Anda di halaman 1dari 7

Pendidikan Awal

Kanak-Kanak Islam
Written by Zul   
Saturday, 11 July 2009 15:02
Pendidikan Anak-anak di Peringkat Awal Umur Berasaskan Binaan Kurikulum yang Integratif
Prof. Madya Dr. Mastura Badzis
Pengarah, Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC)
Universiti Pendidikan Sultan Idris, Malaysia (Naib Presiden HELWA) 
  
Pendahuluan
 
Pendidikan merupakan satu wadah penting dalam menjana anjakan paradigma dalam setiap individu dan ia juga
memainkan peranan penting dalam melahirkan insan deduktif yang dinamik dalam semua aspek kehidupan.
Secara umumnya, pendidikan selalu dikaitkan dengan proses pengajaran dan pembelajaran sesuatu kemahiran,
penyampaian ilmu dan juga penerapan nilai. Dalam bentuknya yang praktikal, hasil pendidikan seharusnya dapat
melahirkan insan yang mampu mengaplikasi ilmu yang dipelajari dan memanfaatkan kemahiran yang dimiliki
dalam kehidupan seharian. Dalam konteks kanak-kanak, pendidikan perlu dilihat sebagai satu proses yang
berterusan berkembang serentak dengan perkembangan individu seorang kanak-kanak yang mempelajari apa
sahaja yang ada di persekitaran dan dengan ‘ilmu’ atau kemahiran yang diperolehi ia akan mengaplikasikannya
dalam konteks yang pelbagai samada dalam kehidupan sehariannya di ketika itu ataupun sebagai persediaan
untuk kehidupannya di masa yang akan datang (Department of Education and Science, 1990).
Dalam erti kata lain, segala apa yang dilihat dan didengari oleh seorang kanak-kanak dari persekitarannya adalah
merupakan satu pendidikan baginya kerana yang nyata bagi kanak-kanak di peringkat awal umur, mereka tidak
dapat membezakan yang baik dan yang buruk. Barat dan Islam mempunyai perspektif yang sama dalam hal ini,
kanak-kanak perlu dibentuk dan dididik sejak dari awal. Apa yang membezakan ialah Islam menekankan
pembentukan sahsiah seseorang kanak-kanak bukan hanya kelakuan fizikalnya tetapi pemantapan akhlaq perlu
diterapkan seiring dengan penerapan keimanan di dalam ruh dan jiwanya.

Kalau sesuatu informasi yang diterima oleh seseorang kanak-kanak itu hanya di aras pengetahuan tanpa adanya
penyemaian aqidah dan pemantapan akhlaq, maka sudah pastilah nilai penghayatannya kontang dan proses
aplikasinya tidak dapat diterjemah dalam bentuk nilai peradaban yang sempurna. Akibatnya, generasi yang
dihasilkan mungkin bijaksana dan tinggi tahap perkembangan inteleknya tetapi  ‘pencapaian tinggi’ yang
hakikatnya dalam ruang lingkup yang sempit yang hanya didasarkan kepada ketinggian pencapaian akademik
sedangkan dari aspek-aspek yang lain ia pincang dan tiada keseimbangannya. Maka jika inilah yang berlaku
dalam dunia pendidikan pada hari ini, ini bererti pendidikan gagal menjana anjakan paradigma dalam sel setiap
individu dan dibimbangi sejarah lama akan berulang. Analisis fakta dari perspektif sejarah telah cukup
membuktikan bahawa kehancuran tamadun manusia contohnya Mesir, Greek, Rom dan Parsi adalah berpunca
dari gagalnya penerapan nilai-nilai akhlaq murni kepada generasi pewaris dan kontangnya penghayatan untuk
diaplikasikan dalam kehidupan
 
Kepentingan Pendidikan Anak-anak di Peringkat Awal dan Cabaran
 
Pembangunan perindustrian pesat dalam era globalisasi yang berlaku dalam dunia hari ini telah meningkatkan
cabaran membentuk generasi akan datang khasnya bagi ibubapa dan pendidik Muslim. Dalam menempuh alam
cyber dan teknologi maklumat tidak dapat dinafikan pembangunan insan dan pembinaan generasi perlu
dititikberatkan selari dengan keprihatinan terhadap kepesatan kemajuan negara. Ini kerana kanak-kanak
merupakan aset penting bagi pembinaan sesuatu bangsa dan ketinggian maruah agama. Mereka adalah
generasi pewaris yang bakal menjana wawasan dan mencorak masa depan sesebuah negara pada alaf yang
akan datang. Mereka bakal menjadi pemimpin ummah dan mencorak keunggulan Islam sebagai agama sejagat.

Pernyata dari hasil-hasil kajian ilmiah samada di timur, di barat malah seanterio dunia , dapatan kajian
membuktikan bahawa pendidikan awal kanak-kanak adalah asas kepada pembinaan kekukuhan sesuatu bangsa
dan pemangkin kepada visi wawasan halatuju negara. Kajian  yang dilakukan di Amerika Syarikat misalnya
menunjukkan bahawa setiap nilaian dolar yang dilaburkan untuk pendidikan awal yang berkualiti tinggi dapat
memberikan pulangan yang tinggi samada dari segi perkembangan ekonomi mahupun perkembangan sosial
kehidupan masyarakat di negara tersebut.

Manakala Jepun, negara yang suatu ketika dahulu pernah lumpuh akibat ledakan bom atom,  dalam jangkamasa
yang tak sampai setengah abad ia mampu bangun menjadi tunggak ekonomi dunia. Satu kajian yang dilakukan
oleh seorang penyelidik Barat   mendapati bahawa pembinaan pemikiran masyarakat Jepun bukanlah
disebabkan oleh laungan suara kebangkitan atau paluan gendang lagu membakar semangat, tidak juga tumpuan
kepada pencapaian akademik mengorientasi pemikiran rakyat. Akan tetapi ianya berpunca dari keprihatinan dan
kepekaan pemimpin dan rakyat negara itu terhadap pembentukan generasi awal. Masyarakat Jepun telah
menyediakan generasi mereka dengan daya ketahanan menghadapi cabaran dari aspek fizikal dan mental, dan
mereka juga bertungkus lumus menumpukan perhatian membina daya keintelektualan dan menggarap potensi
semulajadi setiap individu kanak-kanak sejak dari peringkat awal perkembangan.

Hakikat yang perlu kita tahu dari fakta yang dikemukakan oleh pakar perkembangan dan psikologi  kanak-kanak,
diperingkat umur 6 tahun pertama inilah peringkat paling utama dan paling laju perkembangan mereka
berbanding dengan peringkat-peringat  atau tahap umur yang lebih dewasa dalam kehidupan seorang insan.
Pakar perkembangan dan psikologi kanak-kanak berpendapat bahawa lebih separuh dari perkembangan
intelektual kanak-kanak berlaku dari usia 0 hingga empat tahun  manakala satu pertiga yang lain sempurna
perkembangannya ketika kanak-kanak berusia 8 tahun.

Dapatan terbaru dari kajian yang dilakukan oleh pakar neurologi mendapati bahawa 80—85% perkembangan
otak manusia berlaku dalam tempoh enam tahun pertama usia seorang kanak-kanak dan peringkat
perkembangan yang paling pesat ialah diperingkat umur yang terawal dalam tempoh enam tahun tersebut. Justru
itu boleh dikatakan di sini bawa ketinggian kualiti pendedahan dan pendidikan awal seseorang kanak-kanak
merupakan asas kepada keseluruhan perkembangannya yang akan datang.

Satu persoalan yang ingin saya kemukakan disini, adakah apa yang kita rancangkan hari ini pastinya nanti dapat
melahirkan generasi rabbani pewaris anbiya’ dan ulama’? Ada bukti yang menunjukkan, masih timbul persoalan
dan keraguan di sudut hati para  penyelidik yang membuat kajian , pemerhatian, peka dan prihatin kepada
perkembangan kanak-kanak Islam hari ini. Sebahagiannya masih mencetuskan, kenapa tahap pemikiran kanak-
kanak Islam secara umumnya tidak 'advance'? Kenapa ketrampilan, pemikiran, kewibaan, daya intelek kanak-
kanak Islam selalu dikatakan agak ketinggalan ke belakang jika dibandingkan dengan kanak-kanak di negara-
negara barat umpamanya?. Mengapakah anak-anak ini meskipun disemai dengan benih-benih keimanan masih
terjebak dengan gejala social yang memalukan di kala besarnya? Adakah sesuatu yang tidak kena dengan
kurikulum pendidikan Islam atau mungkin kekeliruan berlaku dari segi aplikasi? Adakah mungkin kerana ini yang
kita katakan kita memerlukan satu tajdid dan perubahan? Mungkinkah pendidikan kanak-kanak di peringkat awal
berasaskan binaan kurikulum  integratif boleh menjadi salah satu cara penyelesaiannya?Justru itu suatu yang
amat wajar untuk kita meneliti kembali kurikulum pendidikan anak-anak di peringkat awal usia ini  jika generasi
yang mahu kita lahirkan adalah generasi serba boleh, berketrampilan, berwawasan , tinggi daya keintelektualan
dan utuh imannya.

Definisi Kurikulum untuk Kanak-kanak

Kurikulum seperti yang tercatat dalam Akta Pendidikan Malaysia 1996 dan Peraturan-peraturan Kurikulum
Kebangsaan Pendidikan 1997 merujuk kepada suatu program pendidikan yang merangkumi semua
pengetahuan, kemahiran, norma, nilai, unsur kebudayaan dan kepercayaan untuk membantu perkembangan
seseorang murid dengan sepenuhnya dari segi jasmani, rohani, mental dan emosi serta untuk menanam dan
mempertingkatkan nilai moral yang diingini dan untuk menyampaikan pengetahuan.
Kurikulum pendidikan bila diterjemahkan dalam bentuk aplikasi di sekolah ia adalah sesuatu yang melibatkan
program pembelajaran di dalam atau di luar kelas, aktiviti, peralatan, perancangan, jadual waktu, tajuk-tajuk bagi
sesuatu yang dipelajari dan juga proses penilaian. Namun perkataan kurikulum bila dikaitkan dengan kanak-
kanak di peringkat awal perkembangan ianya tidak hanya tertumpu kepada sesuatu yang dikaitkan dengan
pengalaman pembelajaran di sekolah tetapi ia merangkumi segala pengalaman dalam kehidupan hariannya
samada di pusat asuhan, di rumah atau di luar rumah. Para pakar unit kanak-kanak di bawah usia 5 tahun dari
National Children Beaureu , United Kingdom berpandangan bahwa kurikulum untuk kanak-kanak di peringkat
awal umur yang di letakkan di pusat asuhan kanak-kanak adalah merangkumi perkara-perkara berikut:

 Segala peluang perkembangan pembelajaran yang disediakan untuk kanak-kanak


 Segala aktiviti, sikap dan tingkahlaku samada yang dirancang atau tidak , samada digalakkan atau
ditegah
 Cara bagaimana persekitaran fizikal yang mengelilingi kanak-kanak disusun dan juga rutin harian yang
dilakukan oleh orang dewasa atau kanak-kanak itu sendiri
 Peranan yang dimainkan oleh orang dewasa untuk menyusun atur, mengarah, mempengaruhi dan turut
serta bersama melakukan apa yang dilakukan oleh kanak-kanak
 Penglibatan ibubapa dalam perkara-perkara yang disebutkan (NCB, 1989, p.11)
Bruce dan Meggitt (2005) pula menyifatkan kurikulum kanak-kanak ialah sesuatu yang dapat membantu kanak-
kanak membesar dan belajar yang mana menjadi satu tanggungjawab kepada pendidik untuk menyediakan
pengalaman pembelajaran yang dapat menyokong, merangsang dan membantu menggarap potensi yang ada
pada seseorang kanak-kanak dan ianya bersesuaian dengan keperluan dan keupayaan kanak-kanak melakukan
atau mempelajarinya (Department for Education and Science, 1990).

Dalam konteks Islam, kurikulum pendidikan bagi seseorang kanak-kanak khasnya di peringkat awal
perkembangan melibatkan segala pengalaman pembelajaran yang dididedahkan kepada kanak-kanak samada
ianya dirancang ataupun tidak ,secara langsung atau tidak langsung yang ditimba oleh seseorang kanak-kanak
sepanjang proses mereka membesar. Kurikulum dan pengalaman ini sebenarnya tercetus dari sikap, nilai dan
tatasusila yang ditonjolkan oleh guru, orang dewasa, keluarga dan masyarakat sekitar

Dalam ertikata lain kurikulum pendidikan bagi seseorang kanak-kanak adalah merangkumi segala aktiviti dan
pengalaman pembelajaran yang disediakan oleh orang dewasa, segala aktiviti yang ditentu dan difikirkan oleh
kanak-kanak itu sendiri, termasuklah juga bahasa/ teknik berkomunikasi yang diamalkan oleh orang dewasa dan
kanak2 menggunakannya dikalangan rakan sebaya atau orang lain malah segala apa yang mereka boleh lihat
dan dengar dari persekitaran mereka. Terkadang-kadang kurikulum ini juga boleh jadi sesuatu yang tersembunyi,
yang tidak dirancang tetapi tanpa disedari kanak-kanak mempelajarinya. Sebagai contohnya masa atau perhatian
yang diberikan oleh pengasuh atau pendidik kanak-kanak terhadap sesuatu aktiviti mungkin menyebabkan
kanak-kanak merasakan sesuatu perkara itu lebih berfaedah dari yang lain walaupun hakikatnya tidak begitu.

Contoh yang paling dekat bila seseorang kanak-kanak kecil meminta ayah membasuhkan tangannya selepas
makan tetapi si ayah sibuk membaca suratkhabar, maka si anak mungkin akan memahami bahawa membaca
suratkhabar itu lebih penting dari membasuh tangan. Jadi tidak hairanlah kalau si kecil selepas dari peristiwa itu
tidak membasuh tangan selepas makan sebaliknya terus ingin membaca buku, mungkin kerana ia merasakan
yang membaca buku lebih penting dari membasuh tangan berdasarkan sikap yang ditonjolkan oleh si ayah
walaupun pada hakikatnya bukanlah si ayah bermaksud begitu, namun inilah yang dikatakan kurikulum yang
tersembunyi. Inilah konsep utama yang perlu difahami

Binaan Kurikulum Integratif

Kurikulum integratif mempunyai makna yang subjektif. Integratif di sini boleh memberi maksud kesepaduan iaitu
menekankan perkembangan individu secara menyeluruh dan bersepadu ke arah melahirkan insan yang baik
berdasarkan kepercayaan, keyakinan serta kepatuhan kepada Tuhan. Kurikulum integratif juga boleh memberi
maksud kesepaduan pelbagai kemahiran dalam satu-satu pengajaran atau mungkin juga kesepaduan
kepelbagaian cabang-cabang ilmu dalam sesuatu subjek yang di ajar.

Dalam kertas kerja ini saya ingin memfokuskan huraian mengenai binaan kurikulum yang integratif kepada  tiga
aspek. Pertama, integratif dari segi kesepaduan maklumat yang disampaikan kepada kanak-kanak. Dalam
ertikata lain ilmu pengetahuan dan pengalaman pembelajaran yang perlu didedahkan kepada kanak-kanak di
peringkat awal usianya perlulah suatu yang komprehensif dan bersepadu bukannya terpecah-pecah mengikut
subjek kerana ini akan menjadikan kanak-kanak menjadi keliru dan seolah-olah ada ‘batasan’ dalam mendalami
sesuatu ilmu atau pengetahuan yang didedahkan kepada mereka. Jika sesuatu pengalaman pembelajaran yang
didedahkan kepada kanak-kanak adalah berasaskan ‘subjek’ maka sudah pastinya perasaan dan naluri ingin
tahu mereka terbatas dengan pemfokusan kapada subjek dan mereka akan menjadi ‘rigid’ sebaliknya jika
pendedahan pengalaman pembelajaran adalah berasaskan kepada penggarapan  aspek perkembangan dan
bersesuaian dengan tahap dan kebolehan kanak-kanak, nescaya kanak-kanak akan lebih kreatif, memiliki daya
kemahiran berfikir yang tinggi serta memperolehi kemahiran meyelesaikan masalah yang dapat membentuk
semangat jati diri dan keyakinan yang tinggi. Pendidik kanak-kanak sepatutnya menggarap potensi kanak-kanak
berasaskan apa yang ia tahu kerana ini menjadikan kanak-kanak lebih berminat untuk mendalami sesuatu
perkara. “ Berbicaralah dengan manusia mengikut kadar kemampuan akalnya” Begitulah pesanan rasul s.a.w.
kepada umatnya.

Dapatan dari kajian ilmiah mendapati kanak-kanak di prasekolah terutamanaya tadika aliran agama adalah diajar
berasaskan subjek dan bukannya berasaskan penggarapan aspek perkembangan. Mungkin ini adalah satu tajdid
atau pembaharuan yang perlu dilakukan.

Kedua, integratif dari segi kesepaduan aspek-aspek perkembangan dan potensi yang digarap di peringkat awal.
Sememangnya pengalaman pembelajaran seseorang kanak-kanak di peringkat awal usia  mampu memberikan
kesan yang positif atau negatif kepada perkembangannya di masa hadapan samada dari segi kognitif, emosi,
sosial dan aspek-aspek perkembangan yang lain bergantung kepada cara bagaimana kanak-kanak mendapat
pendedahan. Kalau dari awal perkembangan kerohanian dan sosio-emosi mereka dititikberatkan, hasilnya akan
lahirlah anak-anak yang berwibawa, taqwa, cekal hati, tinggi nilai harga diri, berketrampilan dan mampu
menghadapi cabaran masa hadapan. Tetapi sebaliknya jika pendedahan awal yang mereka dapat hanya
menumpu kepada perkembangan akademik atau satu aspek perkembangan semata-mata, maka akan
pincanglah aspek perkembangan yang lain malah boleh memberi kesan negatif pula kepada perkembangan
personaliti seseorang kanak-kanak. Setiap aspek perkembangan kanak-kanak perlu digarap dengan sempurna
tanpa melebihkan satu dari yang lain kerana sekiranya ini berlaku, sel-sel neuron dalam otak yang tidak
dirangsang dengan pendedahan kepada pengalaman pembelajaran yang menjurus kepada sesuatu aspek, ia
akan mati begitu sahaja. Andai ia digarap dari segi intelek tetapi emosinya tidak terdidik, maka perkembangan
sosialnya juga tidak mantap dan sudah pastinya ia tidak mampu menjadi pemimpin ummah yang baik pada masa
yang akan datang.Alangkah ruginya kita umat Islam mengabaikan nikmat kurniaan Allah begitu saja sedangkan
neuron itulah jika digarap dengan sempurna mungkin menjadi pemangkin kepada sesuatu perubahan kepada
umat manusia. Setiap kanak-kanak adalah individu yang unik yang perlu dipenuhi hak dan keperluan mereka
agar dengan itu  potensi mereka dapat digarap sebaik mungkin kerana mereka adalah aset utama sesebuah
negara.

Ketiga, integratif di sini bererti  kita menyepadukan antara pendekatan barat dan Islam dalam mendidik anak-
anak. Kita ambil apa yang baik dari barat apa yang boleh dilihat dengan mata kasar tentang amalan-amalan dan
pendekatan-pendekatan mereka mendidik kanak-kanak dan kita sepadukan dengan pendekatan Islam yang kaya
dengan teori dan khazanah ilmu yang berbagai. Sesuatu program pendidikan awal kanak-kanak ini perlu dibentuk
berdasarkan pandangan dan pendekatan integratif dan bersepadu gabungan Islam , Barat dan Timur .

Di barat misalnya modul program pengasuhan kanak-kanak dipelopori dengan pelbagai bentuk kurikulum seperti
‘Montessori’, ‘Reggio Emilio’, ‘Early Learning Goals’, ‘High Scope’ dan sebagainya. Manakala di Timur di Jepun
misalnya, penekanan kurikulum kepada aspek hygiene, kesihatan dan pemakanan sihat manakala di New
Zealand sebagai contoh, ‘ Te Wariki’ menekankan kepada pendidikan yang berkonsepkan kebudayaan dan
menghormati tatacara kehidupan masyarakat Maori.

Dalam sejarah Islam, begitu ramai ilmuan dan cendiakawan yang memberi sumbangan kepada ilmu pengasuhan
perkembangan, dan pendidikan kanak-kanak. Ibnu Miskawaih misalnya begitu menekankan pentingnya
pendidikan akhlaq dan pembentukan sahsiah yang mulis manakala Imam Al-Ghazali yang banyak menyumbang
kepada perkembangan sosio-emosi kanak-kanak, begitu menekankan aspek belajar melalui bermain sebagai
asas pengasuhan.

Ibnu Sina juga tidak terkecuali menyumbang dalam bidang ini apabila beliau membincangkan kepentingan
hygiene dan penjagaan kesihatan kerana dua faktor ini adalah asas kepada pembentukan fizikal yang sihat.
Kemampuan kanak-kanak mendapatkan pengalaman adalah berbeza dari satu individu dengan individu yang lain
telah diketengahkan oleh seorang lagi ilmuan hebat islam iaitu Ibn Khaldun. Manakala Ibn Jamaah pula
mengupas tanggungjawab pendidik dari segi memahami tingkahlaku kanak-kanak dan menanganinya melalui 
kaedah pengukuhan.

Falsafah pendiddikan awal kanak-kanak yang berteraskan kepada pendekatan integratif tersebut jika diteliti
secara mendalam adalah didasarkan kepada konsep-konsep berikut yang disepadukan antara dua pandangan: 

1. Pembinaan akhlaq dan pembentukan sahsiah.


2. Bermain adalah tugas utama kanak-kanak.
3. Kanak-kanak adalah individu yang unik dan berbeza antara satu sama lain.
4. Rangsangan neurologi dan deria melalui penglibatan yang aktif dalam setiap aktiviti.
5. Memberi kebebasan dan ruang kepada kanak-kanak bagi mengenal pasti apa yang mereka mahu dan mampu
lakukan.
6. Memenuhi keseimbangan keperluan rohani, fisiologi, psikologi dan pembesaran fizikal kanak-kanak.
7. Persekitaran yang kondusif, ceria dan selamat.
8. Keperihatinan terhadap persekitaran dan penyediaan pemakanan yang sihat dan bersih.
9. Menghormati kepelbagaian dan hak-hak yang sama rata.

Hakikatnya samada di barat atau di timur, semua manusia mengharapkan anak mereka kearah pembinaan
syakhsiah mulia dan berkeperibadian tinggi serta berhemah dalam menghadapi arus globalisasi yang semakin
mencabar. Semua ibu bapa pastinya ingin melahirkan generasi yang berfikiran mantap , kritis dan kreatif dalam
setiap aspek kehidupan.

Namun, satu penemuan yang ingin saya ketengahkan di sini setelah menyingkap fakta dari lipatan sejarah silam.
Mungkin selama ini ramai yang beranggapan teori-teori dan ilmu-ilmu berkaitan perkembangan kanak-kanak,
pendidikan keibubapaan dan pendekatan moden mendidik anak khasnya di peringkat awal usia dipelopori oleh
barat dan tidak releven dengan Islam. Seringkali matapelajaran psikologi atau subjek perkembangan kanak-
kanak yang di ajar di institusi sekolah dan pengajian tinggi dirujuk kepada penemuan yang diketengahkan oleh
barat. Hakikatnya pendekatan-pendekatan moden yang kita lihat pada hari ini sebenarnya dipelopori oleh para
ilmuan Islam di zaman kegemilangannya suatu ketika dahulu. Kita sering menyebut tentang Jean Piaget dan teori
Perkembangan kognitif tetapi kita melupakan Ibnu Sina (370-428 Hijria = 980-1036 AD) yang membicarakan hal
yang sama berkurun-kurun lamanya sebelum Piaget. Dewasa ini kita sibuk membicarakan tentang Emotional
Intelligent yang dipelopori oleh Howard Gadgner tanpa kita sedari Ibnu Khaldun (733-808 Hijria = 1332-1406
Masehi)telah berabad lamanya mengupas isu tersebut di dalam kitabnya almuqaddimah. Kita mula menyuarakan
tentang kepentingan memahami perbezaan perkembangan individu di kalangan kanak-kanak tanpa merujuk
penulisan Al-Ghazali dan hujah-hujahnya tentang hal tersebut dalam membicarakan isu-isu perkembangan sosio-
emosi kanak-kanak.
Di sana- sini pendidik kanak-kanak begitu sibuk memperkatakan mengenai kepentingan bermain melalui belajar
sebagai satu pendekatan kurikulum yang paling bersesuaian dengan kanak-kanak kerana ia merujuk kepada ciri-
ciri semulajadi kanak-kanak yang sememangnya suka bermain. Nama Froebel, Susan Isaacs, Mc Millan dan
pelbagai lagi teori mengenai permainan dari perspektif barat disebut-sebut dan dijulang. Kiranya ia sudahpun
dipelopori oleh begitu ramai tokoh cendikiawan Islam seperti Al-Ghazali, Ibnu Sina, Ikhwan Safa dan sebagainya.
Malah banyak hadis-hadis yang menyebut mengenai kepentingan bermain dalam kehidupan kanak-kanak yang
menunjukkan kesesuaiannya sebagai pendekatan utama perkembangan pembelajaran kanak-kanak. Namun,
hadis-hadis sebegini  seperti tidak diberikan perhatian dan jarang dikupas. Lalu apabila umat Islam berbicara
mengenai perkembangan kanak-kanak sudah pastinya penulisan sarjana barat menjadi rujukan tanpa menyedari
atau mungkin alpa, telah ada usaha sebegini dibukukan dan dihurai oleh ulamak terdahulu sebagai contohnya Ibn
Qayyim Al-Jauziah dalam kitabnya “tuhfatul maudud fi ahkam almaulud”

Umat Islam yang mempelajari ilmu psikologi pendidikan pada hari ini sudah pastinya arif tentang teori-teori yang
dikemukakan oleh Behaviourist, Social Learning Theory dan sebagainya. Antara idea utama yang dikemukakan
oleh teori ini ialah kanak-kanak relajar melalui pemerhatian dan mudah meniru apa saja perlakuan. Untuk
mengekalkan tingkahlaku baik yang ditunjukkan oleh seseorang kanak-kanak, maka perlulah mereka selalu diberi
pengukuhan. Alangkah bijaknya tokoh ilmuan Islam Imam Al-Ghazali yang terlebih awal mengupas begitu detail
persoalan sebegini dalam kitabnya Ihya’ Ulumuddin dan mengemukakan lima aspek utama dalam pendidikan
kanak-kanak khasnya di peringkat awal perkembangan: Qudwah (Role model), Mulahazah wa mutaba’ah
(Observation and imitation), i’tiyad (kelaziman/kebiasaan),isu Al-thawab wa al iqab (Reward and punishment) dan
nasihat (advice) sebagai penyelesaian

Imam Al Ghazali begitu menekankan peri pentingnya ibubapa dan pendidik perlu menjadi role model atau ikutan
yang baik kerana sikap atau tingkahlaku yang ditunjukkan oleh ibubapa sebenarnya adalah kurikulum dalam
pendidikan seorang kanak-kanak. Bersesuaian dengan sifat semulajadi kanak-kanak yang suka meniru perilaku
atau apa sahaja yang ada di hadapannya, dan seperti yang ditegaskan oleh Imam Al Ghazali, kanak-kanak
belajar melaui pemerhatian yang jika dibiarkan ia akan menjadi kebiasaan atau I’tiyad dan sukarlah untuk
dibentuk. Dalam menangani masalah ini ibubapa atau pendidik di beri pilihan antara memberi pengukuhan dan
ganjaran baik atau hukuman. Jalan yang paling terbaik ialah dengan memberi nasihat yang pendekatannya
adalah “mendidik jiwa dengan jiwa atau alhal bilhal.” Seperti yang tertera dalam kitab karangannya “ ayyuha al-
walad”.

Ini adalah antara contoh mengaplikasi teknik mendidik anak-anak di peringkat awal umur berasaskan kurikulum
integratif menampakkan kesepaduan antara pandangan sarjana barat dan ilmuan Islam dalam menilai dan
menyelesaikan masalah menanangani sesuatu perkara yang berlaku dalam kehidupan seorang kanak-kanak.
Pendekatan integratif juga memberi pengertian kesinambungan antara teori dan praktik, pembuktian antara
kepercayaan dan amalan juga kesepaduan antara amanah yang dijulang dengan perlaksanaan yang perlu
dibuktikan.

Hakikatnya, dalam Islam telah nyata dan terserlah segala teorinya namun dari segi aplikasi, selalunya sarjana
barat akan cuba melaksanakan dengan mencubanya melalui kajian-kajian ilmiah dan melakukan eksperimen
yang lebih mendalam lalu setelah yakin dengan kesannya yang efektif lalu mereka mendabik dada mengatakan
inilah teori baru dan yang untungnya kerana mereka mengamalkannya.! Realitinya, inilah punca kemunduran
umat Islam dalam dunia globalisasi. Tidak ada yang kurang dan tidak ada cacat celanya agama Islam, tetapi
sikap umatnya yang perlu diubah. “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga
mereka sendiri mengubahnya...” Sungguh benarlah firman Allah!

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan dari kertaskerja ini, saya ingin membawa perhatian para hadirin budiman. Perkataan kanak-
kanak dalam bahasa arabnya disebut sebagai al-tifl (    ‫لطفل‬١   ) yang berasal dari perkataan tafula ( ‫ ) طفل‬yang
membawa maksud sesuatu yang lembut, mudah rosak dan sensitif. Di sebalik maksud tersebut ia memberi
pengertian bahawa seseorang kanak-kanak itu perlu dijaga, diasuh dan dididik dengan rapi, teliti dan sempurna
memandangkan sifat semulajadinya yang mudah terdedah kepada bahaya persekitaran bukan sahaja dibimbangi
kerosakan yang akan menimpa fizikal dan tubuh badan malah aspek-aspek yang lain juga amat perlu diberikan
perhatian.

Dalam memperkatakan mengenai kebaikan yang diamalkan oleh barat, kita sering melihat atau memang sedar
masyarakat barat kebiasaannya menggunakan pendektan berhemah dalam membentuk perilaku dan
mendisiplinkan anak-anak. Ia seperti sudah menjadi budaya mereka, membelai, memeluk dan mencium anak-
anak. Walhal begitu banyak hadis dan saranan ulama’ yang menyebut tentang peri pentingnya mendidik anak
dengan kesabaran dan kelembutan. Namun realiti yang berlaku dalam masyarakat Islam hari ini, menghukum
anak yang melakukan kesalahan selalunya dengan emosi dan jauh sekali dari mendidik.

I mam Al-Ghazali Rahimahullah pernah menyebut, “sesungguhnya anak-anak kita adalah permata”. Dalam
membicarakan soal pendidikan anak-anak ini suatu perkara yang perlu kita fahami bahawa mendidik adalah
suatu kesenian yang datangnya dari jiwa yang halus dan pemikiran yang kreatif. Suatu yang kreatif dan seni tidak
akan lahir dari jiwa yang keras dan peribadi yang kasar yang dipenuhi rasa kejengkelan dicetuskan oleh emosi
marah dan hilang pertimbangan akal. Kasih sayang adalah elemen paling utama dalam proses mendidik.
Teguran dan nasihat yang lahir dari cetusan kasih sayang akan mencairkan hati yang keras sebaliknya 
kekasaran dan penonjolan ammarah akan membekukan jiwa yang lembut. Apatah lagi bila yang dihadapan kita
itu adalah kanak-kanak yang putih bersih, yang akan belajar apa sahaja yang ada di persekitarannya melalui
pemerhatian, yang akan meniru dari qudwah yang ditonjolkan seterusnya mengaplikasikan hasil pembelajaran
melalui kebiasaan.

Ini lah juga antara tajdid yang perlu dilakukan oleh umat Islam dalam mendidik anak-anak. Kembali dan rujuklah
amalan Rasulullah s.a.w, para sahabat dan cendidkiawan Islam dalam membentuk dan mendidik generasi.
Pendidikan anak-anak di peringkat awal usia yang berlandaskan pendekatan integratif seperti yang disarankan
perlu dilaksanakan. Di dalam kitabnya Al Muqaddimah, Ibnu Khaldun mengingatkan para pendidik melalui
seruannya: “…Sesungguhnya kekerasan dalam mendidik memberikan kesan yang buruk kepada orang yang
dididik lebih-lebih lagi bagi kanak-kanak.Barangsiapa yang ditarbiah dengan cara kekerasan dan paksaan, maka
akan sempitlah pemikiran dan jiwanya lalu jadilah anak itu hilang kecerdasannya, malas, terbawa-bawa kepada
berbohong dan berkelakuan jahat…” 

Wallahua’lam

Anda mungkin juga menyukai