Jelajahi eBook
Kategori
Jelajahi Buku audio
Kategori
Jelajahi Majalah
Kategori
Jelajahi Dokumen
Kategori
Oleh:
ABSTRAK
Penyelidikan tindakan ini telah dijalankan untuk menilai sejauh mana penggunaan alatan ubah
suai semasa sesi pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Jasmani dapat membantu
meningkatkan penglibatan dan menarik minat murid. Pengkaji memfokuskan kepada
pengajaran kemahiran memukul dalam permainan kategori memadang untuk melakukan
pemerhatian dan mengumpul data. Responden dalam kajian ini terdiri daripada 34 orang
murid dari Tahun Empat Aktif Sekolah Kebangsaan Langkawi, Langkawi, Kedah yang
mempunyai kepelbagaian latar belakang. Responden dalam kajian ini semuanya berumur 10
tahun semasa kajian dijalankan. Pengkaji menggunakan instrumen pemerhatian dan borang
soal selidik untuk memperoleh data kajian. Pengkaji telah menghasilkan alat reka ganti
kepada kayu pemukul dan bola sofbol bagi tujuan mengatasi masalah yang timbul semasa
melaksanakan tindakan kajian. Hasil analisis data mendapati bahawa responden menunjukkan
penglibatan yang sangat aktif selepas penggunaan alatan ubahsuai semasa pembelajaran.
Malah responden menunjukkan minat yang sangat tinggi terhadap pengajaran yang
menggunakan alat ganti. Hal ini juga meningkatkan kefahaman mereka terhadap
pembelajaran. Selain itu, responden juga menunjukkan perubahan sikap yang positif
sepanjang kajian dijalankan. Keputusan kajian menunjukkan 100 peratus responden memberi
jawapan Ya kepada setiap soalan soal selidik yang dikemukakan dalam borang soal selidik.
Justeru pengkaji ingin menyatakan bahawa penggunaan peralatan sangat mempengaruhi
penglibatan dan minat murid semasa menjalankan aktiviti dan juga meningkatkan tahap
penguasaan terhadap kemahiran yang diajar oleh guru.
PENDAHULUAN
Menurut pakar biologi Karl Groos (1901) dalam bukunya bertajuk The Play of Man, beliau
telah mengemukakan teori persediaan (preparation theory) yang menerangkan bahawa
kecenderungan untuk bermain-main adalah bersifat persediaan, iaitu menyediakan generasi
muda untuk menempuh kehidupan pada masa akan datang. Permainan juga diakui dapat
membawa perkembangan jasmani, mental dan sifat-sifat kemasyarakatan dalam proses
pertumbuhan seseorang kanak-kanak. Selain itu, pakar juga mendapati kanak-kanak akan
lebih bersedia menghadapi masalah kekecewaan sambil membesar. Berdasarkan teori
tersebut, pengkaji mendapati sememangnya benar aktiviti permainan membantu murid dalam
proses perkembangan mereka. Melalui aktiviti yang dijalankan, murid dapat menimba
pengetahuan dan pengalaman baru dalam hidup mereka. Pengetahuan dan pengalaman inilah
yang akan mereka aplikasikan dalam kehidupan seharian mereka kelak. Disebabkan itulah
pengkaji berpandangan bahawa penggunaan alatan semasa sesi pembelajaran dapat membantu
murid meningkatkan kefahaman dan kemahiran mereka terhadap perkara yang diajar.
Masalah yang sering timbul adalah kekurangan alatan. Hal ini dipengaruhi oleh banyak faktor
seperti peralatan rosak, peralatan hilang dan pertindihan kelas. Kajian ini bertujuan
meningkatkan penglibatan dan menarik minat murid terhadap mata pelajaran Pendidikan
Jasmani.
FOKUS KAJIAN
Fokus pengkaji adalah berkenaan masalah kekurangan alatan yang mengganggu kelancaran
proses pengajaran dan pembelajaran semasa aktiviti Pendidikan Jasmani. Pengkaji memberi
tumpuan kepada permasalahan ini kerana penggunaan alatan amat penting untuk murid
mempelajari sesuatu permainan. Penggunaan alatan membantu murid untuk memperoleh
kemahiran yang diajar dengan maksimum. Selain itu, murid akan hilang tumpuan dan tidak
bersemangat untuk menjalankan aktiviti sekiranya terpaksa menunggu giliran untuk
menggunakan alatan disebabkan peralatan yang digunakan tidak mencukupi. Apabila ini
berlaku, aktiviti yang telah dirancang oleh guru akan tergendala.
ANALISIS TINJAUAN MASALAH
Daripada tinjauan awal yang telah dilakukan, pengkaji mendapati bahawa guru-guru yang
mengajar mata pelajaran Pendidikan Jasmani tidak atau kurang menggunakan peralatan
semasa sesi pengajaran dan pembelajaran dijalankan. Hal ini kerana kemungkinan besar guru-
guru tersebut mahu menjimatkan masa untuk mengambil peralatan di dalam stor sukan yang
terletak jauh sedikit dari padang. Selain itu, bilangan peralatan yang tidak dapat menampung
bilangan murid juga menjadi salah satu sebab mengapa guru-guru yang mengajar Pendidikan
Jasmani tidak menggunakan peralatan. Beberapa faktor ini mungkin menyebabkan guru-guru
Pendidikan Jasmani tidak mahu menggunakan peralatan semasa melaksanakan proses
pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Jasmani. Berkaitan dengan penglibatan murid,
pengkaji mendapati bahawa murid-murid lebih melibatkan diri secara aktif semasa guru
menggunakan peralatan. Hal ini kerana dengan adanya penggunaan peralatan, guru dapat
memotivasikan murid-murid untuk menjalankan aktiviti yang dirancang. Penggunaan
peralatan semasa menjalankan aktiviti Pendidikan Jasmani juga dapat memudahkan murid-
murid menguasai sesuatu kemahiran dengan lebih berkesan.
OBJEKTIF KAJIAN
Objektif Umum
Secara umumnya kajian ini dijalankan adalah bertujuan untuk meningkatkan minat
pelajar terhadap mata pelajaran Pendidikan Jasmani. Di samping itu, kajian ini juga
adalah untuk menggalakkan guru untuk membuat refleksi, mengesan dan memperbaiki
kelemahan dalam pengajaran dan pembelajaran, seterusnya meningkatkan tahap
penguasaan pelajar dalam aktiviti yang dijalankan.
Objektif Khusus
DAPATAN KAJIAN
Berdasarkan kajian menggunakan instrumen soal selidik pula, pengkaji dapati kebanyakan
soalan dan aspek dalam soal selidik mendapat 100%. Soalan pertama menunjukkan secara
keseluruhannya semua murid minat menjalankan aktiviti Pendidikan Jasmani. Soalan kedua
berkaitan dengan penggunaan alatan menunjukkan semua murid menggunakan alatan semasa
proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan. Soalan ketiga menunjukkan 100% murid
dapat guna peralatan semasa kelas pendidikan jasmani. Soalan keempat berkaitan kecukupan
alat, murid keseluruhannya menjawab alatan yang mencukupi membolehkan mereka dapat
menjalankan aktiviti dengan lancar. Dalam soalan berkaitan dengan berkongsi alat juga
menunjukkan 100% murid menjawab tidak berkongsi. Ini menunjukkan mereka tidak perlu
lagi berebut-rebut untuk mendapatkan peralatan terlebih dahulu ketika aktiviti Pendidikan
Jasmani. Soalan keenam berkaitan dapat menggunakan peralatan secara individu. 34 orang
murid mengatakan Ya bererti mereka dapat menggunakan peralatan secara individu dengan
maksimum. Soalan ketujuh ialah berkaitan guru menyediakan alat semasa proses pengajaran
dan pembelajaran di lakukan. Seramai 34 orang murid mengatakan Ya yang menunjukkan
mereka bersetuju bahawa guru menyediakan alat kepada mereka semasa kelas Pendidikan
Jasmani. Soalan kelapan berkaitan murid akan melakukan aktiviti jika peralatan di sediakan.
Keseluruhan murid menjawab Ya dan menunjukkan mereka akan melakukan aktiviti jika
peralatan disediakan. Ini memberi gambaran kepada pengkaji bahawa jika peralatan tidak di
sediakan, murid akan kurang penglibatan serta aktif semasa kelas Pendidikan Jasmani. Soalan
kesembilan adalah berkaitan guru menggunakan lebih daripada satu peralatan semasa kelas
pendidikan jasmani. Secara keseluruhannya murid bersetuju dengan soalan yang diberikan.
Ini kerana penghasilan alatan ubahsuai adalah bagi permainan kategori memadang iaitu
pemukul kertas dan bola kertas, guru juga menggunakan peralatan yang lain seperti beg
plastik berwarna untuk membuat pelapik dada (bib) bagi pembahagian kumpulan semasa
aktiviti dijalankan. Soalan yang terakhir adalah berkaitan guru menggunakan peralatan
sendiri. Semua murid bersetuju dengan soalan ini kerana mereka juga terlibat dalam
penghasilan alatan ubahsuai ini. Murid mendapati penghasilan alatan ubahsuai adalah
peralatan guru sendiri. Berdasarkan kepada dapatan kajian, dapat disimpulkan bahawa
kekurangan peralatan semasa menjalankan aktiviti mengganggu kelancaran proses pengajaran
dan pembelajaran Pendidikan Jasmani. Dengan adanya penggunaan peralatan, murid lebih
mudah untuk menguasai kemahiran yang diajar kerana peralatan merupakan suatu motivasi
ekstrinsik kepada murid untuk belajar. Oleh yang demikian, amat penting kepada guru untuk
menggunakan alatan ubahsuai sebagai alat untuk mengajar.
Dapatan kajian ini telah membantu pengkaji memahami masalah yang di hadapi melibatkan
penglibatan murid semasa kelas Pendidikan Jasmani. Justeru itu, pengkaji merancang untuk
menghasilkan pelbagai alatan ubahsuai bagi permainan kategori yang lain semasa pengajaran
dan pembelajaran dilakukan. Ini berikutan pemerhatian, pengkaji mendapati murid amat
berminat dengan alatan yang pelbagai terutamanya alatan ubahsuai yang dihasilkan sendiri
berbanding dengan peralatan yang sebenar. Hasil kajian ini juga dapat memberi contoh
kepada guru-guru lain untuk melaksanakan kajian seterusnya bagi membantu mereka dalam
pengajaran kelas Pendidikan Jasmani.
RUMUSAN
Penghasilan peralatan ubahsuai ini telah berjaya mengatasi masalah kekurangan alatan semasa
menjalankan aktiviti Pendidikan Jasmani. Melalui penggunaan alatan ubahsuai juga dapat
meningkatkan penglibatan aktif murid semasa aktiviti dijalankan. Pengkaji akan mengekalkan
kaedah ini untuk pengajaran pada masa hadapan kerana kaedah ini adalah kaedah yang paling
mudah untuk di laksanakan apabila berdepan dengan masalah kekurangan alatan bagi
menjayakan aktiviti yang dirancang. Malahan, dengan adanya usaha dan inisiatif untuk
menghasilkan peralatan ubahsuai, pengkaji dapat mengurangkan beban kewangan sekolah
untuk memperbaiki dan membeli peralatan yang baru. Murid juga dapat menggunakan
peralatan secara individu dengan maksimum dalam meningkatkan kemahiran mereka. Selain
itu, penambahbaikan juga masih perlu dalam usaha untuk meneruskan kaedah ini. Guru perlu
menjadi lebih kreatif dan inovatif selaras dengan seruan Kerajaan untuk melonjakkan
transformasi pendidikan negara dalam merancang pengajarannya dan sentiasa menggalakkan
murid membuat sesuatu yang baru agar diri dan jiwa mereka ingin sentiasa ingin maju ke
hadapan. Kreativiti guru juga perlu dalam membantu perkembangan kognitif murid
terutamanya yang bermasalah pembelajaran. Aktiviti yang ingin dilaksanakan guru mestilah
bersesuaian dengan tahap dan kemampuan murid supaya mereka dapat sepenuhnya kepuasan
semasa menjalankan aktiviti.
RUJUKAN
Abdul Rahman Abdul Majid Khan. (2009) . Guru Sebagai Penyelidik. Kuala Lumpur : PTS
Professional Sdn. Bhd.
Karl Groos. (1901). The Play of Man (Elizabeth L. Baldwin, Terjemah). New York :
Appleton. (Karya asli diterbitkan 1901)
Julismah Jani. (2006). Peranan Guru dalam Memacukan Pembangunan Sukan di Malaysia.
Tesis tidak diterbitkan, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Perak, Malaysia
Wee Eng Hoe. (2003) . Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan. Shah Alam :
KarismaPublications Sdn. Bhd.
Yusoff Ismail. (1992) . Strategi Pengajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan KBSM. Kuala
Lumpur : Fajar Bakti Sdn. Bhd.