Anda di halaman 1dari 31

ANALISIS LARAS RESEPI MELAYU

Prof.Madya Dr.Ab.Razak Ab.Karim


Akademi Pengajian Melayu
Universiti Malaya

1.0 Pendahuluan

Laras merupakan konvensi sosial dan sesuatu laras digunakan

untuk sesuatu situasi. Dari aspek yang lain pula, dapat dikatakan bahawa

dengan memilih laras yang berlainan untuk situasi-situasi yang berbeza,

ahli-ahli masyarakat menunjukkan bahawa mereka sedar akan situasi-

situasi sosial yang berlainan dan wujud di sekitar mereka. Jumlah laras

yang wujud dalam sesebuah masyarakat bahasa menunjukkan bahawa

pengalaman bahasa masyarakat tersebut agak baik. Ini kerana

kemunculan laras-laras bahasa adalah selari dengan kewujudan situasi-

situasi penggunaan bahasa.

Dalam kehidupan seharian, banyak perkara yang diperkatakan

dalam situasi yang berlainan. Akibatnya, akan wujud penggunaan variasi

bahasa yang berbeza-beza tanpa disedari oleh anggota masyarakat.

Perbezaan ini lahir daripada fakta yang bertutur, tajuk yang diperkatakan

ataupun dibincangkan, tujuan perbincangan dan juga suasana atau

keadaan penggunaan bahasa itu sendiri. Dalam konteks bahasa Melayu

kini proses pembinaan dan pengembangannya telah melahirkan sejumlah

besar laras sejak zaman lampau lagi.

1
Konsep laras telah mendapat perhatian di kalangan ahli-ahli

bahasa, khususnya mereka yang terlibat dengan kajian sosiolinguistik.

Mereka mula menyedari bahawa dalam kajian yang dilakukan oleh

mereka tanpa mengaitkan masyarakat akan mengetepikan beberapa

aspek penting dan menarik serta mungkin menyempitkan pandangan

mereka terhadap bahasa itu sendiri.

Kajian pertama dilakukan oleh Malinowski (1923) dan seterusnya

dikembangkan oleh Firth. Beliau melakukan kajian di gugusan pulau

Pasifik Selatan atau lebih dikenali sebagai Kepulauan Trobriand. Dalam

kajian yang dilakukan, beliau mendapati bahawa dalam kehidupan ahli-

ahli dalam sesebuah masyarakat, bahasa menggambarkan perlakuan dan

menjelaskan masyarakat serta fungsi-fungsi emotif kesedaran tentang

komunikasi phatik. Beliau juga mendapati bahawa dalam kajian ini bahasa

tidak boleh dilihat dalam bentuk yang terasing daripada konteks sosial dan

kepentingan makna bagi sesyuatu ujaran itu didapati dalam penggunaan

dan kedudukannya.

2.0 Definisi Laras: Laras didefinisikan sebagai kelainan bahasa yang

digunakan oleh penutur dalam kehidupan sehari-harian mereka.

Seseorang penutur itu akan mengubah larasnya bergantung pada

keadaan ataupun situasi sesuatu peristiwa bahasa itu berlangsung.

Misalnya, dalam sesuatu peristiwa bahasa itu, tentulah pemeran

2
mempunyai rakan atau orang lain yang diajak bercakap atau lebih dikenali

dengan konsep siapa yang bercakap, tajuk ataupun perkara yang

diperkatakan atau dibincangkan, suasana perbualan itu berlangsung

sama ada secara formal atau tidak formal dan penggunaan medium sama

ada secara lisan ataupun tulisan.

Berdasarkan perkara-perkara inilah beberapa orang pengkaji telah

mengemukakan pandangan mereka tentang laras. Nik Safiah Karim

(1982:1) misalnya menyatakan laras seperti yang berikut:

Laras atau register bermaksud gaya atau cara


penggunaan sesuatu bahasa. Sesuatu laras
bermaksud variasi bahasa yang dipilih daripada
sekumpulan variasi yang ada pada tiap-tiap penutur.
Jumlah laras wujud dalam sesuatu masyarakat
kerana kemunculan laras bahasa selari dengan
kewujudan situasi-situasi penggunaan bahasa.
Penggunaan bahasa berubah mengikut konteks,
bidang dan peringkat sosial.

Beliau mengaitkan laras dengan pemilihan bahasa berdasarkan

konteks, bidang yang diperkatakan dan juga peringkat sosial. Menurut

beliau lagi, laras sesuatu bahasa yang digunakan itu adalah selari dengan

kewujudan situiasi-situasi penggunaan bahasa.

Menurut Asmah Hj.Omar (1984:92) pula, laras bahasa adalah

kelainan bahasa yang digunakan mengikut bidang, seperti bidang ilmu

3
dan bidang sosial. Menurut beliau lagi, bahasa yang digunakan dalam

bidang keilmuan tertentu memperlihatkan beberapa perbezaan daripada

bahasa yang digunakan dalam ilmu yang lain. Perbezaan yang wujud

bukanlah perbezaan sistem bahasa tetapi kesukaran wujud dalam

pemahaman konse-konsep yang didukung oleh istilah-istilah tertentu atau

khusus yang digunakan dalam ilmu berkenaan. Beliau menekankan

bahawa laras yang berlainan yang digunakan bukannya pada sistem

bahasa tetapi hanya pada kata-kata tertentu yang digunakan dalam laras.

Seorang lagi pengkaji tempatan yang menyentuh tentang laras

ialah Abdullah Hassan. Menurut beliau, laras ialah pemakaian kata-kata

tertentu yang sesuai dengan konteks. Sesuatu laras yang sesuai

digunakan adalah pengolahan bahasa yang baik, ada hubungan antara isi

dengan perkara yang diperkatakan dalam laras. Menurut beliau (1989:

26):

Pemakaian kata-kata tertentu yang sesuai dengan


konteksnya itu adalah sesuatu yang dikatakan laras
bahasa. Pemakaian laras bahasa yang sesuai itu
adalah dianggap pengolahan bahasa yang baik. Ada
hubungan rapat antara isi, perkara yang
dibincangkan dengan laras bahasa yang digunakan
untuk membincangkannya.

Di kalangan pengkaji-pengkaji barat, banyak sekali konsep dan

definisi yang dikemukakan oleh mereka tentang laras. Laras ataupun

4
register pertama kalinya telah digunakan oleh Reid (1956) untuk

menjelaskan perbezaan perlakuan bahasa seseorang individu tetapi

kajian yang dilakukan oleh Malinowski dianggap sebagai kajian terawal

yang berkaitan dengan konsep laras bahasa. Ini kerana beliau telah

melakukan kajian di gugusan Pulau Pasifik Selatan, iaitu di Kepuluan

Trobrian. Dalam kajian yang dilakukan itu, beliau telah cuba

menterjemahkan teks-teks dalam bahasa Kiriwinia yang diperoleh

daripada kajiannya itu ke dalam bahasa Inggersi tetapi tidak dapat

difahaminya.

Kajian beliau yang berkaitan dengan ujaran manusia dan

hubungannya dengan masyarakat memperlihatkan hubungan antara

ujaran manusia dengan konteks bahasa yang dilafazkan. Kajian beliau

penting dari sudut fungsi bahasa kerana beliau beranggapan bahawa

bahasa lebih merupakan pola pelakuan dan bukannya satu tindak balas

berfikir. Beliau berpendapat bahawa ujaran-ujaran hanya akan

bermakna jika dilafazkan dalam konteks tertentu dan makna bagi

sesuatu perkataan akan ditentukan sendiri oleh konteks ujaran

berkenaan. Sekiranya perkataan yang sana digunakan dalam konteks

yang berlainan, maka makna ujaran tersebut juga akan berbeza.

Pendapat Malinowski ini kemudiannya dikembangkan oleh

pengikutnya J.R.Firth yang kemudiannya meluaskan konsep yang

5
digunakan oleh Malinowski itu. Halliday (1973:49) misalnya,

menganggap bahawa teori keperihalan keadaan ini sebagai suatu titik

permulaan bagi kajian bahasa dan sosial. Ini kerana konsep tersebut

merupakan suatu kajian terhadap bentuk potensi pelakuan manusia

dalam sesebuah masyarakat bahasa. Lama-kelamaan kajian ini

akhirnya dikenali sebagai kajian laras bahas ataupun register dan

tergolong dalam bidang sosiolinguistik.

Halliday (1968:149) kemudiannya mendefinisikan laras sebagai

variasi bahasa yang berdasarkan fungsi. Menurut beliau:

Language varies as its functions varies, it differ is


different situation. The name given to the varietry of
language distinguished according to its use is
register.

Quirk dan Greebaum (1973), dalam membicarakan variasi-variasi

bahasa Inggeris pula, telah menurunkan enam jenis utama (masing-

masing dengan subjenisnya pula) berdasarkan faktor-faktor penentu

laras seperti yang berikut, iaitu daerah, pendidikan dan kedudukan

sosial, tajuk yang diperkatakan, cara penyampaian, sikap dan juga

gangguan. Kesemua faktor ini menghasilkan ciri-ciri tertentu dalam

penggunaan bahasa yang memisahkannya daripada variasi yang lain.

Setiap satunya pula mempunyai ciri-ciri tersendiri dan jenis ataupun

variasi golongan terpelajar biasanya mengandungi struktur tersendiri

6
yang digunakan dalam situasi tertentu dan mencerminkan latar belakang

tertentu pula. Variasi kelas tertentu dalam sesebuah masyarakat,

menurut mereka, akan memperlihatkan penggunaan bahasa yang tidak

sama dengan ciri-ciri daripada golongan yang lain.

Pada tahun 1985 Halliday mengutarakan pendapat yang

menyatakan bahawa dialek dan laras mempunyai perbezaan yang jelas.

Dialek pada dasarnya berbeza dari segi isi manakala laras berbeza dari

segi bentuknya. Ukuran utama sesuatu laras itu dapat dilihat

berdasarkan tatabahasa dan perbendaharaan kata yang digunakan.

Beliau telah menjeniskan laras bahasa berdasarkan tiga faktor yang

utama, iaitu:

a) tajuk wacana ( field of discourse)

b) cara penyampaian wacana ( mode of discourse)

c) gaya wacana ( style of discourse)

Pada dasarnya laras bermaksud bahasa yang dituturkan, yang

berubah dan bersesuaian dengan situasi sosial yang kita hadapi.

Sesuatu situasi itu bukan sahaja membantu bagi menentukan apa yang

kita ujarkan malah ia menentukan bentuk bahasa yang akan kita

gunakan. Sesuatu laras itu akan wujud dengan kewujudan situasi-situasi

penggunaan sesuatau bahasa itu.

7
Berdasarkan penjelasan beberapa orang tokoh yang mengkaji

laras, sama ada pengkaji tempatan mahupun pengkaji barat, dapat

dirumuskan bahawa laras ialah variasi bahasa yang berbeza-beza

bentuk dan penggunaanya. Laras berdasarkan situasi tertentu dan juga

bidang tertentu yang diperkatakan oleh anggota masyarakat.

3.0 Pendekatan Kajian Laras: Ramai pengkaji telah melakukan kajian

mereka terhadap laras dan telah mengemukakan pelbagai pandangan

dan pendekatan. Dalam bahagian ini akan dibincang tiga pendekatan

yang sering digunakan dalam kajian laras, iaitu pendekatan yang

digunakan oleh Halliday (1968), Ure dan Ellis (1977) dan Leech dan Short

(1981).

a) Pendekatan Halliday (1968)

Halliday melihat laras sebagai kelainan bahasa yang digunakan

oleh anggota masyarakat berdasarkan situasi yang berlainan. Menurut

beliau apabila sesuatu laras bahasa itu digunakan, seseorang itu dapat

memahami sesuatu fungsi peristiwa bahasa dan ini menyebabkan bahasa

yang digunakan memberi kesan kepada penuturnya. Oleh yang demikian,

beliau beranggapan bahawa kelainan peristiwa bahasa akan menentukan

sesuatu laras bahasa yang digunakan oleh seseorang penutur itu. Beliau

8
telah menyenaraikan tiga aspek yang berkaitan dengan laras apabila

kajian laras dilakukan. Aspek-aspek tersebut adalah seperti yang berikut:

a) tajuk wacana

b) saluran

c) gaya wacana

Tajuk wacana merujuk pada bidang yang sedang diperkatakan

ataupun dibincangkan oleh pemeran. Tajuk merangkumi topik ataupun

subjek yang diperkatakan oleh mereka yang berbual. Berdasarkan tajuk

wacana yang dibincangkan, akan dapat dikenal pasti penggunaan

perbendaharaan kata yang digunakan dalam sesuatu perbualan itu.

Aspek kosa kata ataupun perbendaharaan kata merangkumi kata-kata

teknikal ataupun kata-kata umum yang digunakan dalam perbealan

tersebut.

Saluran ialah cara sesuatu mesej itu disampaikan dan merujuk

pada bahasa yang digunakan dalam lakuan bahasa yang mempunyai

hubungan dengan peranan yan dimainkan oleh lakuan bahasa dalam

situasi tertentu. Dalam saluran yang digunakan untuk berinteraksi, saluran

boleh berbentuk lisan ataupun bentuk tulisan. Setiap bentuk ini

mempunyai ciri-ciri tertentu untuk menyampaikan sesuatu mesej itu.

9
Gaya wacana pula merujuk pada hubungan antara pemeran yang

terlibat dalam sesuatu peristiwa bahasa. Gaya wacana boleh bersifat gaya

formal atau tidak formal. Gaya formal misalnya melibatkan hubungan

sosial yang tidak intim manakala gaya tidak formal bersifat sebaliknya.

Ketiga-tiga aspek ini menurut Halliday, mempunyai perkaitan dan

saling bertindih. Oleh yang demikian, beliau melihat ciri-ciri laras

berdasarkan aspek leksikal dan aspek tatabahasa.

b) Pendekatan Ure & Ellis (1977)

Mereka melihat kepentingan peristiwa bahasa sebagai fokus utama

dalam kajian sesuatu laras itu. Menurut mereka setiap penggunaan

bahasa memerlukan satu situasi sosial ataupun peristiwa bahasa. Oleh

yang demikian, mereka menamakannya sebagai ciri-ciri keperihalan dan

ciri-ciri linguistik yang wujud dalam sesuatu penggunaan bahasa itu.

Ciri-ciri keperihalan ialah ciri-ciri luaran yang terdapat dalam

sesuatu peristiwa bahasa dan mereka telah membahagikan ciri kerihalan

ini kepada dua bahagian, iaitu situasi luaran dan situasi persekitaran.

Situasi luaran ialah latar belakang sosial dan budaya sesebuah

masyarakat bahasa yang merangkumi struktur sosial dan keseluruhan

cara hidup masyarakat yang menentukan pelakuan anggota masayarakat.

Situasi persekitaran pula mencakupi aspek-aspek yang terlibat secara

10
langsung dalam penggunaan bahasa dan, menurut mereka, situasi

persekitaran terangkum di dalamnya empat aspek penting seperti yang

berikut:

i) cara penyampaian

ii) hubungan sosial dan peribadi

iii) bahan yang diperkatakan

iv) fungsi sosial perlakuan bahasa

Cara penyampaian merujuk pada jenis-jenis bahasa yang

digunakan seperti bentuk lisan, tulisan, isyarat ataupun sebagainya,

pemeran-pemeran yang terlibat dalam peristiwa bahasa dan juga jangka

masa yang diambil bagi penggunaan bahasa itu. Bahasa tulisan misalnya

dapat mewujudkan ratusan variasi seperti laras ucapan, laporan, ilmiah

dan sebagainya. Perkara-perkara ini berkaitan pula dengan faktor-faktor

seperti siapa yang menulis, kepada siapa tulisan tersebut ditulis ataupun

ditujukan, dan tulisan tersebut tentang apa. Latar belakang seseorang

penulis juga boleh menyebabkan perbezaan pada cara penghasilan

sesuatu laras itu.

Perhubungan sosial dan peribadi ialah hubungan yang wujud

antara seseorang pemeran dengan pemeran yang terdapat dalam

sesuatu peristiwa bahasa yang berlangsung. Dalam hal ini terdapat dua

11
aspek yang berkaitan, iaitu yang melibatkan hubungan peribadi dan yang

keduanya hubungan yang tidak rasmi ataupun bersifat formal. Dalam

hubungan yang bersifat peribadi akan wujud hubungan mesra antara

pemeran-pemeran yang terlibat dalam peristiwa bahasa itu. Misalnya,

peristiwa bahasa yang melibatkan perbualan dua orang sahabat,

sepasang kekasih ataupun antara ahli-ahli keluarga. Perhubungan yang

tidak rasmi ataupun formal tidak akan memperlihatkan kemesraan kerana

terdapat jurang sosial antara kedua-dua pemeran yang terlibat dalam

peristiwa bahasa. Misalnya, hubungan antara penulis akhbar dengan

pembaca akhbar, antara majikan dengan pekerja ataupun antara penulis

novel dengan pembaca novel.

Bahan yang diperkatakan ialah isi yang diperkatakan atau

dibincangkan dalam sesuatu peristiwa bahasa yang berlangsung. Bahan

boleh melibatkan isi-isi yang biasa dalam kehidupan seharian sehinggalah

pada bidang-bidang yang lebih khusus sifatnya seperti bidang sains dan

teknologi. Pendek kata, isi-isi yang diperkatakan dalam peristiwa bahasa

merupakan bahan dalam sesuatu laras. Setiap bahan mempunyai

perbezaan yang berlainan antara satu sama lain dan bergantung pada

perkara yang diperkatakan oleh pemeran.

Fungsi sosial perlakuan bahasa: Dalam bahagian ini terdapat dua

perkara penting yang digabungkan dalam satu frasa seperti yang di atas.

12
Pertama, ialah frasa fungsi sosial dan yang keduanya ialah perlakuan

bahasa. Kedua-dua frasa ini mempunyai hubungan yang erat dan saling

berkaitan antara satu sama lain. Fungsi sosial ialah bentuk-bentuk majlis

ataupun upacara yang berupa amalan anggota sesebuah masyarakat dan

diiktiraf oleh mereka sebagai penting dan menjadi amalan budaya hidup

masyarakat berkenaan. Misalnya, dalam masyarakat Melayu majlis

perkahwinan merupakan salah satu daripada fungsi sosial yang menjadi

amalan sejak zaman berzaman lagi. Majlis kenduri tersebut merupakan

fungsi sosial dan anggota masyarakat mengiktirafnya sebagai majlis yang

penting. Dalam fungsi sosial tersebut akan terdapat lakuan bahasa yang

menjadi inti utama majlis tersebut, iaitu majlis akad nikah pengantin lelaki.

Dalam majlis tersebut akan wujud lakuan bahasa yang berupa kata-kata

yang perlu dilafazkan oleh pihak yang terlibat dalam pernikahan yang

dilakukan.

Dalam majlis pernikahan, imam ataupun jurunikah akan

menggunakan kata-kata yang sesuai atau lebih dikenali sebagai akad dan

pengantin lelaki pula akan menjawabnya sebagai tanda penerimaan.

Kata-kata yang dituturkan oleh jurunikah dan pengantin lelaki inilah yang

dikatakan sebagai lakuan bahasa. Lakuan bahasa ini hanya berlaku

dalam majlis akad nikah sahaja dan tidak boleh dibuat secara

sembarangan sahaja. Oleh yang demikian, lakuan bahasa hanya akan

wujud apabial adanya peristiwa bahasa yang berlangsung. Setiap lakuan

13
bahasa yang lahir daripada peristiwa bahasa tidak sama dan bergantung

pada jenis peristiwa bahasa yang berlaku.

Aspek kedua yang diperkatakan oleh Ure & Ellis tentang laras ialah

ciri-ciri linguistik dalam laras bahasa. Menurut mereka tiga aspek penting

yang perlu dibincangkan dalam ciri ini ialah :

a) aspek kosa kata

b) aspek ayat

c) aspek ketenunan

Dalam aspek kosa kata, perkara utama yang diberikan tumpuan

ialah penggunaan kata dalam sesuatu laras, sama ada laras yang

diperkatakan itu banyak menggunakan istilah khusus atau istilah umum

ataupun tidak ada penggunaan istilah langsung. Sekiranya sesuatu laras

itu banyak menggunakan istilah, akan wujud istilah-istilah yang berlainan

berdasarkan bidang yang diperkatakan oleh laras tersebut. Di samping itu,

terdapat juga sesetengah laras yang menggunakan kata-kata pinjaman

asing atau sebagainya. Pendek kata, dalam aspek kosa kata segala

aspek yang berkaitan dengan kata akan dibincangkan untuk membuktikan

bahawa sesuatu laras itu menggunakan kata-kata tertentu yang berbeza

daripada laras yang lain.

14
Dalam aspek ayat penekanan ialah pada jenis ayat dan juga

binaan ayat yang digunakan dalam sesuatu laras. Sesetengah laras

menggunakan banyak ayat majmuk dan kurang ayat tunggal manakala

laras yang lain pula proses pengguguran, dan penyongsangan ayat pula

berlaku. Oleh itu, dalam aspek ayat segala perkara yang berkaitan

dengan jenis dan binaan ayat akan dibincangkan sebagai ciri sesuatu

laras itu.

Aspek ketenunan ialah keutuhan sesuatu laras sebagai sebuah

teks dan berkaitan dengan unsur-unsur tertentu yang digunakan oleh

pemeran dalam sesuatu laras. Sesetengah laras mempunyai kesatuan isi

yang utuh manakala laras yang lain pula kurang utuh dari segi jalinan idea

yang disampaikan.

Rumusannya, pendekatan Ure & Ellis tentang laras dapat

dirumuskan dalam bentuk carta seperti yang berikut:

LARAS
┌─────────────┴─────────┐
│ │
│ │
Ciri-ciri keperihalan ciri-ciri linguistik
┌─────┴─────┐ aspek kosa kata
situasi luaran situasi persekitaran aspek ayat
aspek ketenunan

 cara penyampaian

 hubungan sosial &


peribadi

 bahan yang diperkatakan

 fungsi sosial perlakuan bahasa

15
c) Pendekatan Leech & Short (1981) : Pendekatan yang digunakan oleh

mereka tidak banyak bezanya dengan pendekatan yang digunakan oleh

Ure & Ellis. Perbezaannya terletak pada bahagian tatabahasa dan juga

leksikal serta tambahan pada bahagian keindahan bahasa yang

digunakan dalam laras. Leech & Short membincangkan empat aspek

dalam kajian laras. Menurut mereka, gaya persembahan sesebuah laras

dilihat sebagai suatu cara untuk membezakan antara satu laras dengan

laras yang lain. Dalam kajian mereka tentang laras fiksyen dalam bahasa

Inggeris mereka telah mengemukakan keempat-empat aspek seperti yang

berikut:

i) tatabahasa

ii) leksikal

iii) gaya/keindahan bahasa

iv) ketenunan dan konteks

Aspek tatabahasa merangkumi aspek sintaksis dan juga morfologi

yang dilihat sebagai satu unsur penggunaan bahasa dalam laras. Unsur

penggunaan kata seperti bentuk kata formal dan tidak formal, kata kata

khusus dan kata umum akan diberikan tumpuan dalam bahagian

tatabahasa.

16
Aspek leksikal pula ditumpukan pada penggunaan kata-kata

pinjaman serta kewujudan unsur-unsur dialek dalam sesebuah laras yang

dibuat kajian.selain itu mereka juga menyentuh pemilihan diksi dan istilah

yang melibatkan berbagai-bagai jenis makna juga dilakukan.

Gaya bahasa merupakan salah satu daripada unsur keindahan

yang terdapat dalam kerangka kajian laras yang dilakukan oleh Leech &

Short. Menurut mereka penggunaan unsur-unsur gaya bahasa akan

menimbulkan kesan positif dan menarik kepada pembaca dan juga

pendengar. Tumpuan biasanya diberikan pada bentuk-bentuk

penyimpangan bahasa sebagai suatu gaya tersendiri yang digunakan oleh

seseorang penulis.

Leech & Short melihat aspek ketenunan atau kohesi dan konteks

dalam kajian laras kerana, menurut mereka kedua-dua aspek ini

mempunyai perkaitan secara langsung antara penulis dengan pembaca.

Keadaan ini akan mengakibatkan penggunaan laras yang berbeza-beza.

Menurut mereka, kesinambungan dalam bahasa merupakan jalinan fikiran

untuk menjadikan sesuatu laras itu sebagai suatu kesatuan yang utuh

yang dinamakan sebagai kohesi dan koherensi. Penulis boleh

mempengaruhi pembaca dengan mengemukakan aspek kohesi dan

konteks yang kukuh dan bersepadu.

17
Pendekatan pelbagai yang diutarakan oleh para pengkaji

sebenarnya hampir sama sahaja tetapi keterperinciannnya sahaja yang

berlainan. Sesetengah pengkaji menggunakan pendekatan yang mudah

dan bersahaja, tetapi yang lain, sebaliknya. Dalam kertas kerja ini

pendekatan yang digunakan untuk membincangkan laras resepi adalah

berdasarkan pendekatan Ure dan Ellis, kerana teori yang dikemukakan

oleh mereka mencakupi banyak aspek luaran yang berkaitan dengan teks

yang tidak ada dalam teori pengkaji-pengkaji lain.

4.0 Asal Usul Laras resepi

Laras resepi merupakan salah satu daripada laras moden yang terdapat

kini tetapi ramai tidak menyedari hakikat kehadiran laras ini dalam masyarakat.

Laras resepi dari segi sejarahnya telah wujud sejak zaman lampau tetapi tidak

dikodifikasikan atau ditulis tetapi hanya disampaikan daripada seorang tukang

masak kepada orang lain. Dalam sesebuah keluarga, ibu akan mewariskan cara-

cara memasak sesuatu jenis resepi kepada anak-anak dan anak-anak pula

mewarisinya dan seterusnya mengajarnya pula kepada generasai yang lain.

Secara tidak langsung laras resepi berkembang dan dalam zaman moden ini

pelbagai resepi moden telah mempengaruhi masyarakat untuk menyediakannya

demi keperluan keluarga ataupun untuk tujuan komersial.

Kelahiran laras resepi pada zaman moden ini bukan sekadar untuk

keperluan keluarga seperti zaman tradisional tetapi terdapat faktor-faktor lain

18
yang mempengaruhinya, seperti resepi untuk tujuan perniagaan, seperti di hotel-

hotel dan warung-warung serta untuk tujuan-tujuan lain. Ini telah menyebabkan

berlaku pelbagai perubahan pada cara memasak sesuatu jenis resepi, alat-alat

yang digunakan untuk memasak, sukatan ataupun timbangan terhadap bahan-

bahan memasak dan juga bahan-bahan yang digunakan untuk memasak

makanan.

Pada zaman lampau/tradisional, makanan yang disediakan lebih bersifat

kekampungan seperti dodol, kuih-muih dan pelbagai lauk tetapi pada zaman

moden ini makan tradisional tidak dilupakan tetapi pelbagai makanan moden ala

barat terdapat dalam masyarakat. Ini menyebabkan perlunya laras resepi

sebagai panduan masyarakat untuk menyediakan makanan tersebut. Selain itu,

alat-alat yang digunakan untuk memasak kini lebih canggih kerana untuk

menyediakan makanan-makanan moden alat-alat resepi tradisional kurang

sesuai. Kalau dulu periuk, belanga dan kuali sudah memadai untuk menyediakan

pelbagai resepi tetapi kini alat-alat canggih seperti oven, alat-alat timbangan dan

sebagainya merupakan keperluan utama yang perlu ada pada seseorang tukang

masak. Selain itu, bahan-bahan yang digunakan juga jauh berbeza daripada

bahan-bahan yang digunakan pada zaman lampau. Kini terdapat pelbagai jenis

bahan seperti sos Kikomann, sos tiram, tuna Maguro dan sebagainya yang boleh

didapati di pasar-pasar raya di negara kita. Keadaan ini menyebabkan laras

resepi berkembang dari hari ke hari dan semakin banyak terdapat disebabkan

keperluan oleh anggota masyarakat di negara kita.

19
5.0 Analisis Data Resepi

Dalam bahagian ini akan diberikan beberapa contoh data untuk dibuat

analisis tentang laras resepi moden seperti di bawah ini.

TOM YAM DENGAN SASHIMI

Bahan-bahan sashimi:

1 hiris tuna Maguro

1 hiris salmon

1 biji kerang Jepun (Japanese clamp)

¼ camca teh telur ikan salmon

Bahan-bahan tom yam:

150 ml minyak sayur

200 g kulit udang

2 liter air rebusan ikan

200 g pes tom yam

80 g pes tomato

200 g bawang besar dihiris

10 helai daun limau purut

15 tangkai serai dititik

8 biji cili padi

8 tangkai akar ketumbar

20
1 ikat daun ketumbar

100 g lengkuas

5 biji tomato dicincang kasar

10 biji perahan limau nipis

Sedikit sos ikan

Sedikit garam dan serbuk lada sulah

Bahan-bahan hiasan:

4 ekor udang harimau

100 g cendawan batang dibelah dua

50 g cendawan Enoki

Sedikit hirisan daun ketumbar

4 biji cili padi

Cara membuatnya:

1 Panaskan minyak hingga berasap. Goreng kulit udang hingga menjadi

merah, alihkan periuk dari api dan sejukkan beberapa minit.

2 Tuangkan air rebusan ikan dan biar mereneh 20 minit. Masukkan

semua bahan lain kecuali perahan limau nipis, sos ikan, garam dan

serbuk lada sulah. Angkat periuk, biar ia seduh 20 minit, tapis dan

sejukkan kuah.

3 Panaskan sedikit minyak dan goreng udang hingga masak. Letak

udang ini di dalam mangkuk hidang.

21
4 Didihkan kembali kuah tadi dan celur kedua-dua jenis cendawan di

dalamnya. Angkat dan sendukkan cendawan ke dalam mangkuk

udang tadi. Hias dengan hirisan daun ketumbar dan sebiji cili padi.

5 Apabila kuah mendidih, masukkan perahan limau nipis, sos ikan,

garam dan serbuk lada sulah. Tuang kuah di dalam mangkuk hidang

tadi. Hidangkan bersama sashimi

Berdasarkan teks ini akan dibincangkan analisis data berdasarkan teori

Ure dan Ellis tentang ciri-ciri keprihalan dan aspek linguistik.

6.0 Ciri-ciri Keprihalan

Dalam situasi luaran, teks ini dihasilkan dalam abad kedua puluh atau

lebih tepat lagi dihasilkan oleh masyarakat zaman moden. Ini berlaku kerana

teks ini memaparkan perkara-perkara baharu dalam masyarakat, iaitu resepi

daripada negara jiran, iaitu Thailand.

Dalam situasi persekitaran, cara penyampaian teks ini adalah melalui

tulisan walaupun pada awal kemunculan laras ini disampaikan secara lisan.

Laras ini disebarkan dalam media massa tempatan seperti akhbar, majalah-

majalah wanita seperti Jelita, Wanita, Nona dan sebaginya. Tujuan utamanya

adalah untuk menyampaikan maklumat tentang sesuatu resepi kepada golongan

wanita amnya.

22
Teks ini bersifat formal dan tidak ada unsur peribadi. Keformalan teks ini

adalah antara penulis resepi atau tukang masak dengan pembaca atau orang

yang bakal memasak. Oleh yang demikian, hubungannya terlalu formal dan tidak

menampakkan sebarang bentuk kemesraan.

Bahan teks ini merupakan laras resepi/resipi kerana kandungannya

menceritakan penyediaan sejenis resepi yang dinamakan tom yam dengan

sashimi. Teks ini memaparkan segala bahan dan langkah-langkah untuk

menyediakan resepi ini. Hubungan sosial perlakuan bahasa tidak terdapat teks

ini.

7.0 Ciri-ciri Linguistik

Dalam aspek ini tiga perkara menjadi pokok perbincangan, iaitu aspek

sintaksis, leksikal dan juga ketenunan. Aspek-aspek ini dibincangkan di bawah

ini.

7.1 Aspek Tatabahasa: Dalam aspek tatabahasa, banyak perkara

yang boleh diketengahkan. Pertama, kebanyakan ayat yang digunakan dalam

teks ini merupakan ayat perintah yang mengalami pelbagai proses. Penggunaan

ayat perintah dalam teks ini bertepatan dan bersesuaian sekali memandangkan

laras ini bertujuan untuk mengajar seseorang itu menyediakan resepi. Oleh yang

demikian, ayat yang paling sesuai ialah ayat perintah supaya segala arahan

yang disampaikan kepada pembaca dipatuhi. Sekiranya pembaca tidak

23
mengikuti segala perintah yang disuruh, sudah tentu hasil yang dikehendaki tidak

akan menjadi atau resepi yang disediakan kurang memuaskan. Pembaca

seolah-olah digerakkan oleh tangan-tangan yang tidak kelihatan untuk membuat

pelbagai kerja seperti yang diarahkan. Antara ayat suruhan yang terdapat dalam

teks ini adalah seperti yang berikut:

i) Tuangkan air rebusan ikan dan biar mereneh selama 20 minit.

ii) Masukkan semua bahan lain kecuali perahan limau nipis, sos ikan, garam

dan serbuk lada sulah.

iii) Didihkan kembali kuah tadi dan celur kedua-dua jenis cendawan di

dalamnya.

Ketiga-tiga ayat ini merupakan ayat suruhan yang mengalami peleburan

subjek ayat. Peleburan subjek ayat, iaitu diri orang kedua atau orang yang

diperintahkan untuk membuat sesuatu, merupakan perkara biasa yang berlaku

dalam ayat suruhan atau perintah. Oleh yang demikian, subjek ayat tidak

dinyatakan dalam laras ini. Perkara utama yang diberikan tumpuan ialah

predikat-predikat ayat sahaja kerana mesej utamanya terletak pada bahagian

predikat ayat.

Dalam ayat i) predikat-predikat yang membina ayat ini ialah:

a) Tuangkan air rebusan ikan.

24
b) Biar air rebusan ikan.

Ayat tunggal yang ketiga mempunyai subjek dan predikat seperti yang berikut:

c) Air rebusan ikan mereneh selama 20 minit.

Dalam ayat a) dan b) ini, subjeknya ialah anda ataupun pembaca dan

pembaca sedia maklum bahawa subjek atau pelakunya merupakan orang yang

hendak memasak tanpa mengira jantina, umur ataupun latar belakang sosialnya.

Dengan erti kata, lain subjek ayat bersifat universal. Apabila subjek ayat ini

dimasukkan dalam ayat tersebut, akan terhasil ayat-ayat tunggal seperti yang

berikut:

ai) [ Anda ] [ tuangkan air rebusan ikan]

FN FK

bi) [ Anda ] [ biarkan air rebusan ikan]

FN FK

ci) [Air rebusan ikan ] [ mereneh selama 20 minit]

FN FK

Ketiga-tiga ayat tunggal ini bergabung dan mengalami peleburan seperti yang
berikut:

25
Anda tuangkan air rebusan ikan + Anda biarkan air rebusan ikan + Air rebusan ikan mereneh selama 20 minit.

↓ tuangkan air rebusan ikan + ↓ biarkan ↓ + ↓ mereneh selama 20 minit.


Ø Ø Ø Ø
tuangkan air rebusan ikan + biarkan + mereneh selama 20 minit

Tuangkan air rebusan ikan biarkan mereneh selama 20 minit.

Perkara yang sama berlaku pada ayat-ayat ii) dan iii) dalam contoh-

contoh yang diberikan. Ini disebabkan salah satu daripada ciri utama ayat

perintah ialah pengguguran subjek dan terdapat juga pengaruh bahasa lisan

dengan pengguguran imbuhan-imbuhan tertentu dalam ayat. Telah menjadi

kelaziman dalam bahasa lisan, penggunaan imbuhan kurang diberikan

penekanan tetapi mesej yang diberikan keutamaan dan inilah ciri utama yang

terdapat dalam laras resepi ini.

7.2 Aspek Leksikal: Dalam aspek leksikal, terdapat beberapa kata

khusus yang digunakan dalam laras ini sebagai penanda laras resepi. Antara

kata tersebut ialah:

hiris

camca teh

pes

dititik

dicincang

serbuk lada

mereneh

sos ikan

26
seduh

sejukkan kuah

mangkuk hidangan

didihkan

panaskan minyak

celur

sendukkan cendawan

kuah mendidih

Kata-kata ini digunakan khusus dalam bidang resepi dan jarang ditemui

penggunaannya dalam bidang lain. Kata-kata yang digunakan terbahagi kepada

beberapa jenis sama ada kata nama ataupun kata kerja.

Selain kata-kata tersebut, kebanyakan daripada kata kerja yang

digunakan dalam laras ini telah mengalami peleburan imbuhan, misalnya:

memanaskan  panaskan

digoreng  goreng

dituangkan  tuangkan

diletakkan  letak

dihias  hias

27
Kata-kata ini kebanyakannya merupakan kata kerja pasif yang digugurkan

imbuhannya apabila menjadi ayat perintah. Dalam teks ini juga tidak terdapat

kata-kata istilah khusus kerana laras ini bukan merupakan laras ilmiah. Oleh

yang demikian, penggunaan istilah khusus tidak perlu tetapi kata-kata yang

digunakan dapat difahami oleh semua orang. Ini berlaku kerana laras resepi

adalah untuk semua orang tanpa mengira umur, taraf pendidikan, agama dan

sebagainya.

7.3 Aspek Ketenunan

Dalam aspek ketenunan, laras ini memperlihatkan unsur ketenunan yang

utuh. Laras ini dimulakan dengan bahan-bahan yang diperlukan untuk memasak

dan bahan yang tersenarai akan dibahagikan kepada tiga jenis, iaitu bahan

untuk sashimi tom yam, bahan untuk hiasan dan diikuti oleh cara-cara

menyediakan/menyediakan resepi tersebut. Setiap bahan diberikan kuantiti yang

dikehendaki serta berat timbangan yang perlu. Dalam bahagian cara membuat

resepi, ketenunan jelas tergambar kerana setiap proses penyediaan makanan

ditandai oleh angka 1, 2, 3, 4 dan 5. Dengan erti kata lain, seseorang tukang

masak mesti mengikuti langkah pertama, kedua dan seterusnya. Sekira tidak

diikuti langkah ini, resepi yang dibuat tidak akan menjadi. Dalam hal ini,

ketenunan teks tergambar kerana hubungan antara langkah pertama, kedua dan

seterusnya. Ketenunan ini jelas tergambar kerana hasil dalam langkah pertama

akan menjadi bahan untuk langkah yang kedua serta seterusnya. Unsur

ketenunan yang digunakan ialah bentuk pengulangan.

28
8.0 Kesimpulan

Laras resepi merupakan suatu laras yang tersendiri dan berlainan

daripada laras-laras yang lain. Keunikan laras ini terletak pada jenis ayat yang

digunakan, iaitu ayat perintah, dan kata-kata istilah teknikal tidak digunakan

kerana laras ini ditujukan untuk semua orang. Sesiapa sahaja boleh memahami

laras ini kerana ia bukan laras yang bersifat ilmiah.

29
BIBLIOGRAFI
1. Abdullah Hassan, 1987. Isu-isu Pembelajaran dan Pengajar Bahasa
Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

2. -----------------------, 1989. Isu-isu Perancangan Bahasa: Pengintelektualan


Bahasa Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

3. Asmah Hj.Omar, 1982. Nahu Melayu Mutakhir. Kuala Lumpur: Dewan


Bahasa dan Pustaka.

4. -----------------------, 1983. Penggunaan bahasa dalam Surat Rasmi :


Bahasa dalam Komunikasi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

5. ----------------------, 1984. Bahasa Iklan Perniagaan: Satu Kajian Retorik.


Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

6. ---------------------, 1988. Bahasa Laporan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa


dan Pustaka.

7. Firth, 1957. Papers in Linguistics 1934-1951. London: Oxford University


Press.

8. Fishman (ed.) 1968. The Sociology of Language. Mouton.

9. ----------------- (1970). Linguistic and Literary Style: New York: Holt,


Rinehart dan Minston.

10. Gregory, M. 1967. “Aspect of varieties Differentiation”, dlm. Journal of


Linguistics. Jil.3 No.2, hlm. 177-197.

11. Halliday, M.A.K. 1977. “Language as Social Semiotic: Towards A General


Sociolinguistic Theory,” dlm. Makkai, Adam, ed. Linguistics at the
Crossroads, Liviana Editrice.

12. --------------------. 1978. Language as a Social Semiotic: The Social


Interpretation of Language Teaching. University Park Press.

13. --------------------, 1964. “The Users and Uses of Language,” dlm.


Linguistics Sciences and Language Teaching. London: Longmans.
.

14. Labov, W. 1972. Sociolinguistic Patterns. Basil Blackwell, Oxford.

15. Leech dan Short. 1981. Style in Fiction: A Linguistic Introduction to


English Fictional Prose. London: Longmans.

30
16. Masakan Jamuan Melayu. 1979. Kuala Lumpur: Vista Production Ltd.

17. Nik Safiak Karim. 1982. “Laras Bahasa Melayu: Beberapa Pandangan,”
dlm. Jurnal Dewan Bahasa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

18. Nik Safiah Karim et. al. 1993. Tatabahasa Dewan. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.

19. Ure, J. Dan Ellis, J. 1977. “Register in Descriptive and Linguistics


Sociology,” dlm. O. Uribe – Villages (ed.) Issues in Sociolinguistics.
Mouton.

31

Anda mungkin juga menyukai