Anda di halaman 1dari 2

PENJAGAAN KESIHATAN

- Makanan yang berkhasiat


- Makanan yang seimbang
- Beriadah / bersukan
- Rehat yang cukup

Kehendak soalan: Langkah-langkah menjaga kesihatan / Tiada pihak

Dalam meniti arus kemodenan, penjagaan kesihatan merupakan satu tuntutan


yang wajib dipenuhi oleh semua umat manusia kerana kesihatan merupakan anugerah
dan aset yang tidak ternilai yang dikurniakan oleh Tuhan. Kendatipun begitu, seiring
dengan arus urbanisasi dan digitalisisi kesedaran tentang kepentingan penjagaan
kesihatan semakin dangkal malah statistik daripada Kementerian Kesihatan Malaysia
mencatatkan hampir separuh rakyat Malaysia tidak mengamalkan aktiviti senaman
dan gaya hidup seimbang seperti yang disarankan. Tahukah anda penjagaan kesihatan
yang sempurna akan menzahirkan jangka hayat yang lebih panjang, kurang berisiko
dalam menjangkiti penyakit jantung dan sekali gus meningkatkan metabolisme dan
kecekapan otot dan tubuh badan. Sudah terang lagi bersuluh bahawa, pepatah badan
cergas otak cerdas menunjukkan kemaslahatan menjaga kesihatan dari pelbagai aspek.
Persoalaannya, apakah langkah-langkah yang seyogianya diambil untuk menjaga
kesihatan?

Pertamanya, pemakanan seorang insan yang bergelar manusia haruslah


berkhasiat tanpa mengira umur, agama dan latar belakang sosioekonomi. Apakah
yang dimaksudkan dengan makanan berkhasiat? Menurut, Kamus Dewan edisi
keempat, makanan seimbang ditakrifkan sebagai sebuah kelas makanan yang
merangkumi kesemua tujuh jenis kelas makanan dalam kuantiti yang secukupnya,
misalnya, protein, karbohidrat, lemak, buah-buahan, sayur-sayuran, air, vitamin dan
pelawas. Setiap individu di muka bumi ini juga harus mengelakkan diri daripada
membeli makanan ringan dan mengurangkan pengambilan makanan segera, hal ini
demikian kerana, makanan segera dan ringan tidak mengandungi kandungan nutrien
seperti yang disyorkan malah mengandungi pewarna dan perasa tiruan yang boleh
merosakkan sel-sel badan.

Sementelahan, makanan seimbang juga harus dipraktikkan kerana ia menjadi


pelengkap kepada makanan berkhasiat sekali gus dapatlah melahirkan individu yang
sihat sejahtera dan bebas penyakit. Ingatlah kita sebagai rakyat acap kali diseru oleh
pihak kementerian dan badan-badan lain untuk mencontohi piramid makanan tetapi
hakikatnya ia menjadi bagai mencurahkan air ke daun keladi. Tamsilnya, pastikan
anda mengambil sekurang-kurangnya lapan gelas air sehari dan suplemen seperti
vitamin A, K dan C. Janganlah kita taasub dengan menikmati makanan yang tidak
mematuhi standard makanan seimbang kerana ia akan menyebabkan malnutrisi dan
catat pertumbuhan kelak. Dalam sebuah institusi keluarga, ibu berperanan memasak
dan menghidangkan makanan yang seimbang untuk ahli keluarga supaya amalan ini
dapat dipraktikkan oleh anak-anak dewasa kelak hal ini selari dengan aforsime
Melayu melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Di samping itu, beriadah dan bersukan juga harus diamalkan kerana beriadah
diibaratkan sebagai pembersih badan yang akan menyingkirkan segala jenis toksik
dan bahan kumuh keluar dari badan serta menjadi benteng kukuh daripada
menjangkiti sindrom obesiti dan sebagainya. Mengikut pakar kesihatan, aktiviti
beriadah haruslah dijalankan sekurang-kurangnya tiga kali seminggu, ghalibya,
berbasikal, berjoging, berzumba, senam robik, bermain bola, dan sebagainya.
Senaman dan aktiviti sukan juga dapat dijalankan mengikut kesesuian setiap individu.
Dalam pada itu, penyertaan setiap individu dalam maraton, hari sukan negara dan
kempen juga digalakkan kerana dalam menimba pengalaman serta menjadikan diri
lebih aktif, hal ini persis peribahasa sambil menyelam minum air. Sikap malas dalam
menjalankan kegiatan bersukan juga haruslah dibuang.

Lebih-lebih lagi, kita juga hendaklah mendapatkan rehat yang secukupnya


agar badan dan minda kita sentiasa bertenaga dan dapat berfungsi dalam keadaan
optimum. Hal ini bersangkut-paut dengan, kitar tidur seseorang, kerana sesiapa yang
mendapat tidur kurang daripada tujuh jam sehari seperti yang disarankan akan
berisiko menghadapi stres dan keletihan dan boleh membawa kematian jika langkah-
langkah berjaga tidak diambil. Tambahan, dalam 24 jam setiap individu harus
membuat penjadualan yang sistematik agar tidak menghadapi masalah kesuntukan
masa sekali gus tidak berdepan dengan situasi berjaga sehingga lewat malam.

Konklusinya, jika semua langkah-langkah ini diamalkan oleh seantero rakyat


Malaysia tidak mustahil Malaysia dapat mengecapi sifar obesiti dan menduduki
tangga yang terbaik dalam Indeks Kesihatan Dunia. Janganlah kita taasub dan haloba
mengejar mata wang dan material sehingga sanggup menggadaikan nyawa dan
kesihatan kita. Marilah kita bersama-sama mengamalkan gaya hidup yang sihat agar
kita mempunyai tahap kesihatan yang cemerlang.

Anda mungkin juga menyukai