Anda di halaman 1dari 5

PERNYATAAN PROFESIONAL SEBELUM PRAKTIKUM FASA 2

Pada semester ini, saya serta seluruh guru pelatih semester 7 ambilan Jun
2016 akan menghadiri praktikum fasa 2 yang akan berlangsung selama 12 minggu
persekolahan. Sebagai salah seorang guru pelatih di Institut Pendidikan Guru
Kampus Pulau Pinang, saya wajib menjalani latihan mengajar ataupun praktikum
selama 3 bulan yang bermula pada 11 Jun 2019 hingga 6 September 2019. Saya
ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Perempuan Methodist bagi praktikum kali ini.
Praktikum ini adalah untuk mengajar subjek major iaitu Sejarah dan subjek minor
iaitu Pendidikan Moral. Latihan praktikum ini dilaksanakan untuk memenuhi syarat
yang telah ditetapkan oleh Institut Pendidikan Guru.

Antara perkara yang saya perlu lalui sebelum menjalankan praktikum ini ialah,
sesi taklimat bersama unit praktikum. Sesi taklimat ini telah berlangsung di Dewan
Kuliah Utama (DKU). Sesi taklimat praktikum ini disampaikan oleh En Wan. Taklimat
praktikum dilaksanakan untuk memberi penekanan berkenaan prosedur
perlaksanaan praktikum peranan dan tanggungjawab pelajar, kehadiran praktikum,
wajaran praktikum dan garis panduan perlaksanaan kokurikulum di sekolah. Selain
itu, antara persediaan penting yang perlu saya lakukan sebelum menjalankan sesi
praktikum yang pertama ini adalah membuat persediaan dari segi mental dan fizikal.
Sepanjang tempoh praktikum tersebut, saya dikehendaki untuk menyiapkan segala
tugasan yang telah diberikan oleh Unit Praktikum. Oleh itu, saya perlu membuat
beberapa persediaan sebelum menjalani praktikum tersebut. Perkara seterusnya
yang perlu saya lakukan semasa praktikum ialah, mengumpul maklumat-maklumat
yang berkaitan dengan tugasan berpandukan senarai semak yang telah disediakan
oleh unit praktikum. Di samping itu, saya juga perlu menyediakan portfolio praktikum
dan menyimpan segala hasil maklumat yang diperoleh serta hasil penulisan yang
telah dibuat ke dalam portfolio sebagai bukti serta rujukan pada masa akan datang.

Saya juga berharap sepanjang tempoh praktikum ini, saya akan dapat
menjalinkan hubungan baik dengan seluruh warga Sekolah Kebangsaan Perempuan
Methodist. Saya perlulah sentiasa datang awal pada setiap hari sepanjang tempoh
praktikum ini. Sepanjang tempoh praktikum ini juga, saya berharap agar dapat
mengemaskini portfolio praktikum dan semua buku rancangan pengajaran harian
pada setiap hari dan minggu. Sebagai bakal guru, azam dan harapan saya melalui
latihan praktikum ini ialah untuk membina dan meningkatkan jati diri seorang guru.
Bagi membina jati diri ini, saya perlu memperoleh pelbagai pendedahan dalam
pelbagai bidang berkaitan perguruan dan pendidikan di sekolah nanti. Selain itu,
dalam praktikum ini juga, saya berharap dapat memahami dan mengenali budaya
murid dan guru serta suasana di sekolah rendah sebagai pendedahan dan
pengalaman awal sebelum saya ditempatkan di sekolah sebagai guru tetap. Sebagai
seorang guru, saya perlulah sentiasa bersedia dalam menghadapi segala cabaran
yang akan datang.
PERNYATAAN PROFESIONAL SEMASA PRAKTIKUM FASA 2

Saya Shalini Shesma A/P Jeyakumaran telah menjalani latihan praktikum


pada semester lima iaitu praktikum fasa 2 di Sekolah Kebangsaan Perempuan
Methodist. Praktikum ini mengambil masa selama tiga bulan (11 Jun – 6 September
2019) dan saya mesti mengikuti segala aktiviti yang berjalan di sekolah dalam jangka
waktu tersebut. Antara tujuan sampingan program praktikum ini adalah untuk
membolehkan pelajar membiaskan diri di sekolah dan di bilik darjah serta mendapat
pendedahan awal pembelajaran murid. Di sekolah juga saya perlu mengajar subjek
major saya iaitu Sejarah selama 6 masa dan juga 2 masa bagi subjek minor saya
iaitu Pendidikan Moral. Setelah saya meneliti kandungan tugasan, saya mendapati
kurikulum dan sukatan pelajaran juga menjadi salah satu item penting dalam senarai
semak tugasan. Perkara ini sedikit sebanyak menyumbang kepada pengetahuan
baru saya tentang pembelajaran murid-murid. Selain itu, saya juga dapat memahami
pengurusan strategi pengajaran dan pembelajaran melalui buku rekod pengajaran.
Antara lain, tugasan yang diberikan juga membolehkan saya membina kemahiran
berinteraksi dengan murid, guru dan kakitangan sekolah. Kepentingan utama aktiviti
ini adalah untuk membina keyakinan diri seseorang guru pelatih selain daripada
mempersiapkan mereka sebagai salah seorang komuniti sekolah pada masa akan
datang. Di samping itu, guru pelatih diharap dapat memahami tingkah laku murid-
murid, pengurusan bilik darjah, proses penyepaduan teori dan amalan dalam konteks
pengajaran dan pembelajaran (P&P) melalui pemerhatian, interaksi dan refleksi.
Setelah tujuh minggu menjalani latihan praktikum, masih banyak perkara yang perlu
saya perbaiki terutamanya dari aspek penulisan rancangan pengajaran harian.
Berbekalkan panduan dari pensyarah penyelia, guru pembimbing serta rakan-rakan,
saya akan sentiasa cuba sedaya upaya untuk melakukan yang terbaik dan
bersungguh-sungguh sepanjang tempoh praktikum ini. Tempoh praktikum yang
berbaki 3 minggu sahaja lagi terasa semakin dekat namun masih banyak lagi
tugasan-tugasan yang belum saya laksanakan. Setiap kali selepas penyeliaan, pasti
saya akan memperolehi ilmu yang baru dan perlu saya perbaiki.
Saya juga semakin rapat dengan murid-murid saya. Saya juga perlu bijak
menguruskan masa agar dapat menguruskan semua tugasan dengan konsisten.
Sepanjang menjalani latihan praktikum, saya semakin jelas dengan kaedah dan
teknik yang perlu disesuaikan dengan latar belakang murid-murid saya. Aktiviti-
aktiviti yang dilaksanakan juga perlu bersifat dua hala agar saya dapat membentuk
jati diri murid. Saya sedar, murid-murid di sekolah tersebut agak rendah tahap
keyakinan diri. Justeru, dengan perancangan pengajaran dan pembelajaran yang
konsisten, saya akan cuba sedaya upaya untuk melatih mereka menjadi berani untuk
mencuba sesuatu yang baik. Selain itu, perkara penting yang perlu saya beri
tumpuan adalah untuk kuasai perancangan pengajaran dan pembelajaran. Saya
sedar jika perancangan saya hanya sekadar melepaskan batuk di tangga, pastinya
anak murid saya pulang dengan “otak kosong” bagi subjek saya. Saya juga sedar,
kebanyakkan murid kurang ingin belajar dan merasakan bosan untuk belajar. Prinsip
yang cuba saya tanamkan bagi anak-anak didik saya, saya akan pastikan mereka
pada suatu hari nanti keinginan untuk belajar dengan tekun ada pada diri mereka
dan mengurangkan bermain semasa berada di sekolah. Dalam tempoh praktikum
juga, saya sedar bahawa untuk mengajar kita perlu membuat persediaan yang rapi
agar pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan lancar dan mendapat
hasil pembelajaran yang eksplisit. Jelas sekali kejayaan pengajaran dan
pembelajaran sesuatu sesi pembelajaran akan bermula dari guru yang konsisten
dengan perjuangannya. Dengan platform ini juga, sedikit sebanyak sikap suka
membuat kerja “last minute” dapat dikikis. Seiring dengan perubahan zaman
globalisasi menuntut saya agar lebih peka dengan dunia teknologi maklumat dan
komunikasi (TMK) untuk diterapkan semasa sesi pengajaran dan pembelajaran.
Justeru saya perlu sentiasa mencuba untuk mencari sesuatu makluimat yang baru.
PERNYATAAN PROFESIONAL SELEPAS PRAKTIKUM FASA 2

Seminggu sebelum berakhir praktikum fasa 2 ini, saya berasa amat bersyukur
kerana hampir keseluruhan tugas yang diamanahkan oleh pihak institut telah saya
laksanakan dengan baik bersama-sama rakan praktikum saya yang lain. Sepanjang
berada di SK Perempuan Methodist, terdapat beberapa aktiviti dan projek telah saya
lakukan bersama rakan yang lain. Aktiviti yang dilakukan adalah menyambut
sambutan hari kemerdekaan, program pasca selepas UPSR serta banyak lagi aktiviti
yang diadakan. Pelbagai cabaran dan kekangan banyak mengajar saya supaya tidak
mudah berputus asa apabila menghadapi jalan buntu. Dengan bantuan daripada
pelbagai pihak, masalah tersebut dapat diatasi dengan baik. Berhadapan dengan
masalah tersebut turut menyedarkan saya bahawa kehidupan ini sering kali disertai
dengan halangan bagi mendidik diri supaya lebih cekal dan tidak mudah berputus
asa. Justeru ini menyedarkan saya supaya sentiasa menambahkan pengetahuan
yang baharu kerana ia mampu dijadikan sebagai asas dan panduan dalam
kehidupan dan boleh digunakan andainya berdepan dengan sebarang masalah.
Banyak pengalaman manis yang diperolehi ketika menjalani praktikum sebagai guru
pelatih. Saya berharap untuk praktikum fasa kedua kelak, saya dapat memberi
sumbangan yang lebih kepada murid-murid yang bakal menjadi pelajar saya kelak
nanti.

Praktikum Fasa 2 juga akan meningkatkan lagi prestasi saya dalam proses
P&P. Sesungguhnya ilmu yang dipelajari dapat diterjemahkan dan diaplikasikan
kepada semua murid. Sebagai kesimpulannya pengalaman menjalani praktikum ini
diharapkan dapat dimanfaatkan dengan sebaik mungkin untuk masa akan datang.
Tidak mungkin saya dapat menjayakan praktikum fasa 2 ini sebaikmungkin tanpa
sokongan dan bimbingan serta kerjasama yang tidak berbelah bahagi kepada semua
pihak. Setiap pengalaman dan ilmu pengetahuan baharu yang diambil akan
digunakan untuk penambahbaikan pada masa akan datang.

Anda mungkin juga menyukai