Menulis laporan projek berkaitan tindakan penyelesaian kesan isu alam sekitar setempat
berdasarkan nilai-nilai dan etika professional dengan menggunakan pelbagai sumber
maklumat.
Pada era globalisasi ini, sering kali terpampang di dada-dada akhbar dan media
sosial berkaitan dengan pencemaran alam sekitar di dunia amnya dan di Malaysia
khususnya. Situasi ini bukan sahaja telah menjadi ancaman kepada alam sekitar khususnya
tumbuhan dan haiwan malahan juga manusia. Hal ini berlaku kerana negara sedang berada
diarus modenisasi kearah Malaysia yang maju dari aspek ekonomi dan perindustrian.
Proses ini telah mendatangkan pelbagai situasi yang boleh memudaratkan kehidupan
masyarakat. Menurut Aishah et al. (2009), pembangunan seperti perindustrian menjadi
punca kepada kemerosotan kualiti dan pencemaran air, udara dan bunyi. Pencemaran alam
boleh diklasifikasikan sebagai perbuatan yang mencemarkan kebersihan alam sekeliling
sehingga menyebabkan keselesaan dan kemandirian kehidupan terganggu (Dewan Bahasa
dan Pustaka, 2010). Tanpa pengawalan dan penyelesaian segera, masalah pencemaran
alam sekitar ini berupaya memudaratkan kesihatan dan menjejaskan kualiti kehidupan
masyarakat.
Perlis merupakan salah sebuah negeri dalam Malaysia yang terletak di utara
semenanjung Malaysia turut menyumbang kepada pembangunan Negara. Dari semasa ke
semasa pelbagai pembangunan dan kemajuan berlaku di Perlis. Setelah menempuh era
Perlis Negeri Maju 2015, Kerajaan Negeri Perlis menumpukan perhatian untuk menjadikan
Perlis Negeri Bandar Raya menjelang tahun 2030 (Iwan Shu-Aswad Shuaib, 2015). Menurut
Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man kerajaan negeri telah mengenal pasti empat zon
pertumbuhan untuk dibangunkan sehingga 2030 iaitu Padang Besar, Kangar, Kuala Perlis
dan Kuala Sanglang/Kuala Sungai Baru. Berdasarkan kenyataan ini terbuktilah bahawa
pelbagai pembangunan sedang rancak berlaku di Perlis untuk mencapai sasaran kerajaan
negeri. Namun begitu, dalam usaha mencapai kemajuan yang disasarkan ini mungkin telah
berlaku kesan buruk kepada alam sekitar dan ini adalah bertentangan dengan Konsep
Pembangunan Lestari. Menurut Laporan Brundtland, konsep pembangunan lestari atau
mampan menurut didefinisikan sebagai sesuatu pembangunan yang memenuhi keperluan
generasi masa kini tanpa mengabaikan keperluan generasi akan datang. Dalam memenuhi
keperluan masa kini, keperluan generasi akan datang akan terjejas akibat daripada
pembangunan.
1
Masalah pengurusan sisa pepejal merupakan salah satu faktor yang telah
menyebabkan berlakunya masalah pencemaran bau di Kangar, Perlis (Jabatan Alam
Sekitar, 2016). Majlis Perbandaran Kangar (MPK) telah dipertanggungjawabkan untuk
pengurusan sisa pepejal dan perkhidmatan pembersihan merangkumi kerja mengutip
sampah dalam tong sampah dan longgokan sampah ke tapak pelupusan serta pengurusan
tapak pelupusan sisa pepejal. Namun begitu, menurut laporan yang telah dikeluarkan oleh
Jabatan Alam Sekitar Perlis, mendapati tahap pencapaian pengurusan sisa pepejal adalah
tidak memuaskan yang telah menyebabkan pencemaran bau dan resapan air larut ke dalam
tanah berikutan longokan sisa pepejal mengeluarkan bau busuk dan memberikan kesan
terhadap kualiti udara di kawasan sekitar (Ketua Audit Negara, 2009).
Sisa pepejal ialah bahan-bahan sekerap atau lebihan yang tidak dikehendaki atau
keluaran yang ditolak. Ia terhasil daripada penggunaan apa-apa proses (application of any
process). Menurut kenyataan yang telah dikeluarkan oleh pihak Solid Waste Management
Lab (JPSPN) dan Bahagian Teknologi dan Penyelidikan (SWCorp) pada tahun 2015,
sebanyak 37 000 tan sehari sisa pepejal telah dihasilkan oleh rakyat Malaysia (Bahagian
Pendidikan Masyarakat , Pengurusan Sisa Pepejal, 2018).
Berdasarkan tinjauan yang dilakukan oleh Jabatan Alam Sekitar Perlis, 70%
responden menyatakan bahawa air larut resapan yang menitis daripada lori sampah semasa
proses pemindahan sisa pepejal ke tapak pelupusan menyebabkan bau busuk dan tetapi
pihak MPK tidak mengambil tindakan kepada kontraktor yang terlibat dimana perkara ini
menyebabkan masih berlarutan. Masalah lain timbul apabila kawasan-kawasan tersebut
berdekatan dengan kawasan kedai makan yang menganggu kelesaan para pengunjung dan
juga masyarakat setempat. Ini juga mengudang kedatangan lalat yang menyebabkan
masalah kesihatan timbul seperti cirit-birit, taun dan sebagainya.
2
Lawatan Jabatan Audit juga mendapati 17 daripada 42 taman di sekitar Perlis
longkang berkeadaan kotor dan tersumbat sehingga mengeluarkan bau busuk dan menjadi
tempat pembiakan nyamuk aedes berikutan kegagalan pelaksanaan kerja-kerja
pembersihan oleh kontraktor dan majlis perbandaran. Selain sisa pepejal, rumput-rumput
yang telah dipotong tetapi tidak diselenggara dengan baik bahkan memenuhi longkang juga
merupakan punca longkang tersumbat. Daripada temu bual yang dijalankan oleh pihak audit
mendapati 80% responden bersetuju perkhidmatan yang diberikan tidak memuaskan. Carta
tahap kepuasan penduduk terhadap pembersihan longkang adalah seperti berikut,
Di samping itu, ketiadaan loji rawatan air larut resapan di Negeri Perlis juga
merupakan faktor kepada berlakunya pencemaran bau ini. Menurut kajian yang dilakukan
oleh Izzat Bin Yahaya (2013), air larut lesapan merupakan sejenis cecair yang keluar
mengalir melepasi sisa pepejal di tapak pelupusan serta dikategorikan sebagai salah satu
cecair yang sangat merbahaya serta memudaratkan kesihatan manusia jika ia dilepaskan ke
sistem saliran sedia ada tanpa pengawalan. Hal ini demikian kerana, ia mengandungi
bahan-bahan pencemar organik serta bukan organik, logam berat, koloid, pepejal terlarut
serta pelbagai jenis patogen yang boleh mencemarkan air bumi dan air permukaan serta
sukar untuk dirawat disebabkan kepelbagaian komposisi larut lesap itu sendiri yang sangat
kompleks. Air resapan yang terhasil daripada sisa pepejal dan tidak dapat diselenggara
dengan baik menyebabkan bau yang kurang menyenangkan kepada penduduk setempat.
Seharusnya air larut resapan dirawat menggunakan kaedah biologi dan kimia di loji rawatan
air larut resapan. Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling 1979 menyatakan bahawa
majlis perbandaran perlu membuat permohonan untuk mendapatkan kebenaran bertulis
daripada Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (Halimah, 2012). Namun, kegagalan majlis
perbandaran merujuk dan membuat permohonan kepada Jabatan Alam Sekitar
menyebabkan air larut resapan tidak dapat dirawat dengan sempurna, mengalir dan
meresap kedalam tanah berhampiran.
3
Punca seterusnya yang menyebabkan pencemaran bau di sekitar Kangar ialah
kawasan tapak pelupusan sampah dicerobohi oleh scavenger dan haiwan seperti anjing dan
lembu juga Scavenger ini mengutip sampah-sampah yang telah dibuang untuk dijual atau
diguna semula oleh mereka. Mereka membuka plastik-plastik sampah yang telah diikat yang
mana menyebabkan bau kurang menyenangkan tersebar ke udara yang menyebabkan
berlakunya pencemaran bau dan udara.
Sehubungan dengan itu, pencemaran bau di Kangar boleh memberi implikasi yang
amat besar dalam kehidupan manusia dan persekitaran. Oleh itu, masih belum terlambat
untuk mengambil langkah-langkah memulihara pembuangan sisa pepejal di Kangar. Jika isu
ini dipandang remeh, tidak mustahil Perlis akan menjadi sebuah negeri yang dipenuhi
sampah dan penyumbang kepada pencemaran alam sekitar, bukan hanya pencemaran bau,
malahan air, udara dan tanah. Bagi mengatasi masalah pencemaran bau ini, langkah yang
perlu ditekankan adalah dari aspek sistem pengurusan sisa pepejal kerana sisa pepejal
merupakan penyumbang besar bagi isu ini. Terdapat pelbagai langkah dan inisiatif yang
boleh dilakukan oleh pelbagai pihak bermula daripada individu dan masyarakat setempat
sehinggalah daripada pertubuhan-pertubuhan dan agensi kerajaan serta bukan kerajaan
(NGO).
Antara langkah yang berkesan boleh dilakukan ialah pihak Majlis Perbandaran
Kangar (MPK) hendaklah meneliti serta membuat semula jadual kerja dan perjanjian kontrak
dengan pihak Enviroment idaman untuk mengutip sisa pepejal dengan lebih kerap,
sekurang-kurangnya tiga kali seminggu bagi setiap kawasan. Usaha ini juga sejajar dengan
langkah yang diambil oleh pihak Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan
Kerajaan Tempatan. Menurut Kementerian Perumahan dan Kerjaan Tempatan (2015),
sistem kutipan 2 + 1 telah digerakkan bermula 1 September 2015 di mana kutipan sampah
bagi sisa baki dilakukan dua kali seminggu manakala kutipan sisa kitar semula dan sisa
pukal dilakukan sekali seminggu. Oleh itu, ia dapat memastikan tiada longgokan sampah
yang terbiar lama di kawasan pembuangan sampah sehingga menghasilkan bau yang
menganggu penduduk setempat berdekatan dan yang melalui kawasan tersebut.
Selain itu, masyarakat juga memainkan peranan yang penting bagi mengatasi
masalah pencemaran ini. Masyarakat hendaklah membudayakan pengasingan pembuangan
sisa pepejal bagi memudahkan pihak yang bertanggungjawab menguruskan sisa pepejal.
Sisa baki terdiri daripada sisa dapur, sisa makanan, bahan-bahan kotor dan lampin pakai
buang sahaja. Manakala, sisa kitar semula adalah kertas, plastik, botol dan lain-lain bahan
yang boleh dikitar semula. Sisa pukal pula adalah sisa peralatan rumah yang besar seperti
peti sejuk, almari dan sebagainya serta sisa halaman rumah. Sekiranya masyarakat
4
melakukan pengasingan ini, pengurusan sisa pepejal di kawasan setempat akan menjadi
lebih mudah.
Selain itu, informasi berkaitan pengasingan sisa pepejal isi rumah perlu disebarkan
secara meluas kepada masyarakat setempat. Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan
Pembersihan Awam (SWCorp) telah merangka Pelan Tindakan Kesedaran Awam
Pengasingan Sisa Pepejal 2015. Ia bertujuan untuk mendidik dan membudayakan amalan
pengasingan sisa pepejal di kalangan masyarakat Malaysia ke arah mewujudkan
masyarakat yang menghargai sisa pepejal sebagai satu sumber, menjaga kebersihan
persekitaran dan memelihara kelestarian alam sekitar (Haliza, 2017). Pelan ini hendaklah
disebarkan secara meluas dan berkesan melalui media tempatan seperti melalui saluran
radio tempatan iaitu Perlis fm. Pengedaran brosur, poster dan sebagainya yang berkaitan
pengasingan sisa rumah boleh dilaksanakan dari rumah ke rumah atau premis-premis
setempat. Di samping itu, hebahan melalui media sosial seperti facebook, twitter, Instagram
dan blog boleh dilaksanakan dalam menyebarkan maklumat terutamanya kepada penduduk
remaja dan pengguna media sosial. Dalam pada itu juga, kolaborasi dengan pelbagai pihak
seperti komuniti setempat iaitu Persatuan Penduduk dan Jawatankuasa Rukun Tetangga
dalam menyebarkan panduan pengasingan sisa pepejal ini juga merupakan salah satu
langkah yang strategik dan berkesan. Pengasingan sisa isi rumah akan membantu
mengurangkan jumlah sisa pepejal yang dihantar ke tapak pelupusan, justeru, membantu
meningkatkan jangka hayat tapak pelupusan tersebut.
Seterusnya, aktiviti amalan 3R iaitu reuse, reduce, recycle dan pengasingan sisa
pepejal juga telah dikenalpasti sebagai salah satu langkah paling berkesan dalam usaha
mengurangkan jumlah penjanaan dan penghantaran sisa pepejal ke tapak pelupusan.
Menurut Bahagian Pendidikan Masyarakat, Pengurusan Sisa Pepejal dan Amalan 3R
(2017), kadar kitar semula di Malaysia hanyalah 15% berbanding negara-negara lain seperti
Korea 59%, Singapura 60% dan Jerman 60%. Pembudayaan amalan 3R haruslah
diterapkan sejak kecil seperti kata pepatah melentur buluh biarlah daripada rebungnya
kerana ia mampu membantu memberikan kesedaran kepada masyarakat sejak awal dalam
usaha mengurangkan kesan buruk terhadap alam sekitar, menghalang kehilangan sumber,
memanjangkan jangka hayat tapak pelupusan dan dapat meransang pertumbuhan ekonomi
negara. Bagi pengurusan sisa pepejal makanan, cara yang paling berkesan yang
dicadangkan oleh pihak SWCorp ialah mengurangkan pembelian makanan yang mana
amalkan membeli makanan yang mencukupi sahaja atau berkongsi makanan samada
bersama rakan, jiran mahupun komuniti. Makanan yang lebih juga boleh diberikan kepada
ternakan agai bagi mengelakkan pembaziran dan pembuangan sisa makanan merata-rata.
Sisa pepejal makanan ini juga boleh dijadikan kompos dan pemerolehan tenaga serta boleh
5
dilupuskan. Bermula 1 Jun 2016 pihak SWCorp telah mengeluarkan notis bahawa mana-
mana isi rumah yang gagal mengasingkan sisa pepejal boleh dikenakan kompaun. Oleh itu,
pihak berwajib harus menguatkuasakan peraturan ini dan mengenakan denda seperti yang
telah dinyatakan.
Selain itu, pihak berkuasa hendaklah membekalkan tong RORO yang lebih besar
dan mencukupi bagi setiap kawasan di kawasan pasar malam, kawasan perumahan dan
kawasan perindustrian agar masalah-masalah pembuangan sampah di kawasan yang tidak
sepatutnya dapat dikurangkan dan diatasi. Pihak kontraktor juga perlu memastikan sampah
di dalam tong RORO ini sentiasa diangkut untuk diuruskan. Orang awam juga dinasihat
menggunakan perkhidmatan tong roro hanya daripada panel berdaftar sahaja dalam usaha
membanteras masalah pembuangan sampah haram. Pihak majlis perbandaran juga boleh
menyediakan perkhidmaan sewaan tong RORO kepada pemilik-pemilik bangunan
terutamanya bangunan perindustrian untuk tujuan pengumpulan semua sisa bahan sebelum
ia dihantar ke tapak pelupusan dengan lebih sistematik dan memastikan sisa pepejal tidak
dibuang di merata-rata tempat seperti yang dilakukan oleh Majlis Bandaraya Shah Alam
(Farina, 2017).
Di samping itu, masalah tumpahan air larut resapan daripada sisa pepejal yang
terbiar lama mahupun yang jatuh daripada lori yang bertugas mengutip sampah boleh
diatasi dengan cara pembinaan loji rawatan air larut resapan. Penggunaan Effective
Microorganisme (EM) juga merupakan salah satu kaedah biologi bagi merawat air larut
resapan dan sisa pepejal. EM terdiri daripada tiga mikrob am utama iaitu fototropik bakteria,
laktik asid bakteria dan yis. Fototropik atau bakteria fotosintesis merupakan kumpulan
bakteria yang menukar ammonia dan hidrogen sulfida kepada gas-gas yang tidak berbau.
Selepas EM disemburkan ia dapat mengurangkan bau busuk air resapan terutamanya di
kawasan tapak pelupusan. Dengan adanya loji rawatan air larut resapan ini, masalah bau
daripada air larut resapan dapat dikurangkan. Sekiranya masalah air laut resapan ini tidak
ditangani, ia juga boleh memudaratkan kesihatan penduduk setempat kerana ia
mengandungi bahan bahan pencemar organik dan bukan organik serta pelbagai jenis
patogen yang boleh mencemarkan bukan sahaja bau, malahan tanah, air dan udara (Izzat,
2013). Selain itu, kemudahan membersih tayar kenderaan seperti lori yang keluar masuk
daripada tapak pelupusan perlu dilaksanakan bagi membantu mengurangkan masalah
pencemaran bau ini. Melalui kemudahan ini, jalan raya tidak akan dikotori oleh tanah dan
sampah yang melekat pada tayar yang menyebabkan ketidakselesaan kepada komuniti
setempat.
6
Seterusnya, bagi masalah tapak pelupusan yang dimasuki dan dicerobohi, perkara
ini dapat ditanggani dengan pembinaan pagar yang menyeluruh dan kawalan berkala.
Pembinaan pagar ini dapat menghalang kawasan tersebut dimasuki haiwan yang akan
menjadi ejen pembawa bakteria dan bau busuk kepada kawasan setempat. Manakala,
dengan adanya kawalan secara berkala, masalah kedatangan dan pencerobohan oleh
scavenger dapat dikurangkan (Ketua Audit Negara, 2009). Individu-individu yang dikesan
dan berjaya ditahan kerana menjadi scavenger harus dikenakan tindakan denda. Ini kerana
ia dapat memberikan peringatan kepada mereka agar tidak mengulanginya lagi dan
memberi amaran serta kesedaran kepada scavenger yang lainnya. Pihak majlis perbadanan
juga perlu sentiasa melakukan pemantauan berkesan dan menguatkuasakan syarat kontrak
serta memastikan sisa pepejal dikutip mengikut jadual dan pekerja dilatih mengenai kaedah
pemungutan yang betul bagi memastikan masyarakat di Kangar mahupun Perlis mendapat
perkhidmatan terbaik.
7
RUJUKAN
Aishah Mohd, Katiman & Choy, E. A. (2009). Pembangunan Dan Impak Terhadap
Keselamatan dan Kesejahteraan Penduduk Setempat. Wilayah Pembangunan
Iskandar, Johor, Malaysia. Retrieved February 2020, from http://journalarticle.ukm.
my/4220/1/hasnah09.pd
Bahagian Pendidikan Masyarakat. (2017). Pengurusan Sisa Pepejal dan Amalan 3R.
Retrieved 2020, from Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan:
engineering.moh.gov.my/v4/get_file.php?i=237
Dewan Bahasa dan Pustaka. (2010). Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka. (4th, Ed.) Dewan
Bahasa dan Pustaka
Farina, N. (2017). MDKL: Guna tong roro seliaan majlis. Retrieved February 2020, from
Selangor Kini: https://selangorkini.my/2017/06/mdkl-guna-tong-roro-seliaan-majlis/
Halimah, H. (2012). Projek Lynas Advanced Materials Plant (LAMP). Retrieved February
2020 from Jabatan Alam Sekitar: https://www.parlimen.gov.my/images/webuser
/jkuasa%20lamp/Memorandum/Taklimat%20Agensi%20Teraju%20%203%20Mei%2
02012/Jabatan%20Alam%20Sekitar.pd
Haliza Azlan. (2017). Penglibatan Komuniti dalam Pengurusan Sisa Pepejal di Malaysia.
Retrieved February 2020, from researchgate: https://www.researchgate.net
/publication/319998422_Penglibatan_Komuniti_dalam_Pengurusan_Sisa_Pepejal_di
_Malaysia
Izzat Yahaya. (2013). Kajian Keberkesanan Olahan Larut Lesapan Menggunakan Elektrod
Aluminum Dan Ferum Dalam Sistem Elektro-Penggumpalan. Retrieved February
2020, from Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar: http://eprints.uthm.edu.my/
4332/1/IZZAT_BIN_YAHAYA.pd
Iwan Shu-Aswad Shuaib. (2015). Peranan NGO Dalam Pengurusan Sisa Pepejal: Kajian
Kes Kegiatan. Retrieved February 2020, from academia: http://www.academia.
edu/34113773/Peranan_NGO_Dalam_Pengurusan_Sisa_Pepejal_Kajian_Kes_Kegi
ata.
Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara. (2018). Pengurusan Sisa Pepejal dan
Pembersihan Awam. Retrieved February 2020, from Kementerian Perumahan dan
Kerajaan Tempatan: http://jpspn.kpkt.gov.my/index.php/pages/view/106
Ketua Audit Negara. (2009). Aktiviti Jabatan/Agensi dan Pengurusan Syarikat Kerajaan
Negeri Perlis. Perlis: Jabatan Audit Negara.
8
LAMPIRAN
9
Rajah 3: Longkang tersumbat
10