Anda di halaman 1dari 11

BAB 1

BAHASA MELAYU DALAM ERA


GLOBALISASI

OBJEKTIF BAB

Setelah mengikuti bab ini, anda seharusnya boleh:


1. Menjelaskan tentang maksud bahasa.
2. Mengetahui fungsi bahasa.

1.1 PENGENALAN

Sebelum kita membincangkan dengan lebih lanjut tentang bahasa Melayu


pada era ini, eloklah kita maklumi dahulu akan kepentingan bahasa.
Sebenarnya, bahasa adalah kepunyaan manusia yang amat penting. Tanpa
bahasa, manusia sukar untuk berhubung antara satu sama lain.
Kepentingan bahasa ini termasuklah dari aspek potensi untuk kita
mengerti (memahami persoalan tentang yang dimaksudkan dengan
bahasa dan cara kelahiran sesuatu bahasa itu), mengetahui (memahami
tentang sesuatu bahasa berkenaan termasuk dari aspek peratusan bahasa),
mencipta dan mengembangkan dunia persekitaran kita (menggunakan
bahasa untuk memenuhi keperluan kehidupan).

Bahasa juga berperanan sebagai unsur yang dapat membezakan antara


makhluk di atas muka bumi. Setiap makhluk di dunia ini memiliki bahasa
mereka yang tersendiri. Manusia tidak dapat memahami bahasa haiwan
dan begitu juga sebaliknya. Malah di kalangan manusia sendiri terdapat
pelbagai bahasa yang tidak semua manusia memahaminya. Misalnya,
bahasa ibunda A ialah bahasa Perancis dan bahasa ibunda B ialah bahasa
Melayu. Kedua-dua mereka hidup terpisah dan tidak pernah terdedah
kepada bahasa selain daripada bahasa ibunda mereka. Oleh itu, kedua-
duanya tidak memahami bahasa selain daripada bahasa ibunda masing-
masing.

Begitu juga dengan haiwan yang memiliki bahasa tersendiri untuk mereka
berhubung antara satu sama lain. Sebagai contoh, semua labah-labah
jantan daripada kumpulan yang sama akan menari-nari dan mengeluarkan
bunyi yang serupa untuk menarik perhatian labah-labah betina daripada
1
kumpulan mereka bagi tujuan mengawan. Pergerakan itu tidak bertujuan
untuk maksud yang lain seperti ingin mencari makanan. Hal ini mungkin
berbeza pula dengan haiwan yang lain bagi tujuan yang sama. Justeru, ini
jelas menunjukkan bahawa bahasa itu dapat membezakan antara
makhluk yang sama atau berbeza.

Dalam kehidupan kita sehari-hari, kita sentiasa berhubung dengan orang


lain. Dalam perhubungan itu, kadang-kadang kita memberikan pendapat,
nasihat serta panduan tertentu kepada orang lain. Jadi, bagaimana
agaknya jika kita tidak mempunyai suatu bentuk bahasa? Apakah cara
yang akan kita gunakan untuk menyampaikan kehendak kita? Oleh
kerana insan yang bergelar manusia juga memiliki daya kekreatifan yang
tinggi, maka bagaimana kita hendak menciptakan dan menampakkan
keindahan dan kesenian kita itu? Jawapannya sudah tentu dengan bahasa
kerana dengan adanya bahasa maka dapatlah kita mencipta segala
keindahan dan kesenian di samping dapat menyalurkan pandangan kita
kepada orang lain.

Dengan itu, dapatlah kita katakan bahawa bahasa itu bukan sahaja
berperanan sebagai alat untuk kita berhubung malah ia menjadi alat
untuk kita melahirkan pandangan, mencipta keindahan kebudayaan dan
sebagainya.

1.2 DEFINISI BAHASA

Kita telah pun mengakui kepentingan bahasa sebagai alat komunikasi


yang penting dalam kehidupan. Namun begitu, pernahkah kita terfikir
atau berfikir tentang apa itu bahasa? Bagaimana bentuknya? Dari mana
asal-usulnya? Dan adakah bahasa itu lahir serentak dengan kelahiran kita
ke alam ini?

Menurut Sapir (1921), bahasa dikatakan bersifat naluri yang bertujuan


untuk menyampaikan idea, perasaan dan emosi melalui lambang-lambang
atau simbol-simbol tertentu yang dilahirkan atau digunakan. Contohnya,
apabila kita marah atau suka, kita akan melahirkan simbol atau lambang
tertentu yang dapat menggambarkan perasaan kita ketika itu.

Bloch dan Trager (1942) pula berpendapat bahawa bahasa ialah sistem
lambang-lambang pertuturan yang arbitrari dan digunakan oleh anggota
masyarakat untuk tujuan berhubung. Bagi Bloch dan Trager, pertuturan
yang dilahirkan oleh manusia itu bersifat sewenang-wenangnya. Manusia
bebas mengungkapkan apa sahaja lambang yang dapat menyampaikan
maksud yang dikehendaki. Malah lambang-lambang yang diujarkan itu
boleh berbeza-beza tetapi masih membawa maksud yang sama.
Contohnya, apa khabar dalam bahasa Melayu diujarkan kiya ho he dalam

2
bahasa Hindi, kaifahal dalam bahasa Arab, ni haw ma dalam bahasa
Mandarin dan how are you dalam bahasa Inggeris.

Sementara Nik Safiah, Farid, Hashim dan Abdul Hamid (1996)


berpendapat bahawa bahasa itu menjadi milik masyarakat yang
menuturkannya. Dalam erti kata yang lain setiap masyarakat memiliki
bahasa yang tersendiri. Semakin berkembang sesebuah masyarakat itu
maka akan berkembang jugalah sesebuah bahasa berkenaan dan semakin
luaslah penyebaran bahasa tersebut. Contohnya, jika bertambahnya
bilangan masyarakat Melayu dan kemudian mereka berhijrah pula ke
tempat-tempat lain serta mengekalkan bahasa Melayu sebagai bahasa
pertuturan, maka sudah tentu penyebaran bahasa Melayu tersebut
bertambah meluas; yakni sudah tidak terhad di Malaysia sahaja.

SOALAN DALAM TEKS 1.1

1. Mengapakah bahasa dianggap sebagai satu sistem


lambang yang arbitrari?

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

1.3 FUNGSI BAHASA

Dalam pertuturan atau percakapan kita sehari-hari, kita tidak akan


terlepas daripada mengguna bahasa. Bahasa yang kita gunakan itu boleh
sahaja sama ada bahasa yang diujarkan secara lisan, tulisan atau bahasa
isyarat. Oleh itu bahasa berperanan sebagai alat perhubungan sesama
manusia atau individu dalam aktiviti seharian. Aktiviti tersebut boleh
berlaku secara rasmi atau tidak rasmi. Bahasa menjalankan tugas sebagai
alat perhubungan fikiran sesama manusia. Hal ini terjadi melalui bahasa
yang diujarkan; hasil tindak balas fikiran atau otak. Hal ini seterusnya
membolehkan setiap individu dapat berinteraksi sesama sendiri atau
dengan kelompok yang lain lalu menjadikan sebuah masyarakat yang
lebih luas bentuk perhubungannya.

Apabila kita berhubung atau berbicara, lazimnya kita tidak berbicara atau
bercakap secara sendirian tetapi bersama seorang individu atau kumpulan
individu yang lain. Dengan itu, dapatlah kita katakan bahawa untuk
memenuhi fungsi sebagai alat komunikasi memerlukan antara penutur
dengan pendengar atau penulis dengan pembaca atau khalayak. Tanpa
3
khalayak atau pendengar, segala maklumat yang disampaikan itu tidak
bererti dan tidak bermakna.

Selain itu, bahasa juga turut berfungsi sebagai alat pernyataan fikiran atau
berfikir. Bolehkah anda berkhayal atau memikirkan sesuatu perkara atau
bermimpi, misalnya tanpa alat yang dapat menjadi perantaraan? Sudah
pasti jawapannya tidak. Andaikan anda berfikir ingin mencapai keputusan
yang cemerlang dalam peperiksaan. Dengan adanya bahasa akan
membuka laluan untuk dan mencari jalan ke arah mencapai kejayaan
tersebut. Keadaan ini juga menunjukkan bahawa bahasa dapat berfungsi
dalam interaksi antardiri dan interaksi interdiri. Fungsi antardiri berlaku
semasa seseorang individu bermonolog dengan dirinya. Manakala
interaksi interdiri berlaku apabila berhubung dengan orang lain.

Sistem tulisan yang menjadi komponen utama bahasa turut berfungsi


sebagai alat interaksi dan komunikasi manusia. Dengan adanya sistem
tulisan, sesuatu yang disampaikan itu lebih kekal dan dapat disimpan
secara berterusan untuk faedah jangka masa yang lebih panjang. Malah ia
dapat disebarkan dengan lebih meluas dalam pelbagai bentuk sama ada
secara bercetak atau elektronik.

Dalam hal ini, Halliday (1973) menyenaraikan tujuh fungsi bahasa


sebagai alat perhubungan manusia, iaitu

i) Fungsi instrumental. Berfungsi sebagai


menyempurnakan kehendak individu seperti memerintah
atau meminta sesuatu.
Contoh: Sila beratur dengan lurus mengikut barisan
masing-masing.
ii) Fungsi pengendalian (regulatory). Berfungsi untuk
mengawal perlakuan atau tingkah laku atau sesuatu
peristiwa yang berlaku.
Contoh: Seandainya anda gagal menjawab soalan ini
dengan betul, anda mungkin akan gagal dalam
peperiksaan dan akan disingkirkan daripada universiti ini.
iii) Fungsi pemerian (representational). Berfungsi untuk
menyatakan atau memeri, menyampaikan, menjelaskan
sesuatu maklumat atau fakta, peristiwa, dan lain-lain.
Contoh: Hari ini ialah hari cuti umum bagi Malaysia
kerana sambutan ulang tahun kemerdekaan yang ke-45.
iv) Fungsi interaksi. Berfungsi mewujudkan perhubungan
sesama insan dalam keadaan yang lancar dan
berpanjangan tanpa sebarang masalah atau salah faham.
Bagi memastikan hubungan yang baik, seseorang individu

4
perlu menguasai pengetahuan tentang dialek, jargon,
slanga dan sebagainya.
Contoh: Bising (bahasa baku) – hingar (dialek Kedah),
gege (Kelantan).
v) Fungsi khayalan (imaginative). Bertujuan melayan
fikiran dalam melakukan sesuatu perkara. Seseorang
individu mempunyai kebebasan untuk memikir atau
melakukan sesuatu perkara mengikut kreativiti dan
imaginasi sendiri.
Contoh: Penulisan cereka (novel, cerpen, drama, dsb.)
vi) Fungsi heuristik (heuristic). Bertujuan untuk
mendapatkan pengetahuan atau ilmu. Bahasa yang
digunakan adalah berbentuk pertanyaan atau soalan-
soalan yang memerlukan jawapan.
Contoh: Mengapa ais sejuk? Bagaimana bumi berputar?
vii) Fungsi peribadi (personal). Berfungsi untuk
meluahkan perasaan, emosi, kemahuan dan sebagainya
yang bersifat peribadi.
Contoh: Saya terkilan dengan sikap negatif awak. Saya
cinta kamu.

Oleh itu, yang harus anda sedari ialah bahasa amat berperana penting
kepada kita dan kita harus sedar bahawa keberkesanan sesuatu mesej
yang disampaikan itu bergantung juga kepada tahap kesukaran yang
dapat diterima oleh pembaca mahupun pendengar kita. Oleh itu
penguasaan ilmu bahasa yang baik dapat membantu kita untuk
berkomunikasi secara baik dan berkesan dan dapat mengurangkan salah
faham berlaku.

SOALAN DALAM TEKS 1.2

1. Kenapa pengetahuan tentang aspek dialek atau


slanga penting dalam aktiviti berbahasa?

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

5
1.4 BAHASA MELAYU DALAM ERA GLOBALISASI

Sebelum kita membincangkan bahasa Melayu dalam era globalisasi,


marilah kita fahami terlebih dahulu yang dimaksudkan dengan globalisasi.
Di bawah ini saya senaraikan beberapa pendapat tentang maksud
globalisasi agar anda dapat memahaminya dengan lebih jelas lagi.

a. Lodge (1993): Satu proses yang dipaksa oleh aliran global


sekumpulan manusia, maklumat, perniagaan dan kapital. Ia
dipercepatkan oleh teknologi yang dipandu oleh beberapa
koperasi pelbagai bangsa yang mungkin membahayakan kepada
persekitaran.
b. Peter Drucker (1994): Globalisasi merupakan sebahagian dunia
perniagaan tanpa dimiliki oleh sesiapa.
c. Md Saleh Yaapar (2000): Suatu proses penyebaran idea-idea,
nilai-nilai dan produk-produk yang berasal dari tempat tertentuke
seluruh pelusuk dunia dengan menggunakan jaringan teknologi
baru dan diterima sebagai suatu yang bersifat universal.

Oleh itu, peranan bahasa Melayu dalam era globalisasi seharusnya


berganjak supaya dapat menampung keperluan K-Ekonomi dengan
menggunakan teknologi dan kuasa maklumat. Hal ini dapat dicapai
memandangkan bahasa Melayu dipercayai difahami oleh lebih daripada
300 juta umat manusia di dunia ini. Peningkatan penggunaannya di
kalangan masyarakat dunia Melayu dan di luar dunia Melayu semakin hari
semakin semakin ketara. Sejarah telah melakarkan bahawa bahasa Melayu
telah melalui zaman kegemilangannya pada era Kesultanan Melayu
Melaka. Pada waktu itu bahasa Melayu telah berperanan sebagai bahasa
komunikasi para pedagang dan sebagai wahana budaya serantau untuk
mengungkapkan pelbagai bidang ilmu pengetahuan.

Dalam era globalisasi, bahasa menerima cabaran yang berat kerana


melibatkan persaingan dengan cabaran bahasa asing iaitu bahasa
antarabangsa semasa yang dijadikan bahasa komunikasi utama, yakni
bahasa Inggeris. Dengan ini, bahasa Melayu juga harus diterima oleh
dunia dalam memperkatakan semua aspek kehidupan manusia.

Dewasa ini, penglibatan bahasa Melayu dalam dunia teknologi maklumat


dan komunikasi negara masih lagi berada pada tahap yang rendah. Hal ini
dapat dibuktikan dengan penggunaan bahasa Melayu dalam laman-laman
web yang masih kurang berbanding dengan bahasa Inggeris. Kita sebagai
rakyat Malaysia seharusnya memikirkan dan mengambil inisiatif yang
sepatutnya untuk mengangkat martabat bahasa Melayu sebagai bahasa
yang global.

6
Sayugia, jati diri bahasa Melayu perlulah dibina dan dipupuk agar bahasa
kita tidak banyak terpengaruh oleh bahasa dan budaya asing yang tidak
bersesuaian dengan bangsa dan bahasa Melayu itu sendiri. Besar
kemungkinan pengaruh asing ini berlaku dalam era globalisasi ini. Oleh
itu masyarakat harus menerima pakai semua kaedah dan peraturan
bahasa Melayu dalam situasi yang rasmi atau formal atau dalam erti kata
lain ialah bahasa baku.

Contoh pengaruh yang dapat dikutip adalah seperti istilah “e-dagang”


dan “k-ekonomi” yang melanggar hukum D-M. Hal ini boleh diertikan
sebagai pengaruh bahasa asing yakni bahasa Inggeris.

Bagi menangani cabaran era globalisasi ini, maka aspek yang perlu kita
fikirkan sama-sama adalah untuk menjadikan bahasa Melayu:

i) Sebagai satu daripada cara untuk menyatupadukan kaum-


kaum di Malaysia;
ii) Sebagai bahasa yang dapat dihayati dan diterima pakai
oleh semua masyarakat;
iii) Setanding dengan bahasa-bahasa lain di dunia ini;
iv) Satu daripada bahasa komunikasi rasmi antara negara-
negara ASEAN;
v) Satu daripada bahasa perdagangan antara negara-negara
ASEAN sebelum tahun 2005;
vi) Satu daripada bahasa perdagangan antara negara-negara
Asia timur sebelum 2010; dan
vii) Satu daripada bahasa rasmi dalam persidangan Bangsa-
bangsa Bersatu sebelum tahun 2015.

Bagi memartabatkan bahasa tercinta kita ini, beberapa perkara perlu


diberi perhatian seperti pembakuan bahasa, pembentukan ejaan baru,
memperkemaskan sistem perkamusan, penciptaan istilah dalam setiap
bidang, kedwibahasaan – pelaksanaan dasar bahasa, persepsi pemimpin
politik birokrat, korporat dan teknokrat, dan kualiti pengguna bahasa
Melayu dari aspek tahap penguasaan berbahasa.

1.5 BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA ILMU

Berkait dengan bahasa global pula, bahasa Melayu seharusnya dapat


diterima sebagai bahasa ilmu. Dalam konteks negara kita sendiri, bahasa
Melayu yang menjadi bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan
negara telah dapat dipertahankan dan diperkembangkan. Hal ini
berdasarkan kepada pelbagai akta dan laporan yang dihasilkan bermula
daripada Penyata Razak (1956), Laporan Rahman Talib (1960), Akta
Pelajaran (1961), Akta Bahasa Kebangsaan (1963 serta pindaan 1967 dan
7
1990), Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Dasar Pelajaran (1979),
dan Akta pendidikan (1966).

Walau bagaimanapun, cabaran dan halangan yang dihadapi oleh bahasa


Melayu perlu ditangani dengan bijaksana. Kita perlu berbangga dan yakin
dengan pandangan ahli sosiolinguistik dari Universiti Adelaide, Australia,
Muhlhausler bahawa bahasa Melayu merupakan antara enam bahasa di
dunia yang mampu bertahan dalam tempoh 100 tahun lagi. Bahasa
Melayu bukan sahaja mampu bertahan selama 100 tahun malah bahasa
Melayu mampu hidup untuk selama-lamanya.

Konsep bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu mula diwar-warkan sekitar


tahun 1990-an serentak dengan pembudayaan ilmu. Konsep ini tidak
menjadi kesalahan, jadi bolehlah kita menganggapnya sama dengan
konsep “bahasa ilmiah” yang diperkenalkan pada tahun 80-an oleh Nik
Safiah (1986) dan Abdullah Hassan (1987).

Kamus Dewan (1994) mendefinisikan bahasa ilmu itu sebagai bahasa


yang mampu menjadi perantaraan bagi penyampaian ilmu pengetahuan
sehingga ke peringkat tinggi. Dalam erti kata yang lain bahasa ilmu itu
berperanan sebagai wadah untuk menyampaikan ilmu pengetahuan
moden seperti Sains dan Teknologi, Kedoktoran, Ekonomi, Undang-
undang di samping ilmu agama dan kesusasteraan. Dalam hal ini, bahasa
Melayu harus dapat berfungsi sebagai bahasa akademik yang lengkap
dengan pelbagai laras tertentu untuk memperkatakan perkara-perkara
baru seiring dengan perkembangan zaman. Perkara-perkara baru yang
timbul termasuklah seperti atonomi, biokimia, fisiologi, mikrobiologi,
parasitologi dan sebagainya.

Sebagai bahasa yang berperanan sebagai wahana ilmu maka bahasa


Melayu harus memiliki ciri-ciri tertentu, iaitu

i) Keintelektualan bahasa. Bahasa Melayu harus berupaya


menyampaikan segala macam buah fikiran dan
pandangan yang tepat serta berkesan. Bahasa yang
dianggap intelek hanya dapat dicapai setelah berlakunya
perkembangan dari aspek kosa kata dan sistem tatabahasa
yakni dengan penciptaan istilah-istilah baru yang lebih
spesifik sesuai dengan kehendak semasa.
ii) Kesempurnaan bahasa. Bahasa Melayu harus memiliki
sistem atau peraturan tertentu seperti sistem sebutan,
pembentukan kata dan pembentukan ayat. Misalnya kita
menyebut perempuan dan kereta baru bukan pelempuan atau
keleta balu. Ciri kedua bagi kesempurnaan ialah kelenturan
yakni wujud penyesuaian dengan persekitaran dan

8
pembaharuan. Seterusnya memiliki ciri kepelbagaian yang
mewujudkan pelbagai cara dan gaya penyampaian. Selain
itu, bahasa Melayu juga harus memiliki aspek
keberkesanan yakni maksud yang tepat dan berkesan
serta sedap didengar (indah).

Bagi membina dan mengembangkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu,


wahana budaya tinggi, bahasa perhubungan moden, dan meningkatkan
penguasaan di kalangan seluruh warganegara Malaysia, DBP telah
membuat beberapa strategi yang antaranya berusaha agar

i) bahasa Melayu digunakan dalam semua jenis urusan


rasmi, nama jabatan, jawatan dan ciptaan semua
dokumen rasmi dan undang-undang komunikasi lisan dan
tulisan serta komunikasi jabatan kerajaan dengan pihak
swasta dan sebaliknya;
ii) bahasa Melayu digunakan dalam semua urusan
perniagaan, nama syarikat, nama pertubuhan, nama
produk, nama perkhidmatan dan semua nama bandar,
nama jalan, nama taman perumahan dan sebagainya.
iii) jalinan strategik dapat dirangka dengan kementerian-
kementerian, jabatan-jabatan dan badan-badan kerajaan
lain serta pihak swasta untuk menubuhkan pusat
pembelajaran bahasa Melayu di luar negara. Tujuannya
adalah untuk menyebarluaskan dan mengembangkan
bahasa Melayu di pentas antarabangsa. Contohnya,
penubuhan Jabatan Bahasa Melayu di Tokyo University
of Foreign Studies di Jepun, di Hankuk University, Korea
Selatan, di School of Oriental and African Studies,
London, di University of Moscow dan di beberapa buah
pusat pengajian tinggi di luar negara seperti di Australia
dan negara-negara lain.

Ketika ini, penggunaan bahasa Melayu bertambah meluas dan sesuai


dengan statusnya sebagai bahasa merentas kurikulum seperti yang
dihasratkan dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM)
dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR). Penekanan
sewajarnya diberikan kepada penggunaan bahasa Melayu yang lebih
bermutu. Pengajarannya pula hendaklah tidak terhad kepada mata
pelajaran Bahasa Melayu semata-mata malah sebagai bahasa yang
berperanan sebagai bahasa pengantar yang juga berfungsi sebagai bahasa
merentas kurikulum (semua mata pelajaran) sama ada di peringkat
rendah mahupun menengah.

9
1.6 BAHASA MELAYU DALAM PENGURUSAN
ORGANISASI

Bahasa Melayu dalam pengurusan organisasi membawa pengertian


bahawa bahasa Melayu itu diguna dalam semua bentuk pengurusan di
dalam sesebuah organisasi yang mencakupi hal-ehwal mengurus atau
mentadbir sesebuah organisasi. Dalam hal ini, bahasa Melayu digunakan
sebagai bahasa utama dalam organisasi tersebut baik dalam urusan rasmi
atau tidak rasmi sama ada yang berbentuk tulisan seperti minit mesyuarat,
surat, memo dan sebagainya, atau bentuk lisan.

Dalam hal sebini, seseorang penutur itu perlulah membina keyakinan diri
untuk berkomunikasi dengan betul dengan menguasai laras dan gaya
bahasa yang tepat. Penguasaan bahasa yang baik bukan sahaja dapat
mencerminkan tahap pemikiran penutur berkenaan malah ia turut
melambangkan budi bahasa seseorang di samping memudahkan
pemahaman dan kelancaran tugas mereka. Penggunaan bahasa yang
teratur dan memudahkan pemahaman pendengar akan mengelakkan
daripada berlaku salah tafsir yang boleh menjejaskan hubungan sesama
pekerja dalam organisasi berkenaan.

1.7 KESIMPULAN

Kesimpulannya, dapatlah disimpulkan di sini bahawa bahasa adalah


sebahagian daripada kehidupan seharian kita yang amat penting. Bahasa
itu boleh melibatkan lisan dan tulisan. Kadang-kadang ia juga boleh
berbentuk isyarat atau paralinguistik. Dalam erti kata yang lain, bahasa
dapat membantu tugas seharian dalam dua aspek utama yakni, bentuk
penulisan seperti laporan, minit mesyuarat, dan memo; bentuk lisan
seperti ucapan dan perbahasan. Kedua-dua bentuk berkenaan pula
mempunyai ciri-ciri khusus seperti dari aspek penyampaian, kandungan
dan khalayak. Semua bentuk bahasa berkenaan akan saudara dan saudari
ikuti dalam pelajaran yang akan datang.

JAWAPAN SOALAN DALAM TEKS

SDT 1.1

1. Bahasa dianggap sebagai sistem lambang bunyi yang arbitrari


kerana lambang bunyi yang dilafazkan bagi sesuatu benda yang
dimaksudkan itu tidak ada kena mengena secara langsung. Keadaan
ini akan melahirkan perkataan-perkataan yang berlainan mengikut
sesuatu bahasa berkenaan walaupun ia membawa maksud yang
sama. Contohnya, kata “apa khabar”, dalam bahasa Melayu disebut

10
“kaifahal” dalam bahasa Arab, “kiaya ho hey” dalam bahasa Hindi,
“how are you” dalam bahasa Inggeris dan “ni how ma” dalam
bahasa Mandarin. Dalam erti kata yang lain sesuatu benda atau
perkara itu dilambangkan dengan sewenang-wenangnya tanpa ada
hubungan yang lojik.

SDT 1.2

1. Dialek ialah kelainan bahasa yang wujud disebabkan oleh faktor


geografi atau faktor sosial. Kelainan geografi disebut sebagai dialek
geografi. Kelainan sosial disebut sebagai dialek sosial. Manakala
slanga pula ialah bahasa yang digunakan oleh kelompok manusia
tertentu. Misalnya, bahasa di kalangan mahasiswa UUM. Bahasa
slanga hanya difahami oleh kelompok berkenaan sahaja dan terhad
penggunaan dalam kelompok berkenaan. Pengetahuan tentang
dialek dan slanga akan membolehkan sesorang pengguna bahasa
dapat memahami budaya serta maksud sesuatu ujaran yang
dilafazkan. Ia juga dapat mengelakkan daripada berlakunya salah
tafsir terhadap sesuatu yang diucapkan. Sebagai contoh, katakanlah
seorang yang berasal dari Kedah menegur rakannya dari Kelantan
yang terlalu bising dalam kelas dengan mengatakan “janganlah
hingaR sangat”. Seandainya rakan dari Kelantan itu tidak dapat
memahami kata “hingaR” maka beliau akan terus membuat bising.
Ini kerana dalam dialek Kelantan, bising disebut “gege”.
Kelangsungan daripada itu, pengetahuan tentang dialek atau slanga
akan membolehkan sesuatu komunikasi itu berlangsung dengan
baik dan berkesan serta membantu menyampaikan mesej secara
berkesan.

11

Anda mungkin juga menyukai