Anda di halaman 1dari 3

Perpaduan adalah visi atau sasaran utama yang perlu dicapai dan ia memerlukan usaha

berterusan.
Kesejahteraan sosial pula membabitkan misi untuk mencapai perpaduan.
Perpaduan dilihat sebagai satu proses dinamik yang mana rakyat pelbagai kaum dan
etnik dengan sosiobudaya, agama, adat resam, bahasa dan wilayah berbeza dapat
hidup dalam suasana aman damai serta harmoni.
Ia pula berteraskan kepada persefahaman, penghayatan kepada Perlembagaan
Persekutuan serta menjadikan Rukun Negara sebagai teras budaya dan gaya hidup.
Berdasarkan sejarah, ada beberapa isu perbalahan kaum yang agak besar dan rumit
pernah berlaku dalam negara kita.
Kini, isu seperti ini lebih ketara dalam alam siber. Kita akui wujud konflik atau
perselisihan faham berlaku dalam masyarakat kita seperti peristiwa Kampung Medan
pada 2001, kes Plaza Low Yat di Bukit Bintang, Kuala Lumpur dan beberapa insiden
terpencil lain yang membabitkan kaum.
Bagaimanapun, ia dapat ditangani dan tidak merebak ke tempat lain.
Inilah kekuatan negara kita yang tidak terdapat di tempat lain. Kematangan rakyatnya
yang sudah lama hidup bersama dalam suasana dengan latar belakang berbeza
membolehkan masyarakat kita kini semakin menerima perbezaan yang membawa
kepada perasaan saling hormat menghormati antara satu sama lain.
Bagaimana Datuk melihat perpaduan kaum di Malaysia.
Saya akan terus galas tanggungjawab bagi memastikan perpaduan terus subur di
Malaysia dan tiada kepentingan lain yang lebih tinggi.
Hanya dengan perpaduan jitu penduduk sesebuah negara, baru rakyat boleh hidup
dalam suasana harmoni dan sejahtera.
Prinsip Rukun Negara sesungguhnya menjadi wadah utama yang akan menyatupadukan
masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia.
Kita sudah mencapai kemerdekaan selama 62 tahun dan matang serta mampu bertolak
ansur dengan mengutamakan kepentingan juga perpaduan negara.
Dalam pada itu, kita perlu sentiasa berpegang teguh kepada ajaran agama masing-
masing.
Perpaduan bermula daripada sanubari kita sendiri. Justeru, semailah semangat
penyatupaduan itu dalam keluarga dan komuniti, nescaya ia akan mewujudkan sebuah
masyarakat yang bersatu padu dan cintakan negara.
Apa cabaran terbesar dalam usaha untuk mencapai perpaduan negara?
Cabaran paling utama ketika ini adalah membina perpaduan dalam era maklumat di
hujung jari.
Hari ini, kita melihat sesiapa saja boleh menyampaikan maklumat, baik sahih atau
sebaliknya. Berikutan penggunaan media sosial yang begitu terbuka, ada pihak
menggunakan kesempatan ini untuk menimbulkan rasa kurang senang serta
mencetuskan api perkauman.
Keadaan ini sudah pasti tidak sihat untuk negara berbilang kaum seperti Malaysia.
Selain itu, saya juga melihat usaha untuk menerapkan perbezaan antara kaum itu sejak
dari kecil dalam kalangan masyarakat kita, sebagai satu lagi cabaran.
Anak perlu dibiasakan dengan pergaulan silang kaum dan budaya. Di Jabatan
Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, kami mempunyai Tadika Perpaduan yang
memberikan penekanan kepada hal seumpama ini.
Anak diajar dan dibiasakan dengan kepelbagaian kaum dan budaya dalam silibus
pembelajaran.
Isu perkauman ini seumpama bom jangka yang boleh meletup bila-bila masa.
Oleh itu, kita harus mendidik masyarakat agar tidak mudah terpengaruh dengan
sentimen dan mainan segelintir pihak untuk menggugat keharmonian dan perpaduan
yang sudah dibina sejak sekian lama.
Pandangan Datuk mengenai konsep ‘Kemakmuran Bersama’.
Kemakmuran bersama adalah usaha menjadikan Malaysia sebagai negara yang terus-
menerus membangun secara mampan.
Pembangunan itu pula seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil dan inklusif di
setiap rangkaian nilai, kelas, kaum dan geografi menjelang 2030.
Perkara ini juga digariskan di bawah Teras 3, Manifesto Pakatan Harapan iaitu merancak
pertumbuhan ekonomi yang adil dan saksama.
Rakyat yang bersatu tanpa prasangka dengan meraikan kepelbagaian bangsa dan
budaya adalah asas kepada penyatuan negara.
Sejak kebelakangan ini, ada pihak sengaja membangkit dan mensensasikan isu
kaum dan agama.
Nasihat saya, isu kaum dan agama jangan dijadikan modal untuk kepentingan sendiri.
Semua pihak, baik ahli politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta masyarakat perlu
peka terhadap isu yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama.
Kebebasan adalah hak semua pihak, namun ia tidak boleh disalah guna ke arah
memporak-porandakan keamanan dan kestabilan negara.
Bagi mengatasi masalah ini, saya sarankan supaya kita wujudkan kesedaran dalam
kalangan masyarakat melalui pendidikan supaya kita semua mempunyai keazaman,
kesanggupan dan kesediaan untuk hidup bersama dengan aman damai.
Ruang juga harus disediakan kepada rakyat untuk berinteraksi secara sihat dan
mengemukakan pandangan demi menyumbang ke arah perpaduan dan pembangunan
negara.
Saya juga mohon semua pihak baik media arus perdana atau media sosial supaya tidak
memberi publisiti kepada kumpulan pelampau yang boleh memecah-belahkan
kepercayaan antara kaum.
Di peringkat jabatan, kita sentiasa menggunakan ahli-ahli rukun tetangga sebagai ejen
penyatuan di peringkat akar umbi dan bagi menyampaikan maklumat sebenar kepada
masyarakat.
Ada kalanya maklumat yang disebar itu tidak benar dan palsu. Jadi, amat penting untuk
kita menggunakan jaringan yang besar dalam rukun tetangga bagi mengenal pasti dan
menyampaikan maklumat kepada semua pihak.
Umumnya, rakyat mula bangkit dan mempersoalkan kredibiliti dan kemampuan
kerajaan dalam menangani pelbagai isu berkaitan perpaduan. Adakah ia baik untuk
landskap perpaduan negara?
Tugas memperkasa dan memperkuatkan perpaduan negara sentiasa berterusan dan
merupakan tanggungjawab semua pihak.
Semua kementerian dan agensi kerajaan harus meletakkan perpaduan rakyat sebagai
agenda utama dalam melaksanakan dasar masyarakat.
Kami di pihak kerajaan akan terus berusaha agar perpaduan rakyat Malaysia sentiasa
terpelihara.
Hari Malaysia akan disambut esok. Apakah harapan Datuk untuk melihat
perpaduan lebih kukuh khususnya membabitkan semua kaum di negara ini.
Rakyat Malaysia hidup dalam masyarakat berbilang kaum dan agama. Dalam hal ini,
pentingnya kita menekankan konsep memperkasa komuniti (empowerment community).
Justeru, konsep kejiranan perlu diperkasakan dalam sesebuah komuniti.
Contoh, kewujudan rukun tetangga dan NGO komuniti berjaya mewujudkan platform
untuk berinteraksi bagi mengekalkan hubungan baik dan keharmonian masyarakat
setempat.
Selain itu, kita harus sentiasa melihat kepelbagaian itu sebagai kekuatan kita, bukannya
kelemahan.
Kita harus meraikan perbezaan tetapi pada masa sama, kita perlu cari titik persamaan
kerana walau sejauh mana pun kita berbeza, akhirnya kita tetap rakyat Malaysia.
Usah mudah terjerumus kepada perangkap perkauman yang sempit. Jiwa kita harus
lebih besar dari itu dan jangan kita berikan negara ini kepada ekstremis kaum dan
agama.