Anda di halaman 1dari 5

Jasamu Guru, Dikenang Jua

Oleh: Hasmida Hasballah

Setiap tahun pada 16 Mei, Hari Guru akan disambut meriah di setiap sekolah di
Malaysia. Hari Guru ini bukan sahaja diraikan di Malaysia malah di negara lain juga
meraikannya tetapi pada tarikh yang berbeza mengikut peristiwa negara masing – masing. Bagi
Malaysia pula, Hari Guru disambut meriah pada 16 Mei kerana peristiwa yang berlaku pada 16
Mei 1956 iaitu Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu. Dimana Majlis ini telah
menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran sebagai dasar pelajaran bagi
negara Malaysia. Dokumen tersebut yang dikenali sebagai Laporan Razak telah menjadi Dasar
Pelajaran Kebangsaan semenjak itu. Selain itu, Hari Guru ini juga amat dinantikan oleh semua
insan yang bergelar guru. Hal ini kerana pada hari tersebut ianya merupakan hari yang paling
bermakna dimana murid – murid akan berterima kasih atas pengorbanan guru – guru mereka.
Guru – guru ini berusaha mengajar, mendidik anak – anak bangsa sehingga berjaya.
Pengorbanan yang tidak pernah kenal erti lelah, putus asa, dan kecewa. Oleh itu, kita mestilah
sentiasa menghormati guru serta mengenang jasa mereka. Dengan adanya Hari Guru, murid –
murid ini dapat menyambut dan berterima kasih atas penghargaan guru mereka. Namun begitu,
bukan 16 Mei sahaja hari yang perlu mengingati jasa guru, malah jasa guru perlu dikenang
setiap hari di dalam doa kita. Mereka juga seperti cahaya yang menerangi kehidupan anak –
anak muda sekarang. Oleh itu pada tahun 2019, KPM telah mengumumkan bahawa “Guru
Obor Hemah Menyinari Pertiwi” sebagai tema Hari Guru.

Guru ini mempunyai tugas dan berperanan masing – masing sebagai pendidik anak
bangsa supaya terus berdaya saing. Guru juga berperanan sebagai tenaga pengajar yang
merancang seluruh aktiviti pelajar berdasarkan rancangan pembelajaran yang disediakan
mengikut Kementerian Pendidikan. Dengan pelbagai kemodenan teknologi sekarang,
pendidikan haruslah setanding mengikut perkembangan semasa dari semasa. Oleh itu, guru
perlu bersikap terbuka dan menerima segala perkembangan semasa serta mengajar dan
mendidik mngikut pembelajaran berasaskan kemodenan. Hal ini supaya anak – anak bangsa
lebih mengenali dunia sekarang yang kini kian maju.Seterusnya sebagai seorang guru yang
bertanggungjawab, guru juga mestilah menyedari tugas yang perlu dilaksanakan mengikut
amanah yang diberikan. Tugas dan amanah ini tidak boleh disia – siakan kerana ianya suatu
amanat negara kepada guru sebagai seorang pendidik. Untuk kecemerlangan murid, guru
mestilah memastikan murid sentiasa menumpukan perhatian dari segala hal. Guru juga
mestilah membuat transformasi kepada setiap anak muridnya. Transformasi ini mestilah
melibatkan sifat, tingkah laku, pengetahuan, pandangan dan sebagainya ke arah yang lebih
sempurna. Oleh itu, guru ini hendaklah bijak mengambil hati anak – anak muridnya supaya
lebih gemar belajar.

Guru ialah insan yang mulia kerana sanggup mendidik dan mencurahkan segala ilmu
yang dimilikinya kepada anak-anak muridnya. Guru ini diibaratkan sebagai lilin yang membakar
diri demi memberikan didikan yang terbaik. Oleh itu, kita mestilah menghargai jasa dan
pengorbanan mereka selamanya. Tanpa pengorbanan mereka, siapalah kita. Semua pekerjaan
yang dilakukan oleh kita sekarang bermula dari guru. Demi memberikan ilmu yang bermakna,
guru ini sanggup meredah apa jua halangan seperti mengajar anak – anak orang asli di
pendalaman. Namun, dengan pelbagai ragam anak – anak murid dan perkembangan teknologi
terkini, guru ini diberi tugasan yang berat iaitu mendidik anak muridnya dengan pelbagai
cabaran. Walaupon pelbagai cabaran yang perlu dihadapinya, guru ini mempunyai pelbagai
teknik dan kaedah untuk mengajar secara berkesan. Selain itu, kita juga boleh lihat kejayaan
anak - anak muda sekarang yang berjaya melanjutkan ke universiti pilihan mereka. Boleh
dikatakan hampir seluruh rakyat Malaysia kini dapat melanjutkan pelajaran di institusi tinggi
yang kini kian berkembang seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Kejayaan yang diperoleh
mereka amatlah bermakna kerana dapat membantu mereka mendapatkan kehidupan yang
lebih baik dari sebelumnya.

Bukan itu saja, menurut agama Islam, guru ini merupakan insan yang dipelihara oleh
Allah SWT. Malah mereka juga diberikan pahala yang berterusan hingga ke hari kiamat selagi
ilmu yang diberikan dan diajar diamalkan oleh setiap anak didik mereka. Rasulullah pernah
bersabda bahawa “Apabila meninggal dunia seseorang manusia, terputuslah pahala amalannya
kecuali dari tiga perkara: Sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan, dan anak soleh yang
mendoakannya”.

Seterusnya, orang yang mempunyai ilmu ini juga dianggap sebagai orang yang
mempunyai adab dan beriman. Oleh itu, kita mestilah menghormati orang yang memberikan
kita ilmu agar ilmu yang diberikan dan dicurahkan dapat dimanfaatkan sebaiknya. Berdasarkan
firman Allah SWT dalam surah az – Zumar, ayat 9;  “Adakah sama orang-orang yang
mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang-orang yang
dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.”
Mengikut tema pada tahun 2019, YB Dr.Maszlee Malik amat berpuas hati dengan tema
pilihannya itu kerana ia diinspirasikan daripada sebuah puisi indah karya Sasterawan Negara,
Datuk Seri A Samad Said berjudul Obor Hemah. Obor ini bermaksud penerang atau
pembimbing. Manakala hemah pula membawa maksud mulia dan budi pekerti. Pertiwi pula
bermaksud tanah air sendiri. Semua maksud ini dimiliki oleh setiap guru. Tema ini secara
umumnya memotretkan setiap guru sebagai pembimbing ke dalam diri insan, sekali gus
menjadi pembangun negara yang penting. Oleh itu, tema pada tahun tersebut dipilih oleh
Menteri Pendidikan Malaysia sebagai penerang masa depan anak – anak muda.

Di samping itu, jasa guru ini merupakan jasa kedua yang wajib dikenang dan diingati.
Jasa pertama ialah jasa ibu bapa yang telah mendidik kita dari kecil hingga besar dengan
didikan agama yang betul. Hal ini kerana ibu bapa kita yang telah melahirkan dan menjaga kita
bagai menatang minyak yang penuh. Tetapi hal ini juga bergantung kepada kedua ibubapa kita
sebagaimana mereka mencorakkan kita. Namun, guru juga merupakan ibubapa kedua kita di
sekolah. Dimana setiap perkataan yang diluahkan dan diajar merupakan ilmu yang dicurahkan
tanpa mengira latar belakang. Dari satu abjad kepada satu perkataan yang lengkap, ianya
merupakan ilmu yang berkesan yang telah diajar oleh para guru.

Logo berdasarkan tema yang dipilih juga memberikan maksud yang mendalam, iaitu
buku yang bermaksud seruan YB Dr. Maszlee Malik untuk memperkukuh dan meningkatkan
budaya membaca serta menzahirkan hasrat negara sebagai negara yang mempunyai budaya
suka membaca. Selain itu, ikon orang yang bermaksud melambangkan guru dan murid yang
sentiasa bekerjasama sehingga berjaya dan murid yang berjaya selalu menghargai gurunya
sepanjang hayat. Seterusnya, warna emas yang bermaksud martabat seorang guru yang
dikasihi.

Kemahiran komunikasi juga merupakan kemahiran yang amat berkait rapat dengan diri
kita terutamanya ketika berinteraksi bersama seseorang atau ramai. Contohnya komunikasi
antara guru dan murid. Komunikasi ini penting supaya dapat memberikan kerjasama diantara
guru dan murid. Penggunaan bahasa yang baik akan membuatkan penyampaian mudah
difahami dan jelas. Oleh itu, murid – murid akan lebih menumpukan perhatian dan rasa lebih
selesa.

Melalui komunikasi ini, terdapat juga kekangan kepada murid iaitu berlakunya
ketidakjelasan mesej kerana penggunaan bahasa yang susah difahami dan kurang jelas.
Kesannya, murid akan berasa malas untuk mengetahui info berkaitan maklumat yang penting.
Oleh itu, guru perlulah menggunakan bahasa baku sebagai bahasa utama dalam pembelajaran.
Guru – guru mestilah menunjukkan contoh yang terbaik semasa mengajar agar dapat dicontohi
murid.

Selain itu sebagai seorang penuntut ilmu, kita mestilah sentiasa beradab dan berahlak
mulia terhadap guru kita. Hal ini kerana dengan cara ini kita dapat menunjukan bahawa setiap
pengorbanan yang diberikan adalah bermakna dan berkesan. Ini juga dapat menunjukkan
kejayaan yang diperolehi sebagai kejayaan yang diberikan keberkatan oleh guru. Oleh itu,
kejayaan ini juga bergantung kepada kita untuk berusaha menuntut ilmu sebaik mungkin. Kita
juga boleh menghargai jasa guru dengan cara berdisplin. Kita dapat membuktikannya melalui
datang awal ke sekolah, tidak poteng kelas, sentiasa dengar arahan guru, tidak melakukan
aktiviti vandalisme dan sebagainya adalah disiplin yang diajar oleh guru. Dengan cara ini, kita
dapat menunjukkan bahawa kita bersedia untuk belajar. Untuk mengejar kejayaan, displin harus
diutamakan kerana disiplin ialah salah satu faktor kejayaan yang berkesan. Hal ini kerana jika
kita tidak mempunyai disiplin diri yang jitu, kita mungkin akan mudah berputus asa.

Di samping itu, kita juga boleh menunjukkan kasih sayang kita kepada guru dengan
cara mengingati jasa mereka sentiasa walaupon mereka tidak berkhidmat sebagai seorang
tenaga pengajar lagi. Dengan memberikan hadiah, ianya merupakan cara terbaik untuk
mengenang dan berterima kasih kepada guru kerana telah mendidik kita. Kita juga boleh
meraikan Hari Guru pada 16 Mei secara meriah kerana usaha mereka yang tekun mengajar.
Hadiah yang diberikan bukan sahaja tertumpu kepada wang ringgit, malah boleh juga melalui
hadiah buatan sendiri dengan kreatif dan inovatif. Barang itu mestilah diberikan dengan hati
yang tulus ikhlas tanpa di nilai samada barang itu murah ataupon mahal. Jika, tidak mampu
untuk memberikan hadiah, ucapan Selamat Hari Guru juga sudah bermakna dan cukup buat
para guru.

Oleh itu apabila kita sudah berjaya kelak, janganlah sesekali bersifat seperti kacang
melupakan kulit, Hal ini kerana jasa guru mestilah dikenang dan diingati selalu. Dimana kita
berada setelah dewasa, ingatlah kejayaan itu datangnya usaha oleh seorang guru yang tidak
penat mengajar kita erti kehidupan sebenar. Oleh itu, guru ini perlu dijadikan seperti siang
menjadi angan – angan, malam menjadi buah mimpi.
Sumber Rujukan

Khairul Faez (2013), Cara – cara menghargai jasa guru. Diambil daripada laman
http://faezjourney.blogspot.com/2013/01/karangan-cara-cara-menghargai-jasa-guru.html

Mazlee Malik. (2019), Guru Obor Hemah Menyinari Pertiwi. Diambil daripada laman
https://www.bharian.com.my/kolumnis/2019/05/564473/guru-obor-hemah-menyinari-
pertiwi

Noor Afzalina Nazira Ibrahim, Maizatul Haizan Mahbob & Abdul Latif Ahmad. (n.d).
Kepentingan Komunikasi Non Verbal Dalam Organisasi. Jurnal of Sosial Science and
Humanities, 15 (5), 107-116. Diambil dari laman
http://ejournals.ukm.my/ebangi/article/download/29285/8739

Anda mungkin juga menyukai