Anda di halaman 1dari 17

Apakah yang anda faham dengan sekolah berkesan dan penambahbaikan sekolah?

1.0 Pendahuluan

Sekolah berkesan perlu dikaji dan dilihat serta difahami konsep, ciri dan definisinya oleh

semua warga pendidikan. Penulisan yang akan saya bentangkan ialah berkaitan dengan peranan

seorang pengetua dan faktor-faktor lain yang menyumbang kepada sekolah berkesan atau

keberkesanan sekolah . Walau bagaimanapun hanya empat aspek yang akan dihuraikan iaitu aspek

kepemimpinan pengetua, iklim sekolah yang kondusif, keberkesanan pengajaran guru dan sikap

pelajar-pelajarnya dan sebenarnya keempat-empat faktor ini adalah berkait rapat dengan peranan

pengetua.

Apabila memperkatakan tentang keberkesanan sekolah, kita tidak boleh lari dari aspek

kepemimpinan pengetuanya. Menurut Stoghill (1974), kepemimpinan yang cekap dan berkesan akan

dapat meningkatkan kemajuan dan kejayaan sesuatu organisasi. Begitu juga di sekolah di mana

pembentukan organisasi sekolah berkesan itu sangat bergantung kepada kepemimpinan

pengetuanya. Ini adalah disebabkan oleh tingkahlaku dan gaya kepemimpinan yang diamalkan akan

turut mempengaruhi suasana dan semangat subordinatnya.

Sekolah berkesan di Malaysia adalah dipengaruhi oleh pelbagai faktor. Selain faktor yang

timbul dari keberkesanan kepemimpinan pengetua, faktor efikasi guru dan demografi guru besar juga

merupakan salah satu faktor yang mempengaruhi keberkesanan sekolah. Ini adalah disebabkan oleh

seseorang guru besar atau pengetua itu akan melibatkan hubungannya dengan guru dan pelajar

sewaktu memimpin organisasi sekolah ke arah kecemerlangan.

Indikator kualiti yang digunakan untuk mengukur keberkesanan sesebuah sekolah itu

selalunya adalah yang berkaitan dengan kecemerlangan pencapaian akademik pelajar,

kepemimpinan pengetua, iklim sekolah, strategi dan teknik pembelajaran, budaya dan nilai sesebuah
sekolah serta pembangunan staf (Creemers 1997). Selain itu salah satu faktor yang tidak kurang

pentingnya menyumbang kepada keberkesanan sekolah ialah keberkesanan pengajaran guru.

Kajian yang dilakukan oleh Stringfield & Teddlie (1987) telah membuktikan hubungan ini.

Kajian berkaitan sekolah berkesan telah mendapat perhatian ramai kerana individu mahupun

organisasi tertentu di dalam bidang pendidikan telah menyedari kepentingannya untuk mewujudkan

sekolah berkesan dalam kriteria akauntabiliti pendidikan. Ia juga adalah bagi memenuhi matlamat

pendidikan negara seperti yang ditekankan di dalam Falsafah Pendidikan Negara.

2.0 Definisi, konsep dan ciri sekolah berkesan

Keberkesanan sekolah bukan sahaja diukur dari segi kualiti hasil tetapi juga dari segi

kesaksamaan (equity), itulah apa yang didefinisikan oleh Edmonds (1979), mengenai sekolah

berkesan. Edmonds menyatakan, keberkesanan sesebuah sekolah itu boleh diukur berdasarkan

kejayaannya meningkatkan penguasaan akademik kanak-kanak dari keluarga kurang berada

sehinggakan kadar bilangan kanak-kanak yang kurang berada yang boleh menguasai akademik

sama seperti bilangan anak-anak kelas menengah yang menguasainya. Sesebuah sekolah tidak

layak diiktiraf sebagai berkesan jika tidak memberi peluang pendidikan yang sama. Berdasarkan

kriteria ini, menurutnya, bilangan sekolah di Amerika Syarikat yang boleh dianggap berkesan amat

sedikit. Untuk memenuhi kriteria seperti yang diharapkan tidak mustahil jika keseluruhan warga

sekolah itu bekerjasama bergerak ke arah pencapaian matlamatnya.

Empat cara bagi mengenalpasti sekolah yang berkesan menurut Rowan (1983), ialah: -

(1) Menentukan kriteria yang khusus seperti peratus pelajar yang mencapai lebih

daripada median kebangsaan.


(2) Analisis tren yang menunjukkan skor dalam gred yang tertentu telah

meningkat dari semasa ke semasa

(3) Skor yang meningkat bagi sesuatu kohort

(4) Pencapaian sekolah berbanding dengan latar belakang pelajarnya.

Namun begitu definisi yang paling biasa digunakan dalam kajian-kajian tentang keberkesanan

sekolah ialah :

Sek olah yang mana sebahagian besar daripada pelajar-pelajarnya mencapai tahap yang tinggi dalam
prestasi ak ademik apabila dibandingk an dengan sek olah-sek olah yang lain.

( Cuttance 1985 ).

Mengikut Jemaah Nazir Sekolah Persekutuan, Kementerian Pendidikan Malaysia, sekolah berkesan

adalah berdasarkan pendapat Edmonds (1979), iaitu mempunyai fokus pengajaran yang dinyatakan

dengan jelas dan menggunakan penilaian serta penaksiran yang sistematik. Harapan yang diletakkan

kepada sekolah yang cemerlang ialah bahawa pelajar-pelajarnya akan belajar dengan baik. Sekolah

berkesan juga mempunyai iklim yang teratur dan selamat bagi menggalakkan pengajaran dan

pembelajaran serta mempunyai pendidik yang k uk uh sebagai pengetua.

Mortimore (1995), telah memberikan sebelas ciri sekolah berkesan:-

i. kepemimpin profesional.

ii. perkongsian wawasan dan tujuan.

iii. persekitaran pembelajaran dan iklim sekolah yang baik.

iv. tumpuan kepada proses pengajaran dan pembelajaran.

v. Pengajaran yang bertujuan.

vi. jangkaan kejayaan yang tinggi.

vii. pengukuhan yang positif.


viii. pemantauan kemajuan.

ix. Menghormati hak dan tanggungjawab pelajar.

x. hubungan rumah dengan sekolah.

xi. organisasi pembelajaran.

Mortimore percaya berdasarkan ciri-ciri tersebut sekolah akan menunjukkan

keberkesanannya sebagai sebuah organisasi yang outputnya diukur dari pencapaian dan

keberhasilan pelajar meningkat lebih daripada apa yang diharapkan.

Shahril Marzuki ( 1997), menyatakan terdapat lima ciri sekolah untuk membina profil sekolah

berkesan di Malaysia mendapati semua faktor tersebut adalah positif . Sekolah yang berkesan

mempunyai kepimpinan dan iklim sekolah yang positif (selesa dan selamat), guru-guru menaruh

harapan guru yang tinggi terhadap penguasaan kemahiran asas pelajar, kekerapan mengadakan

penilaian, peranan persatuan ibu bapa dan guru, dan kemudahan fizikal (prasarana, kewangan)

sekolah yang baik bagi mempertingkatkan pencapaian pelajar. Berbanding dengan sekolah tidak

berkesan mempunyai faktor-faktor tersebut tetapi pada tahap atau darjah yang rendah dan kurang

efektif untuk mempertingkatkan pencapaian murid.

Sementara itu Rahimah dan Zulkifli (1996), dalam meninjau sekolah berkesan dan tidak

berkesan menggunakan proksi iklim sekolah yang dikaitkan dengan hubungan interpersonel,

pengajaran dan pembelajaran, pentadbiran sekolah dan kemudahan fizikal.

3.0 Elemen- Elemen Mewujudkan Sekolah Berkesan

3.1 Peranan Kepemimpinan Pengetua


Kepemimpinan pengetua adalah antara faktor yang menyumbang kepada keberkesanan

sekolah. Ini bersesuaian dengan pendapat Alma Haris (2002), yang menyatakan sekolah berkesan

adalah hasil dari kepemimpinan pengetua yang bersifat ‘distributed leadership’ iaitu yang berkongsi

peranan secara kolektif dengan guru-gurunya untuk kecemerlangan sekolah melalui pencapaian

matlamat yang sama. Begitu juga dengan Tay (1984, di dalam Nordin Hj Yahya 2004), yang

mendapati kecemerlangan sesebuah sekolah berpunca dari kepemimpinan pengetuanya. Tay juga

berpendapat kejayaan sistem pentadbiran sesebuah sekolah adalah bergantung kepada kualiti

kemudahan sekolah, kualiti kurikulum, sumber pengajaran, kualiti kepemimpinan pengetua dan

kemahiran profesional guru-gurunya. Pembentukan organisasi sekolah yang berkesan sangat

bergantung kepada kualiti kepemimpinan pengetuanya. Menurut Stoghill (1974) pula, kepemimpinan

yang cekap dan berkesan akan dapat meningkatkan kemajuan dan kejayaan sesuatu organisasi. Ini

adalah kerana tingkahlaku dan gaya kepemimpinan yang diamalkan oleh seorang pemimpin itu yang

akan mempengaruhi suasana dan semangat kerja pekerja-pekerjanya.

Kajian yang dijalankan oleh Nordin (2004), ke atas lima buah sekolah menengah bantuan

penuh kerajaan mendapati pada keseluruhannya keberkesanan organisasi adalah selari dengan

dapatan kajian Ahmad Mohammad Shariff (1989) ke atas sekolah-sekolah vokasional seluruh negara.

Nordin mendapati terdapatnya hubungan antara tingkahlaku kepemimpinan pengetua dengan

sekolah berkesan. Beliau mendapati pada keseluruhannya di dalam aspek kepemimpinan pengetua,

pengetua mengamalkan kepemimpinan yang seimbang dari tingkahlaku permulaan struktur tugas

dan struktur konsiderasi. Keberkesanan organisasi sekolah pula pada keseluruhannya berada pada

tahap sederhana. Dapatan ini turut disokong oleh hasil kajian terdahulu yang dilakukan.

Kepentingan tingkahlaku dan gaya kepemimpinan pengetua di dalam mengerakkan

sekolah ke arah sekolah berkesan turut dinyatakan oleh Ahmad Zabidi


( 2003), di dalam kajiannya mengenai ciri-ciri sekolah berkesan : Implikasinya ke atas pengurusan

sekolah agama. Dapatan kajiannya mendapati kepemimpinan pengetua bukanlah merupakan faktor

terpenting berbanding kajian sekolah sebelum ini. Hasil kajian Ahmad Zabidi ini menyerupai

pandangan Abd. Hamid Othman (1992), yang mendapati kelemahan yang perlu diatasi segera di

sekolah-sekolah agama ialah kecekapan dan kelicinan pentadbirannya. Ini sepatutnya menyedarkan

pengetua-pengetua untuk meningkatkan kualiti kepemimpinannya dengan mendalami ilmu untuk

meningkatkan lagi kebekesanan sekolah kerana peranan pengetua cukup penting seperti mana

menurut Abdul Karim Mohd Nor (1989), yang mengatakan peranan pemimpin sekolah amat penting

di dalam melahirkan sekolah berkesan.

Peranan pengetua di dalam memimpin guru-guru dan pelajar-pelajarnya ke arah melahirkan

sebuah sekolah berkesan juga turut dinyatakan oleh Wu (1989), di dalam kajiannya di Taiwan

berkaitan dengan sekolah berkesan. Beliau menyatakan di antara indikator sekolah berkesan itu ialah

perancangan dan iklim sekolah, kualiti pengajaran guru, tingkahlaku pelajar, komunikasi pentadbiran,

pencapaian akademik pelajar, kepuasan kerja guru, penyusunan kurikulum, hubungan ibu bapa dan

sekolah, hubungan guru-pelajar dan kepemimpinan pengetua. Ini jelas menunjukkan bagi

mewujudkan sekolah yang berkesan kepemimpinan pengetua itu adalah antara faktor yang diambil

kira dan penting.

Hussein Mahmood (1993), pula melihat pengetua atau guru besar ialah orang yang

terpenting di dalam memimpin sebuah sekolah bagi mencapai matlamat sekolah. Ini jelas

menunjukkan yang sesebuah sekolah yang berkesan itu mempunyai stail atau gaya kepemimpinan

yang turut berkesan.

Sekolah-sekolah agama di Malaysia juga turut tidak ketinggalan dikaji aspek keberkesanan

sekolahnya. Hasil dari kajian yang telah dijalankan oleh Ahmad Zabidi (2003), telah merumuskan

sepuluh ciri sekolah menengah agama berkesan iaitu harapan yang tinggi oleh para guru, iklim
sekolah yang kondusif, pengukuhan yang positif, kepemimpinan pengetua yang professional,

pemantauan yang berterusan terhadap perkembangan pelajar, perkongsian visi dan matlamat yang

jelas, program perkembangan staf, penumpuan terhadap kurikulum dan pengajaran, permuafakatan

sekolah dan rumah serta akhirnya ialah sikap pelajar yang positif. Kesemua ciri yang dinyatakan

menyamai ciri-ciri yang ditemui dalam kajian terdahulu yang dijalankan terhadap sekolah awam dan

sekolah vokasional. Antara kelainannya ialah ciri sekolah menengah agama berkesan banyak

bergantung kepada sikapp kerja guru berbanding peranan yang dimainkan oleh pengetua. Ini beliau

nyatakan sebagai bukan sesuatu yang pelik kerana menurutnya sekolah-sekolah agama mempunyai

kekurangan dari aspek kecekapan pentadbiran. Beliau turut mencadangkan agar program latihan

kepengetuaan bagi pengetua-pengetua sekolah agama dan aspek yang perlu diberi penekanan ialah

aspek pembangunan diri, budaya kualiti, profil pengetua berkesan, komunikasi dan pembinaan

pasukan. Melalui latihan dan kursus sebegini dilihat akan mampu meningkatkan lagi kualiti

kepemimpinan pengetua untuk menguruskan sekolah sehingga meningkatkan kuantiti sekolah

menengah agama berkesan. Ia bersesuaian dengan pendapat Edmonds (1979), “Principals can

mak e a difference”.

3.2 Iklim sekolah yang kondusif

Walau apa pun ciri-ciri sekolah berkesan yang dihasilkan oleh pengkaji-pengkaji, namun

begitu, hampir kesemuanya memperkatakan tentang ciri-ciri sekolah berkesan ialah kepemimpinan

pengetua, iklim sekolah yang kondusif, peranan guru yang berkesan dalam melaksanakan

pengajaran dan pembelajaran, sikap pelajar yang positif dan pemuafakatan di antara sekolah dan

rumah. Antara kajian yang memperlihatkan akan kepentingan iklim sekolah yang kondusif di dalam

mempengaruhi keberkesanan sekolah ialah Rahimah dan Zulk ifli (1998) dan Mortimore& Sacknay

(1986).
Ini turut ditemui di dalam kajian yang dijalankan oleh Ahmad Zabidi (2003), di mana beliau

telah mendapatkan purata nilai min yang kedua tertinggi bagi iklim sekolah yang kondusif di dalam

ciri sekolah agama yang berkesan. Kajian beliau juga menunjukkan ciri iklim sekolah turut membantu

ke arah keberkesanan sekolah. Dengan itu, warga sekolah perlulah membentuk budaya hidup

beragama sebagai iklim sekolah agama berkesan kerana budaya hidup beragama ini bukan sahaja

mengatasi masalah disiplin bahkan ia turut membantu meningkatkan prestasi akademik pelajar.

Peranan utama perlu dimainkan oleh pengurusan sekolah agama terutamanya pengetua untuk

membentuk iklim yang bersesuaian kerana pengetua mempunyai kemampuan unt uk

melaksanakannya.

Iklim sekolah yang berkesan ialah sekolah yang mampu mewujudkan integrasi dan

keharmonian sesama pelajar-pelajarnya yang berbeza dan mengurangkan perbezaan sesama

mereka. Pengurusan sekolah agama perlu mewujudkan iklim sekolah agam a yang disepadukan di

antara iklim yang bersifat luaran seperti persekitaran sekolah yang bersih dan cantik serta hubungan

komunikasi yang baik dan juga pembentukan iklim dalaman seperti penerapan nilai keagamaan di

dalam kehidupan seharian di sekolah. Melalui kesepaduan iklim-iklim ini pihak sekolah bukan sahaja

mampu menghasilkan pelajar-pelajar yang cemerlang dari segi akademik bahkan cemerlang dari

aspek akhlak dan keperibadian.

Dapatan di atas mengenai kepentingan iklim sekolah yang kondusif bagi m enghasilkan

sebuah sekolah yang berkesan turut diakui oleh Creemers (1997), yang menyatakan antara kualiti

indikator mengukur sekolah berkesan ialah melalui pencapaian akademik pelajar, iklim sekolah, nilai

dan budaya sekolah, teknik pengajaran dan pembelajaran, kepemimpinan pengetua dan

perkembangan staf.
Kajian yang dijalankan oleh Wu (2005), di Taiwan turut menyatakan akan kepentingan iklim

bilik darjah dan sekolah di dalam menyumbang kepada pembentukan sekolah berkesan. Beliau

menyatakan yang iklim sekolah adalah di antara lima penentu utama sekolah berk esan di Taiwan.

Menurutnya bagi meningkatkan lagi keberkesanan sesebuah sekolah maka penekanan perlu

diberikan terhadap kelima-lima faktor penentu yang dinyatakan termasuklah iklim sekolah yang

kondusif.

Rahimah dan Zulkifli (1996), juga telah melihat yang iklim dan kemudahan fizikal turut

menyumbang kepada sekolah berkesan. Guru-guru dan pelajar-pelajar perlu berasa selesa apabila

berada di sekolah. Persekitaran sekolah yang bersih dan berada di dalam keadaan yang teratur akan

mengalakkan lagi proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan bagi melahirkan pelajar-

pelajar yang cemerlang dan seterusnya ke arah sekolah yang berkesan.

Rahimah dan Zulkifli (1996), dalam meninjau sekolah berkesan dan tidak berkesan

menggunakan proksi iklim sekolah yang dikaitkan dengan hubungan interpersonel, pengajaran dan

pembelajaran, pentadbiran sekolah dan kemudahan fizikal. Kajian mendapati terdapat perbezaan

yang signifikan antara sekolah-sekolah yang dikaji. Tiga daripada empat buah sekolah luar bandar

mempunyai skor yang tertinggi untuk skala Perhubungan Interpersonal. Dua daripadanya adalah dari

sekolah berkesan manakala satu daripada sekolah kurang berkesan didapati mempunyai hubungan

interpersonal yang positif berbanding dengan sekolah di kawasan bandar. Dapatan kajian juga

mendapati bahawa pelajar-pelajar serta guru-guru yang berada di dalam sekolah yang berkesan

sentiasa positif tentang pembelajaran di sekolah serta persekitaran di sekelilingnya. Dengan kata lain

sekolah berkesan berkaitan rapat dengan semua staf di dalamnya samada sentiasa ingin maju dan

sentiasa memandang ke hadapan atau sentiasa berfokus tentang pembelajaran, sentiasa peka

terhadap keperluan pelajarnya dan sentiasa berwawasan.


Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) melihat sekolah-sekolah yang dipilih menunjukkan

keberkesanan dalam pencapaian samada pelajar, guru dan sekolah itu sendiri. Jika diteliti dari kriteria

yang digunakan keberkesanan sekolah itu mementingkan;

i. Outcome dari segi pencapaian akademik dalam peperiksaan umum.

ii. ‘Proses’ bagi mencapai kecemerlangan akademik

iii. Pengurusan dan pentadbiran sekolah

iv. Iklim sekolah

v. Penglibatan PIBG (ibu bapa)

Pelajar dan guru di sekolah yang berkesan merasa sangat selesa ketika berada di

perkarangan sekolah. Persekitaran sekolah sentiasa berada dalam keadaan bersih dan teratur.

Sekolah yang berkesan mempunyai ruang yang mencukupi untuk pengajaran dan pembelajaran.

Pelajar dan guru berbangga dengan kemudahan fizikal yang mereka ada dan sentiasa menolong

untuk mengekalkan keadaan kemudahan tersebut dalam keadaan yang sehabis baik.

Konsep mengenai iklim sekolah telah ditakrifkan dengan pelbagai cara, tetapi pada

keseluruhannya adalah dipersetujui umum bahawa iklim sesebuah sekolah itu merupakan perasaan

atau gambaran suasana yang seolah-olah dapat dirasakan ketika seseorang itu berada di sekolah

tersebut. Menurut Halpin dan Croft (1966), di sekolah yang dapat memberikan rasa suasana yang

selesa dari segi iklim sekolahnya, perkara berikut akan dapat diperhatikan : -

1. Guru merasa selesa, yakin dan puas.

2. Guru tidak merasa tertekan atau bercelaru.

3. Pengetua mempamirkan keyakinan diri, bijaksana dan berlaku adil.

4. Pengetua mudah dibawa berbincang dan mempunyai fikiran yang terbuka.

5. Pengetua merupakan seorang pemimpin yang baik, mampu membimbing

kakitangannya serta memperkembang potensi mereka.

6. Pelajar merasa bangga terhadap hasil kerja mereka dan terhadap sekolah mereka.
Iklim sekolah akan mewujudkan suasana pembelajaran yang bermotivasi dan seterusnya

membantu pelajar-pelajar memperoleh pencapaian yang baik dan guru-guru lebih puas untuk

bekerja. Iklim yang positif sangat perlu wujud di sesebuah sekolah. Ini dik uatkan lagi melalui dapatan

kajian oleh Shahril (1997), yang mengatakan iklim sekolah yang berkesan terhasil apabila suasana

sekolah itu aman, cantik, selamat dan cukup ruang untuk belajar. Banguanan sekolah turut dijaga

dengan baik dan kondusif untuk pengajaran dan pembelajaran. Ia penting untuk mempengaruhi

psikologi dan emosi warga sekolah itu.

Faktor-faktor iklim sekolah di atas membantu mewujudkan sekolah berkesan. Namun begitu

untuk mempastikan iklim yang bersesuaian adalah memerlukan gambaran yang l ebih lengkap

mengenai sekolah tersebut dan juga pemerhatian jangka panjang serta pemantauan yang kerap

terhadap iklim sekolah. Ini adalah kerana faktor yang menentukan iklim yang sesuai adalah perkara

yang tidak tetap dan berubah-ubah bergantung kepada keadaan semasa.

3.3 Keberkesanan Pengajaran Guru

Kejayaan dan kecemerlangan sekolah terletak pada keberkesanan seluruh sistem, nilai,

kepercayaan, iklim, semangat dan budaya yang diamal dan dipamerkan setiap waktu oleh setiap

orang pelajar, guru, kakitangan bukan guru dan juga pentadbir dan pengurus kurikulum sesebuah

sekolah itu. Pihak yang amat besar kesan dan pengaruhnya terhadap kemajuan dan kecemerlangan

ini tidak lain tidak bukan ialah guru-guru sendiri.

Konsep dan pengertian keberkesanan sekolah boleh diukur berasaskan output atau hasil

persekolahan (pencapaian akademik dan bukan akaemik) yang juga pencapaiannya lebih daripada

apa yang diharapkan. Seterusnya proses juga dianggap satu kriteria pengukur keberkesanan sekolah

misalnya aspek pentadbiran sekolah, kerjasama di kalangan warga sekolah, proses pengajaran dan

pembelajaran yang berkesan.


Keberkesanan pengajaran guru ini adalah penting kerana melalui teknik pengajaran yang

berkesan akan melahirkan pelajar yang cemerlang. Ini disokong oleh kenyataan oleh Rotter (1996), di

mana lokus kawalan adalah faktor yang dominan yang mana guru-guru mempengaruhi pencapaian

pelajar-pelajar. Guru-guru yang boleh mengawal tindakan mereka untuk mencapai kejayaan akan

mempunyai efikasi kendiri yang tinggi. Teori yang dinyatakan oleh Bandura (1977), yang

mengenalpasti efikasi guru sebagai salah satu efikasi kendiri berdasarkan perspektif kongnitif

sosialnya. Setiap manusia mampu membentuk kepercayaan untuk membuat yang terbaik.

Kepercayaan inilah yang akan menghasilkan usaha untuk berjaya dan akan mendorong guru-guru

untuk berusaha dengan lebih ke arah pengajaran yang berkesan bagi menghasilkan pelajar yang

cemerlang dan akhirnya sekolah yang berkesan.

Kenyataan ini turut mempunyai persamaan dengan kajian Sazali Yusoff (2004 ), yang dapat

mencungkil satu faktor dalaman sekolah yang boleh diubah demi kejayaan sesebuah sekolah. Kajian

menunjukkan yang pencapaian akademik murid sangat kuat dipengaruhi oleh efikasi kolektif guru -

guru. Efikasi kolektif guru ini merupakan peramal yang kuat kepada kejayaan akademik murid.

Apabila efikasi kolektif guru-guru meningkat maka pengajaran guru akan lebih berkualiti dan

pencapaian pelajar-pelajar akan meningkat di samping menyumbang kepada keberkesanan sekolah.

Wu (2005), juga mendapati dari hasil kajiannya kadar keberkesanan pengajaran guru adalah

sederhana tinggi di mana hubungan guru-pelajar yang akrab merupakan yang tertinggi. Kajian juga

telah mendapati yang umur, jantina, pengalaman mengajar, lokasi sekolah, jenis sekolah,

latarbelakang sekolah dan sejarah sekolah signifikan dengan keberkesanan sekolah manakala tahap

pendidikan dan jawatan tidak mempunyai perhubungan dengan keberkesanan sekolah. Lebih tinggi

keberkesanan pengajaran guru maka akan tinggilah keberkesanan sekolah. Penyelidik juga telah

mendapati terdapat lima cara untuk mengesan keberkesanan sekolah iaitu jantina, jenis sekolah,

efikasi guru, penggunaan bahan pengajaran yang sistematik dan iklim bilik darjah.
Sekolah yang berkesan sepatutnya memberikan penekanan yang lebih kepada

keberkesanan pengajaran guru yang akhirnya akan membawa kepada keberkesanan dan

kecemerlangan sesebuah organisasi sekolah. Nordin (2004), mendapati tekanan kerja yang dialami

oleh guru tiada kaitan dengan keberkesanan sekolah. Ini adalah kerana beban yang diberikan tiada

kaitan dengan produktiviti guru. Oleh itu beliau mencadangkan beban tugas yang tiada kaitan dengan

peningkatan keberkesanan sekolah hendaklah dikurangkan. Sebaliknya tumpuan perlu diberi kepada

peningkatan mutu pengajaran dan pembelajaran kerana peningkatan keberkesanan sekolah lebih

kepada menghasilkan pelajar yang berkualiti. Pengetua sendiri perlu bertindak sebagai pemimpin

pengajaran dengan membimbing dan memudah cara kepada guru bagi meningkatkan mutu

pengajaran dan pembelajaran mereka. Guru-guru perlu diberi peluang untuk meningkatkan

perkembangan diri melalui penguasaan kemahiran terkini.

Begitu juga kepentingan keberkesanan pengajaran guru ini turut diakui oleh Ahmad Zabidi

(2003), di dalam kajiannya terhadap ciri-ciri sekolah menengah agama berkesan. Hasil kajiannya

mendapati ciri-ciri sekolah menengah agama berkesan banyak bergantung kepada sikap kerja guru-

guru berbanding dengan peranan yang dimainkan oleh pengetua serta pelajarnya. Ini jelas

menunjukkan yang kekuatan guru-guru melalui pengajaran yang berkesan mampu menyumbang

kepada keberkesanan sekolah. Penumpuan terhadap kurikulum dan proses pengajaran dan

pembelajaran adalah penting di dalam mewujudkan sekolah menengah agama yang berkesan.

Dapatan ini menyamai dapatan-dapatan sebelumnya yang melihat keberkesanan pengajaran guru

antara faktor keberkesanan sekolah.

Menurut Rahimah Hj Ahmad (1998), guru merupakan faktor paling penting yang menjadi

tunjang kepada sekolah berkesan kerana guru merupakan ‘technicians’ yang bertanggungjawab

terhadap ‘core business of schools’ khususnya pembelajaran anak didiknya melalui pengajaran dan

bimbingan. Pengajaran guru yang berkesan, sekolah berkesan dan pencapaian pendidikan yang
gemilang dan cemerlang bukan suatu yang mustahil untuk dicapai. Yang perlu dititikberatkan ialah

kesediaan dan kesanggupan guru-guru sendiri mengubah paradigma, mengubah stail berfikir dan

bertindak secara orang-orang professional dan yang paling penting menjadi seorang guru yang tidak

mudah patah semangat dan kreatif di dalam melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaranny a

untuk melahirkan pelajar yang cemerlang dan sekolah yang berkesan.

3.4 Sikap pelajar-pelajar.

Menurut Hussein (1993), keberkesanan sekolah lazimnya diukur dan dinilai dari segi

kejayaan atau pencapaian sekolah dalam peperiksaan di samping mewujudkan rasa kepuasan kerja

dalam sesebuah sekolah itu. Bagaimanapun, sekolah yang berkesan bukan sahaja sek olah yang

dapat menghasilkan pencapaian akademik yang tinggi tetapi juga sekolah yang kurang menghadapi

masalah disiplin seperti kerosakan harta benda sekolah, ponteng dan keciciran, di samping mendapat

kepercayaan di kalangan masyarakat setempat dan guru-gurunya pula mendapat kepuasan bekerja.

Walaupun begitu penekanan lebih tertumpu kepada pencapaian akademik kerana secara relatifnya

pencapaian akademiknya mudah diukur melalui ujian kognitif berbanding dengan aspek -aspek lain

khususnya aspek afektif.

Mengikut pandangan murid, sekolah yang berkesan ialah sekolah yang mempunyai guru-

guru yang boleh mengajar dengan berkesan supaya pelajarnya jadi bijak, kreatif, sekolah yang

persekitarannya cantik dan bersih serta sekolah yang cemerlang. Namun begitu sec ara umumnya

boleh dirumuskan bahawa keberkesanan sekolah diukur berdasarkan hasilannya (seperti pencapaian

akademik, moral, personel dan jasmani), keadaannya (persekitaran teratur) dan prosesnya

(pengajaran guru, penglibatan ibu bapa dan sistem pentadbiran).


Kajian oleh Ahmad Zabidi ( 2003 ), turut memperlihatkan yang sikap pelajar yang positif

adalah perlu untuk membentuk sekolah menengah agama yang berkesan. Walaupun ia merupakan

ciri terendah dari senarai ciri sekolah menengah agama berkesan kajian sebelum ini

mennggambarkan sikap pelajar turut mempengaruhi pencapaian mereka. Untuk mewujudkan

kecemerlangan dan sekolah berkesan, sikap pelajar yang baik juga ialah mereka yang bukan sahaja

menumpukan sepenuh perhatian kepada akademik semata-mata sebaliknya juga perlu aktif di dalam

kegiatan kokurikulum. Pencapaian akademik yang tinggi di dalam suatu mata pelajaran mempunyai

hubungan yang signifikan dengan sikap terhadap mata pelajaran tersebut. Memandangkan

keberkesanan sekolah dinilai antaranya berdasarkan pencapaian dan akhlak pelajar, maka

pembentukan sikap pelajar perlu diutamakan oleh pengurusan sekolah. Sekiranya sekolah hanya

mampu menghasilkan pelajar yang cemerlang dari aspek intelek, sudah tentu ia tidak berjaya

memenuhi matlamat pendidikan negara untuk melahirkan insan yang seimbang dari aspek jasmani,

emosi, rohani dan intelek.

Sesebuah sekolah yang berjaya adalah sekolah yang mempunyai kadar keciciran kosong, di

mana tidak ada pelajar yang tidak tahu membaca, menulis atau mengira. Begitu juga tidak ada sistem

diskriminasi, setiap pelajar mendapat layanan yang adil dari sekolah dan guru. Kemampuan sekolah

yang berkesan mengesan kemajuan murid secara sistematik melalui pengesanan yang teratur iaitu

setiap pengetua dan guru mengawasi kemajuan murid berpandukan kepada kehendak dan objektif

pengajaran. Di sekolah berkesan murid digalakkan bertanggungjawab sepenuhnya menguruskan

kegiatan seharian mereka seperti menjaga alat-alat kemudahan sekolah dan buku mereka.

Sementara kerja rumah dan latihan diperbanyakkan dan diperiksa oleh guru. Kepentingan diletakkan

terhadap prestasi akademik yang tinggi dan murid digalakkan belajar dengan bersungguh-sungguh

untuk berjaya. Setiap murid yang berjaya akan diberi penghargaan serta maklum balas yang cepat

dan berterusan terhadap prestasi murid mereka.

Murid memainkan peranan yang penting berbanding guru diamalkan di sesebuah sekolah

yang bekesan. Sekolah memberi keyakinan kepada murid mereka bertanggung jawab sepenuhnya

terhadap pelajaran mereka. Dalam kajian yang telah dibuat oleh Zulkifli dan Rahimah (1998), mereka

telah menjawab persoalan apakah yang telah digunakan sebagai ukuran kepada keberkesanan

sekolah. Melalui dapatan kajian, mereka berpendapat bahawa keberkesanan sekolah selalunya
diukur dari segi output atau hasil persekolahan yang lazimnya dikaitkan dengan pencapaian

akademik pelajar.

Apabila memperkatakan tentang sikap pelajar , aspek disiplin tidak boleh dipandang ringan.

Disiplin atau peraturan sekolah adalah penting untuk mewujudkan persekitaran sekolah yang selesa

dan harmoni. Sesebuah sekolah yang berkesan mempunyai disiplin yang teratur tanpa perlu

peraturan ketat, selesa dan tenang untuk suasana proses pembelajaran.

Pelajar-pelajar di sekolah berkesan perlu diterapkan dengan nilai-nilai murni. Nilai murni akan

membentuk peribadi dan sahsiah pelajar yang cemerlang dan seterusnya masalah disiplin di sekolah

dapat dikurangkan. Ada sesetengah pihak yang mengukur disiplin pelajar sebagai ukuran output

sesuatu sekolah itu. Menurut kajian, sekolah yang berkesan adalah sekolah yang kurang mengalami

masalah disiplin dan ponteng sekolah di samping mempunyai pencapaian akademik yang baik serta

konsisten.

Seperti yang kita sedia maklum, selalunya jika sesebuah sekolah mengalami masalah disiplin,

ini akan menjejaskan reputasi pengetua, guru-guru, pelajar dan sekolah itu sendiri. Masalah disiplin

yang dialami disekolah disusuli dengan prestasi pencapaian pelajar yang kurang memuaskan

terutamanya di dalam peperiksaan awam seperti SPM dan PMR. Keadaan ini akan menjejaskan imej

dan kepercayaan masyarakat terhadap sekolah berkenaan.

4.0 Kesimpulan

Kewujudan sesebuah sekolah berkesan banyak dimainkan oleh pengetuanya. Daripada apa

yang telah saya bincangkan tadi, elemen-elemen dalam mewujudkan sekolah berkesan ialah

kepimpinan pengetuanya dan disokong oleh iklim sekolah yang kondusif, keberkesanan pengajaran

guru dan sikap pelajar itu sendiri. Sebenarnya ketiga-tiga elemen tadi adalah berkait rapat dengan

kepimpinan pengetua. Ketiga-ketiga elemen ini sebenarnya didorong oleh kepimpinan pengetua itu
sendiri. Maka saya membuat kesimpulan bahawa elemen yang mewujudkan sekolah berkesan

adalah bergantung sepenuhnya kepada gaya kepimpinan pengetua itu sendiri . Kepimpinan

pengetualah yang menentukan jatuh bangunnya sekolah tersebut. Sebagai pemimpin utama di

sekolah, pengurus sekolah berkemampuan mempengaruhi semua guru dan pelajar untuk

melaksanakan program dan aktiviti yang telah dirancang ke arah mencapai matlamat dan objektif

sekolah. Dengan kata lain, keberkesanan sekolah bergantung kepada keberkesanan kepimpinan

sekolah khususnya kepimpinan pengetuanya.