Anda di halaman 1dari 4

2.

0 DASAR UMUM SEBUTAN BAKU BAHASA MELAYU


2.1 Definisi Sebutan Baku
Kamus Dewan Edisi Empat mendefinisikan sebutan seperti berikut; 1. apa yang disebut, (sesuatu) yang disebut: 2.
cara melafazkan atau menyebut (perkataan dan lain-lain), ucapan, lafaz. Manakala baku pula didefiisikan sebagai 1
utama; penting: makanan ~ makanan yg utama. 2 diterima dan diakui; sah dan benar (ttg sukatan, ukuran dll);

Manakala sebutan baku pula didefinisikan sebagai sebutan (huruf atau perkataan) yg telah ditentukan atau
diterima sbg yg betul atau yg sewajarnya, sebutan standard;

Prof Dr Awang Sariyan, melalui bukunya Warna dan Suasana Perancangan Bahasa Melayu Di Malaysia Edisi Kedua
(2006); memberi definisi berikut; …. ’pembakuan bahasa dapat difahami sebagai usaha, tindakan, atau proses
mengetengahkan bentuk bahasa yang benar dan yang dapat menjadi dasar ukuran. Yang berkaitan dengan usaha,
tindakan, atau proses tersebut ialah penetapan kod dan norma bahasa daripada segala segi, iaitu ejaan, peristilahan,
tatabahasa, sebutan dan laras bahasa.’

Secara umumnya, sebutan baku bermaksud mewujudkan satu sistem sebutan standard bahasa Melayu yang diterima
pakai sebagai betul dalam sistem bahasa kebangsaan. Pembakuan ini meliputi proses pembinaan bahasa iaitu
pembakuan tatabahasa, ejaan, sebutan, istilah, kosa kata laras dan sistem bahasa.

2.2 Dasar Sebutan Baku Bahasa Melayu


Dasar sebutan baku bahasa Melayu ialah sebutan fonemik atau sebutan berdasarkan ejaan. Maksudnya di sini
ialah kata-kata dieja berdasarkan pengucapan dan pengucapan berdasaran apa yang dieja. Timbul sedikit kekeliruan
dan masalah dari segi sebutan iaitu bahasa Melayu yang disebut secara baku dikatakan mirip dengan bahasa
Indonesia.

Justeru bagi menjawab isu ini dan mewujudkan keseragaman bahasa; Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga
telah juga mengambil keputusan tentang ejaan bahawa, (a) Ejaan di Malaya dan di Indonesia hendaklah disamakan
atau disatukan; (b) Peraturan ejaan hendaklah mudah, dan untuk ini maka sistem fonemik diterima sebagai sistem
yang lebih baik daripada sistem fonetik, dan satu fonem hendaklah digambarkan dengan hanya satu tanda (huruf)
saja; (c) pengejaan hendaklah tetap sekata mengikut kaedah yang satu dan semacam; (d) Kata-kata daripada bahasa
asing hendaklah disesuaikan dengan sistem fonologi Melayu. (Asraf, Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu ke-IV
1984)

Dasar sebutan baku berdasarkan fonemik mempunyai beberapa prinsip tertentu bagi memudahkan proses
penyebutan dan pengajaran dan pembelajaran. Antara prinsip-prinsip tersebut adalah

2.2.1 memudahkan guru mengajar dan murid belajar mengucapkan bahasa Melayu dengan tidak lagi dibingungkan oleh
kecualian-kecualian yang berbagaibagai, misalnya ada kata-kata yang disebut menurut bunyi fonetik Riau-Johor, ada
yang disebut menurut bunyi fonetik Inggeris seperti *indastri, *jenerasi dan *yunit untuk industri,
generasi dan unit dan ada yang menurut sebagaimana yang dieja secara fonemik.

2.2.2 dapat dianggap sebagai sebutan estetik yang sesuai untuk lagu-lagu Melayu, deklamasi sajak berpidato, ceramah,
syarahan dan apa saja ucapan yang bersifat formal seperti pembacaan warta berita, pengumuman rasmi kenegaraan
dan sebagainya.
3.2.3 memperlihatkan kelebihan bahasa Melayu jika dibandingkan dcngan bahasa Inggeris yang kacau ejaannya sehingga
sebutannya tidak selaras dengan ejaannya itu. Bahasa Melayu tidak akan menjadi lebih maju dengan meniru
kekacauan ejaan dan ucapan bahasa Inggeris

2.3 Matlamat pembakuan bahasa Melayu


Usaha pembakuan sebutan bahasa Melayu bukanlah satu usaha yang sengaja diada-adakan sebaliknya merupakan
satu usaha untuk mengangkat martabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang bersifat ilmiah dan menuju
ke arah kesempurnaan. Dengan adanya pembakuan ini maka bahasa Melayu akan menjadi satu bahasa yang benar-
benar mantap dan dibanggai oleh penuturnya lantaran bahasa Melayu memiliki jati dirinya sendiri. Antara matlamat
dan tujuan pelbakuan sebutan bahasa Melayu adalah;

2.3.1 Mewujudkan keseragaman sebutan dalam kalangan penutur bahasa Melayu yang dipengaruhi oleh pelbagai dialek
agar satu variasi sebutan yang standard digunakan dalam majlis-majlis formal, peruratan, penulisan dan sebagainya.

2.3.2 Mewujudkan keseragaman sebutan, terutamanya perkataan serapan dan pinjaman yang berasal daripada perkataan
asing seperti bahasa Arab, Inggeris, Jawa, Sanskrit dan sebagainya. Dengan adanya pembakuan sebutan, maka
perkataan itu lebih mudah difahami oleh penutur sesuai dengan konteks maksud ayat.

2.3.3 Dapat meningkatkan keupayaan dan kecekapan berbahasa Melayu dalam kalangan pengguna bahasa dengan
menggunakan hukum bahasa yang selaras dan difahami oleh semua lapisan masyarakat.

2.3.4 Untuk memantapkan system bahasa Melayu supaya sebutannya menjadi mantap dan baku sesuai dengan pembakuan
tatabahasa, kosa kata, sistem ejaan dan laras bahasa.

2.3.5 Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran di sekolah pembakuan sebutan bahasa Melayu bertujuan untuk
menyeragamkan cara berbahasa dan bertutur , dan mengurangkan penggunaan pelbagai variasi dan gaya
sebutan serta menghindarkan penggunaan dialek setempat dalam pengajaran dan pembelajaran. Dengan ini para
pelajar dan guru-guru akan menggunakan satu sistem bahasa Melayu yang sama dalam proses pendidikan. Guru dan
pelajar dari seluruh negara akan menggunakan bahasa yang satu yang disepakati dan difahami.

3.0 PERBEZAAN SEBUTAN BAKU DENGAN SEBUTAN JOHOR-RIAU


Seperti yang dibincangkan dari awal tadi sebutan baku merupakan sebutan yang beroreintasikan sebutan fonemik
atau sebutan berdasarkan ejaan, menyebuta apa yang dieja dan mengeja apa yang disebut. Namun begitu, majoriti
masyarakat di malaysia tidak bertutur dalam sebutan baku. Pertuturan masyarakat Malaysia lebih selesa bertutur
dengan sebutan Johor-Riau yang sudah dianggap sebagai sebutan standard bahasa Melayu. Dari sudut fonologi
terdapat perbezaan ketara antara sebutan baku dengan sebutan Johor-Riau. Berikut merupakan beberapa contoh
perbezaan sebutan bahasa Melayu baku dengan sebutan bahasa Melayu Johor-Riau.

4.1 Perkataan yang diakhiri dengan fonem vokal /a/. Bahasa baku mengekalkal fonem vokal /a/ sebagai /a/,
sebaliknya sebutan Johor-Riau menyebut /ə/. Contoh
Kata Ejaan Sebutan baku Sebutan Johor-Riau
mata mata ma . ta ma . tə
berapa berapa b ə . ra . pa b ə . ra . p ə
serupa serupa s ə . ru . pa s ə . ru . p ə
4.2 Perkataan yang mengandungi fonem vokal /u/ dan diakhiri dengan fonem konsonan /r/ digantikan dengan
/o/ manakala konsonan /r/ digugurkan.
Kata Ejaan Sebutan baku Sebutan Johor-Riau
telur telur t ə . lur t ə . lo
melur melur m ə . lur m ə . lo
Dapur dapur da . pur da . po

4.3 Penguguran konsonen /r/ disempadan suku kata.


Kata Ejaan Sebutan baku Sebutan Johor-Riau
permainan permainan pər . ma . i . nan pə_ . ma . i . nan
perkataan perkataan pər . ka . ta . an pə_ . ka . ta . an
terduduk terduduk tər . du . du? tə_ . du . du?

4.0 KEBAIKAN DAN KELEMAHAN SEBUTAN BAKU BAHASA MELAYU


Pembakuan sebutan bahasa Melayu merupakan satu usaha yang sangat murni dalam memartabatkan bahasa Melayu
kerana usaha pembakuan ini boleh memberi satu dimensi baru kepada para penutur bahasa Melayu. Kebaikan
pembakuan ini boleh dilihat berdasarkan matlamatnya pembakuan itu sendiri.

4.1 Kebaikan Pembakuan Sebutan Bahasa Melayu


4.1.1 Menyeragamkan bahasa Melayu dari pelbagai aspek seperti tatabahasa, kosa kata, sistem ejaan dan laras bahasa
terutamanya dalam situasi formal.

4.1.2 Menyeragamkan proses pengajaran dan pembelajaran di peringkat sekolah dan institusi pengajian. Para guru dan
murid dari seluruh negara menggunakan satu kaedah bahasa yang sama.

4.1.3 Menyeragamkan dan menstandardkan sebutan bahasa Melayu yang terpecah kepada dialek dan loghat yang pelbagai.
Dialek dan loghat ini memberi konotasi yang pelbagai berdasarkan sosio budaya penuturnya. Keseragaman ini akan
menwujudkan sistem berbahasa yang satu.

4.1.4 Menyeragamkan cara penulisan terutamanya bagi kata yang diambil daripada bahasa asing. Pembakuan sebutan kata
pinjaman akan mempengaruhi cara penulisannya. Dengan ini kata pinjaman dapat diseragamkan melalui proses
pembakukan.

4.1.5 Menjadikan bahasa Melayu sebagai satu bahawa yang berwibawa dan bersifat ilmiah. Melalui penggunaan bahasa baku
yang telah diseragamkan, penutur bahasa Melayu akan mengungkap dengan bahasa yang sama.

4.1.6 Memudahkan penutur bahasa asing untuk mempelajari bahasa Melayu sebagai bahasa kedua atau bahasa tambahan.
Pelajar yang bahasa ibundanya bukan bahasa Melayu akan mudah mempelajari bahasa Melayu yang telah
diseragamkan tanpa terkeliru dengan dialek atau loghat daerah dan suku kaum tertentu.

4.2 Masalah dan Kelemahan Pembakuan Sebutan Bahasa Melayu


Namun begitu usaha pembakuan ini terpaksan melalui beberapa masalah dan kelamahan dalam pelaksanaannya.
Berikut adalah antara beberapa masalah dan kelemahan ketara yang dihadapi dalam usaha menggerakkan
pembakuan sebutan baku bahasa Melayu.

4.2.1 Tiadanya apa-apa arahan rasmi daripada pihak pemerintah dalam usaha menggunakan bahasa baku secara
menyeluruh. Apa yang berlaku hanyalah arahan daripada Kementerian Pendidikan melalui Ketua Pengarah
Pendidikan pada tahun 1993, iaitu penggunaan sebutan baku di sekolah sahaja. Namun begitu arahan tersebut
terbatal melalui surat pekeliling yang dikeluaran pada tahun 2000. Dalam surat pekeliling baharu tersebut bahasa
baku hanya digunakan untuk pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu sahaja.

4.2.2 Memandangan sebutan baku berdasarkan kepada sebutan fonemik, timbul masalah sebutan bahasa Melayu yang
mirip dengan sebutan bahasa Indonesia. Ada pihak yang tidak senang dengan sebutan baku kerana seolah-olah
menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa Indonesia.

4.2.3 Bahasa Melayu merupakan bahasa yang beraneka ragam dari segi sebutan dialek dan loghatnya. Para penutur bahasa
Melayu yang sudah tersebati dengan dialek dan loghat masing-masing berasa tidak senang kerana pembakuan ini
seolah-olah mahu mematikan dialek dan loghat yang menjadi identiti sesuatu tempat, budaya, kaun dan suku kaum.

4.2.4 Pelaksanaan sebutan baku dalam konteks hebaham umum hanya dilaksanakan oleh sebuah rangkaian televisyen
swasta iaitu TV3. Banyak rancangan terbitan rangkaian televisyen ini menggunakan sebutan baku seperti rancangan
berita dan dokumentari. Sebaliknya RTM yang dimiliki oleh kerajaan tidak menggunakan sebutan baku;
menggunakan sebutan Johor-Riau.

4.2.5 Perkembangan bahasa Melayu basahan baru atau ’bahasa rojak’ yang mendapat pengaruh daripada bahasa Inggeris,
SMS, cit-cat dan perkembangan komputer telah menjadi satu kebiasaan baru dalam berbahasa bagi penutur bahasa
Melayu. Lebih membimbangkan gaya bahasa ’rojak’ ini telah mempengaruhi gaya penulisan.

5.0 RUMUSAN
Sesungguhnya usaha untuk mewujudkan sebutan baku bahasa Melayu merupakan satu usaha yang berterusan dalam
memartabatkan bahasa Melayu. Dalam usaha untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang bertaraf
dunia serta mengembalikan semula bahasa Melayu sebagai ligua franca seperti abad ke 15 yang lalu, pembakuan
dilihat sangat bertepatan sekali. Melalui penyeragaman, bahasa Melayu lebih mudah ditutur dan difahami.

Namun begitu, usaha ini nampaknya masih belum selesai dan dilihat seolah-olah tidak bersungguh. Sepatutnya
kerajaan melalui Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pelajaran, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian
Penerangan dan kementerain-kementerian yang lain bersungguh-sungguh dalam memastikan penuturan baku
bahasa Melayu dilaksanakan di semua peringkat. Apa yang berlaku kini, hanya pengajaran bahasa Melayu sahaja
menggunaan sebutan baku. Bahasa Melayu dilihat sangat berpotensi untuk terus berkembang di peringkat dunia, hal
ini boleh dilihat dengan adanya fakulti-fakulti Pengajian Melayu diwujudkan di beberapa buah universiti luar negara
seperti di China. Malah Prof Dr Awang Sariyan merupakan penyandang Kursi Pengajian Melayu Malaysia – China,
Beijing. Sekiranya pembakuan bahasa Melayu dilaksanakan dengan serius, lebih mudah lagi bahasa Melayu dipelajari
dan dipertuturkan oleh seluruh masyarakat.