Anda di halaman 1dari 14

Panduan Cara Mandi Wajib Yang Betul (Langkah-Demi-Langkah)

Bagaimana cara mandi wajib?

Panduan ini akan membimbing anda menunjukkan cara mandi wajib atau mandi junub yang betul,
sempurna dan sah.

Ia juga menerangkan segala perkara yang berkaitan dengannya.

 Bagaimana niat mandi wajib.

 Apakah rukun mandi junub.

Dan paling penting, panduan ini juga menyenaraikan persoalan-persoalan lazim yang sering timbul
berkaitan dengan mandi wajib yang boleh anda rujuk.

Isi Kandungan Panduan Ini Adalah:

1. Perkara yang menyebabkan kita perlu mandi wajib

2. Rukun mandi wajib


 Niat mandi wajib

3. Perkara wajib & sunat semasa mandi wajib

4. Cara melakukan mandi wajib (langkah-demi-langkah)

5. Jenis-jenis mandi sunat

6. Soal jawab lazim mengenai masalah berkaitan mandi wajib

 Apakah perbezaan mandi wajib diantara lelaki & perempuan?

 Adakah mandi wajib itu sah sekiranya mandi tanpa seurat benang?

 Bolehkah kita hanya niat: Sahaja aku mandi hadas besar kerana Allah Ta’ala Untuk mandi hadas
haid, nifas, wiladah, junub?

 Adakah sah menggunakan sabun mandi atau syampu semasa mandi wajib?

 Perlukah mandi wajib sekiranya bermimpi namun tidak keluar air mani?

 Adakah sah mandi wajib sekiranya terdapat luka yang belum kering?

 Adakah sah mandi wajib apabila saya mengosok qubul atau dubur dengan tangan ketika mandi
wajib untuk meratakan air ke tempat sulit itu? Bagaimana cara yang betul?

 Setelah selesai mandi wajib boleh ke terus keluar dari bilik air atau ada doa yang perlu dibaca
sebelum keluar dari bilik air?

 Hukum mendandan rambut dan mandi wajib dengan rambut dreadlock

 Mandi wajib selepas subuh semasa bulan puasa

 Bersetubuh dengan suami selepas haid, sebelum mandi wajib

 Adakah sah mandi wajib dengan rambut yang diwarnakan?

 Melewatkan mandi wajib kerana menunggu darah haid habis keluar

 Bolehkah menggabungkan dua niat mandi hadas dalam jenis berbeza?

Apakah Perkara-Perkara Yang Menyebabkan Mandi Wajib?

Mandi wajib adalah asas dalam kesucian kehidupan seorang muslim.

Tanpa mandi wajib yang sah dan sempurna, solat dan ibadah kita yang lain tidak akan diterima oleh
Allah.
Oleh itu penting untuk kita memberi perhatian serius mengenai perkara ini.

Terdapat beberapa perkara yang mewajibkan kita untuk mandi wajib.

Antaranya adalah:

1. Bersetubuh (Berjimak)

Sama ada keluar air mani ataupun tidak.

Perlakuan ini ialah apabila bertemu dua khitan (kemaluan lelaki dan perempuan) iaitu dengan
memasukkan hasyafah (batasan zakar yang dikhatan) ke dalam faraj.

Diriwayatkan sebuah hadis daripada Nabi SAW:

Apabila bertemu dua khitan, maka sesungguhnya wajib mandi

— Riwayat Ibnu Majah

2. Keluar air mani secara sengaja ataupun tidak

3. Mati selain daripada mati syahid

4. Datangnya haid bagi perempuan

5. Nifas (darah yang mengiringi selepas bersalin)

6. Wiladah (bersalin)

Apakah Rukun Mandi Wajib?

1. Niat Mandi Wajib (Mengangkat Hadas Besar)

 Nawaitu  raf ‘al  hadasil  akbari lillahi  ta’ala. 


Maksudnya:

Aku berniat mengangkat hadas besar kerana Allah Taala

2. Membasuh Seluruh Anggota Badan Yang Zahir

Wajib meratakan air ke seluruh anggota badan termasuklah:

 Rambut

 Bulu-bulu yang terdapat di anggota badan

 Kulit telinga yang di sebelah luar

 Kemaluan perempuan yang zahir pada masa ia duduk membuang air kecil

 Kemaluan lelaki dan perempuan yang sebelah belakang yang zahir semasa membuang air besar.

Rambut yang terikat hendaklah diuraikan.

Apabila air tidak kena pada salah satu daripada anggota badan maka mandi itu masih belum dianggap
sempurna sahnya.

Perkara Sunat & Perkara Wajib Yang Perlu Dilakukan Semasa Mandi Wajib

1. Perkara Wajib

 Niat

 Membasuh seluruh badan yang zahir dengan air termasuk kulit atau rambut. Air hendaklah
disampaikan ke bahagian dalam rambut dan pangkalnya.

2. Perkara Sunat

 Membasuh kedua-dua tangan di luar daripada bekas air

 Membasuh kemaluan dengan tangan kiri dan juga segala kekotoran yang ada pada badan.

 Berwuduk

 Menyelati rambut kepala dengan air kemudian membasuh kepala tiga kali

 Membasuh bahagian kanan dulu kemudian kiri.


 Menggosok tubuh dan berturut-turut dalam membasuh anggota.

 Mengambil air dan membasuh ke semua tubuh yang berlipat seperti kedua-dua telinga lipatan
perut, di dalam pusat dan ketiak.

 Membasuh sebanyak tiga kali sebagai kias kepada wuduk

Cara Mandi Wajib Langkah-Demi-Langkah (Kaedah Rasulullah SAW)

Segala amal ibadah yang hendak dilakukan sebaik-baiknya perlu mengikut jejak langkah Rasulullah SAW.

Disini adalah saya tunjukkan cara langkah demi langkah kaedah mandi wajib:

1.Niat ketika air sampai ke tubuh

2.Membaca “Bismillah”
3.Mencuci tangan sebanyak tiga kali

Al-Bukhari dan Muslim daripada Aisyah RA meriwayatkan sebuah hadis mengenai cara Rasulullah SAW
mandi dengan katanya yang bermaksud:

Apabila Nabi SAW mandi daripada janabah, Baginda mulakan dengan membasuh kedua-dua
tangannya.

4.Mencuci kemaluan dengan tangan kiri

Menurut riwayat Muslim,

Kemudian Baginda mencurah air dengan tangan kanannya ke atas kirinya, lalu membasuh
kemaluannya.

5.Berwuduk.

Wuduk boleh dilakukan seperti wuduk biasa sepertimana biasa dilakukan sebelum melakukan solat.

Ataupun boleh menangguhkan mencuci kaki selepas selesai mandi.

6.Membasuh kepala

Membasuh kepala dengan mengusap rambut secara meratakan kepala lalu siram 3 kali dengan air.

Dalam riwayat yang lain:

Baginda membasuh kemaluannya dan kekotoran yang mengenainya.

Kemudian Baginda berwuduk sebagaimana wuduk sembahyang.

Kemudian Baginda memasukkan jari-jarinya ke dalam air lalu menyelati dengan pangkal-pangkal
rambutnya.

Kemudian baginda mencurahkan air di atas kepala sebanyak tiga cebok tangannya ke seluruh
kulitnya.

7.Memulakan dengan bahagian kanan tubuh.

Ketika menyiram kepala, hendaklah dimulai dengan bahagian kanan, kemudian bahagian kiri dan
seterusnya bahagian tengah kepala.
Ini berdasarkan hadith ‘Aisyah (R.A) yang maksudnya:

“Baginda menyiram kepalanya di bahagian kanan, kemudian bahagian kiri”

9.Meratakan air ke seluruh tubuh badan

Perempuan-perempuan yang mandi kerana haid, sunat menggunakan sedikit kasturi atau benda lain
yang agak wangi untuk membasuh dan membersihkan kesan-kesan darah dan bau yang tidak
menyenangkan dengan cara melerakkan wangi-wangian itu atas kapas dan dicalit ke dalam faraj
(kemaluan).

Sebagaimana sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Ambillah sedikit kasturi kemudian bersihkan dengannya

Peringatan:

1. Sekiranya terdapat najis di anggota badan maka wajiblah dibasuh najis itu terlebih dahulu

2. Mandi junub boleh dirangkumi dengan mandi sunat sekali.

3. Perbezaan antara mandi wajib dengan mandi sunat hanyalah pada niatnya sahaja. Cara kaedah
mandi adalah sama.

4. Setelah mandi hadas besar maka tidaklah lagi diwajibkan mengambil wuduk apabila hendak
mengerjakan solat dengan syarat tidak melakukan perkara-perkara membatalkan wuduk semasa
mandi.

Apakah Jenis-Jenis Mandi Sunat?

1. Mandi kerana hendak pergi solat Jumaat

2. Mandi dua hari raya iaitu Aidil Fitri dan Aidil Adha

3. Mandi selepas memandikan mayat

4. Mandi selepas sembuh daripada penyakit gila

5. Mandi selepas berbekam

6. Mandi kerana hendak ihram

7. Mandi kerana hendak masuk Kota Makkah


8. Mandi kerana hendak wuquf di Arafah

Persoalan-Persoalan Lazim Mengenai Mandi Wajib

Disini dikumpulkan beberapa soalan lazim mengenai permasalahan mandi wajib.

1.Adakah perbezaan mandi wajib diantara lelaki & perempuan?

Tiada bezanya mandi wajib lelaki dan perempuan.

Cuma bagi perempuan kenalah cermat sikit semasa meratakan air ke rambut dan celah celahan, supaya
air sampai.

2.Adakah mandi wajib itu sah sekiranya mandi tanpa seurat benang?

Hukum mandi telanjang adalah makruh dan sebahagian Syafieyyahmenguatkan pendapat haram.

Al-Hafiz berkata: “Yang masyhur adalah makruh jika bersendirian.”

Justeru, sah mandi dalam keadaan telanjang tetapi hendaklah tidak di tempat terbuka atau dapat dilihat
oleh orang lain.

Begitu juga sepatutnya seseorang Muslim hendaklah menjaga maruahnya dan tidak mendedahkan aib
diri sendiri di hadapan orang lain.

Sumber rujukan: 

— Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan pada pautan ini

3.Bolehkah kita hanya niat: Sahaja aku mandi hadas besar kerana Allah Ta’ala Untuk mandi hadas haid,
nifas, wiladah, junub?

Ya boleh.

Dengan kita niat mengangkat hadas besar iaitu (mandi junub) maka terangkat kesemua semua hadas
besar termasuklah mandi haid, nifas, wilada dan lain-lain.

4.Adakah sah menggunakan sabun mandi atau syampu semasa mandi wajib?

Adalah seeloknya kita mandi seperti biasa dahulu dan diikuti mandi wajib.

Ataupon mandi wajib dahulu setelah semunya dah rata, maka bolehlah gunakan sabun dan syampu,
takut berubahnya air mutlak disebabkan air sabun atau syampu.
5.Perlukah mandi wajib sekiranya bermimpi namun tidak keluar air mani?

Jika seseorang bermimpi melakukan jima’ tanpa keluar mani, adakah dia perlu  mandi  wajib  dan
menggantikan (qadha) solatnya?

Jawapan:

Sesiapa yang bermimpi tetapi tidak keluar air mani, maka tidak perlu baginya untuk mandi wajib.

— Sumber Rujukan

6.Adakah sah mandi wajib sekiranya terdapat luka yang belum kering?

Untuk mandi wajib ketika ada anggota badan yang tidak boleh terkena air disebabkan mudarat, maka
hendaklah dibalut dahulu angota tersebut supaya tidak terkena air.

Ketika mandi wajib, wajib kita ratakan air ke seluruh badan melainkan anggota badan yang tidak boleh
terkena air (yang berbalut ).

Selepas selesai mandi wajib hendaklah bertayamum untuk menyempurnakan mandi wajib tersebut.

7.Adakah sah mandi wajib apabila saya mengosok qubul atau dubur dengan tangan ketika mandi wajib
untuk meratakan air ke tempat sulit itu? Bagaimana cara yang betul?

Sah mandi wajib apabila tangan menyentuh qubul atau dubur, tetapi wuduk akan terbatal.

Jika tidak mahu terbatalnya wuduk, mandi menggunakan kain basah dan gosok dengan berlapik di
kawasan yang sulit.

jika wuduk terbatal juga, boleh ambil semula wuduk selepas mandi junub.

8.Setelah selesai mandi wajib boleh ke terus keluar dari bilik air atau ada doa yang perlu dibaca sebelum
keluar dari bilik air?

Selesai mandi wajib boleh sahaja terus keluar.

Tetapi di sunatkan berdoa setelah keluar bilik air.

9.Hukum mendandan rambut dan mandi wajib dengan rambut dreadlock

Soalan:

Jika seseorang buat rambut dreadlock seperti  Bob Marley. Adakah sah dia bersuci mandi wajib jika
berjunub?

Jawapan:

Mempunyai rambut dreadlock tidaklah menyebabkan air mandi wajib tidak sah.


Mandi wajib hanya tidak sah apabila air tidak sampai ke rambut dan kulit kepala.

Rujukan lanjut mengenai hukum mendandan rambut dreadlock boleh dirujuk: Hukum mendandan
rambut dreadlock

10.Mandi wajib selepas subuh semasa bulan puasa

Soalan:

Apakah hukum kita melewat-lewatkan mandi wajib (mandi selepas azan subuh untuk tunaikan solat
subuh) selepas bersama dengan isteri pada malam hari bulan Ramadan?

Adakah sah puasanya kerana kita mandi wajib selepas azan subuh?  

Jawapan:

Melewat-lewatkan mandi janabah selepas bersama isteri pada malam hari bulan Ramadan sehingga
terbitnya fajar tidak menghalang sahnya puasa, sebaliknya makruh melakukan demikian itu.

Justeru, sunat bersegera untuk mandi wajib sebelum terbitnya fajar.

Dalilnya seperti yang disebut dalam kitab Bulugh al-Maram, daripada Saidatina Aisyah R.anha:

Sesungguhnya Nabi SAW pernah bangun pagi dalam keadaan berjunub akibat jima’ (pada
malamnya), lalu Baginda mandi (wajib) dan (meneruskan) berpuasa.

— Hadis Muttafaqun ‘alaih

Jelaslah daripada hadis di atas bahawa sahlah puasanya dan tidak batal puasanya kerana berpuasa
dalam keadaan berjunub mahupun kerana mandi wajib selepas subuh.

Ini pendapat majoriti ulama.

Sumber rujukan: 

— Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan pada pautan ini

11.Bersetubuh dengan suami selepas haid, sebelum mandi wajib

Soalan:

Jika kita di hujung haid, terus bersama. Saya tidak ingat dan tidak pasti sama ada
sudah  mandi  wajib  atau belum. Sebab sudah 3 minggu berlalu.
Jawapan

Pertama:

Akhir haid dikira dengan habisnya darah.

Begitu juga jika habisnya tempoh sebanyak-banyak haid, iaitu 15 hari.

Selepas itu dikira suci dan jika darah masih ada maka dikira sebagai darah istihadah.

Kedua:

Apabila sudah kering haid tetapi belum mandi, adakah dikira suci atau masih lagi dikira haid?

Hal ini khilaf di kalangan ulama’ berdasarkan nas Ilahi.

Pendapat yang terpilih adalah hendaklah mandi wajib dahulu sebelum bersama bagi pasangan suami
isteri

Sila rujuk pautan ini untuk membaca lebih lanjut mengenai permasalahan ini.

12.Adakah sah mandi wajib dengan rambut yang diwarnakan?

Soalan:

Saya ada mewarnakan rambut. Adakah sah mandi wajib saya?

Jawapan:

Perlu dilihat pada bahan yang digunakan sebagai pewarna rambut.

Jika sifatnya sama seperti inai, yakni boleh ditimbus air dan nipis, maka sah mandi wajib dan tidak perlu
diulang.

Jika tidak, maka boleh dipotong bahagian rambut yang diwarnakan tersebut, atau boleh dilunturkan
(bleaching) sehingga hilang zat yang menghalang air sampai, kemudian dilaksanakan mandi wajib
semula.

13.Melewatkan mandi wajib kerana menunggu darah haid habis keluar

Soalan:

Apakah hukum sekiranya seseorang wanita melambatkan mandi wajib dengan niat ingin menunggu lagi
jika ada darah haid yang masih tertinggal seperti darah di hujung yang warnanya coklat, kerana
kadang-kadang darah berhenti sekejap selama satu atau dua hari dan akan bersambung pada hari
berikutnya.

Jawapan:
Dalam kes ini, wanita tersebut perlu memeriksa keadaan dirinya.

Sekiranya darah tidak keluar tetapi apabila dia memasukkan kapas atau seumpamanya ke dalam batin
alat sulitnya (bahagian faraj yang tidak wajib dicuci ketika istinja’ dan hanya kelihatan ketika
mencangkung) lalu didapati pada kapas tersebut ada kesan darah termasuklah warna coklat, maka dia
masih berada dalam keadaan fatrah haid, yakni tempoh haid.

Ini berdalilkan riwayat Aisyah R.Anha:

Dahulu, para wanita datang menemui Aisyah R.Anha dengan menunjukkan kain yang berisi kapas (yakni
yang dimasukkan ke dalam faraj) yang padanya ada kesan kekuningan (kesan darah haid) lalu Aisyah
berkata kepada mereka,  “Janganlah kamu tergesa-gesa (untuk mandi dan bersolat) sehinggalah kamu
melihat warna cecair putih pada kapas yang menunjukkan suci daripada darah haid.”

—  Sahih al-Bukhari dan al-Muwatta’

Namun sekiranya dia tidak mendapati warna darah, termasuklah warna kekeruhan dan kekuningan,
maka dia sebenarnya berada dalam keadaan naqo’.

Daripada sudut bahasa naqo’ bererti bersih daripada sesuatu.

Adapun daripada sudut hukum, keadaan naqo’ bererti bersih daripada darah haid.

Keadaan naqo’ boleh jadi keadaan haid ataupun suci.

Pada asalnya, apabila berlaku naqo’ maka dia secara zahirnya sudah dianggap berhenti darah haid dan
diwajibkan mandi dengan segera dan hendaklah dia melaksanakan kewajipan apabila sudah suci seperti
solat dan berpuasa.

Namun, sekiranya seseorang wanita itu memiliki adat muwa`adah al-dam (yakni darah haidnya keluar
kemudian berhenti kemudian datang kembali tetapi cukup sehari semalam) – maka di sisi mazhab ada
dua pendapat ulama:

Pertama. Wanita itu mengambil hukum suci.

Justeru dia wajib mandi dan melakukan kewajipan ketika bersuci seperti solat dan puasa. Ini merupakan
pendapat Imam al-Nawawi dalam al-Majmu’.

Kedua. Wanita itu mengambil hukum haid kerana secara zahirnya masih berhaid kerana mengikut
adatnya, justeru tidak perlu mandi lagi sewaktu berlakunya intiqita’ (putus) atau naqo’ itu.

Ini menurut pendapat yang disahihkan oleh Imam al-Rafie, Imam al-Nawawi dalam Raudhah al-Talibin,
dan dianggap tepat oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami.

Contoh bagi pendapat kedua ialah Nurul mempunyai adat berhaid 7 hari dalam keadaan pada hari
keempat akan berlaku naqo’ selama sehari dan sambung keluar darah kembali sehingga hari ketujuh.
Justeru, apabila berlaku naqo` pada hari keempat, Nurul tidak perlu mandi wajib kerana dia masih
dianggap haid. Inilah yang difahami daripada fakta soalan penanya di atas.

Namun begitu, sekiranya Nurul menunggu daripada hari keempat sehingga hari ketujuh tetapi tidak
kembali keluar darah, maka Nurul diwajibkan untuk mandi dan mengqadha’kan solat-solat yang
ditinggalkan pada hari keempat sehingga hari ketujuh kerana berkemungkinan adatnya sudah berubah.

Jawapan di atas tidak merujuk kepada kes wanita mustahadah, mubtada’ah (yang baru mengalami haid
bulan pertama), kes haid yang mutaqatti` (terputus-putus) kerana beranggapan bahawa penanya ialah
wanita yang beradat dan keluar darah seperti kebiasaan.

Sumber rujukan: 

— Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan pada pautan ini

14.Bolehkah menggabungkan dua niat mandi hadas dalam jenis berbeza?

Soalan:

Salam. Adakah boleh disekalikan  mandi  wiladah dan nifas? iaitu dilakukan ketika darah nifas sudah
kering. Bagaimana dengan lafaz niat tersebut?

Jawapan:

Timbul polemik mengenai seseorang perempuan yang mengalami dua atau lebih hadas besar dalam satu
masa, apakah boleh diniatkan sekali dan adakah terangkat mandi wajib untuk hadas-hadas besar yang
dialaminya.

Berdasarkan pendapat Imam An-Nawawi Rahimahullah Taala, jika seorang perempuan itu mengalami


haid, kemudian dia berjunub, atau sebaliknya, ketika dia berjunub dia didatangi haid, hukumnya tidak
sah dia mandi mengangkat hadas junub ketika dia dalam keadaan haid.

Ini kerana hadas junubnya tidak terangkat dalam keadaan seseorang itu masih dalam haid.

Begitu juga sekiranya seseorang mengalami darah wiladah dalam keadaan masih mengalami darah nifas,
maka ia hendaklah menunggu sehingga darah nifasnya selesai barulah ia mandi kerana wiladah dan
nifas.

Beberapa cara yang boleh diaplikasikan, antaranya:

1. Meniatkan setiap hadas besar yang diaalami dan dimaksudkannya. Contoh, jika dia mengalami
dua hadas besar iaitu nifas dan junub maka diniatkan kedua-duanya sekali. “ Sahaja aku
mengangkat hadas nifas dan junub”
2. Memadai niat hanya satu niat sahaja atau satu niat yang umum merangkumi kesemua hadas.
“Sahaja aku mengangkat hadas akbar (besar)”    atau “Sahaja aku sahaja aku menunaikan
fardhu  mandi  atau seumpama dengannya”.

Kesimpulannya, menurut ulama Fekah, sekiranya seseorang itu mengalami dua hadas besar atau lebih,
hukumnya adalah sah jika dia mengangkat kesemua hadas tersebut sekaligus dengan satu mandi sahaja
seperti mana yang keterangan yang disebutkan tadi.

Sumber rujukan: 

— Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan pada pautan ini

Penutup: Bersuci Adalah Perkara Paling Penting Dalam Kehidupan Kita

Taharah atau bersuci merupakan suatu tugas yang sangat penting dalam kehidupan seorang muslim.

Ia adalah punca atau asas penerimaan segala amal ibadat.

Andai seseorang itu mengerjakan ibadah solat tetapi belum bersuci atau mandi wajib junub secara tidak
sempurna, maka solatnya dikira tidak sah.

Semoga panduan ini memberi manfaat kepada anda.

Anda mungkin juga menyukai