Anda di halaman 1dari 1

ABSTRAK

Penyelidikan tindakan ini telah dijalankan untuk menilai sejauh mana penggunaan alat
reka ganti dapat membantu meningkatkan penglibatan dan menarik minat murid semasa
pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Jasmani. Bagi melaksanakan kaedah
pemerhatian dan mengumpul data, pengkaji memfokuskan kepada pengajaran kemahiran
memukul dalam kategori permainan memadang. Responden dalam kajian ini terdiri
daripada 34 orang murid dari Tahun Empat Aktif Sekolah Kebangsaan Langkawi,
Langkawi, Kedah. Semasa kajian dijalankan, responden yang dipilih berumur 10 tahun.
Pengkaji menggunakan borang pemerhatian dan soal selidik untuk memperoleh data
kajian. Pengkaji telah menghasilkan alat reka ganti kepada kayu pemukul dan bola
sofbol bagi tujuan mengatasi masalah kekurangan alatan. Hasil analisis data mendapati
bahawa responden menunjukkan penglibatan yang sangat aktif selepas penggunaan alat
reka ganti semasa pembelajaran. Malah responden menunjukkan minat yang sangat
tinggi terhadap pengajaran menggunakan alat reka ganti. Hal ini juga membantu
meningkatkan penglibatan mereka semasa proses pengajaran dan pembelajaran
Pendidikan Jasmani. Berdasarkan kepada dapatan kajian, dapat disimpulkan bahawa
kekurangan peralatan semasa menjalankan aktiviti mengganggu kelancaran proses
pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Jasmani. Dengan adanya peralatan yang
menarik dan mencukupi, murid akan lebih mudah untuk menguasai kemahiran yang
diajar kerana peralatan merupakan suatu motivasi ekstrinsik kepada murid untuk belajar.
Justeru pengkaji ingin menyatakan bahawa penggunaan alat reka ganti sangat
mempengaruhi penglibatan dan minat murid semasa menjalankan aktiviti dan juga
meningkatkan tahap penguasaan terhadap kemahiran yang diajar oleh guru.