Anda di halaman 1dari 4

REFLEKSI ACARA BALAPAN (LARIAN 100 METER)

Pada 10 Mac yang lalu, saya telah melaksanakan satu simulasi latihan kemahiran asas
olahraga bagi acara balapan iaitu larian pecut 100 meter. Semasa proses melakukan simulasi
larian pecut 100 meter, saya berhadapan dengan beberapa masalah namun dalam masa yang
sama saya juga memperoleh ilmu pengetahuan baharu tentang acara larian 100 meter. Di
samping itu saya juga dapat menambah pengalaman saya untuk dijadikan sebagai pengajaran
dan teladan buat saya.

Terdapat pelbagai kekangan semasa perlaksanaan simulasi ini dan antaranya adalah
dari segi pengurusan masa. Semasa saya melakukan simulasi ini, saya telah melaksanakan
larian 100 meter bersama rakan-rakan sekelas yang lain dengan tujuan untuk menjimatkan
masa. Hal ini kerana saya tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk melakukan simulasi
ini. Jadi kerana terikat dengan waktu penghantaran tugasan ini, saya mengambil jalan mudah
untuk melaksanakannya secara beramai-ramai sedangkan tugasan ini adalah untuk individu.
Ironinya, saya perlu memperbaiki diri saya dari sudut pengurusan masa agar saya dapat
memenuhi kehendak soalan sepenuhnya.

Selain itu, saya dapati suara saya dalam video simulasi tersebut kurang jelas kerana
keadaan persekitaran yang agak bising semasa rakaman dilakukan. Hal ini berikutan kerana
saya telah merakam video ini bersama rakan-rakan sekelas yang lain pada masa dan tempat
yang sama. Oleh kerana itu, tempat tersebut tidak kondusif dan tidak sesuai untuk melakukan
rakaman di situ. Bertitik tolak daripada itu, saya perlu bijak dalam memilih tempat yang strategik
kerana pemilihan lokasi menjadi salah satu faktor yang mempengaruhi kualiti rakaman yang
saya hasilkan.

Seterusnya, saya tidak menggunakan starter block semasa simulasi larian 100 meter
dilaksanakan ketika di fasa permulaan. Secara umumnya, starter block adalah penting untuk
digunakan supaya saya dapat mengetahui tentang cara-cara mengendalikan starter block
dengan tepat dan sistematik. Namun disebabkan saya tidak melakukan peminjaman alat
tersebut di stor sukan, saya memulakan larian menggunakan kaedah biasa sahaja.

Walaupun saya mengalami beberapa masalah semasa pelaksanaan aktiviti ini, pelbagai
pengalaman yang saya telah peroleh dan perkara ini telah meluaskan lagi pengetahuan saya
tentang acara balapan larian 100 meter. Saya dapat menambah pengetahuan saya tentang
latihan-latihan ansur maju yang harus dijalankan oleh pelari untuk mengasah kemahiran
mereka dalam larian ini. Kesimpulannya, saya menjadi lebih mahir tentang acara balapan larian
100 meter dengan mengetahui perkara-perkara asas yang berkaitan.
REFLEKSI ACARA PADANG (LONTAR PELURU)

Simulasi latihan kemahiran asas olahraga bagi acara padang iaitu acara lontar peluru telah
dilaksanakan oleh saya. Umum mengetahui bahawa acara lontar peluru merupakan salah satu
acara yang sering dipertandingkan bagi setiap kejohanan olahraga. Melalui simulasi yang saya
telah jalankan, saya telah memperoleh serba sedikit pengetahuan tentang acara lontar peluru
meskipun masih terdapat masalah yang dihadapi. Namun dengan semangat yang jitu saya
dapat tanganinya dengan baik sekali.

Semasa saya menghasilkan pengajaran bagi acara lontar peluru, saya masih tidak
dapat menguasai konsep dan isi kandungan bagi acara lontar peluru. Saya kelihatan agak
kekok ketika melakukan lontaran peluru kerana saya jarang melakukan acara ini. Saya sedikit
teragak-agak untuk melontar kerana saya risau akan kedudukan kaki saya sekiranya
menyentuh had garisan dan dikira batal. Hal ini membuktikan bahawa saya perlu
memperbanyakkan lagi latihan acara lontar peluru dengan melakukan pelbagai latihan ansur
maju supaya saya terbiasa dengan acara ini.

Selain itu, setelah saya menonton semula video yang telah saya lakukan, saya dapati
saya bercakap terlalu cepat dan hal ini menjadikan penerangan saya tentang acara ini kurang
jelas dan sukar difahami. Perkara ini berkemungkinan kerana kekangan waktu yang
menyebabkan saya berasa sedikit kelam kabut dan mengejar masa untuk menamatkan
rakaman video. Bertitik tolak daripada itu, saya perlu lebih bijak dalam mengurus masa saya
agar saya dapat melaksanakan tugasan saya dengan sempurna dan mengikut tempoh masa
yang diberi.

Walaupun menghadapi beberapa masalah semasa penghasilan bagi tugasan ini, saya
telah mendapat pelbagai ilmu baharu tentang acara lontar peluru. Saya baru mengetahui
bahawa bola logam yang diguna berbeza mengikut jantina. Bagi lelaki, bola logam yang diguna
adalah seberat tujuh kilogram manakala bagi perempuan pula seberat empat kilogram sahaja.
Melalui acara ini, saya juga didedahkan dengan peralatan dan kelengkapan bagi menjayakan
acara ini, fasa pergerakan melontar peluru, teknik lontaran, peraturan serta lakuan yang boleh
membatalkan lontaran.

Tambahan pula, saya juga dapat mempelajari cara-cara yang betul untuk mengajar dan
melatih murid dalam acara melontar peluru sekiranya saya sudah mengajar di sekolah nanti.
Saya juga mempelajari latihan-latihan ansur maju yang boleh membina kecekapan dan stamina
murid untuk mengikuti sesuatu acara olahraga. Pada keseluruhannya, tugasan ini sangat
berguna untuk diaplikasikan ketika masih belajar di institut pendidikan guru mahupun jika sudah
tamat belajar nanti.