Anda di halaman 1dari 20

‘IBADUR RAHMAN : MODAL INSAN MITHALI

Izhan Hamidi bin Ibrahim


Perunding, Akademi Aidit Sdn Bhd

Muqaddimah
Modal insan merupakan elemen utama yang perlu diberikan perhatian bagi
sesebuah masyarakat atau negara mencapai kemakmuran yang hakiki. Ini
kerana gabungan antara individu-individu yang memiliki akhlak dan
peribadi mulia akan membentuk komuniti atau masyarakat yang cemerlang.
Seterusnya masyarakat yang cemerlang inilah yang akan menjana kemajuan
dan kemakmuran sesebuah negara.

Sebagai seorang Muslim yang menjadikan Al-Quran sebagai pegangan dan


pedoman, kita pastinya akan merujuk pada Kitab Suci ini untuk
mendapatkan gambaran yang tepat dan jelas, sifat dan ciri-ciri modal insan
menurut perspektif Islam. Antara ayat Al-Quran yang boleh dijadikan
panduan ialah firman Allah S.W.T. dalam surah Al-Furqan ayat 63 hingga
76 yang menggambarkan personaliti ‘Ibadur Rahman iaitu hamba Allah
S.W.T. yang boleh dijadikan sebagai contoh modal insan. Secara umumnya
terdapat 10 aspek kehidupan yang dimiliki oleh ‘Ibadur Rahman yang boleh
kita jadikan sebagai teladan dan ikutan.

1) Hidup beretika dan tenang menghadapi cabaran serta dugaan :


“Dan hamba-hamba (Allah) Ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka
yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang
berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka
menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini.

1
(Surah Al-Furqan, 25: 63)

‘Ibadur Rahman mempunyai akhlak dan keperibadian mulia yang terserlah


pada dirinya sama ada dari segi gerak laku, cara berkomunikasi dan juga
kaedah berinteraksi dengan orang lain. Dirinya dihiasi dengan sifat-sifat
mahmudah(terpuji) seperti sopan-santun, ramah, lemah-lembut, berwajah
ceria dan suka menggunakan kata-kata dan bahasa yang indah.

Akhlak yang mulia ini adalah hasil dari kesedaran bahawa manusia adalah
hamba Allah S.W.T. yang diciptakan dengan dua tujuan utama iaitu
pertamanya untuk mengabdikan diri kepada Yang Maha Mencipta, dan
keduanya ialah untuk menjadi khalifah Allah mentadbir dan menguruskan
dunia. Kefahaman dan keilmuan yang mendalam menjadikan ‘Ibadur
Rahman manusia yang berkeperibadian mulia, seumpama kata pepatah “ikut
resmi padi, semakin berisi semakin tunduk”.

Sifat Mahmudah (terpuji) Sifat Mazmumah (dikeji)


Sopan-santun Biadap
Ramah Sombong dan bengis
Lemah-lembut Kasar
Wajah ceria Masam muka dan murung
Tenang Gelojoh
Menggunakan bahasa yang indah Menggunakan bahasa yang buruk
Toleransi Individualistik

Lebih menarik lagi, ‘Ibadur Rahman bukan sekadar mempamerkan akhlak


yang mulia, malahan turut memiliki kekuatan jiwa yang membolehkannya
menghadapi cabaran dan dugaan dengan tenang. Kawalan emosi yang baik,
pengurusan stress yang bijak dan kemahiran memahami perasaan orang lain,

2
membolehkannya bertolak-ansur serta memberikan respon yang wajar,
walaupun semasa dalam keadaan yang tegang atau berhadapan dengan
individu yang kurang berakhlak. Ini membolehkan ‘Ibadur Rahman
mewujudkan keadaan yang harmoni dan tenteram serta mampu
membimbing manusia lain ke arah jalan kebenaran.

2) Tekun mengerjakan amal ibadat :


Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang tekun mengerjakan ibadat
kepada Tuhan mereka pada malam hari dengan sujud dan berdiri.
(Surah Al-Furqan, 25: 64)

‘Ibadur Rahman membina kekuatan rohaninya dengan cara berqiamullail


mendekatkan diri kepada Penciptanya. Tidak hanya berpada atau berpuas
hati dengan melakukan ibadat-ibadat yang diwajibkan sahaja, sebaliknya
tekun melaksanakan ibadat-ibadat yang digalakkan seperti solat sunat
tahajjud, solat sunat taubat, solat sunat hajat, solat sunat tasbih, solat sunat
witir, membaca Al-Quran serta berzikir. Ketekunan melakukan amalan sunat
membolehkan ‘Ibadur Rahman melepaskan diri dari belenggu dan tipu daya
syaitan yang sentiasa mencari jalan untuk melalaikan manusia.

Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah S.A.W. bersabda yang maksudnya :


“Syaitan mengikat pada tengkuk tiap-tiap orang di antara kamu ketika ia
tidur dengan tiga ikatan (simpul), setiap simpul ditiupnya dengan ucapan:
“Bagimu malam yang panjang dan tidurlah dengan lena”. Maka apabila ia
bangun dan menyebut nama Allah, terlepaslah satu simpul, bila ia
berwuduk terlepaslah satu simpul lagi dan ketika ia mengerjakan solat,
maka terlepaslah simpul yang terakhir, kemudian pada pagi hari ia menjadi

3
segar, bersemangat dan hatinya pun menjadi jernih. Jika tidak, maka di
pagi hari jiwanya dilanda kebingungan dan malas untuk melakukan aktiviti.
(Hadith riwayat Muttafaqun ‘Alaih)

Kelebihan Qiamullail
 Pahala tidak terhalang
 Memperolehi kenikmatan di dalam syurga
 Diangkat ke darjat terpuji
 Mempunyai kemuliaan hati dan menghormati orang lain
 Tidak menyombongkan diri
 Mendapat rahmat dari Allah
 Mempunyai sifat sabar
 Suka berkorban dan membantu orang miskin
 Tabah menunggu ketetapan Allah
 Beribadah dengan lebih khusyuk dan berkesan

3) Berusaha menjauhi azab neraka :


Dan juga mereka yang berdoa dengan berkata : “Wahai Tuhan kami,
sisihkanlah azab neraka jahanam dari kami, sesungguhnya azab seksanya
itu adalah mengerikan.
Sesungguhnya neraka jahanam itu tempat penetapan dan tempat tinggal
yang amat buruk.”
(Surah Al-Furqan, 25: 65-66)

Sifat rendah diri dan sentiasa berwaspada mendorong ‘Ibadur Rahman


memanjatkan doa kepada Allah S.W.T. agar dijauhkan dari seksaan azab
neraka. Ini kerana manusia itu tidak sunyi dari sifat lalai dan leka yang boleh
mendorong pada perbuatan dosa sama ada kerana dipengaruhi oleh hawa
nafsu atau terjebak dengan tipu daya syaitan.

4
‘Ibadur Rahman juga tidak merasakan dengan mengerjakan segala perintah
Allah S.W.T. dan meninggalkan segala laranganNya, menjadi suatu jaminan
untuk melayakkan diri masuk ke syurga sekaligus terlepas dari seksaan azab
neraka. Ini kerana orang-orang yang beriman akan sentiasa mengambil kira
dosa yang dilakukannya walaupun sekecil mana, seumpama seorang musafir
yang berlindung di bawah naungan sebuah bukit, sentiasa berwaspada
seakan-akan batu-batu bukit itu akan runtuh menimpanya pada bila-bila
masa.

“Orang mukmin memandang dosanya seolah-olah


sebuah gunung yang dibimbanginya akan menghempap
ke atasnya. Orang munafiq memandang dosanya seolah-
olah seekor lalat yang hinggap di atas hidungnya, lalu
ditepisnya begini, begitu”.
(Hadith riwayat Ibn Mas’ud)

4) Berhemat dalam perbelanjaan :


Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang apabila
membelanjakan hartanya, tidaklah melampaui batas dan tiada bakhil
kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di
antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.
(Surah Al-Furqan, 25: 67)

5
‘Ibadur Rahman juga mempunyai pengurusan ekonomi dan corak
perbelanjaan yang berhemat. Maksudnya membelanjakan harta dengan cara
yang sederhana iaitu tidak terlalu berlebih-lebihan sehingga ke tahap boros
atau membazir dan tidak pula terlalu berkira-kira sehingga ke tahap bakhil
atau kedekut.

Selain matlamat yang jelas dan disiplin yang tinggi, ‘Ibadur Rahman juga
memahami konsep keutamaan yang membolehkannya memperuntukkan
perbelanjaan dengan cara yang betul dan tepat. Secara ringkas, keutamaan
penggunaan boleh dinyatakan seperti berikut :

 Barang keperluan hidup


Merujuk pada barang yang tanpanya seseorang itu akan mati.
Contohnya makanan bagi orang yang kebuluran atau rumah dan
pakaian bagi orang yang kedinginan.

 Barang keperluan asas


Merujuk pada barang yang tanpanya seseorang itu akan hidup susah
tetapi tidak membawa pada kematian yang segera. Contohnya rumah,
pakaian dan kemudahan kesihatan.

 Barang keperluan kecekapan


Merujuk pada barang yang diperlukan untuk kecekapan pekerjaan
seperti makanan yang seimbang bagi pelajar atau pakaian dan kasut
yang sesuai bagi buruh.

 Barang keselesaan

6
Merujuk pada barang yang menjadikan hidup seseorang lebih selesa
dan sempurna. Namun, tanpanya hidup seseorang tidak akan menjadi
susah. Contohnya rumah yang cantik atau perkakasan dapur yang
lengkap.

 Barang mewah
Merujuk pada barang yang tidak diperlukan untuk keselesaan tetapi
sebaliknya untuk kemewahan serta gaya hidup moden dan
kebiasaannya untuk prestij.

 Barang merbahaya atau merosakkan


Merujuk pada setiap barang yang boleh membawa mudarat

Justeru, ‘Ibadur Rahman akan mencorakkan perbelanjaan mengikut hierarki


keutamaan yang sewajarnya berdasarkan kemampuan kewangan yang
dimiliki. Penggunaan barang mewah yang boleh membawa pada perasaan
bermegah-megah akan cuba dijauhi manakala barang yang merbahaya atau
merosakkan akan dihindarkan sama sekali.

Pada masa yang sama ‘Ibadur Rahman bukan hanya berpada dengan
menunaikan kefardhuan zakat semata-mata, malahan menjadikan amalan
bersedekah dan menginfaqkan sebahagian harta kepada fakir miskin, anak
yatim dan golongan yang memerlukan sebagai satu amalan yang berterusan
dalam kehidupannya.

5) Mengawasi diri dari dosa-dosa besar :

7
Dan juga mereka yang tidak menyembah sesuatu yang lain bersama-sama
Allah, dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah membunuhnya,
kecuali dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh syarak) dan tidak
pula berzina; dan sesiapa melakukan yang demikian, akan mendapat
balasan dosanya.
Akan digandakan baginya azab seksa pada hari kiamat, dan ia pula akan
kekal di dalam azab itu dengan menerima kehinaan.
(Surah Al-Furqan, 25: 68-69)

‘Ibadur Rahman menjaga kesucian aqidahnya dengan melakukan


pengabdian yang tulus hanya kepada Allah S.W.T. dan mengawasi dirinya
dari perkara-perkara yang boleh membawa pada syirik iaitu menyekutukan
Allah S.W.T. dengan sesuatu yang lain. Maksudnya, ‘Ibadur Rahman
menyerahkan sepenuhnya pergantungan kepada Allah S.W.T. dalam semua
perkara dan menghindarkan diri dari perbuatan-perbuatan tahyul atau
khurafat yang boleh menjejaskan kesucian aqidah.

Pada masa yang sama, ‘Ibadur Rahman juga menjaga dirinya dari
melakukan dosa-dosa besar seperti membunuh tanpa hak atau berzina. Ini
kerana setiap manusia diberikan hak oleh Allah S.W.T untuk hidup di
dunia. Justeru, manusia tidak boleh merampas nyawa yang dikurniakan oleh
Allah S.W.T. kepada orang lain atau pun mengambil nyawanya sendiri.
Begitu juga dengan perbuatan zina, manusia dilarang dari berzina kerana
Allah S.W.T. telah menyediakan hukum dan peraturan bagi membolehkan
manusia berkahwin dan membina keluarga secara yang sah.

8
‘Ibadur Rahman menjadikan amaran Allah S.W.T. bahawa orang-orang yang
melakukan dosa seumpama membunuh tanpa hak atau berzina akan diazab
dan diseksa pada hari akhirat sebagai sempadan dan benteng yang
menghalang dirinya dari terjerumus ke dalam dosa tersebut.

6) Bertaubat dan beramal soleh :


Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang
baik, maka orang-orang itu, Allah akan menggantikan (pada tempat)
kejahatan mereka dengan kebaikan; dan adalah Allah Maha Pengampun,
lagi Maha Mengasihani.
Dan sesiapa yang bertaubat serta beramal soleh, maka sesungguhnya
(dengan itu) ia bertaubat kepada Tuhannya dengan sebenar-benar taubat.
(Surah Al-Furqan, 25: 70-71)

‘Ibadur Rahman juga akan segera bertaubat apabila terlanjur melakukan


perbuatan dosa atau maksiat. Pada masa yang sama taubat itu akan dituruti
dengan amal atau perbuatan soleh sebagai bukti bahawa wujud penyesalan
yang sebenar-benarnya atas segala dosa yang telah dilakukan.

Cara bertaubat dari dosa


 Bertaubat ikhlas semata-mata kerana Allah S.W.T.
 Meninggalkan terus perbuatan maksiat
 Menyesali kesalahan yang telah dilakukan
 Keazaman yang kuat meninggalkan maksiat dan tidak mengulangi
dosa yang telah dilakukan
 Mengerjakan amal soleh

9
 Berterusan taubat dan tidak melakukan perkara yang merosakkannya

Bagi memastikan diri tidak hanyut dalam dosa dan noda maksiat, faktor-
faktor yang menjadi penghalang pada taubat juga perlu diberikan perhatian.
Antara faktor-faktor tersebut ialah :

a) Memandang remeh terhadap dosa


Menganggap dosa sebagai perkara yang mudah sehingga hilang rasa
risau, gementar atau takut pada azab neraka.

b) Mempunyai angan-angan yang panjang


Menganggap bahawa kehidupan masih panjang, kematian masih
jauh dan masih sempat untuk berhibur serta lalai mengikut ajakan
hawa nafsu.

c) Terlalu yakin pada keampunan Ilahi


Orang beriman melakukan amal soleh dan bimbang jika amalannya
tidak diterima, sebaliknya orang munafiq melakukan kejahatan dan
berharap dosanya akan diampunkan.

d) Dikongkong oleh dosa dan rasa putus asa terhadap keampunan Allah
Pelaku maksiat merasakan kakinya terbelenggu dengan dosa-dosa
yang telah dilakukan untuk melangkah mencari hidayah dan tidak
nampak sebarang sinar cahaya untuk menerangi hidupnya.

e) Tidak mengetahui hakikat maksiat

10
Melakukan maksiat kepada Allah S.W.T. tanpa menyedari bahawa
ia adalah maksiat kerana kecetekan ilmu. Contohnya beribadat
dengan tujuan riyak atau menunjuk-nunjuk kepada orang lain.

f) Berhujah dengan takdir


Menganggap bahawa dirinya telah ditaqdirkan oleh Allah S.W.T.
untuk menjadi seorang manusia yang derhaka. Justeru, tidak perlu
berusaha untuk berubah atau keluar dari keadaan tersebut.

7) Hidup di atas kebenaran dan mengelakkan diri dari perkara yang sia-sia :
Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang tidak menjadi
saksi bagi perbuatan palsu, dan apabila mereka bertembung dengan
sesuatu yang sia-sia, mereka melalui dengan cara yang mulia (mengelak
diri daripadanya).
(Surah Al-Furqan, 25: 72)

‘Ibadur Rahman sangat berpegang teguh pada prinsip hidupnya yang


berlandaskan pada kebenaran. Justeru, dalam apa jua keadaan sekalipun,
‘Ibadur Rahman tidak akan merelakan dirinya melakukan persaksian yang
palsu atas apa jua sebab atau alasan. Pada masa yang sama, ‘Ibadur Rahman
juga tidak akan berkompromi atau melibatkan diri dengan perkara-perkara
yang mempunyai unsur-unsur penipuan atau penyelewengan.

“Katakan yang hak walaupun pahit”

Apa yang lebih menarik lagi ialah, ‘Ibadur Rahman juga sentiasa
mengelakkan dirinya dari terjebak dalam keadaan yang boleh melalaikan

11
atau situasi yang sia-sia serta tidak mempunyai sebarang manfaat. Oleh
sebab itu, jika didapati dirinya berada dalam keadaan atau suasana yang
sedemikian, maka ‘Ibadur Rahman akan segera bertindak mencari jalan
untuk memisahkan dirinya dari situasi tersebut dengan cara yang berhikmah.
Sebagai seorang manusia yang memiliki budi pekerti yang mulia, ‘Ibadur
Rahman akan memilih cara keluar yang terhormat dan sedaya upaya cuba
mengelakkan diri dari keluar dengan cara sombong atau takabbur.

8) Menghayati peringatan dari ayat-ayat Allah :


Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang apabila
diberi peringatan dengan ayat-ayat keterangan Tuhan mereka, tidaklah
mereka tunduk mendengarnya secara orang-orang yang pekak dan buta.
(Surah Al-Furqan, 25: 73)

‘Ibadur Rahman adalah orang yang menyediakan dirinya untuk menghayati


setiap peringatan yang terkandung dalam ayat-ayat Allah S.W.T. sama ada
peringatan berbentuk suruhan mahupun peringatan berbentuk tegahan.
Malahan bukan sekadar itu, ‘Ibadur Rahman juga memiliki hati yang sangat
dekat dengan Allah S.W.T. sehingga digambarkan akan gementar hatinya
apabila mendengar nama Allah disebut. Pada masa yang sama, ketaqwaan
dan keimanan ‘Ibadur Rahman akan bertambah apabila dibacakan ayat-ayat
Allah S.W.T. kepadanya. Sifat-sifat tersebut dinyatakan dengan jelas oleh
Allah S.W.T. dengan firmanNya yang bermaksud :

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya)


ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya)
gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-

12
ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka
jualah mereka berserah.
(Surah Al-Anfaal 8 : 2)

Sikap tersebut berbeza sekali dengan perangai dan perlakuan orang-orang


kafir dan munafik yang bukan sahaja menolak peringatan yang disampaikan
oleh ayat-ayat Allah S.W.T. malahan cuba mempersenda-sendakannya.

3 Tanda Orang Munafik


 Apabila bercakap akan berbohong
 Apabila berjanji akan mungkir
 Apabila diberikan amanah akan khianat

9) Berusaha membina keluarga bahagia :


Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa
dengan berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri
dan zuriat keturunan kami : perkara-perkara yang menyukakan hati
melihatnya, dan jadikan kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu)
bertaqwa.
(Surah Al-Furqan, 25: 74)

Bertepatan dengan fitrah yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T. kepada
manusia iaitu keinginan untuk hidup berpasangan dan membina keluarga,
‘Ibadur Rahman juga berusaha membina sebuah keluarga yang bahagia dan
diredhai. Setelah berusaha memilih pasangan hidup yang terbaik dan
kemudiannya mendidik anak-anak dengan asuhan agama, usaha membina
keluarga diperkukuhkan lagi dengan sentiasa berdoa kepada Allah S.W.T.

13
Tuhan Yang Maha Pengasih agar dianugerahkan keluarga yang sentiasa
mendapat limpahan dan naungan rahmat dariNya.

‘Ibadur Rahman juga meletakkan harapan yang tinggi agar isteri dan anak-
anaknya menjadi orang-orang yang menegakkan agama Islam di muka bumi
ini walaupun setelah ketiadaan dirinya. Justeru, bagi mengimbangi harapan
tersebut, keluarga diasuh dan dididik dengan sempurna serta didedahkan
dengan ilmu dan kemahiran yang sewajarnya.

Doa ‘Ibadur Rahman tidak hanya terbatas dalam lingkungan keluarganya


sahaja, malahan turut mendoakan supaya jalan dan cara hidup yang telah
diamalkan olehnya menjadi ikutan bagi orang-orang yang mengharapkan
keredhaan Allah S.W.T. dalam hidupnya.

10) Sabar mentaati perintah dan meninggalkan tegahan :


Mereka itu semuanya akan dibalas dengan mendapat tempat yang tinggi di
syurga disebabkan kesabaran mereka dan mereka pula akan menerima
penghormatan dan ucapan selamat di dalamnya.
Mereka kekal di dalam syurga itu; amatlah eloknya syurga menjadi tempat
penetapan dan tempat tinggal.”
(Surah Al-Furqan, 25: 75-76)

‘Ibadur Rahman memiliki sifat kesabaran yang tinggi bukan sahaja dalam
menghadapi musibah malahan sabar melaksanakan setiap perintah dan juga
sabar menjauhi perkara yang ditegah. Ini kerana perjuangan untuk
menegakkan kebenaran, membina kekuatan diri serta mendidik jiwa menjadi

14
hamba Allah S.W.T. yang patuh, pastinya akan menempuh pelbagai cabaran
dan dugaan.

Hakikat Sabar
 Sabar melaksanakan perintah Allah S.W.T.
 Sabar dari melakukan perkara yang ditegah
 Sabar menghadapi musibah

Orang-orang Islam tidak cukup hanya dengan mengaku beriman dan


mengaku menjadi Islam sahaja, tetapi mereka juga mestilah memiliki sifat
sabar dan tabah hati menghadapi sebarang ujian, sama ada dalam bentuk
melaksanakan perintah agama atau menjauhi tegahan-tegahan serta
kesusahan atau kemalangan yang menimpa diri dan harta benda. Ujian yang
didatangkan dari Allah S.W.T. itu pada hakikatnya adalah untuk
membezakan antara orang yang benar-benar beriman dengan orang yang
berpura-pura. Bersesuaian dengan firman Allah S.W.T. dalam Al-Quran
yang maksudnya :

“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan


hanya berkata : “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan
sesuatu cubaan) ?”
(Al-Ankabut 29 : 2)

Pembentukan ‘Ibadur Rahman

15
Proses pembangunan diri manusia untuk mencapai penghidupan yang
seimbang di dunia dan akhirat menuntut penumpuan atau fokus secara
bersepadu pada empat dimensi utama manusia iaitu kerohanian, emosi,
keintelektualan dan jasmani. Bagi tujuan memperkukuhkan pembentukan
modal insan, beberapa aspek perlu dijadikan fokus bagi tujuan melahirkan
modal insan yang cemerlang dalam semua dimensi.

Pembinaan rohani :
Fokus pembinaan dimensi ini ialah mempasak ketaqwaan manusia secara
mutlak hanya kepada Allah S.W.T. semata-mata. Manusia juga perlu dididik
supaya mampu memberikan komitmen sepenuhnya pada hukum dan
peraturan yang telah digariskan oleh agama Islam. Pada masa yang sama,
menggalakkan mereka memperbanyakkan amalan kebaikan sekaligus
menghindarkan diri dari amalan keburukan. Seterusnya proses pembinaan
rohani diperkukuhkan dengan penanaman akhlak terpuji sebagai pakaian
diri.

Pembinaan emosi :
Fokus pembinaan dimensi ini ialah pewujudan suasana persekitaran yang
kondusif kepada individu Muslim ke arah pembentukan peribadi mulia. Ini
kerana keadaan persekitaran yang tidak sesuai sedikit sebanyak akan
mempengaruhi pembentukan emosi atau jiwa manusia. Antara sifat-sifat
yang perlu dipasak ialah jiwa yang kental, bersungguh-sungguh, tahan lasak,
berpandangan jauh dan bersyukur. Pada masa yang sama segala unsur-unsur
yang boleh merosakkan pembinaan emosi perlu ditutup dan disediakan
alternatif bagi mengatasinya.

16
Pembinaan intelektual :
Fokus pembinaan dimensi ini ialah pewujudan insan-insan terdidik dan
bersikap profesional yang mempunyai akhlak dan sifat-sifat
mahmudah(terpuji). Insan-insan tersebut mampu membina jati diri sehingga
berupaya menolak unsur-unsur perosak yang tersebar menerusi apa sahaja
medium. Antara sifat yang perlu dipasak dalam pembinaan intelektual ialah
pemikiran matang, bernas, berwawasan dan sentiasa bersyukur.

Pembinaan jasmani :
Fokus pembinaan dimensi ini ialah kemajuan ekonomi untuk kepentingan
individu, keluarga dan masyarakat. Bagi tujuan tersebut, keperluan asasi
seperti penyediaan kemudahan kesihatan, pendidikan dan riadah perlu
disempurnakan. Pada masa yang sama usaha perlu dilakukan untuk
mencapai tahap profesional dalam segala bidang ekonomi yang diceburi.

‘Ibadur Rahman Modal Insan Mithali

Modal insan merupakan tunjang utama bagi sesebuah negara untuk


meneruskan kesinambungan kemajuan dan kemakmuran yang telah dicapai.
Ini kerana kesejahteraan sesebuah negara banyak bergantung kepada kualiti
penduduknya. Jika setiap rakyat memiliki keimanan yang teguh dan
berperibadi mulia, ianya akan memudahkan proses menjana kecemerlangan
dalam segala bidang kehidupan.

Menyedari bahawa modal insanlah yang menjadi pencorak utama hala tuju
negara menuju wawasan yang telah ditetapkan, maka tumpuan sewajarnya

17
harus diberikan pada proses pembinaan dan pembangunan modal insan
bukan sahaja pada peringkat penggerak atau tenaga kerja yang ada sekarang,
malahan generasi muda perlu diberikan pendedahan dan bekalan yang
secukupnya sebelum memasuki alam pekerjaan.

Sebagai Muslim, pastinya kita akan berusaha membina dan membangunkan


modal insan menurut perspektif Islam sebagaimana yang digariskan dalam
Al-Quran dan As-Sunnah. Justeru, karakter manusia cemerlang seperti
‘Ibadur Rahman boleh dijadikan sebagai salah satu model asas dalam proses
pembinaan dan pembangunan tersebut.

Proses pembinaan dan pembangunan modal insan yang berteraskan Islam


juga dipilih kerana yakin dengan janji Allah bahawa pintu rahmat dan berkat
akan dibuka kepada penduduk sesebuah negeri yang beriman dan bertaqwa
sebagaimana yang dinyatakan dalam firmanNya yang bermaksud :

“Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta
bertaqwa, tentukah Kami akan membuka kepada mereka (pintu
pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi.....
(Surah Al-A’raaf 7 : 96)

Kesimpulan
Jelas kepada kita bahawa konsep pembangunan manusia dalam Islam adalah
proses untuk membentuk insan yang baik dan berguna bukan sahaja kepada
diri insan tersebut, malahan juga untuk agama, masyarakat dan negara.
Maksudnya, kepentingan pembinaan dan pembangunan modal insan tidak

18
hanya terbatas pada kepentingan individu atau sesebuah organisasi sahaja,
sebaliknya merangkumi kepentingan umum.

Oleh sebab itu, tugas dan tanggungjawab bagi menyempurnakan pembinaan


dan pembangunan modal insan tidak boleh diserahkan atau dilepaskan
kepada pihak-pihak yang tertentu sahaja. Sebaliknya perlu dipikul dan
dilaksanakan oleh semua pihak secara bersepadu. Setiap pihak perlu
memainkan peranan masing-masing dalam skop dan pengkhususan yang
dimiliki.

Bermula dari rumah, institusi keluarga yang diterajui oleh ibu dan bapa
perlulah mengambil tanggungjawab mendidik dan mengasuh zuriat mereka
dengan cara yang terbaik. Ibu bapa mestilah menonjolkan diri sebagai role
model (contoh ikutan) yang unggul kerana merekalah guru pertama yang
mendedahkan anak-anak kepada dunia. Anak-anak juga mestilah
ditanamkan dengan aqidah yang kukuh dan diberikan didikan agama yang
secukupnya. Pada masa yang sama mereka juga perlu dilengkapkan dengan
akhlak Islam.

Para guru pula meneruskan proses pendidikan secara formal di sekolah.


Namun tanggungjawab guru bukan hanya sekadar memberi pendidikan
dalam aspek akademik semata-mata, malahan guru mestilah turut sama
memainkan peranan mengasuh adab dan akhlak pelajar. Apa yang
diharapkan ialah, sekolah bukan hanya sekadar mampu melahirkan pelajar
yang cemerlang dalam bidang akademik, malahan turut cemerlang dalam
peribadi dan kehidupan. Kerjasama dan sinergi antara pihak sekolah dan ibu

19
bapa perlu diperteguhkan bagi membolehkan proses pemantauan terhadap
perkembangan anak-anak dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Setiap individu pula mestilah menjadi ahli masyarakat yang mempunyai


sikap suka tolong-menolong, prihatin, semangat kejiranan yang tinggi,
toleransi dan sifat-sifat positif yang lain bagi mewujudkan sebuah
masyarakat yang bersatu padu serta hidup dalam suasana harmoni dan
muhibbah. Kewujudan masyarakat yang bersatu padu dan saling bantu-
membantu dapat melancarkan lagi proses menjana kemajuan dan
kemakmuran negara.

Pihak kerajaan pula perlulah memastikan segala kemudahan dan infrstruktur


asas yang diperlukan dalam proses pembinaan dan pembangunan modal
insan seperti kemudahan pendidikan, kemudahan kesihatan, kemudahan
teknologi maklumat dan lain-lain lagi, disediakan dan diselenggarakan
dengan baik. Pada masa yang sama kawalan dan pemantauan perlulah
dilakukan oleh pihak kerajaan bagi memastikan tidak ada anasir-anasir
negatif, budaya-budaya songsang dan penyakit sosial dari menular dalam
masyarakat. Tujuannya supaya wujud suasana dan persekitaran yang
kondusif untuk pembinaan dan pembangunan modal insan yang sempurna.

Kesimpulannya semua pihak perlu berganding bahu menggembleng tenaga


dan bersatu fikiran berusaha menjayakan matlamat suci ini. Segala
kekurangan perlu ditampung secara bersama dan segala kelebihan pula
dimanfaatkan untuk kebaikan semua pihak.

20

Anda mungkin juga menyukai