Anda di halaman 1dari 10

1.

0 PENDAHULUAN

Falsafah ialah perkataan yang berasal daripada bahasa Yunani, iaitu philosophic. Menurut
Musa Daia (1967) dalam Ahmad Mohd Salleh (2008:20), philo bermaksud cinta, kaji, atau
hargai, manakala sophic pula bermaksud hikmat, kebajikan, atau kebenaran. Apabila
digabungkan dua perkataan ini; philo dan sophic, maka falsafah boleh disebut sebagai
cintakan kebenaran, atau cintakan kepada hikmat.

Kamus Dewan pula mentakrifkan falsafah sebagai pengetahuan tentang pengertian


yang dianggap sebagai ilmu yang tertinggi yang menjadi dasar ilmu-ilmu lain. Kamus al-
Munjid fi al-Lughah al-Arabiyyah al-Muasirah pula menyebut falsafah sebagai kajian
mengenai prinsip-prinsip utama dan tafsiran terhadap pengetahuan dengan tafsiran
menggunakan akal fikiran.

Ahmad Mohd Salleh (2008:20), menyebut bahawa falsafah dapat diertikan sebagai
usaha mencari suatu kebenaran atau keyakinan yang berhubung dengan suatu perkara
dengan menggunakan kekuatan akal fikiran. Menurut Noriati A. Rashid pula (2014:31),
falsafah ialah kajian tentang masalah am berkenaan hal-hal seperti pengetahuan,
kewujudan, kebenaran, kecantikan, keadilan, kesahan, minda, dan bahasa.

Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa falsafah ialah usaha manusia yang
menggunakan akal fikiran yang dikurniakan oleh Allah SWT untuk mencari, memahami dan
mencapai hakikat kebenaran.

Falsafah pendidikan pula bermaksud suatu pendekatan atau teori pembelajaran


yang menentukan cara pendidikan boleh dilaksanakan pada pelbagai peringkat. Falsafah
pendidikan penting sebagai pemandu arah untuk warga pendidik dan sekolah berinteraksi
dengan pelajar, ibu bapa dan pihak yang berkaitan dengan sistem pendidikan. Falsafah
pendidikan turut menentukan kurikulum dan cara pengajaran dan pembelajaran yang akan
dijalankan di sekolah-sekolah.(ibid.:40)

2.0 FALSAFAH PENDIDIKAN ISLAM

2.1 ISLAM DAN FALSAFAH

Menurut Amat Juhari Moain, (1996:15-16) kedatangan Islam ke Asia Tenggara mula
dikesan pada tahun 55H/674M di Sumatera. Kemudian di Kedah pada tahun 290H, dan di
Pahang pada tahun 419H. Hal yang demikian menurut beliau dibuktikan dengan penemuan
batu nisan bertulisan Jawi seperti yang dijumpai di Pekan, Pahang yang bertarikh 14 Rabiul
Awwal 419H.

1
Walaupun berdasarkan penemuan tesebut menunjukkan kedatangan Islam ke Asia
Tenggara adalah pada tarikh yang lebih awal, namun menurut catatan Marco Polo dan Ibnu
Batutah, agama Islam hanya baharu berkembang pesat pada akhir abad ke-12 sehingga
abad ke-15.(ibid.16)

Dengan kedatangan Islam ini, bukan sahaja agama dan kepercayaan masyarakat di
Kepulauan Melayu berubah, tetapi aspek-aspek kebudayaan yang lain juga turut berubah.
(Hashim Hj. Musa,1999:7) Disamping bahasa yang dipengaruhi oleh Islam seperti
penggunaan perkataan Allah, Rasul, malaikat, dan kitab, aspek-aspek kebudayaan yang
turut berubah disebabkan kedatangan Islam ialah aspek falsafah.

Menurut Mohd. Sulaiman Hj. Yassin (1982:20), sebelum lahirnya perkataan falsafah
di Yunani, perkataan yang umum dan sering digunakan ialah perkataan hikmat. Beliau
memetik perkataan Pythagores yang menyebut bahawa:

“Al-Hikmah hanyalah kepunyaan Allah sahaja. Manusia hanya berusaha dengan


segala daya dan tenaga untuk mengetahui sahaja. Apa yang terdaya pada
manusia hanyalah ‘mencintai hikmat’, merindui ma’rifat, dan mencari hakikat”, iaitu
falsafah.

Perkataan hikmat yang telah digunakan oleh orang Arab sebelum kedatangan Islam
mempunyai tiga maksud yang berbeza iaitu:

1. Hukum atau keputusan yang diberikan oleh hakim.


2. Para pengubat yang digelar Tobib atau lebih dikenali sekarang sebagai doktor, atau
3. Pendapat-pendapat dan fikiran-fikiran dari ahli fikir.

Walaupun ketiga-tiga maksud di atas berbeza, namun maksud di atas mempunyai


persamaan dari unsur yang sama; seperti yang diakui oleh pakar bahasa iaitu ‘ilmu yang
padu dan pengalaman’.(ibid.:21)

Al-Quran pula mengulangi perkataan al-hikmah sebanyak 20 kali dalam 12 surah al-
Quran. Menurut al-Fairuz Abadi, seorang pakar bahasa Arab, perkataan al-hikmah dalam al-
Quran mempunyai enam maksud iaitu:

1. Kenabian dan risalah. Contohnya adalah seperti dalam Surah Ali Imran:48, Sad:20,
dan Al-Baqarah:251.
2. Al-Quran, Tafsir dan Takwil. Contohnya seperti dalam Surah al-Baqarah:269.
3. Kefahaman yang mendalam dan kefaqihan dalam agama. Contohnya seperti dalam
Surah Maryam:12.
4. Peringatan. Contohnya dalam Surah an-Nisa’:54.

2
5. Ayat al-Quran, perintah serta larangannya. Contohnya seperti dalam Surah an-
Nahl:125.
6. Hujah akal yang bertepatan dengan hukum syarak. Contohnya seperti dalam Surah
Lukman:12.

Terdapat juga perkataan al-hikmah yang digunakan dalam hadis Nabi Muhammad
SAW. Contohnya seperti hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari:

“Daripada Ibnu Abbas RA, beliau berkata: Rasulullah SAW telah mendekatkan
aku ke dadanya lalu Baginda SAW bersabda: “Ya Allah, ajarkanlah kepadanya
hikmah”.

Sarjana-sarjana Islam berbeza pandangan dalam mentafsirkan maksud hikmah


dalam hadis ini. Menurut Imam al-Bukhari, hikmah adalah perkataan benar yang bukan dari
kenabian. Menurut Imam Ibnu Hajar pula, hikmah ialah kebenaran dalam perkataan,
kefahaman daripada Allah, kebenaran yang disaksikan akal, atau cahaya yang dapat
membezakan antara ilham dan keraguan. Terdapat pula sebahagian sarjana Islam yang lain
mentafsirkan maksud hikmah dalam hadis ini adalah al-Quran.

Secara tuntasnya, dapatlah dirumuskan bahawa Islam dan falsafah bukanlah dua
perkara yang bertentangan. Islam yang memuliakan manusia kerana kebolehan berfikir
sentiasa menyeru manusia menggunakan akal fikiran bagi mencapai kebahagiaan di dunia
dan akhirat. Tetapi garis pemisah yang menjarakkan Islam dan falsafah ialah falsafah yang
mengikut hawa nafsu tanpa berpedomankan wahyu.

2.2 PENDIDIKAN MENURUT ISLAM

Menurut Zawawi Hj. Ahmad (1984) dalam Noriati A. Rashid (2014:47), pendidikan
menurut Islam ialah satu proses berterusan untuk merubah, melatih dan mendidik akal,
jasmani, dan rohani manusia berasaskan nilai-nilai Islam yang bersumberkan wahyu bagi
melahirkan insan yang bertakwa dan mengabdikan diri kepada Allah SWT untuk mencapai
kejayaan di dunia dan di akhirat.

Mohd Ibrahim Salim membahagikan pendidikan dalam Al-Quran yang merupakan


sumber utama rujukan dalam Islam kepada tiga bahagian iaitu:

1. Asas dan prinsip al-Quran yang menyusun hubungan manusia dengan dirinya
sendiri. Contoh ayat al-Quran yang berkenaan asas dan prinsip ini ialah Surah ar-
Rum:8.
2. Asas dan prinsip al-Quran yang mengatur hubungan manusia dengan Penciptanya.
Contohnya seperti dalam Surah az-Zariyat:50.

3
3. Asas dan prinsip al-Quran yang mengatur hubungan manusia dengan masyarakat.
Contohnya seperti dalam Surah al-Isra’:23.

Berdasarkan pendapat beliau tersebut, ternyatalah bahawa pendidikan yang


dikehendaki Islam mencakupi seluruh bidang kemanusiaan, meliputi hubungan dan
tanggungjawab manusia terhadap dirinya sendiri, Pencipta, dan alam sekeliling.

Ini dikukuhkan lagi dengan pendapat Hanafi Mohamed (1996:113), bahawa


wawasan pendidikan yang digariskan oleh al-Quran amat luas dan sempurna dalam usaha
membimbing manusia mencapai kejayaan dan kebahagian hidup di dunia dan akhirat.
Aspek-aspek pendidikan yang terkandung dalam al-Quran adalah seperti pendidikan tauhid,
keimanan, ibadah, akal, akhlak, jasmani, ketrampilan, dan kemasyarakatan.

Kesimpulannya, pendidikan dalam Islam ialah usaha yang berterusan yang


mencakupi segenap aspek kehidupan manusia yang berhubung dengan tanggungjawabnya
terhadap diri sendiri, Tuhan, keluarga, masyarakat, negara, dan seterusnya terhadap alam
sejagat.

2.3 KONSEP FALSAFAH PENDIDIKAN ISLAM

Menurut Ahmad Mohd Salleh (2008:21), falsafah merupakan kompenan yang


penting, utama, dan tertinggi di dalam pendidikan. Ini disebabkan kerana sikap manusia
yang ingin dilahirkan adalah bergantung pada falsafah yang disalurkan melalui pendidikan.
Pendidikan ialah pemindahan nilai-nilai, sama ada ilmu atau kemahiran dari generasi ke
generasi, sedangkan yang menentukan nilai-nilai apakah yang akan dipindahkan itu adalah
falsafah. Oleh yang demikian, falsafah yang berteraskan materialistic atau kebendaan hanya
akan melahirkan masyarakat yang mementingkan kebendaan dan keseronokan hidup di
dunia sahaja.

Turki Rabib (1982) dalam Ahmad Mohd Salleh (2008:20), berpendapat bahawa
Falsafah Pendidikan Islam dibina berasaskan empat rukun, iaitu:

1. Iman yang teguh kepada Allah dan Rasul, malaikat, syurga, neraka, dan hari
kebangkitan.
2. Akhlak yang baik dan mulia.
3. Berilmu dalam erti yang menyeluruh.
4. Amal soleh di dunia dan di akhirat.

Falsafah Pendidikan Islam berusaha melahirkan individu yang baik, seterusnya


melahirkan warganegara yang beriman dan beramal soleh. Ia turut berusaha untuk

4
melahirkan insan yang mempunyai keseimbangan dari segi kebendaan dan rohani. Oleh itu,
insan yang lahir dari sistem pendidikan yang berteraskan Falsafah Pendidikan Islam akan
bersifat taqwa, ikhlas, ihsan, itqan, istiqamah dan seterusnya menerbitkan sifat-sifat
kemanusiaan yang terpuji seperti berkasih-sayang, hormat-menghormati, dan
berkeperibadian tinggi. (Ahmad Mohd. Salleh, 2008:21)

Menurut Mohd. Kamal Hassan (1987) dalam Ahmad Mohd. Salleh (2008:21),
Falsafah Pendidikan Islam juga menekankan konsep-konsep berikut:

1. Pendidikan seumur hidup.


2. Pembangunan seluruh potensi (roh, akal, dan jasad) secara padu mencakupi aspek
kognitif, afektif, dan volitional.
3. Menyampaikan dua fungsi iaitu:
i. sebagai hamba kepada Allah (ubudiyyah), dan
ii. sebagai khalifah Allah (wakil Allah di bumi).
4. Memakmurkan seluruh alam.
5. Kesepaduan dan kesempurnaan iman, ilmu, dan amal soleh.
6. Kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

Berdasarkan konsep Falsafah Pendidikan Islam seperti di atas, dapat disimpulkan


bahawa Falsafah Pendidikan Islam bukan sahaja mementingkan pemindahan ilmu dan
pengetahuan, tetapi turut menekankan aspek nilai dan akhlak mulia dalam usaha mencapai
matlamat pengutusan Nabi Muhammad SAW iaitu menyempurnakan akhlak. Falsafah
Pendidikan Islam juga adalah falsafah yang bersifat bersepadu antara iman, ilmu, dan amal
serta bermatlamatkan kebahagiaan dan kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.

3.0 PENGARUH FALSAFAH PENDIDIKAN ISLAM TERHADAP FALSAFAH


PENDIDIKAN KEBANGSAAN

Wajah manusia yang ingin dijelmakan hasil daripada sistem pendidikan negara mestilah
wajah manusia yang indah dan unggul. Manusia yang dibentuk ini seharusnya insan yang
baik dan mulia, rakyat yang amanah dan bertanggungjawab serta warganegara yang setia
dan bersemangat tinggi. Insan inilah yang akan membina keluarga yang baik, seterusnya
masyarakat sehinggalah kepada terbentuknya bangsa dan negara yang baik. (Tajul Arifin
dan Noraini, 1992 dlm. Ahmad Mohd. Salleh, 2008)

Matlamat-matlamat luhur seperti yang tersebut di atas, hanya mampu dicapai jika
sistem pendidikan diaspirasikan oleh falsafah yang mendokong matlamat-matlamat tersebut.

5
Oleh yang demikian, maka Falsafah Pendidikan Kebangsaan telah dibentuk pada tahun
1987 seperti di bawah:

“Pendidikan di Malaysia ialah suatu usaha yang berterusan ke arah


mengembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk
mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi,
dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini
adalah untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan,
berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, dan berkeupayaan mencapai
kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan
kemakmuran masyarakat dan negara”.

(Pusat Latihan KBSM, FPN, 1990)

Menurut Noriati A. Rashid (2014:60), Falsafah Pendidikan Kebangsaan telah digubal


oleh ideologi-ideologi negara beraspirasikan Falsafah Pendidikan Islam.

3.1 USAHA BERTERUSAN

Pengaruh Falsafah Pendidikan Islam terserlah dalam Falsafah Pendidikan


Kebangsaan yang menyebut bahawa pendidikan di Malaysia adalah usaha yang berterusan.
Ini jelas seperti yang disebut oleh Mohd. Kamal Hassan (1987) bahawa Falsafah Pendidikan
Islam menekankan konsep pendidikan seumur hidup.

Pendidikan seumur hidup atau dengan kata lain secara berterusan penting
memandangkan perkembangan semasa yang sentiasa berubah. Islam mementingkan
pendidikan sejak anak masih kecil lagi. Ini terbukti dengan perintah Nabi Muhammad SAW
yang menyuruh ibu bapa mendidik anak-anak bersembahyang walaupun masih berumur
tujuh tahun. Bahkan sarjana Islam, Imam Ahmad Bin Hanbal ketika ditanya kenapa beliau
masih memegang dakwat di tangan sedangkan umurnya telah lanjut malahan pula beliau
merupakan seorang ilmuan yang terulung. Beliau menjawab, “Dakwat akan bersamaku
sehinggalah aku ke kubur”.

Ini jelas membuktikan pendidikan menurut Islam adalah pendidikan sepanjang hayat
dan ternyata konsep ini mempengaruhi Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

3.2 MENYELURUH DAN BERSEPADU

Falsafah Pendidikan Kebangsaan juga menyebut tentang mengembangkan potensi


individu secara menyeluruh dan bersepadu sama ada dari segi intelek, rohani, emosi, dan
jasmani. Perkembangan individu secara menyeluruh dan bersepadu ini bertitik tolak dari
konsep Falsafah Pendidikan Islam yang kedua seperti disebut oleh Mohd. Kamal Hassan

6
(1987). Islam tidak melihat dari sudut intelek sahaja dalam pembangunan manusia, tetapi
secara menyeluruh, sepadu dan sempurna. Buktinya seperti yang terakam dalam Surah al-
Baqarah: 208.

“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara


keseluruhannya, dan janganlah kamu turuti langkah syaitan. Sesunggunya syaitan
itu musuh kamu yang nyata”.

Justeru, konsep menyeluruh dan bersepadu dalam Falsafah Pendidikan


Kebangsaan terbukti dipengaruhi oleh Falsafah Pendidikan Islam yang paksi
utamanya adalah al-Quran.

3.3 KEPERCAYAAN DAN KEPATUHAN KEPADA TUHAN

Falsafah Pendidikan Negara berteraskan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada


Tuhan. Konsep ini bermaksud bahawa manusia dan alam dijadikan oleh Pencipta,
mengetahui hukum dan fenomena alam mengikut peraturan Pencipta, dan menyedari
bahawa manusia dijadikan untuk memakmurkan alam. (Ahmad Mohd. Salleh, 2008)

Aspek ini adalah merupakan asas dan rukun yang utama dalam Falsafah Pendidikan
Islam. Falsafah Pendidikan Islam tidak menerima sebarang pendidikan atau kurikulum yang
menyebabkan manusia yang akan dilahirkan kelak manusia yang atheis. Manusia atheis
hanya bertuhankan hawa nafsu dan kebendaan. Hal ini akan menyebabkan keharmonian
dalam masyarakat akan terganggu.

Al-Nahwi dalam Noriati A. Rashid (2014:47) turut menyenaraikan bahawa asas


pertama dalam Falsafah Pendidikan Islam ialah keimanan kepada Allah SWT.

Oleh yang demikian, hubungan asas pertama dalam Falsafah Pendidikan Islam ini
dengan pembentukan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang berasaskan kepercayaan dan
kepatuhan kepada Tuhan tidak dapat disangkal lagi bahawa diaspirasikan dari Falsafah
Pendidikan Islam.

3.4 KEHARMONIAN DAN KEMAKMURAN MASYARAKAT DAN NEGARA

Falsafah Pendidikan Kebangsaan bertujuan melahirkan insan yang menyumbang ke arah


keharmonian dan kesejahteraan negara. Tujuan ini dapat dicapai dengan memupuk
perpaduan, melalui semangat kerjasama, berbakti, toleransi, kekitaan dan hormat-
menghormati. (ibid.:67)

Konsep Falsafah Pendidikan Islam pula adalah menyampaikan dua fungsi iaitu;
sebagai hamba Allah dan khalifah Allah (Mohd. Kamal Hassan, 1987). Antara

7
tanggungjawab sebagai khalifah ialah berusaha memakmurkan masyarakat dan negara.
Islam tidak hanya menjaga hubungan hamba dengan Penciptanya, bahkan menjaga
hubungan hamba dengan masyarakat sekelilingnya. Perkara ini jelas dengan perintah Allah
SWT dalam al-Quran yang menyuruh umat Islam tolong-menolong atas jalan kebaikan dan
taqwa. (Surah al-Maidah:2)

Justeru, konsep kemakmuran dan keharmonian masyarakat dan negara dalam


Falsafah Pendidikan Kebangsaan adalah dipengaruhi oleh Falsafah Pendidikan Islam.

Berdasarkan elemen-elemen yang disebutkan di atas, dapatlah kita simpulkan


bahawa asas pembentukan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dipengaruhi dan diaspirasikan
daripada Falsafah Pendidikan Islam.

4.0 KEPENTINGAN FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN KEPADA GURU

Menurut Noran Fauziah Yaakub dan Ahmad Mahdzan Ayob (1992:26-31), peranan utama
guru di dalam sistem pendidikan ialah sebagai penyampai ilmu, pengawal tingkah laku
murid, penilai prestasi pelajar, ibu bapa gantian, pelaksana kurikulum, dan sarjana serta
penyelidik.

Berdasarkan peranan-peranan tersebut, Falsafah Pendidikan Kebangsaan penting


kepada guru sebagai kompas yang menunjuk ke arah manakah para pelajar akan dibawa.
Jika seseorang guru tidak memahami Falsafah Pendidikan Kebangsaan, maka guru tersebut
hanya akan bertindak sebagai penyampai ilmu sahaja tanpa menekankan potensi-potensi
pelajar yang lain. Hal yang demikian akan menyebabkan pelajar yang akan dilahirkan
adalah pelajar yang tiada keseimbangan antara jasmani, emosi, rohani, dan intelek.

Menurut Noriati A. Rashid (2008:61), ketidakseimbangan ini berlaku pada awal tahun
1990-an sebelum diperkenalkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dengan pelajar-pelajar
tersebut bijak dari segi mental tetapi buruk dari segi akhlak dan tingkah laku. Sejarah seperti
ini tidak mustahil akan berulang jika guru mengecilkan peranan Falsafah Pendidikan
Kebangsaan.

Kurikulum yang dibina oleh Kementerian Pendidikan Malaysia turut mengandungi


Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Kurikulum tersebut tidak akan berjaya mendokong
aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan jika pelaksananya, iaitu guru tidak memahami
Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Justeru, penanda aras dalam menentukan kejayaan
sesuatu kurikulum tergalas di atas bahu para guru.

8
5.0 PENUTUP

Islam yang merupakan agama rasmi Persekutuan mempunyai pengaruh dalam membentuk
pola pemikiran masyarakat Malaysia. Islam yang bertapak kukuh di Malaysia bukan sahaja
mempengaruhi kebudayaan, bahasa, tulisan, bahkan turut berperanan dalam membentuk
falsafah masyarakat dan negara.

Pengaruh falsafah jelas dapat dilihat dengan persamaan yang ketara antara
matlamat Falsafah Pendidikan Islam dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang
berhasrat melahirkan insan yang seimbang antara jasmani, emosi, rohani, dan intelek.

Justeru, rumusan yang tuntas adalah Falsafah Pendidikan Islam mempunyai


pengaruh dalam pembentukan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

9
RUJUKAN

Ahmad Mohd Salleh, (2008). Pengajian Agama Islam & j-QAF: Metodologi dan Pedagogi
Pendidikan. Shah Alam: Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Amat Juhari Moain, (1996). Perancangan Bahasa: Sejarah Aksara Jawi. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.

Hanafi Mohamed, (1996). Falsafah Pendidikan Menurut Islam. Batu Caves: Pustaka Ilmi.

Hashim Hj. Musa, (1999). Sejarah Perkembangan Tulisan Jawi. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.

Mahmud Yunus, (2013). Al-Quran Terjemahan dan Tafsir Mukhtasar. Klang: Darul Furqaan.

Mohd. Ibrahim Salim, (t.t.). Manhaj Tarbiyah al-Tifl al-Muslim min Taujihat al-Quran al-Karim.
Kaherah: Maktabah al-Quran Li al-Taba’ wa al-Nasr wa al-Tauzi’.

Mohd. Sulaiman Hj. Yasin, (1982). Pengantar Falsafah Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka. Cetakan Kedua

Noran Fauziah Yaakub dan Ahmad Madzhan Ayob, (1992). Guru dan Perguruan. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Cetakan ketiga.

Noriati A. Rashid, Lee Keok Cheong, Zulkifli Mahayudin dan Zakiah Noordin, (2014).
Falsafah dan Pendidikan di Malaysia. Shah Alam: Oxford Fajar Sdn. Bhd.

http://www.alrassxp.com/forum/t9042.html dilayari pada 2/3/2015 jam 3.56 petang

10

Anda mungkin juga menyukai