Anda di halaman 1dari 3

FOKUS KARANGAN: PERANAN INDIVIDU/REMAJA

Golongan remaja, tidak dapat dinafikan, merupakan modal insan ataupun aset
berharga kepada nusa dan bangsa. Demi pembangunan negara, negara berhasrat untuk
melahirkan modal insan yang berkualiti, yakni berpendidikan, berwawasan, berdedikasi,
berkaliber dan berdisiplin. Oleh hal yang demikian, dalam RMK-9, sebanyak 20.6 peratus
diperuntukkan untuk meningkatkan kualiti modal insan dengan meningkatkan keupayaan dan
penguasaan ilmu. Dalam konteks ini, sasaran modal insan ialah remaja atau tenaga muda kerana
pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Golongan mudalah yang dapat menyumbangkan
idea dan tenaga demi pembangunan negara dalam segala bidang, khususnya dari aspek iktisad.
Jadi, bagaimanakah remaja dapat memainkan peranan dalam usaha merealisasikan visi kudsi
kerajaan, yakni melahirkan modal insan yang berkualiti.

Sebagai bakal modal insan yang berkualiti, seseorang remaja hendaklah berbekalkan
pendidikan formal yang sempurna. Maksud saya, setiap remaja haruslah memerah otak
sehingga mencapai ijazah kelas pertama, sarjana muda, dan jika diizinkan Allah sehingga falsafah
kedoktoran. Kita boleh mencapai kemuncak dalam bidang pendidikan dengan berbekalkan
semangat yang kental dan usaha yang gigih. Demi mencapai kejayaan yang cemerlang, ruyung
perlulah dipecahkan untuk menikmati sagunya. Malangnya, remaja dewasa ini bersemangat
rapuh dan mudah putus asa apabila menempuh onak dan duri; genggam-genggam bara, terasa
hangat dilepaskan. Senario ini amat ketara dalam kalangan pemuda pemudi kita kerana rata-
rata melepaskan batuk di tangga. Apabila memperoleh diploma, mereka sudah puas dan
berhijrah ke bandar-bandar besar untuk mencari pekerjaan. Yang bernasib baik dapat bekerja
sebagai jururawat di hospital swasta yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Yang bernasib
malang pula bergelandangan di perut kota dengan segulung diploma dari sebuah pejabat ke
sebuah pejabat. Kata orang tua-tua, asal sabut terapung, asal besi tenggelam. Tuntasnya, demi
menjadi modal insan yang berguna kepada tanah air, remaja perlulah bertungkus lumus untuk
memperoleh pendidikan yang setinggi mungkin. Bukankah genggam bara api biar sampai jadi
arang?

Selain melengkapkan diri dengan pendidikan, remaja hendaklah mengamalkan gaya


hidup sihat. Saya katakan demikian oleh sebab kesihatan menjamin kecergasan dan kecerdasan
seseorang individu sejajar dengan kata hikmat badan cergas, otak cerdas. Dunia ini dunia stres
tidak dapat dinafikan kerana siapa cepat, dia dapat. Demi mengejar pangkat dan pendapatan
yang tinggi, kesihatan diabaikan. Oleh sebab terlalu ghairah akan kertas hijau dan merah,
mereka kesuntukan waktu untuk bersenam, beriadah, dan bersantai. Apabila sudah terlantar di
hospital seperti kura-kura terlentang kerana hipertensi, segala-galanya sudah terlambat; kuman
menjadi barah; belukar menjadi rimba. Menurut berita di Utusan Melayu baru-baru ini, seorang
mekanik motor berkuas tinggi (superbike) yang berusia 38 tahun dikejarkan ke hospital bahana
serangan sakit jantung. Sesampainya di Hospital Daerah Seberang Jaya, dia pun disahkan sudah
berpindah ke balik papan. Persoalannya, bolehkah generasi muda yang berpenyakit dapat
menyumbangkan tenaga ke arah pembangunan negara? Jadi sebagai generasi muda yang
berpendidikan, kita haruslah mengambil inisiatif untuk melakukan senaman secara konsisten,
seperti bersenam di gim ataupun beriadah di taman rekreasi. Selain itu, kita perlu menjaga
pemakanan setiap masa; kita perlu makan untuk hidup, bukan hidup untuk makan. Seperkara
lagi, rokok, najis dadah dan arak sewajarnya dihindari kerana mengundang pelbagai komplikasi.
Tegasnya, gaya hidup sihat hendaklah menjadi agenda perdana dalam kamus hidup kita jika
hendak menjadi modal insan yang berkualiti.

Di samping gaya hidup sihat, remaja hendaklah mempunyai jati diri yang unggul demi
menjadi modal insan yang dapat menyumbang kepada nusa dan bangsa. Antara keperibadian
unggul termasuklah tingkah laku yang sopan dan mempunyai darjah kesusilaan yang tinggi
berpaksikan prinsip kelima Rukun Negara, yakni kesopanan dan kesusilaan. Hal ini dapat
memandu dan memimpin generasi muda agar tidak terbabas dari landasan yang benar lalu
terjerumus ke dalam lembah laknatullah, seperti berjinak-jinak dengan najis dadah, yang
menghancurkan wawasan negara, iaitu Wawasan 2020. Menurut pakar motivasi yang tersohor
dan disegani masyarakat Melayu, Datuk Haji Dr. Fadzilah Kamsah, banyak anak muda yang
terperosok ke dalam kancah maksiat, seperti sumur di tepi jalan, siapa haus boleh minum
(perempuan sundal), ekoran terhakisnya nilai-nilai moral. Sehubungan ini, remaja haruslah
menyemaikan nilai-nilai kemanusiaan dan kerohaniaan, seperti amanah, tulus ikhlas, toleransi
dan bertimbang rasa, dalam lubuk kalbu mereka agar menjadi modal insan yang bersahsiah
mulia serta menjaga imej tanah air yang tercinta ini. Apa gunanya anak gadis yang cantik tetapi
tidak bersopan santun laksana bunga dedap, sungguh merah berbau tidak. Anak gadis yang
tidak bermoral bukan sahaja dianggap sebagai cacing di pelimbah malahan dilabelkan sebagai
sampah masyarakat. Jadi, anak-anak muda kita haruslah mematuhi adat dan peraturan di mana-
mana sahaja mereka berada; di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Pendek kata, modal
insan yang berkeperibadian mulia bukan sekadar dapat menyumbang ke arah pembangunan
negara malahan dapat mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.
Tidak ketinggalan juga, generasi muda haruslah menghayati ajaran al-Quran. Hal ini
dikatakan demikian kerana remaja yang mematuhi ajaran al-Quran, bangsa Malaysia yang
budiman dan disegani dapat dilahirkan. Dalam konteks ini, remaja dapat membezakan yang
mana intan, yang mana kaca. Remaja yang beriman dan berpaksikan akidah tidak akan menjadi
hamba kepada hawa nafsu. Mereka mengetahui siapa yahudi, siapa nasrani, dan siapa majusi.
Dengan berbekalkan usuluddin ataupun ilmu tauhid, yakni ilmu yang membicarakan akidah
agama Islam yang berhubung dengan ketuhanan, kenabian, dan perkara-perkara yang ghaib
seperti qadak dan qadar, hari akhirat, syurga, dan neraka, mereka akan menjauhi angkara dan
maksiat. Anak gadis yang soleh, misalnya, akan menjaga gerak-geri apabila berinteraksi dengan
kaum lelaki. Tutur kata dan tingkah laku akan dijaga agar tidak mencemari imej keluarga. Kata
orang, biar buruk kain dipakai, asal pandai mengambil hati.

Ajaran agama Islam juga mencelikkan mata remaja bahawa dari telaga yang jernih, tak akan
mengalir air yang keruh dan dari telaga yang keruh, tak akan mengalir air yang jernih. Dengan
adanya kesedaran ini, tumbuk rusuk ataupun rasuah yang dapat menghancurkan negara dapat
dihindarkan. Tuntasnya, nilai-nilai keagamaan hendaklah disemaikan dan disuburkan dalam
lubuk sanubari setiap remaja untuk menjadi modal insan yang berkualiti.

Akhirulkalam, modal insan yang menjadi harapan negara ialah generasi muda yang
berpendidikan formal, berjati diri mulia, sihat wal afiat dan beriman. Demi mendukung cita-cita
dan hasrat negara ini, remaja hendaklah melakukan aktiviti-aktiviti yang dapat membentuk jati
diri yang unggul, bukannya membilang buah kerayung seperti melepak di kompeks beli-belah,
berlumba haram dan berjudi. Sebagai warganegara yang berjiwa patriotik, remaja haruslah
mengetepikan aliran politik yang sempit yang berorientasikan komunalisme (fahaman
perkauman) demi kepentingan nusa dan bangsa. Seperkara lagi, nilai-nilai negatif hendaklah
dikikis sama sekali kerana memang susah untuk mengikis tabiat buruk. Bukahkah ayam pulang
ke lombong, itik pulang ke pelimbahan? Remaja juga sewajarnya berfikir dengan semasak-
masaknya sebelum bertindak dalam apa-apa juga aspek kehidupan kerana ingat sebelum kena,
jimat sebelum habis. Tiada gunanya kita menyesali sesuatu tindakan yang sudah menimpa diri
kerana sesal dulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna. Dengan kesedaran ini, remaja
bukan sahaja akan menjadi modal insan kelas pertama bahkan dapat memperkasakan bangsa
Malaysia sebagai bangsa yang maju yang dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan
negara-negara maju yang lain.

DIKARANG/DITULIS OLEH CIKGU KAY SEVEN

Anda mungkin juga menyukai