Anda di halaman 1dari 3

Kawalan Kelas Semasa Proses Pengajaran dan Pembelajaran

Oleh
Nursyafiqah binti Madnan
PISMPPM1614

1. Masalah/Peristiwa

Kini sudah memasuki minggu kelima saya berpraktikum di Sekolah Kebangsaan Dato’ Mohd
Musa. Antara masalah yang saya hadapi adalah tentang beberapa orang murid yang sukar dikawal
semasa guru sedang melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah.
Contohnya, terdapat murid yang mengganggu rakannya ketika saya sedang melaksanakan proses
pengajaran dan pembelajaran. Pada masa yang sama, ada di antara mereka yang sering mengadu
tentang sikap rakan-rakannya yang turut mengganggu perjalanan PdP.

Seperti yang diketahui umum, proses pengajaran dan pembelajaran bagi kelas pemulihan ini
agak berlainan dengan proses PdP kelas perdana. Terdapat 3 segmen yang dilaksanakan dalam
kelas pemulihan iaitu interaksi PdP, aktiviti pengukuhan dan lembaran kerja. Oleh itu, murid
pemulihan turut dibahagikan kepada 3 kumpulan mengikut kemahiran yang dikuasai. Ketiga-tiga
segmen ini akan dijalankan serentak secara bergilir-gilir mengikut kemahiran murid. Semasa set
induksi berlangsung, murid-murid kelihatan seronok dan terkawal. Lebih-lebih lagi set induksi yang
melibatkan pergerakan murid. Contohnya nyanyian berirama. Namun begitu, saya mendapati bahawa
keadaan kelas sukar dikawal apabila murid duduk dalam kumpulan masing-masing dan
melaksanakan tugasan mengikut segmen tertentu.

Sebagai contoh, apabila saya mengajar kumpulan 1 semasa interaksi PdP, kumpulan 2 akan
mengikut aktiviti pengukuhan seperti bermain lastik huruf. Manakala kumpulan 3 akan menjawab
lembaran kerja. Oleh itu, murid dari kumpulan 2 dan 3 mula menunjukkan sikap negatif mereka
kerana kurang kawalan guru dalam segmen tersebut. Kumpulan 2 terutamanya akan bermain lastik
huruf dengan sesuka hati. Mereka akan melastik barang-barang yang terdapat di kelas pemulihan
dan melanggar syarat bermain lastik huruf. Keadaan kelas akan menjadi riuh rendah dan tidak
terkawal. Tambahan pula, ada di antara ahli kumpulan mereka yang mula mengadu sikap rakan
sekumpulannya. Suasana PdP menjadi semakin sukar dikawal dengan sikap murid kumpulan 3 yang
tidak menjawab lembaran kerja dan berbincang perkara diluar pengajaran.

2. Analisis Masalah

Menurut T.H. Gan (1999), semua inovasi dalam pembelajaran memerlukan masa untuk guru
mencari jalan pelaksanaan yang paling sesuai dengan konteks kelasnya dan murid-murid juga
memerlukan masa untuk memahami peranan mereka.
Oleh itu, bagi mengenal pasti punca-punca murid sukar dikawal semasa proses pengajaran
dan pembelajaran dijalankan di dalam bilik darjah, saya akan menyenaraikan dan menganalisis
dengan soalan-soalan berikut :
a.
b. Adakah murid faham konsep aktiviti berkumpulan?
c. Adakah murid mendengar dan memahami arahan yang disampaikan oleh guru?
d. Adakah murid suka dengan aktiviti yang dijalankan di dalam bilik darjah?
e. Adakah saya perlu mempelbagaikan lagi aktiviti yang dirancang?

Setelah membuat pemerhatian dan membuat sedikit perbincangan dengan beberapa orang guru,
saya mendapati bahawa :
a) Murid menyukai aktiviti pengukuhan yang diberi tetapi sukar untuk melaksanakannya
dalam keadaan terkawal.
b) Murid perlu rajin untuk berbincang dengan rakan sekumpulan jika tidak dapat menjawab
lembaran kerja yang diberi.
c) Guru perlu merancang aktiviti pengukuhan yang lebih menarik dan memerlukan murid
melaksanakannya dalam keadaan terkawal.
d) Membuat aktiviti yang melibatkan tahap kognitif dan mereka cipta yang lebih mencabar
e) Guru perlu menyediakan sistem ganjaran dan dendaan yang lebih efektif agar murid lebih
berdisiplin.

Selain itu, saya beranggapan bahawa murid-murid yang mengalami masalah tingkah laku
yang sukar dikawal ini sebenarnya hanya ingin mendapatkan perhatian yang lebih daripada guru
sahaja. Murid ini sengaja melakukan perkara yang boleh menimbulkan masalah agar guru
memberikan perhatian yang lebih terhadap dirinya. Saya perlu mengambil tindakan segera untuk
mengubah tingkah laku negatif murid ini kepada tingkah laku yang positif supaya kawalan kelas
dapat dijalankan dengan baik.

3. Cadangan Tindakan Susulan.

Eileen (2000) dalam kajiannya tentang kawalan kelas berpendapat bahawa selalunya sistem
kawalan kelas yang lemah menjadi punca utama kebanyakan proses PdP tidak dapat dijalankan
dengan baik. Keadaan ini timbul disebabkan oleh beberapa perkara seperti kurangnya minat murid
terhadap PdP serta kaedah tradisonal dalam proses PdP masih digunakan. Tambahan pula,
kurangnya rasa hormat kepada guru serta hilang rasa tanggungjawab sebagai seorang murid
menyebabkan mereka sering tidak mengendahkan tugasan dan arahan yang diberikan oleh guru.
Oleh itu, saya perlu merancang tindakan susulan yang lebih teliti agar masalah kawalan kelas dapat
dibendung dengan baik.

Model Disiplin Asertif Canter (1976) merupakan satu model untuk memodifikasikan tingkah laku
seseorang murid. Model ini menekankan hubungan yang positif antara guru dan pelajar. Guru
menerangkan kehendak dan peraturan yang diingini kepada pelajar. Penerangan ini penting kerana
setiap tingkah laku pelajar akan memberi kesan sama ada positif atau negatif. Dengan kata lain
model ini mengutamakan kepentingan disiplin di dalam bilik darjah. Terdapat beberapa prinsip model
yang dilaksanakan dalam model Canter iaitu:

 Guru perlu memberi peneguhan terhadap tindakan pelajar dengan wajar.


 Guru harus merangka sistem dendaan dan ganjaran yang boleh dijadikan rujukan murid
mengenai tingkahlaku yang baik dan buruk.

Berdasarkan model tersebut, antara langkah yang perlu diambil untuk mendapatkan kawalan
kelas yang baik ialah :

a. Memantau setiap pergerakan dan perlakuan murid.


b. Membina komunikasi yang baik dengan murid supaya murid memahami kehendak
guru.
c. Menggunakan sistem token bagi setiap aktiviti yang dijalankan dan memberikan token epal
kepada kumpulan yang menjalankan aktiviti dengan baik dan senyap.
d. Mengenakan dendaan kepada murid yang mengganggu perjalanan PdPc.
4. Tempoh masa.

Tempoh : 7 hingga 11 Ogos 2017

Saya akan menerangkan tugasan dalam aktiviti pengukuhan dengan jelas agar setiap murid
mengetahui dan memahami tugas masing-masing. Hal ini bertujuan supaya semua murid lebih
fokus dengan tugas yang diberi oleh guru. Saya akan membuat langkah penambahbaikan
terhadap aktiviti-aktiviti yang dijalankan pada masa akan datang agar semua murid dapat dikawal
dengan baik. Saya akan menarik semula token epal murid jika murid tersebut sering menimbulkan
masalah walaupun telah diberi amaran. Dendaan akan dikenakan kepada murid yang tidak dapat
mematuhi arahan guru.

5. Kemajuan Tindakan Susulan

Antara langkah yang telah berjaya saya laksanakan pada minggu kelima ini ialah sebelum
memberi tugasan untuk aktiviti pengukuhan, saya telah memberi arahan dengan jelas kepada semua
murid agar mereka faham tugas masing-masing dan tidak mengganggu rakan yang lain. Kesannya,
murid kelihatan memahami peranan masing-masing dalam setiap permainan semasa aktiviti
pengukuhan dan murid lebih fokus semasa menjawab lembaran kerja.

Kedua, saya telah membuat penambahbaikan terhadap aktviti pengukuhan supaya murid
lebih diam dan fokus dalam melaksanakan kerja secara individu. Tindakan ini penting bagi
mengelakkan murid mengganggu rakan yang lain. Ternyata aktiviti ini telah berjaya membuatkan
murid fokus dengan kerja masing-masing. Malah sepanjang mengajar, saya turut mengingatkan
murid bahawa sesiapa yang membuat bising token epalnya akan ditarik semula. Dendaan akan
dikenakan jika murid mengingkari arahan guru. Murid kembali senyap dan fokus dengan kerja
masing-masing. Kesannya, kelas dapat dikawal dengan baik dan teratur. Secara kesimpulannya,
masalah bagi jurnal lima telah berjaya di atasi dengan menggunakan Model Disiplin Asertif Canter.
Saya berharap agar kawalan kelas yang baik ini akan dapat diteruskan sepanjang masa

Rujukan

Mok Soon Sang (2011). Bimbingan Dan Kaunseling Kanak-Kanak. Selangor: Penerbitan Multimedia

Sdn Bhd.

Keow, C. L. (2011). Murid dan Alam Belajar. Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman.

https://www.slideshare.net/dimidur/model-disiplin-asertif-canter

http://www.ipbl.edu.my/portal/penyelidikan/BukuKoleksi/2012/SN/12.%20%20NGU%20MEE
%20KOK.pdf