Anda di halaman 1dari 10

PERSEPSI GURU SEKOLAH MENENGAH

TERHADAP AMALAN PENGAJARAN DAN


KEPERCAYAAN MATEMATIK
Alia Shahira Tarmuji, Effandi Zakaria
Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia

ABSTRAK

Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti tahap persepsi guru terhadap amalan pengajaran matematik serta
kepercayaan matematik. Kajian ini merupakan kajian tinjauan dan data dikumpul melalui borang soal
selidik yang mengandungi 60 item. Seramai 42 orang guru di daerah Johor Bahru terlibat dalam kajian ini.
Data yang dikumpul dianalisis secara deskriptif menggunakan perisian IBM SPSS Statistics versi 21.0.
Statistik deskriptif melibatkan pengukuran min, peratus dan sishan piawai dijalankan untuk dapatan data
dan penilaian soal selidik. Dapatan kajian mendapati persepsi guru terhadap amalan pengajaran matematik
berada pada tahap yang tinggi dengan skor min 4.22 iaitu guru-guru mengamalkan pelbagai amalan
pengajaran matematik semasa proses pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, persepsi guru terhadap
kepercayaan Matematik dalam kajian ini bertumpu kepada tiga komponen iaitu sifat Matematik, pengajaran
Matematik dan pembelajaran Matematik. Ketiga-tiga komponen ini mempunyai perkaitan yang penting
dalam membentuk kepercayaan guru terhadap Matematik. Dapatan kajian mendapati ketiga-tiga komponen
mempunyai skor min yang tinggi secara keseluruhannya iaitu 4.15. Hal ini menunjukkan guru-guru
mempunyai kepercayaan yang positif dalam ketiga-tiga komponen yang dikaji. Oleh itu, diharapkan
dengan dapatan kajian ini dapat membantu dalam meningkatkan perancangan aktiviti yang melibatkan
profesionalisme guru bagi mencapai keberkesanan pengajaran dan meningkatkan standard kualiti guru
yang dikehendaki.

Kata Kunci: Amalan pengajaran, kepercayaan Matematik, sifat Matematik, pengajaran Matematik,
pembelajaran Matematik

PENGENALAN

Sistem pendidikan kita merupakan tunjang pembangunan negara. Sistem pendidikan ini telah menyediakan
kemahiran dan ilmu pengetahuan kepada generasi kini dan generasi sebelumnya bagi memacu
pertumbuhan ekonomi dan memakmurkan negara. Justeru, Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Najib bin
Tuan Haji Abdul Razak berkata, kerajaan perlu memastikan sistem pendidikan negara berfungsi secara
berkesan dan sistematik untuk menjayakan Model Baru Ekonomi, Program Transformasi Ekonomi, dan
Program Transformasi Kerajaan yang menjadi asas perkembangan ekonomi negara dalam persaingan
ekonomi global (PPPM 2013-2025).

Menurut Haliza dan Joy (2008), tanggungjawab guru amat penting dalam usaha menerajui dan merintis
perubahan demi melonjakkan institusi dan sistem pendidikan ke tahap dunia pada tahun 2020 serta
melahirkan insan yang memberi sumbangan kepada kemakmuran negara, kerana profesion perguruan
merupakan profesion paling utama untuk membangunkan masyarakat dan manusia. Oleh sebab pendidikan
adalah medan pembinaan modal insan yang berkesan, usaha untuk melahirkan warga pendidik yang
berkualiti, komited dan berdedikasi perlu disemarakkan.

Selain itu, guru haruslah memiliki etika dan nilai keguruan yang selaras dan menjurus kepada nilai-nilai
keagamaan yang teguh dalam proses pembinaan negara bangsa (Haliza dan Joy 2008). Bidang pendidikan
merupakan salah satu aspek penting dalam menjayakan harapan dan aspirasi negara untuk menjadi negara
maju dan bertaraf dunia. Selain itu, guru-guru juga perlu mempersiapkan diri mereka dengan ciri-ciri
pendidik yang terbaik yang dapat membantu proses pembinaan negara bangsa yang cemerlang. Dengan

548
erti kata yang lain, guru haruslah mempunyai ciri-ciri kualiti peribadi yang positif bagi membantu
seseorang guru melaksanakan tanggungjawab dan komitmennya dengan baik sekaligus melayakkan dirinya
menjadi guru yang berkesan, berketerampilan dan berwibawa bagi menjayakan proses pembinaan negara
bangsa.

LATAR BELAKANG

Proses penyediaan dalam perkembangan tahap profesionalisme guru bermula semasa mereka mengikuti
latihan keguruan. Guru yang berkesan perlu dilengkapi dengan pelbagai ilmu pengetahuan, kemahiran
interpersonal dan intrapersonal serta pedagogi pengajaran yang terkini (Muhamad Sidek 2007). Guru juga
seharusnya mampu menyempurnakan program latihan keguruan yang profesional, mempunyai kemahiran
pengajaran yang mencukupi, berpengetahuan dalam pelbagai bidang, bermotivasi tinggi, cekap,
berinovatif, dan berupaya menjadi ejen perubahan yang berwibawa (Mohd Yusof, Salleh & Zulkifli 2007).
Kesemua ciri tersebut bertepatan dengan matlamat Falsafah Pendidikan Guru (FPG) yang mahu melahirkan
guru yang berkualiti dalam aspek peribadi, profesional, sosial dan amalan nilai keguruan yang menjurus
ke arah kecemerlangan (Nooraida 2008).

PENYATAAN MASALAH

Pendidikan merupakan isu pokok dalam pembangunan masyarakat dan negara. Menurut Kementerian
Pendidikan Malaysia (2013), sistem pendidikan di Malaysia harus menyediakan penambahbaikan prestasi
yang lebih maju berdasarkan tanda aras di negara-negara luar mengikut standard antarabangsa. Hal ini
adalah untuk mencapai aspirasi Pelan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Menurut Rozita dan Abdul Rashid (2012), ramai pelajar yang masih lemah dengan sesuatu kemahiran
dalam sesuatu mata pelajaran. Hal ini dapat dikenal pasti oleh Noor Rohana (2003) iaitu punca kemerosotan
pencapaian pelajar adalah disebabkan oleh kurangnya penyebatian kemahiran berfikir dalam proses
pengajaran dan pembelajaran.

Para pelajar masih dibelenggu dengan kaedah pengajaran guru yang tradisional. Suasana pengajaran
tersebut menyebabkan para pelajar merasa bosan, jemu dan benci terhadap matematik dan pembelajaran
matematik khususnya dalam kalangan yang lemah.

Selain itu, guru juga berhadapan dengan cabaran aplikasi teknologi iaitu para guru perlu melengkapkan diri
dengan kemahiran teknologi maklumat. Kajian Mohammed Sani (2004) membuktikan guru-guru yang
berkhidmad di luar bandar masih tidak menguasai kemahiran ini. Tanpa peningkatan kemahiran ini, guru-
guru sukar untuk mempelbagaikan kaedah pengajaran mereka.

Malahan, keberkesanan pengajaran guru turut dipersoalkan (Zaidah 2005). Terdapat beberapa faktor yang
mempengaruhi keberkesanan pengajaran termasuklah proses pengajaran guru yang kurang meyakinkan
(Muhamad Sidek 2007), guru sukar mengaplikasikan pengajaran mengikut kesesuaian tahap pelajar,
pengajaran guru bersifat rutin dan tidak pelbagai (Nooraida 2008). Gaya pengajaran yang kurang
meyakinkan merupakan salah satu faktor yang mempengaruhi prestasi pencapaian pelajar. Ini disokong
dengan laporan Tengku Zawawi (2005) yang menyatakan bahawa prestasi guru adalah di tahap yang
sederhana dan hanya sebilangan guru sahaja yang mengamalkan saranan KPM dalam penggunaan kaedah
dan strategi pengajaran (Tengku Zawawi 2005).

TUJUAN KAJIAN

Kajian ini bertujuan untuk mengkaji sejauh mana persepsi guru sekolah menengah terhadap amalan
pengajaran dan kepercayaan matematik. Guru-guru yang terlibat merupakan guru sekolah menengah di
sekitar daerah Johor Bahru. Pandangan ditinjau daripada aspek amalan pengajaran dan kepercayaan
matematik guru.

549
OBJEKTIF KAJIAN

1. Mengenal pasti persepsi guru terhadap amalan pengajaran matematik.


2. Mengenal pasti persepsi guru terhadap kepercayaan matematik berdasarkan komponen sifat
matematik, pengajaran matematik, pembelajaran matematik.

KERANGKA KONSEP KAJIAN

Kerangka konseptual menjadi gambaran asas kepada pengkaji terhadap kajian yang ingin dikaji. Ia juga
berperanan sebagai panduan kepada pengkaji dalam menyelesaikan setiap persoalan yang timbul.
Bagaimana kajian ini dijalankan adalah berdasarkan kerangka konseptual kajian yang tentera dalam Rajah
1 di bawah. Justifikasi pemilihan model tersebut adalah berdasarkan kesesuaian model tersebut dengan
tujuan kajian ini dijalankan iaitu ingin melihat persepsi guru sekolah menengah terhadap amalan
pengajaran dan kepercayaan matematik.

Berdasarkan rajah di atas, kajian ini tertumpu kepada dua konstruk yang dikaji oleh pengkaji iaitu amalan
pengajaran dan kepercayaan matematik guru. Kepercayaan matematik pula dibahagikan kepada tiga
komponen iaitu sifat, pengajaran dan pembelajaran matematik.

KAJIAN LITERATUR

TEORI SOSIAL KOGNITIF

Menurut Bandura (1991), teori Sosial Kognitif yang diasaskan oleh Albert Bandura adalah antara teori
pembelajaran yang memfokuskan kepada perubahan dalam tingkah laku hasil daripada pemerhatian
terhadap persekitaran dan individu (Eggen & Kauchak 2007). Teori ini digunakan dalam kajian ini kerana
ia bersesuaian daripada aspek interaksi antara faktor tingkah laku, personel dan pengaruh persekitaran
terhadap pengajaran guru yang masih dalam proses belajar untuk mengajar. Ini disebabkan oleh guru
berperanan sebagai ejen terhadap perkembangan diri mereka sendiri khususnya yang berkaitan dengan
harapan, kepercayaan, persepsi kendiri, matlamat dan tujuan membentuk tingkah laku guru. Faktor-faktor
tersebut dipengaruhi oleh persekitaran sosial yang menyalurkan maklumat dan mengaktifkan emosi melalui
fahaman, pengajaran dan permodalan sosial (Bandura 1991).

Teori tersebut juga menjelaskan bahawa tingkah laku manusia adalah hasil interaksi dua hala antara faktor
tingkah laku, faktor personal, dan pengaruh persekitaran. Istilah reciprocal causation digunakan bagi
menerangkan hubungan antara kesemua pemboleh ubah tersebut. Hubungan tersebut juga melibatkan
pengalaman yang dialami oleh individu terbabit. Menurut Eggen dan Kauchak (2007), pengalaman
merupakan sumber pembelajaran yang merujuk kepada perubahan dalam proses mental individu.

550
Perubahan tersebut berupaya untuk mempamerkan tingkah laku yang berbeza bagi setiap individu. Konsep
pengukuhan dan penghukuman juga menerangkan tentang tingkah laku individu. Oleh yang demikian,
dalam menggalakkan proses pembelajaran berlaku, maka maklum balas memainkan peranan yang penting.

Personaliti dan tingkah laku individu dipengaruhi oleh pemikiran dan kepercayaan masing-masing. Setiap
individu akan melalui proses kognitif yang membantu mereka membuat interpretasi tentang apa yang
dilihat dan juga dialami. Pemerhatian terhadap apa yang berlaku di sekeliling membantu individu dalam
proses pembelajaran khususnya dalam mempelajari pelbagai perkara baru. Apabila individu mampu
membina kepercayaan atau melaksanakan sesuatu perubahan dalam tingkah laku, maka ganjaran akan
diberikan.

Kepercayaan yang juga merupakan pengetahuan yang subjektif yang pelbagai merangkumi apa yang
dikatakan benar oleh seseorang individu (Pehkonen 2001). Individu tersebut akan memiliki kemahiran
yang boleh digunakan untuk mendapat maklumat baru. Penetapan matlamat dalam melakukan sesuatu
perkara baru berupaya mengubah personaliti seseorang. Setiap tindakan dan pemikiran individu dikawal
oleh analisis kendiri mereka. dengan berlakunya kesemua proses tersebut, maka perkembangan dan
perubahan personaliti individu tersebut turut berubah.

Dalam kajian ini, konteks kepercayaan matematik guru dilihat sebagai suatu pandangan guru untuk
mengatur pengajaran dan pembelajaran matematik yang turut mengintegrasikan sifat matematik dalam
kedua-dua aspek tersebut. Malah Charalambous dan Philippou (2011) menyatakan bahawa konstruk
kepercayaan matematik secara psikologi terbentuk pada dasar teori sosial kognitif tersebut.

KAJIAN-KAJIAN LEPAS

Kajian Barkatsas dan Malone (2005) menunjukkan bahawa kepercayaan matematik guru terhadap
pengajaran mula terbentuk dalam kelas yang dihadiri oleh mereka dan memberi impak kepada amalan
pengajaran mereka. Barkatsas (1991) menggunakan pendekatan pelbagai (mixed method) dengan 465
orang guru matematik bagi bahagian kuantitatif dan seorang guru matematik bagi bahagian kualitatif.
Walau bagaimanapun, kajian hanya menggunakan analisis faktor penerokaan yang melaporkan bahawa
kepercayaan matematik guru terdiri daripada kepercayaan terhadap matematik, pengajaran matematik dan
pembelajaran matematik. Malah kepercayaan terhadap matematik sememangnya berkait rapat dengan
kepercayaan terhadap PdP matematik. Ketiga-tiga jenis kepercayaan tersebut adalah berorientasikan
pandangan sosio-kontruktivis dan pandangan tradisional.

Arbaugh, Lannin, Rogers dan Jones (2006) juga mengkaji tentang kepercayaan matematik terhadap
pengajaran 26 orang guru berdasarkan masalah siri buku teks yang digunakan sebagai bahan pengajaran.
Mereka mendapati pengajaran guru-guru selari dengan pelaksanaan pengajaran mereka. Kepercayaan
mereka kepada keupayaan pelajar menyelesaikan masalah matematik berkait rapat dengan tahap
pelaksanaan pengajaran mereka. Tahap kepercayaan tentang kesesuaian penggunaan buku teks juga turut
mempengaruhi tahap amalan pengajaran mereka. Kajian Effandi dan Norrulpaziana (2010) menyatakan
guru pelatih harus didedahkan dengan teknik pengajaran berpusatkan pelajar bagi membentuk keyakinan
guru pelatih mengajar di sekolah sekali gus membuang kepercayaan negatif dalam kalangan guru.

Bagi kajian Swan (2006), kajian yang dilakukan oleh beliau menunjukkan perkaitan yang positif antara
kepercayaan matematik dengan amalan pengajaran guru. Walau bagaimanapun, perkaitan tersebut terhad
kepada dapatan pemerhatian ke atas enam peserta kajian sahaja. Reka bentuk pendekatan pelbagai
digunakan oleh Swan dengan mengambil kira sampel guru dan sampel pelajar bagi meneroka perubahan
dalam amalan pengajaran guru. Dapatan juga menunjukkan bahawa kebanyakan guru menggunakan
pendekatan pengajaran berpusatkan guru dalam bilik darjah. Dapatan kajian Siti Mistima (2011)
menunjukkan bahawa kepercayaan terhadap pembelajaran memainkan peranan penting dalam
mencorakkan amalan pengajaran berpusatkan pelajar.

Selain itu, kajian yang dilakukan oleh Ng Swee Fong (1995) yang mengkaji kepercayaan matematik 32
orang guru pelatih dan empat pensyarah mendapati bahawa guru-guru pelatih perlu dibantu daripada segi
peningkatan pengetahuan subjek walaupun mereka mempunyai kepercayaan matematik yang baik.

551
Kepercayaan matematik yang dikaji oleh beliau merangkumi kepercayaan guru terhadap matematik,
pengajaran matematik dan pembelajaran matematik. Guru pelatih juga perlu melalui latihan mengajar bagi
meningkatkan kualiti sebagai guru kelak.

Menurut Abdullah (2011), program DPLI (Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah) diwujudkan dengan
matlamat melahirkan guru yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran profesional dalam bidang
pendidikan serta mampu mengajar dan mengendali mata pelajaran yang diajar di sekolah. Bukan itu sahaja,
pengalaman menjalani latihan mengajar menjadi asas kepada insan bergelar guru dalam menguasai dan
mengamalkan segala prinsip, konsep, kemahiran serta nilai seorang guru yang profesional (Sapie, Fuad,
Kamal dan Rekkeman 2007).

Seterusnya kajian tentang kepercayaan matematik terhadap 42 orang guru sekolah menengah di Negeri
Sembilan dan amalan mereka telah dilakukan oleh Rohani et al (2005). Dapatan kajian menunjukkan guru-
guru mempunyai kepercayaan yang positif terhadap matematik. Sikap guru terhadap matematik berkaitan
secara positif dengan kepercayaan mereka terhadap sifat matematik. Kesimpulan yang didapati daripada
kajian tersebut berkait rapat dengan kajian kepercayaan matematik terhadap pengajaran matematik yang
dilakukan oleh Warren dan Nisbet (2000).

Selain itu, kajian Nor’ain, Marzita, Mazlini, Mohd Faizal dan Amalina (2015) yang mengkaji tentang
amalan pengajaran guru matematik dalam penyelesaian masalah Algebra dan mendapati bahawa guru-guru
mengamalkan Model Polya bagi memudahkan pelajar untuk memahami konsep dan penyelesaian yang
diajarkan guru mengikut langkah demi langkah. Guru-guru tersebut percaya bahawa Model Polya
menekankan pengajaran yang sistematik. Kajian John dan Benjamin (2015) mendapati bahawa tidak
terdapat perbezaan yang signfikan antara jantina terhadap pencapaian matematik yang dinilai melalui
Problem Based Learning (PBL) kerana setiap murid sama ada lelaki mahu pun perempuan mempunyai
peluang yang sama untuk bersaing dan berkolaborasi dalam setiap aktiviti bilik darjah.

Roslina, T. Subahan dan Effandi (2010) yang mendapati bahawa tiga faktor kepercayaan matematik pelajar
yang dikaji iaitu kepercayaan terhadap diri sebagai pelajar, disiplin matematik dan pengajaran dan
pembelajaran matematik menyumbang kepada kejayaan murid dalam menyelesaikan masalah matematik.
Kepercayaan positif pelajar terhadap matematik dibentuk melalui usaha mereka dengan bantuan dan
bimbingan guru mampu meningkatkan kebolehan mereka dalam menyelesaikan masalah matematik (Peter
dan Arana 2010).

Berdasarkan ulasan tinjauan literatur tersebut, pengkaji mendapati kajian tentang kepercayaan matematik
dalam kalangan guru di negara ini masih kurang dilaksanakan. Oleh itu, kajian ini dijalankan bagi
menambahkan maklumat tentang kepercayaan matematik guru bagi tujuan penambahbaikan pendidikan
guru.

METODOLOGI KAJIAN

REKA BENTUK KAJIAN

Reka bentuk kajian merupakan aspek yang penting dalam membuat perancangan bagi menjayakan sesuatu
kajian. Reka bentuk kajian merujuk kepada suatu pelan yang strategik (Wiersma 2000) yang berlandaskan
struktur tertentu bertujuan untuk menyelesaikan persoalan kajian (Chua 2006). Walau bagaimanapun,
Rossi dan Freeman (2004) menyatakan bahawa tiada reka bentuk penilaian yang sempurna dan semua reka
bentuk tetap akan ada kelemahan dan ketidakpastian atau kecacatan

Menurut Ader, Mellenbergh dan Hand (2008), reka bentuk kajian bertujuan untuk menjawab persoalan
kajian dan mengawal pemboleh ubah-pemboleh ubah dalam varians. Reka bentuk kajian ini merupakan
kajian tinjauan di mana pengkaji ingin melihat persepsi guru sekolah menengah terhadap amalan
pengajaran dan kepercayaan matematik. Kaedah pensampelan yang digunakan oleh pengkaji ialah rawak
mudah dan menggunakan soal selidik sebagai instrumen utama dalam mengumpul data. Reka bentuk kajian
ini adalah bersesuaian bagi tujuan mengeneralisasikan dapatan kajian berdasarkan sampel yang besar.

552
Proses pemungutan data dapat dikendalikan dengan efisien oleh pengkaji dan maklumat dapat diperoleh
dengan cepat serta data dapat diperihalkan mengikut soalan kajian yang ingin diselesaikan.

POPULASI DAN SAMPEL KAJIAN

Populasi kajian ini merujuk kepada guru matematik sekolah-sekolah menengah di sekitar daerah Johor
Bahru. Pemilihan sampel adalah secara rawak mudah di mana kajian ini melibatkan seramai 42 orang guru
Matematik.

INSTRUMEN KAJIAN

Kajian ini merupakan kajian kuantitatif dengan menggunakan instrumen soal selidik sebagai alat kajian
utama. Soal selidik digunakan bagi mengumpul data dan maklumat yang komprehensif tentang persepsi
guru terhadap amalan pengajaran dan kepercayaan matematik. Oleh sebab kajian ini melibatkan saiz
sampel yang besar, maka Gay & Airasian (2000) dan Owens (2002) berpendapat bahawa penggunaan soal
selidik adalah lebih praktikal, menjimatkan kos dan masa serta lebih relevan dengan tujuan kajian. Soal
selidik yang dibina memerlukan responden menjawab mengikut skala aras yang menggunakan skala Likert
yang dibahagikan kepada lima kategori. Skala lima Likert ialah skala bernombor yang ditetapkan oleh
pengkaji sebagai persediaan pengukuran skala ordinal (Wiersma 2000). Maka skala lima Likert dipilih bagi
memudahkan pengumpulan maklumat tentang darjah persetujuan responden terhadap item yang
dikemukakan. Pengkaji akan menggunakan instrumen soal selidik yang diadaptasi daripada kajian yang
dilakukan oleh Siti Mistima (2011).

Instrumen soal selidik mempunyai tiga bahagian, iaitu bahagian A yang merupakan bahagian untuk
mendapatkan maklumat latar belakang responden yang meliputi jantina, umur, pengalaman mengajar dan
opsyen responden. Pada bahagian B pula, ia meliputi aspek amalan pengajaran guru matematik serta
bahagian C pula meliputi aspek kepercayaan matematik guru.

KESAHAN DAN KEBOLEHPERCAYAAN

Kesahan instrumen kajian adalah merujuk kepada sejauh mana instrumen kajian berjaya mengukur apa
yang sepatutnya diukur. Kesahan dan kebolehpercayaan instrumen merupakan dua aspek yang penting
dalam sesuatu kajian. Hal ini kerana instrumen yang benar-benar sah dan dapat mengukur konstruk atau
perkara yang ingin diukur sahaja akan memberi makna kepada sesuatu penyelidikan. Instrumen yang
mempunyai kesahan yang tinggi membolehkan responden memahami dan mudah bekerjasama dengan
pengkaji bagi mencari jawapan kepada setiap persoalan yang ingin dikaji. Bagi menentukan tahap
kebolehpercayaan instrumen kajian, penyelidik menggunakan analisis statistik kaedah Cronbach Alpha
untuk mendapatkan kebolehpercayaan setiap konstruk berkenaan. Jika nilai Alpha melebihi 0.8, maka item-
item setiap konstruk boleh diterima dan mempunyai kebolehpercayaan yang tinggi dalam setiap perkara
atau aspek yang dikaji (Mohd. Majid 2000; Chua 2006).

DAPATAN KAJIAN

PROFIL KAJIAN

Seramai 42 orang guru matematik dari sekolah-sekolah menengah di sekitar Johor Bahru mengambil
bahagian dalam kajian ini. Analisis deskriptif menunjukkan majoriti responden merupakan gur dalam
lingkungan umur 30-39 tahun dan 40-49 tahun iaiyu masing-masing seramai 14 orang (33.3%) sementara
seramai 8 orang (19.0%) dalam lingkungan umur 25-29 tahun dan hanya 2 orang (4.8%) dalam lingkungan
umur 50-59 tahun. Selebihnya, 4 orang (9.5%) adalah terdiri daripada guru dalam lingkungan u,ur bawah
25 tahun.

553
Objektif 1 : Tahap Persepsi Guru Terhadap Amalan Pengajaran Matematik

Berdasarkan Jadual 4.1, min keseluruhan bagi tahap persepsi guru terhadap amalan pengajaran Matematik
yang diperolehi adalah 4.22. Ini menunjukkan bahawa tahap persepsi guru terhadap amalan pengajaran
Matematik berada pada tahap yang tinggi iaitu guru selalu mengamalkan pelbagai amalan pengajaran
Matematik. Antara amalan pengajaran yang selalu dilakukan oleh guru ialah guru memastikan penerangan
jelas diberikan untuk mengelakkan pelajar membuat kesilapan dalam menyelesaikan masalah matematik.
Selain itu,

Objektif 2 : Tahap Persepsi Guru Terhadap Kepercayaan Matematik Berdasarkan Komponen Sifat
Matematik, Pengajaran Matematik Dan Pembelajaran Matematik.

Jadual 4.2 menunjukkan faktor pengajaran matematik mempunyai min tertinggi dengan nilai min 4.2103
dan sisihan piawai 0.1758 diikuti dengan faktor pembelajaran matematik dengan nilai min 4.2088 dan
sisihan piawai 0.16671. Sementara itu, sifat matematik mempunyai min terendah dengan nilai 4.0152 dan
sisihan piawai 0.2105. Sungguhpun begitu, nilai min yang diperoleh menunjukkan ketiga-tiga komponen
iaitu sifat matematik, pengajaran matematik dan pembelajaran matematik berada pada interpretasi yang
tinggi di mana guru-guru memberi jawapan setuju dan sangat setuju pada item di bawah konstruk tersebut.

CADANGAN

Kajian mengenai amalan pengajaran dan kepercayaan terhadap Matematik perlu diteruskan lagi dengan
melaksanakan pendekatan kualitatif bagi mendapatkan maklumat yang lebih mendalam tentang amalan
pengajaran dan kepercayaan matematik oleh guru. Selain itu, pemerhatian dalam bilik darjah juga boleh
dilakukan bagi menilai sejauh mana guru mengamalkan pengajaran dan kepercayaan terhadap sifat,
pengajaran dan pembelajaran matematik semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung.

Selain itu, kajian yang diperluas tentang amalan pengajaran dan kepercayaan matematik juga dapat
membantu memberi tambah nilai dalam mengenal pasti amalan pengajaran yang mendominasi pengajaran
mereka sama ada perlu diubahsuai atau dipertingkatkan lagi. Kajian ini perlu dilaksanakan dalam skop
yang lebih besar iaitu mendapatkan maklum balas daripada pelajar tentang pengajaran dan teknik
pembelajaran yang menjadi kesukaan mereka dalam pembelajaran matematik. Hal ini kerana pengajaran
guru perlu seiring dengan pembelajaran pelajar bagi mencapai matlamat sebenar dalam pendidikan.

554
KESIMPULAN

Amalan pengajaran dan kepercayaan matematik oleh guru yang dibina akan membantu guru meningkatkan
kaedah pengajaran yang lebih berpusatkan pelajar. Selain itu, guru juga harus bijak dalam merancang
persediaan mengajar agar pelaksanaan pengajaran akan lebih teratur dan mencapai objektif pengajaran
yang telah dirancang. Aktiviti yang menarik dan latihan berasaskan soalan kemahiran berfikir aras tinggi
(KBAT) dapat meningkatkan pemikiran yang kritis dalam pengajaran dan pembelajaran.

Melalui amalan pengajaran yang baik, guru dapat menyediakan dan mempelbagaikan alat bantu mengajar
selain memiliki personaliti yang menarik bagi mendapatkan fokus pelajar untuk meminati Matematik.
Melalui aktiviti yang menarik dalam bilik darjah dengan bantuan alat bantu mengajar akan meningkatkan
kemahiran berfikir pelajar ke arah pembelajaran yang konkrit dan bermakna.

Daripada maklum balas yang diperoleh daripada guru tentang amalan pengajaran dan kepercayaan terhadap
matematik, guru boleh

mengaplikasikan amalan yang baik dalam bilik darjah dan membina kepercayaan bahawa mereka mampu
mewujudkan pengalaman pembelajaran yang bermakna. Guru juga boleh memperbaiki kualiti pengajaran
mereka berdasarkan kepada amalan pengajaran dan kepercayaan matematik yang dijelaskan dalam kajian
ini bagi meningkatkan nilai pendidikannya.

Melalui kajian ini, segala informasi dalam dapatan kajian ini sedikit sebanyak mampu memberi
pendedahan serta maklum balas kepada guru dan pihak sekolah dalam mengatasi isu pengajaran dan
pembelajaran di sekolah. Amalan pengajaran yang baik akan dapat memberi manfaat dan kelebihan kepada
guru dan pelajar untuk mencapai matlamat sebenar dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik.

RUJUKAN

Abd. Razak Habib, Abd. Rashid Johar, Abdullah Md. Noor & Puteh Mohd. 1996. Pelaksanaan KBSM
dalam mata pelajaran Matematik, Sains dan Sains Sosial di sekolah. Kertas kerja di Seminar Kebangsaan
Penilaian KBSM. KPM: IAB.

Abdullah, N. 2011. Persepsi Pelajat-Pelajar Terhadap Tempoh Pengajian Program Diploma Pendidikan
Lepasan Ijazah. Universiti Teknologi Malaysia.

Bandura, A. 1991. Social cognitive theory of self regulation. Organizational Behavior and Human Decision
Process 50: 248-287.

Barkatsas, A. 1991. Social cognitive theory of self regulation. organizational behavior and human decision
process 50:248-287.

Charalambous, C & Philippou, G. 2011. Enhancing preservice teachers’ efficiacy beliefs in mathematics.

Eggen, P.D. & Kauchak, D.P. 2007. Learning and teaching: Research based method. Boston: Pearson and
AB.

Gaulin, C., Hodgdon, B.R., Wheeler, D.H & Egsgard, J.C 1994. Proceeding of the 7th International
Congress on Mathematical Education. Les Press: Canada.

Gay, L.R. & Airasian, P. 2000. Educational research: Competencies for analysis and application. 5th Ed.
New Jersey: Prentice Hall.

Haliza Hamzah & Joy, N.S. 2008. Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku. Oxford Fajar Sdn. Bhd,
Shah Alam, Selangor.

John T. Ajai1, Benjamin I. Imoko. 2015. Gender differences in mathematics achievement and retention
scores: A case of problem-based learning method. International Journal of Research in Education and
Science (IJRES), 1(1), 45- 50.

555
Kementerian Pendidikan Malaysia. 2013. Malaysia Education Blueprint 2013-2025 (Preschoool to Post-
Secondary Education) Putrajaya, Malaysia.

Mohamad Fuad Bin Ishak, Sapie Bin Sabilan, Suhana Bt Mohamed Lip, Zetty Nurzuliana Bt Rashed &
Suziana Hanini Bt Sulaiman. 2015. Persepsi Guru Pelatih Terhadap Konteks dan Proses Latihan
Mengajar/Praktikum Porgram Diploma Perguruan, Fakulti Pendidikan, Kolej Universiti Islam
Antarabangsa Selangor. Fakulti Pendidikan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor.

Mohammed Sani Nordin. 2004. Budaya ICT di kalangan guru-guru Sains dan Matematik. Jurnal
Pendidikan 7: 15-24.

Mohd. Majid Konting. 2000. Kaedah penyelidikan pendidikan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohd. Yusof Abdullah, Salleh Abd Rashid & Zulkifli Mohamed. 2007. Hubungan motif, sikap dan latihan
pengurusan dengan profesionalisme keguruan pelajar program pendidikan IPTA: Suatu kajian analisis
laluan. Kertas kerja seminar kebangsaan isu-isu pendidikan negara ketiga. Fakulti Pendidikan, Universiti
Kebangsaan Malaysia, 13-14 Februari.

Muhamad Sidek Said. 2007. Isu-isu Permulaan Mengikut Perspektif Pengurus Sekolah: Satu refleksi di
Institut Perguruan Sultan Mizan, Besut, Terengganu. Kertas kerja Seminar Kebangsaan Isu-isu Pendidikan
Negara ketiga. Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia, 13-14 Februari.

Ng. Swee Fong. 1995. Malaysian preservice primary and their lecturers. Practice and beliefs and about
Math learning. Doctoral Thesis. Univercity of Birmingham.

Nik Azis Nik Pa. 1992. Agenda Tindakan. Penghayatan Matematik KBSR dan KBSM. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.

Noor Rohana Mansor. 2003. Penyebatian kemahiran berfikir dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa
Melayu. Dewan Bahasa. April.

Nooraida Yakob. 2008. Profil profesionalisme pengajaran guru-guru Sains matrikulasi anjuran
Kementerian Pelajaran Malaysia. Tesis Dr. Falsafah. Universiti Kebangsaan Malaysia.

Nor’ain Mohd. Tajudin, Marzita Puteh, Mazlini Adnan, Mohd Faizal Nizam Lee Abdullah & Amalina
Ibrahim. 2015. Persepsi dan amalan pengajaran guru matematik dalam penyelesaian masalah algebra.
Jurnal Pendidikan Sains & Matematik Malaysia (Volume 5, No. 2, 2015, Pages 12 to 22).

Pehkonen, E. 2004. State of the art in mathematical beliefs research.

Peter Giovanni & Araña Sangcap. 2010. Mathematics-related Beliefs of Filipino College Students: Factors
Affecting Mathematics and Problem Solving Performance. International Conference on Mathematics
Education Research 2010 (ICMER 2010). Centre for Educational Research and Development, University
of Santo Tomas, Philippines.

Putnam, R.T. & Henton R.M. 1992. Teaching Mathematics for understanding: Discussing cas studies of
forth-fifth grades teachers. The Elementary School Journal 93(2):213-229.

Quilen, M.A. 2004 Relationship among perspective elementary teacher’s beliefs about mathematics,
mathematics content knowledge and previous mathematics course experiences. Tesis. Dr.Falsafah.
Virginia Politechnic Institute and State University.

Roslina Razali. 2007. Kepercayaan matematik, metakognisi, perwakilan masalah dan penyelesaian
masalah pelajar. Tesis Dr. Falsafah. Fakulti Pendidikan, UKM.

Roslina, T. Subahan Mohd Meerah & Effandi Zakaria. 2010. Hubungan kepercayaan matematik,
metakognisi dan perwakilan masalah dengan kejayaan penyelesaian masalah matematik. Jurnal Pendidikan
Malaysia 35.2 (2010): 1-7.

Rosni Zamuddin Shah Sidek & Rohayah Abdullah. 2010. Amalan Pengajaran Guru-Guru Teknikal Di
Sekolah Menengah Teknik Perdagangan Johor Baharu Mengikut

556
Aras Kognitif Bloom. Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia.

Rozita Radhiah Said & Abdullah Rasid Jamian. 2012. Amalan pengajaran karangan guru cemerlang di
dalam bilik darjah: Kajian kes pelbagai lokasi. Asia Pasific Journal of Educators and Education. Vol. 27.
51-68.

Sapie Sabilan, Mohamad Fuad Ishak, Mohd Kamal Din@Nasirudin & Rekkeman Kusut. 2007. Tahap
Pelaksanaan Pendekatan, Strategi, Kaedah dan Teknik Pengajaran dan Pembelajaran Dalam Latihan
Mengajar Menurut Persepsi Guru-guru Pelatih Fakulti Pendidikan Kuis: Satu Tinjauan Awal.

Siti Mistima. 2011. Hubungan antara kepercayaan matematik, amalan pengajaran dan pengetahuan
pedagogi kandungan guru matematik sekolah menengah. Universiti Kebangsaan Malaysia.

Tengku Zawawi Tengku Zainal. 2005. Pengetahuan pedagogi isi kandungan bagi tajuk pecahan di kalangan
guru matematik sekolah rendah. Tesis Dr. Falsafah. Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Wiersma, W. 2000. Research methods in education: An introduction. Boston: Company.

Zaidah Yazid. 2005. Pengetahuan pedagogical kandungan (PPK) guru matematik tambahan
berpengalaman. Tesis Dr. Falsafah. Universiti Kebangsaan Malayia, Bangi.

557

Anda mungkin juga menyukai