Anda di halaman 1dari 2

KEPENTINGAN RIADAH DALAM KEHIDUPAN

Pada era globalisasi yang semakin giat berkembang ini, arus kemajuan mula melonjak naik
secara mendadak tanpa disedari. Oleh itu, masyarakat di negara Malaysia terlalu bergantung harap
terhadap penggunaan teknologi masa ini serta tidak cakna terhadap kesihatan mereka. Hal ini
menyebabkan taraf kesihatan penduduk di Malaysia terjejas dan meningkatkan risiko beberapa
penyakit kronik seperti obesiti, serangan jantung dan sebagainya. Rentetan itu, riadah merupakan
solusi terbaik untuk meningkatkan kesihatan rakyat Malaysia yang diibaratkan “bom jangka” yang
bakal mengundang kesan buruk terhadap kesihatan mereka. Aktiviti riadah merupakan aktiviti yang
melibatkan pergerakan fizikal secara langsung mahupun tidak lansung. Aktiviti ini juga menjadi
penyelesaian terbaik bagi menangani masalah ini daripada bertambah rumit persis kata orang tua
mencegah lebih baik daripada mengubati. Sebagai memperkukuh pernyataan berikut, kebaikan yang
mewarnai fokus perbincangan akan dihuraikan dengan terperinci demi kebaikan bersama.

Antara kepentingan riadah adalah dapat menyihatkan tubuh badan serta mencerdaskan
minda. Hal ini dikatakan demikian kerana aktiviti riadah mampu mengurangkan kadar peratusan
lemak serta mampu memperbaik kadar kardiovaskular dalam badan. Tamsilnya, aktiviti senamrobik,
berlari, berzumba dan berenang mampu mempertingkat kemampuan kadar degupan jantung serta
denyutan nadi agar kembali stabil serta efisien bagi memastikan badan kekal cergas. Selain itu,
aktiviti riadah seperti bermain catur mampu menjadikan kita lebih cerdas dan mempertingkat
kemampuan berfikir secara lebih rasional dan lebih terbuka. Aktiviti ini telah diterapkan dalam diri
setiap pelajar melalui aktiviti kokurikulum sebagai langkah awal yang dijalankan oleh kerjasama dua
hala melalui Kementerian Pendidikan Malaysia serta Kementerian Kesihatan Malaysia. Hal ini persis
kata cendekiawan, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Tuntasnya, kita tidak seharusnya
memandang enteng terhadap inisiatif yang dijalankan oleh pihak kerajaan kerana mempunyai
pelbagai faedah yang membantu kita untuk terus bergerak ke hadapan sebagai sebuah negara yang
maju.

Selain itu, aktiviti riadah turut mampu memanfaatkan masa terluang. Hal ini tercetus
apabila masa terluang digunakan untuk melakukan aktiviti riadah yang membawa banyak faedah
daripda dibazirkan untuk perkara yang sia-sia. Umum mengetahui bahawa terdapat banyak taman
rekreasi yang didirikan bagi kegunaan masyarakat setempat. Taman Tema Air Gambang dan Taman
Tema Air Bukit Merah merupakan destinasi pusat rekreasi yang menenangkan minda dan mampu
meleraikan masalah yang tersimpul dalam sanubari masyarakat. Hal ini turut membantu menarik
minat masyarakat untuk melibatkan diri dalam sukan renang serta melenyapkan sifat culas yang
terdapat dalam diri setiap masyarakat.Tiadalah lagi golongan yang sentiasa berkepit dengan telefon
bimbit kerana riadah yang dilakukan mampu meredakan kekusutan fikiran. Oleh itu benarlah
bahawa masa mampu kita manfaatkan untuk meleraikan kekusutan minda bertepatan dengan
mutiara kata “tiada masalah yang tidak dapat diselesaikan.”

Di samping itu, kepentingan riadah ialah kita dapat mengeratkan silaturahim serta kasih
sayang. Hal ini berpunca apabila suatu aktiviti itu dijalankan bersama secara berpasangan mahupun
berkumpulan. Antaranya adalah seperti bermain bola tampar, hoki, tenis dan sebagainya. Ikatan
silaturahim akan terjalin sesama pemain melalui sifat rasional yang sewajarnya diterapkan dalam diri
setiap masyarakat. Sehubungan dengan itu, masyarakat di Malaysia akan bersatu serta berganding
bahu dalam meningkatkan prestasi serta kedudukan negara bak kata peribahasa ibarat telur
sesangkak pecah sebiji pecah semua. Tambahan pula ikatan masyarakat akan menjadi semakin erat
bak kata orang-orang tua, yang jauh kita rapatkan dan yang rapat kita mesra-mesrakan.Oleh itu, kita
sewajarnya cakna terhadap aktiviti riadah dalam kehidupan seharian agar menjadi masyarakat yang
sihat dari segi fizikal mahupun mental.

Akhirulkalamnya, aktiviti riadah banyak memberikan faedah kepada masyarakat di Malaysia.


Menyingkap dari perspektif yang berbeza, riadah juga mempunyai risiko untuk mengalami
kecederaan. Kontradiksi daripada pandangan negatif tersebut, maka terbuktilah bahawa inisiatif ini
sangat membantu memulihkan kadar kesihatan masyarakat seiring dengan transisi globalisasi yang
berkembang maju kini. Oleh itu, kita perlu menjadi seperti benih yang baik dicampak ke darat
menjadi gunung, dicampak ke laut menjadi pulau dan dicampak ke langit menjadi bintang-bintang
kejora dalam memastikan aktiviti riadah terus menjadi amalan masyarakat kita. Sebagai penutup
bicara, riadah merupakan cara terbaik yang boleh diamalkan oleh semua orang bagi mengekalkan
taraf kehidupan demi masa akan datang.

Anda mungkin juga menyukai