Anda di halaman 1dari 10

Pengenalan.

Sejarah dan sejarawan mempunyai hubung kait yang tidak dapat dipisahkan antara satu
dengan yang lain. Umpama isi dengan kuku yang saling perlu memerlukan serta saling
bergantungan, atau dalam ertikata lain sekiranya kurang salah satu daripadanya maka akan
cacatlah ia. Walau bagaimanapun dalam bidang sejarah, sejarawan memainkan peranan yang
amat penting dalam mewujudkan karya dan penulisannya, sama ada ianya dapat bertahan
lama atau tidak, dapat diterima atau di kritik oleh orang lain, bergantung kepada
kemunasabahan dan kesabaran berlandaskan bukti-bukti penulisan yang dimiliki oleh
sejarawan tersebut.

Sejarah yang menggambarkan pelbagai takrifan yang bebas dan luas seperti yang diutarakan
oleh ahli-ahli sejarawan yang masing-masing mempelopori kegemilangan sezamannya,
secara umumnya mempunyai persamaan dan perbezaan. Pandangan dan pendapat yang dapat
diterima sama ada oleh pengkaji, ahli-ahli sejarah lain, yang meminati sejarah tidak
menghadapi masalah, malah menjadi satu garis panduan dalam penulisan, penghasilan dan
menjiwai ilmu sejarah. Tetapi yang menjadi isu dan hangat diperdebatkan, menjadi asas
utama perbincangan dalam kertas kerja atau tajuk seminar saya ialah tentang pertembungan
idea atau pendapat yang bercangah dalam penghasilan dan pengkajian sejarah oleh beberapa
ahli sejarawan. Percangahan dan perbezaan pandangan dari sudut kajian sejarah tersebut telah
membawa perubahan yang besar terhadap ahli sejarawan dalam pengkajian dan penulisan
sejarah. Dalam pada masa tersebut telah mewujudkan beberapa golongan yang masing-
masing mempertahankan kebenaran masing-masing dengan beberapa alasan dan bukti yang
relivan, dan tidak kurang fakta yang boleh dipertikaikan yang telah menerima pelbagai
kritikan. Bertitik tolak daripada itu, sejarawan seterusnya, ahli-ahli pengkaji sejarah, yang
meminati dan masyarakat pembaca telah mengambil iktibar, garis panduan dan menjana idea
masing-masing untuk meneliti, memahami, menganalisis dan menilai kebenaran kenyataan
yang diutarakan oleh sejarawan tersebut.

Dalam melaksana dan menyelesaikan tugasan ini, saya berlandaskan kepada pemahaman dan
pandangan melalui beberapa bahan rujukan (buku) yang berkaitan dengan bidang kajian.
Idea-idea dan pandangan yang diluahkan dalam tugasan ini dapat diyakini melalui pendirian
saya yang diperolehi daripada buku-buku rujukan yang telah dibaca, dan juga bahan kuliah
yang menjadi pelengkap maklumat daripada pensyarah dalam bidang ini.

Sejarah ringkas Leopold von Ranke.


Sebelum saya meneruskan penghujahan dan pendirian saya dalam seminar atau kerja kursus
ini, adalah munasabah dan lebih elok untuk mengimbas kembali sejarah ringkas mengenai
sejarawan Leopold von Ranke, di mana kenyataan beliau bahawa sejarah heruslah dikaji
"seperti sebenarnya ia berlaku" menjadi asas kepada bahan penghuraian saya.

Leopold von Ranke merupakan seorang sejarawan dari Jerman yang memainkan peranan
yang penting dalam perkembangan pensejarahan moden di Barat pada pertengahan kurun ke
sembilan belas. Pada abad itu, ilmu sejarah dianggap suatu bidang pengajian atau disiplin
yang tersendiri. Sumbangannya dalam pemikiran sejarah sangat bermakna sehingga beliau
dianggap sebagai pengasas dalam era ini. Muhd. Yusof Ibrahim dan Mahayudin Haji Yahya
ada menyunting satu rangkap petikan popular Leopold von Ranke yang menggambarkan
bentuk pensejarahan yang didokong oleh sejarawan tersebut. Petikan itu adalah seperti
berikut:

Kepada sejarah telah pun diberikan tugas untuk mengadili masa lalu,

Untuk mendidik masa kini demi kepentingan zaman-zaman yang akan

datang. (Tetapi) penulisan ini tidaklah bertujuan untuk memenuhi cita-cita

yang membumbung itu. Ia hanyalah bertujuan untuk menunjukkan apakah

yang sebenarnya berlaku (wie es eigenthlich gewesen).

Leopold von Ranke dalam Sejarah Bangsa Latin dan Teutonic.

Ungkapan wie es eigenthlich gewesen merupakan satu tonggak pensejarahan von Ranke


sehingga ada pengikut-pengikutnya menggangap bahawa ungkapan tersebut merupakan
tuntutan yang mutlak bagi pengkaji sejarah.

Keunggulan beliau sebagai seorang sejarawan memang jelas dan boleh dikatakan semua
sejarawan Eropah yang terpenting pada kurun awal kedua puluh ini tidak dapat lari dari
memperkatakan teori dan sumbangan beliau, sama ada mempersetujuinya ataupun di
sebaliknya.

Leopold von Ranke dilahirkan pada 21 Disember 1795 di daerah Wieche, Saxony (Jerman).
Semasa di Universiti Leipsis, beliau membuat pengkhususan dalam bidang teologi dan ilmu-
ilmu dari dunia klasik (Zaman Yunani dan Rumawi) dengan tumpuan khas dalam bidang
ilmu bahasa (filologi) dan juga penterjemahan serta penghuraian terhadap teks-teks lama.
Bidang inilah yang telah menjadi pendorong untuk beliau menceburkan diri dalam bidang
sejarah. Beliau tertarik dengan sejarah bukan kerana minat sahaja tetapi telah terpengaruh
dengan penulisan sejarawan lain, terutamanya Niebuhr, Walter Scott dan Herder yang
mengaitkan sejarah dengan kemajuan manusia. Selain daripada itu, beliau juga dipengaruhi
oleh unsure keagamaan; dan pernah menganggap sesuatu peristiwa sejarah adalah sesuatu
yang dibentuk oleh Tuhan Yang Maha Berkuasa. Justeru itu seajarah haruslah dikaji dengan
teliti dan objektif.

Karya pensejarahannya yang pertama berjudul Sejarah Bangsa-Bangsa Latin dan Teutonic:


1494 – 1514 (Geschichte de romanischen und germanischen Volker 1494 bis 1514) telah
diterbitkan pada tahun 1824. Dianggarkan bahawa beliau telah menghasilkan sebanyak 63
jilid penulisan sejarah. Karya beliau yang terakhir berjudul "Sejarah Dunia" mengandungi
sembilan jilid dan ditulis ketika beliau berusia lapan puluh dua tahun. Penulisan ini telah
memenuhi cita-citanya sejak beliau masih muda lagi, iaitu untuk menulis sejarah dunia. Pada
23 Mei 1886 beliau meninggal dunia di Berlin Semasa berusia sembilan puluh satu tahun.

Penyebaran Pengaruh Leopold von Ranke

Fahaman von Ranke mengenai pensejarahan telah mempengaruhi ramai sejarawan pada masa
itu, khususnya di dunia Barat. Walau bagaimanapun skop perluasan yang tepat berkaitan
dengan pengaruhnya tidaklah dapat dikenalpasti. Kegigihan dan pencapaiannya berkaitan
dengan bidang sejarah telah membolehkan beliau dianggap sebagai sejarawan yang terulung
di Eropah. Malahan dia telah dilantik menjadi Penolong Profesor di Universiti Berlin sebagai
penghargaan ke atas terbitan karya pensejarahannya yang pertama pada tahun 1824
berjudul Sejarah Bangsa-Bangsa Latin dan Teutonic: 1494 – 1514. Pada tahun 1841, beliau
telah dilantik dengan rasminya sebagai ‘Sejarawan Rasmi’ bagi negaranya, Prussia. Pada
tahun 1884, beliau telah dilantik sebagai ahli kehormat yang terulung bagi Persatuan Sejarah
Amerika Syarikat yang telah ditubuhkan pada tahun berkenaan. Pada waktu itu pengaruh
serta konsep pensejarahannay "seperti sebenaynya berlaku" telah tersebar dengan meluasnya
ke seluruh Eropah termasuklah England. Pengaruh dan tradisi pensejarahan beliau terbukti
dan diperkuatkan lagi dengan lahirnya lebih ramai sejarawan yang telah mengikuti dan
meneruskan konsep pensejarahan beliau.

Di Jerman, antara penuntutnya yang terkenal ialah George Waitz, Wilhelm von Sybel. Di
England, pengikut setianya ialah Lord Acton dan J.B. Bury. Di Amerika Syarikat pula, ialah
seperti William Westmore dan George Bancroft, walaupun tidak pernah mengikuti kuliahnya
namun mereka mempelajari dan menggunakan kaedah-kaedah yang dinyatakan.
Dari apa yang telah dipaparkan, ternyata sekali bahawa sedikit sebanyak pengaruh von Ranke
telah merebak ke seluruh pelusuk dunia terutama dari segi kaedah penyelidikannya yang
kritis. Tidak dapat dinafikan bahawa terdapat beberapa sumbangan pensejarahannya yang
amat penting yang diterima dan dikekalkan hingga ke hari ini dan beliau diterima seperti
tokoh-tokoh sejarawan terkenal yang lain iaitu Herodotus, Thucydides, Ssu-ma Chein, Ibn
Khaldun dan Raja Ali Haji.

Karya-Karya Pensejarahan Von Ranke Yang Berkonsepkan "Seperti Sebenarnya Ia


Berlaku."

Sejauhmanakah pandangan beliau tersebut dapat diterima? Apakah konsep yang dipelopori
oleh beliau tersebut memberikan bukti-bukti yang jelas dan justeru itu meyakinkan ahli-ahli
pengkaji sejarah atau yang meminati ilmu sejarah? Atau ditolak bulat-bulat oleh pengkritik
sejarah dengan adanya kemunculan sejarawan-sejarawan dalam penemuan kaedah-kaedah
baru yang lebih reliven dan praktik?

Soalan dan persoalan yang hangat diperkatakan dalam isu pensejarahan tersebut, sedikit
sebanyak telah dijawab dan diberi gambaran secara umum dalam menghuraikan
latarbelakang dan sumbangan terhadap pensejarahan sejarawan Leopold von Ranke di atas.
Penjanaan minda ini mungkin lebih jelas dan tepat lagi jika dihuraikan satu persatu.

Konsep "seperti sebenarnya ia berlaku" adalah aliran pemikiran yang berbentuk objektif.
Munculnya pemikiran sebegini adalah berdasarkan kepada tradisi empirisme John Locke dan
juga positivisme Auguste Comte. Abdul Rahman Hj. Abdullah dalam bukunya Pengantar
Ilmu Sejarah (Siri Pendidikan Jarak Jauh) ada mengatakan bahawa:

Tradisi inilah yang menjadi asas kepada aliran sejarah objektif yang diperjuangkan oleh
Leopold von Ranke (1795-1886). Bagi Ranke, matlamat pengajian sejarah adalah untuk
menggambarkan kejadian-kejadian "sebagaimana sebenarnya berlaku" (wie es eigenthlich
gewesen), yang memberikan fakta-fakta sejarah bercakap dengan sendirinya tanpa
penglibatan sejarawan.
Tokoh sejarawan Jerman ini telah bertanggungjawab menjadikan sejarah sebagai satu disiplin
pengajian yang khusus di samping menekankan kepentingan penggunaan sumber asli dalam
penyelidikan serta menguatkan kebenaran dan menjunjung tinggi pendekatan kritis von
Ranke dalam penulisan dan pentafsiran sejarah. Penglibatannya dalam menghasilkan karya-
karya sejarah yang tinggi nilai kesejarahannya amatlah mengkagumkan. Dianggarkan bahawa
beliau telah menghasilkan 63 jilid penulisan sejarah. Karyanya yang terawal berjudul Sejarah
Bangsa-bangsa Latin dan Teutonic: 1494 – 1514. Antara pertengahan tahun 1830-an
sehingga 1840-an beliau juga telah menghasilkan dua karya panjang yang terbaik, terdiri dari
beberapa jilid: Sejarah Paus-Paus  (3 jilid), Sejarah England (3 jilid) dan penulisannya yang
terakhir Sejarah Dunia (9 jilid). Kenapakah corak karyanya bersifat panjang-lebar?
Hakikatnya ialah untuk menunjukkan hasratnya yang bersungguh-sungguh untuk memuatkan
seberapa banyak perincian supaya sesuatu peristiwa yang dikajinya itu akan menyerupai
seperti apa yang berlaku pada suatu ketika dahulu.

Sikapnya yang kritis terhadap penghasilan sesebuah sejarah telah dapat dikesan dari buku
terbitan pertamanya pada tahun 1824. Beliau menunjukkan bahawa sumber-sumber sejarah,
seperti teks-teks lama bagi sesuatu zaman haruslah dikaji dengan kritis dan sebelum ia boleh
diterima dan digunakan sebagai sumber-sumber kajian. Pada pendapat beliau bahawa ini
merupakan tugas asas bagi sejarawan. Dengan berbuat demikian, maka, seseorang itu akan
dapat menentukan ketulinan atau kepalsuan sesuatu sumber. Bagi beliau tujuan paling utama
mengkaji ialah untuk mewujudkan sesuatu peristiwa yang dikaji iaitu seperti sebenarnya ia
berlaku dan bukanlah bertujuan seperti untuk mengadili masa lalu ataupun kepentingan
zaman-zaman akan datang.

Dalam mempertahankan konsep asasnya bagi mendapatkan kebenaran sejarah, beliau


memperkenalkan kaedah penyelidikan. Menurut beliau pengkajian sejarah haruslah
berteraskan penyelidikan terhadap sumber-sumber yang boleh digunakan bagi mentafsir
ataupun mempaparkan kembali peristiwa-peristiwa masa lalu. Bagi beliau sumber utama
(asli) sama ada dalam bentuk dokumen atau benda-benda lain adalah lebih penting dari
sumber kedua. Dengan merujuk dokumen-dokumen yang asli itu, seseorang sejarawan akan
dapat melihat apakah sebenarnya berlaku pada suatu masa yang lalu. Penulisan berdasarkan
sumber-sumber utama ini boleh dianggap sebagai telah mencerminkan peristiwa-peristiwa
masa lalu itu dengan sebenarnya.
Di samping menekankan kepentingan dokumen-dokumen sebagai sumber-sumber sejarah,
beliau menitik beratkan juga betapa perlunya seseorang sejarawan itu bersikap kritis terhadap
jenis-jenis dokumen yang digunakan dalam penyelidikannya. Sebab utama perkara ini diberi
perhatian yang khusus kerana sesuatu peristiwa sejarah itu adalah benar, maka dokumen-
dokumen yang digunakan untuk mengkajinya haruslah dalam bentuk tulain dan ada kaitan.
Justeru itu, sejarawan mestilah melakukan pemilihan terhadap dokumen-dokumen untuk
menentukan keaslian, kepentingan dan perkaitan sesuatu dokumen agar dapat mempaparkan
peristiwa yang sebenarnya.

Untuk menyokong kaedah penggunaan yang kritis terhadap penggunaan dokumen-dokumen,


von Ranke telah memperkenalkan kaedah seminar yang diistilahkannya sebagai Quellinkritik.
Muhd. Yusof Ibrahim menyatakan:

Quellinkritik iaitu yang merupakan usaha atau kajian dan penilaian yang kritis

terhadap sumber-sumber sejarah.

Tujuan utama beliau memperkenalkan dan memperluaskan kaedah seminar


melalui Quellinkritik adalah dengan harapan untuk menghasilkan karya pensejarahan yang
mengandungi peristiwa-peristiwa "seperti sebenarnya ia berlaku."

Konsep wei es eigenthlich gewesen diertikan dengan "seperti sebenarnya ia berlaku"


merupakan satu konsep yang paling penting dan bertenaga yang pernah disuarakan di Eropah
pada pertengahan kurun kesembilan belas. Ia merupakan satu titik tolak yang baru dalam
pengkajian sejarah. Berlandaskan ungkapan inilah sejarah tidak dicampuradukkan denang
dongeng, mitos, legenda ataupun pandangan-pandangan peribadi, yang mungkin palsu, dari
penulisannya seperti mana sering berlaku dalam karya-karya pensejarahan tradisi. Sejarah
menurut pandangan beliau, haruslah didasarkan kepada sumber-sumber yang maujud dan
pembuktian yang kritis sehingga ia tidak lagi menimbulkan kesangsian mengenai
kebenarannya. Beliau juga mambantah perbuatan mencampuradukkan sejarah dengan karya-
karya sastera seperti yang dilakukan oleh Goethe. Ahli-ahli falsafah seperti Hegel, turut
dikritikkannya kerana melihat sejarah melalui model-model falsafah atau metafizika yang
tertetu dan mungkin tidak dapat dibuktikan kesejarahannya.

Konsep sejarah yang dikemukakan oleh von Ranke secara tidak langsung menyebabkan
konsep pensejarahan yang dikenali sebagai sejarah yang saintifik. Ungkapan "seperti
sebenarnya ia berlaku" juga telah diertikan sebagai sesuatu yang sebenarnya dituntut dari
sejarawan, iaitu sesuatu kemuncak yang boleh dicapai oleh seseorang sejarawan. Pada
penghujung kurun kesembilan belas, Lord Acton, seorang sejarawan Inggeris dan pengikut
setia von Ranke, telah menyatakan dengan optimisnya bahawa sejarah yang lengkap bagi
setiap negara di dunia ini akan dapat dilaksanakan dalam sedikit masa lagi. Apa yang
diperlukan hanyalah menghimpunkan fakta-faktanya dengan merujuk kepada dokumen-
dokumen yang asli seperti yang dilakukan oleh von Ranke dan kemudiannya membuat
kesimpulan.

Perkembangan dalam bidang arkeologi juga telah dengan secara tidak langsung menyebabkan
ungkapan von Ranke lebih kukuh dan layak di samakan dengan tuntutan dalam bidang kajian
sains tulen, yang boleh juga mewujudkan "seperti sebenarnya berlaku" melalui pengkajian
saintifik. Sehubungan dengan perkembangan ini maka pada tahun 1902, J. B. Bury, seorang
profesor sejarah di University Cambridge, dengan tegasnya menyatakan bahawa " sejarah itu
adalah sains, tidak kurang dan tidak lebih." Penegasan ini merupakan kemuncak bagi tradisi
pensejarahan Eropah yang berasaskan von Ranke dan berkembang semasa dan selepas beliau.

Sejajar dengan sikap sejarah yang sintifik itu, von Ranke menuntut agar sejarawan bersikap
objektif semasa menyelidik dan menulis sejarah. Ini membawa makna bahawa seseorang
sejarawan itu haruslah menghindarkan perasaan, sentimen, emosi, kesukaan dan
kebenciannya supaya tidak terlibat dalam usaha-usahanya menjalankan penyelidikan dan
menulis sesuatu peristiwa sejarah. Sejarawan juga seperti ahli sains yang menganalisakan
sesuatu perkara tanpa perlu melibatkan perasaan kemanusiaan dan sikap memihak kepada
sesuatu kumpulan dan sebagainya. Seperti suatu penemuan sains, kebenarannya boleh
dibuktikan dengan mengulangi semula proses ujikajinya dengan menggunakan sumber-
sumber dan kaedah yang sama. Dengan berpegang kepada prinsip-prinsip ini maka
penghasilannya ialah sesuatu karya sejarah yang sebenar "seperti sebenarnya ia berlaku."

Kelemahan dan Kritikan Terhadap Konsep Pensejarahan Leopold von Ranke.

Kesempurnaan manusia yang dianugrahkan oleh Tuhan, hanya lebih baik daripada makhluk
lain. Ini bererti kekuatan, kelebihan dan kelemahan dimiliki oleh manusia biasa yang dapat
dipertikaikan oleh sesama. Begitu jugalah dengan kewibawaan dan ketokohan sejarawan von
Ranke, yang diagung-agungkan dan dianggap sebagai tokoh yang unggul pada zamannya,
jika dipandang dari segi sumbangan pensejarahannya tidak dapat dipertikaikan lagi kebenaran
dan praktiknya. Namun penelitian dan penilaian yang lebih luas oleh sejarawan dan pengkaji
sejarah bahawa usaha-usaha dan kreativiti von Ranke bukanlah mudah diterima dengan
begitu sahaja.

Walaupun konsep pensejarahan von Ranke popular semasa pertengahan kurun kesembilan
belas hingga awal kurun kedua puluh, namun kelunturan pengaruhnya mula jelas kelihatan
menjelang tahun1930-an. Beberapa orang sejarawan lain telah menyatakan kesangsian
mereka terhadap penulisan sejarah yang tepat, yang muncul dari konsep agung von Ranke.
Satu kelemahan pensejarahan beliau yang ketara sekali ialah tidak dapat menghasilkan
sesuatu bentuk falsafah sejarah yang menggambarkan kefahamannya yang mendalam
mengenai hakikat sejarah yang sebenarnya. minatnya hanya tertumpu kepada penghasilan
penulisan yang berbentuk straight history dan bukannya penulisan-penulisan yang berbentuk
falsafah sejarah. Walaupun beliau telah berusaha sedaya upaya untuk mempertahankan dan
membuktikan ideanya tetapi beliau tetap gagal.

Usaha pengikut stianya J. B. Bury, menghalusi konsep sejarahnya itu dengan menjadikan
sejarah sebagai sains telah merumitkan lagi proses penerimaan pensejarahan sebagai "seperti
sebenarnya ia berlaku." Dalam hal ini Burchahardt, seorang sejarawan yang pernah hadir di
kuliah von Ranke, telah mengkritik serta menganggapnya sebagai sesuatu yang tidak wajar.
Bagi beliau "sejarah itu adalah suatu bidang ilmu yang paling tidak saintifik; namun begitu
banyak perkara yang wajar diketahui."

Dari pelbagai pandangan, kritikan dan penolakan, maka H. E. Barnes telah dapat
merumuskan empat kelemahan dan kekurangan von Ranke:

1. kegagalan menggunakan keseluruhan sumber-sumber yang boleh didapati bagi


sesuatu kajiannya;

2. terlalu menekankan soal-soal politik dan tokoh-tokoh;

3. ketaatan keagamaan yang menyebabkan ia memihak kepada teori sejarahnya


yang berbentuk keTuhanan;

4. terlalu gairah untuk menuliskan sejarah mengenai Luther, keluarga


Hohenzollern dan Prussia.

Pencabar kuat von Ranke di awal kurun kedua puluh ialah Benedetto Croce, seorang
sejarawan Itali yang mengatakan bahawa "semua sejarah adalah sejarah masa kini," yang
membawa maksud bahawa sejarah adalah merupakan kajian dan pemikiran sejarawan masa
kini terhadap masa lalu. Justeru itu apa yang dituliskan oleh sejarawan bukanlah masa lalu
"seperti sebenarnya ia berlaku," tetapi adalah masa lalu "seperti yang telah digambarkan"
oleh pengkajinya melalui sumber-sumber yang didapatinya. Antara sejarawan lain yang turut
menolak konsep von Ranke ialah James Harvey Robinson, Charles A. Beard, R. G.
Collingwood dan E. H. Carr.

Pada hakikatnya penolakan utama terhadap konsep von Ranke ialah oleh sifat idealnya yang
akhirnya membawa kepada anggapan bahawa sejarah itu adalah satu bidang sains. Sejarah
"seperti sebenarnya ia berlaku" tidaklah dapat dituliskan sepenuhnya. Di samping perkara
mustahil untuk menuliskan semula keseluruhan masa lalu itu, tidaklah pula keseluruhan masa
lalu itu perlu ataupun mustahak dituliskan ataupun diingati. Sungguhpun manusia
mempunyai akal fikiran yang mampu mengingati seribu satu macam peristiwa namun
terdapat kelemahan dan kelalaian yang tidak dapat dielakkan. Justeru itu, sudah pasti ingatan
yang kekal dalam fikiran manusia ialah hanyalah perkara-perkara yang memberi kesan dan
bermakna sahaja daripada timbunan masa lalu yang penting untuk dikaji dan diingat atau
disebaliknya.

Implikasi kepada penolakan dan kritikan-kritikan itu, ialah munculnya aliran-aliran baru
dalam perkembangan pensejarahan moden di Eropah. Sejarah tidak lagi berkisar atas
konsep wie es eigenthlich gewesen selari dengan maksud "seperti sebenarnya ia berlaku"
tetapi sebagai satu disiplin keilmuan yang mempunyai bidang-bidang ataupun jurusannya
yang tersendiri seperti politik dan diplomasi, ekonomi, sosial, intelek, budaya dan lain-lain,
malahan sejarah dan pensejarahan itu sendiri.

Kesimpulan.

Berdasarkan penghuraian saya di atas, melalui beberapa buah buku rujukan dan berdasarkan
kepada pemahaman serta pandangan peribadi, saya bolehlah menyimpulkan segala dapatan
dan tugasan ini memilih pendirian bahawa mempersetujui kenyataan dan konsep yang pernah
dipraktikkan oleh sejarawan Leopold von Ranke, sejarah haruslah dikaji "seperti sebenarnya
ia berlaku." Sungguhpun penolakan dan pelbagai kritikan yang munasabah, kuat dan kukuh,
namun harus diingat bahawa sejarawan tersebut merupakan perangsang, membawa
perubahan positif dalam bidang pensejarahan moden di Eropah terutama sekali dalam
mengemukakan fakta-fakta dan keilmuan sejarah yang dapat memberikan keyakinan serta
dapat diterima oleh pencinta sejarah sejagat.
Ungkapan unggulnya wie es eigenthlich gewesen sinonim kepada "seperti sebenarnya ia
berlaku" masih menghantui dan memperingati serta menghalang sesiapa yang cuba untuk
menghasilkan penulisan sejarah yang palsu atau mencampuradukkan sejarah dengan fiksyen.
Sumbangan beliau dalam pensejarahan tidak boleh dipandang atau ditolak dengan mudah.
Walaupun zaman kelunturan pengaruhnya hampir menutupi zaman kegemilangannya, namun
ungkapan wie es eigenthlich gewesen tetap menyinar walaupun samar, tapi masih sukar
ditelan zaman, malah jika dapat digilap dan dapat dipraktik seperti apa yang dinyatakan oleh
beliau alangkah baik, kerana dapat bertahan lama untuk dipertontonkan serta diwarisi oleh
jenerasi seterusnya, dan bukanlah suatu perkara yang mustahil pada zaman ini kerana adanya
kemajuan sains dan teknologi yang tinggi dan canggih dapat mempermudahkan kenyataan
beliau, sama ada dalam bentuk penyelidikan dan penyimpanan sumber-sumber dalam bentuk
bercetak, dokumentri, audio visual yang lebih nyata dan menarik.

BIBLIOGRAFI
Abdul Rahman Haji Abdullah, 1994. Pengantar Ilmu Sejarah (Siri Pendidikan
Jarak Jauh). Kuala Lumpur: Penerbitan bersama Dewan Bahasa dan
Pustaka & Pusat Pengajian Luar Kampus.
Muhd. Yusof Ibrahim, 1986. Pengertian Sejarah: Beberapa Perbahasan Mengen
Teori dan Kaedah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Muhd. Yusof Ibrahim, 1997. Ilmu Sejarah: Falsafah Pengertian dan Kaedah. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Muhd. Yusof Ibrahim dan Mahayudin Haji Yahaya, 1988. Sejarawan dan Pensejarahan:
Karya dan Ketokohan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
R. G. Collingwood, 1980. The Idea of History. Oxford University Press London.
Qasim Ahmad, 1991. Karya Sejarah: Pendekatan dan Persoalan. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.

Anda mungkin juga menyukai