Saudara,
Tahun ini, kita melangkah setapak lagi ke hadapan menghampiri Wawasan 2020 yang pernah
kita impikan. Saya percaya kita masih mampu mencapai status negara maju kerana yakinlah
perpaduan tonggak kemakmuran negara.
Terima kasih pendukung acara, kombinasi kehakiman yang bestari, penjaga detik yang setia,
dif-dif jemputan serta warga dewan yang budiman. Salam sejahtera dan salam perpaduan.
"Perpaduan Tonggak kemakmuran Negara" adalah intipati syarahan buat renungan kita
bersama. Sebelum bahtera syarahan meredah lautan, izinkan pendefinisian merungkai
kekeliruan.
Perpaduan Nasional membawa maksud kesatuan rakyat menjadi satu, tunjang diertikan
sebagai tonggak atau rukun, manakala kemakmuran negara merujuk kepada penduduk yang
hidup sejahtera dan sebuah negara yang mempunyai masyarakat yang berminda kelas
pertama. Untuk itu, tajuk syarahan ini cuba mengupas kepentingan semangat perpaduan
kaum dalam mengecapi kegemilangan negara.
Sejak awal kemerdekaan lagi, pihak kerajaan menyedari kepentingan perpaduan dalam
memacu ekonomi negara. Menyingkap kembali tahun 1997, perpaduan jugalah yang menepis
cabaran krisis ekonomi yang melanda pada masa itu. Rakyat Malaysia tidak hanya
memandang produk keluaran tempatan sebelah mata sahaja, malah menyokong dan
mengagungkan produk-produk buatan Malaysia. Tuntasnya, perpaduan menjana
kegemilangan negara. Rakyat hidup sehati sejiwa.
Sejarah telah membuktikan bahawa kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957 adalah hasil
yang dituai daripada bibit perpaduan. Pemimpin daripada tiga kaum utama berjuang bersama
menuntut kemerdekaan Tanah Melayu. Tanpa perpaduan, kita mungkin masih dibelenggu
kancah penjajahan kuasa luar, hidup menderita, anak kecil merana, maruah terhina, impian
musnah. Justeru, warga dewan, pupuk dan kekalkanlah perpaduan, tingkatkan perjuangan dan
syukurilah nikmat kemerdekaan.
Fokus bicara saya yang ketiga: “Perpaduan negara ibarat Serumpun bagai serai, seliang bagai
tebu”.
Adalah baik jika kita menelusuri akar-akar cerucuk sejarah perpaduan negara kita. Ingatkah
kita, negara pernah diuji dengan peristiwa berdarah 13 Mei. Detik hitam ini mengajar dan
menuntun kita untuk berjalan seiring walau sengketa, seia dan sekata. Meski digores krisis
politik, penawar perpaduanlah yang disuntik.
Misteri kehilangan Acap dalam larian Gopeng Trail sejak 23 Mac yang lalu, memanggil tidak
satu, tidak dua, apatah lagi tiga tetapi lebih seribu sukarelawan berbilang kaum
menggembleng tenaga dalam usaha mencari Acap bersama-sama. Kerana kita rakyat
Malaysia, cubit paha kiri, paha kanan terasa jua.