Anda di halaman 1dari 5

Penulisan Esei – Membina Budaya Integriti Dalam Jiwa Siswa Guru

Setiap kerjaya profesional mempunyai kod etikanya yang tersendiri yang menentukan
nilai-nilai asas yang perlu dipatuhi oleh ahli-ahlinya. Guru merupakan salah satu profesion yang
sangat menekankan kod etika lantaran persekitaran kerja yang melibatkan komuniti sosial yang
meluas. Istilah guru itu sendiri memberikan gambaran yang jelas tentang peranan utamanya
dalam pembentukan modal insan dan pembangunan sumber manusia yang akan berbakti
kepada negara pada masa hadapan. Malah tidak dapat dinafikan bahawa profesion keguruan
merupakan profesion yang sangat penting kerana penglibatannya dalam proses menyebar,
mendidik dan menyerap ilmu pengetahuan ke dalam jiwa setiap anak didik akan menentukan
jatuh bangun sesebuah negara. Justeru, guru perlu berpegang teguh kepada etika akauntabiliti
dan integriti agar profesion ini tetap utuh kerana akauntabiliti dan integriti merupakan rumusan
kepada pemulihan martabat guru di mata masyarakat.

Menurut Kamus Dwibahasa, akauntabiliti merujuk kepada sifat bertanggungjawab


kepada seseorang atau sesuatu perkara. Dalam konteks perguruan, akauntabiliti memberi
maksud tanggungjawab guru terhadap profesionalisme keguruan yang merangkumi
akauntabiliti terhadap diri sendiri, pelajar, sekolah, masyarakat dan negara serta profesion
keguruan itu sendiri. Manakala integriti pula, menurut Kamus Dwibahasa, ia merujuk kepada
kejujuran, ketulusan, kesempurnaan dan keutuhan. Kesimpulannya, integriti merupakan sifat
jati diri individu yang merangkumi keikhlasan, keterbukaan, amanah, benar, tidak mudah
dipengaruhi, boleh dipercayai dan berpegang kepada prinsip. Inilah sifat yang perlu ada dalam
diri setiap insan bergelar guru.

Profesion perguruan menuntut setiap guru mempunyai nilai kebertanggungjawaban


yang spesifik dan tinggi yang perlu dilaksanakan oleh guru-guru terhadap pelbagai pihak. Ianya
perlu dijaga dan perlu diberi perhatian terutamanya yang membabitkan nilai integriti profesion
keguruan itu sendiri. Nilai integriti ini meliputi pelbagai aspek dalam profesion perguruan
kerana guru merupakan agen kepada pembangunan modal insan yang sempurna dan
menyeluruh. Guru perlu memberi perhatian terhadap aspek profesion keguruan itu sendiri.
Dalam menjaga integriti profesion keguruan, seorang guru perlu bersikap profesional dan
memberi perhatian terhadap kualiti kerja sebagai pendidik dalam mendidik dan membangunkan
sumber manusia. Menjadi guru yang profesional bermakna guru itu menjadi pendidik yang
benar-benar mendidik dan jujur terhadap amanah yang dipikul. Guru perlu menghormati setiap
pandangan profesional rakan sejawat dan mengekalkan hubungan pada tahap yang

1
profesional. Integriti seorang guru juga merujuk kepada keterbukaan. Keterbukaan ini merujuk
kepada sikap sentiasa mengakui kelebihan rakan yang lebih berpengalaman, namun sentiasa
berusaha bersama-sama dengan bersungguh-sungguh untuk menunaikan tanggungjawab
sejajar dengan kemajuan ikhtisas dan sosial. Seorang guru perlu sedar bahawa
tanggungjawab mereka terhadap bidang pendidikan dan profesion perguruan amat tinggi,
justeru mereka perlu sentiasa mempertingkatkan kemahiran diri dalam semua aspek kehidupan
dan menjadi guru yang serba boleh. Namun, dalam aspek ini, guru tidak menyendiri sebaliknya
peranan guru dalam komuniti juga dianggap penting dan menjadi tanggungjawab kepada
kepimpinan organisasi pendidikan iaitu Kementerian Pelajaran Malaysia bagi memastikan
integriti profesion perguruan sentiasa menjadi kepentingan. Dari semasa ke semasa penilaian
tahap integriti warga pendidik atau guru dilaksanakan untuk membantu Kementerian Pelajaran
mengenal pasti aspek-aspek yang boleh diberi penambahbaikan. Amalan dan budaya integriti
terhadap profesion perguruan sentiasa diberi penekanan agar perkhidmatan pendidikan dapat
ditingkatkan sekaligus mempertingkatkan tahap integriti guru yang pada masa kini tercalar
dengan berita-berita yang kurang menyenangkan. Guru itu sendiri perlu bertanggungjawab
terhadap profesion perguruan dengan mengelakkan diri daripada membuat sebarang
kenyataan atau ulasan yang boleh mencemarkan nama baik profesion perguruan sebaliknya
perlu sentiasa bergerak aktif, sentiasa bekerjasama dan sebulat suara dalam menangani isu-isu
berkaitan dunia pendidikan dan kebajikan guru dengan menjadi ahli pertubuhan guru yang
berdaftar. Dengan cara ini, bukan sahaja ia dapat menunjukkan akauntabiliti malah
menonjolkan ciri-ciri integriti guru terhadap obligasi mereka dalam memajukan dunia pendidikan
dan profesion perguruan. Guru harus sentiasa mengenali penjanaan tanggungjawab, inisiatif
dan integriti dalam pengajaran yeng mengikut profesion perguruan.

Cabaran seorang guru pada masa kini bukanlah seperti cabaran guru-guru terdahulu.
Guru pada masa dahulu tugasnya hanya sekadar mengajar subjek tertentu sahaja di dalam
kelas sehinggalah munculnya Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) yang pada masa kini
dikenali sebagai Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) yang mempunyai hala tuju
dalam konsep pembangunan generasi. Tugas guru pasca KBSR inilah yang memikul tugas dan
tanggungjawab yang agak tinggi. Mereka bukan hanya sekadar mengajar subjek tertentu di
dalam kelas, bahkan mereka juga merupakan operator kepada sebuah kurikulum pendidikan.
Namun, sistem pendidikan yang semakin dinamik membentuk Kurikulum Standard Sekolah
Rendah (KSSR) menuntut tanggungjawab guru yang lebih besar iaitu membentuk modal insan
yang bersifat menyeluruh dari aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial. Di sinilah
integriti guru terhadap aspek pembangunan pelajar perlu diberi perhatian. Seorang guru yang

2
mempunyai integriti mestilah mempunyai sikap amanah terhadap pelajarnya. Menurut Kamus
Dewan Bahasa Dan Pustaka Edisi Keempat (2005), amanah bermaksud sesuatu yang
dipercayakan kepada orang, kepercayaan yang diletakkan kepada seseorang, kepercayaan,
boleh dipercayai dan jujur. Amanah merupakan suatu tanggungjawab yang amat besar dan
perlu dipegang dan dilunaskan oleh setiap individu yang bergelar guru dengan sebaiknya.
Seorang guru itu perlulah memegang amanah yang terpikul di bahunya dengan sebaik mungkin
agar beliau dapat melahirkan insan yang cemerlang dalam setiap aspek seperti yang
dihasratkan oleh Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Seorang guru yang amanah akan
menyampaikan segala ilmu yang dimilikinya agar kognitif pelajar dapat dibangunkan dengan
sempurna. Integriti guru terhadap pelajar juga dapat dilihat daripada aspek dedikasi di bilik
darjah termasuk mematuhi masa dalam jadual waktu serta melaksanakan pengajaran dan
pembelajaran mengikut kaedah dan teknik yang berkesan. Guru juga haruslah mengutamakan
kemajuan, kebajikan dan keselamatan murid-murid berbanding hal-hal lain. Seorang guru yang
bertanggungjawab haruslah bersikap adil terhadap pelajar-pelajarnya tanpa mengira bangsa,
agama, faktor jasmani, emosi, mental, politik, sosial dan perkara-perkara lain yang
menyumbang kepada sikap berat sebelah dalam kalangan guru. Guru hendaklah mendidik,
membimbing dan mengajar murid-murid di bilik darjah dengan ikhlas tanpa meminta sebarang
bayaran atau hadiah daripada mereka, sebaliknya guru sekali-sekala perlu memberi hadiah
kepada murid-muridnya untuk menggalakkan dan memberi motivasi kepada mereka agar
berminat terhadap proses pembelajaran. Selain daripada itu, guru perlu memberi contoh
teladan yang baik dengan berpakaian kemas, berbudi bahasa dan bersopan santun semasa
bertugas supaya pelajar memperolehi model yang baik kerana guru merupakan role-model
kepada pelajar. Oleh yang demikian, guru perlu sentiasa menjaga profesionalisme perguruan
supaya mereka tidak dipandang serong oleh pelajar sebaliknya sentiasa dihormati dan diingati
walau di mana sahaja mereka berada.

Dalam profesion perguruan, integriti amat perlu dititikberatkan terutamanya dalam soal
amanah dan kuasa yang dipertanggungjawabkan bukan sahaja oleh Kementerian Pelajaran
amnya, malah pentadbiran sekolah khasnya. Justeru, amatlah penting bagi seorang guru
dalam bertanggungjawab terhadap aspek persekitaran sekolah yang menjadi tempat
mencurahkan khidmat bakti demi kepentingan umum. Guru perlu memastikan bahawa segala
metodologi yang digunakan dapat membentuk pembangunan kognitif pelajar dan kemajuan
sekolah secara menyeluruh. Ini mampu direalisasikan dengan cara kaedah pengajaran yang
serasi dengan konsep sistem pendidikan yang sentiasa dinamik mengikut peredaran semasa.
Dalam menjaga integriti guru dalam aspek ini, guru perlu sentiasa telus dan tulus dalam

3
memotivasikan pelajar dan mengekalkan hubungan sosial yang baik dengan semua yang ada
dalam institusi sekolah dengan matlamat dapat melahirkan individu yang berintegriti hasil
didikan yang komited daripada guru-guru. Dengan ini, hasrat untuk memperkasakan
persekitaran sekolah yang kondusif dapat direalisasikan.

Dalam memartabatkan profesion perguruan, integriti merupakan dorongan dalaman


agar guru sentiasa berusaha untuk meningkatkan keupayaan diri dengan sentiasa mendalami
ilmu dalam pelbagai bidang dengan mempunyai pencapaian akademik yang tinggi dan
melibatkan diri dalam proses pembelajaran sepanjang hayat atau “lifelong learning”. Konsep
dan aspek pembelajaran sepanjang hayat ini bukanlah satu perkara baru dalam sistem
pendidikan negara, namun ia perlu sentiasa dijadikan satu praktikal agar pembelajaran dapat
melahirkan tindakan yang pro-kehidupan. Maka guru harus sentiasa mengamalkan integriti
dalam mendemokrasikan pendidikan bagi meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan
kompetensi sama ada secara formal di sekolah, institusi pengajian tinggi, pusat latihan
vokasional mahupun secara tidak formal iaitu berdasarkan pengalaman dan latihan di sekolah
itu sendiri. Guru harus sentiasa melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang dinamik
dengan pembelajaran sepanjang hayat agar penyebaran ilmu dapat disebarkan kepada pelajar.
Aspek pembelajaran sepanjang hayat ini juga memerlukan guru yang sentiasa mengamalkan
integriti dan optimistik dalam memajukan kerjaya seorang guru.

Perkataan integriti bermaksud “wholeness” atau “completeness”, iaitu kesempurnaan


manakala ada juga yang menganggap intergriti sebagai “soundness of moral principle” yang
merujuk kepada keikhlasan dan kejujuran (Nillsen, 2004). Oleh itu, integriti guru sangat penting
dalam melaksanakan amanah dan kuasa yang dipertanggungjawabkan menurut kepentingan
umum. Guru tidak wajar menyalahgunakan kuasanya untuk kepentingan diri, keluarga, saudara
mara atau kaum kerabat sendiri. Sebagai guru, perlu telus dan tulus, selain memikul
tanggungjawab dalam mendidik anak bangsa dan masyarakat secara amnya (Institut Integriti
Malaysia, 2004). Maka, tanggungjawab seorang guru amat berat dalam mendidik pelajar
dengan penuh keikhlasan dan kejujuran untuk melahirkan generasi yang berguna kepada
masayarakat dan negara kita. Oleh itu, guru perlu mempunyai hubungan yang baik dengan
pelajar yang berteraskan keikhlasan serta sifat penyayang agar dapat memberikan didikan yang
terbaik buat semua pelajar. Guru yang berintegriti akan melaksanakan tugasnya dengan
amanah dan mempunyai keprihatinan serta penuh kasih sayang kepada pelajar. Seorang guru
yang berintegriti tinggi juga perlu mempunyai ketabahan yang tinggi dan sentiasa positif dalam
menyelesaikan masalah pelajar di sekolah. Semasa proses pengajaran dan pembelajaran, guru

4
perlu bertanggungjawab dan mempunyai kewajipan nuntuk memberi yang terbaik untuk pelajar.
Suasana dan strategi baru dalam pengajaran dan pembelajaran yang menyeronokkan perlu
diperkembangkan untuk membentuk modal insan dan pelajar yang terbaik seperti yang
dihasratkan oleh Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Oleh itu, guru yang berintegriti dan
melaksanakan tugas secara ikhlas harus mampu merancang pengajaran dan pembelajaran
yang terbaik demi melahirkan modal insan yang mempunyai minda kelas pertama. Jika
seorang guru yang berintegriti bekerja dengan niat yang ikhlas, amanah dan mempunyai sifat
penyayang terhadap pelajar, sudah pasti pelajar akan memperolehi didikan yang terbaik hasil
didikan dan mampu menjadikan guru sebagai “role model” dalam kehidupan mereka.

Kesimpulannya, sebagai guru yang memegang amanah besar kepada negara harus
sentiasa menjaga akauntabiliti dan integriti dalam menjalankan amanah yang digalas agar
profesion perguruan tidak tercalar dan tercemar pada pandangan masyarakat. Peranan guru
dalam melahir insan gemilang dan terbilang amatlah besar, namun adakalanya ia akan
dilupakan sekiranya seorang guru itu menjalankan tugas seperti melepaskan batuk di tangga.
Guru perlu sentiasa sedar bahawa pengetahuan profesional dan pembangunan merupakan
asas kepada amalan pekerjaan mereka. Justeru, guru-guru harus sentiasa menitikberatkan
peranan mereka dalam menghadapi setiap cabaran dalam profesion perguruan, sentiasa
menaikkan martabat guru, mengamalkan integriti agar kredibiliti guru tidak akan dipersoalkan
pada pandangan masyarakat terutamanya ibu bapa dan pelajar yang menjadi klien yang
mengukur kehebatan seorang guru.

Anda mungkin juga menyukai