Anda di halaman 1dari 8

REDHA ITU IKHLAS, PASRAH ITU MENYERAH

Oleh : Nurhafizah binti Abdul Sambah

Yusra, satu nama yang mudah disebut. Diberikan nama itu agar anak itu

menjadi seorang yang mempermudahkan urusan orang lain dengan harapan

ia sama dengan maksud perkataan Yusra tersebut. Hidup bukan dalam

keadaan yang senang namun Yusra berbeza daripada adik beradiknya yang

lain. Sejak kecil lagi, dia sering memilih buku sebagai temannya mengisi masa

lapang dan sering dimanjakan oleh ibubapanya.

Keluarga Yusra tinggal kawasan jauh dari bandar dan ibubapanya bekerja

sebagai petani. Merupakan satu-satunya anak perempuan dalam keluarganya,

Yusra dijaga dan sentiasa di kawal oleh adik beradik lelakinya yang lain. Yusra

mempunyai seorang abang dan 2 orang adik lelaki. Abangnya, Yazid

sudahpun bekerja, 2 orang adik lelakinya masing-masing masih bersekolah

rendah. Yusra? Dia pelajar sekolah menengah, masih di tingkatan lima dan

bakal menghabiskan zaman sekolah menengahnya tidak lama lagi.

“Ayah, Ibu! Yusra ke sekolah dulu ya!” ujar Yusra sebelum berangkat ke

sekolah. Dalam kalangan adik-beradiknya, dia seorang sahaja yang menjadi

harapan ibu ayahnya untuk masa depan keluarga mereka. Bukan sahaja

pandai namun, satu impian Yusra ialah dia amat minat bersukarelawan.

Walaupun dirinya seorang perempuan, dan bersukarelawan itu agak sukar

bagi seorang perempuan, itu tidak mematahkan semangatnya untuk

menceburi bidang tersebut.


“Abang, Yusra ada cakap dengan saya. Dia nak ikut sukarelawan ke

Indonesia.” kata ibu Yusra, Mak Siti kepada suaminya, Pak Dollah. “ Awak

tahu kan anak kita tu perempuan, tak habis sekolah menengah pun lagi.

Takkan awak nak benarkan dia ikut program dia tu?” kata Pak Dollah sambil

memakai kasutnya untuk bersiap-siap ke sawah. Mak Siti hanya mampu

mengeluh, dan tahu bahawa suaminya memang tidak akan membenarkan

anak mereka yang satu-satunya perempuan berjauhan daripada mereka

apatah lagi ke seberang sana, Indonesia. “Saya tahu bang, tapi abang sendiri

tahu Yusra macam mana kalau kita tak izin dia pergi. Abang cakaplah dengan

dia nanti ya.” jawab Mak Siti mengharap suaminya akan berbincang baik-baik

dengan Yusra kerana dia tahu Yusra seorang yang keras kepala. “Hmm, ye

lah” ujar Pak Dollah, menghidupkan motornya dan terus ke sawah.

“ Weh, korang janji eh semua kena betul-betul pujuk mak ayah korang. Aku

dah dapat izin dah ni.” ujar Ruhil, antara teman baik Yusra di sekolah

menengah. “Eh, aku dah dapat eh. Parents aku ok je. Diorang lagi bagi sebab

nak aku timba pengalaman, bukan selalu kan ke Indonesia. Hahaha.” sampuk

Amelina, teman Yusra yang gembira dapat keizinan ibu bapanya untuk aktiviti

sukarelawan tersebut. Yusra hanya mampu tersenyum dan gelak melihat

telatah kawan-kawannya. Dalam hatinya terdetik pasti dia juga dapat meminta

izin daripada keluarganya untuk aktiviti sukarelawan tersebut, memandangkan

kawan-kawannya sudah mendapatkan restu ibubapa masing-masing. Lagipun,

dia sudah meminta ibunya untuk slow talk dengan ayahnya tentang hasratnya

itu.

Pulang dari sekolah, Yusra terus meluru ke ruang tamu mencari ibunya. “Mak

pergi mana pula dah ni.”detik Yusra dalam hati. Mak Siti saja tidak berada
dirumah, dia tahu anaknya akan cari dia untuk minta jawapan. “Takpalah, mak

jalan ke kedai kot..hmm.” Yusra berkata dalam hati. Dia berusaha untuk sabar

dan redha dengan jawapan ibubapanya nanti walaupun dia tahu dia sukar

untuk mengawal perasaannya. Malam itu, barulah Mak Siti dan Pak Dollah

pulang dari pekan dengan membawa macam-macam jenis makanan, dan

kebanyakkannya adalah makanan kegemaran Yusra. “Wahhhh, mak ayah

balik bawa makanan banyak laaa!” kata Afif, adik Yusra berumur 11 tahun. “Eh,

tapi ni macam semua makanan kesukaan Angah je”sampuk Apit, adik Yusra

yang berumur 9 tahun. “ Haa, ni mak beli untuk Angah. Ada juga untuk kamu

berdua ni ha.” kata Mak Siti. Yusra dengar riuh di ruang tamu, lalu dia segera

keluar dari biliknya dan terlihat ibu bapanya banyak membeli makanan

kegemarannya. “eh, beli banyak-banyak ni kenapa ayah?” tanya Yusra. Yalah,

kehidupan keluarga mereka bukanlah keluarga berada tetapi membeli

makanan sebanyak itu jarang berlaku. Yusra mengabaikan makanan tersebut

ketika teringat hajatnya yang telah dia sampaikan pada ibunya, lalu segera dia

pergi kepada ibunya dan berbisik. “Ibu, ayah cakap apa yang..” “Angah, mari

sini ayah nak bincang sikit.” kata Pak Dollah. Belum sempat Yusra habiskan

ayatnya, Pak Dollah telahpun memanggilnya. “ Kenapa ayah?” tanya Yusra.

“ Ayah nak beritahu. Angah tak payah la ikut program sukarelawan tu.

Bukannya ayah tak bagi, ayah risau. Angah masih sekolah menengah lagi.

Keselamatan Angah masih tanggungjawab ayah. Boleh ye.” ujar Pak Dollah

dengan lembut. “Ayah, ayah tahukan Angah memang suka sukarelawan tu.

Angah nak bantu orang Islam dekat sana. Angah tak pandai bagi tazkirah, tak

petah bercakap depan. Tapi, Angah nak bantu melalui sukarelawan tu. Angah

nak tolong masyarakat Islam dekat sana..” jawab Yusra lembut. Walaupun dia
tahu, keputusan ayahnya adalah keputusan muktamad. Pak Dollah terdiam,

lalu Yusra masuk ke biliknya tanpa menjamah sedikitpun makanan yang

ibubapanya telah beli petang tadi.

Sukarelawan. Ya, itu merupakan impian Yusra sejak kecil. Sejak kecil dia

melihat betapa perlunya masyarakat Islam diluar sana akan bantuan

kemanusiaan. Negara-negara Islam khususnya Palestin, Syria dan Gaza yang

telah sekian lama berperang tanpa ada kesudahan membuatkan hasrat Yusra

itu semakin berkobar untuk membantu mereka. Namun, ada satu negara yang

ingin dia kunjungi serta membantu masyarakat di sana iaitu negara Chad.

Chad, sebuah negara yang mempunyai sebahagian besar masyarakat Muslim

berkulit hitam. Terletak di tengah-tengah benua Afrika, ia menjadi tarikan

tempat utama bantuan kemanusiaan apabila lebih kurang 14 juta penduduk

Chad menghadapi kekurangan bekalan air dan makanan. Diiktiraf sebagai

negara keempat termiskin seluruh dunia, penduduk Chad turut mengalami

gejala penyakit yang teruk akibat kekurangan sumber makanan dan air

terutamanya kanak-kanak yang masih kecil. Penduduk Chad juga tidak

mendapat prasarana pendidikan yang mencukupi, hidup mereka seolah tiada

arah tuju dan hanya menunggu seruan Ilahi sahaja. Disebabkan itu, Yusra

menanamkan impian untuk ke sana. Membantu dan ingin merasa penderitaan

masyarakat Islam di sana.

Malam itu, Yusra ingin menenangkan hatinya yang sedang bergejolak dan dia

mengambil tafsir Al Qurannya. Dia membacanya, dan terhenti pada ayat 23

surah al Israa’ yang bermaksud, “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya

engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan

hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari
keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan

dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang

perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau

menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan

yang mulia (yang bersopan santun).”

Yusra tersentak. Yusra menghabiskan bacaan dan meletakkan tafsir Al

Qurannya di atas meja kemudian melihat bulan yang sedang mengambang di

luar jendelanya. Dia memikirkan perlakuannya terhadap ayahnya petang tadi.

“Kesian ayah.” detik hatinya. Siapalah dia ingin membantah arahan ayahnya.

Lelaki itu yang membesarkan dia, menjaga dia dari kecil dan menyara dia

hingga kini. Dia rasa bersalah, impiannya mungkin boleh digapai tapi ayahnya

tidak ada gantinya. Dia lihat telefonnya dan skrin telefon memaparkan jam 1

pagi. “Takpalah, esok minta maaf dengan ayah.” pujuk hati kecilnya.

Azan berkumandang memecahkan kesunyian subuh di kampung. Pak Dollah

segera bangkit mengejutkan isterinya dan anak-anaknya yang lain bagi

menunaikan solat Subuh seperti biasa. Setelah selesai menunaikan solat

Subuh berjemaah, Yusra bangun mendekati ayah dan ibunya. Dia

menghulurkan tangan untuk menyalam ayahnya. “Ayah, Angah minta maaf.

Angah tak sepatutnya bantah cakap ayah.” Air mata Yusra jatuh. Dia

mengambil tangan yang berkerut itu dan ditatapnya. “Tangan ini yang

bersusah payah membesarkan aku dan tangan ini yang bekerja siang malam

untuk memastikan kelengkapan aku sentiasa cukup.” hatinya berkata.

“Janganlah menangis. Ayah cuma risau keadaan Angah disana nanti. Kalau

Angah betul-betul nak pergi, Angah pergi lah. Ayah izinkan.” sayu Pak Dollah

berkata. Yusra memeluk ayahnya. Dia tidak menjawab malah air matanya
makin deras mengalir. “Ya Allah,ampunilah aku dan kedua orang tuaku, serta

berilah rahmat kepada kedua-duanya, sebagaimana mereka mendidikku pada

waktu kecil.” doa Yusra didalam hati. Rasa bersalah di hati Yusra menebal

kerana dia tahu ayahnya itu tidak mudah berlembut apatah lagi mengubah

keputusannya. Tidak pernah dia lihat ayahnya selembut itu, hanya kali ini

ayahnya berkelakuan seperti itu. Dia cuma takut dia telah mengguris perasaan

ayahnya sahaja. “ Ampunkan Angah ayah..” itu sahaja kata-kata yang keluar

dari mulutnya.

Mak Siti yang melihat keadaan itu turut mengalirkan air mata. Tidak disangka

anaknya yang keras kepala itu amat menyayangi ayahnya. Mak Siti

menghampiri anak perempuannya dan mengusap kepalanya, “Mak dengan

ayah tak ambil hati sayang. Marilah kita ke dapur. Kita buat sarapan

sama-sama ya.” ucap Mak Siti. Yusra mengangguk dan melepaskan

pelukannya lalu menyalam kedua ibubapanya. Pak Dollah menahan air

matanya dari terjatuh. Sayu hatinya melihat anak perempuannya itu menangis

meminta maaf kepadanya. Memang beliau terasa dengan perilaku anaknya itu,

tapi tidak disangkanya Yusra akan menangis di hadapannya.

Pagi itu, Pak Dollah sekeluarga menjamah sarapan bersama-sama. “Angah

nangis eh pagi tadi?” tanya, Afiq sambil mencuit kakaknya. “ Mana ada. Ish.”

jawab Yusra. “Ye ke? Habistu siapa peluk ayah tadi pagi sambil minta maaf

tu?” “Afiq!” jerit Yusra. Mula lah mereka kejar-mengejar sambil berlari-lari anak

diruang tamu. “Nak ikut main kejar-kejar juga!” ujar Afif. Suasana bahagia

mula memecah kesunyian pagi itu, Pak Dollah dan Mak Siti hanya mampu

tersenyum. “Aduh Angah sakit! Hahaha.” kata Afiq sambil menepis tangan

kakaknya yang membuat serangan cubitan di tangannya. “Ha, tahu pun. Lain
kali jangan usik” Pak Dollah menyampuk. “Ayah, ayah bagi tak Angah ikut

program tu?” soal Afiq. Dia juga ingin mengetahui keputusan ayahnya.

“Takpalah, Angah tak payah pergi. SPM pun tak lama lagi ni.” cepat Yusra

mencantas soalan adiknya tu. Dia redha dengan keputusan ayahnya, dan dia

tahu ayahnya berhak atas dirinya. “Ayah bagilah. Lepas Angah masuk

universiti.” ujar Pak Dollah. Yusra melihat ayahnya sambil mengukir senyuman.

“Terima kasih ayah..” bisik Yusra kepada ayahnya. “Wah, bestnya Angah! Nak

ikut!” ujar Afif. “Budak kecik tak payah sibuk eh. Hahaha.” sengih Yusra. Ya,

dia tahu dirinya masih kecil dan dia masih perlukan ayah dan ibunya

sebagaimana mereka memerlukannya.

Satu hadis yang sering bermain-main di benaknya yang dahulunya sering dia

hafal untuk peperiksaannya, "Orang mukmin yang satu dengan mukmin yang

lain bagaikan satu bangunan, satu dengan yang lainnya saling

mengukuhkan.'" (Hadis riwayat Muslim,4684).

Dia tahu walaupun mungkin didalam kehidupannya ia adalah mustahil

memandangkan dia cuma seorang gadis kampung tapi apalah salahnya dia

menyimpan impian itu agar ia menjadi pendorong semangatnya untuk belajar

bersungguh-sungguh didalam pelajaran. “Bukankah rezeki, qada’ dan qadar

manusia itu semuanya ditentukan oleh Allah swt, wahai Yusra? Manusia

hanya perlu berusaha, biarkan Allah swt yang menentukan.” monolog Yusra

didalam hati. Dia redha dan pasrah terhadap apa jua takdir yang telah

ditentukan-Nya. Maka, dia jadikan hasratnya itu sebagai satu impian agar satu

hari nanti bila dia sudah melonjak ke universiti dia dapat melunaskan

impiannya itu.

Anda mungkin juga menyukai