Anda di halaman 1dari 1

KEPENTINGAN MEMELIHARA WARISAN NEGARA

Warisan kebangsaan merupakan khazanah penting yang telah diwarisi sejak zaman-
berzaman seperti A-Famosa, Tugu Negara, bangunan Stesen Kereta Api Kuala Lumpur dan
Stadium Merdeka. Sungguhpun begitu, generasi pada masa kini semakin memandang sepi
terhadapnya kerana tahap kesedaran mereka terlalu rendah. Sepatutnya, mereka harus
menyedari bahawa warisan kebangsaan ini perlu dipelihara kerana ia mempunyai seribu satu
makna di sebaliknya.

Antara kepentingan memelihara warisan kebangsaan ialah menjadi daya tarikan


pelancong sama ada pelancong domestik mahupun antarabangsa. Pengekalan bahan-bahan
tinggalan penjajah telah menggamit hati para pelancong untuk melihat sendiri tentang
keunikan ciptaan masyarakat terdahulu. Senario ini dapat dibuktikan menerusi peningkatan
bilangan pelancong di bandar warisan seperti Georgetown, Melaka dan Kota Bahru yang
amat ketara dalam tempoh 1990 hingga 1997. Ini bermakna, warisan kebangsaan merupakan
salah satu penyebab utama industri pelancongan begitu rancak sekaligus menyumbang
kepada peningkatan ekonomi negara.

Warisan negara juga dapat memupuk semangat patriotik dalam jiwa generasi pada masa
kini. Semangat ini akan lahir dengan sendirinya apabila generasi muda dapat merasakan
semangat perjuangan pahlawan-pahlawan negara dalam mempertahankan tanah air yang
tercinta. Nama-nama pejuang yang telah terkorban ada tercatat di Tugu Negara untuk tatapan
semua. Justeru, generasi muda tidak akan menjadi seperti kacang lupakan kulit kerana
mereka akan sentiasa mengenang jasa dan pengorbanan pejuang dalam mempertahankan
negara. Oleh itu, pemeliharaan warisan negara ini sangat penting untuk melahirkan generasi
yang berjiwa patriotik dan cinta akan tanah air.

Di samping itu, nilai seni dan estetika juga berupaya dikekalkan. Bangunan-bangunan
lama seperti Stesen Keretapi Kuala Lumpur mempunyai nilai seni yang tinggi dan tidak
terdapat pada bangunan-bangunan sekarang. Seni binanya sangat unik dan indah serta
menggambarkan cita rasa arkitek pada ketika itu. Oleh itu, bangunan-bangunan lama ini
mungkin menjadi sumber inspirasi kepada arkitek baharu untuk membina bangunan-
bangunan yang bukan sahaja indah malah mempunyai nilai seni yang sangat mengagumkan.

Lebih penting lagi, usaha memelihara warisan negara ini dapat mengenang sejarah
penting yang berlaku di negara kita. Bangunan lama yang diberi nafas baru dapat
mengembalikan nostalgia yang sungguh bermakna buat semua. Contohnya, Stadium
Merdeka telah menjadi saksi bisu terhadap kemerdekaan negara. Laungan kemerdekaan yang
diketuai oleh Y.T.M Tunku Abd. Rahman Putra Al-Haj pada 31 Ogos 1957 telah berlangsung
di stadium ini. Sekiranya bangunan ini tidak dipelihara kemungkinan besar generasi muda
akan melupakan sejarah-sejarah penting negara.

Tuntasnya, masyarakat Malaysia perlu peka akan kepentingan pemeliharaan warisan


kebangsaan. Justeru, segala usaha perlu dipergiat untuk memastikan khazanah negara ini tak
lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Boleh dikatakan bahawa pemeliharaan dan
pengekalan warisan ini dapat mempertingkatkan imej dan identiti negara di persada dunia.