Anda di halaman 1dari 3

Polis bersengkang mata pastikan

masyarakat patuh PKP


BERNAMA | | 10 April 2020

Masih ada beberapa individu berdegil dengan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan
(PKP). Tinjauan Bernama di sekitar Apartment Putra Harmoni mendapati Polis telah
menahan dua remaja perempuan pada jam 11 malam yang melepak di kawasan
perumahan terbabit. - Foto Bernama

A
A
NILAI- Ketika masyarakat menikmati pelbagai rancangan
menarik di televisyen dan telefon, serta menjamu selera
dengan hidangan yang enak di kediaman masing-masing pada
sebelah malam, ada insan perlu berkorban nikmat itu untuk
memastikan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dipatuhi
sepenuhnya.
Malah, insan berkenaan juga terpaksa meninggalkan keluarga
tercinta demi menunaikan amanah yang diberikan untuk
memastikan usaha kerajaan memutuskan rantaian koronavirus
(Covid-19), dapat direalisasikan.
Bernama yang mengikuti operasi PKP dijalankan Ibu Pejabat
Polis Daerah (IPD) Nilai di sekitar daerah itu malam tadi,
berkesempatan menjelajah setiap pelosok lorong taman
perumahan dan lot kedai, serta melihat sendiri bagaimana
perjalanan petugas tanpa mengenal erti penat dan jemu.
Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Mohd Nor Marzukee
Besar yang turut bersengkang mata menyertai operasi selama
empat jam itu berkata setakat ini pematuhan arahan PKP
semakin baik dan telah mencapai 98 peratus, walau masih ada
segelintir yang ingkar.
Operasi itu juga mendapati segelintir individu bukan sahaja
ingkar, malah ‘bijak’ mencipta 1001 alasan untuk tidak berada
di kediaman masing-masing, meskipun jumlah mereka tidak
begitu besar.
Antara alasan yang diberikan ketika ditahan seperti baru
pulang bekerja walau bukan tergolong dalam kumpulan
perkhidmatan penting seperti yang digariskan kerajaan selain
ada memberi alasan menguruskan restoran, sedangkan ketika
itu jam menunjukkan pukul 10 malam, sudah melebihi waktu
dibenarkan beroperasi iaitu hingga 8 malam sahaja.
Ada juga memberi alasan keluar mengisi minyak kenderaan
sedangkan stesen minyak diarah tutup pukul 8 malam
sepanjang tempoh PKP malah ada juga yang berada di
perhentian bas dengan alasan menunggu kawan.
Ketika operasi pada 8 hingga 12 malam itu, jelas terpamer raut
wajah kecewa Mohd Nor Marzukee kerana masih ada individu
yang sengaja enggan mematuhi PKP yang dikuatkuasakan
demi menjaga kesejahteraan rakyat ekoran negara dilanda
wabak Covid-19.
Bagaimanapun, tinjauan di kawasan lot kedai, stesen minyak
dan taman perumahan pula mendapati kebanyakan daripada
mereka mematuhi sepenuhnya arahan PKP.
“Pelbagai alasan yang tidak boleh diterima akal. Kita tidak
boleh terima alasan tersebut dan kita terpaksa buat tangkapan
terhadap orang yang melanggar perintah,” katanya,
menambah jumlah tangkapan dibuat IPD Nilai setakat ini
adalah seramai 40 orang.
Ketua Polis Daerah Nilai itu turut merayu kepada masyarakat
agar terus mematuhi PKP dan kekal di kediaman masing-
masing.
“Kita hendak rantaian Covid-19 ini cepat putus, kita kena ikut
apa yang diarahkan oleh kerajaan...duduklah di rumah dan
hanya keluar apabila keadaan yang memerlukan sangat... ini
pesanan saya,” katanya.-Bernama

Anda mungkin juga menyukai