Anda di halaman 1dari 2

TEKS UCAPAN PEGAWAI PERHUBUNGAN SEKOLAH (PPS)

SK SULTAN ABU BAKAR 2


PROGRAM JOM KE SEKOLAH
9 FEBRUARI 2020 (AHAD) 8.00 PAGI

Bismillahirahmanirahim, Assalamualaikum WBT

Yang berusaha Pn. Hjh. Noorlizan Bt Omar, Guru Besar SK SAB2


Yang dihormati Pn. Hjh Salwah Bt Hj Mohd Salleh, GPK 1
Pn, Masdilaila Bt Abdul Rasid, GPK HEM
Tn Hj Mohd Salleh Bin Azman, GPK Kokurikulum
guru-guru serta murid-murid yang dikasihi.

Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak sekolah kerana sudi
menjemput kami dalam majlis pada pagi ini. Saya juga ingin melafazkan kesyukuran ke hadrat Allah
SWT atas rahmat dan izin-Nya jua, kita telah dapat bersama-sama berkumpul bagi menjayakan Program
Jom ke Sekolah yang bermatlamat untuk membina semangat baharu yang lebih berkobar-kobar dan kuat
untuk murid-murid SK SAB2 demi perjuangan dalam menimba ilmu dan kegemilangan sekolah.

Rasional program seumpama ini wajar diadakan ekoran daripada sikap segelintir murid-murid sekolah
yang mula cenderung ke arah budaya lewat dan ponteng sekolah. Program ini diwujudkan sebagai satu
daripada usaha bagi meningkatkan peratus kehadiran murid ke sekolah. Peningkatan peratus yang
dihasratkan ini merupakan usaha awal pihak sekolah ke arah matlamat 100% kehadiran ke sekolah.
Peningkatan peratus kehadiran yang menjadi aspirasi sekolah merupakan langkah pertama bagi mencipta
kejayaan. Hal ini selari dengan kata-kata hikmat yang sering diucapkan oleh para pakar motivasi dalam
ceramah mereka yang berbunyi, “Sesungguhnya kejayaan bermula dari langkah yang pertama”. Oleh itu,
kami berkeyakinan penuh bahawa langkah pertama itu memang penting, lebih-lebih lagi jika perkara itu
dilakukan pada awal tahun. Hal ini sudah tentu boleh menjadi perangsang bagi menjana usaha-usaha
seterusnya.

Usaha murni Program Ke Sekolah ini tidak akan sempurna jika tidak melibatkan para ibu bapa dan
masyarakat setempat kerana sekolah juga merupakan satu daripada institusi masyarakat. Para ibu bapa dan
masyarakat setempat akan turut bersama-sama memantau tingkah laku murid-murid bagi membendung
gejala ponteng sekolah yang berleluasa sejak mutakhir ini. Faktor mengharapkan pihak sekolah semata-
mata bagi membendung fenomena ini merupakan pandangan yang kurang tepat. Justeru, pihak sekolah
akan terus memperkasa hubungan baik dan mesra dengan para ibu bapa dan masyarakat setempat bagi
mencari jalan terbaik untuk menangani masalah ini sebelum gejala ini menjadi barah yang akan
menggerhanakan masa depan murid yang bakal mewarisi kepemimpinan negara yang bertuah ini. Ingatlah
pesanan bijaksana “Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara”. Oleh hal yang demikian, gejala
ponteng tidak lagi dipikul di bahu warga pendidik sahaja, malah perlu juga dipikul bersama-sama oleh
para ibu bapa dan masyarakat setempat sebagai kerja berpasukan bagi membanteras kegiatan salah laku
ini.
Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, izinkan saya memetik kata-kata yang dinukilkan oleh penyair Arab
yang bernama Shauki untuk kita sama-sama renungkan, antaranya beliau pernah menyebutkan, “ Bahawa
jika ingin melihat masa depan sesebuah negara itu, maka lihatlah pada keadaan generasi mudanya hari
ini. Jika generasi mudanya hari ini merupakan generasi yang mempunyai jati diri yang unggul dan hebat,
adalah menjadi satu jaminan bahawa masa depan negara akan terjamin dan maju. Begitu juga
sebaliknya. Sekiranya generasi muda hari ini tidak berpegang pada nilai dan jati diri yang benar, maka
lihatlah keruntuhan sesebuah negara yang mana kita tidak berkehendakkannya berlaku”.

Akhir kata, dengan lafaz Bismillah hirahmanirahim, saya merasmikan Program Jom ke Sekolah bagi
tahun 2020 dengan rasminya.

Wassalamualaikum warahmatullahiwabaraktuh. Sekian, terima kasih.