Anda di halaman 1dari 4

AMALAN MEMBACA BUKU IALAH PENDIDIKAN ASAS UNTUK SEMUA

OLEH: CIKGU TAN CL

Pernah atau tidak anda melihat atau membaca slogan #MalaysiaMembaca di mana-
mana? Jika ya, benarlah pilihan slogan ini untuk mempopularkan Dekad Membaca
Kebangsaan (DMK) dari tahun 2021 hingga 2030. Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee
Malik pernah berkata bahawa DMK akan membentuk masyarakat ilmu bertaraf dunia
dengan tumpuan membaca untuk
pengetahuan dan pembudayaan
amalan membaca. Slogan ini dapat
dimurnikan sebagai aspirasi
menjadikan Malaysia sebagai negara
membaca untuk melahirkan
masyarakat berilmu taraf dunia.
Kementerian Pendidikan Malaysia
telah menyasarkan tempoh tiga
tahun iaitu 2018 hingga 2020 sebagai
tempoh mempergiat kempen Dekad
Membaca Kebangsaan.
Apakah sebabnya DMK dihidupkan dan dijalankan di Malaysia? Selain
membentuk rakyat Malaysia supaya suka membaca buku dan menjadikan Malaysia
sebagai negara membaca pada tahun 2030, kempen ini juga sebagai usaha
Kementerian Pendidikan Malaysia yang distingtif untuk menyemarakkan program
gerakan membaca yang sudah berlangsung sejak dua dekad lalu memandangkan
kempen itu masih belum mencapai tahap yang memuaskan hati. Hal ini dikatakan
demikian kerana senario rakyat yang memegang buku dan membaca buku di tempat-
tempat awam seperti di dalam tren, bas, dan
monorel atau di tempat-tempat awam belum
kelihatan. Perpustakaan di Malaysia juga
semakin hari semakin sunyi dengan pelawat
dan bilangan buku yang dipinjam juga semakin
merudum bilangannya. Menteri Pendidikan
juga beraspirasi untuk merangka satu
pendekatan baharu yang lebih mantap lagi
agresif untuk menarik masyarakat pelbagai
lapisan di Malaysia untuk mencintai dunia
pembacaan dan menghidupkan pembudayaan
membaca.
Tun Dr. Mahathir, Perdana Menteri yang
kita sayangi pernah menegaskan bahawa
janganlah kita hanya menjadi bangsa yang
hanya tahu bercakap, mengkritik, dan
merungut tetapi gagal untuk memikirkan cara
yang terbaik untuk bangsa, agama, dan tanah air. Sebagai seorang insan yang juga
menjadikan amalan membaca sebagai amalan, kata-kata keramat beliau, “usah berkira
belanja wang untuk buku” harus kita jadikan sebagai budaya. Dengan berbuat demikian,
kita tidak akan berkira sewaktu membeli buku untuk membacanya. Hal ini dikatakan
demikian kerana budaya ini mampu memperkukuh dan meningkatkan budaya membaca
dalam kalangan rakyat serta menzahirkan hasrat untuk menjadikan negara sebagai
sebuah negara yang berbudaya membaca.
Realitinya, Kuala Lumpur telah melakar sejarah baharu apabila diiktiraf sebagai Ibu Kota
Buku Dunia 2020 oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO). Sudah menjadi tanggungjawab kita memenuhi
harapan dan visi tersebut dengan
misi yang tepat. Pengiktirafan ini
diberikan kepada bandar raya yang
menunjukkan komitmen yang tinggi
dalam aktiviti berkaitan dengan buku,
kesusasteraan, kesenian dan
gerakan membaca dalam kalangan
warga kotanya. Sehubungan dengan
itu, Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota
Buku Dunia mengangkat slogan “KL
Baca: Menyantuni Masyarakat
Melalui Pembacaan” serta
mengetengahkan konsep
kepelbagaian budaya dan
pemuliharaan alam sekitar. Slogan
ini haruslah diisi dengan kudrat usaha dan tenaga yang digembleng untuk terus
memodenkan minda rakyat dan membudayakan ilmu dalam sanubari rakyat.
Pelaksanaan aktiviti pembacaan dan perbukuan melalui slogan tersebut diyakini dapat
disemarakkan di Bandar Raya Kuala Lumpur berdasarkan lima teras utama, iaitu
mengadakan pelbagai bentuk aktiviti membaca dan pembangunan infrastruktur
berkaitan perbukuan, Selain itu, ibu kota buku kita juga haruslah mengadakan Pesta
Buku Antarabangsa Kuala Lumpur sebagai destinasi perbukuan masyarakat. teras
keempat ialah program pembangunan minat membaca dalam kalangan remaja dan
kanak-kanak, serta kebolehcapaian buku digital, pendidikan sepanjang hayat, dan yang
terakhir ialah membentuk mercu tanda dan monumen yang berlandaskan Kuala Lumpur
Ibu Kota Buku Dunia 2020.
Di sebalik pengiktirafan yang hebat dan indah ini, satu hakikat yang perlu kita
hadam ialah kajian The World’s Most Literate Nation (Negara Paling Celik Huruf Sejagat)
pada 2016 meletakkan Malaysia pada kedudukan ke-53, jauh di belakang negara jiran,
Singapura yang berada di kedudukan ke-36. Menteri Pendidikan juga pernah
mengatakan bahawa kerajaan juga berhasrat untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak
dalam perancangan untuk menyasarkan penerbitan negara mencapai 31,700 judul
setahun menjelang 2020, berbanding 19,713 judul pada 2017. Fenomena dan keadaan
ini amat membimbangkan pihak kerajaan, terutamanya kita yang sepatutnya berhasrat
membentuk dan mencanai minda rakyat berkelas pertama dan berpengetahuan global
dalam arus pemodenan yang
tidak berhenti alirannya ini.
Dengan kata lain, amalan
membaca. Kempen membaca di
media sosial semata-mata tidak
mencukupi. Aliran slogan dan
penerapannya haruslah juga
bertapak dan berakar umbi di
sekolah juga.
Puan Nor Ashikin
Mohamed Amin, seorang Guru
Perpustakaan dan Media (GPM)
di SK All Saints’, Kamunting,
Perak pernah mengatakan
bahawa GPM umpama gembala kuda yang mampu membawa kuda-kudanya ke gigi air,
tetapi untuk memaksa kuda-kuda tersebut minum air bukannya mudah. Oleh sebab itu,
GPM perlulah kreatif dan sentiasa memikirkan usaha untuk menarik minat murid supaya
membaca buku. Hal ini berlaku demikian kerana budaya membaca belum mampu
diterapkan dalam kalangan murid di sekolah lantaran mereka tidak dapat duduk diam
dan memegang buku untuk membacanya walaupun ruang kondusif disediakan di
kawasan sekolah.
Statistik terbaharu melalui
NOP World Culture Score Index
menunjukkan bahawa· India
ialah negara yang paling banyak
menghabiskan masa dengan
membaca, iaitu melebihi 10 jam
seminggu diikuti negara Thailand
dan China yang rata-ratanya
membaca selama 8 hingga 9 jam
dalam masa seminggu. Realiti
yang agak menyedihkan ialah
Malaysia tidak termasuk dalam senarai NOP World Culture Score Index, atau lebih
tepatnya hakikat sebenar, iaitu budaya membaca di Malaysia tidak melebihi 3 jam
seminggu. Menurut Dr. Maszlee juga, kajian profil membaca rakyat Malaysia yang
dilakukan Perpustakaan Negara Malaysia pada 2005 mendapati rakyat Malaysia hanya
membaca dua naskhah buku setahun. Walau bagaimanapun, angka itu meningkat
kepada 15 naskhah pada tahun 2014 berdasarkan laporan kajian interim tabiat
membaca rakyat Malaysia, namun masih rendah berbanding 40 judul buku setahun di
negara maju.
Sebenarnya, secara purata
rakyat Malaysia hanya membaca 15
hingga 20 buku setahun. Jika
dibandingkan dengan jumlah penduduk
negara, kadar literasi rakyat negara ini
masih jauh ketinggalan. Perjalanan kita
menuju negara membaca masih
panjang dan memerlukan usaha yang
berterusan. Kita perlu menggembleng
tenaga dan berganding baharu supaya
menjadikan Malaysia memiliki rakyat
yang berpemikiran bahawa hanya
dengan amalan membaca sahaja yang dapat menaikkan keinginan untuk memajukan
diri, bangsa, dan negara. Amalan membaca memberikan kebaikan yang tidak terkira.
Amalan ini dapat membentuk budaya cinta akan ilmu pengetahuan dan pengalaman.
Hal ini dikatakan demikian kerana kita dapat membuka minda dan mata serta
memperluas horizontal pemikiran dengan amalan membaca. Semakin banyak membaca
buku, semakin tinggi keinginan untuk menimba ilmu dan pengetahuan untuk
memantapkan dan menyediakan diri untuk menghadapi pelbagai cabaran dalam
kehidupan.
Sudah sampai masanya rakyat Malaysia menimba ilmu dalam pelbagai bidang
dan memastikan ilmu yang kita timba itu berguna untuk diri sendiri, keluarga, bangsa,
dan negara. Bangsa membaca bangsa berjaya. Kata-kata ini sentiasa meniti dari bibir
guru ke hati anak-anak muridnya. Kita mahu mengubah landskap pemikiran rakyat
supaya matang mendepani pelbagai onak dan getir dalam gelombang globalisasi ini.
Dengan amalan membaca, kita akan dilabelkan sebagai masyarakat yang bijak pandai
mengurus masa dan kehidupan.
Secara tidak langsung, kualiti
kehidupan juga akan terus meningkat.
95 peratus rakyat Malaysia yang celik
huruf tetapi yang menjadikan amalan
membaca sebagai budaya ada berapa?
Sama-samalah kita menjadikan
Malaysia sebagai sebuah tanah air
yang memiliki ilmu yang tinggi di
mana-mana juga. Generasi muda
ialah modal negara yang perlu
dirancang dan digerakkan dengan gerabak iltizam di landasan yang betul. Dengan
berbuat begitu, aspirasi kerajaan untuk merealisasikan Wawasan Kemakmuran
Bersama 2030. Perkongsian kemakmuran ini harus bermula daripada ilmu dalam diri
setiap insan yang bergelar rakyat Malaysia. Dengan ilmu pengetahuanlah kita dapat
membangunkan bangsa dan negara dengan pemimpin masa depan yang bitara lagu
bestari.