan anak


Lelaki ada, perempuan pun ada
Sehari ada, sehari bernama
Sehari berhutang mak bapak

Hutang atas lima perkara:


Pertama kerat pusat
Kedua upah bidan
Ketiga sunat rasul
Keempat khatam mengaji: tindik daing
Kelima nikah kahwin

Yang kecil dibesarkan


Yang besar dicerdikkan

Ibarat ayam:
pagi dilepaskan
petang direbankan

Yang lelaki diserahkan mengaji


yang perempuan diserahkan menjahit

Kalau harinya tak terbilang


bulannya pun tak tertentukan

Perbilangan adat di atas jelas mencerminkan sistem sosial masyarakat Melayu yang
mementingkan hubungan kekeluargaan. Ibu bapa dianggap bertanggungjawab ke atas anak-anak
mereka sejak dilahirkan. Dalam Adat Perpatih, tanggungjawab ini dianggap sebagai hutang kepada
ibu bapa manakala dalam agama Islam, ia merupakan amanah Allah yang perlu ditunaikan.
Sekurang-kurangnya untuk tiga peringkat pertama dalam lingkaran kehidupan individu
(masa bayi, masa kanak-kanak dan masa remaja) yang menjadi tanggungjawab kepada ibu bapa
untuk menjadikan anak itu manusia yang bermoral, berpendidikan dan beragama, sebagaimana
disebutkan 'yang kecil dibesarkan, yang besar dicerdikkan'.
Anak-anak bukan sahaja diberi makan minum yang secukupnya tetapi turut dibimbing
dengan ilmu pengetahuan yang secukupnya supaya dapat mengendalikan kehidupan mereka sendiri
apabila dewasa kelak. "Ayam" dijadikan simbol atau tamsil ibarat dalam melambangkan sistem
pendidikan yang baik kerana sifat ayam, walaupun seekor haiwan yang tidak berakal tetapi amat
bertanggungjawab terhadap anak-anaknya. Walaupun jumlah anak-anaknya banyak tetapi si induk
ayam tetap mampu memberi anak-anaknya cukup makan sehingga tidak kelaparan bahkan induk

7 | Seminar Antarabangsa Penyelidikan Mengenai Melayu, 29-31 Mac 2013


atau ibu ayam ini sanggup mempertaruhkan nyawanya untuk melindungi anak-anaknya daripada
musuh.
Apabila anak-anaknya dimasukkan ke bawah kepaknya untuk melindungi dari kesejukan
pada waktu malam dan ketika hujan, si induk ayam tidak akan melepaskan anak-anaknya sekalipun
dirinya diancam musang. Si induk ayam juga akan berlegar mengembangkan kepaknya di tengah
padang seandainya ternampak bayang helang mahu menyambar anak-anaknya dari udara. Hal ini
bertentangan sikap harimau atau jerung yang kadang kala memakan anaknya sendiri.
Dalam masyarakat adat di Negeri Sembilan Darul Khusus, perkahwinan merupakan bentuk
kritikal terakhir yang harus diselesaikan oleh ibu bapa. Ibu bapa bertanggungjawab melaksanakan
amanah Allah ke atas mereka, yang dianggap sebagai 'hutang' yang perlu diselesaikan supaya
terpelihara daripada aib dan malu, iaitu mencarikan jodoh dan mengahwinkan anak-anaknya
(kelima nikah kahwin). Bagi anak-anak perempuan akan menjadi tanggungjawab suaminya
manakala anak-anak lelaki akan bertanggungjawab ke atas diri dan keluarga barunya.
Dari kelima-lima hutang; kerat pusat, upah bidan, sunat Rasul, mengaji: tindik daing dan
nikah kahwin, nikah kahwin merupakan upacara inisiasi (an initiation ceremony) yang paling besar
dalam lingkaran hidup seseorang individu dan kelompok kekeluargaannya. Pada masa inilah akan
berkampung setiap ahli keluarganya secara:

Yang jauh dijemput,


Yang dekat dikampungkan;
Hilang dicari,
Cicir dipungut

Frasa "yang jauh dijemput" menunjukkan bahawa ahli masyarakat tidak wajar melupakn
sanak saudara yang tinggal jauh atau hidup merantau (kerana mencari nafkah, melanjutkan
pelajaran dan sebagainya) manakala frasa "yang dekat dikampungkan" bermaksud, sanak saudara
yang dekat seharusnya dikumpulkan supaya dapat diajak berunding, bermuafakat dan menentukan
kelancaran majlis. Hal ini kerana, kesepakatan bagai aur dengan tebing dan jalinan kekeluargaan
dalam konteks suku, perut, ruang dan rumpun dapat mengatasi segala kesukaran serta memudahkan
urusan.

Rumusan

Perbilangan adat Perpatih mengandungi ungkapan atau susunan adat istiadat lama yang
menjadi pegangan masyarakat pendukung Adat Perpatih. Pesanan-pesanan yang berfaedah
disampaikan secara puitis (dalam bentuk-bentuk puisi bebas) yang bertujuan mendidik dan
memupuk perilaku dan nilai-nilai kemanusiaan.
Keteguhan bahasa dalam perbilangan Adat Perpatih telah berjaya mewujudkan ikatan
kekeuargaan yang amat erat, hingga tidak timbul soal individu yang seperti 'enau melepaskan pucuk
masing-masing' atau 'tanggapan menjaga tepi kain orang' kerana setiap individu telah ditentukan
haknya masing-masing.
Pada pendapat pengkaji perbilangan Adat Perpatih sememangnya merupakan cerminan
masyarakat Melayu sebagaimana disebutkan oleh Frank Swetenham (1895):

Orang Melayu berbadan pendek, gempal dan


tegap, rambutnya lurus dan hitam, warna
kulitnya gelap, hidung dan bibirnya agak

8 | Seminar Antarabangsa Penyelidikan Mengenai Melayu, 29-31 Mac 2013


tebal, matanya cerdas dan cerdik. Biasanya
dia bersifat baik hati, gerak gerinya sopan dan
senang berbicara ...
Dia petah bercakap, berkata-kata dengan
kiasan dan ibarat, suka menggunakan
peribahasa dan kata-kata pujangga, suka
berkelakar dan suka benar dengan jenaka. Dia
mengambil tahu hal ehwal jirannya sebab itu
juga dia suka bercerita tentang hal orang.

Jelaslah, sikap "mengambil tahu hal jiran" membentuk kesatuan atau gagasan hidup berlandaskan
perbilangan adat 'bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat' dan berupaya
merealisasikan 9 Cabaran Wawasan 2020, khususnya bagi mewujudkan negara Malaysia bersatu
yang mempunyai matlamat dikongsi bersama (Pembentukan Masyarakat Yang Bersatu Padu) dan
mewujudkan masyarakat yang sepenuhnya bermoral dan beretika (Pembinaan Masyarakat Yang
Berakhlak dan Beragama).

Rujukan

Abdul Rahman Ahmad Hanafiah. (2002). "Komunikasi budaya dalam adat Melayu". Kertas kerja
yang dibentangkan dalam Persidangan Teori dan Pemikiran Melayu Serantau di Gedong
Nasional, Tanjung Balai Karimun, Indonesia, pada 12 – 14 Disember 2002. Anjuran Dewan
Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan dan Bahagian Pengembangan Sastera
Antarabangsa, DewanBahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, dengan kerjasama Jabatan
Bahasa dan Budaya Melayu, Institut Pendidikan Nasional, universiti Teknologi Nanyang,
Singapura dan Dinas Pendidikan Nasional,Tanjung Balai Karimun, Indonesia.
Asmad. (1993). 4000 Alam mutiara kata. Melaka: Associated Distributors (M) Sdn. Bhd.
Harun Mat Piah. Mohd Din Ali. (1957). Sambaan cakap dan pepatah adat Melayu. Kuala
Lumpur: The Economy Printers Ltd.
Norhalim h Ibrahim (1996). Perkahwinan adat di Negeri Sembilan. Shah Alam: Penerbit
Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Norhayati Idris. (1999). Gaya bahasa perbilangan Adat Perpatih. Tesis Master Sastera
Universiti Putra Malaysia (tidak diterbitkan).

9 | Seminar Antarabangsa Penyelidikan Mengenai Melayu, 29-31 Mac 2013