Anda di halaman 1dari 2

Huraikan pandangan anda berkaitan kepentingan agama dalam memantapkan tamadun pada

hari ini.

Agama memainkan peranan yang penting dalam membina dan memantapkan tamadun
pada harin ini. Dalam konteks ini, agama merujuk kepada sistem kepercayaan yang dianuti oleh
mana-mana masyarakat dan dikaitkan dengan kuasa daripada sumber tertinggi. Agama pada
lazimnya bermakna kepercayaan kepada Tuhan, atau sesuatu kuasa yang ghaib dan sakti
seperti Dewa dan juga amalan dan institusi yang berkait dengan kepercayaan tersebut. Salah
satu kepentingan agama dalam memantapkan tamadun hari ini termasuklah membentuk
tatasusila yang baik. Hal ini kerana agama bukan sahaja soal perhubungan antara manusia
dengan Tuhan, malah merupakan soal hubungan manusia dengan manusia dalam sesebuah
tamadun. Agama mengajar kaedah-kaedah dan harapan sebagai motivasi yang menjadi tujuan
hidup yang bersumber dari Tuhan. Agama dapat meningkatkan ketaqwaan penganutnya
sekaligus meningkatkan perilaku umatnya,sopan santun dan menjaga kepentingan masyarakat
untuk meningkatkan kesejahteraan, rasa harga diri dan keamanan.

Pegangan agama turut menjadi asas kepada ketamadunan dan acuan kepada latar
budaya masyarakat. Agama juga dapat membentuk pandangan seseorang dan sesebuah
masyarakat serta perilaku dan tindakan mereka dalam kehidupan. Ini dapat dilihat dari segi
pertuturan, perilaku dan gaya hidup seseorang manusia. Selain itu agama penting dalam
membentuk pandangan dunia dalam kehidupan manusia serta mendatangkan ketengan dan
keamanan di kalangan penduduk dunia sehinggakan agama itu dijadikan sebagai sumber
kekuatan dan mekanisme yang berpengaruh dalam pembentukan keselamatan serantau. Ini
dibuktikan dengan prinsip agama Islam yang bencikan peperangan. Agama islam juga melarang
umatnya untuk memulakan peperangan dan menggalakkan menyelesaikan masalah dengan
aman melalui perbincangan misalnya. Agama dan tamadun merupakan perkara yang sinonim.
Tanpa agama sesuatu tamadun tidak akan membangun dengan cepat. Ini kerana agama mampu
memberikan suatu lonjakkan paradigma kepada tamadun yang sedang ingin membangun dan ia
juga merupakan salah satu elemen yang menolak dan menggerakkan sesebuah tamadun dalam
kehidupan.

Bagi penganut agama Islam, nilai yang mereka pegang berpandukan kepada ajaran dan
panduan al-quran dan sunnah. Oleh kerana sebahagian besar penduduk negara ini beragama
islam, maka tentulah nilai agama islam berperanan dalam sejarah dan membentuk masyarakat.
Sebagai contohnya, Malaysia mempunyai rekod cemerlang sebagai negara berbilang kaum,
agama dan budaya. Walau bagaimanapun, ianya tidak seperti banyak negara majmuk lain yang
menghadapi masalah besar dalam mengimbangi kebebesan pengaruh nilai dan beragama
dalam masyarakat.
Di samping itu, dapat menjawab pelbagai soalan yang tidak mampu dijawab oleh
manusia. Sesetengah soalan yang sentiasa ditanya oleh manusia merupakan soalan yang tidak
terjawab oleh akal manusia sendiri. Contohnya soalan kehidupan selepas mati, matlamat hidup,
soal nasib dan sebagainya. Bagi kebanyakan manusia, soalan soalan ini adalah menarik dan
untuk menjawabnya adalah perlu. Maka, agama itulah berfungsi umtuk menjawab soalan-
soalan ini.

Kesimpulannya, kedudukan, kepercayaan dan pengangan agama dalam diri sangat


penting dalam pembangunan dan tamadun hari ini, kerana agama bukan sekadar pembinaan
kesusilaan semata-mata, tetapi juga sebagai pengarahan dan pendorong umatnya untuk bergiat
aktif bersama-sama dalam membangun masyarakat, bangsa dan negara dalam mengisi
kemajuan ketamadunan bangsa bagi mencapai tujuan yang telah ditetpkan yakni pembangunan
di segala bidang termasuk pembangunan manusia.