Anda di halaman 1dari 6

PERANAN GURU DALAM MEREALISASIKAN FALSAFAH PENDIDIKAN GURU

Guru hendaklah melengkapkan diri dengan pengetahuan am dan pengetahuan dalam mata
pelajaran, khasnya mata pelajaran KBSR, serta pengetahuan ikhtisas keguruan.

Mengamalkan pengajaran dan pembelajaran selaras dengan hasrat Falsafah Pendidikan Guru,
khasnya mengembangkan individu dan memelihara suatu masyarakat yang bersatu padu,
demokratik, progresif dan berdisiplin.

Meyemai dan memupuk amalan nilai-nilai murni dan etika keguruan kepada diri dan pelajar
selaras dengan tuntuana Falsafah Pendidikan Guru

Menyempurnakan tanggungjawab dan akautabiliti sebagai insan guru yang sentiasa mencari
ilmu serta mengamlkannya bagi memenuhi tuntutan keperluan pendidikan dan masa depan.

Menggunakan ilmu dan kemahiran mendidik serta nilai keguruan merangsang perkembangan
pelajar

Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang dulunya disebut sebagai Falsafah Pendidikan
Negara (FPN) merupakan dasar kepada pendidikan di Malaysia. Hal ini bermakna, semua
aktiviti pendidikan dan persekolahan di Malaysia mestilah selaras dengan Falsafah Pendidikan
Kebangsaan ini. Justeru setiap bakal guru di Malaysia diwajibkan membaca, memahami dan
mengingati falsafah ini agar setiap tindakan mereka melalui proses pengajaran dan
pembelajaran sentiasa berada di landasan yang betul. Intipati utama dalam FPK ini ialah
melahirkan modal insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek, dan sosial
yang sering disebut oleh guru-guru sebagai JERIS.
Petikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan berbunyi seperti berikut :
            “Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan kearah memperkembangkan
lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang
seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan
dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu
pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan
mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan
kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara”

FPK ini ditentukan oleh Perlembagaan Malaysia dan berlandaskan ideologi kebangsaan yang
menerapkan Rukun Negara, Dasar Ekonomi Baru dan Dasar Pendidikan Kebangsaan.
            Manakala, Falsafah Pendidikan Guru pula berbunyi seperti berikut:
            “ Guru yang berpekerti mulia, berpandangan progresif dan saintifik, bersedia
menjunjung aspirasi negara serta menyanjung warisan kebudayaan negara, menjamin
perkembangan individu dan memelihara suatu masyarakat yang bersatu padu, demokratik,
progresif dan berdisiplin.”
            Tujuan utama pembentukan FPG itu adalah untuk menjadi panduan bagi individu dan
pihak yang terlibat dengan dunia pendidikan untuk merealisasikan FPK. FPG ini menyenaraikan
ciri-ciri guru yang diperlukan bagi memenuhi aspirasi negara untuk melahirkan modal-modal
insan negara.
Peranan guru begitu besar dalam melaksanakan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).
Guru merupakan insan di mana murid-murid menjadikan “role model” dalam menimba ilmu.
Untuk merealisasikan hasrat FPK dalam pembentukan modal insan, peranan guru amatlah
penting. Oleh itu, guru haruslah terlebih dahulu memahami dan menghayati falsafah dan
matlamat kurikulum, struktur dan organisasi kurikulum serta sukatan pelajaran untuk
memastikan segala berjalan dengan jayanya.
Guru-guru memainkan peranan untuk mendedahkan ilmu ICT serta meningkatkan kemahiran
penggunaan teknologi murid-murid. Masyarakat Malaysia hari ini merupakan masyarakat yang
hidup dalam era globalisasi yang berorientasikan sains dan teknologi.

 Masyarakat sangat bergantung kepada penggunaan sains dan teknologi dalam semua aspek
kehidupan, dan pembaharuan dan penggunaan unsur-unsur kreatif sangat penting dalam
amalan hidup seharian. Kementerian Pelajaran Malaysia telah menyesuaikan diri dengan
perubahan ini dengan memperluaskan penggunaan ICT di sekolah rendah, sekolah menengah
dan di institusi pendidikan tinggi. Oleh itu, guru-guru  perlulah membekalkan diri dengan ilmu
pengetahuan ICT agar boleh mengapalikasikan pengetahuan yang dapat dalam bilik darjah.
Contohnya, guru-guru haruslah menguasai kemahiran menggunakan persembahan multimedia
(Powerpoint), komputer, overhead projector transperansi, slaid, projektor dan kemudahan
peralatan muiltimedia lain. Pembelajaran daripada buku teks semata-mata adalah kurang
menarik. Dengan adanya persembahan Powerpoint melalui projektor dalam kelas, murid-murid
akan lebih memberi tumpuan dalam kelas kerana tertarik dengan grafik-grafik dan video yang
ditayangkan. Guru-guru boleh mencari video atau filem pendek yang berkaitan dengan topik
pengajaran kelas tersebut.  Selain itu, guru juga boleh mengamanahkan beberapa tugasan
yang mengehendaki murid-murid menggunakan bahan-bahan ICT. Contohnya, tugasan yang
meminta murid-murid Tahun 3 mencari maklumat tentang “ Sistem Solar “ dalam bentuk
powerpoint. Ini boleh membantu meningkatkan kemahiran murid-murid menggunakan
komputer, melayari internet dan membuat powerpoint. Melalui kemahiran penggunaan ICT,
murid-murid dapat memperkayakan ilmu dan meningkatkan intelek. Ini boleh melahirkan modal
insan yang celik ICT dan boleh menghadapi dunia berteknologi tinggi pada zaman moden ini.

Untuk memastikan objektif-objektif FPK dan KSSR tercapai, guru juga boleh mengamalkan
strategi pembelajaran dan pengajaran (P&P) dengan cara berpusatkan murid-murid. Strategi ini
memberi tumpuan kepada perkembangan pembelajaran (murid-murid sebagai individu),
memberi pilihan kepada murid-murid (jenis pengetahuan dan apa yang ingin dipelajari),
mewujudkan kolaborasi (membina pengetahuan dan persekitaran positif), terlibat dalam
penilaian berterusan; sikap guru yang mendengar pandangan murid-murid dan melibatkan
murid-murid untuk merancang.  Guru-guru perlulah memberikan peluang kepada murid-murid
untuk belajar secara individu, kumpulan dan kelas. Ada sesetengah murid-murid yang hanya
boleh belajar dan memberi tumpuan ketika belajar secara individu, manakala ada murid yang
lebih suka belajar secara berkumpulan. Guru juga boleh melibatkan pelajar dalam membentuk
proses pembelajaran melalui rundingan berasaskan kekuatan dan kelemahan pelajar.Guru juga
boleh memberi pelajar kebebasan membuat pilihan tentang bahan sumber dan aktiviti
pembelajaran. Contohnya, sebelum kelas yang seterusnya, guru boleh mendapatkan  pendapat
daripada murid-murid sama ada ingin melibatkan persembahan powerpoint ataupun
menggunakan carta grafik untuk aktiviti pembelajaran yang akan datang. Dengan
menggunakan strategi ini, murid-murid akan  lebih proaktif, lebih memberi tumpuan dan lebih
fokus pada pelajaran di bilik darjah. Guru-guru pun lebih mudah menguruskan murid-murid dan
seterusnya menyampaikan pengajaran dengan berkesan.
      
  .Pemupukan semangat patriotisme dalam kalangan murid-murid juga amat penting untuk
melahirkan modal insan yang cinta akan negara dan sentiasa bersedia untuk memberi
sumbangan untuk masyarakat dan negara seperti yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan
Kebangsaan. Dalam hal ini, guru-guru memainkan peranan yang perdana dalam pemupukan
semangat patriotisme dalam murid-murid. Yang paling asas ialah, guru-guru boleh
mengalakkan murid-murid menyanyikan lagu-lagu yang patriotik seperti KeranaMu Malaysia,
Satu Malaysia, dan Malaysia Berjaya sebelum kelas bermula. Dengan ini, secara tidak
langsung semangat patriotisme dapat disemai dalam jiwa kanak-kanak sejak kecil lagi.
 Guru-guru juga boleh mengalakkan murid-murid mengibarkan bendera Jalur Gemilang di
dalam kelas, terutamanya pada bulan kemerdekaan. Suasana yang penuh dengan rasa
patriotisme ini akan membentuk modal insan yang sanggup berkorban dan menyumbang bakti
kepada negara.

      Organisasi sumber pengajaran dan pembelajaran adalah amat penting untuk aktiviti
pembelajaran di dalam bilik dajah. Sekiranya sumber pengajaran  dan pembelajaran di dalam
bilik darjah diorganisasikan dengan baik, teratur dan sistematik, keberkesanan interaksi murid
dengan bahan serta aktiviti pembelajaran akan dapat dipertingkatkan. Oleh itu, untuk
merealisasikan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan, seorang guru harus memainkan
peranan sebagai pengurus. Tugas guru sebagai pengurus ialah mengurus rutin bilik darjah,
mengurus murid-murid supaya menjalankan tugas mereka mengikut jadual bertugas seperti
membersihkan bilik darjah dan mengelap tingkap, mengurus murid-murid supaya mematuhi
peraturan-peraturan di dalam bilik darjah, mengurus keadaan fizikal bilik darjah supaya menjadi
lebih kondusif untuk aktiviti pengajaran dan pembelajaran, dan menguruskan bahan-bahan
pengajaran supaya dapat digunakan dengan berkesan. Guru-guru haruslah mengetahui dan
memahami elemen-elemen pengurusan bilik darjah serta berusaha untuk menguasai
kemahiran-kemahiran yang berkaitan dengan pengurusan bilik darjah.

Peranan guru yang seterusnya dalam merealisasikan FPK ialah sebagai kaunselor murid.
Peranan guru tidak hanya semata-mata mengajar dan menyampaikan ilmu pengetahuan yang
terhad pada sukatan pembelajaran sahaja. Tetapi guru juga perlu mengambil berat tentang
murid-muridnya supaya mereka boleh membesar dalam keadaan dan persekitaran yang sihat.
Kaunselor berperanan dalam membantu dan memberi nasihat kepada murid sekiranya mereka
menghadapi masalah. Selain daripada ibu bapa, guru merupakan insan terbaik dalam
membantu murid menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh mereka. Hal ini kerana
sesetengah murid gagal berkomunikasi dengan ibu bapa apabila mereka menghadapi masalah.
Oleh yang demikian, guru memainkan peranan yang penting dalam menenangkan fikiran dan
emosi mereka supaya mereka tidak melakukan perkara-perkara yang negatif. Guru juga harus
meluangkan masa yang lebih dan memberi perhatian tambahan kepada murid-murid yang
menghadapi masalah. Khususnya, mereka yang menghadapi masalah keluarga, kewangan,
disiplin dan masalah kesihatan. Hal ini supaya murid-murid berasa selesa dan tidak
menghadapi masalah untuk menjalani proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah dan
mendapat pencapaian yang terbaik. Guru, dalam usaha merealisasikan matlamat FPK dalam
membentuk modal insan yang berilmu pengetahuan dan berintelek, juga berperanan
melahirkan modal insan yang memiliki fikiran dan sikap yang waras, jiwa yang tenang serta
tubuh badan yang sihat. Melalui ini , elemen FPK yang menyatakan rakyat Malaysia yang
berupaya mencapai kesejahteraan diri boleh dilahirkan.
Berikutnya, bagi merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, guru berperanan sebagai
jurulatih yang mencungkil bakat dan potensi murid. Setiap murid di sekolah dilahirkan dengan
bakat atau kebolehannya yang tersendiri dan istimewa. Guru merupakan insan yang terbaik
dalam mengenal pasti dan mengembangkan bakat dan potensi murid-muridnya. Hal ini kerana,
guru merupakan insan yang paling banyak meluangkan masa bersama murid-murid di sekolah.
Sekiranya guru di sekolah peka terhadap bakat dan potensi yang ada di kalangan murid, bakat
mereka boleh diketengahkan dan dilatih ke tahap yang terbaik supaya dapat memberi
sumbangan kepada pihak sekolah dan ke peringkat yang lebih tinggi. Sebagai contoh,
sekiranya seseorang murid itu mempunyai potensi dalam bidang sukan, guru boleh melatih,
membimbing dan memberi tunjuk ajar kepada beliau supaya bakat murid-murid dapat diasah
dan menjadi atlet yang terbaik. Secara tidak langsung, faktor jasmani murid tersebut dapat
diperkembangkan dan mencapai objektif “ Satu Murid Satu Sukan ”  dan  salah satu matlamat
Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

        Salah satu elemen dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan ialah kepercayaan dan
kepatuhan kepada Tuhan. Elemen ini penting kerana boleh melahirkan murid-murid dan modal
insan yang berpegangan teguh kepada agamanya dan sentiasa berusaha untuk menjadi insan
yang berakhlak baik. Agama adalah pegangan yang harus ada dalam diri setiap manusia.
Tanpa pegangan agama, maka akan goyahlah kehidupan manusia. Peranan agama yang
paling dominant adalah ia dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan modal insan.
Pegangan agama juga dapat menjadi asas kepada ketamadunan dan acuan kepada latar
budaya masyarakat. Untuk merealisasikan FPK, guru turut memainkan peranan yang penting
dalam aspek ini. Di sekolah, guru yang beragama Islam boleh mengajar murid-murid yang
beragama Islam tentang hukum-hukum agama Islam, mengkaji al-Quran dan sebagainya; guru
yang beragama Kristian pula boleh mengadakan kelas belajar Kitab Suci dan mengalakkan
murid-murid Kristian menyertai Persatuan Kristian; guru yang beragama Hindu boleh membawa
murid-murid mengadakan lawatan ke Kuil-kuil Hindu atau menyertai perarakan Hari Thaipusam;
manakala guru yang beragama Buddha boleh mengajar pertapaan kepada murid-murid yang
beragama Buddha.
 
Kesedaran dan pengetahuan agama yang tinggi akan mengelakkan murid-murid daripada
terpengaruh dengan budaya luar yang bertentangan dengan tuntutan agama. Murid-murid yang
percaya dan patuh kepada Tuhan merupakan modal insan yang akan bertanggungjawab
terhadap segala perbuatannya, akan mengikut dan mengamalkan ajaran agama, serta
melakukan kebaikan dan menghindari kejahatan. Guru-guru mestilah menerapkan nilai-nilai
keagamaan dalam proses pengajaran dan pembelajarannya di dalam bilik darjah kerana adalah
penting untuk melatih murid-murid dari kecil tentang didikan agama yang kuat serta
pembangunan insaniah dalam diri mereka. Didikan agama harus dari kecil bak pepeatah
‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Contohnya, apabila guru membincangkan isu
pembuangan bayi di sekolah, guru boleh menerangkan betapa pentingnya agama bagi
seseorang individu kerana kerohanian mereka kukuh dan tidak mudah terpengaruh dengan
sebarang aktiviti negatif.

         Guru juga memainkan peranan dalam merealisasikan FPK yang bermatlamat untuk
menghasilkan rakyat Malaysia yang berilmu. Menjelang pembukaan sekolah sesi pertama
penggal persekolahan 2011, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) memperkenalkan pelbagai
perancangan baru bertujuan membangunkan modal insan. Hanya melalui pendidikan di sekolah
semua perancangan ini dapat direalisasikan. Lebih 500,000 pelajar baru akan memasuki tahun
satu dengan kurikulum baru iaitu, Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) menggantikan
Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) yang telah lama diperkenalkan. Antara mata pelajaran
baru diperkenalkan iaitu Pendidikan Seni dan Visual selain Bahasa Cina, Bahasa Tamil dan
Bahasa Arab yang akan diperkenalkan pada tahap satu. Seramai 126,171 guru sekolah rendah
berperanan dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) bagi melaksanakan KSSR.
Tanggungjawab ini sangat penting khususnya kepada guru-guru yang seharusnya memahami
aspirasi dan tujuan pelaksanaan serta matlamat KSSR. Pembangunan insan mestilah bermula
di peringkat kanak-kanak supaya mereka dapat dipupuk dengan nilai-nilai murni dan nilai moral
yang baik serta disemai dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran di peringkat sekolah. Untuk
melahirkan murid-murid yang berilmu pengetahuan tinggi dan menjadi murid-murid minda kelas
pertama, guru perlulah sentiasa mengalakkan murid-murid supaya banyak membaca kerana
melalui pembacaan, banyak ilmu pengetahuan dan informasi tentang isu-isu semasa boleh
didapati.

Anda mungkin juga menyukai