Anda di halaman 1dari 9

ISI KANDUNGAN

Bahagian m/s

1. Borang Maklum Balas i

2. Isi Kandungan 1

3. Penghargaan 2

4. Penulisan Akademik 3

5. Rujukan 8

1
PENGHARGAAN

Bismillahirrahmanirrahiim,

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera,

Segala puji yang selayaknya untuk Allah, kepada-Nya kita memohon keampunan,
kepada-Nya juga kita memohon perlindungan daripada segala keburukan. Selawat dan salam ke
atas junjungan mulia Nabi Muhammad yang banyak berjasa kepada kita. Dalam melaksanakan
tugasan kerja kursus (EDUP3083) Asas Kepimpinan & Profesionalisme Guru pelbagai pihak yang
sudi telah menghulurkan bantuan dan sokongan yang sepenuhnya kepada saya. Pada
kesempatan ini, tidak lengkap sekiranya kami tidak zahirkan rasa syukur dan setinggi-tinggi
penghargaan kepada pihak-pihak yang membantu kami dalam pelbagai sudut untuk menyiapkan
tugasan ini.

Pertama sekali, kami ingin mengucapkan terima kasih khusus kepada pensyarah subjek
(EDUP3083) Asas Kepimpinan & Profesionalisme Guru, iaitu Pn. Jauriah bte Mohd Azali atas
tunjuk ajar dan bantuan beliau sepanjang kami menyiapkan tugasan ini. Beliau telah bersusah
payah dalam memberi taklimat dan tunjuk ajar kepada kami semasa proses menyiapkan tugasan
ini. Justeru itu, tanpa bantuan beliau tidak mungkin kami dapat menyiapkan tugasan ini dengan
jayanya. Selain itu, saya juga ingin berterima kasih kepada rakan-rakan yang membantu kami
melaksanakan tugasan ini. Semasa kami menerima tugasan ini daripada pensyarah, kami telah
berkerjasama ' bagai aur dengan tebing ' untuk sama-sama mencari bahan dan maklumat yang
berkaitan dengan tajuk tugasan ini. Rakan-rakan juga sanggup berkongsi maklumat tanpa
adanya sikap mementingkan diri. Lebih-lebih lagi, rakan-rakan sering memberi motivasi dalam
melaksanakan tugasan ini.

2
PENULISAN AKADEMIK

1.0 Pendahuluan
Tuntutan pendidikan pada masa kini merangkumi pembentukan individu yang bukan
sahaja mahir dengan ilmu pengetahuan, malah kemajuan dari aspek yang lain seperti kemahiran
insaniah, interpersonal dan generik juga perlu berkembang secara bersepadu selaras dengan
matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) agar dapat melahirkan seorang modal insan
yang seimbang dari segenap aspek iaitu, intelek, rohani, emosi dan jasmani. Dalam pada itu,
negara kita memerlukan warga pendidik yang profesional supaya aspirasi FPK tercapai. Justeru,
Standard Guru Malaysia (SGM) telah dibangunkan bagi memastikan guru-guru mencapai
standard yang ditetapkan, iaitu aspek nilai, pengetahuan dan kemahiran supaya dapat
melahirkan warga pendidik yang berkualiti dan profesional. Oleh itu, penulisan ini akan
memperincikan tentang pelan pembangunan diri dan kerjaya untuk menjadi seorang guru yang
profesional bermula daripada peringkat guru novis sehingga guru pakar.

2.0 Pelan Pembangunan Diri & Kerjaya Untuk Menjadi Guru Profesional
2.1 Peringkat Guru Novis
Peringkat guru novis bermula apabila seseorang individu mendaftar sebagai guru pelatih
di sesebuah institut yang menawarkan program perguruan. Pada peringkat ini, kefahaman guru
novis mengenai tugas hakiki guru masih belum lengkap serta belum memiliki kemahiran untuk
mengendalikan sesi PdPc dengan berkesan (Wong, Noriati & Boon, 2018). Justeru, guru novis
perlu mempelajari dan mengikuti kursus-kursus Asas Pendidikan agar suatu pandangan
umum terhadap profesion perguruan dapat dibentuk. Misalnya, antara kursus Asas Pendidikan
yang dipelajari secara teori oleh guru novis semasa tempoh latihan adalah perkembangan kanak-
kanak, psikologi, falsafah pendidikan dan sebagainya. Walaupun guru novis belum dapat
mempraktikkan segala teori dan teknik yang telah dipelajari ke situasi pengajaran dan
pemudahcaraan (PdPc) yang sebenar, namun sikap profesionalisme mula dibentuk apabila guru
novis mempunyai pengetahuan terhadap bidang yang diceburi (Caroline David & Abdul Said,
2014).

Selain itu, guru novis juga telah didedahkan dengan situasi alam persekolahan yang
sebenar melalui program Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) dan praktikum. Melalui
program ini, guru novis secara tidak langsung dapat menimba ilmu pengetahuan dan kemahiran
baru dalam bidang perguruan itu sendiri agar lebih berkompetensi dan berkeyakinan (Muhammad
Sani, 2007). Justeru, kompetensi oleh guru novis perlulah dipupuk dari awal supaya dapat

3
menjadi seorang guru yang profesional. Selain itu, guru novis juga mempraktikkan teori, kaedah
dan teknik yang telah dipelajari agar dapat menyesuaikan diri terhadap perbezaan yang wujud
dalam kalangan murid. Hal ini selaras dengan pendapat Janelle Cox (2016) bahawa sikap
profesional seseorang guru terbentuk apabila mereka dapat menyesuaikan diri terhadap
persekitaran baru dengan baik. Tuntasnya, pelan pembangunan ini telah menyediakan asas yang
kukuh kepada pembentukan identiti guru novis untuk menjadi seorang guru yang profesional.

2.2 Peringkat Guru Novis Lanjutan


Seseorang guru dianggap sebagai guru novis lanjutan setelah beliau menerima tawaran
lantikan ke jawatan guru dalam perkhidmatan pendidikan. Walaubagaimanapun, tahap
kompetensi guru pada peringkat ini masih berada pada tahap yang minimum. Justeru, guru
novis lanjutan perlu mengikuti program yang berkaitan dengan perkembangan profesion
seperti kursus pedagogi. Melalui program ini, guru dapat meningkatkan kemahiran dalam
merancang PdPc serta meningkatkan keupayaan menggunakan kepelbagaian strategi PdPc di
bilik darjah. Kompetensi guru dapat dilihat melalui program ini apabila guru berusaha meningkat
kualiti pengajaran dari semasa ke semasa bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang
kondusif selaras dengan amalan nilai dalam SGM, iaitu yang menekankan kemahiran guru
terhadap pengajaran dan pembelajaran. Oleh itu, jelaslah bahawa kursus pedagogi dapat
meningkatkan profesionalisme guru melalui kompetensi dalam pedagogi.

Selain itu, guru ini juga perlu mengikuti Program Transformasi Minda (PTM) yang
bertujuan memberi pendedahan kepada falsafah pembentukan negara, jentera pentadbiran
kerajaan dan peraturan asas perkhidmatan awam serta pembentukan jati diri bagi menghadapi
sebarang cabaran dan jangkaan pelanggan. Melalui program ini, identiti patriotisme dapat
dilahirkan terhadap guru serta mereka berperanan sebagai agen sosialisasi kepada masyarakat.
Hal ini selaras dengan keperluan aspek pertama dalam SGM yang menyatakan bahawa sikap
patriotisme merupakan amalan nilai profesionalisme keguruan yang perlu dicapai oleh setiap guru
untuk menjadi warga pendidik yang profesional dan mempunyai kompetensi yang tinggi
(Muhammad Suhaimi, 2014). Jelaslah bahawa profesionalisme guru dapat dibangunkan melalui
peningkatan kompetensi.

4
2.3 Peringkat Guru Cekap
Guru novis lanjutan akan berganjak kepada guru cekap setelah beliau berkhidmat selama
lima tahun dalam bidang pendidikan. Bagi membentuk seseorang guru yang profesional, maka
guru perlu menyambung pelajaran ke peringkat seterusnya bagi mendalami ilmu
pengetahuan yang berkaitan dengan pendidikan masa kini. Ciri profesional guru abad-21,
iaitu membudayakan pembelajaran sepanjang hayat dapat ditonjolkan melalui program
peningkatan akademik ini. Hal ini disokong oleh Intan Shazila (t.t.) bahawa melalui peningkatan
akademik ini, guru akan sentiasa meneroka ilmu pengetahuan yang baru agar pengetahuan
tersebut selaras dengan tuntutan pendidikan semasa. Justeru, guru yang mempunyai
pengetahuan mendalam tentang keperluan pendidikan masa kini dapat diwujudkan. Hal ini
disokong oleh Abd Karim Alias (2012) bahawa sikap profesional guru ditonjolkan apabila
seseorang guru yang menguasai kandungan dan kemahiran pedagogi mampu menerangkan
idea dengan berkesan supaya lebih difahami oleh murid. Hal ini selaras dengan aspek kedua
dalam SGM yang menuntut guru supaya mempunyai pengetahuan yang mantap agar dapat
meningkat profesionalisme keguruan.

Selain itu, bagi memastikan sikap profesional guru berkembang, maka guru tersebut
hendaklah sentiasa menambah baik amalan PdPc di bilik darjah dengan melakukan kajian
tindakan. Melalui kajian tindakan ini, guru akan menganalisis kelemahan atau masalah yang
terdapat pada diri mereka ataupun guru lain untuk tujuan menambah baik amalan PdPc pada
masa akan datang. Hal ini selaras dengan aspek kedua dalam SGM, iaitu iaitu kompetensi
profesional dapat dicapai melalui penyelidikan bagi mengatasi kelemahan dalam amalan PdPc
supaya mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif. Hal ini disokong oleh Faizah
Abdul Majid (2016) bahawa amalan penyelidikan dapat menonjolkan sikap profesional guru
kerana guru tersebut berusaha menguasai ilmu pengetahuan bagi meningkatkan kualiti PdPc.

2.4 Peringkat Guru Mahir


Seseorang guru dianggap sebagai guru mahir apabila beliau telah berkhidmat di dalam
dunia pendidikan selama 10 tahun. Bagi memastikan profesionalisme guru dapat berkembang
pada peringkat ini, guru mahir boleh berkongsi pengalaman serta idea kepada guru novis
melalui program permentoran. Hal ini kerana pengalaman dan pandangan guru mahir amat
diperlukan oleh guru novis supaya mereka dapat mempelajari tentang budaya kerja sekolah serta
mendapatkan pengetahuan yang lebih mendalam berkaitan sistem pendidikan negara (Rosli
Yacaob & Wan Salha, 2007). Justeru, guru mahir perlu membuat pencerapan klinikal terhadap
terhadap kemahiran mengajar guru novis supaya mereka dapat membina keyakinan diri serta

5
membuat penambahbaikan terhadap proses pengajaran. Hal ini disokong oleh Zahanim Ahmad
& Qurratu ‘Aini Syamimi (2018) bahawa sikap profesionalisme guru mahir terserlah melalui
pencerapan klinikal kerana sokongan dan sikap positif terhadap guru novis supaya mereka dapat
berkembang dengan baik.

Selain itu, guru mahir juga haruslah menjadi penggerak dalam membudayakan
‘Profesional Learning Community’ (PLC) di sekolah seperti ‘teacher sharing session’, ‘buddy
support’ dan sebagainya. Menurut Rahimah Ahmad (1981), PLC adalah proses berterusan yang
melibatkan guru dan pentadbir yang bekerja secara kolaboratif bagi mengenal pasti dan
berkongsi pengetahuan, dan diikuti dengan pengamalan pengetahuan tersebut bagi
meningkatkan profesionalisme diri bagi meningkatkan pencapaian murid. Melalui pelan ini, guru
mahir dapat berkongsi idea, pengalaman dan kemahiran dengan guru yang lain supaya dapat
memberi impak yang positif terhadap amalan profesional keguruan serta memantapkan etika
kerja guru. Hal ini disokong oleh Muhammad Faizal & Gary (2013) bahawa proses kolaboratif
antara rakan sekerja dapat meningkatkan profesionalisme seseorang guru.

2.5 Peringkat Guru Pakar


Guru mahir beralih kepada peringkat guru pakar setelah beliau berkhidmat dalam dunia
pendidikan untuk satu jangka masa yang panjang, iaitu 15 tahun. Bagi memastikan
profesionalisme guru pakar dapat dibentuk, guru pakar perlu menganjurkan perkongsian
pintar seperti seminar, bengkel dan simposium yang berkaitan dengan amalan pedagogi,
strategi PdPc, isi kandungan mata pelajaran dan sebagainya kepada guru-guru yang lain.
Perkongsian pintar ini dilihat dapat memberi impak yang positif terhadap kualiti serta amalan
pengajaran kepada guru yang mengikuti kursus yang dianjurkan oleh guru pakar (Mohd Salleh,
2014). Hal ini kerana guru pakar merupakan individu yang berautoriti terhadap bidangnya di mana
idea dan kemahiran yang diutarakan oleh beliau mampu mempengaruhi amalan sekumpulan
guru dalam proses PdPc. Justeru, sikap profesional guru pakar dapat dilihat apabila pengetahuan
kemahiran yang dimiliki oleh guru pakar dapat memberi impak yang positif untuk dimanfaatkan
kepada guru lain bagi meningkatkan pengetahuan dan amalan pedagogi.

6
3.0 Rumusan
Tuntasnya, pelan pembangunan diri dan kerjaya yang diketengahkan dapat dijadikan
sebagai medium transformasi seseorang guru untuk menjadi warga pendidik yang mempunyai
sikap profesional. Sikap profesional seseorang guru amat diperlukan kerana guru merupakan
penentu utama kejayaan segala dasar negara yang berkaitan dengan pendidikan. Hal ini
bertujuan agar segala aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 dapat
dicapai dengan jayanya. Oleh itu, kita hendaklah berganding bahu dengan pihak kerajaan dalam
menjadikan sektor pendidikan sebagai Bidang Utama Keberhasilan Negara (NKRA) yang sudah
pasti dapat menyuluh masa depan negara.

7
RUJUKAN

Abdul Karim Alias (2012). The quest for excellence in teaching. Pulau Pinang: Universiti Sains
Malaysia

Caroline D. & Abdul Said Ambotang. (2014). Profesionalisme Guru Novis dalam Pengurusan
Pengetahuan, Kesediaan Mengajar dan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) Terhadap
Pelaksanaan Pengajaran di Sekolah. Retrieved from https://www.ums.edu.my/fpp/978-
967-0582-32-0.pdf

Faizah Abdul Majid. (2016). Kajian tindakan dan pembangunan profesional guru-guru di malaysia:
cabaran dan strategi. Retrieved from https://www.researchgate.net/310773147

Intan Shazila. (t.t.). Membudayakan pembelajaran sepanjang hayat di malaysia. Rerieved from
https://www.academia.edu/22378108

Low S. F., Amiruddin Zainuddin & Rafidah Ruhani. (2014). Standard guru malaysia: tahap
pengetahuan guru pelatih pismp ipg kampus ilmu khas. Retrieved from
http://ipgkik.com/v2/wp-content/uploads/2015/05/Artikel7_2014.pdf

Mohammed Sani Ibrahim. (2007). Strategi Menginstitusikan Program Mentoran Ke Arah


Perkembangan Kerjaya Guru-guru Novis Di Malaysia. Retrieved from

Mohd Salleh Mahat. (2004). Perkongsian dalam pendidikan-fokus di sekolah. Retrieved from
http://www.ipbl.edu.my/portal/penyelidikan/jurnalpapers/Jurnal2004/mohd2004.pdf

Muhammad Faizal & Gary (2013). Amalan komuniti pembelajaran profesional: perspektif
pemimpin sekolah cemerlang negara maju. JuKu: Jurnal Kurikulum & Pengajaran Asia
Pasifik, Bil. 1 Isu 3, 10-29

Muhamad Suhaimi Taat. (2014). Profesionalisme Keguruan. Utusan Borneo. Retrieved from
http://eprints.ums.edu.my/9961/1/nc0000004598.pdf

Rahimah Ahmad (1981). The relationship between and among leadership behavior, school
climate and student achievement. Retrieved from https://umexpert.um.edu.my/file/
/00007485_112157.pdf

Rosli Yacaob & Wan Salhah Wan Mamat. (2007). Sosialisasi guru permulaan di sekolah rendah.
Jurnal Pendidikan, Jilid 27 (1) (135-145).

8
Wong K. W., Noriati A. Rashid & Boon. P. Y. (2018). Asas Kepimpinan dan pembangunan
profesionalisme guru: edisi kedua. Selangor Darul Ehsan: Oxford Fajar.

Zahanim Ahmad & Qurratu ‘Aini Syamimi. (2018). Konsep mentoring dalam kalangan guru: satu
penelitian awal. Retrieved from http://conference.kuis.edu.my/eprosiding1/.pdf

Anda mungkin juga menyukai