Anda di halaman 1dari 3

Simulasi majlis : Pidato

Teks Pidato Pusingan pertama

Salam perpaduan dan salam 1 Malaysia dihulurkan untuk semua. Yang Dihormati,
Tuan Pengerusi Majlis, barisan panel hakim Yang Arif lagi Bijaksana, warga pendidik
serta hadirin dan hadirat yang dikasihi sekalian. Berdirinya saya di pentas yang indah
lagi menarik ini adalah untuk menyampaikan sebuah pidato yang bertajuk, Muafakat
Membawa Berkat.

Menurut Kamus Dewan edisi ketiga, muafakat membawa maksud ‘seia sekata atau
setuju’ manakala berkat pula dimaksudkan sebagai ‘mendatangkan kebaikan atau faedah’.

Sidang dewan yang budiman,


Kemajuan dan kesejahteraan yang dicapai oleh sesebuah negara bermasyarakat
majmuk seperti Malaysia adalah hasil daripada permuafakatan antara kaum. Kita perlu
berkerjasama dan tolong-menolong tanpa mengira bangsa dan warna kulit. Perkara ini
tidak dapat disangkal lagi kerana pesanan nenek moyang masih segar dalam ingatan. Hati
gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.
Dengan terbinanya amalan kerjasama antara kaum, maka wujudlah sebuah perpaduan.
Tanpa sikap tolak ansur, perbalahan dan pergeseran kaum mudah berlaku.

Hadirin yang dikasihi,


Kedua, jika kita melihat sejarah yang lalu, bagaimana para pemimpin dan rakyat di
tanah melayu berganding bahu untuk memerdekakan tanah air tercinta daripada terus
dijajah. Adakah kita lupa bahawa masyarakat di tanah melayu dahulu juga terdiri
daripada masyarakat yang berbilang kaum? Walaupun berbeza warna kulit, bahasa serta
bangsa, dengan adanya semangat permuafakatan yang teguh, bangsa penjajah dapat
dihalau.

Seia sekata sehati sejiwa,


Menghadapi cabaran,
Kami setia kami sedia,
Berkorban untuk negara.

Nah ! Inilah yang semangat yang perlu ada dalam jiwa setiap rakyat agar dapat
memastikan benteng pertahanan negara kita sentiasa kukuh. Benteng pertahanan yang
paling utama ialah perpaduan antara masyarakat. Sebagai rakyat Malaysia, kita perlulah
saling bermuafakat dan bersiap sedia berbakti pada nusa dan bangsa, seperti yang
dinyatakan dalam lirik lagu Sejahtera Malaysia.

Sidang dewan yang saya kasihi,


Ketiga, sedih untuk saya katakan bahawa semangat perpaduan makin pudar dari hari ke
hari sehinggalah kini. Isu-isu yang berkaitan dengan perpaduan kaum kerap dibincangkan
dalam surat khabar dan televisyen. Di manakah hilangnya semangat permuafakatan
antara kita? Adakah disebabkan perbezaan agama, warna kulit serta bangsa?

“Ikan di laut, asam di darat. Dalam periuk, bikin muafakat.”

Begitulah, kisah persahabatan antara Raju dan Suparjo menjadi elemen kesepaduan
dalam iklan TV pada suatu masa dahulu. Iklan ini telah menyentuh hati para penonton
apabila persahabatan mereka masih kukuh walaupun terpisah setelah sekian lama.Maka
terbuktilah bahawa sebuah persahabatan yang baik dapat dibina tanpa mengira bangsa
atau kaum. Ingatlah pesanan saya, yang memisahkan kita, temboknya bukan budaya,
temboknya bukan agama, bukan warna bangsa, tetapi keegoan, asabiah dan ananiyah.
Manusia seharusnya saling memiliki antara satu sama lain.

Hadirin yang dihormati,


Akhir kata, benarlah kata orang tua-tua yang bijaksana, muafakat itu membawa
berkat. Perpaduan yang dicapai antara semua pihak dalam mentadbir negara ini telah
memungkinkan kita semua pada hari ini hidup di sebuah tanah yang bebas merdeka serta
disegani dan diiktiraf dunia. Janganlah kita bersikap evasif mahupun bagai enau dalam
belukar melepaskan pucuk masing-masing kerana perpaduan kaum itu hanya akan wujud
apabila semua kaum menjalankan obligasi masing-masing dengan sempurna dan bersikap
bertolak ansur.

Sebelum saya mengakhiri pidato saya pada hari ini, izinkan saya membaca serangkap
pantun.

Dari Melaka ke Tanah Jawa,


Membawa bersama pisang seikat,
Bila hati sudah sejiwa,
Muafakat kita membawa berkat.
Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai