Anda di halaman 1dari 3

Selamat pagi saya ucapkan kepada Tuan Guru Besar, guru-guru serta murid-murid yang

dikasihi sekalian. Kepentingan Disiplin Kepada Murid-murid”, itulah tajuk pidato yang
akan saya sampaikan pada hari ini.

Hadirin yang dimuliakan,


Menurut Pusat Rujukan Persuratan Melayu, Dewan Bahasa Dan Pustaka Malaysia,
Disiplin bermaksud “ latihan pemikiran dan kelakuan supaya boleh mengawal diri sendiri
dan patuh pada tatatertib”. Daripada makna perkataan disiplin ini dapat kita fahami
bahawa disiplin sangat mustahak kepada murid-murid untuk mencapai kejayaan.
Murid yang berdisiplin dapat mengawal tingkah laku mereka ketika berada di sekolah
Keadaan ini akan menyebabkan mereka dapat menumpukan sepenuh perhatian terhadap
pelajaran. Guru-guru juga dapat mengajar dengan sempurna.
Selain itu, murid yang mempunyai disiplin akan bertanggungjawab terhadap
pelajarannya. Mereka belajar dengan bersungguh-sungguh dan menyelesaikan tugasan
yang diberi oleh guru dengan sempurna. Sikap sebeginilah yang akan membawa kejayaan
yang cemerlang dalam pelajaran.

Hadirin sekalian,
Disiplin juga amat penting untuk membentuk warganegara yang baik dan berakhlak
mulia. Murid-murid yang telah terasuh daripada awal lagi dengan disiplin diri, akan dapat
membentuk jatidiri menjadi warganegara yang baik, bertatatertib dan berakhlak mulia.
Keadaan ini sangat bertepatan dengan peribahasa Melayu, “Melentur buluh hendaklah
dari rebungnya”.

Oleh yang demikian, suka saya tegaskan di sini bahawa disiplin sangat penting bukan
sahaja kepada murid-murid bahkan kepada semua orang. Hanya orang yang berdisiplin
sahaja dapat mencapai kejayaan dalam semua bidang.

Sekian, terima kasih.


Kisah Pokok Epal
Suatu masa dahulu, terdapat sebatang pokok epal yang amat besar. Seorang kanak-kanak
lelaki begitu gemar bermain-main di sekitar pokok epal ini setiap hari. Dia memanjat
pokok tersebut, memetik serta memakan epal sepuas-puas hatinya, dan adakalanya dia
berehat lalu terlelap di perdu pokok epal tersebut. Budak lelaki tersebut begitu
menyayangi tempat permainannya. Pokok epal itu juga menyukai budak tersebut.
Masa berlalu... budak lelaki itu sudah besar dan menjadi seorang remaja. Dia
tidak lagi menghabiskan masanya setiap hari bermain di sekitar pokok epal tersebut.
Namun begitu, suatu hari dia datang kepada pokok epal tersebut dengan wajah yang sedih.
"Marilah bermain-mainlah di sekitarku," ajak pokok epal itu.
"Aku bukan lagi kanak-kanak, aku tidak lagi gemar bermain dengan engkau," jawab
budak remaja itu.
"Aku mahukan permainan. Aku perlukan wang untuk membelinya," tambah budak
remaja itu dengan nada yang sedih.
Lalu pokok epal itu berkata, "Kalau begitu, petiklah epal-epal yang ada padaku.
Jualkannya untuk mendapatkan wang. Dengan itu, kau dapat membeli permainan yang
kau inginkan."
Budak remaja itu dengan gembiranya memetik semua epal di pokok itu dan pergi dari
situ. Dia tidak kembali lagi selepas itu. Pokok epal itu merasa sedih.
Masa berlalu...
Suatu hari, budak remaja itu kembali. Dia semakin dewasa. Pokok epal itu merasa
gembira.
"Marilah bermain-mainlah di sekitarku," ajak pokok epal itu.
"Aku tiada masa untuk bermain. Aku terpaksa bekerja untuk mendapatkan wang. Aku
ingin membina rumah sebagai tempat perlindungan untuk keluargaku. Bolehkah kau
menolongku?" Tanya budak itu.
"Maafkan aku. Aku tidak mempunyai rumah. Tetapi kau boleh memotong dahan-
dahanku yang besar ini dan kau buatlah rumah daripadanya." Pokok epal itu memberikan
cadangan.
Lalu, budak yang semakin dewasa itu memotong kesemua dahan pokok epal itu dan pergi
dengan gembiranya. Pokok epal itu pun tumpang gembira tetapi kemudiannya merasa
sedih kerana budak itu tidak kembali lagi selepas itu.
Suatu hari yang panas, seorang lelaki datang menemui pokok epal itu. Dia sebenarnya
adalah budak lelaki yang pernah bermain-main dengan pokok epal itu. Dia telah matang
dan dewasa.
"Marilah bermain-mainlah di sekitarku," ajak pokok epal itu.
"Maafkan aku, tetapi aku bukan lagi budak lelaki yang suka bermain-main di sekitarmu.
Aku sudah dewasa. Aku mempunyai cita-cita untuk belayar. Malangnya, aku tidak
mempunyai bot. Bolehkah kau menolongku?" tanya lelaki itu.
"Aku tidak mempunyai bot untuk diberikan kepada kau. Tetapi kau boleh memotong
batang pokok ini untuk dijadikan bot. Kau akan dapat belayar dengan gembira," cadang
pokok epal itu.
Lelaki itu merasa amat gembira dan menebang batang pokok epal itu. Dia kemudiannya
pergi dari situ dengan gembiranya dan tidak kembali lagi selepas itu.
Namun begitu, pada suatu hari, seorang lelaki yang semakin dimamah usia, datang
menuju pokok epal itu. Dia adalah budak lelaki yang pernah bermain di sekitar pokok
epal itu.
"Maafkan aku. Aku tidak ada apa-apa lagi nak diberikan kepada kau. Aku sudah
memberikan buahku untuk kau jual, dahanku untuk kau buat rumah, batangku untuk kau
buat bot. Aku hanya ada tunggul dengan akar yang hampir mati..." kata pokok epal itu
dengan nada pilu.
"Aku tidak mahu epalmu kerana aku sudah tiada bergigi untuk memakannya, aku tidak
mahu dahanmu kerana aku sudah tua untuk memotongnya, aku tidak mahu batang
pokokmu kerana aku tidak berupaya untuk belayar lagi, aku merasa penat dan ingin
berehat," jawab lelaki tua itu.
Lalu lelaki tua itu duduk di bawah pokok epal itu dan berehat. Mereka berdua menangis
kegembiraan.

Moral:
Cerita ini sengaja dipaparkan untuk mengajak para remaja berfikir cerita ini sengaja
dipaparkan untuk mengajak remaja berfikir tentang pengajaran di sebalik cerita tersebut.
Sebenarnya pokok epal yang dimaksudkan dalam cerita itu adalah kedua-dua ibu bapa
kita. Bila kita masih muda, kita suka bermain dengan mereka. Ketika kita meningkat
remaja, kita perlukan bantuan mereka untuk meneruskan hidup. Kita tinggalkan mereka
dan hanya kembali meminta pertolongan apabila kita di dalam kesusahan. Namun begitu,
mereka tetap menolong kita dan melakukan apa sahaja asalkan kita bahagia dan gembira
dalam kehidupan.
Anda mungkin terfikir bahawa budak lelaki itu bersikap kejam terhadap pokok epal itu,
tetapi fikirkanlah itu hakikatnya bagaimana kebanyakan anak-anak masakini melayan ibu
bapa mereka. Jangan hanya kita menghargai mereka semasa menyambut Hari Ibu dan
Hari Bapa setiap tahun. Semoga kisah ini memberi keinsafan kepada kita semua.

Anda mungkin juga menyukai