Teks Pidato Bahasa
Teks Pidato Bahasa
Assalamualikum W.B.H
Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis ,barisan panel Hakim yang arif lagi
bijaksana yang sedang menjunjung mahkota keadilannya ,penjaga masa yang
sentiasa peka dengan detak jamnya, para perserta yang saya kagumi serta hadirin
dan hadirat yang saya hormati.
Sebagai pembuka tirai perbincangan yang pertama, adalah baik jika kita
menelusuri akar-akar cerucuk sejarah sebelum terbentangnya hamparan indah
negara Malaysia. Apabila memorabilia ini membawa kita ke ratusan tahun yang
lampau, nyatalah bahawa Bahasa Melayu sudah berfungsi sebagai lingua franca
yang didefinisikan sebagai bahasa perantaraan antara masyarakat pada zaman
itu.Hal ini dapat dibuktikan dengan jelas apabila kita meneliti catatan ilmuwan
Inggeris seperti R.O. Winsted yang menunjukkan bahawa Bahasa Melayu telah
digunakan sebagai bahasa perdagangan yang mengeratkan hubungan masyarakat
yang berkunjung ke Melaka ketika itu. Daripada golongan pendeta sehinggalah ke
golongan biasa, setiap insan di Melaka ketika itu berkomunikasi dengan bahasa
tercinta kita yang tidak lapuk dek hujan tak lekang dek panas. Tidak lain dan tidak
bukan,sudah tentulah Bahasa Melayu. Nah, apa lagi yang kita pertikaikan tentang
kemampuan bahasa kebangsaan kita sebagai wadah perpaduan? Berdasarkan
perkara ini, jelaslah bahawa hamparan sejarah jelas membuktikan bahawa bahasa
Melayu mampu menjadi bahasa perpaduan yang cemerlang di dunia.
Melalui bahasa Melayu, sebarang konfrantasi, buruk sangka dan salah faham
antara kaum dapat dikikis dengan mudah. Saya suka untuk meminjam kata-kata
pujangga pendeta Zaa’ba yang berbunyi ‘bahasa menunjukkan bangsa’. Apabila kita
melihat masyarakat bertutur dalam bahasa Melayu, sudah terang lagi bersuluh
bahawa mereka ialah bangsa Malaysia. Daripada kata-kata hikmat tersebut, saya
sangat percaya bahawa bahasa Melayu sedikit sebanyak akan mengurangkan
semangat ‘kecinaan’, kemelayuan’ ataupun ‘keindiaan’.
“Haiya, ini balang mana ada halga, dia punya bau saya macam mau pengsan
ah”
“Tambi, itu worang mau roti satu, kari ikan kapla satu”
Sebagai penutup tirai wacana ilmu kita pada hari ini, saya suka ingin
mengingatkan kepada khalayak hari ini bahawa rakyat yang memperlekehkan
bahasa kebangsaan akan merosakkan perpaduan yang kita kecapi selama ini. Tidak
keterlaluan saya katakan bahawa insan inilah anasir yang menodai kebahagiaan kita
di bawah berkat Satu Malaysia. Oleh itu, sayangilah bahasa Melayu kita, hormatilah
bahasa kebangsaan kita kerana bahasa Melayu tonggak perpaduan bangsa.
Sekian,assalamualaikum w.b.t