Anda di halaman 1dari 135

INTEGRASI PENDEKATAN SPIRITUAL DAN AGAMA DALAM MENANGANI

KES KAUNSELING KELUARGA DAN PERKAHWINAN DI MALAYSIA

UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA


1

ABSTRAK

Perkhidmatan kaunseling keluarga dan perkahwinan menggunakan integrasi spiritual


dan agama merupakan strategi nilai tambah dalam membantu klien. Tujuan kajian ini
adalah meneroka kompetensi kaunselor, strategi integrasi yang digunakan,
kecenderungan memilih strategi, dorongan serta cabaran yang dihadapi oleh kaunselor
dalam mengintegrasikan spiritual dan agama dalam kes kaunseling keluarga dan
perkahwinan. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif dengan reka bentuk kajian
kes. Kaedah pengumpulan data menggunakan teknik temu bual mendalam, analisis
dokumen dan pemerhatian rakaman video. Peserta kajian dipilih melalui teknik
pensampelan bertujuan. Seramai 13 orang kaunselor berdaftar dari tiga buah pusat
kaunseling yang memenuhi kriteria telah dipilih. Data yang dikumpul dan dianalisis
menerusi teknik analisis tema dengan menggunakan perisian NVIVO 11. Kajian ini
menemui kemunculan 16 tema kompetensi dalam faktor kesedaran kendiri kaunselor,
faktor komunikasi dan faktor diagnosis serta rawatan yang menjadikan secara
keseluruhan sebanyak 30 kompetensi kaunselor dalam mengintegrasikan spiritual dan
agama. Kajian ini juga mendapati kaunselor menggunakan strategi implisit secara intra-
kaunselor dan inter-klien manakala strategi eksplisit digunakan mengikut keperluan dan
penerimaan klien. Kaunselor cenderung memilih strategi secara implisit berdasarkan
keutamaan dan keselesaan diri klien serta didorong oleh pegangan dan nilai spiritual
dan agama yang dipunyai oleh kaunselor. Hasil kajian turut menunjukkan bahawa
cabaran implikasi pendekatan spiritual dan agama datang dari diri kaunselor dan klien.
Model integrasi strategi spiritual dan agama dalam kes kaunseling keluarga dan
perkahwinan telah dapat dikonseptualkan dalam kajian ini. Akhir sekali, kajian ini turut
mengemukakan cadangan yang signifikan yang boleh dijalankan pada masa akan
datang.
2

THE STRATEGY OF INTEGRATION OF SPIRITUAL AND RELIGIOUS IN THE


CASES OF FAMILY AND MARRIAGE COUNSELING AMONG COUNSELORS IN
MALAYSIA

ABSTRACT

Family and marriage counseling using spiritual and religious integration in a counseling
session is a value-added strategy in assisting clients. The aim of the research is to
explore and understand counselor’s competency in integrating spiritual and religious
approach in counseling sessions. The research adopts qualitative approach utilizing case
study design in exploring the counselor’s competence, integration strategies used, the
tendency of choosing strategies and encouragement and challenges faced by counselors
in integrating spiritual and religious approach in family and marriage counseling cases.
The data collection method comprised of in-depth interview sessions, document
analysis, and video recording observations. A total of 13 registered counselors from
three counseling centers are selected purposefully and is based on a set of defined
criteria. The gathered data were analyzed through thematic analysis techniques using
NVIVO 11 software. The findings discovered the emergence of 16 competence themes
in counselor’s self-awareness factors, communication factors and diagnostic and
treatment factors that make up the overall 30 competence of counselors in integrating
spiritual and religious. This study found that counselors used identified implicit
strategies in intra-counselor and inter-client, while explicit strategies were used
according to the clients' needs and acceptance. Clients’ wellbeing as well as counselors’
spiritual, and religious values is a priority in counselors’ selection of implicit strategies
in a counseling session. It is noted that the issues and challenges in the integration of
this approach in a counseling session are due to the counselors and clients themselves.
This study has successfully proposed a family and marriage counseling model that
integrates spiritual and religious strategies in counseling sessions. Finally, this study
presents several significant implementations and viable future studies.
3

KANDUNGAN

Halaman

PENGAKUAN Error! Bookmark not defined.


PENGHARGAAN Error! Bookmark not defined.
ABSTRAK 1
ABSTRACT 2
KANDUNGAN 3
SENARAI JADUAL Error! Bookmark not defined.
SENARAI ILUSTRASI Error! Bookmark not defined.
SENARAI SINGKATAN Error! Bookmark not defined.

BAB I PENDAHULUAN
1.1 Pengenalan 6
1.2 Perkhidmatan Kaunseling Keluarga dan Perkahwinan di
Malaysia 6
1.3 Konsep Spiritual dan Agama dalam Keluarga dan
Perkahwinan 8
1.4 Latar Belakang Integrasi Spiritual dan Agama dalam Kes
Kaunseling Keluarga dan Perkahwinan 14
1.5 Pernyataan Masalah 21
1.6 Tujuan Kajian 24
1.7 Objektif Kajian 25
1.8 Persoalan Kajian 25
1.9 Kerangka Konseptual Kajian 26
1.10 Batasan Kajian 30
1.11 Kepentingan Kajian 30
1.12 Definisi Istilah 32
1.12.1 Integrasi pendekatan spiritual dan agama 32
1.12.2 Strategi integrasi secara implisit dan eksplisit 32
1.12.3 Kompetensi kaunselor dalam mengintegrasikan
spiritual dan agama dalam kaunseling 33
1.12.4 Spiritual dan agama 34
1.12.5 Kaunseling keluarga dan perkahwinan 35
1.12.6 Pengamal kaunseling keluarga dan perkahwinan 36
1.13 Rumusan 36
4

BAB II KAJIAN KEPUSTAKAAN


2.1 Pendahuluan 38
2.2 Kajian Spiritual dan Agama Dalam Keluarga dan
Perkahwinan di Malaysia 38
2.3 Kajian Spiritual dan Agama dalam Keluarga dan
Perkahwinan di Luar Negara 42
2.4 Kajian Kompetensi Kaunselor Dalam Integrasi
Pendekatan Spiritual dan Agama di Malaysia 45
2.5 Kajian Kompetensi Kaunselor Dalam Integrasi Spiritual
dan Agama di Luar Negara 50
2.6 Kajian Integrasi Menggunakan Pendekatan Spiritual dan
Agama dalam Intervensi Kaunseling di Malaysia 54
2.7 Kajian Integrasi Menggunakan Pendekatan Spiritual dan
Agama dalam Kaunseling di Luar Negara 61
2.8 Teori Kaunseling Keluarga Serta Perkaitan Konsep
Spiritual dan Agama 67
2.8.1 Teori Kaunseling Keluarga dan perkahwinan 68
2.8.2 Teknik Spiritual dan Agama dalam Kaunseling
Keluarga dan Perkahwinan 76
2.9 Kaunseling Menggunakan Pendekatan Islam 77
2.10 Model Integrasi Strategi Implisit dan Eksplisit Pendekatan
Spiritual dan Agama Dalam Kaunseling 82
2.11 Kompetensi Kaunselor Menangani Isu Spiritual dan
Agama Dalam Kaunseling 88
2.12 Rumusan 94

BAB III METODOLOGI KAJIAN


3.1 Pendahuluan 95
3.2 Falsafah dan Paradigma Kajian 96
3.3 Reka bentuk Kajian 97
3.4 Tatacara Menjalankan Kajian 99
3.5 Tempat Kajian 101
3.6 Pemilihan Peserta Kajian 102
3.7 Kaedah Pengumpulan Data 103
3.7.1 Kaedah temu bual secara mendalam 104
3.7.2 Kaedah analisis dokumen 107
3.7.3 Kaedah pemerhatian rakaman video 108
3.8 Proses Kesahan dan Kebolehpercayaan Kajian 110
5

3.8.1 Teknik trustworthiness 113


3.8.2 Teknik penentuan kesahan dan
kebolehpercayaan 115
3.9 Kajian Rintis 127
3.10 Etika Dalam Kajian Kualitatif 128
3.11 Ketepuan Data 129
3.12 Prosedur Penganalisisan Data 130
3.13 Rumusan 133
6

BAB I

PENDAHULUAN

1.1 PENGENALAN

Bab ini membincangkan dan menjelaskan tajuk-tajuk utama kajian. Perbincangan


dalam bab ini adalah berkaitan perkhidmatan kaunseling keluarga dan perkahwinan di
Malaysia, konsep spiritual dan agama dalam institusi keluarga dan perkahwinan, latar
belakang integrasi spiritual dan agama dalam menangani kes-kes kaunseling keluarga
dan perkahwinan, pernyataan masalah, tujuan kajian, objektif kajian, persoalan kajian,
kerangka konseptual kajian, batasan kajian, kepentingan kajian, definisi istilah serta
rumusan.

1.2 PERKHIDMATAN KAUNSELING KELUARGA DAN PERKAHWINAN DI


MALAYSIA

Di Malaysia, perkhidmatan dalam menangani kes keluarga dan perkahwinan bermula


pada tahun 1963 di jabatan agama berikutan peraturan pentadbiran mengenai
perkahwinan dan isu-isu berkaitan dengannya perlu melalui jabatan tersebut. Proses
membantu pasangan dan keluarga pada awalnya dijalankan oleh kadi. Selepas itu,
perkhidmatan tersebut diperluaskan dengan melibatkan pegawai runding cara dalam
mengendalikan aduan-aduan dan memberikan perkhidmatan kaunseling kepada
pasangan yang bermasalah (Norhayati Md Salleh 2013). Perkhidmatan ini kemudiannya
lebih dikenali sebagai perkhidmatan runding cara keluarga dan perkahwinan yang
dikendalikan oleh pegawai sulh dan juga kaunselor di jabatan tersebut (Mohd Fuad
Mohd Salleh & Jamilah Othman 2008; Mohd Fuad Mohd Salleh 2016).
7

Pada tahun 1996, Unit Kaunseling Keluarga Polis Diraja Malaysia (PDRM)
mula memberikan perkhidmatan keluarga kepada kakitangan dan anggota PDRM. Pada
tahun 2002, Kompleks KASIH Keluarga telah menawarkan perkhidmatan latihan
kemahiran keluarga serta kaunseling pasangan. Berikutnya, pada tahun 2005, PDRM
melalui Bahagian Agama dan Kaunseling (BAKA) menawarkan pula perkhidmatan
kaunseling keluarga kepada anggota PDRM dan keluarga (Rafidah Aga Mohd Jaladin
2014). Perkembangan perkhidmatan ini berlaku selaras dengan keperluan masyarakat
dalam menghadapi cabaran meningkatkan kualiti kehidupan dan kesihatan mental
sejajar dengan tuntutan Malaysia menjadi sebuah negara maju (Mohd Tajudin Ninggal
2014; Norsafatul Aznin Abd Razak & Melati Sumari 2014).

Perkhidmatan kaunseling keluarga bertujuan memperbaiki dan membina


hubungan serta interaksi yang positif antara suami dengan isteri serta ibu bapa dengan
anak-anak. Melalui proses kaunseling keluarga adalah untuk menyedarkan klien tentang
masalah yang dihadapi oleh keluarga termasuklah hubungan dalam keluarga dan
persekitarannya. Dengan cara menangani emosi klien, kaunselor dapat memahami
punca sebenar masalah yang dihadapi (Lee 2015; Saedah A. Ghani 2004).

Kaunseling perkahwinan pula dilaksanakan kepada pasangan yang telah


berkahwin sama ada untuk mempertingkatkan lagi hubungan perkahwinan atau untuk
memecahkan kebuntuan yang wujud dalam perhubungan mereka. Khidmat kaunseling
dapat membantu pasangan suami isteri dalam mengurus isu yang dihadapi dengan lebih
efektif agar dapat mengelakkan masalah yang kecil menjadi lebih besar dan serius.
Dalam proses kaunseling, kaunselor memfokuskan peranan, corak perhubungan, dan
matlamat yang ingin dicapai oleh pasangan yang terlibat. Penilaian aspek positif dalam
perhubungan dapat membantu pasangan memahami isu, mengubah corak komunikasi
serta mencuba pendekatan yang lebih berkesan bagi menangani isu perkahwinan yang
sedang dihadapi (Yusmini Md Yusoff 2003).

Bagi merealisasikan penyampaian perkhidmatan kaunseling keluarga dan


perkahwinan di Malaysia, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan
Masyarakat (KPWKM) menawarkan perkhidmatan tersebut menerusi Jabatan
Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga
8

Negara (LPPKN). Selain itu, Pusat Kaunseling Majlis Agama Islam Negeri Sembilan
(PK MAINS) turut menyediakan perkhidmatan kaunseling keluarga dan perkahwinan
kepada orang ramai. Perkhidmatan yang ditawarkan di pusat-pusat kaunseling ini
keseluruhannya dikendalikan oleh kaunselor profesional. Perkhidmatan kaunseling di
JKM memberi fokus kepada intervensi keluarga yang melibatkan kanak-kanak yang
dikenakan perintah mahkamah di bawah Akta Kanak-kanak 2001. Bagi memulihkan
kefungsian dalam sistem keluarga, intervensi tersebut membantu mengurangkan
permasalahan yang dihadapi oleh keluarga termasuk hal yang berkaitan dengan
pelanggaran undang-undang dan kes-kes mahkamah (Norhayati Mohd Noor 2012).
LPPKN pula memberikan tumpuan terhadap perkhidmatan perancang keluarga melalui
pendekatan klinikal dalam bidang pembangunan, keluarga dan kependudukan. Aktiviti-
aktiviti yang dijalankan meliputi pendidikan remaja, keibubapaan dan modul
perkahwinan seperti Modul Smart-start dan Modul Bahtera Kasih (Norhayati Mohd
Noor 2012). Manakala PK MAINS pula memberikan perkhidmatan kaunseling secara
terbuka kepada seluruh masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama. Perkhidmatan
kaunseling yang ditawarkan meliputi kaunseling individu, kaunseling kelompok,
kaunseling keluarga, kaunseling perkahwinan dan kaunseling kerjaya (Salasiah Hanin
Hamjah 2010).

1.3 KONSEP SPIRITUAL DAN AGAMA DALAM KELUARGA DAN


PERKAHWINAN

Agama merupakan perkara penting dalam kehidupan manusia. Agama mengandungi


satu set kepercayaan dan keyakinan terhadap sesuatu ajaran termasuk aktiviti ritual
seperti amal ibadat dan hubungan dengan Tuhan. Terdapat tujuh agama utama di dunia
yang terdiri daripada agama Islam, Yahudi, Kristian, Hindu, Buddha, Confucius dan
Taoisme. Setiap agama menganjurkan umatnya melakukan perkara-perkara kebaikan
dan melarang daripada melakukan perkara yang tidak baik dan agama-agama tersebut
mempunyai penganutnya yang tersendiri menurut kepercayaan dan amalan masing-
masing (Onedera 2008).

Agama Kristian merupakan mazhab daripada kepercayaan Yahudi yang


menerima doktrin triniti sebagai ajaran utama. Bible adalah kitab suci penganut Kristian
yang memimpin manusia ke arah kehidupan yang bermoral dan menjauhi segala perkara
9

yang negatif. Agama Kristian memerintah penganutnya mematuhi segala perintah


Tuhan. Mereka dituntut agar menghormati dan melayan ibu bapa dengan penuh kasih
sayang, berkasih sayang sesama manusia dengan menjalinkan hubungan murni terhadap
tuhan, rakan, keluarga, saudara-mara, jiran, malah kepada musuh. Agama Kristian
melihat perkahwinan sebagai suatu hubungan yang suci antara seorang lelaki dan
perempuan. Demi menjaga keharmonian hidup, agama Kristian melarang penganutnya
melakukan sebarang kejahatan seperti membunuh, mencuri, minum arak, berzina dan
berdendam. Manakala perceraian dalam agama Kristian tidak dibenarkan sama sekali
dan sesebuah perkahwinan itu adalah dianggap sebagai hubungan suami isteri yang suci
dan kekal sepanjang hayat (Rahman 2012).

Bagi penganut agama Hindu, Tuhan dikenali dengan istilah Brahman iaitu
konsep ketuhanan yang abstrak yang dipersepsi kan dengan memberi nama, rupa dan
sifat kepada tuhan. Terdapat banyak simbol dalam menerangkan konsep ketuhanan
dalam tradisi agama Hindu. Ini termasuklah patung suci, gambar dan lakaran dewa-
dewi, simbol binatang, tumbuhan, senjata, struktur kuil dan sebagainya. Lima prinsip
utama agama Hindu iaitu kewujudan tuhan yang tunggal, manusia itu suci, perpaduan
melalui percintaan, harmoni dan pengetahuan tentang sungai, kitab dan mantera yang
suci. Dalam agama Hindu, perkahwinan merupakan suatu ikatan yang kekal hingga ke
akhir hayat yang dianggap suci dan mulia. Perkahwinan merupakan suatu cara
seseorang mendapatkan kebahagiaan dalam hidup. Melalui perkahwinan, kehidupan
bermula sebagai pasangan suami isteri dan seterusnya dapat melahirkan zuriat yang
memberi kebahagiaan kepada sesebuah keluarga seterusnya memberi kemakmuran
kepada sesebuah masyarakat dan negara (Johan 2016).

Agama Buddha pula diasaskan oleh Siddhartha Gautama yang selalu


memikirkan punca penderitaan dan kemelaratan hidup. Dalam usia 29 tahun, dia
meninggalkan istana dan memulakan kehidupan zuhud yang akhirnya berteduh di
bawah sepohon pokok iaitu tempat dia mendapat petunjuk. Dia diberi gelaran Buddha,
seorang arif yang bercahaya atau Gautama yang bermaksud pendeta. Ajaran Buddha
tidak mengajar hal-hal tentang ketuhanan dan metafizik tetapi sebaliknya merupakan
ajaran psikologi dan etika yang berkaitan dengan kehidupan. Tahap pertama untuk
membebaskan diri daripada pusingan kelahiran adalah dengan mengamalkan sila
10

seperti mengawal nafsu, mengelakkan dosa besar dan pengorbanan berdarah (Ayu Nor
Azilah Mohamad 2016). Perkahwinan dalam agama Buddha bukanlah suatu kewajipan
tetapi sebagai pilihan. Dalam hal ini, seorang penganut agama Buddha boleh memilih
untuk berkahwin atau hidup sendiri. Sekiranya mereka memilih untuk berkahwin,
agama Buddha menyarankan empat sikap yang baik dalam hidup berumah tangga iaitu;
mencintai pasangan, bercakap dengan cara yang baik, membahagiakan pasangan dan
tidak sombong terhadap pasangan (Perkahwinan dalam agama Buddha n.d.).

Di Barat, para sarjana memberi takrifan tentang spiritual dan agama secara
terpisah. Spiritual didefinisikan sebagai nilai dan kepercayaan dalaman seseorang yang
mengandungi kesedaran, subjektiviti, pengalaman, hala tuju dan usaha ke arah sesuatu
yang lebih besar dan bermakna dalam kehidupan (Aten & Leach 2009). Manakala
agama pula didefinisikan sebagai suatu institusi luaran yang mengandungi aktiviti,
statik dan substantif (Richards & Bergin 2007). Oleh itu, di Barat terdapat golongan
yang mengaku spiritual tetapi tidak beragama, segolongan yang lain pula mengaku
beragama tetapi tidak spiritual dan terdapat juga golongan lain yang mengisytiharkan
diri mereka orang spiritual dan beragama (Cashwell & Young 2011a). Walau
bagaimanapun, seorang pengkaji Barat mempunyai pandangan yang berbeza daripada
pandangan di atas. Lee (2002) dalam penulisan artikelnya tentang kesignifikanan
spiritual dan agama dalam model Satir melihat agama dalam konteks yang lebih luas
dan multidimensi yang merangkumi personal, interpersonal, perkauman, dan spiritual.
Menurut pandangan Lee, spiritual adalah sebahagian elemen daripada agama.

Agama Islam berbeza daripada agama-agama yang dinyatakan di atas. Dari segi
bahasa, Islam berasal daripada perkataan Arab yang bererti berserah, tunduk dan patuh.
Dari segi istilah ia membawa maksud berserah, tunduk dan patuh kepada Allah s.w.t.
(Abu’l A’la Al-Maududi 1988). Dalam Islam, agama disebut al-Din yang bermaksud
membenarkan dengan perkataan, mengakui keesaan Allah, mempercayai dan meyakini
Allah serta apa yang disampaikan-Nya, dengan sepenuh hati dan membuktikannya
dengan amalan, melakukan apa yang diperintah serta meninggalkan apa yang dilarang.
Al-Din berbeza dengan maksud kefahaman agama yang difahami secara umum iaitu
hanya terbatas kepada hubungan manusia dengan Tuhannya. Sebaliknya, al-Din yang
mencakupi segenap aspek kehidupan merangkumi hubungan manusia dengan Tuhan,
11

hubungan manusia sesama manusia dan hubungan manusia dengan alam (Ahmad Fauzi
Hj Morad & Ahmad Tarmizi Talib 1997).

Terdapat tiga prinsip utama dalam Islam iaitu Rukun Islam, Rukun Iman dan
ketinggian ihsan. Rukun Islam merupakan asas yang diperlukan dan melengkapi untuk
menegakkan Islam dengan sempurna. Rukun Islam terdiri daripada lima perkara iaitu
mengucap dua kalimah syahadah, mendirikan sembahyang lima waktu sehari semalam,
menunaikan zakat, berpuasa di bulan Ramadan dan mengerjakan haji ke Baitullah bagi
yang berkemampuan. Iman pula dari segi bahasa bermaksud percaya, yakin dan
membenarkan, manakala dari segi syarak bermaksud kepercayaan yang lahirnya dari
hati iaitu mempercayai dengan penuh keyakinan bahawa apa yang dibawa oleh
Rasulullah s.a.w. adalah benar dan datangnya daripada Allah s.w.t. Rukun Iman terdiri
daripada enam perkara iaitu percaya kepada Allah s.w.t., percaya kepada malaikat,
percaya kepada kitab-kitab, percaya kepada rasul-rasul, percaya kepada hari kiamat dan
percaya kepada qada dan qadar. Manakala ihsan dari istilah bahasa bermaksud membuat
sesuatu yang baik, dan dari segi syarak pula bermaksud peribadatan insan semata-mata
untuk Allah kerana berkeyakinan bahawa Allah sentiasa melihat dirinya (Dato’ Ismail
Kamus & Mohd Azrul Azlen Ab. Hamid 2009).

Dari perspektif Islam, spiritual lebih dikenali dengan istilah kerohanian iaitu
satu dimensi yang berasal daripada agama (Rassool 2000, 2016). Ia merupakan aspek
dalaman yang tidak dapat diungkap oleh pancaindera manusia dan mempunyai
hubungan langsung dengan Allah. Mengambil pandangan Imam al-Ghazali, konstruk
spiritual dalam Islam adalah merupakan kombinasi empat elemen iaitu hati, jiwa, akal
dan roh yang bersifat dalaman yang berpengaruh dalam menjelmakan personaliti
seseorang (Suriani, Fariza & Phayilah 2016). Nilai-nilai spiritual yang tinggi
diterjemahkan melalui akhlak yang mulia seperti yang dinyatakan dalam al-Quran,
antaranya seperti sifat sabar, menahan kemarahan, memaafkan kesalahan orang lain,
mengasihi sesama makhluk, melakukan kebajikan dan tidak membalas kejahatan
dengan kejahatan yang dilakukan (Fariza, Salasiah & Mohd Jurairi 2015). Begitu juga
nilai-nilai spiritual dan agama yang diterapkan dalam keluarga yang mempercayai ada
kuasa yang lebih besar dalam memberikan harapan dan sokongan apabila mereka
melalui kesukaran hidup. Mereka melaksanakan prinsip spiritual yang dipegang dalam
12

menjalankan rutin harian secara bersama termasuk aktiviti kekeluargaan dan


keagamaan (Azizi, Halimah, Shahrin, Yusof & Jamaludin 2009).

Bagi masyarakat Islam di Malaysia, pengertian spiritual dan agama membawa


makna yang berbeza daripada pemahaman masyarakat umum di Barat. Kehidupan
beragama memainkan peranan yang signifikan dalam kalangan masyarakat Islam yang
ditonjolkan melalui aktiviti seharian mereka. Amalan keagamaan dalam Islam seperti
mendirikan sembahyang lima kali sehari, membaca al-Quran, sembahyang pada hari
Jumaat, mengerjakan haji di Makkah dan berpuasa pada bulan Ramadan. Oleh itu,
masyarakat Islam di Malaysia cenderung memahami dan memberi definisi yang
berbeza mengenai istilah spiritual dan agama. Melalui amalan keagamaan, individu
dapat merasakan hubungannya dengan Allah dan nilai-nilai kerohanian adalah
berkaitan dengan keimanan dan ketakwaan kepada Allah (Yusmini Md Yusoff 2011).

Al-Quran adalah kitab suci yang diturunkan oleh Allah secara berperingkat-
peringkat melalui Nabi Muhammad s.a.w. sebagai panduan kepada seluruh manusia.
Dalam al-Quran banyak ayat-ayat yang berkaitan kekeluargaan, perkahwinan, anak-
anak termasuk hukum-hukum dan peraturan yang berkaitan keluarga dan perkahwinan.
Jadual 1.1 disenaraikan sebahagian daripada tinjauan pengkaji berkaitan kekeluargaan
dan perkahwinan yang terdapat dalam al-Quran.

Jadual 1.1 Sebahagian surah dan ayat al-Quran yang berkaitan keluarga dan
perkahwinan

Bil Perihal Surah dan ayat al-Quran


1 Keluarga Ali-Imran : (14,35); Al-A’raf : (83); At-Taubah : (24); Hud : (92); Yusuf
: (6); Maryam : (16,55); Taha : (29,132); Al-Anbiyaa’ : (84); Al-Furqan :
(54); Asy-Syu’araa’ : (169-170); At-Tuur : (26); Al-Mujaadalah: (22);
At-Tahriim : (6); Al-Mutaffifiin : (31); Al-Insyiqaaq : (9); Al-Taubah :
(24); Ar-Ra’d : (23); An-Nahl: (72).
2 Perkahwinan An-Nisaa’ : (22,25); An-Nur : (3); Al-Ahzaab : (50); Al-Mumtahanah :
(10); Al-Ahzab: (50); An-Nisaa’ : (25,34-35).
3 Anak-anak Hud : (45-46); Al-Baqarah : (83,132); Al-An’aam : (101,140,151); Al-
& ibu bapa A’raf : (172); Al-Anfaal : (28); Ibrahim: (35); Al-Hijr : (71); An-Nahl :
(58-59); Al-Israa’ : (6); Al-Kahfi : (6,81); Maryam : (21,80); Al-
Mu’minuun : (55); Asy-Syu’araa’: (88-89,133); Luqman : (13,16-19,33-
34); Saba’ : (37); Asy-Syura : (49-50); Al-Mujaadalah : (17); Al-
Munaafiqqun : (9); At-Thaghabuun : (14-15); Nuh : (12,21,27); Al-
Muddaththir: (13); At-Takaathur : (1)
4 Suami dan An-Naml : (57); Al-‘Ankabuut : (33); Al-Baqarah : (222-224); An-
isteri Nisaa’ : (36)
5 Hukum & Al-Baqarah : (221,228); Ali-Imran : (35-36); An-Nisaa’ : (23,127,176);
13

peraturan Hud : (46,78); Al-Israa’: (31); An-Nur : (31,33,59); Al-Ahzab : (4-5,38,


keluarga dan 55,59); At-Talaaq : (4-6); At-Tahriim : (5,12); An-Nisa : (128)
perkahwinan

Sumber: Al-Quran

Islam memandang mulia dan penuh kehormatan terhadap kehidupan


berkeluarga. Islam menganjurkan umatnya berkahwin kerana perkahwinan merupakan
cara yang bermaruah untuk memenuhi keperluan dan fitrah kehidupan manusia. Melalui
perkahwinan, manusia dapat hidup berkasih sayang, mengembangkan zuriat keturunan,
mendapat kedamaian dan beroleh ketenangan dalam kehidupan. Hal ini diterangkan
dalam al-Quran melalui firman Allah dalam surah al-Rum (30): 21 yang bermaksud;
“Dan antara tanda-tanda kebesaran Allah ialah, Dia menciptakan untuk mu isteri-isteri
daripada jenis mu sendiri, agar kamu cenderung dan berasa tenang dan tenteram
kepadanya, dan dijadikan-Nya antara kamu perasaan kasih dan sayang, sesungguhnya
yang demikian itu tanda-tanda bagi orang yang berfikir”. Perkahwinan juga merupakan
sunah Rasulullah s.a.w. dan dianggap sebagai ibadah yang dapat menyempurnakan
setengah daripada agama seseorang berdasarkan hadis riwayat al-Baihaqi r.a yang
bermaksud; “Apabila telah berkahwin seseorang hamba itu, maka dia telah memenuhi
separuh agamanya. Maka bertakwa lah dia kepada Allah pada separuh yang belum
disempurnakan lagi”.

Islam adalah agama yang mempunyai peraturan hidup yang lengkap dan
sempurna dalam pembentukan masyarakat yang sejahtera. Peraturan kehidupan ini telah
ditetapkan melalui peraturan-peraturan perkahwinan dan perjalanan keluarga mengikut
garis panduan al-Quran dan sunah. Pembentukan ini bukan sahaja terdiri daripada
peraturan dan undang-undang malah menitikberatkan aspek tanggungjawab dan nilai-
nilai spiritual seperti akhlak dan adab dalam kehidupan berkeluarga. Bagi menjamin
keadilan dan mengelakkan kezaliman berlaku dalam keluarga, perundangan Islam
dibina berdasarkan sumber yang jelas iaitu al-Quran dan hadis sebagai panduan syariat
Islam. Hal ini menyentuh soal kekeluargaan bermula dari membina rumah tangga,
penceraian, pengisian dalam sebuah keluarga yang berbentuk tanggungjawab sebagai
suami, isteri, ibu bapa dan anak sama ada dalam bentuk material ataupun spiritual
sehinggalah kepada soal pendidikan yang sempurna yang boleh menyelamatkan zuriat
14

keturunan di dunia dan di akhirat (Dato’ Ismail Kamus & Mohd Azrul 2009; Rassool
2016).

Salah faham yang berlaku dalam keluarga yang menganggap dengan memberi
tumpuan kepada nilai-nilai spiritual dan agama menjadikan sebuah keluarga itu hambar
telah mengelirukan masyarakat (Saad 2013). Pegangan agama dan nilai moral boleh
dianalogikan sebagai kompas kepada kehidupan seseorang manusia. Mereka yang
berpegang kepada agama akan memastikan baik atau buruk sesuatu perkara sebelum
bertindak untuk melakukannya (Khadijah Alavi, Salina, Fauziah, Noremy, Mohd
Suhaimi & Nordin 2012). Oleh itu, seseorang yang berpegang kepada agama akan
menjadikan kepercayaan dan prinsip hidup beragama sebagai cara hidup yang sempurna
dalam konteks kehidupan berkeluarga dan bermasyarakat.

1.4 LATAR BELAKANG INTEGRASI SPIRITUAL DAN AGAMA DALAM KES


KAUNSELING KELUARGA DAN PERKAHWINAN

Masyarakat di Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan budaya yang
memerlukan intervensi kaunseling secara holistik dengan mengambil kira semua aspek
termasuk kognitif, tingkah laku, afektif, sistem kepercayaan dan pegangan seseorang
itu (Rafidah Aga Mohd Jaladin & Noh Amit 2014). Walau bagaimanapun pegangan
teori seseorang kaunselor itu, latar belakang budaya klien perlulah diberi perhatian
supaya perkhidmatan kaunseling memberi kesan yang positif kepada diri klien. Begitu
juga dengan aspek spiritual dan agama klien, yang merupakan antara komponen utama
yang perlu diambil kira oleh kaunselor dalam memahami isu-isu secara keseluruhan
yang dibawa oleh klien (Mazidah Mohd Dagang 2013). Menyedari hakikat ini,
pengalaman hidup individu yang mengandungi nilai spiritualiti dan agama merupakan
aspek penting yang tidak boleh diketepikan oleh kaunselor (Yusmini Md Yusoff 2011).

Nilai spiritualiti dan agama adalah salah satu komponen dalam budaya yang
merupakan aspek penting dan perlu diambil kira dalam mengendalikan sesi kaunseling.
Fak (2016) menjelaskan mengenai peranan pelbagai budaya sebagai satu paradigma
baru yang merupakan gerakan keempat selepas Psikoanalitik, Behaviorism dan
Humanistik dalam kaunseling. Keadaan ini memberi gambaran yang jelas tentang
kepentingan aspek pelbagai budaya termasuk keagamaan dan hubungannya dalam
15

membentuk kehidupan seseorang individu (Weber & Pargament 2014). Tambahan pula,
klien tidak meninggalkan kepercayaan dan pegangannya di luar ketika berjumpa dengan
kaunselor, malah membawanya masuk bersama-sama dengan isu-isu lain yang sedang
dihadapinya (Pargament 2007).

Kaunseling keagamaan adalah mengguna pakai teori dan intervensi kaunseling


yang sedia ada dengan memasukkan agama dan spiritual sebagai salah satu aspek yang
diambil kira dalam proses kaunseling tersebut (Worthington, Hook, Davis & McDaniel
2011). Agama juga digunakan sebagai kerangka asas dalam mengkonsepsikan
permasalahan atau isu yang dibawa oleh klien. Di samping itu, intervensi yang
berasaskan kepada agama seperti sembahyang dan berdoa juga diaplikasikan sebagai
salah satu teknik dan strategi dalam proses kaunseling (Salasiah 2010; Sollod 1993; W
Aeshah Ameiha, Rohaizan & Mohd Shahril 2013; Wolf & Stevens 2001). Matlamat
kaunseling keagamaan juga dibina berlandaskan kepada agama yang disifatkan sebagai
menyeluruh dan berkait dengan kesejahteraan spiritual klien (Mazidah 2013).

Di Barat, kaunseling menggunakan pendekatan spiritual dan agama telah lama


berkembang dan bukanlah suatu perkara yang baru (Zinnbauer & Pargament 2000).
Usaha memasukkan elemen keagamaan dalam kaunseling telah bermula sejak tahun
1990an (Genia 1995; Tan 1996; Worthington, Kurusu & McCullough 1996). Dalam
kajian awal, mereka berusaha mengetengahkan idea dalam usaha menggabungkan
elemen pendekatan keagamaan kerana berpandangan pendekatan tersebut mempunyai
manfaat yang tersendiri dalam membantu proses kaunseling. Usaha itu diperkukuhkan
apabila elemen spiritual dan agama dimasukkan dalam Kod Etika American
Psychological Association (APA) pada tahun 1992 dan American Counseling
Association (ACA) pada tahun 1995 (Aten, Kari & Worthington 2012). Justeru, elemen
agama dalam psikologi dan kaunseling semakin popular serta penerimaan agama dalam
konteks psikologi mulai berkembang. Sejajar dengan perkembangan itu, banyak
penerbitan jurnal, buku-buku serta pembentangan dalam persidangan di American
Association of Marital and Family Therapy (AAMFT) berkaitan dengan agama dan
spiritual, kesihatan mental dan psikoterapi yang bertaraf profesional (Carlson,
Kirkpatrick, Hecker & Mark 2002; Richards & Bergin 2006).
16

Dalam menangani isu-isu kekeluargaan dan perkahwinan agar mencapai


kesejahteraan, penyelesaian berasaskan agama amatlah diperlukan (Nelson, Kirk, Ane
& Serres 2011). Berg-Cross (2000) telah menyenaraikan kepentingan spiritual dan
agama dalam amalan kaunseling keluarga iaitu; (i) memupuk rasa kehidupan yang
bermatlamat, (ii) memberi makna kepada kehidupan, (iii) menyediakan ritual yang
mengubah dan menghubungkan, (iv) menyediakan jaringan sokongan sosial, (v)
menstrukturkan masyarakat serta menetapkan norma dan etika, (vi) memberikan identiti
dan warisan kepada ahli keluarga, (vii) sokongan keluarga, (viii) memudahkan
perubahan yang positif kepada individu, (ix) melihat kepada kebajikan fizikal dan emosi
setiap ahli keluarga, dan (x) mendidik ahli keluarga.

Terdapat beberapa kajian terdahulu yang membincangkan kepentingan


mengintegrasikan pendekatan spiritual dan agama dalam amalan kaunseling dari aspek
keberkesanan rawatan, daya tindak serta kesembuhan yang memberi kesan positif
kepada kesihatan individu (Tabei, Zarei & Joulaei 2016). Kajian-kajian tersebut
melaporkan manfaat dan faedah yang diperoleh klien apabila kaunselor menggunakan
elemen spiritual dan agama di dalam proses kaunseling. Kajian oleh Dini Farhana dan
Melati Sumari (2011) berkaitan terapi bunyi menggunakan bacaan ayat-ayat al-Quran
dapat menurunkan kadar tekanan dan meningkatkan tahap ketenangan. Kajian oleh
Grover, Davuluri dan Chakrabarti (2014) terhadap klien yang mengalami skizofrenia
mendapati meningkatnya kadar integrasi sosial dan kualiti hidup serta dapat
mengurangkan risiko terhadap cubaan membunuh diri, pengambilan dadah dan
merokok.

Di samping memberi kesan yang positif kepada kesihatan fizikal, dapat merawat
kebimbangan, memperbaiki masalah penyesuaian dalam hubungan perkahwinan,
masalah ketidakfungsian seksual malah berupaya memberi sokongan kepada individu,
pasangan dan juga keluarga dengan adanya sokongan daripada Tuhan serta sokongan
sosial daripada kumpulan spiritual dan agama yang mereka sertai (Wolf & Stevens
2001). Pengintegrasian spiritual dan agama dalam kaunseling dengan cara yang sesuai
boleh menjadi strategi yang berkesan dan mudah dalam mencapai matlamat, serta
perubahan seperti yang diharapkan oleh klien (Bowen-Reid & Harrell 2002).
17

Dalam merawat stres, beberapa kaedah digunakan seperti teknik meditasi, tidur,
senaman, bersosial, biofeedback, ubat penenang dan lain-lain lagi. Namun, dalam
sesetengah keadaan, teknik-teknik tersebut hanya memberi kesan kepada sesetengah
golongan tetapi tidak pula berkesan kepada sesetengah golongan yang lain. Keadaan
tersebut memperlihatkan senario stres berulang. Dalam hal yang demikian, kaunselor
dapat mencadangkan teknik secara spiritual dan agama dalam membantu klien kerana
secara umumnya, masyarakat cenderung kembali kepada agama sebagai pilihan terakhir
dan sumber sokongan dalam menghadapi stres (Khatijah & Sapora 2012; Pargament
2007). Namun dalam hal ini, Ahmad Jazimin dan Roslee (2009) menyatakan kaunselor
Muslim perlu menyedari bahawa perubahan klien bergantung pada hidayah daripada
Allah dan kaunselor haruslah kembali kepada Allah sekiranya berhadapan dengan
kesukaran dalam membantu klien.

Dalam mengintegrasikan pendekatan spiritualiti dan agama, faktor kompetensi


kaunselor merupakan komponen yang penting dalam menangani isu berkaitan dalam
proses kaunseling (Horton-Parker & Fawcett 2010). Kaunselor yang bertugas di
perkhidmatan awam dituntut mempunyai kompetensi yang sesuai dengan jawatan yang
dipegang agar dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab seperti yang diharapkan
oleh klien dan juga stakeholders (Malek Shah & Siew Liang 2002). Oleh itu, kaunselor
yang menjawat jawatan sebagai pegawai psikologi merupakan pegawai perkhidmatan
awam yang diamanahkan untuk memberi perkhidmatan kaunseling mengikut setting
organisasi dan sasaran klien masing-masing. Tinjauan pengkaji mendapati kajian
terdahulu di Malaysia tidak mengaitkan kompetensi dalam kajian pendekatan
spiritualiti dan agama dalam intervensi yang dijalankan. Oleh itu, kajian ini meneroka
kompetensi kaunselor yang boleh dijadikan sebagai satu set piawaian dalam
mengintegrasikan spiritual dan agama agar membolehkan perkhidmatan ini dipandang
tinggi dalam organisasi mahupun masyarakat.

Di Amerika Syarikat, terdapat sebuah pertubuhan yang diwujudkan di bawah


American Counseling Association (ACA) sejak awal tahun 1950an bagi menetapkan
garis panduan penggunaan elemen spiritual dan keagamaan dalam kaunseling. Pada
awalnya, pertubuhan tersebut terdiri daripada gabungan tiga organisasi kaunseling
Katolik tetapi pada tahun 1977 dikembangkan kepada pertubuhan keagamaan secara
18

umum dengan menamakan Association for Religious Values and Issues in Counseling.
Namun, pada tahun 1993 pertubuhan ini dinamakan sebagai Association for Spiritual,
Ethical and Religious Values in Counseling (ASERVIC) dan nama ini digunakan
sehingga ke hari ini. ASERVIC merupakan sebuah pertubuhan profesional dan badan
akreditasi yang menyokong dan memperjuangkan kepentingan integrasi spiritual dan
agama dalam kaunseling (Cashwell & Watts 2010). ASERVIC menyediakan
kompetensi sebagai garis panduan kepada kaunselor dalam menangani isu-isu spiritual
dan agama yang dibawa oleh klien. Terdapat 14 kompetensi yang merentasi enam faktor
yang menjadi fokus utama ASERVIC iaitu faktor budaya dan pandangan dunia, faktor
kesedaran kendiri kaunselor, faktor perkembangan spiritual manusia, faktor
komunikasi, faktor penilaian serta faktor diagnosis dan rawatan (Robertson & Young
2011).

Pada tahun 1996, Tan telah memperkenalkan strategi integrasi spiritual dan
agama dalam kaunseling secara implisit dan juga eksplisit. Integrasi secara implisit
bermaksud pendekatan spiritual dan agama yang dimasukkan secara tersembunyi;
manakala, integrasi secara eksplisit pula adalah usaha memasukkan pendekatan
spiritual dan agama secara jelas dan nyata. Berasaskan idea ini, pada tahun 2010,
Horton-Parker dan Fawcett telah membangunkan satu model integrasi yang lebih
komprehensif yang dinamakan Model FACE-SPIRIT. Model tersebut mengemukakan
empat strategi secara implisit dan enam strategi secara eksplisit. Dalam Model FACE-
SPIRIT, strategi secara implisit merupakan strategi yang digunakan oleh kaunselor
untuk dirinya sendiri yang mempunyai empat teknik iaitu fokus kepada masa kini,
memohon bimbingan Tuhan, memupuk belas kasihan dan empati keagamaan.
Manakala strategi secara eksplisit pula ialah strategi yang digunakan oleh kaunselor
terhadap klien yang terdiri daripada enam teknik iaitu perumpamaan dan metafora,
berdoa, tafsiran kitab suci, amal ibadat, imageri dan kelegaan dari rasa berdosa.

Dalam masyarakat Islam, spiritual dan agama merupakan isu yang sensitif untuk
dibincangkan secara terbuka. Hal yang demikian itu menyebabkan kaunselor
mengamalkan strategi secara implisit dalam mengintegrasikan spiritual dan agama
dalam kaunseling (Mazidah Mohd Dagang, Raja Zirwatul Aida & Azlina 2015).
Berdasarkan tinjauan literatur pengkaji mendapati dari tahun 2005 hingga tahun 2017,
19

sebanyak 20 artikel termasuk penulisan buku telah dihasilkan berkaitan penggunaan


spiritual dan agama dalam bidang bimbingan, psikologi dan juga kaunseling di
Malaysia. Namun, dalam tinjauan tersebut mendapati 19 daripada 20 penerbitan
tersebut menggunakan strategi secara eksplisit. Pengkaji telah menyenaraikan dan
mengelaskan kajian-kajian dan penerbitan buku tersebut berdasarkan tinjauan literatur
dalam aspek penggunaan spiritual dan agama mengikut strategi integrasi yang
digunakan di Malaysia dalam Jadual 1.2.

Jadual 1.2 Jadual ringkasan tinjauan literatur kajian menggunakan pendekatan


spiritual dan agama di Malaysia berdasarkan strategi integrasi
Bil Pengkaji / Penulis Perihal Kajian Strategi
(Tahun) Integrasi
1 Othman Mohamed (2005) Model Kognitif Ad-Din Eksplisit
2 Salasiah Hanin Hamjah & Kajian riyadah al-nafs al-Ghazali merangkumi Eksplisit
Noor Shakirah Mat (2007) beberapa aspek seperti iman, amal ibadah dan
menerapkan sifat mahmudah.
3 Nik Rosila Nik Yaacob & Artikel ini memberi tumpuan kepada model Eksplisit
Najeemah Mohd Yusof kaunseling Islam sebagai pendekatan alternatif
(2009) untuk kaunselor menangani klien.
4 Siti Zalikhah Md Nor Kaunseling menurut perspektif Islam Eksplisit
(2008)
5 Salasiah Hanin Hamjah Kajian menggunakan bimbingan spiritual al- Eksplisit
(2010) Ghazali iaitu konsep tazkiyah al-nafs.
6 Shadiya Mohamed S. Menguruskan tekanan menurut perspektif Eksplisit
Baqutayan (2011) Islam seperti sembahyang, zikir dsb.
7 Dini Farhana Baharudin & Kajian mengkaji keberkesanan terapi bunyi Eksplisit
Melati Sumari (2011) menggunakan ayat al-Quran.
8 Abdul Latif, Mardiana, Terapi Pemulihan Iman (IRT) menggunakan Eksplisit
Alizi, Kalsom, Nordinah pendekatan berasaskan al-Quran dan sunah.
& Salami (2011)
9 Salasiah Hanin Hamjah Kajian mengatasi kebimbangan kaedah al- Eksplisit
(2011) Ghazali dengan menggunakan konsep al-raja’,
berzikir dan membaca al-Quran.
10 Mardiana Mohamad, Kaunseling pemusatan insan terhadap klien Implisit
Halimatun Halaliah & Melayu menggunakan spiritual sebagai
Asnarulkhadi (2011) penunjuk pembinaan peribadi
11 Md Noor Saper (2012) Pembinaan modul Tazkiyatun Nafs untuk Eksplisit
melihat religiositi dan resiliensi remaja.
12 Khatijah Othman & Pengurusan stres di tempat kerja mengikut al- Eksplisit
Sapora Sipon (2012) Quran dan sunah.
13 Salasiah Hanin Hamjah & Kaedah al-Ghazali dalam mengatasi tekanan Eksplisit
’Adawiyah Ismail (2012) wanita bekerja dengan cara mujahadah
melawan nafsu, menyedari kehidupan di dunia
ini adalah sementara, mengingati mati,
memperbanyakkan zikir dan melihat individu
yang lebih rendah dalam hal-hal yang
berkaitan urusan dunia supaya dapat
mensyukuri nikmat Allah dan sebagainya.
14 Salhah, Sapora, Model taubat al-Ghazali (M-TaG) Eksplisit
Norhayati, Saedah,
20

Marina & Noratthiah


(2014)
15 Salasiah Hanin Hamjah & Kajian kaunseling pendekatan Islam: akidah, Eksplisit
Noor Shakirah Mat Akhir ibadah dan akhlak. Kajian menunjukkan
(2014) responden menggunakan pendekatan Islam
selaras dengan al-Quran dan sunah.

bersambung…
…sambungan
16 Husni, Lilie, Sapora & Kajian mengkaji tahap kebimbangan dan Eksplisit
Khatijah (2014) kesedaran beragama menggunakan pendekatan
seperti sembahyang, berzikir, membaca al-
Quran.
17 Mizan Adiliah, Wan Kaunseling dalam Islam Eksplisit
Mohd Fazrul & Hanit
Osman (2014)
18 Sapora Sipon & Amin Hj Menangani permasalahan keluarga Eksplisit
Hassan (2015) menggunakan pendekatan spiritual dan
keagamaan menurut Islam.
19 Salasiah Hanin Hamjah Pendekatan kaunseling spiritual menurut al- Eksplisit
(2016) Ghazali
20 Salhah Abdullah (2017) Integrasi nilai-nilai Islam dalam kaunseling Eksplisit

Sumber: Tinjauan literatur pengkaji

Integrasi secara implisit tidak tertakluk kepada pematuhan etika dan diterima
penggunaannya pada bila-bila masa. Namun, isu etika wajar diberi perhatian yang serius
oleh kaunselor dalam mengintegrasikan pendekatan spiritual dan agama secara
eksplisit. Kaunselor yang berfikir dan cenderung untuk menggunakan pendekatan
spiritual dan agama secara eksplisit perlu memaklumkan kepada klien pada permulaan
sesi semasa temu bual awal dijalankan (Tan 1996). Dalam hal ini, kaunselor perlu
mengambil langkah berhati-hati kerana dikhuatiri boleh mencetuskan masalah
pelanggaran etika dan menjejaskan hubungan terapeutik dalam proses menolong (Gubi
2009; Mazidah Mohd Dagang 2013; Weld & Eriksen 2007).

Integrasi spiritual dan agama secara eksplisit boleh dilakukan selepas mendapat
kebenaran daripada klien melalui menandatangani borang persetujuan atau sekurang-
kurangnya mendapat persetujuan secara lisan (Horton-Parker & Fawcett 2010).
Kaunselor perlu menjaga agar tidak memasukkan nilai dan kepercayaannya dan
mengelakkan daripada berlakunya hubungan dua-hala (dual relationships) iaitu dalam
masa yang sama kaunselor bertindak menjadi guru agama (Wolf & Stevens 2001).
Memandangkan isu etika merupakan sesuatu yang penting dalam profesion menolong
ini, kaunselor haruslah peka dan memberi perhatian yang serius terhadap perkara ini.
21

Kod Etika Kaunselor (2011) telah menggariskan dalam Bahagian A.2.a berkaitan
pelaksanaan persetujuan termaklum; Bahagian A.4.b berkaitan tidak memasukkan nilai-
nilai peribadi dan menghormati nilai klien; Bahagian C.2 berkaitan kaunselor
memberikan perkhidmatan dalam lingkungan kompetensi berdasarkan pendidikan dan
latihan yang diperoleh; dan A.5.e berkaitan perubahan peranan yang berlaku semasa
proses kaunseling.

1.5 PERNYATAAN MASALAH

Unit keluarga dilihat berada di tengah-tengah kebanyakan sistem keagamaan. Agama-


agama besar dunia seperti Islam, Yahudi, Kristian, Hindu, Buddha, Confucius dan
Taoisme memberi perhatian khusus kepada institusi perkahwinan dan keluarga.
Spiritual dan keagamaan begitu penting dalam sesebuah keluarga memandangkan
elemen tersebut mempengaruhi fungsi kekeluargaan dan membantu kesejahteraan
kesihatan mental individu dalam keluarga (Griffith & Rotter 1999). Justeru, peranan
spiritual dan keagamaan dalam perkhidmatan kaunseling keluarga dan perkahwinan
semakin berkembang dan mendapat perhatian dalam kalangan pengamalnya (Carlson
et al. 2002; Guterman & Leite 2006). Pendekatan spiritual dan agama didapati berkesan
dalam menangani kes-kes kaunseling keluarga dan perkahwinan sebagai usaha
membantu institusi tersebut terus mencapai kesejahteraan (Nelson et al. 2011; Sapora
Sipon & Amin Hj Hassan 2015).

Kajian Mazidah Mohd Dagang, Rusnani, Sidek dan Maznah (2013) mendapati
kaunselor kurang berkemampuan dan tidak bersedia dari segi pengalaman dan
pengetahuan dalam mengaplikasikan elemen keagamaan dalam kaunseling. Mohd
Tajudin Ninggal (2014) juga menyokong pandangan tersebut dengan mempersoalkan
kompetensi kaunselor dari aspek mental, fizikal, dan ilmu pengetahuan dalam
menangani konflik dan isu keruntuhan rohaniah yang berlaku dalam masyarakat di
negara ini. Hal ini menimbulkan persoalan bagaimana kompetensi kaunselor dalam
menangani kes-kes kaunseling keluarga dan perkahwinan yang melibatkan isu-isu
spiritual dan agama yang dibawa oleh klien.

Berhubung dengan kompetensi kaunselor menangani isu-isu spiritual dan


agama, sebuah pertubuhan profesional dan badan akreditasi iaitu ASERVIC telah
22

menyediakan satu set kompetensi sebagai panduan kaunselor. Pada tahun 1995,
ASERVIC menyenaraikan sembilan garis panduan kompetensi. Namun, pada tahun
2009 garis panduan tersebut telah dikemas kini dengan menambah lima lagi kompetensi
menjadikannya 14 kompetensi merentasi enam faktor secara keseluruhan. Di Malaysia,
kajian oleh Mazidah Mohd Dagang (2013) menggunakan kompetensi ASERVIC 1995,
oleh itu kajian ini menggunakan kompetensi ASERVIC 2009 bertujuan agar dapat
meneroka secara terkini dan menyeluruh kompetensi kaunselor dalam
mengintegrasikan spiritual dan agama dalam menangani isu-isu kaunseling keluarga
dan perkahwinan.

Kajian lalu di Malaysia dalam bidang kaunseling keluarga dan perkahwinan


tidak memberi penekanan kepada aspek spiritual dan agama. Kajian-kajian tersebut
memfokuskan kepada proses kaunseling serta keberkesanan rawatan dan intervensi
yang dijalankan (Norhayati Mohd Noor 2012; Rusni A. Ghani 2013; Saedah A. Ghani
2004). Walau bagaimanapun, terdapat kajian integrasi spiritual dan agama yang
dijalankan oleh Mazidah Mohd Dagang (2013) tetapi tidak memberi fokus kepada
kaunseling keluarga dan perkahwinan. Senario ini pernah ditimbulkan oleh Carlson et
al. (2002) iaitu tentang kurangnya kajian berkaitan spiritual dan agama dalam
kaunseling keluarga dan perkahwinan berbanding dalam kaunseling umum yang lain.
Oleh itu, kajian ini berhasrat meneroka aspek kompetensi dan strategi integrasi yang
digunakan oleh kaunselor agar dapat menambah maklumat berkaitan integrasi spiritual
dan agama dalam kaunseling keluarga dan perkahwinan di Malaysia.

Dari aspek metodologi pula, kajian integrasi kefahaman beragama dalam


kalangan kaunselor di Malaysia oleh Mazidah Mohd Dagang (2013) melaporkan
kefahaman beragama kaunselor berada pada tahap yang sederhana. Kajian tersebut juga
mendapati kaunselor menggunakan integrasi agama secara implisit. Namun, kajian
berbentuk kuantitatif itu terbatas dalam menjelaskan secara terperinci dan mendalam
kecenderungan kaunselor mengintegrasikan spiritual dan agama secara implisit. Oleh
itu, dengan menjalankan kajian penerokaan kualitatif yang menggunakan reka bentuk
kajian kes ini, dapat mengisi jurang dalam kajian terdahulu dengan meneroka secara
lebih mendalam strategi dan kecenderungan kaunselor dalam mengintegrasikan
pendekatan spiritual dan agama terhadap kes kaunseling keluarga dan perkahwinan.
23

Hasil analisis pengkaji ke atas kajian lalu di Malaysia mendapati lebih memberi
fokus dalam bidang bimbingan dan psikologi yang dijalankan secara eksplisit
menggunakan integrasi spiritual dan agama. Md Noor Saper (2012) telah menguji
modul tazkiyah an-nafs menunjukkan keberkesanan terhadap religiositi dan resiliensi
remaja. Kajian Dini Farhana dan Melati Sumari (2011) mendapati keberkesanan terapi
bunyi menggunakan ayat suci al-Quran dalam menurunkan kadar tekanan dalam
kalangan wanita yang bekerja. Horton-Parker dan Fawcett (2010) menegaskan
keperluan mematuhi etika dan mempunyai latihan yang secukupnya dalam
mengintegrasikan spiritual dan agama secara eksplisit. Namun, kajian Yusmini Md
Yusoff (2011) mendapati terdapat jurang antara pengetahuan kaunseling dan amalan
keagamaan dalam kalangan kaunselor disebabkan tiada kurikulum dan latihan yang
spesifik dalam mengintegrasikan pendekatan spiritual dan agama merupakan faktor
penyumbang kepada keadaan tersebut. Kajian beliau melaporkan kaunselor
menggunakan cara yang tersendiri dalam menggabungkan kaunseling dan strategi
amalan agama. Oleh itu, kajian ini mampu mencadangkan satu model kaunseling yang
mengandungi kompetensi dan strategi dalam mengintegrasikan spiritual dan agama
secara teratur mengikut strategi secara implisit dan eksplisit. Dengan adanya model ini
dapat memberi latihan secara profesional kepada kaunselor yang mengambil kira aspek
pematuhan etika dalam mengintegrasikan pendekatan spiritual dan agama.

Kajian di Amerika Syarikat mendapati kaunselor menghadapi cabaran dalam


mengintegrasikan spiritual dan agama dalam aspek kurang latihan, kaunselor kurang
mementingkan agama berbanding klien, isu spiritual dan agama kurang sesuai
dibincangkan dalam kaunseling dan kebimbangan kaunselor sekiranya tidak sengaja
memasukkan nilai (Cornish 2010). Begitu juga dapatan kajian di Malaysia yang
dijalankan oleh Mazidah Mohd Dagang (2013) mendapati kaunselor menghadapi
cabaran dari aspek kurangnya pengetahuan bagaimana untuk mengintegrasikan kedua-
dua elemen tersebut tambahan pula agama merupakan isu yang sensitif untuk
dibincangkan. Walau bagaimanapun, kajian Walker, Gorsuch dan Tan (2004) pula
berbeza iaitu mendapati faktor pegangan agama mendorong kaunselor
mengintegrasikan pendekatan spiritual dan agama dan bukanlah disebabkan oleh faktor
latihan semata-mata. Berdasarkan dapatan kajian ini, membuka ruang untuk pengkaji
24

meneroka dengan lebih mendalam dorongan dan cabaran yang dihadapi oleh kaunselor
dalam mengintegrasikan spiritual dan agama dalam kaunseling di Malaysia.

Secara kesimpulannya, berdasarkan permasalahan kajian yang dibentangkan,


pengkaji merumuskan kajian ini perlu dijalankan untuk meneroka dengan lebih
mendalam kompetensi kaunselor dan strategi integrasi yang digunakan dalam
mengendalikan kes kaunseling keluarga dan perkahwinan di Malaysia. Maka, hasil
kajian ini dapat menyumbang maklumat dan mengisi jurang pengetahuan dengan
menghasilkan satu model kaunseling integrasi yang mengandungi kompetensi dan
strategi secara implisit dan eksplisit. Justeru, hasil kajian ini boleh dijadikan panduan
kepada kaunselor dalam mengendalikan kes kaunseling keluarga dan perkahwinan yang
menggunakan pendekatan spiritual dan agama dalam konteks amalan dan budaya di
Malaysia.

1.6 TUJUAN KAJIAN

Kajian ini bertujuan meneroka kompetensi kaunselor menurut garis panduan ASERVIC
2009 dan meneroka strategi integrasi spiritual dan agama yang digunakan berpandukan
Model FACE-SPIRIT dalam mengendalikan kes-kes kaunseling keluarga dan
perkahwinan di Malaysia. Di samping itu, kajian ini juga meneroka kecenderungan
kaunselor menggunakan strategi integrasi sama ada secara implisit atau eksplisit dalam
menangani isu-isu spiritual dan agama. Akhir sekali kajian ini meneroka dorongan dan
cabaran yang dihadapi oleh kaunselor dalam mengintegrasikan pendekatan spiritual dan
agama. Hasil kajian ini dapat mengenal pasti bagaimana kompetensi yang dipunyai oleh
kaunselor di Malaysia dalam mengintegrasikan spiritual dan agama, apakah strategi
yang digunakan sama ada secara implisit atau eksplisit, kecenderungan kaunselor
memilih sesuatu strategi tersebut dan apakah dorongan dan cabaran yang dialami oleh
kaunselor dalam konteks amalan di Malaysia. Seterusnya, kajian ini diharapkan dapat
menghasilkan satu model yang mengandungi komponen kompetensi kaunselor dan
strategi integrasi secara implisit dan eksplisit menggunakan pendekatan spiritual dan
agama dalam menangani kes-kes kaunseling keluarga dan perkahwinan di Malaysia.
25

1.7 OBJEKTIF KAJIAN

Objektif kajian ini adalah untuk:

i) Meneroka kompetensi kaunselor dalam mengintegrasikan pendekatan


spiritual dan agama dalam menangani kes kaunseling keluarga dan
perkahwinan di Malaysia.

ii) Meneroka strategi integrasi spiritual dan keagamaan yang digunakan


oleh kaunselor dalam menangani kes kaunseling keluarga dan
perkahwinan di Malaysia.

iii) Meneroka kecenderungan kaunselor memilih satu-satu strategi sama ada


secara integrasi implisit atau eksplisit dalam menangani kes kaunseling
keluarga dan perkahwinan di Malaysia.

iv) Meneroka dorongan dan cabaran kaunselor dalam mengintegrasikan


spiritual dan agama dalam kes kaunseling keluarga dan perkahwinan di
Malaysia.

1.8 PERSOALAN KAJIAN

i) Bagaimanakah kompetensi kaunselor dalam mengintegrasikan


pendekatan spiritual dan agama dalam menangani kes kaunseling
keluarga dan perkahwinan di Malaysia?

ii) Apakah strategi integrasi spiritual dan keagamaan yang digunakan oleh
kaunselor dalam menangani kes kaunseling keluarga dan perkahwinan
di Malaysia?

iii) Bagaimanakah kecenderungan kaunselor dalam memilih satu-satu


strategi sama ada secara integrasi implisit atau eksplisit dalam
menangani kes kaunseling keluarga dan perkahwinan di Malaysia?
26

iv) Apakah dorongan dan cabaran kaunselor dalam mengintegrasikan


spiritual dan agama dalam kes kaunseling keluarga dan perkahwinan di
Malaysia?

1.9 KERANGKA KONSEPTUAL KAJIAN

Kerangka konseptual kajian merupakan struktur asas atau perancah sesuatu kajian
(Merriam 2009). Pengkaji menggunakan kerangka konseptual sebagai panduan dan
rujukan agar kajian yang dijalankan ini berada dalam kerangka kajian yang sebenar.
Dalam kajian ini, pengkaji menghubungkan suatu konsep dengan suatu konsep yang
lain yang berkaitan dalam meneroka fenomena yang dikaji. Terdahulu dalam bab
pernyataan masalah, pengkaji telah menyatakan beberapa permasalahan kajian yang
tercetus sehingga mendorong kajian ini dijalankan.

Kajian Marriage and Family Therapist (MFT) menekankan kepentingan


spiritual dan agama dalam kehidupan seharian malah menunjukkan hubungan yang kuat
antara spiritual, kaunseling keluarga dan perkahwinan sebagai suatu disiplin (Carlson
et al. 2002). Kaunseling keluarga merupakan salah satu kaedah yang digunakan bagi
membantu memperbaiki hubungan kekeluargaan dan membantu menyelesaikan
masalah yang berlaku dalam kalangan ahli keluarga (Rathakrishnan 2015). Kaunselor
berperanan membantu dalam mengubah struktur dan kefungsian sesebuah keluarga
dengan menggalakkan hubungan yang positif antara ahli dan keluarga. Perubahan
tingkah laku seseorang ahli dalam keluarga boleh mempengaruhi hubungan dan
perubahan tingkah laku ahli keluarga yang lain (Lee 2015).

Dari aspek amalan dan pemilihan teori, kajian Carlson et al. (2002)
menunjukkan kaunselor memilih teori berfokuskan penyelesaian (50%), teori keluarga
struktural (33%) dan teori transgenerational (30%), manakala teori yang paling
membantu kaunselor menangani isu-isu spiritual dan agama, 45% memilih terapi
naratif. Di Malaysia, dalam mengendalikan kes-kes kaunseling keluarga dan
perkahwinan, Norhayati Mohd Noor (2012) menyatakan kaunselor lebih gemar
menggunakan teori kaunseling individu berbanding teori kaunseling keluarga. Hal ini
berlaku disebabkan oleh latihan yang diperoleh kaunselor lebih menjurus kepada teori
kaunseling secara individu.
27

Dalam kehidupan yang serba mencabar ini, masyarakat cenderung mencari


penyelesaian berasaskan keagamaan bagi meringankan bebanan kehidupan yang
dialami. Kecenderungan ini dilihat dengan peningkatan program-program keagamaan
di media sosial serta di media arus perdana. Malah, spiritual dan agama merupakan
komponen terpenting dalam budaya, nilai dan pandangan individu terhadap dunia. W
Aeshah Ameiha W Ahmad, Rohaizan Baru dan Mohd Shahril Othman (2013)
menyatakan kebiasaan manusia akan beralih kepada sumber-sumber yang berasaskan
kepada keagamaan dan spiritual sebagai panduan kehidupan serta sokongan emosi
terutamanya ketika mereka dilanda krisis serta dugaan hidup. Komitmen terhadap
perkahwinan dan keluarga berasaskan kepada persepsi nilai agama dan spiritual
merupakan faktor yang menyumbang kepada keutuhan dan kesejahteraan institusi
tersebut (Nelson et al. 2011). Maka, kesedaran tentang keperluan integrasi spiritual dan
agama telah mula mendapat perhatian sejak awal perkembangan kaunseling keluarga
(Bowen-Reid & Harrell 2002).

Aspek kompetensi merupakan isu besar yang diperkatakan dalam kerjaya


profesional seorang kaunselor. Usaha yang berterusan perlu dilakukan untuk
membangun, mencapai, mengekalkan dan meningkatkan tahap kompetensi di samping
mengekalkan kemahiran kaunselor (Rafidah Aga Mohd Jaladin & Lau Poh Li 2013).
Persediaan yang baik serta kompetensi yang mantap sangat diperlukan oleh kaunselor
dalam mengaplikasikan elemen spiritual dan agama dalam sesi kaunseling. Sebagai
seorang kaunselor yang ingin memulakan perhubungan terapeutik dengan klien adalah
penting untuk mewujudkan suasana yang selamat dan selesa agar klien dapat
menyatakan serta meluahkan isu yang dihadapinya. Keadaan ini memerlukan seorang
kaunselor yang mempunyai kesedaran berkaitan latar belakang dirinya dan silang
budaya masyarakat agar dapat memahami dan menghargai agama dan tradisi spiritual
klien. Kesedaran ini membantu kaunselor agar dapat menangani isu spiritual dan agama
yang dibawa oleh klien (W Aeshah Ameiha W Ahmad, Rohaizan Baru & Mohd Shahril
Othman 2013).

Oleh itu, dalam meneroka integrasi spiritual dan agama dalam kes kaunseling
keluarga dan perkahwinan, aspek kompetensi kaunselor dan strategi integrasi dilihat
penting dan diberi perhatian agar perkhidmatan menolong ini menjadi lebih berkesan.
28

Model kerangka konseptual dalam kajian ini diadaptasikan daripada kompetensi


ASERVIC 2009 (Cashwell & Watts 2010) dan Model FACE-SPIRIT (Horton-Parker
& Fawcett 2010). ASERVIC telah menyenaraikan 14 kompetensi merentasi enam
faktor sebagai garis panduan dalam mengintegrasikan spiritual dan agama iaitu faktor
budaya dan pandangan dunia, faktor kesedaran kendiri kaunselor, faktor perkembangan
spiritual manusia, faktor komunikasi, faktor penilaian serta faktor diagnosis dan
rawatan. Manakala Model FACE-SPIRIT mengemukakan empat strategi integrasi
secara implisit iaitu; fokus kepada masa kini; memohon bimbingan Tuhan; memupuk
belas kasihan dan empati keagamaan. Manakala enam strategi integrasi secara eksplisit
pula iaitu perumpamaan dan metafora; berdoa; tafsiran kitab suci; amal ibadat; imageri
dan kelegaan dari rasa berdosa. Kedua-dua strategi ini juga menjadi garis panduan
kepada pembinaan soalan protokol temu bual dalam kajian ini.

Kajian Walker, Gorsuch dan Tan (2004) menunjukkan faktor pegangan agama
yang mendorong kaunselor mengintegrasikan pendekatan spiritual dan agama manakala
Mazidah Mohd Dagang et al. (2013) membincangkan terdapat empat cabaran utama
kaunselor dalam mengintegrasikan spiritual dan agama iaitu kurangnya pengetahuan
integrasi kefahaman beragama; merasakan agama adalah isu sensitif dan perlu berhati-
hati dalam mengaplikasikannya; klien yang ingin mendapatkan khidmat kaunseling
juga tidak mempunyai pengetahuan berkaitan spiritual dan agama; dan kebimbangan
kaunselor mempunyai kecenderungan meletakkan nilai terhadap klien.
Integrasi spiritual dan agama dalam menangani kes kaunseling keluarga dan perkahwinan 29

Kompetensi kaunselor Strategi Integrasi


Teori Kaunseling
Tradisional 6 Faktor Kompetensi Integrasi Spiritual & Model FACE-SPIRIT (2010)

Dorongan
(Teori Kaunseling Agama (ASERVIC 2009)
Individu / Teori Strategi Integrasi Implisit
kaunseling Keluarga) 1. Budaya & pandangan dunia 1. Fokus pada masa kini
2. Kesedaran kendiri kaunselor 2. Mohon bimbingan Tuhan
3. Perkembangan spiritual manusia 3. Memupuk belas kasihan
4. Komunikasi 4. Empati keagamaan
5. Penilaian
6. Diagnosis & rawatan Strategi Integrasi Eksplisit
1. Perumpamaan & metafora
Pendekatan 2. Berdoa
Kaunseling 3. Tafsiran kitab suci

Cabaran
Keagamaan 4. Amal ibadat
5. Imageri
6. Kelegaan dari rasa berdosa

Model Integrasi Pendekatan Spiritual dan Agama Dalam Kes Kaunseling Keluarga dan Perkahwinan di Malaysia
Sumber: Adaptasi daripada ASERVIC 2009 & Model FACE-SPIRIT 2010

25
Rajah 1.1 Kerangka konseptual kajian integrasi spiritual dan agama dalam kes kaunseling keluarga dan perkahwinan di Malaysia
30

1.10 BATASAN KAJIAN

Kajian ini mempunyai beberapa batasan. Batasan yang pertama adalah melibatkan
aspek pemilihan peserta kajian. Pemilihan peserta dalam kajian ini terdiri daripada
kaunselor berdaftar yang berpengalaman mengendalikan kes kaunseling keluarga dan
perkahwinan di tiga buah pusat kaunseling. Kajian ini tidak melihat perkhidmatan
runding cara perkahwinan dan keluarga yang dijalankan oleh pegawai agama atau
pegawai runding cara di Jabatan Agama Islam Negeri. Perkhidmatan kaunseling
keluarga dan perkahwinan secara profesional oleh kaunselor berdaftar hanya terhad
dalam lingkungan beberapa jabatan yang menyediakan perkhidmatan tersebut seperti di
LPPKN, JKM, dan PK MAINS. Oleh itu, pengkaji hanya memilih peserta kajian yang
berkhidmat dalam tiga agensi perkhidmatan yang dinyatakan ini sahaja.

Limitasi yang kedua ialah kajian ini hanya menumpukan strategi integrasi secara
khusus dalam amalan dan ritual agama Islam seperti sembahyang, zikir, berdoa dan
amalan-amalan yang lain. Strategi integrasi dalam kajian ini terbatas untuk meneroka
amalan agama lain kerana skop kajian hanya mencakupi strategi pendekatan spiritual
dan agama dalam amalan kaunselor yang beragama Islam sahaja dan tidak melibatkan
kaunselor dari agama yang lain.

Limitasi yang ketiga, kajian ini tidak melihat proses bagaimana kaunseling
integrasi spiritual dan agama dilakukan tetapi memberi fokus kepada bagaimana strategi
integrasi tersebut dimasukkan iaitu sama ada secara integrasi implisit atau eksplisit.
Data yang diperoleh hanya dibincangkan dari aspek strategi integrasi yang digunakan
tanpa melihat proses kemasukan strategi termasuk pada mana-mana peringkat sama ada
di peringkat membina hubungan, peringkat penerokaan, peringkat mengenal pasti
masalah atau peringkat merancang dan menilai tindakan. Sebaliknya penerokaan kajian
ini dilihat secara menyeluruh bermula dari peringkat penerokaan sehingga ke peringkat
penamatan sesi.

1.11 KEPENTINGAN KAJIAN

Kajian tentang kompetensi spiritual dan agama serta strategi integrasi dalam menangani
kes kaunseling keluarga dan perkahwinan adalah penting kerana spiritual dan agama
31

merupakan asas utama bagi seseorang individu dalam menjalani kehidupan seharian.
Dengan berasaskan nilai spiritual dan agama klien akan membuat keputusan dan
mengambil tindakan dalam mengubah pemikiran dan tingkah laku mereka. Oleh yang
demikian, sekiranya kaunselor tidak mampu untuk mengintegrasikan isu-isu spiritual
dan agama yang dibawa oleh klien, mungkin akan menyebabkan aspek penting itu
diabaikan dan diketepikan.

Kehidupan dan budaya masyarakat Melayu di Malaysia amat berkait rapat


dengan kehidupan beragama dan meletakkan nilai spiritual dan agama sebagai asas
pegangan dalam kehidupan seharian. Bermula daripada aktiviti dalam keluarga
sehinggalah kepada kehidupan dalam bermasyarakat dan negara. Agama Islam telah
pun menyediakan garis panduan merangkumi setiap aspek dalam kehidupan seharian
yang berpandukan kepada al-Quran dan hadis. Oleh yang demikian, kesedaran
kaunselor memahami nilai spiritual dan agama serta budaya dalam masyarakat dapat
memberikan perkhidmatan kaunseling keluarga dan perkahwinan yang lebih berkesan.

Bagi menangani isu-isu spiritual dan agama yang dibawa oleh keluarga dan
pasangan secara profesional memerlukan kaunselor yang mempunyai kompetensi
dalam menanganinya menurut garis panduan ASERVIC. Dapatan daripada kajian ini
boleh dijadikan sebagai panduan kepada kompetensi kaunselor dalam menangani isu-
isu spiritual dan agama dalam kes kaunseling keluarga dan perkahwinan di Malaysia.
Maklumat ini penting bagi membolehkan kaunselor meningkatkan pengetahuan,
kemahiran, kesedaran dan kefahaman mereka dalam mengintegrasikan spiritual dan
agama di dalam kaunseling. Oleh yang demikian, dalam memberikan intervensi
kaunseling aspek-aspek tersebut terus diambil kira dan dijadikan sebagai salah satu
aspek yang mempengaruhi dalam proses kaunseling tersebut.

Dari segi sumbangan ilmu, kajian ini diharap dapat menghasilkan satu model
integrasi kaunseling yang boleh digunakan oleh kaunselor. Penambahbaikan dari aspek
penyediaan kurikulum dan latihan kaunselor di IPTA mungkin perlu dikaji semula
supaya dapat mempertimbangkan keperluan asas tentang bagaimana mengintegrasikan
pendekatan spiritual dan agama ke dalam kaunseling. Keadaan ini akan dapat memberi
perkhidmatan yang baik dan berkesan kepada klien keluarga dan pasangan di Malaysia.
32

Hasil dapatan kajian ini juga dapat dimanfaatkan oleh pihak pengurusan perkhidmatan
awam dalam perkukuhkan profesionalisme kaunselor dan dapat memartabatkan
perkhidmatan kaunseling di Malaysia.

1.12 DEFINISI ISTILAH

Definisi yang diberikan ini adalah istilah-istilah yang mempunyai kaitan dengan kajian
bagi tujuan menjelaskan lagi dapatan kajian dan seterusnya kajian keseluruhan.

1.12.1 Integrasi pendekatan spiritual dan agama

Integrasi pendekatan spiritual dan agama merujuk kepada amalan atau praktik kaunselor
memasukkan kepercayaan spiritual dan agama, nilai-nilai dan kaedah intervensi
berkaitan dengan keagamaan dalam proses kaunseling yang ia mempengaruhi proses
kaunselor memahami klien dan juga cara kaunselor mengendalikan sesi kaunseling
(Mazidah Mohd Dagang 2013).

Dalam kajian ini integrasi spiritual dan agama merujuk kepada amalan atau
praktik pengamal kaunseling keluarga dan perkahwinan dalam memasukkan kaedah-
kaedah serta teknik-teknik tertentu berpandukan dari sumber spiritual dan agama
semasa menjalankan sesi kaunseling. Kaedah tersebut adalah menyatupadukan atau
menggabungkan teknik-teknik dan strategi amalan spiritual dan agama dalam proses
terapeutik kaunseling keluarga dan perkahwinan tanpa mengetepikan penggunaan teori
yang sedia ada. Oleh itu, elemen spiritual dan agama yang dimasukkan ini sebagai salah
satu komponen yang diambil kira dalam proses kaunseling seperti mana aspek-aspek
lain seperti fizikal, sosial dan emosi klien.

1.12.2 Strategi integrasi secara implisit dan eksplisit

Menurut Tan (1996) terdapat dua strategi dalam mengintegrasikan pendekatan spiritual
dan agama dalam kaunseling iaitu strategi secara implisit dan secara eksplisit. Strategi
implisit bermaksud pendekatan spiritual dan agama yang dimasukkan secara tersirat dan
eksplisit pula bermaksud pendekatan spiritual dan agama yang dimasukkan secara jelas
dan nyata. Dalam konteks kajian ini, pengkaji meneroka strategi integrasi secara
33

implisit dan eksplisit pendekatan spiritual dan agama yang digunakan oleh kaunselor
dalam mengendalikan kes kaunseling keluarga dan perkahwinan.

1.12.3 Kompetensi kaunselor dalam mengintegrasikan spiritual dan agama dalam


kaunseling

Sperry (2010) mendefinisikan kompetensi sebagai kemampuan kaunselor untuk


mengintegrasikan atau menggabungkan elemen pengetahuan, kemahiran dan sikap
dalam amalan klinikal agar klien beroleh manfaat, yang boleh dinilai sebagai piawaian
profesionalisme dan pembangunan yang dapat meningkatkan lagi profesional amalan
kaunseling. Kajian ini menggunakan kompetensi ASERVIC yang memfokuskan 14
kompetensi merentasi enam faktor iaitu faktor budaya dan pandangan dunia; faktor
kesedaran kendiri kaunselor; faktor perkembangan spiritual manusia; faktor
komunikasi; faktor penilaian; serta faktor diagnosis dan rawatan. Kompetensi di bawah
faktor budaya dan pandangan dunia; (i) kaunselor profesional boleh menerangkan
persamaan dan perbezaan antara spiritual dan agama, termasuk kepercayaan asas
pelbagai sistem spiritual, agama-agama utama dunia, fahaman agnostik dan atheism,
dan (ii) kaunselor profesional mengakui bahawa kepercayaan klien (atau
ketidakpercayaan) terhadap spiritual dan agama adalah penting dan mempengaruhi
pandangan dunia dan fungsi psikososial.

Kompetensi di bawah faktor kesedaran kendiri kaunselor pula ialah; (i)


kaunselor profesional secara aktif meneroka sikap, kepercayaan dan nilai-nilai spiritual
dan agama yang terdapat dalam dirinya; (ii) kaunselor profesional berterusan menilai
pengaruh kepercayaan mereka sendiri terhadap spiritual dan agama dan nilai-nilai
kepada klien dan proses kaunseling; dan (iii) kaunselor profesional mengenal pasti had
dan batasan beliau memahami perspektif spiritual dan keagamaan klien secara
mendalam termasuk dapat membuat rujukan kepada pihak yang lain sekiranya perlu.
Kompetensi faktor perkembangan spiritual manusia ialah kaunselor profesional dapat
menggambarkan dan menggunakan pelbagai model pembangunan spiritual dan agama
terhadap hubungannya dengan pembangunan manusia.

Kompetensi di bawah faktor komunikasi ialah; (i) kaunselor profesional


memberi respons dengan menerima dan peka dalam berkomunikasi dengan klien
34

berkaitan isu spiritual dan agama; (ii) kaunselor profesional menggunakan konsep
spiritual dan agama yang selaras dengan perspektif spiritual dan keagamaan klien dan
yang boleh diterima oleh klien; dan (iii) kaunselor profesional dapat mengenali tema
spiritual dan agama dalam komunikasi klien dan mampu menanganinya bersama klien
apabila mereka memerlukan terapeutik yang berkaitan. Seterusnya, kompetensi di
bawah faktor penilaian ialah semasa proses pengambilan dan penilaian, kaunselor
profesional berusaha untuk memahami perspektif spiritual dan agama klien dengan
mengumpul maklumat daripada klien atau dari sumber yang lain.

Manakala faktor kompetensi di bawah diagnosis dan rawatan pula ialah; (i)
semasa membuat diagnosis, kaunselor profesional mengakui bahawa perspektif
spiritual dan keagamaan klien boleh (a) meningkatkan kesejahteraan; (b) menyumbang
kepada permasalahan klien; dan, (c) memburukkan lagi simptom yang sedia ada; (ii)
kaunselor profesional menetapkan matlamat yang konsisten dengan perspektif spiritual
dan agama klien; (iii) kaunselor profesional mampu (a) mengubah suai teknik terapeutik
dengan memasukkan perspektif spiritual dan agama terhadap klien; dan (b)
menggunakan amalan spiritual dan agama sebagai teknik apabila sesuai dan boleh
diterima oleh pandangan klien; dan (iv) kaunselor profesional secara terapeutik boleh
menggunakan teori dan kajian semasa bagi menyokong perspektif dan amalan spiritual
dan keagamaan klien.

1.12.4 Spiritual dan agama

Masyarakat di Malaysia mempunyai definisi yang tersendiri mengenai istilah spiritual


dan agama terutamanya dalam kalangan orang-orang Melayu Islam (Yusmini Md
Yusoff 2011). Dalam Islam, agama disebut al-Din yang terangkum di dalamnya erti
kata membenarkan dengan perkataan, mengakui keesaan Allah, mempercayai dan
meyakini Allah serta apa yang disampaikan-Nya, dengan sepenuh hati dan
membuktikannya dengan amalan, melakukan apa yang diperintah serta meninggalkan
apa yang dilarang. Al-Din berbeza dengan maksud kefahaman agama yang difahami
secara umum iaitu hanya terbatas kepada hubungan manusia dengan Tuhannya.
Sebaliknya, al-Din mencakupi segenap aspek kehidupan yang merangkumi hubungan
35

manusia dengan Tuhan, hubungan manusia sesama manusia dan hubungan manusia
dengan alam (Ahmad Fauzi Hj Morad & Ahmad Tarmizi Talib 1997).

Daripada perspektif Islam, spiritual atau kerohanian adalah dimensi agama serta
aspek dalaman yang tidak dapat diungkap oleh pancaindera manusia dan mempunyai
hubungan langsung dengan Allah. Mengambil pandangan Imam al-Ghazali, konstruk
spiritual dalam Islam adalah merupakan kombinasi empat elemen iaitu hati, jiwa, akal
dan roh yang bersifat dalaman yang berpengaruh dalam menjelmakan personaliti
seseorang (Suriani, Fariza & Phayilah 2016). Nilai-nilai spiritual yang tinggi
diterjemahkan melalui akhlak yang mulia seperti yang dinyatakan dalam al-Quran,
antaranya seperti sifat sabar, menahan kemarahan, memaafkan kesalahan orang lain,
mengasihi sesama makhluk, melakukan kebajikan dan tidak membalas kejahatan
dengan kejahatan yang dilakukan (Fariza, Salasiah & Mohd Jurairi 2015).

Maka, dalam kajian ini spiritual adalah merujuk kepada aspek dalaman individu
yang merangkumi elemen hati, jiwa, akal dan roh yang membentuk keperibadian dan
personaliti seseorang individu Muslim. Manakala agama pula, merujuk kepada ketaatan
kepada Allah dengan melakukan amalan yang diperintahkan dan meninggalkan segala
yang dilarang termasuklah menjaga hubungan dengan Allah, hubungan sesama
makhluk dan hubungan dengan seluruh alam.

1.12.5 Kaunseling keluarga dan perkahwinan

Kaunseling adalah suatu proses yang melibatkan interaksi antara kaunselor dengan
kliennya bertujuan membantu klien yang sedang menghadapi masalah (Lee 2015).
Dalam kaunseling keluarga setiap ahli keluarga berpeluang meluahkan masalah dan
rasa tidak puas hati terhadap permasalahan mereka (Rosnah Ismail 2009). Goldenberg
dan Goldenberg (2004) menyatakan kaunseling keluarga sebagai satu teknik psiko-
terapeutik untuk meneroka dan cuba mengubah masalah emosi masa kini yang saling
berkait dalam sesebuah keluarga dengan membantu ahli-ahli dalam sistem keluarga itu
mengubah corak interaksi mereka yang tidak berfungsi. Lily Mastura Harun dan
Ramlan Hamzah (2007) mendefinisikan kaunseling keluarga sebagai satu proses
intervensi yang dilakukan kepada ahli keluarga secara kelompok untuk membantu
mereka menangani masalah yang mereka hadapi. Fokus intervensi tersebut adalah
36

untuk membawa perubahan kepada keseluruhan sistem individu yang menjadi ahli
dalam keluarga.

Dalam kajian ini kaunseling keluarga dan perkahwinan melibatkan interaksi di


antara seorang kaunselor dengan ahli keluarga, pasangan suami isteri ataupun ahli
keluarga secara individu yang menghadapi isu-isu kekeluargaan dan perkahwinan.
Pengendalian kes kaunseling menggunakan pendekatan teori-teori yang bersesuaian
dalam amalan kaunseling keluarga serta menggabungkan pendekatan integrasi spiritual
dan agama yang bersesuaian. Bantuan dan rawatan yang diberikan untuk
mengembalikan kefungsian, pertumbuhan serta perkembangan keluarga diselaraskan
dengan gabungan strategi integrasi spiritual dan agama iaitu sama ada menggunakan
strategi secara implisit atau eksplisit.

1.12.6 Pengamal kaunseling keluarga dan perkahwinan

Berdasarkan penggunaan istilah yang sering digunakan dalam penerbitan buku dan
artikel jurnal antarabangsa, pengamal kaunseling keluarga dan perkahwinan juga
disebut sebagai terapis keluarga dan perkahwinan. Norhayati Mohd Noor (2012)
menyatakan kaunselor yang juga pengamal kaunseling keluarga dan perkahwinan
merupakan individu yang menjalankan atau yang mengendalikan proses kaunseling
keluarga dan perkahwinan mengikut teori, intervensi dan kemahiran dalam membantu
keluarga dan pasangan. Dalam kajian ini, perkataan kaunselor dan pengamal kaunseling
keluarga dan perkahwinan digunakan secara silih berganti tetapi memberi maksud
kepada orang yang sama. Oleh itu, pengamal kaunseling keluarga dan perkahwinan
adalah individu yang pakar dalam perkembangan manusia, masalah manusia, patologi,
kesihatan, teknik terapeutik dan mempunyai pandangan yang luas.

1.13 RUMUSAN

Secara keseluruhannya bab ini telah membincangkan perkhidmatan kaunseling


keluarga dan perkahwinan yang menggunakan integrasi spiritual dan agama,
kompetensi dan strategi kaunselor dalam mengintegrasikan pendekatan spiritual dan
agama dalam kes kaunseling keluarga dan perkahwinan. Di Barat, perkembangan
keluarga dan masyarakatnya semakin cenderung menjadikan agama sebagai rangka
37

rujuk dalam menyelesaikan permasalahan yang dihadapi terutama dalam amalan


kaunseling keluarga dan perkahwinan. Perkembangan positif ini dapat dilihat dengan
pertambahan dan peningkatan kajian-kajian serta penerbitan artikel serta buku dalam
bidang tersebut. Kecenderungan yang sama juga berlaku dalam kalangan masyarakat di
Malaysia dengan kesedaran bahawa agama merupakan sesuatu yang penting dalam
kehidupan yang tidak wajar dipinggirkan ataupun diasingkan tambahan pula dalam
institusi kekeluargaan yang merupakan unit asas bagi pembentukan sebuah masyarakat.

Oleh yang demikian bagi membantu keluarga dan pasangan suami isteri agar
mencapai kesejahteraan dalam keluarga dan rumah tangga, pengkaji amat berminat
untuk meneroka kompetensi kaunselor dan strategi yang digunakan dalam
mengintegrasikan spiritual dan agama dalam amalan kaunseling keluarga dan
perkahwinan di Malaysia. Bagi tujuan tersebut pengkaji telah membina empat objektif
kajian iaitu; (i) meneroka kompetensi kaunselor dalam mengintegrasikan pendekatan
spiritual dan agama dalam menangani kes kaunseling keluarga dan perkahwinan di
Malaysia; (ii) meneroka strategi integrasi spiritual dan keagamaan yang digunakan oleh
kaunselor dalam menangani kes kaunseling keluarga dan perkahwinan di Malaysia; (iii)
meneroka kecenderungan kaunselor memilih strategi integrasi dalam menangani kes
kaunseling keluarga dan perkahwinan di Malaysia; dan (iv) meneroka dorongan dan
cabaran kaunselor dalam mengintegrasikan spiritual dan agama dalam kes kaunseling
keluarga dan perkahwinan di Malaysia.

Seterusnya, dalam Bab II kajian kepustakaan membincangkan sorotan kajian-


kajian terdahulu berkaitan integrasi spiritual dan agama di dalam dan di luar negara,
kajian kompetensi kaunselor dalam mengintegrasikan spiritual dan agama di dalam dan
di luar negara, teori, kemahiran dan teknik dalam kaunseling keluarga dan perkahwinan,
kemahiran serta teknik dalam integrasi spiritual dan agama dalam integrasi spiritual dan
agama dalam amalan kaunseling keluarga dan perkahwinan.
38

BAB II

KAJIAN KEPUSTAKAAN

2.1 PENDAHULUAN

Bab ini membincangkan beberapa aspek utama kajian yang merangkumi kajian lepas
berkaitan spiritual dan agama dalam keluarga dan perkahwinan di Malaysia dan di luar
negara. Perbincangan kajian lepas juga berkaitan kompetensi dan strategi kaunselor
dalam mengintegrasikan aspek spiritual dan agama dalam menangani kes kaunseling
keluarga dan perkahwinan, teori kaunseling keluarga dan perkahwinan dan pendekatan
spiritual dan agama, pendekatan kaunseling keagamaan dan strategi pendekatan Islam
dan kajian model integrasi spiritual dan agama yang telah dikaji oleh pengkaji-pengkaji
terdahulu di dalam dan juga di luar negara.

2.2 KAJIAN SPIRITUAL DAN AGAMA DALAM KELUARGA DAN


PERKAHWINAN DI MALAYSIA

Agama merupakan aspek penting dalam kehidupan berkeluarga. Nilai spiritual dalam
keluarga diterapkan melalui panduan dan amalan keagamaan. Tanpa pegangan agama
serta nilai spiritual sesebuah institusi keluarga itu akan kehilangan panduan dan tiada
roh yang menghidupkan suasana kekeluargaan. Kajian Suriani, Fariza dan Phayilah
(2016) telah menolak pandangan ahli psikologi Barat seperti Maslow, Frankl, Zohar
dan Marshall yang mengatakan spiritual hanyalah aspirasi manusia untuk hidup adalah
bertentangan dengan apa yang dibawa oleh Islam. Kajian mereka menggunakan kaedah
analisis kandungan secara tematik telah mengupas konsep spiritual di dalam al-Quran
yang mendapati spiritual merupakan pencerahan diri dalam mencapai tujuan dan makna
kehidupan. Asas kebahagiaan dan kesejahteraan seseorang datang dari spiritual yang
baik. Dalam al-Quran menyebut al-lubb (akal hati), al-sadr (dada), al-ra’y
(penglihatan) dan al-fu’ad (hati) sebagai konstruk spiritual di samping al-qalb (hati),
39

al-ruh (roh), al-nafs (nafsu) dan al-‘aql (akal) yang sememangnya telah pun digariskan
oleh para sarjana Islam seperti Imam al-Ghazali.

Nilai-nilai spiritual seperti persaudaraan, sikap penyayang, pemurah, belas


kasihan, ketekunan, kejujuran, memberi layanan dan baik, merendah diri, kemesraan,
kesederhanaan, keamanan, bertanggungjawab, hormat, kesyukuran dan ketabahan
diterapkan dalam keluarga berdasarkan pegangan dan nilai agama yang dipelajari oleh
seseorang semasa zaman kanak-kanak (Djamal 2017; Rezki Perdani, Salhah, Dini
Farhana & Noranis 2009). Namun, isu keruntuhan moral dan akhlak yang berlaku dalam
kalangan remaja pada hari ini menghakis sedikit demi sedikit nilai-nilai murni yang
diterapkan dalam keluarga. Hal ini sewajarnya dilihat sebagai perkara yang perlu
diperbaiki ke arah usaha yang lebih strategik bagi tujuan memulihkan dan seterusnya
memperkasakan sahsiah remaja dari segi akhlak dan moralnya berasaskan nilai-nilai
keagamaan (Fauziah Ibrahim, Norulhuda, Khadijah, Mohd Suhaimi, Noremy & Salina
2012).

Kajian Norhayati Mohd Noor (2012) mendapati kaunselor sering menerima


rujukan masalah sosial anak-anak yang berkaitan dengan salah laku agama seperti hamil
luar nikah, dadah, merokok, rogol, tingkah laku delinkuen, mencuri, melepak, lari dari
rumah, pergaulan bebas dan tingkah laku tidak terkawal berpunca dari keluarga sendiri.
Lazimnya keluarga akan merujuk kes anak mereka setelah merasa sukar dan buntu
untuk menyelesaikannya. Keadaan yang sudah menjadi kritikal menyebabkan keluarga
merasa sukar lagi untuk mengawal dalam menguruskan anak-anak lalu merujuk
masalah mereka kepada kaunselor.

Kajian Zainudin Sharif dan Norazmah Mohamad Roslan (2011) yang mengkaji
masalah sosial di Sekolah Tunas Bakti mendapati faktor diri sendiri merupakan
penyebab utama remaja terlibat dengan masalah sosial berbanding pengaruh rakan
sebaya dan permasalahan persekitaran sekolah. Analisis kajian mereka juga mendapati
latar belakang keluarga bukan merupakan faktor penting yang mempengaruhi remaja.
Namun, Fauziah Ibrahim et al. (2012) mendapati tahap pengetahuan agama
mempengaruhi tingkah laku remaja yang bermasalah. Hasil kajian mereka ke atas 200
orang remaja mendapati 89.5% pengetahuan agama remaja berada pada tahap yang
40

sederhana. Kajian mereka memberi gambaran bahawa semakin tinggi pengetahuan


agama, maka semakin rendah kecenderungan remaja untuk terlibat dengan aktiviti yang
tidak bermoral.

Kes hamil luar nikah pula merupakan kes yang banyak diterima seperti dalam
kajian Norhayati Mohd Noor (2012). Kes ini disebabkan oleh faktor hubungan yang
renggang dalam keluarga, persekitaran tempat tinggal, pengaruh rakan sebaya dan
pendedahan aktiviti seksual menerusi internet secara berleluasa mempengaruhi remaja
terjebak melakukan perlakuan seks sehingga menyebabkan kehamilan (Khadijah Alavi
et al. 2012; Sarnon, Mohamad, Fauziah, Alavi, Nen, Hoesni & Zaizul 2012). Dapatan
ini turut disokong oleh Mohamad Faizal Mohammad dan Mohd Zaki Ishak (2014) yang
mendapati faktor yang mempengaruhi remaja terlibat dengan salah laku seksual adalah
faktor ibu bapa, pegangan agama yang longgar, pengaruh rakan sebaya dan pengaruh
teknologi. Selain itu, faktor diri sendiri seperti motif peribadi sosial, pergaulan bebas
dan tekanan perasaan menjadi penyebab mereka terlibat dengan gejala hubungan seks.

Ledakan teknologi maklumat dan fenomena dunia tanpa sempadan merupakan


cabaran besar yang dihadapi oleh institusi keluarga dalam membesarkan anak-anak
pada hari ini. Seperti yang dinyatakan dalam kajian Mohamad Faizal Mohammad dan
Mohd Zaki Ishak (2014) yang mendapati pengaruh teknologi pada masa kini turut sama
menyumbang kepada permasalahan yang berlaku dalam keluarga. Dalam menangani
fenomena yang melanda, ibu bapa juga tidak terkecuali turut mengikuti perkembangan
teknologi bagi memantau aktiviti anak-anak mereka. Kajian Che Su Mustafa dan Nan
Zakiah Megat Ibrahim (2014) mendapati ibu bapa juga menggunakan media sosial
seperti facebook untuk mengawal tingkah laku anak-anak dan untuk mengetahui dengan
siapa mereka berinteraksi. Dengan cara menjadi rakan dalam facebook memudahkan
ibu bapa memantau pergerakan dan pergaulan anak dari semasa ke semasa.

Kajian-kajian perkahwinan pula banyak membincangkan berkaitan faktor-


faktor keruntuhan rumah tangga, perceraian dan masalah hubungan yang berlaku di
antara suami dan isteri. Hamidah Ab Rahman (2008) mengkaji faktor yang
menyumbang kepada masalah keluarga tunggal dan perceraian di Johor mendapati
keluarga yang terlibat dengan kes perceraian berpunca daripada kurang kemahiran
41

dalam berkomunikasi. Siti Fatimah Haji Abdul Ghani dan Haslee Sharil Lim Abdullah
(2006) pasangan suami isteri yang mengalami situasinya sering berkonflik, sukar
berinteraksi atau berkomunikasi, memerlukan bimbingan emosi, memerlukan ruang
perbincangan dan perkongsian masalah, menginginkan ketenangan, mengalami
tekanan, ingin memahami diri, pasangan dan ahli keluarga, ingin mempertingkatkan
kemahiran diri, ingin memulihkan keadaan yang tegang dalam keluarga, hilang
perasaan hormat menghormati antara satu sama lain, berprasangka dan menghadapi
cemburu yang melampaui batas amatlah memerlukan intervensi kaunseling.

Norhamidah Jarimah@Safri dan Surianti Lajuma (2014) menjalankan kajian ke


atas seramai 474 orang wanita untuk melihat persepsi responden dalam kalangan wanita
mendapati faktor penyumbang kepada kecurangan pasangan adalah faktor komunikasi,
perasaan, sikap, faktor luaran dan hubungan bermasalah. Manakala kajian tinjauan yang
dijalankan oleh Fadillah Ismail (2016) dalam usaha meninjau faktor-faktor yang
mempengaruhi keharmonian dan keruntuhan rumah tangga terhadap 1,000 orang
responden menunjukkan faktor kewangan, komunikasi dan pengurusan konflik
mempunyai hubungan yang kuat dalam menjelaskan punca keharmonian dan
keruntuhan rumah tangga.

Kajian Fadillah Ismail (2016) mendapati faktor yang mempengaruhi perceraian


dalam sesebuah perkahwinan adalah faktor pengurusan konflik (M=3.03), komunikasi
(M=2.86), dan ikatan kekeluargaan (M=2.80). Terdapat juga faktor-faktor lain yang
dikaitkan dengan perceraian antaranya pengurusan kewangan (M=2.74), penderaan
mental dan fizikal (M=2.56), kesetiaan (M=2.71) dan masalah seksual (M=2.41).
Manakala kajian Mariam Abd. Majid dan Mohammad Syafirul Zarif Saleh Hudin
(2017) pula mendapati pengabaian tanggungjawab antara pasangan merupakan faktor
paling tinggi yang mencetuskan perceraian dalam kalangan pasangan suami isteri di
Selangor. Selain itu masalah komunikasi, akhlak dan sosial, campur tangan pihak
ketiga, didikan agama yang lemah, masalah ekonomi, seksual, kerjaya dan faktor
perbezaan budaya turut mempengaruhi pasangan bercerai.

Perbincangan di atas yang berkaitan isu-isu sosial yang berlaku dalam kalangan
anak-anak didapati berpunca daripada ibu bapa dan keluarga itu sendiri. Walaupun
42

begitu, terdapat juga kajian yang tidak mengaitkan faktor keluarga dan ibu bapa dalam
mempengaruhi isu sosial tersebut namun kajian-kajian tersebut secara tidak langsung
membincangkan pengetahuan dan pegangan agama yang kurang menyumbang kepada
berlakunya permasalahan tersebut. Begitu juga hal yang berlaku dalam isu-isu
perkahwinan yang menunjukkan faktor komunikasi dan pengabaian tanggungjawab
menyumbang kepada seperti konflik, kecurangan dan perceraian yang berlaku dalam
institusi tersebut adalah berlatarbelakangkan faktor spiritual dan agama yang turut
dibincangkan secara sekunder.

2.3 KAJIAN SPIRITUAL DAN AGAMA DALAM KELUARGA DAN


PERKAHWINAN DI LUAR NEGARA

Kajian-kajian terdahulu di luar negara melaporkan institusi keluarga begitu signifikan


dengan nilai-nilai spiritual dan kehidupan beragama. Beberapa kajian telah dijalankan
untuk melihat hubungan dan pengaruh keagamaan dalam keluarga terhadap anak-anak.
Kajian oleh King (2003) ke atas 810 orang bapa dalam melihat pengaruh agama ke atas
hubungan bapa dengan anak-anak mendapati bapa yang beragama lebih menunjukkan
keterlibatan mereka terhadap anak-anak. Kajian Petts (2009) pula mendapati kaum bapa
meningkatkan penglibatan agama mereka selepas kelahiran anak. Hasil kajian ini juga
mendapati kebanyakan bapa mengekalkan tahap penglibatan dalam agama lebih tinggi
pada tahun-tahun awal kehidupan mereka. Kualiti hubungan ibu bapa dan keagamaan
ibu juga berkaitan apabila bapa percaya bahawa agama adalah penting untuk kehidupan
berkeluarga. Kajian ini juga menyokong dapatan King (2003) yang melaporkan
keterlibatan bapa dalam komuniti agama menjadi sumber sokongan untuk beliau lebih
aktif melibatkan diri dalam kehidupan berkeluarga.

Kajian oleh Bell-Tolliver dan Wilkerson (2011) yang membincangkan


perspektif kaunselor terhadap penggunaan spiritual dan hubungan kekeluargaan dalam
keluarga Amerika Afrika. Kajian menggunakan reka bentuk fenomenologi ini
melibatkan 30 orang ahli terapis dalam bidang perkahwinan dan keluarga, kerja sosial,
psikologi, dan kaunselor profesional berlesen. Kajian ini mendapati tema kekuatan
spiritual ahli keluarga mempengaruhi hubungan kekeluargaan secara konsisten.
Pegangan spiritual yang kuat menjadikan hubungan ahli keluarga sentiasa rapat dan
saling menyokong di antara satu sama lain. Spiritual juga dikenal pasti sebagai salah
43

satu sumber kekuatan dalam menyelesaikan masalah seperti tekanan dan krisis yang
berlaku dalam keluarga. Begitu juga dalam kajian King, Ledwell dan Pearce-Morris
(2013) yang mendapati anak-anak yang sudah dewasa dan kerap menghadiri program
keagamaan lebih cenderung memberi bantuan kepada ibu bapa. Mereka juga didapati
menunjukkan hubungan yang lebih akrab dan kerap menghubungi kedua ibu bapa.

Kajian Walsh (2012) yang mengkaji pengaruh dimensi spiritual terhadap


kehidupan keluarga mendapati lebih 80% mengatakan bahawa agama adalah penting
dalam keluarga asal mereka dan semasa mereka membesar. Walaupun ramai yang
mengakui tidak lagi mengikuti secara keseluruhan ajaran agama setelah meningkat
dewasa, namun 75% menyatakan hubungan mereka dan keluarga diperkukuhkan oleh
agama. Kajian ini juga menunjukkan kesan positif agama terhadap kefungsian keluarga,
perkembangan kanak-kanak, dan kualiti serta kestabilan hubungan.

Ibu bapa yang membesarkan anak-anak dalam situasi keagamaan mendapati


anak-anak meningkat dewasa dengan mengikuti langkah-langkah keagamaan ibu bapa
mereka. Perkembangan anak-anak dapat dilihat menerusi pelbagai dimensi seperti
mengikuti perintah agama dengan melaksanakan amalan keagamaan seperti membaca
kitab suci menunjukkan kasih sayang di rumah, menghormati ibu bapa dan
membincangkan isu agama di rumah secara terbuka (Vermeer 2014).

Kajian Nazam dan Husain (2016) yang meneroka pembelajaran nilai-nilai


spiritual dalam kalangan 104 orang kanak-kanak di India mendapati anak-anak
mempelajari kebanyakan nilai-nilai spiritual daripada keluarga. Nilai-nilai seperti amal
kebajikan, kesetiaan, kejujuran, membantu orang lain, tekun bekerja, kebaikan,
ketulusan, kebenaran, dan memahami orang lain dipelajari melalui ibu mereka. Mereka
belajar nilai-nilai kreativiti, keikhlasan, kesetiaan, kebaikan, kerendahan hati,
kebahagiaan, ketaatan, ketepatan waktu, kedamaian, kesopanan, perkongsian melalui
bapa mereka. Nilai kejujuran pula dipelajari daripada kedua ibu dan bapa. Kanak-kanak
ini juga melaporkan bahawa mereka belajar nilai-nilai kebajikan, kejujuran, tekun
bekerja, menghormati masa melalui pembacaan buku agama dan menerusi saluran
televisyen yang berbentuk agama. Dapatan kajian ini menunjukkan bahawa ibu
44

memainkan peranan yang penting dalam memupuk nilai-nilai spiritual terhadap anak-
anak mereka.

Nelson et al. (2011) menjalankan satu kajian yang menyiasat hubungan di antara
agama dan nilai spiritual dan komitmen moral dalam perkahwinan memberi sumbangan
pengetahuan kepada kaunselor keluarga dan perkahwinan mengenai jenis komitmen
hubungan pasangan. Kajian ini menggunakan kaedah kualitatif yang melibatkan 163
orang responden yang terdiri daripada pelajar sarjana muda jabatan kaunseling dari dua
buah universiti. Soalan kajian yang digunakan dalam kajian ini adalah meneroka
peranan agama dan spiritual dalam perkahwinan iaitu; (i) Apakah cara (sekiranya ada)
konsep komitmen anda berkaitan dengan kepercayaan agama atau spiritual? dan (ii)
Bagaimanakah anda menentukan komitmen berkaitan kepercayaan agama atau
spiritual? Hasil dapatan kajian menunjukkan 52% memberi persepsi bahawa komitmen
mempunyai kaitan dengan kepercayaan agama. 72% menyatakan komitmen mereka
sebagai komitmen moral. Hanya terdapat 9% responden yang menyatakan tiada kaitan
antara nilai agama dan komitmen. Terdapat 4 orang responden menyatakan komitmen
adalah berkait dengan kepercayaan spiritual bukan agama, manakala 7 orang responden
menyatakan bahawa komitmen dalam perkahwinan adalah mempunyai kaitan dengan
perjanjian mereka dengan Tuhan dan 28% menyatakan komitmen mereka adalah
sebagaimana diarahkan menurut panduan yang ditetapkan oleh Tuhan.

Perbincangan di atas menunjukkan keluarga merupakan sebuah institusi awal


yang membentuk personaliti anak-anak. Anak-anak yang dibesarkan dalam suasana dan
persekitaran keagamaan akan membesar mengikut agama ibu bapa mereka. Mereka
mempraktikkan nilai-nilai spiritual seperti apabila meningkat dewasa, anak-anak kerap
bertanyakan khabar dan suka membantu ibu bapa dan hubungan kekeluargaan juga
didapati rapat. Pegangan nilai spiritual dan agama didapati membantu meningkatkan
kefungsian keluarga di samping mendapat sumber kekuatan dalam menyelesaikan
sesuatu tekanan atau konflik yang berlaku dalam keluarga.
45

2.4 KAJIAN KOMPETENSI KAUNSELOR DALAM INTEGRASI PENDEKATAN


SPIRITUAL DAN AGAMA DI MALAYSIA

Kemahiran kaunselor dalam membina perhubungan terapeutik secara berterusan dan


penuh perhatian memberi kesan terhadap perkembangan dan pertumbuhan peribadi
klien. Kemahiran tersebut adalah perkara asas dalam menggambarkan kompetensi
kaunselor (Ruhani Mat Min 2017). Kompetensi kaunselor dapat menentukan
keberkesanan intervensi dalam mengintegrasikan pendekatan spiritual dan agama
dalam amalan kaunseling. Kemahiran kaunselor yang terhad dalam ilmu psikologi dan
kaunseling tidak dapat memenuhi keperluan mereka memahami isu-isu berkaitan
spiritual dan agama klien. Kelemahan tersebut menjejaskan hubungan menolong dan
proses kaunseling tidak berjalan dengan baik. Ketidakcekapan dan kurang pengetahuan
dalam bidang integrasi agama menyukarkan kaunselor untuk memahami konsep
spiritual dan agama yang dibawa oleh klien (Melati, Ida Hartini, Norfaezah &
Azmawaty 2014).

Dalam memberikan perkhidmatan kaunseling, kaunselor boleh menggalakkan


pertumbuhan dan perkembangan peribadi klien mengikut cara-cara yang sesuai dengan
klien untuk menjaga kepentingan dan kebajikan klien. Kaunselor sentiasa cuba
memahami latar belakang budaya yang berbeza dalam kalangan klien yang mereka
kendalikan. Kaunselor juga hendaklah meneroka kekuatan diri sendiri untuk
mengendalikan kes yang diutarakan oleh klien, menyemak identiti mereka dan
kepercayaan mereka mengenai proses kaunseling (Norsafatul Aznin Abd Razak &
Melati Sumari 2014).

Faktor budaya mempengaruhi setiap aspek kehidupan kerana ia mempengaruhi


pandangan kaunselor mengenai realiti kehidupan dari aspek psikologikal dan sosial
klien. Ia mempengaruhi makna sesuatu kelompok itu bertingkah laku dalam
menghadapi masalah, masalah yang timbul dalam sosiobudaya dan budaya itu sendiri
mempunyai cara yang formal atau tidak formal dalam menghadapi sesuatu masalah.
Untuk menjadikan kaunselor sentiasa sensitif terhadap budaya, kaunselor perlulah
sentiasa sedar tentang rangsangan-rangsangan budaya, nilai dan ekspektasi kendiri,
fleksibel dan mudah menstrukturkan semula maklumat semasa proses kaunseling secara
46

berterusan dan memperluaskan usaha dalam meningkatkan kefahaman berdasarkan


latar belakang dan budaya klien yang unik (Rafidah Aga Mohd Jaladin 2014).

Tiga atribut penting bagi seorang kaunselor memahami proses berinteraksi


dengan klien yang berbeza budaya (Rosnah Ismail 2014a);

i) Kepercayaan dan sikap iaitu kaunselor perlu sedar tentang nilai,


kepercayaan, sikap, perasaan dan bias mereka sendiri dan bagaimana ia
boleh memberikan kesan kepada klien mereka.

ii) Ilmu pengetahuan iaitu kaunselor tidak seharusnya berhenti daripada


berusaha menambah ilmu pengetahuan dalam bidang kaunseling serta
mengambil inisiatif untuk memperluaskan lagi pengetahuan dan
pemahaman mengenai budaya lain selain budaya mereka sendiri.

iii) Kemahiran iaitu kaunselor perlu sentiasa mencari peluang untuk


meningkatkan kemahiran mereka dalam bidang kaunseling,
menggunakan pelbagai kaedah dan pendekatan yang bersesuaian dengan
kehendak dan nilai klien yang ingin dibantu.

Kesedaran kaunseling pelbagai budaya merangkumi; (i) arif kendiri iaitu sedar
mengenai sikap prejudis yang dimilikinya; (ii) pembentukan kesedaran tentang budaya
sendiri; (iii) peningkatan perasaan sensitif terhadap isu kemiskinan, seksisme dan
perkauman dalam masyarakat; (iv) kesedaran mengenai perbezaan antara individu; (v)
kesedaran mengenai kelompok budaya lain; (vi) kesedaran mengenai kepelbagaian
yang terdapat dalam setiap budaya; dan (vii) pembangunan teknik kaunseling yang
sensitif budaya iaitu yang mengurangkan jurang antara kaunselor dengan klien dari
budaya yang berbeza (Rafidah Aga Mohd Jaladin & Noh Amit 2014).

Masyarakat Melayu amat teliti dan berhati-hati dalam berkomunikasi. Adalah


menjadi budaya dalam kalangan orang Melayu menjaga kesantunan dan menggunakan
komunikasi yang berteraskan kepada menyeru perkara kebaikan dan mencegah
kemungkaran (Arba’ie, Che Ibrahim & Nik Rafidah 2007). Dalam meminta dan
memberi nasihat pula, orang Melayu menunjukkan perlakuan menegur secara berlapik
untuk menjaga keharmonian sepanjang komunikasi berlangsung. Orang Melayu juga
47

sering memulakan perbualan dengan meminta maaf secara tidak langsung


mencerminkan keperibadian mulia dan mengelakkan perbalahan dalam perbincangan
demi menjaga keharmonian sosial (Arina Johari & Indirawati Zahid 2016). Cara
menegur orang Melayu juga lebih kepada ‘menjaga hati’ dan memelihara ‘air muka’
agar tidak menyinggung perasaan orang lain (Marlyna Maros 2011). Oleh itu, pengamal
kaunseling dilatih dengan kemahiran komunikasi yang berkesan, mendengar secara
aktif dan dapat memberi respons dengan cara yang berhemah dalam menyampaikan
sesuatu mesej dalam hubungan kaunseling (Zuria Mahmud & Salleh Amat 2015).

Kajian Yusmini Md Yusoff (2011) pula menyatakan sepanjang perkhidmatan


beliau sebagai seorang kaunselor dan tenaga pengajar dalam bidang kaunseling, dalam
kedudukan yang berbeza serta kapasiti sebagai seorang profesional, beliau mula
menyedari bahawa nilai-nilai, terutamanya agama dan spiritual serta aspek pengalaman
manusia membuatkan beliau tidak dapat mengetepikan hal yang sedemikian dalam
intervensi kaunselingnya. Klien dan pelajar kaunseling sering membawa isu-isu agama
dan spiritual yang mencabar idea. Sebagai contoh, klien melontarkan soalan-soalan
seperti kegagalan mereka untuk mentaati tuntutan asas Islam tertentu seperti memakai
tudung; melaksanakan solat atau solat lima kali sehari; atau keinginan untuk
meneruskan pilihan peribadi dan dalam masa yang sama menghalang diri mereka dari
melakukan ibadat.

Dalam situasi yang lain, klien juga menyoal perkara-perkara yang berkaitan
aspek pengetahuan dan amalan keagamaan. Soalan-soalan seperti: Adakah terdapat
lebih daripada satu Tuhan?; Adakah nabi telah membuat kesilapan?; Saya menderhaka
kepada suami saya, oleh itu adakah saya perlu dihukum kerana kelakuan berdosa saya
itu?, timbul dalam sesi-sesi kaunseling yang dikendalikan. Persoalan-persoalan yang
berlegar dalam diri klien ini boleh menyebabkan pelbagai perasaan seperti putus
harapan, terharu, terperangkap dan telah berbuat dosa. Oleh kerana soalan tersebut
mencetuskan implikasi yang besar bagi mereka dalam memberi makna sebagai mereka
dalam kategori ‘baik’ ataupun ‘tidak baik’. Yusmini juga menambah bahawa dalam
kehidupan masyarakat Islam, mendengar klien bercakap mengenai isu yang serius
seperti isu yang berkaitan dengan agama adalah perkara biasa. Klien sebegini
berkemungkinan cuba untuk mendapatkan ‘nasihat’ yang profesional daripada beliau
48

mengenai perkara-perkara tersebut. ‘Nasihat’ yang ingin diperoleh boleh jadi berpunca
daripada kelayakan profesional beliau sebagai kaunselor dan berkemungkinan juga
daripada penampilan dan latar belakang agama beliau yang kukuh.

Mazidah Mohd Dagang et al. (2013) menjalankan kajian tinjauan terhadap 240
orang responden yang terdiri daripada kaunselor berdaftar di Malaysia bagi mengenal
pasti tahap kompetensi dalam integrasi agama dalam kalangan mereka. Dapatan kajian
mendapati tahap integrasi kefahaman beragama dalam kalangan kaunselor di Malaysia
berada pada tahap sederhana dan menunjukkan kaunselor secara sederhana
memasukkan kepercayaan agama, nilai agama dan intervensi berasaskan agama dalam
proses kaunseling yang mereka jalankan. Integrasi secara sederhana ini menunjukkan
kaunselor mengintegrasikan agama secara implisit iaitu menerapkan kepercayaan dan
nilai agama secara tidak langsung dalam amalan kaunseling.

Kajian beliau mendapati empat cabaran utama yang dihadapi oleh kaunselor
dalam mengintegrasikan kefahaman beragama. Cabaran yang pertama ialah kurangnya
pengetahuan mengenai integrasi kefahaman beragama. Segelintir mereka menyatakan
tidak mendapat latihan yang mencukupi semasa mengikuti pengajian di IPT.
Pendedahan dan kurangnya pengetahuan tentang integrasi agama ini menyebabkan
kaunselor tidak mempunyai kemahiran untuk mengintegrasikan agama dengan sebaik
mungkin. Cabaran yang kedua ialah kebanyakan responden menyatakan bahawa isu
agama adalah isu sensitif dan perlu berhati-hati dalam mengaplikasikannya. Cabaran
yang ketiga ialah klien yang datang juga tidak mempunyai pengetahuan agama dan ada
yang tidak mengamalkan amalan keagamaan dengan sebaiknya. Cabaran keempat
adalah kebimbangan kaunselor mempunyai kecenderungan untuk meletakkan nilai
kepada klien apabila mengintegrasikan kefahaman beragama. Namun, terdapat juga
sebilangan kaunselor yang menyatakan tidak menghadapi sebarang halangan atau
cabaran bagi mereka dalam mengintegrasikan kefahaman spiritual dan agama dalam
amalan kaunseling mereka.

Yusmini Md Yusoff (2011) telah menjalankan kajian terhadap 14 orang


kaunselor yang beragama Islam bagi meneroka bagaimana mereka berperanan
menangani isu serta nilai spiritual dan agama saling mengikut pengetahuan kaunseling
49

mereka. Kajian reka bentuk gabungan ini menggunakan soalan kaji selidik dan temu
bual dalam proses pengumpulan data. Kedua-dua data kualitatif dan kuantitatif ini
menunjukkan bahawa terdapat pemahaman yang sama dalam kalangan peserta kajian
mengenai kekurangan latihan dan kursus yang diterima dalam menangani nilai spiritual
dan agama dalam kaunseling. Peserta kajian menyatakan bahawa wujud jurang di antara
model kaunseling dan amalan agama. Hasil dapatan kualitatif melaporkan peserta
kajian menyatakan bahawa mereka perlu mencari jalan mereka sendiri untuk
menggabungkan atau menjalinkan pengetahuan kaunseling dan teknik keagamaan
dalam membantu klien.

Elemen agama dalam amalan kaunseling dan klinikal merupakan bidang yang
penting yang memerlukan kaunselor mendapat latihan dan pengalaman yang cukup bagi
membantu klien. Kaunselor seharusnya menjadi lebih kreatif dan inovatif dalam
menangani isu-isu spiritual dan agama dalam amalan kaunseling. Oleh itu, kajian
seterusnya amat diperlukan terutamanya dalam kompetensi kaunselor menangani isu
spiritual dan agama secara inovatif (Sapora, Khatijah & Al-Amin 2012). Untuk menjadi
seorang kaunselor menggunakan pendekatan agama seseorang itu tidak semestinya
menjadi seorang ahli agama, memadai baginya menguasai sensitiviti terhadap spiritual
kliennya (Najlatun Naqiyah 2011).

Berdasarkan kajian literatur dan perbincangan di atas jelaslah menunjukkan di


Malaysia terdapat usaha yang dilakukan dalam mengintegrasikan elemen spiritual dan
agama dalam amalan kaunseling secara umum namun tiada kajian yang mengkaji
integrasi spiritual dan agama dalam kaunseling keluarga dan perkahwinan secara
khusus. Kompetensi seseorang kaunselor dalam mengintegrasikan pendekatan spiritual
dan agama berkait rapat dengan pengetahuan dalam bidang kaunseling dan kaedah
dalam integrasi spiritual dan agama. Namun, kurangnya pendedahan dan tiada latihan
yang khusus semasa mengikuti pengajian menyebabkan kaunselor kurang
berkemahiran dalam mengintegrasikan spiritual dan agama dalam kaunseling. Selain
itu, faktor kefahaman dan kesedaran tentang budaya serta sensitiviti masyarakat
terhadap isu spiritual dan agama juga menyumbang kepada kemahiran kaunselor dalam
mengintegrasikan spiritual dan agama dalam kaunseling. Sehubungan itu, dalam
memastikan proses perhubungan menolong ini menjadi berkesan dalam melahirkan
50

keluarga yang sejahtera, aspek kompetensi kaunselor amatlah penting dalam


memastikan penyampaian perkhidmatan kaunseling ini mencapai matlamat yang
sebenar.

2.5 KAJIAN KOMPETENSI KAUNSELOR DALAM INTEGRASI SPIRITUAL


DAN AGAMA DI LUAR NEGARA

Di Amerika Syarikat, pelbagai usaha yang dilakukan dalam tempoh yang panjang
menunjukkan suatu evolusi dalam bidang integrasi spiritual dan agama dalam
kaunseling. Beberapa organisasi kaunseling Katolik telah memberi perhatian terhadap
penggunaan spiritual dan agama dalam kaunseling sejak tahun 1950an sehinggalah
tertubuhnya sebuah badan profesional yang dikenali sebagai Association for Spiritual,
Ethical and Religious Values in Counseling, ASERVIC pada tahun 1995 (Powers
2005). Fokus utama ASERVIC adalah menangani isu-isu profesional kaunseling yang
berkait dengan spiritual, agama, etika dan nilai dalam kaunseling (Robertson & Young
2011). Tinjauan literatur mendapati pentas penyelidikan menjadi tumpuan pengkaji
dalam isu berkaitan kompetensi kaunselor dalam integrasi spiritual dan agama semakin
meningkat dan popular.

Dalam perkhidmatan kaunseling keluarga dan perkahwinan, pengamal


mempunyai kedudukan yang utama dan boleh mengorientasikan diri mereka sendiri
dengan konsep spiritual dan agama supaya dapat memberi tindak balas yang bermakna
terhadap keluarga yang memerlukan intervensi tersebut (Aponte 2002; Rivett & Street
2001). Kaunselor meneroka isu-isu spiritual dan agama klien secara implisit iaitu klien
tidak menyedari keadaan tersebut dengan cara kaunselor menggunakan semula nada
percakapan klien, menggunakan unsur jenaka dan membuat reframing (Magaldi-
Dopman, Park-Taylor & Ponterotto 2011). Walau bagaimanapun, kaunselor hanya
memulakan perbincangan selepas klien terlebih dahulu membangkitkan isu-isu spiritual
dan agama (Cashwell et al. 2013).

Satu kajian yang telah dilakukan oleh Carlson et al. (2002) untuk meninjau
kesesuaian kaunselor dalam menangani isu agama dan spiritual ketika menjalankan sesi
kaunseling. Seramai 153 orang responden telah mengambil bahagian dalam meninjau
tiga aspek utama iaitu kepentingan spiritual dan agama dalam kehidupan peribadi dan
51

profesional responden, kepercayaan mereka mengenai kesesuaian dalam menangani isu


spiritual dan agama dalam konteks kaunseling dan perbezaan yang terdapat dalam
kepercayaan responden berkaitan kesesuaian menangani antara isu agama dan spiritual
dalam kaunseling. Kajian ini jelas menunjukkan bahawa responden mengakui bahawa
mereka adalah orang spiritual (spiritual beings). Jumlah yang amat besar iaitu 95%
menganggap diri mereka sebagai orang spiritual, 82% meluangkan masa dengan amalan
spiritualiti secara tetap dan 71% melakukan doa dan sembahyang secara konsisten.
Dapatan lain menunjukkan 95% responden mempercayai hubungan antara spiritual dan
kesihatan mental, 62% responden berpandangan elemen spiritual sepatutnya dipandang
tinggi dan dipraktikkan dalam amalan kaunseling, 47% pula bersetuju menangani isu
spiritual klien dalam usaha membantu mereka, 68% responden percaya akan kesesuaian
bahawa kaunselor bertanyakan tentang spiritualiti klien dan 42% setuju kesesuaian
membantu klien dalam pembangunan spiritualiti mereka.

Dapatan lain daripada kajian di atas adalah mendapati 63% daripada responden
berpandangan agar kursus spiritualiti sewajarnya ditawarkan sebagai sebahagian
daripada latihan terapi keluarga dan perkahwinan, 76% responden menyatakan tidak
pernah menerima latihan sedemikian. Maklumat ini dapat menerangkan kepada kita
bahawa kurangnya latihan dalam kursus-kursus berkaitan dan kesedaran bagaimana
proses terapi ini dapat dijalankan. Di akhir soalan tinjauan, pengkaji menyediakan ruang
komen agar responden mencatatkan sebarang komen di ruang tersebut. Terdapat 20
komen dan majoritinya menyatakan bahawa mereka mula membincangkan isu
spiritualiti setelah klien terlebih dahulu memulakan isu tersebut. Responden merasa
bertanggungjawab untuk membincangkan isu-isu berkenaan setelah klien mula
mengutarakan perkara tersebut.

Satu kajian oleh Tillman, Dinsmore, Hof & Chasek (2013) untuk meneroka
keyakinan kaunselor dalam menangani isu spiritual dan agama terhadap 12 orang
peserta kajian yang terdiri daripada 6 orang peserta lelaki dan 6 orang peserta wanita
yang berusia lingkungan 26 hingga 82 tahun dan berpengalaman dalam amalan
kaunseling selama 1 hingga 50 tahun. Kajian menunjukkan proses bagaimana kaunselor
membina keyakinan dalam menangani orientasi spiritual atau agama klien semasa terapi
diteroka menggunakan kajian kualitatif. Dapatan kajian menunjukkan bahawa dalam
52

membina keyakinan dan untuk mengelakkan kesukaran berlaku dalam menggabungkan


spiritual atau orientasi keagamaan dalam proses terapeutik sebenarnya dibentuk oleh
perjalanan spiritual peribadi kaunselor. Faktor formatif seperti peluang untuk
meningkatkan pengetahuan, kemahiran sosial dan menghormati spiritualiti menjadikan
kaunselor lebih berkeyakinan. Beliau mengatakan keperibadian spiritual dan
keagamaan kaunselor sendiri turut menyumbang kepada kompetensi seseorang
kaunselor dalam mengintegrasikan spiritual dan agama dalam amalan kaunseling.

Dapatan kajian ini menunjukkan bahawa proses kaunselor untuk mendapat


keyakinan dalam menangani orientasi agama atau spiritual klien dalam terapi dibina
dengan perkembangan sosial kaunselor tersebut. Benih-benih keyakinan kaunselor
sebenarnya mula dipupuk sejak awal kehidupan beliau dalam keluarganya sendiri. Hal
ini mewujudkan rasa positif terhadap spiritual dan agama yang merangsang perjalanan
spiritual peribadi kaunselor tersebut. Rasa positif merupakan asas berterusan kepada
keyakinan spiritual kaunselor di mana mereka membina keyakinan dengan berinteraksi
dengan orang lain dalam hubungan antara agama atau spiritualiti dalam amalan
kaunseling. Kursus-kursus seperti kaunseling pelbagai budaya, etika, praktikum, dan
latihan muncul sebagai mata pelajaran utama dalam kurikulum latihan bagi
menyediakan kaunselor yang berkeyakinan dalam mengintegrasikan spiritual dan
agama dalam amalan kaunseling.

Di samping keperibadian dan faktor keagamaan kaunselor, kefahaman tentang


sesuatu budaya, amalan, adat dan keagamaan turut menyumbang kepada faktor
kompetensi seseorang kaunselor. Dengan memahami latar belakang silang budaya klien
seseorang kaunselor itu dapat melihat impak perkembangan dan pandangannya
terhadap dunia. Oleh itu, dengan pemahaman dan kesedaran ini kaunselor dapat
menentukan bagaimana perkembangan latar belakang agama dan spiritual klien. Sikap
keterbukaan kaunselor ini dapat menyumbang kepada suasana persefahaman antara
klien dan kaunselor serta saling hormat menghormati di antara satu sama lain berkenaan
apa sahaja isu yang dikongsi dalam sesi kaunseling tersebut (Francis 2009).

Kajian yang dilakukan oleh Cashwell et al. (2013) terhadap seramai 78 orang
ahli American Counseling Association (ACA) untuk mengkaji bagaimana amalan
53

kaunselor melibatkan diri dalam tingkah laku klinikal untuk menangani isu-isu spiritual
atau agama dalam amalan kaunseling. Responden diberikan satu set soal selidik
menggunakan skala Likert yang mempunyai 30 nilai tingkah laku klinikal dalam
menangani isu-isu spiritual atau agama dalam kaunseling. Terdapat lima item yang
menunjukkan skor tertinggi iaitu; (i) berkomunikasi secara aktif dan menghormati
kepercayaan agama dan spiritual klien; (ii) boleh menentukan bila akan berlaku bias
dan kesannya kepada proses kaunseling; (iii) memberi respons dengan menerima
sensitiviti klien; (iv) mengelak daripada memasukkan nilai spiritual dan agama sendiri;
dan (v) membantu membina bersama-sama matlamat terapeutik klien berdasarkan nilai
spiritual dan agama yang dipegang klien. Kajian ini juga memperlihatkan bahawa
kaunselor cenderung tidak menggunakan model eksplisit dalam menangani isu spiritual
dan agama dalam amalan kaunseling. Manakala satu aspek lagi yang perlu diambil kira
dalam dapatan kajian ini secara signifikan menunjukkan responden rata-rata
menunjukkan identiti spiritual lebih kuat berbanding identiti beragama.

Satu kajian tinjauan yang dilakukan oleh Plumb (2011) ke atas 341 orang
kaunselor berdaftar untuk mengenal pasti bagaimana pandangan kaunselor dalam
mengintegrasikan spiritual dan agama dalam amalan kaunseling mereka. Dalam kajian
ini, terdapat tiga aspek utama yang diteroka iaitu identiti dan amalan spiritual dan agama
kaunselor, kepercayaan kaunselor mengenai kepentingan spiritualiti terhadap kesihatan
mental, fizikal dan komuniti serta kepercayaan kaunselor dan kesesuaian amalan dalam
menangani aspek spiritual dan agama dalam konteks terapi dan kaunseling. Hasil
dapatan kajian menunjukkan kaunselor percaya bahawa spiritualiti (tidak semestinya
agama) adalah dimensi yang penting dalam kehidupan mereka dan juga tugas mereka
bersama klien. Dalam aspek keperibadian, responden menjelaskan mereka adalah
sebagai orang spiritual sebanyak 94% berbanding responden yang mengaku sebagai
orang agama sebanyak 24%. Responden menyokong konsep hubungan yang positif
antara spiritualiti dan kesihatan mental sebanyak 89%, spiritualiti dengan kesihatan
fizikal sebanyak 84% dan kesejahteraan komuniti sebanyak 89%.

Berdasarkan tinjauan literatur mendapati kajian di luar negara telah lama


menerajui bidang spiritual dan agama dalam kaunseling berbanding Malaysia. Tinjauan
literatur di luar negara dapatlah dirumuskan bahawa kompetensi kaunselor dalam
54

mengintegrasikan spiritual dan agama dipengaruhi oleh beberapa aspek penting seperti
yang dibincangkan juga dalam kajian di Malaysia. Faktor-faktor kefahaman dan
kesedaran tentang budaya dan kurangnya latihan kaunselor dalam bidang integrasi
spiritual dan agama memberi kesan kepada kompetensi kaunselor. Walau
bagaimanapun, terdapat kajian di luar negara yang tidak terdapat di Malaysia iaitu
kajian tentang keperibadian dan keagamaan kaunselor turut menyumbang kepada
kompetensi kaunselor. Malah kajian-kajian tersebut menekankan keyakinan kaunselor
dalam mengintegrasikan spiritual dan agama dalam kaunseling mula dipupuk sejak
awal kehidupan kaunselor itu sendiri.

Oleh itu, perbincangan di atas menunjukkan kompetensi kaunselor dalam aspek


pengetahuan, kemahiran dan sikap dan keperibadian kaunselor begitu signifikan dalam
mengintegrasikan spiritual dan agama dalam kaunseling. Kompetensi yang ada pada
kaunselor dapat membantu klien mencapai matlamat kehidupan spiritual dan agamanya
serta memberi tindak balas yang bermakna dalam proses terapeutik. Keyakinan serta
keperibadian spiritual dan keagamaan yang dimiliki mendorong kaunselor agar lebih
memahami dan peka terhadap sensitiviti budaya dalam menangani isu spiritual dan
agama klien.

2.6 KAJIAN INTEGRASI MENGGUNAKAN PENDEKATAN SPIRITUAL DAN


AGAMA DALAM INTERVENSI KAUNSELING DI MALAYSIA

Di Malaysia, pengkaji mendapati kajian mengaitkan spiritual dan agama dalam amalan
kaunseling semakin diperluaskan dari semasa ke semasa. Terdapat kajian-kajian
terdahulu yang memasukkan pendekatan spiritual dan agama atau sebahagian daripada
elemen tersebut sebagai salah satu teknik atau strategi rawatan dalam proses bimbingan,
psikologi dan kaunseling yang dijalankan (Ching 2014; Dini Farhana Baharudin &
Melati Sumari 2011; Husni Mohd Radzi et al. 2014; Md Noor Saper 2012; Salhah
Abdullah et al. 2014). Pengkaji mendapati pendekatan spiritual dan agama dalam
kajian-kajian tersebut menggunakan kedua-dua strategi iaitu secara implisit (secara
tidak langsung) dan juga secara eksplisit (secara terang-terangan). Namun kajian-kajian
integrasi spiritual dan agama yang dijalankan ini menjurus kepada amalan integrasi
secara eksplisit yang dijalankan dalam intervensi secara individu. Tinjauan literatur
pengkaji mendapati tiada kajian integrasi spiritual dan agama yang dijalankan dalam
55

kaunseling keluarga dan perkahwinan. Oleh itu, ulasan pengkaji dibuat berdasarkan
kajian-kajian lalu yang menjalankan intervensi bimbingan, psikologi dan kaunseling
secara individu berkaitan integrasi spiritual dan agama.

Dalam mengintegrasikan spiritual dan agama, kaunselor perlu menyedari akan


hal keadaan budaya beliau sendiri dan bagaimana budaya tersebut mempengaruhi
interaksi dengan kumpulan budaya keluarga yang lain. Antara perkara yang boleh
dijadikan garis panduan seperti berikut (Rosnah Ismail 2014b);

i) Kaunselor perlu memahami masalah dari aspek fizikal dan mental dalam
konteks etnik klien.

ii) Kaunselor perlu mendapatkan bantuan secara berbeza antara satu


kumpulan etnik dengan kumpulan etnik yang lain.

iii) Kaunselor perlu menjelaskan secara terperinci mengenai tugas mereka


kepada ahli keluarga dalam sesi kaunseling yang pertama dan juga
menerangkan secara mendalam mengenai hubungan antara klien dan
kaunselor.

iv) Jangkaan sesebuah keluarga terhadap kaunselor adalah berdasarkan


pengalaman yang mereka alami, oleh itu kaunselor perlulah membina
hubungan yang rapat dan mesra terlebih dahulu dengan ahli keluarga
secara berstruktur.

v) Kaunselor perlu mendapat penerimaan dalam keluarga tersebut agar


mudah ahli keluarga meluahkan sesuatu yang mungkin menjadi taboo
bagi keluarga tersebut.

Rafidah Aga Mohd Jaladin dan Lau Poh Li (2013) menyatakan kaunselor perlu
memahami bagaimana klien mempersepsi kan kepentingan dan peranan agama dalam
hidup mereka dan bagaimana hidup mereka dipengaruhi oleh nilai-nilai pegangan
tersebut; (i) kebanyakan klien melihat agama sebagai sempadan rujukan yang amat
berguna dalam membina pandangan hidup mereka, (ii) kebanyakan klien melihat agama
memainkan peranan dalam kesejahteraan psikologi mereka, dan (iii) kebanyakan klien
56

melihat agama sebagai suatu yang berguna dalam mencipta ‘kesedaran ketuhanan’
dalam jiwa mereka.

Di Malaysia terdapat pendekatan kaunseling yang menggunakan elemen


keagamaan seperti Model Kognitif ad-Din oleh Othman Mohamed (2005), Model al-
Ghazali yang diperkenalkan oleh Yatimah Sarmani dan Mohd Tajudin Ninggal (2011)
dan kaunseling spiritual menggunakan pendekatan al-Ghazali oleh Salasiah Hanin
Hamjah (2016). Namun, masih belum terdapat para sarjana tempatan yang mengkaji
atau mengemukakan model kaunseling berbentuk integrasi secara strategi implisit dan
eksplisit seperti yang terdapat di Barat.

Pengkaji mendapati kajian-kajian terdahulu di Malaysia lebih tertumpu kepada


kajian bimbingan dan psikologi terhadap penggunaan elemen keagamaan dan
keberkesanan menggunakan intervensi tersebut. Kajian-kajian seperti Salasiah Hanin
Hamjah (2010a) mengkaji pendekatan dakwah al-Irsyad al-Nafsiyy menurut al-Ghazali
yang mengutarakan penerapan ibadah dan pendekatan tazkiyah al-nafs dalam
kaunseling, Yatimah Sarmani dan Mohd Tajudin Ninggal (2011) pendekatan
kaunseling menurut Model al-Ghazali, Dini Farhana Baharudin dan Melati Sumari
(2011) mengkaji kesan terapi bunyi menggunakan ayat-ayat suci al-Quran dalam
membantu mengurangkan dan meredakan stres dalam kalangan wanita Islam yang
bekerja, Md Noor Saper (2012) dalam kajiannya berjaya membina dan menguji modul
bimbingan tazkiyah an-nafs terhadap remaja, Salhah Abdullah et al. (2014)
memperkenalkan proses rawatan dan kesembuhan yang dinamakan Model Taubat al-
Ghazali.

Namun pengkaji mendapati kajian-kajian yang dinyatakan ini bersifat umum


dan tidak mengklasifikasikan kaedah strategi yang dilakukan itu sama ada secara
integrasi implisit atau eksplisit. Kajian kualitatif melalui reka bentuk kajian kes
meneroka kaedah mengatasi kebimbangan dalam kaunseling dari perspektif al-Ghazali
dijalankan oleh Salasiah Hanin Hamjah (2011). Kajian ini melibatkan sembilan orang
kaunselor dan 36 orang klien yang pernah mendapatkan perkhidmatan kaunseling di PK
MAINS. Dapatan kajian mendapati penerapan elemen Islam dalam kaunseling
merupakan amalan kaunselor di institusi tersebut. Kaunselor menggunakan pendekatan
57

al-Ghazali dalam membantu klien yang menghadapi masalah kebimbangan menerusi


konsep meletakkan harapan (al-raja’) kepada Allah dan konsep ujian sebagai menguji
keimanan. Kajian ini juga mendapati kaunselor menggunakan strategi membaca al-
Quran dan berzikir sebagai kaedah mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.

Penerapan elemen spiritual dalam kaunseling merupakan satu keperluan yang


telah lama diiktiraf oleh pengamal-pengamal kaunseling pada masa kini kerana pelbagai
masalah yang dihadapi oleh manusia bukan sahaja berpunca daripada aspek luaran
tetapi juga berpunca daripada spiritual yang berkaitan dengan hati dan emosi (Salasiah
Hanin Hamjah 2010). Dimensi agama dan spiritual dalam kehidupan klien boleh
menjadi alat sokongan dalam usaha mencapai matlamat terapeutik (Melati Sumari et al.
2014). Hal ini disokong oleh kajian Mansor Abu Talib dan Abbas Abdollahi (2015)
yang mendapati aspek spiritualiti memainkan peranan yang besar dalam mengurangkan
perasaan keputusasaan, kemurungan dan tingkah laku bunuh diri. Oleh itu, sewajarnya
terdapat penyepaduan dan saling mengisi antara amalan kaunseling dan bimbingan
agama (Najlatun Naqiyah 2011). Pengkaji mendapati keberkesanan rawatan yang
membawa kepada kesan positif terhadap klien mendorong kaunselor terus
menggunakan pendekatan spiritual dan agama dalam amalan kaunseling (Dini Farhana
Baharudin & Melati Sumari 2011; Farhana & Sumari 2011; Melati Sumari et al. 2014;
Salhah Abdullah et al. 2014).

Abdul Latif Abdul Razak et al. (2011) pula menjalankan kajian untuk meneliti
Terapi Pemulihan Iman (IRT) iaitu satu kaedah psikoterapi yang berasaskan hasil kajian
daripada al-Quran, sunah dan kerja para sarjana awal Islam. Kaedah kaunseling ini bagi
membangunkan peribadi klien remaja yang beragama Islam. Data kajian dikutip
melalui temu bual dan sesi kaunseling pelajar-pelajar di Universiti Islam Antarabangsa
Malaysia. Kajian ini telah menemui tujuh tema iaitu perubahan emosi yang positif,
perubahan positif dalam motivasi, refleksi daripada fitrah diri individu dan roh,
perubahan positif ke arah sikap dan fungsi psikososial, peningkatan amalan keagamaan
seperti sembahyang dan berpuasa, penyerahan diri kepada Allah dan menanamkan
pengetahuan yang diperlukan untuk pembangunan diri remaja. Dapatan kajian
menunjukkan keimanan seseorang kepada Allah s.w.t. dapat membantu mencapai
fungsi kognitif, emosi, tingkah laku dan motivasi yang positif serta memperoleh intuisi
58

spiritual yang menggalakkan dalam kepercayaan keagamaan dan hidup yang lebih
bermakna.

Satu kajian yang dijalankan oleh Husni Mohd Radzi et al. (2014) untuk
mengenal pasti pengaruh kesedaran ketuhanan dan keagamaan dalam daya tindak
dengan kebimbangan di tempat kerja dalam kalangan profesional Islam. Kajian tinjauan
ini melibatkan 38 orang responden yang terdiri 17 responden lelaki dan 21 responden
wanita, 20 responden dari perkhidmatan awam dan 11 responden dari sektor swasta, 3
dari NGO dan 4 orang responden bekerja sendiri. Kajian ini menggunakan dua set
inventori soal selidik iaitu Brief religious coping (BRCOPE) oleh Pargament dan
Depression Anxiety and stress scale (DASS) oleh Lovibond dan Lovibond. Dapatan
kajian mendapati responden wanita mempunyai daya tindak agama yang lebih tinggi
berbanding responden lelaki. Manakala skor bagi anxiety responden lelaki lebih tinggi
berbanding responden wanita t (0.784) p < .001. Korelasi Pearson menunjukkan
terdapat hubungan yang negatif di antara daya tindak keagamaan dan tahap anxiety.
Pekali korelasi r = -0.154 (p < 0.001) dianggap rendah berbanding dengan min skor
responden iaitu t (0.821, responden perkhidmatan awam) dan t (0.506, responden sektor
swasta) dan pekali bagi kedua-dua gender adalah lelaki 0.764 manakala wanita 0.700.
Ini menunjukkan lebih tinggi daya tindak keagamaan yang digunakan oleh responden,
lebih rendah tahap anxiety yang mereka alami.

Satu kajian kualitatif dijalankan oleh Ching (2014) yang meneroka pengalaman
spiritual klien menjalani sesi kaunseling dan psikoterapi. Kajian ini menggambarkan
pengalaman spiritual dalam proses psikoterapi. Pendekatan heuristik telah digunakan
untuk meneroka perkaitan antara pengalaman spiritual dengan jiwa. Kajian ini
melibatkan tujuh orang peserta wanita yang berumur lebih daripada 35 tahun, yang telah
menjalani sekurang-kurangnya tujuh sesi psikoterapi dengan pengkaji yang juga
seorang terapis. Terapi sistemik Satir, terapi existential, terapi hipnosis dan terapi
ekspresi seni merupakan antara peralatan kaunseling yang digunakan untuk menjana
dan mengaitkan spiritual peserta dengan jiwanya. Hasil kajian menunjukkan semua
peserta dan terapis dapat berhubung dengan spiritual masing-masing dalam proses
psikoterapi. Pengalaman spiritual mereka dapat digambarkan secara implisit dan
59

eksplisit. Proses transformasi dan integrasi diri yang berlaku semasa psikoterapi telah
merangsang dalam kehidupan para peserta dan terapis.

Dalam pengalaman spiritual tersebut, terdapat pengalaman spiritual yang


berbentuk ketuhanan dan bukan ketuhanan serta perspektif kemanusiaan yang
digambarkan dalam konsep individu dan realisasi kendiri. Pengalaman spiritual ini telah
dijelmakan dalam bentuk pergerakan tenaga dan misi yang membawa mesej, bunyi-
bunyian di luar angkasa, bunyi kicauan burung serta perasaan stabil dalam lubuk hati.
Pengalaman spiritual setiap peserta juga dimanifestasikan dalam bentuk perasaan
seperti rasa panas, aman, tenang, kasih dan terharu. Setiap peserta akhirnya
mengilustrasikan ciri individu dengan suatu gambaran diri yang unik yang
dilambangkan dengan sebatang lilin yang bernyala, sebuah kapal yang berlayar, seorang
pari-pari kecil, sebiji belon yang terapung, warna yang bersepadu, seorang wanita yang
biasa serta sekuntum bunga teratai yang sedang berkembang. Terapis mengilustrasikan
dirinya sebagai seekor burung merpati. Puisi dan lukisan juga turut digunakan untuk
menggambarkan perjalanan psikoterapi dalam kajian ini.

Satu kajian lain yang menguji kesan rawatan integrasi spiritual dan agama
dijalankan oleh Dini Farhana Baharudin dan Melati Sumari (2011) dengan
menggunakan kesan terapi bunyi dalam meningkatkan ketenangan dan mengurangkan
tekanan ke atas wanita Islam yang bekerja. Kajian eksperimental ini melibatkan seramai
88 orang responden yang berusia dari 24 hingga 50 tahun dengan menggunakan alat
ukuran Perceived Stress Scale. Kajian ini adalah untuk menilai keberkesanan terapi
bunyi iaitu yang pertama bunyi dari alam semula jadi dan kedua bunyi daripada bacaan
ayat-ayat suci al-Quran. Dapatan kajian mendapati kedua-dua jenis terapi ini
menunjukkan peningkatan yang signifikan terhadap tahap ketenangan dan penurunan
yang signifikan terhadap kadar tekanan ke atas responden. Walau bagaimanapun, terapi
bacaan ayat-ayat suci al-Quran menunjukkan keputusan yang lebih baik.

Satu kajian pembinaan modul bimbingan menurut perspektif Islam yang


dikenali sebagai modul bimbingan tazkiyah al-nafs telah dijalankan oleh Md Noor
Saper (2012). Hasil kajian menunjukkan nilai pekali kebolehpercayaan keseluruhan
modul adalah tinggi iaitu Alpha Cronbach 0.883. Dapatan ini menunjukkan modul yang
60

dibina boleh digunakan sebagai intervensi rawatan. Beliau selanjutnya menjalankan


kajian kaedah quasi-eksperimen ke atas responden seramai 62 orang remaja. Hasil
kajiannya menunjukkan terdapat kesan rawatan yang signifikan terhadap pemboleh
ubah religiositi dan resiliensi remaja. Kajian tersebut juga membuktikan resiliensi
seseorang boleh ditingkatkan melalui bimbingan dan latihan menggunakan modul
keagamaan mengikut perspektif Islam.

Kajian kaunseling keluarga oleh Rusni A.Ghani (2013) telah menggabungkan


pendekatan terapi keluarga struktural, terapi keluarga tingkah laku dan integrasi
psikoterapi Islam menggunakan intervensi model klinikal terapi keluarga fungsional.
Pendekatan psikoterapi Islam melalui psikoterapi iman, psikoterapi ibadah, psikoterapi
zikir, psikoterapi al-Quran, psikoterapi melalui doa dan tasbih serta psikoterapi melalui
taubat digunakan bertujuan menyuntik elemen spiritual dalam terapi keluarga. Pengkaji
telah mengaplikasikan nilai-nilai spiritual berasaskan pendekatan Islam dalam
mengendalikan sesi kaunseling seperti adab hubungan ibu bapa dan anak seperti
memuliakan ibu bapa, memohon keampunan daripada ibu bapa, mendoakan anak, nilai-
nilai akhlak serta solat. Hasil kajian eksperimental itu menunjukkan perubahan yang
signifikan kepada remaja dan ibu bapa selepas menjalani sesi kaunseling keluarga.

Salhah Abdullah et al. (2014) menjalankan kajian secara reka bentuk gabungan
yang melibatkan 284 orang responden bagi mengenal pasti inventori yang sesuai untuk
mengukur proses taubat remaja yang terlibat dengan perlakuan zina. Hasil kajian
mereka berjaya membina inventori daya tindak psiko-spiritual berasaskan konsep
keagamaan iaitu model taubat al-Ghazali yang menunjukkan faktor gabungan antara
dimensi taubat dan syariat. Kajian ini secara konsisten menggunakan nilai Islam untuk
membina item dalam mengukur nilai moral dan akhlak remaja beragama Islam. Model
Taubat al-Ghazali yang dihasilkan ini telah memperkenalkan model mengintegrasikan
kaunseling spiritual dan keagamaan dalam membantu remaja perempuan yang terlibat
dengan masalah zina.

Kajian-kajian yang dibincangkan ini menunjukkan pendekatan spiritual dan


agama yang diintegrasikan secara eksplisit dengan menggunakan teknik secara jelas
dalam intervensi. Pendekatan ini semakin berkembang dari semasa ke semasa memberi
61

gambaran bahawa pendekatan spiritual dan agama mendapat tempat dalam kalangan
pengamal kaunseling di Malaysia. Kajian-kajian tersebut lebih tertumpu kepada
penggunaan elemen keagamaan seperti penggunaan doa, ayat al-Quran dan
sembahyang, manakala proses penyucian hati melalui taubat dan tazkiyatun al-nafs
dilakukan dalam intervensi spiritual. Secara keseluruhannya, kajian-kajian terdahulu
melaporkan penggunaan spiritual dan agama terbukti dapat memberi kesan yang positif
dan membantu rawatan dalam intervensi kaunseling.

2.7 KAJIAN INTEGRASI MENGGUNAKAN PENDEKATAN SPIRITUAL DAN


AGAMA DALAM KAUNSELING DI LUAR NEGARA

Pakar-pakar terapi keluarga di Barat dahulu enggan membincangkan isu spiritual dan
agama dalam kaunseling untuk mengelakkan berlaku sebarang konflik antara nilai dan
pegangan spiritual dan agama. Namun, sejak kebelakangan ini para terapis keluarga
cenderung menggunakan orientasi spiritual dan agama dalam perkhidmatan kaunseling
mereka (Akca-Koca Dilek 2017). Walau bagaimanapun, kaunselor sewajarnya
memberi perhatian dan merancang intervensi yang berkaitan terhadap klien yang
melihat spiritual dan agama sebagai sesuatu yang signifikan dalam hidup mereka
(Arveson 2006). Kaunselor sewajarnya peka terhadap budaya serta menyesuaikan
teknik dan pendekatan yang digunakan agar diterima oleh klien dalam konteks budaya
terutamanya dalam masyarakat Islam (Burke, Chauvin & Miranti 2005).

Dalam menangani permasalahan keluarga yang membabitkan isu spiritual dan


agama, dua aspek utama perlu diberi perhatian iaitu; (i) kepercayaan atau amalan agama
atau spiritual yang mempengaruhi keadaan semasa; dan (ii) sumber spiritual yang lepas,
semasa atau yang berpotensi yang boleh diketengahkan untuk mengurangkan stres,
menyelesaikan masalah, menyembuhkan dan meningkatkan daya tahan dalam
menangani kesukaran. Sumber spiritual yang dimaksudkan terdapat dalam amalan
terapeutik agama termasuklah hubungan dengan Tuhan, sembahyang, berakhlak baik,
kehidupan selepas kematian, meditasi, ritual, kejujuran, kemaafan dan memuliakan ibu
bapa. Sistem kepercayaan ini merupakan tunjang utama kepada kemampuan daya tahan
seseorang dalam menghadapi kesukaran hidup (Walsh 2009).
62

Kaunselor perlulah memastikan apa jua teknik dan intervensi yang digunakan
mengambil kira sensitiviti budaya, tradisi serta kepercayaan klien (Francis 2009).
Westgate (1996) memfokuskan kepada empat dimensi dalam mengintegrasikan
spiritual dan agama dalam kaunseling keluarga dan perkahwinan; (i) terus mencari
makna dan tujuan dalam hidup; (ii) mendukung nilai-nilai intrinsik yang memberi
gambaran bagaimana seseorang itu memahami dunia; (iii) mengekalkan perspektif
hubungannya dengan orang lain; dan (iv) rasa kepunyaan, sistem kepercayaan yang
dikongsi bersama dan disokong dalam masyarakat yang bercirikan spiritual. Beliau
menggunakan prinsip-prinsip ini secara holistik dalam merawat kemurungan dan turut
menegaskan kepentingan menjaga etika dalam menyampaikan perkhidmatan yang
cekap dan berkesan kepada klien.

Dalam kaunseling keluarga dan perkahwinan, intervensi dan rawatan lebih


tertumpu kepada peranan pasangan dalam perkahwinan, bagaimana untuk memaafkan
pasangan yang telah melakukan kesilapan, bagaimana untuk menangani kemahiran dan
isu-isu keibubapaan dan siapa yang akan menjaga ibu bapa yang tua dan uzur. Oleh itu,
keyakinan agama pasangan secara langsung mempengaruhi isu-isu ini dan
menimbulkan konflik sekiranya pasangan tersebut mempunyai nilai spiritual atau
agama yang berbeza (Akca-Koca Dilek 2017). Kebiasaannya, klien yang kuat pegangan
agama akan mencari kaunselor yang beragama juga. Malah klien cenderung memilih
kaunselor yang sensitif kepada elemen spiritual dan agama dalam meneroka
kepercayaan spiritual dan agama mereka (Lines 2006). Kajian kaunseling keluarga di
Iran yang menggunakan gabungan pendekatan agama oleh Mohammad Khodayarifard
(2010) pula menyatakan kaunselor Muslim mendakwa pendekatan psikoterapi Barat
tidak mampu digunakan secara universal dan gagal digeneralisasikan kepada
masyarakat yang lain selain daripada masyarakat Barat.

Spiritual dan agama adalah komponen penting yang boleh membantu


meringankan dan menyembuhkan masalah kesihatan mental. Kajian Mardiyono dan
Praneed Songwathana (2009) yang dijalankan secara tinjauan literatur melalui carian
enjin elektronik dan manual terhadap 700 artikel di antara tahun 1994 hingga tahun
2009 mendapati terdapat keberkesanan teknik relaksasi Islam menerusi kaedah
sembahyang, berdoa dan berzikir. Kajian Cornish (2010) dilakukan terhadap individu
63

yang melaksanakan meditasi spiritual selama 20 minit setiap hari selama dua minggu
dilaporkan lebih hebat menurunkan tahap kebimbangan (anxiety) dan juga
menunjukkan mood yang positif, kesihatan dan pengalaman spiritual yang baik
berbanding individu yang melaksanakan sekadar meditasi atau latihan relaksasi.
Peningkatan dan pengiktirafan impak spiritual dan agama terhadap kesihatan fizikal dan
mental dilaporkan mempunyai hubungan yang signifikan dalam mempengaruhi
kesihatan mental yang positif seperti sejahtera dan bahagia, optimis dalam harapan,
merasakan hidup memberi makna dan mengurangkan tahap kemurungan dan
kebimbangan (anxiety) serta mempunyai daya tindak yang positif (Bonelli, Dew,
Koenig, Rosmarin & Vasegh 2012).

Miller (2003) menyarankan klien yang memerlukan intervensi secara spiritual


dan agama apabila menunjukkan dirinya sangat mematuhi prinsip agama; melihat
agama sebagai satu cara memudahkan hidupnya; menunjukkan rasa bimbang dan risau
jika melakukan dosa dan kesalahan atau sebaliknya; menunjukkan tidak
bertanggungjawab atau terlalu bertanggungjawab; menyatakan kurang kawalan
terhadap emosi yang berat; ingin menukar tempat ibadat; menyatakan semangat dalam
agama tanpa menyedari dan memikirkan kandungannya; menyatakan pengalaman
‘cinta’ yang menyakitkan dalam agama; menyatakan hidupnya berpandukan kepada
kitab agama dan klien yang menceritakan pengalamannya dirasuk.

Satu kajian kualitatif lain yang telah dijalankan oleh Meer, dan Mir (2014) pula
meneroka peranan kepercayaan agama dalam terapi terhadap orang Islam yang
mengalami kemurungan. Kaedah kajian menggunakan teknik ‘snowballing’ terhadap
30 orang peserta kajian ditentukan dengan memperoleh data tepu. Peserta kajian ini
terdiri 26 orang daripada mereka yang bertugas dalam perkhidmatan kesihatan mental
dan 4 orang adalah klien kesihatan mental. Kaedah temu bual semi-struktur digunakan
dalam mendapatkan data kajian. Pengalaman dan pandangan pengamal perkhidmatan
kesihatan mental ini diteroka dengan memfokuskan tentang penggunaan agama atau
spiritual dalam terapi, penglibatan ahli keluarga terhadap isu-isu yang berkaitan apabila
berurusan dengan klien yang beragama Islam. Hasil dapatan kajian mendapati agama
digunakan sebagai sumber individu mendapatkan sokongan sosial. Kepercayaan
64

terhadap agama menjadikan individu berdaya tahan (resilience), memperoleh harapan


serta meningkatkan daya tindak agama serta membantu merawat kemurungan.

Kajian Worthington et al. (2011) mendapati kebanyakan klien sangat


menghargai komitmen keagamaan dan spiritual. Kajian terhadap 51 sampel daripada 46
kajian (N=3,290) yang mengkaji hasil terapi akomodatif keagamaan dan terapi spiritual
kepada yang tidak beragama. Perbandingan terhadap kesan psikologi dan spiritual telah
dilakukan ke atas kumpulan kawalan, kumpulan rawatan alternatif, dan satu kumpulan
kajian yang menggunakan reka bentuk teori yang sama dan tempoh rawatan termasuk
gabungan unsur keagamaan. Hasil kajian mendapati klien dalam psikoterapi rawatan
keagamaan dan spiritual menunjukkan peningkatan yang lebih baik daripada mereka
yang menjalani psikoterapi biasa. Namun kajian secara meta-analisis ini tidak
menerangkan secara mendalam teknik keagamaan dan spiritual yang digunakan dalam
intervensi yang mencetuskan hasil yang positif terhadap klien. Tambahan pula kajian
ini menyatakan berkemungkinan berlaku bias dalam pelaporan kajian kerana pengkaji-
pengkaji terdiri daripada mereka yang berorientasikan agama.

Henry (2013) menjalankan satu kajian kes berkaitan kaedah sembahyang yang
diamalkan oleh orang Islam sebagai integrasi psikoterapi. Kajian kes ini dilakukan ke
atas seorang klien wanita berusia 50 tahun yang telah berkahwin dan mempunyai tiga
orang anak. Klien ini merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda dalam bidang farmasi
tetapi tidak bekerja kerana mengambil keputusan untuk menjadi suri rumah tangga
sepenuh masa. Beliau mengalami gejala kemurungan yang teruk seperti kesedihan yang
berpanjangan, kurang minat dalam aktiviti kehidupan, insomnia, kurang selera makan,
kelesuan dan tidak merasai keseronokan hidup. Gejala kemurungan ini bertambah teruk
setelah dua orang daripada anaknya berhijrah ke luar negara. Sebagai intervensi,
pengkaji yang juga kaunselor telah menggunakan pendekatan eklektik iaitu teknik
reframing, pendekatan tingkah laku serta model psikodinamik.

Klien menunjukkan kesan yang positif kepada pendekatan yang digunakan ini
tetapi dalam tempoh jangka pendek sahaja dan simptom tersebut berulang semula.
Keadaan ini berlanjutan selama setahun. Di akhir sesi tersebut pengkaji menyatakan
bahawa beliau sentiasa mendoakan klien yang ternyata kata-kata itu membuatkan klien
65

tersebut tersentuh hati. Situasi itu membawa pengkaji meneroka amalan sembahyang
yang dilakukan oleh klien dan menggalakkan klien agar menghayati amalan
sembahyangnya secara mendalam. Intervensi yang diberikan ini menjadikan klien fokus
terhadap Tuhan menerusi amalan sembahyangnya dan membantu beliau lebih
berfikiran terbuka.

Kajian berkaitan relevan spiritual dan rawatan psikiatri mendapati seramai 159
orang responden yang menerima rawatan psikiatri di hospital menjalani program
rawatan Terapi Kognitif Tingkah Laku menunjukkan mereka yang percaya kepada
Tuhan, signifikan dalam meningkatnya kadar kesejahteraan diri dan berlaku penurunan
kepada kadar kemurungan yang dihadapi (Julianne, Gerard & Magna 2015). Manakala,
Terapi CBT-Kristian didapati lebih baik daripada CBT konvensional, manakala
psikoterapi berasaskan Islam menunjukkan hasil yang lebih baik apabila doa dan
membaca al-Quran ditambah sebagai teknik dalam terapi dalam membantu menghadapi
masalah kehilangan akibat kematian, kemurungan, dan kegelisahan. Penggunaan teks
agama seperti Bible dalam terapi juga mungkin berguna untuk membantu individu yang
mempunyai keraguan dalam agama (Weber & Pargament 2014).

Integrasi agama secara eksplisit dalam Islam pula boleh dijalankan melalui
empat kaedah iaitu; (i) membincangkan peranan sembahyang menurut Islam dan tenaga
spiritual dalam kehidupan klien; (ii) menggalakkan klien mengamalkan sembahyang
sebagai tugasan di luar terapi; (iii) menggunakan sembahyang untuk memudahkan
proses perubahan terapeutik; dan (iv) sembahyang dapat mengembalikan tenaga
spiritual (Henry 2013).

Isu etika sering mendapat perhatian dan kerap dikaitkan dengan integrasi
spiritual dan agama dalam kaunseling. Hubungan dua-hala (dual relationships) iaitu
kaunselor dalam masa yang sama bertindak menjadi guru agama cenderung berlaku
semasa mengintegrasikan spiritual dan agama, memasukkan nilai spiritual atau agama
kepada klien dan kaunselor sewajarnya mengelak daripada memberikan perkhidmatan
di luar bidang kepakarannya (Wolf & Stevens 2001). Kaunselor perlu berhati-hati
menggunakan doa secara eksplisit dalam intervensi kaunseling kerana boleh
66

menimbulkan isu pelanggaran etika jika tidak dilakukan secara profesional dan
kompeten (Gubi 2009).

Dalam hal ini, Paukert et al. (2009) mencadangkan kaunselor mematuhi prinsip-
prinsip seperti; (i) Kaunselor menyedari sesetengah klien tidak selesa berbincang isu
berkaitan agama dalam kaunseling. Semasa temu bual awal kaunselor boleh
bertanyakan aktiviti harian serta matlamat hidupnya. Sekiranya klien tidak menyatakan
berkaitan agama, kaunselor bolehlah bertanya secara terus sama ada agama merupakan
sebahagian perkara yang penting dalam hidupnya secara berhemah agar klien tidak
menolak dan merasa terancam; (ii) Kaunselor tidak boleh mencabar kepercayaan atau
nilai agama klien. Cabaran yang diterima memberi kesan buruk terhadap rapport malah
akan merendahkan motivasi klien terhadap kaunseling. Kaunselor perlu memberi
perhatian penuh serta memahami agama klien berbanding mencabar pemikiran klien;
Kaunselor juga perlu mempertimbangkan kemungkinan berlaku sama ada klien beroleh
manfaat atau sebaliknya akibat perbincangan tersebut; dan kaunselor perlu sedar
bahawa sesetengah daya tindak dalam sesuatu agama berkemungkinan meningkatnya
simptom kesihatan mental.

Kaunselor juga berdepan dengan cabaran yang tersendiri dalam


mengintegrasikan spiritual dan agama dalam amalan kaunseling. Kaunselor mungkin
merasa sedikit terganggu berkenaan dengan pandangan mereka yang berbeza dan boleh
menimbulkan konflik (Wolf & Stevens 2001) serta bimbang secara tidak sengaja
memasukkan nilai mereka terhadap klien (Cashwell & Young 2011a). Faktor kurang
pengetahuan, kefahaman dan pendidikan berkaitan aspek spiritual dan agama dalam
kalangan klien membuatkan mereka menolak dan enggan menerima intervensi tersebut
juga menjadi penghalang kepada kaunselor menggunakan pendekatan tersebut dalam
intervensi kaunseling (Brown, Elkonin & Naicker 2013).

Dalam mengintegrasikan spiritual dan agama, kaunselor harus peka terhadap


budaya dan orientasi spiritual dan keagamaan klien agar dapat menyesuaikan teknik dan
pendekatan yang sesuai dan dapat diterima oleh klien. Dalam keluarga, spiritual dan
agama boleh dijadikan sumber untuk mendapat sokongan sosial dan memperkukuhkan
daya tindak dalam menghadapi sesuatu isu. Intervensi kaunseling yang menggunakan
67

integrasi spiritual dan agama didapati mampu merawat masalah kesihatan mental
seperti kemurungan, tekanan dan masalah jiwa yang lain. Secara keseluruhannya
mendapati klien dapat memanfaatkan sumber spiritual dan agamanya dalam menangani
realiti kehidupan yang menyakitkan.

2.8 TEORI KAUNSELING KELUARGA SERTA PERKAITAN KONSEP


SPIRITUAL DAN AGAMA

Teori merupakan model yang digunakan oleh kaunselor sebagai garis panduan untuk
membuat hipotesis terhadap kemungkinan resolusi penyelesaian kepada permasalahan
klien. Teori juga dapat membantu kaunselor menyusun data klinikal, menjadikan proses
yang kompleks lebih jelas dan memberikan panduan dan konsep untuk menjalankan
intervensi. Secara umumnya, pemilihan sesuatu teori oleh kaunselor dalam proses
kaunseling adalah bergantung kepada latar belakang pendidikan, falsafah dan keperluan
klien (Zakaria Mohamad 2014). Integrasi spiritual dan agama ke dalam kaunseling
keluarga dan perkahwinan adalah merujuk kepada penggunaan teknik dan teori
kaunseling keluarga yang sedia ada dalam menangani isu-isu spiritual dan agama yang
dibawa oleh klien (Wolf & Stevens 2001).

Dalam mengintegrasikan pendekatan spiritual dan agama ke dalam kaunseling,


pertindihan peranan dan fungsi antara teori keluarga dan konsep agama turut diambil
kira dalam pertimbangan tersebut. Pertindihan tersebut berlaku seperti; memupuk
perspektif rasa; memberi makna kepada kehidupan; amalan ritual; menyediakan
rangkaian sokongan sosial; menstrukturkan masyarakat dan menetapkan norma etika;
memberi identiti dan warisan kepada anggota keluarga; menyokong keluarga;
memudahkan perubahan positif kepada individu; memupuk kebajikan fizikal dan emosi
dalam ahli keluarga; dan mendidik anggota keluarga. Kaunselor perlu bersikap terbuka
secara berterusan dan tidak memberi penilaian terhadap pengalaman spiritual dan
agama klien. Kaunselor juga dicadangkan mengaplikasikan nilai serta amalan spiritual
dan agama yang pernah membantunya pada masa lalu agar dapat diaplikasikan dalam
situasi masa kini klien (Stander, Piercy, Mackinnon & Helmeke 1994).

Watson (1997) membincangkan tiga kaedah dalam mengintegrasikan spiritual


dan agama dalam kaunseling keluarga dan perkahwinan. Kaedah pertama ialah agama
68

sebagai sumber iaitu dengan menggunakan agama tradisi klien sebagai penyembuhan
dan perkembangan klien. Kaedah ini tidak memerlukan kaunselor yang sama agama
dengan klien cuma kaunselor tersebut perlu lebih terbuka dan menghormati nilai dan
kepercayaan agama klien. Dalam menggabungkan kaunseling dengan agama sebagai
sumber, kaunselor boleh memasukkan sekali strategi agama seperti berdoa dengan
keluarga, memberi tugasan di rumah yang melibatkan amalan agama, bertafakur dan
memasukkan pandangan agama ke dalam sesi kaunseling.

Kaedah yang kedua adalah agama sebagai budaya iaitu menggunakan agama
untuk menghubungkan ahli-ahli keluarga. Dalam penggunaan kaedah ini, klien
berkemungkinan lebih selesa berhubungan dengan kaunselor yang mempunyai sama
agama dan pegangan. Tambahan pula, kaunselor yang telah biasa dengan tradisi amalan
agama klien adalah lebih mudah untuk memahami cerita dan isu klien. Kaedah yang
terakhir yang boleh digunakan adalah kaunselor menggunakan agama sebagai konteks
adalah mengintegrasikan spiritual dan agama dalam kedua-dua aspek iaitu dalam
bidang profesionalnya sebagai kaunselor serta keperibadian agamanya. Kaedah ini
dapat mewujudkan perasaan selamat dan kepercayaan yang tinggi terhadap kaunselor
(Watson 1997). Dalam konteks pendekatan spiritual dan agama dalam kaunseling
keluarga dan perkahwinan memberi fokus kepada tanggungjawab, struktural dan
hierarki dalam keluarga, pencarian makna kasih sayang, penerimaan dan kemaafan
dalam suatu perhubungan. Hal ini termasuk saling menghargai dan memberi makna
terhadap interaksi, menguruskan perselisihan, mengekalkan komitmen, dan membuat
sesuatu keputusan yang berharga dalam hubungan mereka (Sperry & Giblin 1996).

2.8.1 Teori Kaunseling Keluarga dan perkahwinan

Dalam kaunseling keluarga dan perkahwinan, terdapat beberapa teori tradisional yang
mempelopori bidang ini. Antaranya ialah teori keluarga Struktural, teori sistem Bowen,
teori keluarga Satir, teori keluarga berfokuskan penyelesaian, teori keluarga strategik,
teori keluarga experiential dan terapi keluarga naratif. Teori sistem Bowen memberi
fokus kepada generasi dan aspek emosi ahli keluarga serta menjelaskan bagaimana
pengalaman dalam keluarga asal mempengaruhi cara individu membina hubungan
dengan orang lain. Teori keluarga struktural memberi penekanan kepada kepentingan
69

struktur dan batasan dalam keluarga. Teori keluarga Satir pula menekankan tentang
hubungan dalam keluarga berpusatkan nilai spiritual. Teori keluarga experiential
menekankan konsep here and now dan pengalaman emosi dengan corak interaksi dalam
keluarga. Manakala teori berfokuskan penyelesaian menganggap ahli keluarga sebagai
pakar dalam konteks kehidupannya (Guterman & Leite 2006; Haefner 2014; Norhayati
Mohd Noor 2012; Saedah A. Ghani 2004).

Teori keluarga strategik memberi fokus kepada aspek komunikasi dalam


keluarga dan teori keluarga naratif pula menganggap masalah yang berlaku dalam
keluarga bersifat sementara dan manusia membina kehidupan berdasarkan penceritaan
yang diinterpretasikan sebagai benar olehnya (Carr 2006; Lily Mastura Harun &
Ramlan Hamzah 2007). Namun, dalam kajian ini tumpuan diberikan kepada tiga teori
utama berdasarkan pandangan para sarjana berkaitan teori yang bersesuaian digunakan
dalam mengintegrasikan pendekatan spiritual dan agama dalam keluarga dan
perkahwinan. Tiga teori tersebut ialah teori keluarga struktural (Butler & Harper 1994;
Walsh 2010), teori sistem Bowen (Butler & Harper 1994; Frame 2000; Rootes,
Jankowski & Sandage 2010) dan teori keluarga Satir (Lee 2002; Walsh 2009).

a. Teori keluarga Struktural

Teori keluarga Struktural diasaskan oleh Salvador Minuchin dengan rakan-rakannya


dalam tahun 1960an berdasarkan pengalaman beliau bertugas di Wiltwyck School yang
membantu keluarga golongan berkulit hitam yang berada dalam kelas sosial yang
rendah. Sikap agresif yang ditunjukkan oleh ahli keluarga di situ menimbulkan idea
kepada beliau untuk membantu menangani permasalahan mereka. Beliau merangka
teori keluarga berstruktur dengan memberi gambaran keluarga yang sihat dan berfungsi
perlu mempunyai sistem dan hierarki yang tertentu. Struktur hierarki telah menjadi asas
kepada Minuchin membantu keluarga untuk berubah dan berfungsi seterusnya (Lily
Mastura Harun & Ramlan Hamzah 2007).

Keluarga yang sihat dan sejahtera merupakan keluarga yang jelas sistem
penstrukturannya di antara subsistem ibu bapa dan anak-anak. Matlamat utama teori
keluarga struktural adalah untuk mengubah struktur atau organisasi keluarga daripada
disfungsi kepada berfungsi. Matlamat ini dapat dicapai melalui proses yang melibatkan
70

pengukuhan subsistem perkahwinan, subsistem keibubapaan dan subsistem anak-anak


dapat dipertingkatkan. Di samping itu, teori ini juga membantu merapatkan hubungan
yang renggang antara ibu bapa dan anak-anak, meningkatkan autonomi anak-anak
dengan membantu ibu bapa menyesuaikan penglibatan mereka dalam kehidupan anak-
anak, menyeimbangkan sempadan keluarga menjadi lebih fleksibel (Carr 2006).

Terdapat tiga konsep utama dalam teori keluarga struktural iaitu struktur
keluarga, subsistem keluarga dan sempadan keluarga. Setiap keluarga mempunyai
struktur dan susunan tersendiri. Cuma struktur tersebut kelihatan tersembunyi di mana
fungsi-fungsinya diperlukan oleh setiap ahli keluarga yang terlibat. Sesebuah keluarga
yang mempunyai struktur dapat mempengaruhi keluarga tersebut menjadi lebih baik
atau sebaliknya (Gladding 1998). Subsistem keluarga pula terbahagi kepada tiga iaitu
subsistem suami isteri, subsistem keibubapaan dan subsistem adik beradik. Dalam
setiap subsistem ini mempunyai peranan, tugas dan tanggungjawab tertentu mengikut
subsistem yang dipunyai oleh ahli keluarga. Sempadan pula menunjukkan kawasan
fizikal dan psikologikal yang dimiliki oleh individu atau sesuatu subsistem dalam
sistem keluarga. Sempadan juga boleh disamakan seperti maruah atau harga diri (Lily
Mastura Harun & Ramlan Hamzah 2007). Setiap individu akan menjaga sempadan
mereka agar tidak dicerobohi oleh individu lain.

Sebagai tambahan kepada struktur, subsistem dan sempadan, teori keluarga


struktural juga berpandukan kepada peranan, peraturan dan kuasa. Peranan menjadi
sukar jika dalam keluarga tersebut meletakkan sesuatu jangkaan terhadap mana-mana
ahli keluarga. Peraturan pula merupakan suatu garis panduan yang telah ditetapkan pada
awal keluarga terbentuk. Peraturan mendatangkan masalah dalam sistem keluarga
apabila ahli meneruskan peraturan sedia ada tanpa menghiraukan perubahan yang
berlaku dalam keluarga. Kuasa adalah kemampuan untuk melakukan sesuatu dalam
keluarga. Dengan kata lain kuasa berkaitan dengan autoriti dan tanggungjawab ahli
yang membuat keputusan atau pemberi kata putus. Teori keluarga struktural membantu
merawat keluarga dengan mengubah struktur dan kefungsian keluarga (Saedah A.
Ghani 2004).
71

Teori struktural ini dilihat sangat sinonim dan rapat dengan tuntutan Islam yang
telah menggariskan peranan dan tanggungjawab suami terhadap isteri, begitu juga
sebaliknya serta tanggungjawab ibu bapa dalam mendidik anak-anak. Struktur dalam
subsistem teori ini dilihat sebagai tugas dan peranan yang perlu dijalankan oleh setiap
ahli keluarga termasuk ibu bapa dan anak-anak. Bapa berperanan menjadi ketua dan
pemimpin keluarga yang berautoriti berdasarkan ayat al-Quran dalam surah at-Tahrim,
(66):6 yang bermaksud; “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan
keluarga kamu daripada api neraka...”. Daripada maksud ayat ini menunjukkan bahawa
Allah memberi perintah kepada orang yang mempunyai kuasa dalam sesebuah keluarga
iaitu ibu dan bapa agar mendidik anak-anak dengan pendidikan yang baik supaya
menghindarkan diri daripada terjerumus kepada perkara-perkara yang tidak baik.
Dalam hal ini, kuasa ibu bapa dalam menentukan perjalanan kehidupan anak-anak
sangat ditekan dalam Islam. Ayat tersebut juga menegaskan besarnya tanggungjawab
yang harus dipikul oleh kedua ibu bapa dalam mendidik dan menentukan hala tuju
sesebuah keluarga.

Namun, dalam aspek tanggungjawab ini Allah lebih memberatkan kaum lelaki
iaitu bapa dalam menentukan pentadbiran sesebuah keluarga. Islam telah mengagihkan
tanggungjawab setiap anggota keluarga dengan penuh adil dan sesuai mengikut
kemampuan masing-masing berdasarkan maksud ayat al-Quran dalam surah an-Nisa,
(4):34 yang bermaksud; “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang
bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan
orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan
juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari
harta mereka...”. Maksud ayat tersebut memberi penekanan dalam tanggungjawab
mendidik keluarga diletakkan lebih ke atas golongan lelaki iaitu suami atau bapa dalam
memimpin keluarga.

Rasulullah s.a.w. turut menegaskan dalam hadis Baginda bahawa sebagai ketua
dalam sesebuah institusi keluarga, suami atau bapa diperintahkan untuk memikul
tanggungjawab besar ini. Hadis riwayat Imam al-Bukhari yang bermaksud; “Setiap
kamu adalah pemimpin dan bertanggungjawab terhadap kepimpinannya. Seorang imam
(pemimpin negara) adalah pemimpin dan bertanggungjawab terhadap kepimpinannya.
72

Seorang lelaki adalah pemimpin terhadap keluarganya dan akan ditanya tentang
kepimpinannya. Seorang wanita adalah pemimpin di rumah suaminya dan akan
bertanggungjawab terhadap kepimpinannya…”. Oleh itu, konsep struktur dan peranan
seperti yang dinyatakan dalam teori keluarga struktural selaras dengan konsep
tanggungjawab yang dianjurkan dalam Islam. Keluarga yang mempunyai sistem
struktur, peranan dan kuasa yang berfungsi dengan baik akan kurang menghadapi
masalah berbanding keluarga yang disfungsi.

b. Teori sistem keluarga Bowen

Murray Bowen seorang tokoh yang bergiat aktif memperkenalkan pandangan teori yang
berkesan dalam merawat keluarga. Bowen memberi penekanan tentang kesedaran
manusia terhadap aspek utama dalam sistem emosi dan sistem intelek. Individu yang
mempunyai konsep kendiri yang rendah, tidak mampu membuat pemisahan kendiri dan
mudah tersinggung sehingga membawa kepada tekanan kepada diri. Lama-kelamaan
akan menyebabkan mereka cenderung mendapat penyakit fizikal atau sosial yang
menyebabkan ketidakfungsian diri. Berbanding individu yang mempunyai konsep
kendiri tinggi mereka mampu menyeimbangkan emosi dengan kadar yang cepat apabila
menghadapi tekanan. Bowen melihat keluarga sebagai agen kepada saling bergantung
kepada perubahan emosi. Perubahan dalam satu sistem keluarga akan memberi
perubahan kepada bahagian yang lain dalam keluarga secara keseluruhannya. Manakala
corak tingkah laku ahli dalam keluarga sering berulang untuk beberapa generasi (Lily
Mastura Harun & Ramlan Hamzah 2007).

Elemen utama yang turut ditekankan dalam teori Bowen ialah terdapat kerisauan
kronik dalam seluruh kehidupan individu. Oleh itu, matlamat utama rawatan ialah untuk
(a) mengurangkan kebimbangan, membantu ahli keluarga meningkatkan fungsi dan
keupayaan secara bebas dan mengurangkan gejala tingkah laku mereka, dan (b)
meningkatkan kesedaran setiap ahli keluarga terhadap pemisahan kendiri,
membolehkan setiap orang bertindak balas dengan lebih berkesan dalam situasi emosi
yang tegang (Carlson, Sperry & Lewis 2005). Sekiranya kerisauan berada pada tahap
yang rendah, maka kurang menimbulkan masalah bagi individu atau keluarga terbabit
sebaliknya dalam situasi kerisauan yang tinggi, akan menimbulkan corak perhubungan
73

yang bermasalah (Carr 2006). Oleh itu, keluarga yang mempunyai pemisahan kendiri
yang lebih rendah akan menggunakan triangulasi sebagai salah satu cara untuk
menangani kerisauan dalam sistem (Rootes, Jankowski & Sandage 2010).

Dalam memahami bagaimana kerisauan kronik dan proses emosi dalam


keluarga dan masyarakat berlaku, Bowen telah menghuraikan tentang lapan konsep
utama yang saling berkaitan. Lapan konsep tersebut ialah pemisahan kendiri, sistem
emosi, proses pindahan multi generasi, sistem emosi keluarga nuklear, proses projeksi
keluarga, segi tiga atau triangles, kedudukan adik-beradik dan pengunduran sosial.
Dalam mengatasi kerisauan tersebut, teori Bowen memfokuskan dua kekuatan iaitu
kebersamaan dan keunikan individu. Kedua-dua keadaan ini perlu diseimbangkan
kerana jika salah satu menjadi dominan contohnya terlalu memberi fokus kepada
kebersamaan akan mencapai kesepaduan keluarga tetapi membelakangkan keunikan
individu. Begitu juga sebaliknya, jika terlalu berlebihan memberi fokus kepada
keunikan individu akan menyebabkan berlakunya pemisahan dalam keluarga.

Dalam usaha mengintegrasikan teori keluarga Bowen dan spiritual penekanan


diberikan kepada hubungan di antara triangulasi dan persoalan keagamaan. Triangulasi
adalah sebuah sistem emosi yang wujud dalam sistem perhubungan yang paling kecil.
Triangulasi bukan sahaja wujud dalam sistem perhubungan antara suami dan isteri,
malah ia juga wujud di antara individu dengan individu dalam sistem yang lain yang
boleh mewujudkan situasi sama ada positif atau negatif. Sebagai contoh, dalam
hubungan suami dan isteri yang tegang, lazimnya triangulasi berlaku melibatkan anak-
anak. Ibu bapa akan menjadikan anak-anak sebagai tempat melepaskan kemarahan dan
tekanan yang dialami. Dalam menangani masalah triangulasi ini, terapis akan
menggunakan kaedah de-triangulasi untuk membentuk semula pemikiran keluarga agar
mengembalikan keharmonian keluarga (Rootes, Jankowski & Sandage 2010).

Hal ini selaras dengan tuntutan Islam yang mengajarkan umatnya agar hidup
dalam persepakatan dan menghindarkan diri daripada persengketaan. Apabila
berhadapan dengan sesuatu perselisihan dalam keluarga hendaklah mereka mencari
jalan ke arah perdamaian. Hal ini telah diterangkan dalam al-Quran dalam surah an-
Nisa, (4):128 yang bermaksud; “Dan jika seseorang perempuan bimbang akan timbul
74

dari suaminya kebencian, atau tidak melayaninya, maka tiadalah salah bagi mereka
(suami isteri) membuat perdamaian di antara mereka berdua (secara yang sebaik-
baiknya), kerana perdamaian itu lebih baik (bagi mereka daripada bercerai-berai)…”.
Islam amat menjaga perhubungan dalam kekeluargaan agar sentiasa hidup dalam
keadaan yang harmoni dan menganjurkan agar berusaha mengatasi perselisihan dengan
jalan yang terbaik.

c. Teori keluarga Satir

Teori Satir dibangunkan melalui pengaruh beberapa pendekatan kaunseling seperti


pendekatan experiential yang berkembang daripada aliran humanistik yang
menekankan here and now, pendekatan main peranan (role-play) dan konfrontasi emosi
daripada terapi gestalt serta sculpting dan family drama daripada pengaruh psikodrama
(Khoo Bee Lee & Mohd Hashim Othman 2007). Satir telah mula merawat keluarga
secara berkelompok seawal tahun 1950an lagi dan merupakan terapis wanita pertama
yang menempa sejarah dalam perkembangan terapi keluarga. Satir menekankan
kepentingan menjalinkan hubungan kemanusiaan, kepentingan dalam penghargaan
kendiri, perasaan kasih sayang dan penyataan perasaan yang kongruen dalam proses
terapi (Lily Mastura Harun & Ramlan Hamzah 2007).

Satir membahagikan pandangan dunia kepada dua pandangan yang kontra yang
dilabelkan sebagai model Threat and Reward dan model Seed. Satir menamakan
pandangan yang sihat sebagai Seed Model dan pandangan yang bermasalah sebagai
Threat and Reward Model. Satir melihat hubungan insan dan proses terapi serta
perubahan tingkah laku sebagai tumbuhan yang memerlukan air, udara, matahari,
oksigen serta baja untuk tumbesaran yang sihat. Dalam keluarga, mereka yang berada
di hierarki tinggi berperanan membantu mereka yang lemah terutama yang mempunyai
sifat self-esteem yang rendah. Dalam Model Seed sifat-sifat individu lebih diutamakan
daripada peranan yang menentukan identiti dan setiap individu dilahirkan mempunyai
potensi yang boleh berkembang dengan mencungkil sumber tenaga dalaman (spiritual)
ke arah perubahan yang positif (Goldenberg & Goldenberg 2004).

Teori Satir merupakan satu-satunya teori keluarga yang menerangkan aspek


spiritual secara eksplisit. Terdapat satu ciri khas iaitu sifat kongruen dalam
75

mengemukakan kehebatan spiritual yang mempengaruhi kesihatan, semangat, dan


potensi manusia sebagai titik permulaan kepada sesuatu kesembuhan. Satir mengiktiraf
setiap orang mempunyai tenaga hidup yang positif yang menuju ke arah melakukan
kebaikan. Satir percaya bahawa semua orang pada dasarnya dilahirkan baik dan
berpotensi berkembang dalam keadaan yang baik. Menurut Satir, sifat asas bagi
seseorang manusia adalah dinamik. Satir mengkonsepsikan bentuk tingkah laku dan
komunikasi dalam sebuah bongkah ais yang terdiri daripada tiga dimensi iaitu
komunikasi interpersonal; perasaan, persepsi, kepercayaan, harapan; dan spiritual
sejagat iaitu perasaan rindukan sesuatu (spiritual) dalam diri sendiri (Lee 2002).

Satir menggunakan lapan dimensi diri yang dikenali sebagai mandala kendiri.
Lapan bahagian mandala tersebut ialah spiritual, fizikal, intelektual, emosi, sentuhan,
interaksi, nutrisi dan konteks (Lee 2002; Lee 2015). Dimensi ini terikat dan berinteraksi
di antara satu sama lain untuk mendapat kongruen. Kongruen dalam model Satir
bermaksud penyambungan semula hubungan seseorang itu dengan diri sendiri serta asal
usulnya, dengan orang lain, dengan spiritual serta secara serentak dengan proses
agamanya (Akca-Koca Dilek 2017).

Terdapat lima corak komunikasi interpersonal iaitu memujuk, mengkritik,


terlalu munasabah, mengelak dan kongruen. Sikap yang terdapat dalam corak
komunikasi ini dipelajari oleh anak-anak semasa mereka membesar dalam keluarga
(Akca-Koca Dilek 2017). Pendekatan Satir berhubung interaksi keluarga ini
mempunyai persamaan dalam agama Islam yang dapat digambarkan melalui hadis
Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang bermaksud; “Setiap
anak yang dilahirkan itu adalah umpama kain putih (fitrah), ibu bapa lah yang
bertanggungjawab mewarnakan dan mencorakkannya, sama ada menjadi Yahudi,
Nasrani atau Majusi”. Hadis ini menegaskan bahawa ibu bapa merupakan orang yang
paling bertanggungjawab mencorakkan tingkah laku dan sikap anak-anak. Anak-anak
yang diasuh dengan penuh kasih sayang akan membesar menjadi seorang yang
penyayang begitu juga sebaliknya. Anak-anak secara fitrah nya akan meneladani dan
mencontohi sikap seperti mana yang ditunjukkan oleh ibu bapa.
76

2.8.2 Teknik Spiritual dan Agama dalam Kaunseling Keluarga dan Perkahwinan

Pelbagai teknik yang digunakan dalam mengintegrasikan spiritual dan agama dalam
mengendalikan kes-kes kaunseling keluarga dan perkahwinan. Strategi dan amalan
keagamaan menjadi sebahagian pilihan kaunselor dalam menjalankan intervensi (Wolf
& Stevens 2001). Terdapat juga teknik-teknik kaunseling yang berasaskan teori sedia
ada yang digunakan bersama dengan strategi amalan spiritual dan agama. Teknik yang
digunakan mampu berfungsi dalam membantu klien mengikut kesesuaian dan
keperluan sesuatu kes tersebut (Tan 1996). Pemilihan sesuatu teknik berdasarkan
pandangan bahawa pendekatan tersebut mampu membantu mengubah pemikiran agar
klien mendapat celik akal dalam membuat sesuatu perubahan di dalam keluarga dan
perkahwinan mereka.

Terdapat pelbagai teknik yang boleh digunakan dalam mengintegrasikan


spiritual dan agama dalam proses terapeutik. Salah satu teknik yang popular ialah
genogram, digunakan untuk mengumpulkan maklumat mengenai sebuah keluarga.
Genogram adalah gambar rajah yang mewakili struktur keluarga dan organisasi
menggunakan simbol untuk mewakili keahlian, hubungan (emosi, undang-undang, dan
biologi), peristiwa penting termasuk genre spiritual dan agama. Spiritual genogram pula
amat bermakna digunakan apabila klien mula menimbulkan isu-isu berkaitan spiritual
dan agama. Spiritual genogram melibatkan empat langkah iaitu; (i) mewujudkan
spiritual genogram, (ii) bertanyakan soalan lanjut sebagai refleksi, (iii) berhubung
dengan ahli lain dalam keluarga asal, (iv) gabungan atau integrasi usaha terapeutik
sejagat. Spiritual ecomap pula merupakan satu lagi teknik yang boleh digunakan semasa
perbincangan berkaitan dengan spiritual dan agama dan rohani dalam terapi. Spiritual
Ecomap adalah satu cara untuk menggambarkan sistem utama iaitu sistem keluarga
nuklear yang menunjukkan interaksi dan hubungan mereka dalam sistem tersebut
(Frame 2000).

Perbincangan isu spiritual dan agama dalam terapi dapat menjaga kepentingan
dan kebajikan terbaik buat klien. Perbincangan yang melibatkan agama sebagai sistem
sokongan iaitu mengenal pasti kekuatan spiritual dan agama klien dalam mengatasi isu
kesedihan, kehilangan, penyembuhan pada masa yang sukar atau membantu masalah
77

perkahwinan. Dalam hal ini, doa adalah suatu teknik yang dikenal pasti sebagai sumber
kekuatan atau sokongan semasa perbincangan tersebut. Berdoa juga merupakan teknik
tradisional yang digunakan dalam mengendalikan situasi konflik dalam kalangan
pasangan yang mempunyai pegangan kuat dalam religiositi. Berdoa boleh juga
dilakukan untuk mendapat bimbingan serta kekuatan terhadap keluarga yang
menghadapi sesuatu isu sebagai tugasan terapeutik (Marterella & Brock 2008; Rivett &
Street 2001). Dalam menggunakan teknik berdoa kaunselor boleh melakukannya secara
senyap tanpa diketahui oleh klien sebelum atau semasa sesi sedang dijalankan dengan
memohon kepada Tuhan agar memberi bimbingan kepada klien dan juga kaunselor
(Wolf & Stevens 2001). Teknik berdoa menggunakan kaedah meditasi juga didapati
dapat menghasilkan ketenangan (Beach et al. 2008).

Kaedah seterusnya ialah menjadikan teknik keagamaan sebagai sumber


penyelesaian dalam keluarga dan perkahwinan. Hal ini kerana agama merupakan
sebahagian daripada budaya dan tradisi yang boleh dijadikan sumber penyembuhan dan
pertumbuhan yang baik dalam konteks kekeluargaan dan perkahwinan (Wolf & Stevens
2001). Manakala teknik memberi kemaafan pula merupakan suatu teknik spiritual yang
berkesan dan bermakna dalam membentuk kasih sayang dalam keluarga (Aponte 1998).
Teknik reframing pula adalah memberi makna yang baru dan berbeza dalam pengertian
yang positif terhadap sesuatu pandangan sedia ada klien. Ia melibatkan pertukaran
persepsi dengan menerangkan sesuatu situasi dalam konteks yang berbeza.

Teknik restructuring pula melibatkan pertukaran struktur keluarga. Rasional


penggunaan teknik ini adalah untuk membuatkan keluarga itu lebih berfungsi dengan
mengubah hierarki sedia ada dan pola interaksi agar masalah tidak dikekalkan. Teknik
diagnosis digunakan untuk mengenal pasti sistem perhubungan antara ahli keluarga.
Dengan itu kaunselor dapat melihat apa yang perlu dibaiki atau ditukarkan dalam
membantu keluarga tersebut berfungsi dengan sebaiknya. Biasanya teknik diagnosing
dilakukan pada awal sesi kaunseling (Lily Mastura Harun & Ramlan Hamzah 2007).

2.9 KAUNSELING MENGGUNAKAN PENDEKATAN ISLAM

Kaunseling menurut perspektif Islam merupakan satu proses pengajaran dan


pembelajaran psikososial yang berlaku secara bersemuka antara kaunselor dengan klien
78

(Zainab Ismail 2013). Tokoh-tokoh kaunseling di Malaysia mula memberi tumpuan


kepada kaunseling yang menggunakan pendekatan agama setelah menyedari
kepentingan spiritual dan agama sebagai memenuhi fitrah kejadian manusia.
Kaunseling menggunakan pendekatan Islam mula diperkenalkan oleh Othman
Mohamed pada tahun 2000 iaitu Teori psikologi kognitif ad-Din, pada tahun 2011
Yatimah Sarmani dan Mohd Tajudin Ninggal memperkenalkan pendekatan kaunseling
keagamaan yang dinamakan teori kaunseling al-Ghazali dan pada tahun 2016, Salasiah
Hanin Hamjah mengemukakan kaunseling spiritual menurut al-Ghazali.

Teori psikologi kognitif ad-Din berpaksikan kepada pendekatan al-Ghazali yang


bertujuan membantu individu memahami konstruk fitrah kejadian manusia yang terdiri
daripada roh, al-nafs, al-qalb dan al-akl. Konstruk roh merangkumi keupayaan manusia
memperoleh ilmu pengetahuan, menyelami semangat spiritual dan menyeluruh dalam
segenap aspek aktiviti manusia. Konstruk al-qalb merangkumi keupayaan individu
memahami keadaan sebenar dirinya dan membuat pertimbangan antara yang benar
dengan yang salah. Al-nafs mempunyai lima tahap iaitu daripada unsur negatif yang
dikenali sebagai nafsu amarah yang berada di tingkatan nafsu paling bawah sekali,
diikuti oleh nafsu lawwamah, mulhamah, mutmainnah dan tahap yang tertinggi adalah
radiah mardiah. Konstruk al-nafs yang negatif inilah yang memerlukan usaha individu
untuk mengimbanginya (Othman Mohamed 2005).

Teori psikologi kognitif ad-Din berpandangan hubungan manusia dengan Tuhan


berasaskan konsep khalifah iaitu manusia dikurniakan akal lalu diiktiraf sebagai
khalifah di dunia ini. Oleh itu, pengetahuan dan fitrah merupakan tunjang utama dalam
memahami tingkah laku manusia. Manusia diberikan akal yang hebat dan difitrahkan
dengan kebaikan dalam dirinya yang berunsurkan ikhtiar untuk mempertimbangkan
tindakan dalam konteks mengawal al-nafs. Ciri-ciri insan kamil menurut teori psikologi
kognitif ad-Din adalah yang mempunyai atribut positif iaitu terdiri daripada sifat sidik
(benar), amanah, tablik (menyampaikan) dan fatanah (cerdik). Takwa adalah kemuncak
kepada pembentukan personaliti yang membawa al-nafs berada di tahap mutmainnah
seterusnya ke tahap radiah mardiah (Othman Mohamed 2005).
79

Yatimah Sarmani dan Mohd Tajudin Ninggal (2011) memperkenalkan


kaunseling menggunakan pendekatan Islam dengan menamakan teori kaunseling al-
Ghazali yang mengutarakan asas sifat-sifat manusia iaitu konsep roh, hati (kalbu), nafsu
(nafs) dan akal. Teori ini membahagikan pengertian roh kepada dua; (i) roh yang
pertama ialah sesuatu yang bersifat jasmani yang bersumber kepada ruangan jantung
manusia; dan (ii) roh yang kedua ialah bahagian rohani manusia yang halus dan ghaib.
Melalui roh, manusia dapat mengenal dirinya, mengenal Tuhannya dan mempunyai
akhlak yang baik. Sifat roh adalah berperikemanusiaan dan berupaya mempelajari
pelbagai ilmu.

Hati menurut al-Ghazali merupakan sumber utama dan pengawal kepada


personaliti individu kerana ia memandu roh, nafsu dan akal. Jika baik hatinya maka
seluruh personaliti individu itu menjadi baik. Komponen nafsu pula dibahagikan kepada
tiga iaitu; (i) nafsu amarah iaitu nafsu yang tunduk patuh kepada kehendak nafsu
syahwat dan syaitan; (ii) nafsu lawwamah iaitu nafsu yang tercela kerana kelalaian diri
individu dalam melaksanakan perintah-perintah dan ketaatan kepada Allah; (iii) nafsu
mutmainnah iaitu nafsu yang dimiliki oleh individu yang berjiwa tenang dan dapat
mengawal nafsu syahwat dengan baik dan sentiasa cenderung melakukan kebaikan.
Manakala akal pula membolehkan manusia berfikir tentang ketuhanan. Akal dapat
membantu manusia dalam berfikir dan bertindak sesuatu berdasarkan pertimbangan
yang sewajarnya (Sapora Sipon, Khatijah & Othman 2013; Yatimah Sarmani & Mohd
Tajudin Ninggal 2011).

Komponen keseimbangan keempat-empat sifat manusia yang dibincangkan di


atas adalah bagi memastikan kehidupan manusia berjalan dengan sebaiknya dengan
memenuhi tuntutan kehidupan seorang Muslim iaitu aspek akidah, syariat dan akhlak.
Imam al-Ghazali memberi pandangan bahawa individu yang berfungsi sepenuhnya
adalah mereka yang dapat berinteraksi dengan baik melalui kesepaduan antara akidah,
syariat dan akhlak. Al-Ghazali turut menekankan hubungan dengan Allah dan
hubungan sesama manusia. Hubungan dengan Allah bersandarkan kepada ilmu yang
sesuai dengan tindakan yang baik untuk memelihara hubungan sesama manusia
(Faizatul Najihah Mohd Azaman & Faudzinaim Badaruddin 2016).
80

Selanjutnya, Salasiah Hanin Hamjah (2016) pula mengemukakan pendekatan


kaunseling yang dinamakan pendekatan kaunseling spiritual menurut al-Ghazali.
Pendekatan kaunseling ini dikemukakan berikutan kajian yang dijalankan oleh pengkaji
yang mendapati aspek spiritual penting diterapkan dalam kaunseling agar dapat
menyedarkan klien bahawa masalah mereka berpunca daripada aspek spiritual yang
tidak diuruskan dengan baik. Matlamat kaunseling spiritual ini adalah untuk
membimbing, mengajar atau menunjuk cara menuju satu matlamat ke arah kebaikan
berpandukan syariat Islam melalui proses ma’rifah al-nafs dan tazkiyah al-nafs.

Daripada perbincangan ini dapatlah dirumuskan bahawa pendekatan kaunseling


yang dikembangkan oleh tokoh-tokoh di atas keseluruhannya mengambil pendekatan
al-Ghazali sebagai asas rujukan dalam memahami manusia dan membantu mencari
kaedah penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi. Ketiga-tiga pendekatan ini
menggunakan asas yang sama dalam memahami manusia melalui konsep roh, al-nafs,
al-qalb dan al-akl. Walaupun terdapat sedikit perbezaan dari aspek kaedah penyelesaian
masalah individu namun matlamat kaunseling adalah berpaksikan kepada akidah dan
syariat Islam. Jadual 2.1 menunjukkan pendekatan kaunseling yang menggunakan
elemen agama Islam di Malaysia.

Jadual 2.1 Kaunseling menggunakan pendekatan Islam

Teori psikologi Teori al-Ghazali Pendekatan spiritual


kognitif ad-Din al-Ghazali
Persamaan Pendekatan al-Ghazali- konstruk fitrah kejadian manusia menggunakan
Roh, al-nafs, al-qalb, al-akl
Konsep nafsu Mempunyai 5 tahap; Mempunyai 3 Mempunyai 3
amarah, lawwamah, tingkatan nafsu; tingkatan; nafsu
mulhamah, amarah, lawwamah, amarah, lawwamah,
mutmainnah, radiah mutmainnah mutmainnah
mardiah
Pendekatan Kognitif & fitrah Keseimbangan Mujahadah al-nafs
interaksi hati, roh, Riyadah al-nafs
nafsu & akal Tazkiyah al-nafs

a. Teknik dan Strategi Pendekatan Islam

Di Malaysia, teknik yang kerap digunakan dalam amalan kaunseling pada hari ini
adalah bersumberkan daripada pelbagai mazhab pemikiran kaunseling Barat. Dalam
membantu klien, Islam mempunyai pendekatan yang tersendiri dengan menolong klien
81

memahami dirinya, membantu klien memahami kebolehan dan minatnya dan


menggalakkan nya untuk menerima takdir daripada Allah kepadanya (Zainab Ismail
2013). Strategi pendekatan Islam yang digunakan dalam intervensi menolong
merupakan proses pembentukan personaliti yang baik menurut al-Ghazali (Fariza,
Salasiah & Mohd Jurairi 2015).

Dalam mengaplikasikan pendekatan menurut al-Ghazali, Salasiah Hanin


Hamjah (2010) mendapati kaunselor turut mempraktikkan dengan memberi cadangan
kepada klien melakukan sembahyang lima waktu, sembahyang sunat, membaca al-
Quran, menerima qada dan qadar, yakin dengan kehidupan akhirat, tawakal, bersyukur,
bertaubat dalam kes-kes pengabaian tanggungjawab yang berlaku dalam kalangan ibu
bapa terhadap anak-anak dan begitu juga oleh suami terhadap isteri, berdoa dan
bermuhasabah diri. Teknik penyucian jiwa (tazkiyah an-nafs) dilakukan dengan penuh
kebijaksanaan dalam memberi nasihat dan menjalankan perbincangan yang baik,
mengakui kewujudan Allah, bertaubat, bertafakur, berdoa, muhasabah dan melakukan
ibadah sembahyang (Mizan Adiliah, Wan Mohd Fazrul & Hanit Osman 2014; W
Aeshah Ameiha W Ahmad, Rohaizan Baru & Mohd Shahril Othman 2013).

Taubat juga merupakan satu teknik yang dilihat berkesan dalam membantu klien
dalam menangani isu-isu berkaitan spiritual dan agama (Muhammad Shohib 2009;
Salhah Abdullah et al. 2014). Ayat-ayat suci al-Quran juga digunakan dalam intervensi
bagi meredakan tekanan yang dihadapi oleh klien (Shadiya Mohamed S. Baqutayan
2011). Dini Farhana Baharudin dan Melati Sumari (2011) mengaplikasikan terapi bunyi
menggunakan ayat-ayat suci al-Quran agar menurunkan kadar tekanan dalam kalangan
wanita yang bekerja. Hasil kajian beliau mendapati kadar tekanan dapat diturunkan dan
tahap ketenangan didapati meningkat. Manakala konsep pendekatan Islam yang turut
digunakan sebagai teknik dalam intervensi bimbingan dan kaunseling seperti sifat-sifat
mahmudah menurut al-Ghazali (Fariza, Salasiah & Mohd Jurairi 2015; Salasiah Hanin
Hamjah 2016). Sifat-sifat tersebut ialah takwa, tafakur, sabar, syukur, harap, tawakal,
cinta dan reda, perasaan takut kepada Allah, qana’ah, zuhud, ikhlas dan benar.
82

2.10 MODEL INTEGRASI STRATEGI IMPLISIT DAN EKSPLISIT


PENDEKATAN SPIRITUAL DAN AGAMA DALAM KAUNSELING

Pelbagai strategi yang digunakan dalam mengintegrasikan pendekatan spiritual dan


agama dalam amalan kaunseling keluarga dan perkahwinan. Wolf, dan Stevens (2001)
telah menyenaraikan beberapa teknik dan strategi yang dibawa oleh tokoh-tokoh
integrasi spiritual dan agama seperti Genia (1995) dan Tan (1996). Langkah pertama
memulakan proses integrasi adalah memahami dan mengenal pasti kepentingan
spiritual dan agama dalam kehidupan klien. Selepas itu, kaunselor boleh memulakan
teknik integrasi spiritual dan agama ini dengan memilih untuk mentadbir penaksiran
spiritual terhadap pasangan ataupun keluarga tersebut. Terdapat beberapa alat ujian
penaksiran spiritual yang boleh digunakan termasuklah The Spiritual Well-Being Scale
(Ellison 1983), The Spiritual Experience Index (Genia 1991) dan Spiritual Assessment
Inventory (Hall and Edward’s 1996).

Dengan melakukan penaksiran spiritualiti ini kaunselor akan mendapat


gambaran dan jangkaan berkaitan spiritual dan agama terhadap sistem keluarga tersebut
sama ada memberi impak yang positif atau sebaliknya. Melalui kaedah itu juga klien
dapat mengenali spiritualiti dan keagamaan dirinya sendiri. Selepas temu bual awal dan
penilaian penaksiran spiritual dilakukan, kaunselor boleh menggunakan teknik dan
prinsip dalam kaunseling keluarga yang sedia ada untuk mengintegrasikan elemen
spiritual dan agama secara terapeutik (Wolf & Stevens 2001).

Amalan integrasi secara implisit melibatkan kerjasama spiritualiti dan agama


kaunselor itu sendiri dengan cara mendengar dan memberi perhatian dalam proses
kaunseling. Satu kaedah yang boleh digunakan oleh kaunselor adalah mengintegrasikan
dengan melibatkan kepercayaan spiritualiti beliau sendiri dengan cara mendengar dan
memberi perhatian dalam proses kaunseling. Sebagai contoh, kepercayaan spiritualiti
mungkin mempengaruhi cara seseorang kaunselor itu mendengar dan memberi
perhatian terhadap isu klien. Kaunselor boleh membuat refleksi terhadap isu yang
dibawa oleh klien dengan bertanyakan soalan seperti ‘Apakah simptom yang
ditunjukkan oleh seseorang yang tidak memenuhi kehendak spiritualnya?’(Anderson &
Worthen 1997).
83

Semasa mendengar isu spiritual yang dibawa oleh klien, kaunselor boleh
menggunakan ruang tersebut untuk bertafakur dan memberi fokus kepada pernafasan
beliau sendiri begitu juga dengan emosi, kognitif dan gambaran yang kemungkinan
ditimbulkan sepanjang sesi kaunseling berlangsung. Anderson, dan Worthen (1997)
membincangkan tiga kesan positif hasil daripada menggunakan teknik ini iaitu; (i)
kaunselor berupaya mengenal pasti proses yang tidak ketara dalam hubungan pasangan
atau keluarga tersebut dengan lebih mendalam; (ii) klien mendapat rangsangan baru
serta tindak balas yang kreatif; dan (iii) suasana bertafakur itu mungkin memberikan
kepada klien rasa untuk meluahkan perasaan yang selama ini telah terpendam dalam
diri dan dalam perhubungan mereka. Teknik ini juga dapat membantu kaunselor untuk
memberi respons kepada klien dengan penuh ihsan dan menerima tanpa syarat.

Kaunselor juga boleh berdoa secara senyap iaitu tanpa diketahui oleh kliennya
yang ia mendoakan kesejahteraan dan kesembuhan klien tersebut (Anderson & Worthen
1997; Tan 1996). Kaunselor yang menggunakan strategi implisit ini secara konsisten
menghormati nilai agama dan isu yang dibawa oleh klien. Ini tidaklah bermakna strategi
integrasi implisit langsung tidak membincangkan isu agama tetapi kaunselor boleh
berbuat demikian sekiranya klien terlebih dahulu mengemukakan atau memulakan
perbincangan berkaitan isu agama dan spiritual. Walau bagaimanapun, sekiranya
kaunselor yang mengamalkan strategi integrasi secara implisit merasa kurang selesa
atau tiada kompetensi dalam membincangkan isu agama secara eksplisit seharusnya
kaunselor tersebut merujuk klien tersebut kepada kaunselor lain yang mengamalkan
strategi integrasi secara eksplisit.

Berg-Cross (2000) amalan implisit seperti mewujudkan kepercayaan, bersabar,


bertaubat, memberi maaf dan menerima dengan reda boleh juga ditimbulkan dalam
proses kaunseling. Beliau turut menyatakan bahawa teknik secara implisit boleh
menggunakan panduan imageri, teknik Gestalt, teknik kerusi kosong, menulis jurnal
dan menulis surat. Antara ayat-ayat terapeutik yang boleh digunakan oleh kaunselor
seperti; (i) Apa yang anda ingin nyatakan dan luahkan kepada ayah anda sekiranya
beliau duduk di kerusi ini; (ii) Apa yang boleh anda nyatakan sebagai ahli keluarga
dengan menulis surat kepada (sesiapa sahaja dalam keluarga) sebagai sebuah keluarga
serta berkaitan dengan kejadian yang telah berlaku dalam keluarga?; dan (iii) Sekiranya
84

Tuhan berada di hadapan anda, apakah yang ingin anda pohon kan untuk keluarga anda?
Dan apakah yang anda fikirkan jawapan Tuhan kepada anda?

a. Model Tan

Dalam mengintegrasikan pendekatan spiritual dan agama, Tan (1996) telah


memperkenalkan model integrasi pendekatan spiritual dan agama dalam amalan
kaunseling secara implisit (tersirat) dan juga secara eksplisit (jelas). Model ini
menekankan kedua-dua pihak iaitu kaunselor dan klien sebagai asas kepada
keberkesanan rawatan dengan menggunakan beberapa tahap bimbingan spiritual atau
haluan dalam mencapai konteks terapeutik. Kaunselor yang profesional sentiasa
bersedia, selesa dan kompeten dalam mempraktikkan kedua-dua strategi tersebut sama
ada secara implisit ataupun eksplisit. Strategi integrasi yang digunakan adalah
bergantung kepada keperluan dan kepentingan klien. Bagi klien yang tidak berpegang
kuat kepada agama atau tidak berminat untuk berbincang isu spiritual secara terang-
terangan kaunselor bolehlah mengintegrasikan pendekatan ini secara implisit.
Manakala bagi klien yang ingin berbincang secara terbuka, kaunselor boleh
menggunakan strategi secara eksplisit.

Menurut Tan, strategi integrasi secara implisit tidak memperkenalkan isu agama
dan spiritual ke dalam proses kaunseling secara langsung. Strategi ini merujuk kepada
pendekatan yang tersembunyi atau tersirat iaitu tidak membincangkan isu secara
terbuka atau terang-terangan sumber-sumber spiritual dan agama seperti sembahyang,
kitab atau teks ketuhanan yang digunakan dalam intervensi kaunseling. Walau
bagaimanapun, kaunselor yang mengamalkan integrasi secara implisit masih dikira
orang yang beragama iaitu dengan menunjukkan rasa hormat terhadap klien dan dalam
masa yang sama masih mengekalkan nilai dan kepercayaan termasuk nilai keyakinan
terhadap agamanya sendiri.

Manakala strategi integrasi secara eksplisit pula merujuk kepada pendekatan


yang lebih terang dan jelas yang mana ia secara langsung dan bersistematik menangani
isu spiritual dan agama dalam amalan kaunseling serta menggunakan sumber-sumber
spiritual seperti sembahyang, kitab atau teks ketuhanan, rujukan kepada mana-mana
kumpulan atau persatuan atau pengamal agama yang lain. Kaunselor yang
85

mengamalkan integrasi eksplisit biasanya merupakan orang beragama dan beliau selesa
bukan sahaja berdoa untuk klien tetapi berupaya berdoa di hadapan klien secara jelas
(didengari oleh klien) secara sistematik dan bersesuaian dalam sesi kaunseling tersebut.
Kaunselor yang mempraktikkan strategi secara eksplisit bukanlah memerlukan seorang
yang kuat beragama tetapi cukup sekadar memiliki rasa sensitif dan menghormati isu
keagamaan klien serta merasa selesa membincangkan isu-isu spiritual dan keagamaan.

Menurut Tan (1996) kaunselor seharusnya bersedia secara selesa dan kompeten
dalam mempraktikkan kedua-dua strategi integrasi tersebut sama ada implisit atau pun
eksplisit. Amalan integrasi adalah bergantung kepada keperluan, kepentingan dan
penerimaan oleh klien. Dalam kata lain, untuk sebahagian klien yang tidak beragama
atau tidak berminat untuk berbincang isu spiritual secara terang-terangan kaunselor
bolehlah mengamalkan strategi secara implisit. Manakala bagi sesetengah klien yang
berorientasikan keagamaan yang ingin membincangkan isu agama dan spiritual secara
terbuka, maka kaunselor seharusnya mengamalkan integrasi secara eksplisit.

b. Model FACE-SPIRIT

Berpandukan kepada model integrasi yang dikemukakan oleh Tan (1996), Horton-
Parker dan Fawcett (2010) telah memperkenalkan satu model kaunseling integrasi
pendekatan spiritual dan agama dengan lebih komprehensif dan tersusun yang
dinamakan Model FACE-SPIRIT. Model ini mengemukakan dua strategi iaitu secara
implisit dan juga eksplisit iaitu FACE mewakili strategi secara implisit manakala
SPIRIT pula mewakili strategi secara eksplisit. Model ini menyenaraikan empat strategi
secara implisit dan enam strategi eksplisit. Setiap huruf dalam FACE-SPIRIT
mempunyai maksud yang tersendiri.

Strategi pendekatan spiritual dan agama secara implisit merupakan strategi yang
dilakukan oleh kaunselor untuk dirinya sendiri (sebelum kehadiran klien) serta
dilakukan tanpa pengetahuan klien. Huruf F dalam FACE bermaksud focus on the
present atau fokus kepada masa kini. Strategi yang pertama adalah kaunselor memberi
fokus kepada masa sekarang. Strategi ini mampu membantu kaunselor untuk menerima
situasi yang sedang dialami bagi mencapai rasa ketenangan dan kedamaian. Strategi ini
memungkinkan berlakunya hubungan terapeutik dan dengan memberi fokus kepada
86

masa kini tidak menghukum klien dan bersifat kongruen. Antara teknik-teknik yang
dicadangkan dalam strategi ini ialah mindfulness (kesedaran) iaitu memberi
keseluruhan perhatian kepada masa sekarang dengan sikap yang tidak menghukum dan
menerima (reda). Kaedah fokus kepada masa sekarang iaitu fokus kepada pernafasan,
body scan, memberi perhatian kepada pemikiran dan perasaan, walking meditation, dan
memberi fokus kepada dua atau lebih titik pada tubuh badan.

Huruf A dalam FACE bermaksud asking for guidance atau memohon petunjuk
dan bimbingan daripada Tuhan. Menurut model ini, kaunselor akan menjadi lebih baik
dalam memberi bantuan apabila meminta pertolongan daripada kuasa yang lebih tinggi.
Memohon doa untuk klien secara sendirian tanpa diketahui klien dan memohon bantuan
daripada Tuhan sebelum menjalankan sesi adalah strategi implisit yang tidak menjadi
halangan kepada mana-mana isu etika. Strategi ini dapat menyeimbangkan diri
kaunselor, merendahkan diri dan dapat menenangkan fikiran mereka menghadapi klien.
Terdapat empat jenis berdoa iaitu colloquial (bahasa/percakapan), meditative (tafakur),
petitionary/intercessory (doa/permohonan) dan ritualistic (amal ibadat).

Huruf C dalam FACE bermaksud compassion cultivation atau memupuk rasa


belas kasihan. Strategi ini membantu kaunselor menerima klien seadanya secara
penerimaan tanpa syarat. Perasaan kasih sesama manusia dan persaudaraan dapat
dipupuk melalui strategi ini. Dengan cara ini kaunselor akan dapat merasai dengan lebih
mendalam penderitaan yang dialami oleh orang lain. Huruf E dalam FACE bermaksud
existential empathy atau mewujudkan perasaan empati keagamaan kaunselor terhadap
klien. Keadaan mewujudkan rasa empati dapat menghasilkan hubungan yang terapeutik
antara kaunselor dan klien. Empati juga membantu kaunselor agar tidak mementingkan
diri sendiri dan mengutamakan kepentingan klien.

Strategi integrasi secara eksplisit pula adalah menggunakan pendekatan agama


dan spiritual secara jelas dan nyata. Seperti mana model implisit, setiap huruf dalam
SPIRIT mempunyai maksud yang tertentu. Strategi integrasi spiritual dan agama secara
eksplisit adalah strategi yang dilakukan oleh kaunselor secara jelas dan terang-terangan
serta klien menyedari strategi tersebut digunakan oleh kaunselor.
87

Huruf S dalam SPIRIT bermaksud simile and metaphor atau perumpamaan dan
metafora. Teknik digunakan untuk membuat perbandingan dua benda yang kelihatan
tidak sama, seperti “my heart is like the ocean”. Teknik ini kadang kala berlaku apabila
klien menyebut sesuatu perkara secara spontan. Kaunselor boleh juga memberi tugasan
kepada seperti menulis puisi. Teknik ini juga boleh diintegrasikan dengan tafsiran kitab
al-Quran iaitu dengan menggalakkan klien berfikir tentang sesuatu karakter atau sesuatu
situasi yang berkaitan yang terkandung dalam al-Quran contohnya. Teknik reframing
juga digunakan di bawah strategi ini untuk membantu klien berfikir dari perspektif yang
berbeza agar beroleh kekuatan.

Huruf P dalam SPIRIT bermaksud prayer atau berdoa. Dalam banyak-banyak


strategi yang dicadangkan, strategi berdoa inilah yang paling hangat diperdebatkan. Ada
pihak yang mengatakan berdoa sepatutnya tidak berlaku dalam sesi kaunseling kerana
tindakan ini melibatkan isu etika. Walau bagaimanapun, terdapat juga pandangan yang
menyatakan terdapat situasi dan ketika yang sesuai untuk berdoa dalam sesi. Kekerapan
kaunselor mendoakan klien juga dibincangkan dalam model ini. Penerimaan secara
berterusan terhadap isu berdoa biasanya berlaku kepada kaunselor yang berpegang
kepada agama. Model ini menjelaskan terdapat kebaikan yang tersendiri kepada klien
dan juga kaunselor dalam mengaplikasikan berdoa di dalam sesi.

Huruf I dalam SPIRIT bermaksud interpretation of sacred texts atau tafsiran


kitab suci. Teknik ini menyatakan bahawa kitab suci boleh dijadikan sumber inspirasi
dan bimbingan dalam menghadapi situasi yang sukar dalam kehidupan. Terdapat
sebelas teknik yang dicadangkan dalam model ini iaitu; (i) Dengan menyebut petikan
ayat dan mentafsirkan nya secara tidak langsung merujuk kepada situasi yang dialami
oleh klien dengan ayat-ayat yang berkaitan; (ii) Membincangkan kisah yang diceritakan
dalam kitab suci; (iii) Mencabar kepercayaan klien; (iv) Kandungan kitab suci sebagai
tambahan dan gabungan dalam penggunaan teknik Cognitive Behavior Therapy (CBT);
(v) Menggalakkan klien untuk membaca kitab suci; (vi) Mentadabbur dan menghafal
ayat-ayat suci; (vii) Kitab suci dijadikan sebagai pemerhati ketiga dalam
mengkonsepsikan permasalahan klien; (viii) Menggunakan ayat-ayat suci sebagai
ensiklopedia kehidupan; (ix) Bertanyakan soalan Socratic; (x) Menggunakan
pendekatan naratif; dan (xi) Intervensi melalui integrasi tingkah laku.
88

Huruf R dalam SPIRIT bermaksud rituals atau amal ibadat. Strategi ini
melibatkan amalan-amalan keagamaan yang berkaitan dengan situasi klien. Huruf I
dalam SPIRIT bermaksud imagery atau imageri. Dalam model integrasi eksplisit
membantu klien membayangkan imej-imej positif. Terdapat dua teknik imageri iaitu
imageri berpandu dan imageri untuk mendapat celik akal spiritual. Huruf T dalam
SPIRIT bermaksud transgression relief iaitu kelegaan dari rasa berdosa. Klien yang
datang mendapatkan perkhidmatan kaunseling kerana perasaan sakit dan terluka
disebabkan oleh seorang yang lain. Strategi ini dapat membantu untuk merawat saki-
baki kesakitan perasaan yang dialami. Model ini menekankan tentang meminta dan
memberi kemaafan.

Dalam meneroka strategi kaunselor mengintegrasikan pendekatan spiritual dan


agama, pengkaji mendapati pengkaji-pengkaji terdahulu banyak merujuk kepada Model
Tan (Aponte 2002; Francis 2009; Mazidah Mohd Dagang, Raja Zirwatul & Azlina
2015; Pargament 2007). Walau bagaimanapun, model Tan telah disusun secara
komprehensif oleh Horton-Parker dan Fawcett (2010) dengan memperkenalkan Model
FACE-SPIRIT. Oleh itu, dalam kajian ini pengkaji menggunakan model Tan 1996 dan
Model FACE-SPIRIT sebagai kerangka model strategi dalam mengintegrasikan
spiritual dan agama memandangkan model ini sesuai digunakan dan diaplikasikan oleh
budaya dan masyarakat Islam di Malaysia.

2.11 KOMPETENSI KAUNSELOR MENANGANI ISU SPIRITUAL DAN AGAMA


DALAM KAUNSELING

Di Amerika Syarikat, Association for Spiritual, Ethical and Religious Values in


Counseling (ASERVIC) diwujudkan di bawah American Counseling Association yang
menguruskan perkara berkaitan garis panduan penggunaan spiritual dan keagamaan
dalam kaunseling. Pada tahun 2009, ASERVIC telah mengemukakan satu set garis
panduan kompetensi kaunselor mengintegrasikan pendekatan spiritual dan agama
dalam amalan kaunseling keluarga dan perkahwinan. ASERVIC telah menyenaraikan
14 kompetensi yang merentasi enam faktor utama dan yang perlu dimiliki oleh seorang
kaunselor menangani isu spiritual dan agama dalam kaunseling (Cashwell & Watts
2010). Jadual 2.2 menerangkan kompetensi kaunselor dalam menangani isu spiritual
dan agama dalam kaunseling menurut faktor-faktor berikut:
89

Jadual 2.2 Kompetensi kaunselor dalam menangani isu spiritual dan agama dalam
kaunseling
Faktor Kompetensi Kaunselor
Budaya dan  Kaunselor profesional boleh menerangkan persamaan dan perbezaan antara
Pandangan Dunia spiritual dan agama, termasuk kepercayaan asas pelbagai sistem spiritual,
agama-agama utama dunia, fahaman agnostik dan atheism.
 Kaunselor profesional mengakui bahawa kepercayaan klien tentang spiritual
dan agama mempengaruhi pandangan dunia dan fungsi psikososial.
Kesedaran  Kaunselor profesional secara aktif meneroka sikap, kepercayaan, dan nilai-
Kendiri nilai dirinya sendiri tentang spiritual dan agama.
Kaunselor  Kaunselor profesional berterusan menilai pengaruh kepercayaan mereka
sendiri terhadap spiritual dan/atau agama dan nilai-nilai kepada klien dan
proses kaunseling.
 Kaunselor profesional boleh mengenal pasti had dan batasan beliau
memahami perspektif spiritual dan keagamaan klien dan berkebolehan
merujuk sekiranya perlu.
Perkembangan  Kaunselor profesional boleh menggambarkan dan menggunakan pelbagai
Spiritual dan model pembangunan spiritual dan agama dan hubungannya kepada
Agama Manusia pembangunan manusia.

Komunikasi  Kaunselor profesional boleh memberi respons secara menerima dan peka
dalam berkomunikasi dengan klien berkaitan isu spiritual dan agama
 Kaunselor profesional menggunakan konsep spiritual dan agama yang selaras
dengan perspektif klien dan yang boleh diterima oleh klien.
 Kaunselor profesional dapat mengenali tema spiritual dan agama dalam
komunikasi klien dan mampu menanganinya bersama klien apabila mereka
memerlukan terapeutik yang berkaitan.
Penilaian  Semasa proses pengambilan dan penilaian, kaunselor profesional berusaha
untuk memahami perspektif spiritual dan/atau agama klien dengan
mengumpul maklumat daripada klien dan/atau sumber lain.
Diagnosis dan  Apabila membuat diagnosis, kaunselor profesional mengakui bahawa
Rawatan perspektif spiritual dan keagamaan klien boleh a) meningkatkan
kesejahteraan; b) menyumbang kepada masalah klien; dan/atau c)
memburukkan lagi simptom.
 Kaunselor profesional menetapkan matlamat yang konsisten dengan spiritual
dengan dan agama perspektif klien.
 Kaunselor profesional mampu a) mengubah suai teknik terapeutik untuk
memasukkan perspektif spiritual dan/atau agama klien, dan b) menggunakan
amalan spiritual dan agama sebagai teknik apabila sesuai dan boleh diterima
oleh pandangan klien.
 Kaunselor profesional secara terapeutik menggunakan teori dan pengkajian
semasa bagi menyokong termasuklah perspektif dan amalan spiritual dan
keagamaan klien.

Sumber : Cashwell & Watts 2010

a. Faktor budaya dan pandangan dunia

Budaya digambarkan sebagai cara hidup yang meliputi suatu sistem kepercayaan, nilai,
sikap, makna, motif, tingkah laku, hasil keluaran dan juga persepsi sejagat. Setiap
bahagian ini dibentuk oleh budaya dalam keluarga, tradisi bangsa dan pengaruh
persekitaran. Kepercayaan spiritual dan agama juga merupakan aspek budaya yang
90

menyumbang kepada cara kehidupan seseorang individu (Robertson & Young 2011).
Isu budaya merupakan isu yang penting dan mencabar dalam kaunseling keluarga.
Peranan yang dimainkan oleh budaya semakin diiktiraf dalam semua aspek kaunseling,
daripada penaksiran sehinggalah kepada intervensi. Kaunselor profesional kadang kala
kurang bersedia untuk mengendalikan khidmat kaunseling ke atas populasi dalam
kepelbagaian budaya. Kaunselor keluarga yang mengetepikan aspek kepelbagaian
budaya klien biasanya akan menginterpretasikan tingkah laku klien dengan kurang
tepat. Tingkah laku yang sama dalam kepelbagaian budaya berkemungkinan
mempunyai interpretasi yang berbeza, juga sebaliknya tingkah laku yang berbeza
berkemungkinan mempunyai interpretasi yang sama (Rosnah Ismail 2014b).

Di bawah faktor budaya dan pandangan dunia ASERVIC menyenaraikan dua


kompetensi iaitu yang pertama kaunselor boleh menerangkan persamaan dan perbezaan
antara spiritual dan agama, termasuk kepercayaan asas pelbagai sistem spiritual, agama-
agama utama dunia, fahaman agnostik dan ateisme (Robertson & Young 2011). Dalam
mengaplikasikan kompetensi ini di Malaysia, kaunselor sebolehnya mampu
menerangkan maksud spiritual dan agama, menyatakan persamaan serta dapat
membezakan antara kedua-dua konsep ini. Kaunselor juga mengetahui secara asasnya
agama-agama yang dianuti oleh masyarakat Malaysia seperti agama Islam, Buddha,
Hindu, Kristian, Sikh dan agama-agama masyarakat setempat.

Kompetensi yang kedua adalah kaunselor mengakui bahawa kepercayaan atau


ketidakpercayaan klien tentang spiritual dan agama mempengaruhi pandangan klien
terhadap dunia. Kepercayaan ini juga mempengaruhi bagaimana klien membuat
persepsi dan memberi makna terhadap sesuatu perkara dalam kehidupannya. Keadaan
ini mempengaruhi fungsi psikososial klien terhadap hubungannya dengan persekitaran
(Wiggins 2011).

b. Faktor kesedaran kendiri kaunselor

Kaunselor sewajarnya menyedari halangan-halangan psikologi dan sejarah peribadinya


yang menghalang daripada dapat memahami keunikan situasi klien. Apabila kaunselor
memahami bagaimana perspektif peribadinya memberi pengaruh kepada perhubungan
kaunseling, beliau dapat mengawal diri daripada berlakunya bias dan perasaan negatif
91

mengenai perbezaan pandangan dan persepsi yang wujud di antara beliau dan klien.
Kaunselor juga dapat menyedari keperluan ketika diperlukan merujuk klien kepada
mana-mana pihak agama yang tertentu yang mana diperlukan oleh klien pada ketika itu
(Robertson & Young 2011).

Di bawah faktor kesedaran kendiri kaunselor, ASERVIC mencadangkan tiga


kompetensi iaitu; (i) Kaunselor secara aktif meneroka sikapnya sendiri, kepercayaan,
dan nilai-nilai tentang spiritual dan agama; (ii) kaunselor berterusan menilai pengaruh
kepercayaan mereka sendiri terhadap spiritual dan agama dan nilai-nilai kepada klien
dan proses kaunseling; dan (iii) kaunselor boleh mengenal pasti had dan batasan semasa
memahami perspektif spiritual dan keagamaan klien secara mendalam, mengetahui
sumber rujukan keagamaan dan spiritualiti, termasuk ketua agama, yang boleh menjadi
ruang untuk berunding dan merujuk (Hagedorn & Moorhead 2011).

c. Faktor perkembangan spiritual dan agama manusia

Aspek yang mendasari bidang kaunseling adalah teori perkembangan manusia.


Perkembangan manusia melalui beberapa peringkat dan bidang tertentu seperti
perkembangan ego, perkembangan moral, perkembangan kognitif dan begitu juga
dengan perkembangan spiritual. Adalah penting untuk kaunselor memahami
perhubungan antara perkembangan ini dalam proses terapeutik agar dapat memahami
proses perkembangan agama dan spiritual klien berkembang sejajar dengan
perkembangan kognitif, emosi dan tingkah laku seseorang itu (Robertson & Young
2011).

Fowler (1991) membangunkan model perkembangan spiritual dan agama


kepada enam peringkat yang berasaskan teori pembangunan kognitif. Menurutnya
sebelum peringkat pertama, kanak-kanak mengalami keadaan primitif yang tidak dapat
membezakan iman. Peringkat selepas itu ialah; (i) kanak-kanak berumur 3-7 tahun
menunjukkan keimanan mereka melalui tingkah laku peniruan yang diperhatikan; (ii)
iman mitos-literal iaitu kanak-kanak mengintegrasikan adat resam, nilai dan
kepercayaan daripada budaya mereka sebagai panduan yang literal; (iii) kanak-kanak
mula melihat dunia melalui perspektif orang lain; (iv) iman reflektif-individual iaitu
individu yang berada di akhir usia remaja dan awal dewasa melalui peringkat transisi
92

peralihan daripada peringkat 3 ke 4. Berlaku konflik dalaman dalam mencari identiti;


(v) iman penghubung iaitu mereka yang berusia awal 30an membina keimanan,
mewujudkan bahasa tersendiri dalam menentukan keimanan dan maknanya. Manakala,
(vi) iman sejagat iaitu individu berupaya mengetahui secara mendalam merangkumi
aras intuitif terhadap kasih sayang sejagat, belas kasihan, keimanan, kematian dan
keterbatasan dalam kewujudan manusia.

Genia (1995) menyenaraikan lima fasa perkembangan spiritual klien iaitu


peringkat iman egosentrik iaitu peringkat iman yang tidak stabil dan menggunakan
agama dalam menonjolkan emosi. Peringkat kedua ialah iman dogmatik yang
berorientasikan ke arah mendapat kasih dan perkenan Tuhan. Peringkat ketiga adalah
iman peralihan iaitu mereka yang menyemak semula pegangan agama dan mula
merangka semula nilai-nilai spiritual dan cita-cita mereka. Peringkat bina semula iman
adalah golongan yang komited terhadap agama dan iman yang dipilih memberi makna,
mempunyai tujuan dan mencapai kepuasan rohani. Fasa yang kelima adalah peringkat
melangkaui iman yang tidak ramai individu dapat mencapai tahap spiritual ini. Pada
fasa ini, ketaatan individu yang luar biasa, tidak mementingkan diri sendiri dan sentiasa
berbuat kebaikan kepada masyarakat, agama dan kepada Tuhan.

Namun, dalam Islam perkembangan spiritual dan agama individu tidak dilihat
menerusi perkembangan fizikal mahupun kognitif seperti mana pandangan Barat. Nik
Rosila Nik Yaacob (2012) perkembangan spiritual dan agama berdasarkan tiga prinsip
iaitu agama Islam, iman dan ihsan. Agama Islam adalah merujuk kepada kepercayaan
dan keyakinan bahawa Allah s.w.t. adalah pencipta sekalian alam dan berhak disembah.
Islam juga merujuk kepada al-Din yang bermaksud suatu cara hidup yang merangkumi
seluruh kehidupan manusia dari aspek perhubungan dengan Allah dan makhluk
(manusia dan seluruh isi alam ini). Prinsip kedua ialah iman iaitu yang membenarkan
dengan hati dan melaksanakan segala suruhan Allah dan Rasulullah. Keimanan yang
sempurna bagi seorang Islam adalah keyakinan yang kukuh dengan tiada keraguan
terhadap kepercayaannya kepada agama. Prinsip yang ketiga adalah ihsan yang
bermaksud memberi manfaat dan kebaikan untuk orang lain. Mereka melakukan
sesuatu perkara dengan ikhlas semata-mata kerana Allah. Islam, iman dan ihsan
merupakan tiga prinsip asas yang dapat menjelaskan perkembangan spiritual dan agama
93

dalam Islam. Oleh itu dalam Islam tidak menilai perkembangan iman seseorang
individu berdasarkan kognitif.

d. Faktor komunikasi

Kaunselor perlu berkomunikasi dengan klien secara berkesan semasa berinteraksi dan
membincangkan elemen spiritual dan agama dalam mengendalikan kaunseling. Untuk
mengelakkan memberi persepsi yang bias dalam menilai kes, kaunselor memerlukan
kerangka dalam pelbagai dimensi yang merangkumi semua secara holistik dan
integratif. Kaunselor perlu bijak dalam memberi respons terhadap komunikasi klien
kerana ketidakyakinan kaunselor berkomunikasi menjadi penghalang dalam
mengintegrasikan spiritual dan agama.

ASERVIC 2009 menyenaraikan tiga bentuk kompetensi di bawah faktor


komunikasi iaitu; (i) kaunselor memberi respons secara menerima dan peka kepada isu
spiritual dan agama dalam berkomunikasi dengan klien; (ii) kaunselor menggunakan
konsep spiritual dan agama yang selaras dengan perspektif spiritual dan keagamaan
klien dan yang boleh diterima oleh klien; dan (iii) kaunselor dapat mengenali tema
spiritual dan agama dalam komunikasi klien dan mampu menanganinya bersama klien
apabila mereka memerlukan terapeutik berkaitan (Curry & Simpson 2011).

e. Faktor penilaian

Kaunselor boleh menggunakan beberapa kaedah dalam menjalankan penilaian bagi


menentukan klien yang memerlukan intervensi secara integrasi spiritual dan agama.
Klien boleh menggunakan kaedah temu bual awal, pemerhatian (penampilan dan
pemilihan perkataan oleh klien), temu bual secara terus, spiritual genogram, spiritual
ecomap, terapi pasir, teknik bermain muzik dan melengkapkan ayat. Terdapat juga
kaedah penggunaan alat ukur seperti Spiritual Assessment Scale dan Spiritual Health
Inventory (Cashwell & Young 2011a). ASERVIC 2009 menggariskan kompetensi
kaunselor di bawah faktor penilaian adalah semasa proses pengambilan dan penilaian,
kaunselor berusaha untuk memahami perspektif spiritual dan agama klien dengan
mengumpul maklumat daripada klien atau sumber lain.
94

f. Faktor diagnosis dan rawatan

Walaupun tidak semua kaunselor berada dalam setting yang perlu melakukan diagnosis
kepada klien secara formal tetapi sekurang-kurangnya kaunselor mempunyai
pengetahuan berkaitan rawatan dan rujukan susulan terhadap klien yang memerlukan.
ASERVIC 2009 menggariskan empat kompetensi di bawah faktor diagnosis dan
rawatan. Kompetensi tersebut ialah; (i) apabila membuat diagnosis, kaunselor
mengakui bahawa perspektif spiritual dan keagamaan klien boleh a) meningkatkan
kesejahteraan; b) menyumbang kepada masalah klien; dan/atau c) memburukkan lagi
simptom; (ii) kaunselor menetapkan matlamat spiritual dan/atau agama yang konsisten
mengikut perspektif klien; (iii) kaunselor mampu a) mengubahsuai teknik yang
terapeutik untuk memasukkan perspektif spiritual dan agama klien, dan b)
menggunakan amalan spiritual dan agama sebagai teknik apabila sesuai dan boleh
diterima oleh pandangan klien; (iv) kaunselor secara terapeutik menggunakan teori dan
pengkajian semasa bagi menyokong termasuklah perspektif dan amalan spiritual
dan/atau keagamaan klien (Cashwell & Young 2011b).

2.12 RUMUSAN

Sorotan kajian dalam bab ini mengutarakan kajian integrasi spiritual dan agama serta
kompetensi kaunselor dalam mengintegrasikan spiritual dan agama dalam amalan
kaunseling keluarga dan perkahwinan. Bab ini juga membincangkan teori-teori
kaunseling keluarga dan perkahwinan serta teknik dan kemahiran yang digunakan
dalam mengintegrasikan pendekatan spiritual dan agama ke dalam amalan kaunseling.
Kajian-kajian lepas yang diketengahkan bertujuan untuk memberi gambaran
menyeluruh dan kriteria yang berkaitan dengannya. Melalui perbincangan bab ini
pengkaji menggunakan kesemua hasil kajian yang diperoleh berdasarkan kajian lepas
untuk membina tema-tema dalam kajian yang dijalankan ini.
95

BAB III

METODOLOGI KAJIAN

3.1 PENDAHULUAN

Bab ini membincangkan falsafah dan paradigma kajian, metodologi dan reka bentuk
kajian yang dipilih, prosedur pengumpulan data, teknik pengumpulan data, pemilihan
peserta kajian, proses kesahan dan kebolehpercayaan kajian, etika kajian dan kaedah
penganalisisan data yang dijalankan. Kajian kualitatif ini menggunakan reka bentuk
kajian kes iaitu single-case designs embedded unit (Yin 2014) manakala teknik kutipan
data melalui tiga kaedah iaitu temu bual secara mendalam, analisis dokumen dan
pemerhatian rakaman video. Definisi teknik-teknik ini dan rasional kepada
pemilihannya dibincangkan secara terperinci. Data kualitatif yang diperoleh melalui
tiga kaedah tersebut dianalisis mengikut konsep-konsep yang ditemui daripada
timbunan data yang dikutip. Data mentah ini kemudiannya diproses mengikut sistem
pengekodan yang dilakukan iaitu mengikut kategori-kategori yang dihasilkan daripada
gabungan konsep-konsep yang telah ditemui seterusnya membentuk tema-tema yang
disintesiskan.

Penerangan berkaitan kesahan dan kebolehpercayaan data yang dikutip turut


dibincangkan dari pelbagai aspek seperti trustworthiness, teknik jejak audit, triangulasi,
semakan peserta (member checks), penelitian jangka panjang, penelitian rakan sebaya
(peer review), kolaborasi dengan peserta, refleksiviti pengkaji dan teknik pengesahan
pakar (interrater reliability). Model yang diperoleh dibincangkan dengan berpandukan
kerangka konseptual kajian dalam Bab I dan maklumat kajian kepustakaan. Namun
begitu, pengkaji berlapang dada dan bersikap terbuka terhadap penemuan-penemuan
kategori baru yang sebelum ini tidak terdapat dalam kerangka konseptual dan dalam
ulasan kepustakaan.
96

3.2 FALSAFAH DAN PARADIGMA KAJIAN

Proses reka bentuk sesuatu kajian bermula dengan andaian-andaian falsafah yang
mendorong pengkaji membuat keputusan untuk menjalankan kaedah kajian sama ada
secara kuantitatif atau kualitatif. Secara signifikannya, definisi falsafah penyelidikan
dilakukan pada tahap awal membina reka bentuk kajian sebagai titik permulaan kepada
suatu pendekatan kajian yang sesuai, strategi kajian, masa yang diambil dan metodologi
pengumpulan data kajian (Creswell 2007). Andaian falsafah utama yang menjadi asas
kajian kualitatif adalah pandangan yang menjelaskan sesuatu realiti itu dibina oleh
individu semasa berinteraksi dengan dunia sosial mereka (Merriam 2009). Terdapat
beberapa falsafah dalam kajian seperti postpositivism, konstruktivis, feminism, etnik,
marxism dan kajian kebudayaan (Denzin & Lincoln 1994). Manakala lima andaian
paradigma kajian seperti ontologi, epistemologi, aksiologi, retorika dan metodologi
membantu penyelidik dalam menetapkan matlamat dan hala tuju ke atas kajian yang
dilakukan (Creswell 2007).

Falsafah dan andaian-andaian tersebut telah membentuk lima fasa dalam proses
penyelidikan kualitatif iaitu; Fasa pertama, pengkaji sebagai subjek multi-budaya; Fasa
ke-2, paradigma; Fasa ke-3, strategi penyelidikan, Fasa ke-4, kaedah pengumpulan dan
menganalisis data; dan Fasa ke-5, seni menginterpretasi dan mempersembahkan data.
Kajian ini menggunakan perspektif postpositivism, konstruktivis, paradigma interpretif
dan salah satu kriteria dalam falsafah feminism iaitu refleksiviti dalam mencari
kefahaman berkaitan integrasi spiritual dan agama dalam menangani kes-kes
kaunseling keluarga dan perkahwinan. Pemahaman ini adalah hasil dari interpretasi data
yang diperoleh melalui kaedah temu bual, dokumen dan pemerhatian rakaman video
(Denzin & Lincoln 1994). Jadual 3.1 menunjukkan proses kajian dan paradigma yang
dijalankan dalam kajian ini.

Jadual 3.1 Proses kajian

Fasa Proses Kajian Kriteria


Kajian
Fasa 1 Penyelidik sebagai subjek Sejarah dan latar belakang
multi-budaya pengkaji
Fasa 2 Paradigma
Postpositivism Kesahan dalaman dan luaran
bersambung...
97

...sambungan
Konstruktivis Trustworthiness, kredibiliti,
kebolehpindahan, kebolehsahan
Feminism Refleksiviti
Fasa 3 Strategi penyelidikan Reka bentuk kajian kes
Fasa 4 Kaedah pengumpulan dan Temu bual mendalam,
menganalisis data dokumen analisis, pemerhatian
rakaman video
Fasa 5 Seni persembahan data Laporan dapatan kajian hasil
proses pengekodan dan
penghasilan tema

Sumber : Denzin & Lincoln 1994

3.3 REKA BENTUK KAJIAN

Kajian kualitatif menggunakan reka bentuk kajian kes merupakan suatu kajian
penerokaan mendalam yang dilakukan kepada suatu sistem yang terbatas seperti
aktiviti, peristiwa, proses atau individu berdasarkan kutipan data secara meluas
(Creswell 2014a). Sistem yang terbatas pula merujuk kepada sempadan antara kes dan
persekitarannya serta bahagian-bahagian yang berfungsi dalam kes atau sistem tersebut.
Boleh jadi ia suatu sempadan masa atau ruang yang merujuk kepada suatu proses yang
berjalan selama beberapa tempoh, manakala sempadan ruang bermakna sesuatu yang
berlaku dalam persekitaran tertentu. Menurut Yin (2014) pula kajian kes merupakan
reka bentuk kajian yang sesuai untuk menjawab sesuatu persoalan tentang ‘bagaimana’
dan ‘mengapa’ berlakunya sesuatu fenomena yang dikaji. Flick (2009) menerangkan
dalam kajian kes, maklumat yang dikumpulkan mungkin mengenai seseorang individu,
organisasi dan situasi yang mana tingkah laku yang tidak dijangkakan atau tidak jelas
dijadikan sebagai fokus kajian serta matlamat kajian kes bagi mendapatkan gambaran
yang tepat atau penyusunan semula sesuatu kes.

Kajian kes ini digunakan untuk meneroka dengan lebih mendalam kompetensi
dan strategi kaunselor dalam mengintegrasikan pendekatan spiritual dan agama dalam
amalan kaunseling (Liamputtong 2014) iaitu dalam konteks kajian ini ‘bagaimana’
kompetensi dan strategi pengamal kaunseling keluarga dan perkahwinan
mengintegrasikan spiritual dan agama dalam kes kaunseling dan ‘mengapa’ pengamal
cenderung menggunakan satu-satu strategi integrasi sama ada secara implisit atau
secara eksplisit. Pemilihan terhadap reka bentuk kajian ini juga mengambil kira saranan
98

Yazan (2015) iaitu bagi mendapatkan maklumat yang lebih mendalam dengan
menghasilkan suatu dapatan yang baharu memerlukan strategi penyelidikan melalui
kajian kes. Oleh itu, pengkaji memilih reka bentuk kajian kes secara kualitatif ini untuk
meneroka kompetensi kaunselor, meneroka strategi integrasi yang digunakan dan
meneroka kecenderungan kaunselor memilih satu-satu strategi dalam mengintegrasikan
pendekatan spiritual dan agama dalam mengendalikan kes-kes kaunseling keluarga dan
perkahwinan di Malaysia (Marohaini Yusoff 2013; Merriam 2009).

Kajian kes ini menggunakan single-case designs embedded unit iaitu mengkaji
satu kes yang terdiri daripada dua unit analisis kajian (Yin 2014). Dalam kajian kes ini,
kaunselor atau pengamal kaunseling keluarga dan perkahwinan adalah kes yang dikaji
manakala unit analisis ialah; (i) kompetensi kaunselor, dan (ii) strategi integrasi
pendekatan spiritual dan agama yang digunakan oleh kaunselor dalam
mengintegrasikan pendekatan spiritual dan agama dalam kaunseling. Justeru, pengkaji
telah memilih tiga buah pusat kaunseling yang menjalankan perkhidmatan kaunseling
keluarga dan perkahwinan iaitu di PK MAINS, JKM dan LPPKN. Pusat-pusat
kaunseling ini memberi perkhidmatan kaunseling keluarga dan perkahwinan kepada
masyarakat dan komuniti yang berada di sekitar lokasi tersebut yang terdiri daripada
pelbagai jenis klien berdasarkan teras dan sasaran perkhidmatan agensi pusat-pusat
kaunseling tersebut.

Sehingga kini masih tiada lagi kajian yang dilakukan bagi mendapatkan
gambaran yang sebenar dan tepat tentang kompetensi dan strategi kaunselor dalam
mengintegrasikan pendekatan spiritual dan agama dalam kes kaunseling keluarga dan
perkahwinan. Terdapat kajian integrasi spiritual dan agama dalam kaunseling individu
yang pernah dijalankan oleh Mazidah Mohd Dagang, Raja Zirwatul Aida dan Azlina
(2015) mendapati integrasi spiritual dan agama kaunselor berada pada tahap sederhana
dan kaunselor cenderung menggunakan integrasi secara implisit. Namun, kajian
tersebut yang menggunakan kaedah kuantitatif agak terbatas dalam menjelaskan secara
lebih mendalam bagaimana kompetensi kaunselor dan kecenderungan kaunselor
mengintegrasikan pendekatan spiritual dan agama secara implisit. Keadaan ini
menimbulkan persoalan bagaimana gambaran yang jelas berkaitan kompetensi dan
strategi kaunselor mengintegrasikan spiritual dan agama dalam kaunseling.
99

Pengkaji mendapati reka bentuk kajian kes merupakan suatu pendekatan yang
paling sesuai digunakan untuk memahami fenomena integrasi pendekatan spiritual dan
agama dalam menangani kes kaunseling keluarga dan perkahwinan di Malaysia.
Memandangkan kajian ini merupakan suatu bidang kajian yang masih baru di Malaysia,
pemilihan pendekatan ini juga bertujuan untuk menyumbang data secara lebih
mendalam. Oleh itu, tiga teknik pengumpulan data dijalankan dalam kajian ini iaitu
dengan kaedah temu bual secara mendalam, analisis bukti dokumen dan pemerhatian
menggunakan rakaman video. Ketiga-tiga teknik ini digunakan dalam membuat
triangulasi data bagi memastikan semua persoalan kajian dapat dijawab dengan baik
(Yin 2014).

3.4 TATACARA MENJALANKAN KAJIAN

Memandangkan prosedur pengumpulan data merupakan langkah yang sangat penting


dalam sesuatu kajian, pengkaji telah menyediakan rangka kerja mengikut carta alir
kajian untuk memudahkan pengkaji mengikuti prosedur perlaksanaan pengumpulan
data dengan lebih sistematik. Tiga orang pakar dalam penyelidikan kualitatif dan bidang
kaunseling spiritual dan agama telah membuat semakan dan pengesahan ke atas soalan
protokol temu bual. Pakar-pakar tersebut merupakan dua orang pensyarah daripada
universiti awam tempatan dan seorang pakar kaunseling di perkhidmatan awam. Setelah
mendapat pengesahan protokol temu bual seperti di Lampiran C, pengkaji menjalankan
kajian rintis terlebih dahulu ke atas dua orang peserta kajian untuk melihat respons agar
prosedur dan protokol kutipan data yang disediakan dalam kajian sebenar dapat
dimantapkan.

Pengkaji memastikan data dikutip daripada peserta kajian yang tempatnya


mudah dimasuki dan mempunyai rapport yang baik agar mereka dapat memberikan
data yang diperlukan (Creswell 2007). Seterusnya, pengkaji mendapatkan surat
kebenaran menjalankan kajian daripada lokasi yang dipilih. Dalam masa yang sama,
pengkaji menentukan peserta kajian melalui teknik pensampelan bertujuan berdasarkan
kriteria yang ditetapkan. Peserta kajian terdiri daripada enam orang kaunselor daripada
PK MAINS, lima orang kaunselor daripada JKM dan dua orang daripada LPPKN.
Jadual 3.2 menunjukkan ringkasan jumlah peserta mengikut lokasi kajian.
100

Jadual 3.2 Peserta kajian mengikut lokasi dan pusat kaunseling

Lokasi Kajian Jumlah Pusat Kaunseling Lelaki Perempuan Jumlah


PK MAINS 2 3 3 6
JKM 5 - 5 5
LPPKN 2 - 2 2
Jumlah 9 3 10 13

Sebelum temu bual mendalam dijalankan pengkaji telah memulakan ‘small talk’
bersama peserta kajian iaitu berbual perkara biasa seperti aktiviti harian, hobi dan
kegemaran. Pendekatan ini adalah untuk membina ‘rapport’ di antara pengkaji dengan
peserta kajian (Bogdan & Biklen 1998). ‘Rapport’ ini amat penting agar sepanjang
kajian dijalankan semua aktiviti pengumpulan data dapat dijalankan dengan lancar.
Pengkaji mengikut saranan Suseela (2013) yang mencadangkan proses temu bual ini
dijalankan secara dua fasa iaitu fasa pertama adalah membina hubungan rapat dan mesra
dengan mengemukakan soalan-soalan terbuka dan berkongsi idea. Dalam fasa ini juga,
pengkaji berkongsi bahan-bahan bacaan yang berkaitan pendekatan spiritual dan agama
dalam amalan kaunseling bagi tujuan meningkatkan kemesraan dan kesediaan peserta
kajian untuk memberi kerjasama kepada pengkaji.

Pengkaji mendapatkan persetujuan termaklum (informed consent) daripada


peserta secara lisan dan bertulis bertujuan memaklumkan kepada peserta bahawa kajian
yang dijalankan mengambil masa yang panjang dan melibatkan komitmen yang tinggi
daripada peserta (Norani Mohd. Salleh 2013) dan mereka berhak untuk menarik diri
daripada kajian sekiranya mereka ingin berbuat demikian (Ruhani Mat Min 2012).
Setelah peserta kajian benar-benar bersedia, pertemuan fasa kedua dijalankan dengan
menemu bual berpandukan protokol soalan yang telah disediakan. Temu bual secara
mendalam ini dijalankan terhadap 13 orang peserta kajian dalam beberapa sesi untuk
memastikan mencapai ketepuan data dan membolehkan kaedah triangulasi data
dilakukan. Semua perbualan dalam temu bual dirakam menggunakan alat perakam
Sony MP4 sebagai alat perakam utama, manakala rakaman sokongan dibuat dengan
menggunakan voice recording telefon pintar pengkaji. Sepanjang menjalankan sesi
temu bual, pengkaji membuat catatan terhadap perkara yang diperhatikan seperti
ekspresi wajah, gaya dan nada percakapan peserta kajian.
101

Pengkaji sentiasa berbincang berkenaan jadual kutipan data dari semasa ke


semasa agar peserta benar-benar bersedia pada hari yang ditetapkan. Pengkaji
memberikan penerangan berkaitan proses pengutipan data dijalankan termasuk
rakaman video sesi kaunseling dibuat berdasarkan persetujuan termaklum dengan
keluarga klien secara lisan dan juga bertulis. Rajah 3.1 menunjukkan aliran tatacara
kajian dijalankan.

Semakan protokol Mendapat Menganalisis data


temu bual oleh 3 pengesahan data NVIVO 11
orang pakar (Member checks) (Analisis tema)

Menentukan
Transkrip temu
peserta & lokasi Peer review
bual
kajian

Mendapatkan Merekodkan, mengutip data Interrater


kebenaran (temu bual, dokumen, reliability oleh
menjalankan rakaman video) 4 orang pakar
kajian

Menyusun jadual
Menjalankan kutipan data (temu Rumusan &
kajian rintis bual, dokumen & pelaporan
rakaman video) kajian

Rajah 3.1 Aliran tatacara menjalankan kajian

3.5 TEMPAT KAJIAN

Kajian ini melibatkan tiga buah pusat kaunseling yang dipilih iaitu terdiri daripada dua
buah pusat kaunseling di PK MAINS, lima buah pusat kaunseling di JKM dan dua buah
lagi di LPPKN. Manakala negeri yang terlibat adalah Wilayah Persekutuan, Kelantan,
Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan seperti yang ditunjukkan dalam
102

Jadual 3.3. Pemilihan ini berdasarkan kewujudan pusat-pusat kaunseling keluarga dan
perkahwinan serta latar belakang kaunselor yang memenuhi kriteria kajian.

Jadual 3.3 Peserta kajian mengikut lokasi dan negeri

Pusat Wilayah Kelantan Kedah Perlis Pulau Negeri Jumlah


Kaunseling Persekutuan Pinang Sembilan Peserta
PK MAINS 6 6
JKM 1 1 1 1 1 5
LPPKN 1 1 2
Jumlah 1 2 1 1 1 7 13

3.6 PEMILIHAN PESERTA KAJIAN

Pemilihan peserta kajian menggunakan kaedah pensampelan bertujuan untuk


mempelajari dan memahami fenomena yang dikaji (Creswell 2014a). Menurut Patton
(1990) tidak ada suatu peraturan tertentu bagi menentukan saiz peserta dalam kajian
temu bual. Kajian kualitatif perlu memfokuskan secara mendalam kepada bilangan
peserta yang kecil serta dipilih dengan tujuan untuk memperoleh kes yang kaya dengan
maklumat. Pengkaji membuat pemilihan peserta kajian berdasarkan kriteria yang
ditetapkan dalam konteks kajian ini dengan menggunakan kaedah pensampelan
bertujuan pada awal mendapatkan peserta kajian. Seterusnya, pengkaji menggunakan
teknik bebola salji dalam mengenal pasti peserta yang seterusnya iaitu melalui peserta
yang telah dipilih dalam kajian (Creswell 2007).

Dalam kajian ini, peserta dipilih dalam kalangan kaunselor yang memenuhi
kriteria kajian. Berpandukan pemilihan peserta kajian oleh pengkaji terdahulu iaitu
Norhayati Mohd Noor (2012) dan Swarnima Bhargava dan Sujata Sriram (2016),
pengkaji menetapkan lima kriteria pemilihan tersebut iaitu:

i) Kaunselor yang mempunyai latihan sekurang-kurangnya di peringkat


Ijazah Sarjana Muda dalam kaunseling.

ii) Kaunselor yang berdaftar dengan Lembaga Kaunselor Malaysia


(kaunselor berdaftar) dan pensijilan amalan yang sah.
103

iii) Kaunselor keluarga dan perkahwinan yang berpengalaman sekurang-


kurangnya 5 tahun mengendalikan kes kaunseling keluarga dan
perkahwinan.

iv) Kaunselor mengakui berpengalaman menggunakan pendekatan spiritual


dan agama dalam mengendalikan kes kaunseling keluarga dan
perkahwinan. (Pengakuan peserta diambil dan direkodkan semasa
pengkaji membuat temu bual awal iaitu sebelum temu bual protokol
dijalankan).

v) Kaunselor secara sukarela berminat untuk melibatkan diri dalam kajian


ini.

Di bawah ini disenaraikan dalam Jadual 3.4 profil peserta kajian yang dipilih
dalam kajian ini mengikut pusat kaunseling, jantina, umur, tahap pendidikan dan
tempoh pengalaman.

Jadual 3.4 Profil peserta kajian

Pusat Peserta Jantina Umur Tahap Tempoh


Kaunseling Kajian (Tahun) Pendidikan Pengalaman
Kaunseling (Tahun)
1 Lelaki 46 Sarjana 18
2 Perempuan 41 Sarjana 12
3 Lelaki 45 Sarjana 16
PK MAINS 4 Perempuan 39 Sarjana 11
5 Lelaki 38 Sarjana 12
6 Perempuan 39 Sarjana 11
7 Perempuan 41 Sarjana 15
8 Perempuan 36 Sarjana 11
JKM 9 Perempuan 32 Sarjana Muda 8
10 Perempuan 33 Sarjana 9
11 Perempuan 32 Sarjana Muda 8
LPPKN 12 Perempuan 40 Sarjana 16
13 Perempuan 38 Sarjana 16

3.7 KAEDAH PENGUMPULAN DATA

Kajian ini melibatkan beberapa instrumen iaitu protokol soalan temu bual, borang
refleksi kaunselor dan senarai semak borang pemerhatian rakaman video kaunseling
keluarga. Kesemua instrumen ini dibina sendiri oleh pengkaji berdasarkan kajian
104

literatur yang diperoleh dari buku-buku teks, jurnal dan tesis di dalam dan di luar negara
berkaitan integrasi spiritual dan agama dalam amalan kaunseling.

3.7.1 Kaedah temu bual secara mendalam

Sebelum kerja-kerja pengumpulan data temu bual dijalankan, pengkaji terlebih dahulu
melalui proses menyediakan protokol soalan temu bual seperti yang diperincikan di
bawah ini.

i. Protokol temu bual

Protokol temu bual adalah soalan yang dirangka untuk menemu bual pengamal
kaunseling keluarga dan perkahwinan yang menggunakan integrasi pendekatan spiritual
dan agama dalam mengendalikan kes-kes kaunseling keluarga dan perkahwinan. Untuk
mendapatkan data yang mencukupi bagi menjawab persoalan kajian, protokol temu
bual tersebut dibina berdasarkan dua sumber utama iaitu kompetensi menurut garis
panduan Association for Spiritual, Ethical and Religious Values in Counseling,
ASERVIC (Cashwell & Watts 2010) dan strategi integrasi pendekatan spiritual dan
agama yang berpandukan kepada Model FACE-SPIRIT (Horton-Parker & Fawcett
2010). Selain itu, sumber-sumber lain melalui pembacaan pengkaji seperti buku-buku
teks, jurnal dan tesis juga diambil kira dalam merangka soalan-soalan protokol. Soalan-
soalan tersebut dibahagikan kepada empat bahagian iaitu (i) soalan pembuka, (ii) soalan
transisi, (iii) soalan untuk menjawab persoalan kajian, (iv) soalan penutup. Soalan-
soalan tersebut seperti di Lampiran C.

Pengkaji menggunakan soalan pembuka sebagai mukadimah dalam memulakan


proses menyoal peserta kajian. Soalan-soalan pembuka adalah untuk mendapatkan data
demografi seperti status perkahwinan, latar belakang pendidikan, pengalaman, jenis kes
yang pernah dikendalikan, pegangan pendekatan dan pengetahuan umum berkaitan
konsep-konsep perkahwinan dan kekeluargaan. Oleh itu, pengkaji menyediakan empat
soalan pembuka, empat soalan transisi untuk meneroka pengetahuan kaunselor
berkaitan pendekatan spiritual dan agama dalam kaunseling. Tujuan soalan transisi ini
adalah untuk mendapatkan gambaran secara umum pengetahuan asas kaunselor
berkaitan kajian yang dijalankan.
105

Pengkaji memerlukan data yang mencukupi untuk menjawab setiap persoalan


kajian yang telah dibina. Bagi menjawab persoalan kajian yang pertama iaitu meneroka
bagaimana kompetensi kaunselor dalam mengintegrasikan pendekatan spiritual dan
agama, pengkaji telah merangka sebanyak 23 soalan berpandukan kompetensi
ASERVIC (Cashwell & Watts 2010) yang menyenaraikan 14 kompetensi kaunselor
berdasarkan enam faktor iaitu faktor budaya dan pandangan dunia; faktor kesedaran
kendiri kaunselor; faktor perkembangan spiritual manusia; faktor komunikasi; faktor
penilaian; dan faktor diagnosis dan rawatan.

Bagi menjawab persoalan kajian yang kedua iaitu meneroka strategi integrasi
yang digunakan oleh kaunselor, pengkaji menggunakan Model FACE-SPIRIT (Horton-
Parker & Fawcett 2010) sebagai rujukan utama dan panduan dalam menghasilkan
soalan utama. Soalan berbentuk semi-struktur ini digunakan sebagai soalan asas untuk
mengembangkan soalan-soalan yang lain yang bakal disoal berikutnya. Untuk tujuan
tersebut, pengkaji telah membina tujuh soalan temu bual. Pengkaji juga menggunakan
tujuh soalan ini sebagai asas dalam meneroka dengan lebih mendalam kecenderungan
kaunselor memilih sesuatu strategi sama ada secara implisit atau eksplisit untuk
menjawab persoalan kajian yang ketiga. Walaupun jumlah soalan ini sedikit berbanding
soalan untuk menjawab persoalan kajian yang pertama, namun soalan berbentuk semi-
struktur ini lebih berperanan sebagai soalan asas dan panduan untuk melakukan probing
kepada mana-mana soalan yang difikirkan penting dan sesuai bagi mendapatkan data
yang lebih kaya dan mendalam dengan maklumat.

Bagi menjawab persoalan kajian yang keempat iaitu dorongan dan cabaran
kaunselor dalam mengintegrasikan pendekatan spiritual dan agama, pengkaji telah
membina dua soalan secara semi-struktur sebagai panduan untuk meneroka persoalan
berikutnya. Sebagai penutup sesi temu bual, pengkaji membina empat soalan untuk
menyimpulkan pandangan serta harapan pengamal terhadap pengintegrasian spiritual
dan agama dalam amalan kaunseling keluarga dan perkahwinan.

Secara keseluruhannya, pengkaji telah membina sebanyak 43 item soalan


protokol untuk menjawab keseluruhan empat persoalan kajian. Jadual 3.5 di bawah ini
menunjukkan pecahan soalan protokol temu bual mengikut bilangan item.
106

Jadual 3.5 Jadual item protokol temu bual

Bil Pembahagian Soalan Protokol Temu Bual Bilangan Item


1 Soalan pembuka 4
2 Soalan transisi 4
3 Soalan menjawab persoalan kajian 1 23
4 Soalan menjawab persoalan kajian 2 & 3 7
5 Soalan menjawab persoalan kajian 4 2
6 Soalan penutup 3
Jumlah keseluruhan item 43

Protokol soalan temu bual ini telah disemak dan disahkan oleh tiga orang pakar
dalam penyelidikan kualitatif dan bidang kaunseling spiritual dan agama. Pakar-pakar
tersebut merupakan dua orang pensyarah daripada universiti awam tempatan dan
seorang pakar kaunseling di perkhidmatan awam seperti di Jadual 3.6. Setelah mendapat
pengesahan protokol temu bual, pengkaji telah menjalankan kajian rintis terlebih dahulu
ke atas dua orang peserta kajian untuk memperbaiki, melihat respons dan maklum balas
agar prosedur dan protokol kutipan data yang disediakan dalam kajian sebenar dapat
dimantapkan.

Jadual 3.6 Profil pakar pengesahan protokol soalan temu bual

Bil Profil Ringkas Institusi Bidang


1 Prof. Madya Dr. (Pensyarah Universiti) UPSI Kaunseling Terapi Realiti
2 Dr. (Pensyarah Universiti) UUM Kaunseling pendekatan agama
3 Dr. (Pegawai Psikologi) JPA Kaunseling Keluarga

ii. Temu bual secara mendalam

Dalam kebanyakan kajian kualitatif, data yang dikutip adalah melalui kaedah temu bual
(Merriam 2009). Kaedah ini juga merupakan kaedah pengumpulan data yang paling
biasa digunakan dalam penyelidikan sosial (Aini Hassan 2013) dan telah digunakan
oleh ramai penyelidik terdahulu (Liamputtong 2014). Tujuan utama temu bual secara
mendalam dilakukan adalah untuk mengenal pasti perspektif atau pandangan seseorang
tentang sesuatu perkara. Patton (1990) menjelaskan kaedah temu bual dilakukan untuk
mendapatkan data yang tidak dapat diperoleh melalui pemerhatian seperti perasaan dan
pemikiran seseorang dalam memberi sesuatu makna terhadap sesuatu perkara.
107

Berdasarkan penjelasan di atas, pengkaji mendapati kaedah temu bual secara


mendalam merupakan satu sumber penting bagi mendapatkan maklumat dalam
sesebuah kajian kes. Oleh itu, pengkaji menjadikan data yang diperoleh melalui kaedah
temu bual mendalam sebagai data utama dalam kajian ini. Soalan protokol temu bual
dibina berdasarkan analisis kajian kepustakaan dan berpandukan kompetensi ASERVIC
2009 dan Model FACE-SPIRIT. Protokol temu bual yang dibina telah disemak dan
disahkan oleh tiga orang pakar dalam bidang kajian.

Dalam kajian ini, sebanyak 21 rakaman temu bual telah dijalankan dalam dua
fasa kutipan data. Jumlah keseluruhan rakaman sesi temu bual adalah sebanyak 1,518
minit bersamaan 24 jam 30 minit. Jadual 3.7 di bawah menunjukkan jumlah masa
rakaman temu bual peserta kajian.

Jadual 3.7 Jumlah masa rakaman temu bual

Peserta Masa Temu Bual Masa Temu Bual Jumlah Masa


Kajian Fasa I Fasa II Temu Bual (minit)
(minit) (minit)
1 250 - 250
2 66 36 102
3 93 91 184
4 58 68 126
5 78 - 78
6 59 37 96
7 44 74 118
8 62 8 70
9 59 35 94
10 50 90 140
11 83 - 83
12 61 - 61
13 51 65 116
Jumlah masa temu bual (minit) 1,518
Jumlah keseluruhan temu bual (jam) 25 jam 30 minit

3.7.2 Kaedah analisis dokumen

Selain daripada kaedah temu bual mendalam, pengkaji menggunakan dokumen sebagai
satu lagi kaedah kutipan data. Menurut Suseela (2013), data daripada sebarang dokumen
menjadi salah satu sumber bukti dalam penyelidikan kajian kes. Dokumen boleh berupa
material seperti gambar, video, filem, memo, surat dan diari sebagai sumber maklumat
tambahan kepada data utama iaitu temu bual ataupun pemerhatian (Bogdan & Biklen
108

1998). Menurut O’Leary (2014), terdapat tiga jenis dokumen utama iaitu rekod awam,
dokumen peribadi dan bukti fizikal yang boleh dijadikan sebagai sumber dokumen yang
boleh dianalisis sebagai data.

Dalam kajian ini, pengkaji menggunakan laporan tahunan perkhidmatan


kaunseling, laporan sesi kaunseling, gambar-gambar di sekitar bilik kaunseling, gambar
aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh kaunselor dan borang refleksi kaunselor sebagai
dokumen untuk dianalisis bagi mendapatkan data. Bagi borang refleksi kaunselor,
pengkaji menyediakan satu borang yang berbentuk soalan ringkas yang mengandungi
lapan soalan diberikan kepada peserta kajian bagi mendapatkan data berkaitan
penggunaan pendekatan spiritual dan agama, cara mengintegrasikan pendekatan
tersebut, amalan keagamaan yang dijadikan sebagai intervensi, pandangan terhadap
kecekapan mengendalikan kaunseling menggunakan pendekatan integrasi spiritual dan
agama, dorongan dan halangan yang dihadapi, pengalaman mengendalikan kes-kes
kaunseling keluarga dan perkahwinan menggunakan integrasi spiritual dan agama dan
pandangan peribadi terhadap pendekatan spiritual dan agama dalam amalan kaunseling.

Pengkaji menggunakan soalan terbuka agar kaunselor bebas menjawab dan


menukilkan perkara-perkara yang difikirkan perlu dalam mengendalikan sesi
kaunseling menggunakan pendekatan integrasi tersebut. Borang refleksi kaunselor
seperti di Lampiran H digunakan sebagai dokumen yang dianalisis. Kajian ini
mengumpul sebanyak 50 dokumen daripada gambar, tiga set laporan sesi kaunseling
dan 13 set dokumen daripada borang refleksi kaunselor yang digunakan sebagai
dokumen analisis.

3.7.3 Kaedah pemerhatian rakaman video

Teknik pemerhatian dilakukan terhadap peserta kajian dalam setting persekitaran


semula jadi atau dalam keadaan sedia ada. Kajian ini menggunakan rakaman video
semasa peserta kajian menjalankan sesi kaunseling bersama dengan keluarga atau
pasangan. Pengkaji terlebih dahulu mendapatkan persetujuan termaklum (informed
consent) daripada peserta kajian dan klien sebelum memasang alat perakam video untuk
sesi kaunseling yang dijalankan. Penyataan persetujuan keluarga diperoleh agar
109

rakaman dapat dijalankan bagi tujuan penyelidikan dan dengan memelihara identiti
peribadi mereka mengikut etika kerahsiaan seperti di Lampiran F.

Rakaman video mempunyai beberapa kelebihan seperti bertindak sebagai satu


set mata kedua yang membolehkan pengkaji melihat dan mendengar sesi kaunseling
yang dijalankan. Pengkaji dapat membuat imbasan kembali sebagai cara untuk
mengingati dan mengkaji perincian butiran yang mungkin tertinggal semasa
pemerhatian sesi dilakukan, boleh menyokong dapatan ketika pemerhatian dilakukan
sekali gus boleh menjimatkan kos dan juga mengekalkan situasi asalnya (Marohaini
2013). Item-item yang dibina dalam borang pemerhatian rakaman video adalah
berdasarkan tema yang diperoleh melalui data temu bual. Pengkaji telah membahagikan
borang pemerhatian kepada dua bahagian; iaitu (i) Bahagian A yang mempunyai 39
item berkaitan kompetensi kaunselor; dan (ii) Bahagian B mempunyai 61 item berkaitan
strategi integrasi pendekatan spiritual dan agama. Pengkaji juga menyediakan lapan
ruang kosong untuk mencatatkan perkara-perkara yang diperhatikan semasa kaunselor
menjalankan sesi kaunseling. Sebagai maklumat tambahan, pengkaji memuatkan juga
kemahiran-kemahiran yang diperhatikan yang terdapat pada kaunselor seperti
kemahiran interpersonal dan kemahiran terapeutik. Borang pemerhatian rakaman video
adalah seperti di Lampiran G.

Namun, pengkaji berhadapan dengan cabaran dalam mendapatkan kebenaran


pihak klien untuk membuat rakaman video sesi kaunseling yang dijalankan.
Kebanyakan klien kurang bersedia dan enggan membenarkan rakaman tersebut
dilakukan atas alasan-alasan yang tertentu. Terdapat juga klien yang telah pun
menyatakan persetujuan tetapi tidak hadir pada tarikh dan masa seperti yang ditetapkan.
Dalam kajian ini pengkaji hanya berjaya merakamkan lima rakaman video sesi
kaunseling yang dijalankan oleh empat orang peserta iaitu PKK2, PKK8, PKK9 dan
PKK13.

Secara keseluruhannya, terdapat 92 set data yang terkumpul melalui kaedah


temu bual, dokumen (borang refleksi, gambar, laporan kaunseling) dan kaedah
pemerhatian rakaman video sesi kaunseling (borang pemerhatian rakaman video)
seperti yang ditunjukkan dalam Jadual 3.8.
110

Jadual 3.8 Pengumpulan data peserta kajian

Peserta Butiran
Kajian Temu Borang Rakaman Gambar Laporan Jumlah
bual Refleksi video Kaunseling
1 1 1 8 2 12
2 2 1 1 2 6
3 2 1 10 13
4 2 1 2 5
5 1 1 4 2
6 2 1 3 6
7 2 1 2 5
8 2 1 1 4 8
9 2 1 1 4 8
10 2 1 2 5
11 1 1 2 1 5
12 1 1 9 11
13 1 1 2 4
Jumlah 21 13 5 50 3 92

3.8 PROSES KESAHAN DAN KEBOLEHPERCAYAAN KAJIAN

Dalam pendekatan kualitatif, kesahan merujuk kepada kejujuran pengkaji semasa


proses mengutip data, menganalisis data dan akhir sekali menginterpretasikan data
dalam menjawab persoalan kajian (Bogdan & Biklen 1998; Creswell 2007; Miles,
Huberman & Saldana 2014) dan bagaimana dapatan kajian dapat dipadankan dengan
pasti ke atas realiti yang sebenar (Merriam 2009; Othman Lebar 2014). Pengkaji juga
merupakan instrumen utama yang boleh dipercayai dalam proses pengutipan data
(Creswell 2007). Kejujuran pengkaji dirujuk sebagai kesahan dalam konteks
penyelidikan kualitatif yang mengukur konstruk dalam objektif kajian tersebut.
Kejujuran pengkaji atau kesahan instrumen dipastikan dengan teknik refleksiviti
pengkaji, triangulasi dan jejak audit (Othman Lebar 2014). Aspek refleksiviti
menjelaskan bagaimana pengkaji membuat refleksi tentang latar belakang, falsafah
hidup, kebudayaan dan pengalamannya yang berperanan dalam membentuk interpretasi
terhadap kajian. Melalui kaedah ini pengkaji dapat menjelaskan dan melaporkan
pendiriannya, kepercayaan, nilai dan biasnya yang mungkin mempengaruhi kajian
(Creswell 2014b; Creswell & Miller 2000; Liamputtong 2014; Merriam 2009; Othman
Lebar 2014; Yin 2014).
111

Kebolehpercayaan pula merujuk kepada sejauh mana dapatan kajian boleh


diulang semula untuk memberikan hasil yang sama (Merriam 2009; Zanaton Hj Iksan,
Salasiah, Tengku Intan & Mohd Noor 2016). Kebolehpercayaan merupakan darjah
ketekalan data yang diperoleh dalam setiap kategori mempunyai kesamaan jika diambil
oleh pengkaji yang berbeza atau diambil oleh pengkaji yang sama di tempat yang
berbeza. Yin (2014) menyatakan matlamat kebolehpercayaan dalam kajian kes adalah
untuk meminimumkan kesalahan dan bias dalam kajian. Guba & Lincoln (1982)
mencadangkan empat kriteria yang membolehkan sesuatu kajian itu diuji dari segi
kualiti dan kebolehpercayaan (trustworthiness) iaitu, (i) kredibiliti, (ii)
kebolehpindahan (transferability), (iii) kebolehsandaran (dependability), dan (iv)
kebolehsahan (confirmability).

Kredibiliti adalah merujuk kepada kesahan dalaman iaitu kaedah yang


dijalankan dapat menggambarkan secara tepat dan benar terhadap fenomena yang dikaji
(Morrow 2005). Kebolehpindahan merujuk kepada perkara yang hampir sama dengan
konsep generalisasi (Morrow 2005) dalam kajian kuantitatif iaitu keperluan
menunjukkan dapatan kajian yang boleh diaplikasikan dalam setting yang berbeza
(Shenton 2004). Kebolehsandaran merujuk kepada kebolehpercayaan dapatan
menjangkaui masa, pengkaji dan teknik menganalisis sesuatu kajian (Morrow 2005).
Keadaan ini berkaitan dengan ketekalan instrumen iaitu pengkaji sendiri sebagai
instrumen utama yang memainkan peranan menyedari dan mengakui bahawa dunia
sosial yang sentiasa berubah (Othman Lebar 2014).

Kebolehsahan adalah berkait rapat dengan kebolehsandaran iaitu apabila data


mewakili pengalaman peserta kajian dan bukan dipengaruhi oleh bias mahupun agenda
pengkaji. Kebolehsahan berdasarkan kefahaman bahawa integriti kajian bergantung
kepada data yang diperoleh dan pengkaji harus mencatatkan data, memproses secara
analitikal segala dapatan dengan secukupnya supaya pembaca dapat mengesahkan
kecukupan dapatan tersebut (Othman Lebar 2014). Kebolehsahan dapat dilakukan
melalui teknik jejak audit (Morrow 2005; Shenton 2004), triangulasi dan persetujuan
antara pakar (Shenton 2004).
112

Yin (2009) mencadangkan agar pengkaji menggunakan taktik kesahan


merangkumi kesahan konstruk, kesahan dalaman dan kesahan luaran. Untuk mendapat
kesahan konstruk, teknik yang boleh digunakan melalui pelbagai sumber, membentuk
rangkaian bukti, menyemak laporan kajian dan pemeriksaan rakan sekerja. Kesahan
dalaman pula boleh diperoleh melalui teknik memadankan pola-pola, membina
penjelasan, melakukan analisis berterusan dan program model logik. Manakala kesahan
luaran boleh dilakukan dengan menggunakan replika dalam kajian pelbagai sumber.
Manakala Merriam (2009) pula mencadangkan enam kaedah menentukan kesahan
dalaman iaitu melalui proses; (i) triangulasi merupakan proses pengkaji menggunakan
pelbagai kaedah pungutan data untuk mengesahkan dapatan; (ii) member checks yang
melibatkan persetujuan dan pengesahan peserta kajian ke atas semakan data verbatim
temu bual serta interpretasi awal pembinaan tema; (iii) pemerhatian jangka panjang di
lapangan adalah menggambarkan pemerhatian yang berulang-ulang terhadap fenomena
yang sama bagi memastikan kesahan dapatan; (iv) pemeriksaan rakan sekerja; (v)
kolaborasi dengan peserta kajian; dan (vi) bias penyelidik iaitu penjelasan penyelidik
terhadap andaian, pandangan dunia dan orientasi teoretikal pengkaji terhadap kajian.

Pengkaji mengambil kira pandangan dan saranan kesemua bentuk sekolah


pemikiran yang dibincangkan di atas dalam menentukan kesahan dan kebolehpercayaan
ke atas data yang dikutip dan dianalisis. Oleh yang demikian itu bagi menentukan
kesahan dan kebolehpercayaan kajian ini, pengkaji menggunakan;

(i) Empat teknik trustworthiness yang dicadangkan oleh Guba dan Lincoln
(1982) iaitu kredibitili, kebolehpindahan, kebolehsandaran dan
kebolehsahan.

(ii) Enam kaedah penentuan kesahan oleh Merriam (2009) iaitu teknik jejak
audit, triangulasi, semakan peserta, pemerhatian jangka panjang,
penelitian rakan sekerja dan kolaborasi dengan peserta kajian.

(iii) Teknik refleksiviti pengkaji seperti yang dinyatakan oleh Creswell


(2014b).

(iv) Persetujuan antara pakar (interrater reliability) menurut saranan Marques


dan McCall (2005).
113

Pengkaji menerangkan perihal penentuan kesahan dan kebolehpercayaan


mengikut proses kajian yang dilakukan seperti berikut.

3.8.1 Teknik trustworthiness

Dalam menjalankan kajian kualitatif, pengkaji amat berhati-hati dan peka dalam setiap
kriteria pengujian bagi memelihara dan menjaga kualiti dan kebolehpercayaan kajian.
Teknik yang digunakan dalam kajian ini ditunjukkan seperti Jadual 3.9 berdasarkan
kriteria pengujian, prosedur bagi menentukan kesahan dan kebolehpercayaan dan
peringkat pelaksanaan kajian. Setiap satunya diterangkan seperti butiran berikut:

Jadual 3.9 Kesahan dan kebolehpercayaan kajian mengikut kriteria pengujian

Kriteria Pengujian Prosedur Kesahan dan Proses Kajian yang


Kebolehpercayaan Dilakukan
Kredibiliti Triangulasi Pengumpulan data
Semakan peserta Analisis data
Pemeriksaan rakan sekerja
Persetujuan antara pakar
Kebolehpindahan Huraian padat Analisis data
Kebolehsandaran Jejak audit Pengumpulan data
Refleksiviti Analisis data
Kebolehsahan Jejak audit Pengumpulan data
Persetujuan antara pakar Analisis data

i. Kredibiliti

Kredibiliti merupakan kaedah yang dijalankan bagi memastikan fenomena yang dikaji
digambarkan secara tepat dan benar. Pengkaji menggunakan teknik triangulasi,
semakan peserta, pemeriksaan rakan sekerja dan persetujuan antara pakar untuk
mendapatkan kredibiliti kajian. Dalam kajian ini, pengkaji menggunakan kaedah
triangulasi iaitu membandingkan data yang diperoleh daripada temu bual, dokumen
analisis dan pemerhatian rakaman video. Semakan peserta pula dilakukan dengan
memberikan satu salinan transkrip temu bual untuk tujuan semakan dan pengesahan.
Dengan cara ini peserta kajian dapat mengemukakan sebarang komen atau pindaan
sekiranya mendapati data tersebut berbeza dengan yang dimaksudkan oleh beliau.

Pemeriksaan rakan sekerja pula dilakukan oleh pengkaji dengan seorang


kaunselor yang berpengalaman dalam bidang kaunseling keluarga dan perkahwinan.
114

Rakan sekerja tersebut membantu memastikan nilai dan bias pengkaji tidak
mempengaruhi dapatan dalam memberi makna kajian. Kaedah yang terakhir bagi
memastikan kredibiliti kajian, pengkaji menggunakan persetujuan antara pakar bagi
mengesahkan kod, tema, sub-tema dan kategori yang dibina. Dengan adanya maklum
balas dan cadangan daripada pihak luar terhadap pendekatan dan analisis yang
dijalankan membolehkan pengkaji membuat penambahbaikan bagi mengukuhkan reka
bentuk dan analisis data kajian (Shenton 2004).

ii. Kebolehpindahan (transferability)

Kebolehpindahan adalah dapatan kajian yang dapat menunjukkan ia boleh


diaplikasikan dalam setting yang berbeza. Dalam kajian ini pengkaji mengemukakan
huraian yang padat bagi membolehkan penyelidik akan datang membuat pemindahan
dan mampu menilai sejauh mana kemungkinan pemindahan itu boleh dilakukan.
Huraian padat ini dipersembahkan dalam bentuk petikan daripada temu bual peserta dan
maklumat kontekstual yang digunakan dalam laporan dapatan kajian dilakukan oleh
pengkaji dalam Bab IV. Penggunaan huraian yang padat menggambarkan kerapian
sesuatu kajian. Oleh itu dalam kajian ini, penggunaan protokol temu bual yang
berbentuk semi-struktur membolehkan perincian diperoleh daripada penyataan peserta
dan disokong oleh maklumat yang diperoleh melalui pemerhatian rakaman video.

iii. Kebolehsandaran (dependability)

Kebolehsandaran adalah ketekalan instrumen termasuk pengkaji sebagai instrumen


utama, menjangkaui masa dan teknik menganalisis sesuatu kajian. Proses yang diperoleh
hasil dapatan kajian harus jelas dan boleh diulang sebanyak mungkin. Keadaan ini dapat
dicapai dengan berhati-hati meneliti reka bentuk kajian dan dengan cara menyimpan dan
menguruskan jejak audit, iaitu kronologi kajian yang terperinci tentang aktiviti kajian yang
merangkumi proses pengumpulan dan analisis data; tema, kategori, atau model yang
muncul. Jejak audit kemudiannya disemak oleh penyelia pengkaji (Akkerman et al. 2006;
Morrow 2005). Pengkaji juga menjelaskan kedudukan diri pengkaji melalui teknik
refleksiviti berkaitan andaian, kepercayaan, nilai dan bias yang mungkin berlaku yang boleh
mempengaruhi kajian ini.
115

iv. Kebolehsahan (confirmability)

Kebolehsahan adalah kebolehpercayaan antara pemerhati. Kebolehpercayaan data


boleh dilakukan melalui penyemakan panel hakim yang bebas dan berwibawa seramai
sekurang-kurangnya dua orang atau 2/3 dari semakan dipersetujui oleh panel-panel ini
(Marohaini 2013). Bagi menentukan kebolehsahan kajian ini pengkaji menggunakan
teknik jejak audit dan persetujuan antara pakar.

3.8.2 Teknik penentuan kesahan dan kebolehpercayaan

Bagi menentukan kualiti kesahan dan kebolehpercayaan ke atas kajian, berdasarkan


empat kriteria yang dibincangkan di atas, pengkaji turut menjalankan teknik penentuan
kesahan dan kebolehpercayaan seperti yang dicadangkan oleh Merriam (2009) melalui
teknik jejak audit, triangulasi, semakan peserta, pemerhatian jangka panjang di
lapangan, penelitian rakan sebaya, kolaborasi dengan peserta dan bias pengkaji yang
juga disebut sebagai refleksiviti pengkaji menurut Creswell (2014b).

i. Teknik jejak audit

Jejak audit merupakan suatu teknik kebolehpercayaan yang dilakukan oleh juruaudit
luaran untuk memeriksa kronologi kajian dan memberi komen kepada proses kajian
yang dijalankan sebagai amalan yang diterima umum (Guba 1982). Jejak audit
dilakukan dengan cara mendokumentasikan proses yang dijalankan melalui penulisan
jurnal dan memo, penyimpanan log terhadap semua aktiviti yang dijalankan,
membentuk kronologi pengumpulan data dan merekodkan prosedur menganalisis data
dengan lengkap (Othman Lebar 2014). Dengan cara ini pengkaji dapat mengesan
pemikiran, telahan (ramalan) fenomena, idea dan gerakan hati sepanjang proses
penganalisisan data yang dilakukan sejak dari awal. Selain itu jejak audit menyimpan
maklumat pengauditan data bagi memudahkan proses pencarian semula data dan
menjejaki peristiwa yang berlaku di lapangan. Oleh itu proses ini memberi peluang
kepada dapatan yang boleh dipercayai kesahihannya (Zanaton Hj Iksan et al. 2016).

Jejak audit juga merupakan proses penerangan secara terperinci tentang


perjalanan pengumpulan data termasuklah bagaimana tema dan kategori diperoleh dan
116

bagaimana keputusan dibina berdasarkan dapatan kajian (Merriam 2009). Melalui


teknik jejak audit, pengkaji telah mendokumentasikan proses yang dilalui melalui
penulisan jurnal dan memo, penyimpanan log terhadap semua aktiviti yang dijalankan
yang membentuk kronologi pengumpulan data dan merekodkan prosedur menganalisis
data dengan lengkap (Creswell 2007). Untuk tujuan ini, pengkaji menyediakan buku
log bagi mendokumenkan kronologi dan proses aktiviti kajian termasuk penyimpanan
data dalam sistem komputer dengan mencatat tarikh, masa dan memberi indeks bagi
setiap jenis data yang dikumpul. Penyimpanan rekod jejak audit bermula dari pengkaji
mendapat kelulusan menjalankan kajian dan setiap dokumen serta kronologi berkaitan
proses kajian yang dijalankan ditunjukkan seperti Jadual 3.10 di bawah:

Jadual 3.10 Laporan jejak audit secara keseluruhan

Bil Tarikh Perkara Catatan


1 28/05/2016 Pembentangan usulan kajian Lulus usulan dan dibenarkan
meneruskan kajian
2 23/08/2016 Mengeluarkan surat memohon PK MAINS – dihantar sendiri
kebenaran menjalankan kajian di JKM – dihantar melalui sistem
tiga pusat kaunseling myresearch
LPPKN – dihantar melalui pos
laju
3 13/07/2016 Pengesahan pakar protokol temu Tiga orang panel pakar; (i)
bual bermula UPSI, (ii) UUM, (iii) JPA
4 07/08/2016 Pengesahan pakar protokol temu Mendapat semua komen-
bual berakhir komen pakar
5 13/10/2016 Mendapat kebenaran menjalankan Kebenaran diberikan melalui
kajian di PK MAINS telefon.
6 21/11/2016 Mendapat kebenaran menjalankan Kebenaran diberikan melalui
kajian di JKM surat.
7 11/04/2017 Mendapat kebenaran menjalankan Dimaklumkan melalui telefon,
kajian di LPPKN tidak memerlukan surat
kebenaran dan boleh terus
berurusan dengan kaunselor
yang terlibat.
8 07/09/2016 Kutipan data temu bual (kajian Dijalankan di JKM
rintis 1)
9 06/10/2016 Kutipan data temu bual (kajian Dijalankan di JKM
rintis 2)
10 19/10/2016 Kutipan data temu bual PKK1 Kutipan data temu bual Fasa I
11 10/11/2016 Kutipan data temu bual PKK2 Kutipan data temu bual Fasa I
12 10/11/2016 Kutipan data temu bual PKK3 Kutipan data temu bual Fasa I
13 17/11/2016 Kutipan data temu bual PKK4 Kutipan data temu bual Fasa I
14 21/11/2016 Kutipan data temu bual PKK5 Kutipan data temu bual Fasa I
15 24/11/2016 Kutipan data temu bual PKK6 Kutipan data temu bual Fasa I
16 26/11/2016 Kutipan data temu bual PKK7 Kutipan data temu bual Fasa I
17 29/11/2016 Kutipan data temu bual PKK8 Kutipan data temu bual Fasa I
bersambung…
117

…sambungan
18 30/11/2016 Kutipan data temu bual PKK9 Kutipan data temu bual Fasa I
19 01/12/2016 Kutipan data temu bual PKK10 Kutipan data temu bual Fasa I
20 15/12/2016 Kutipan data temu bual PKK11 Kutipan data temu bual Fasa I
21 13/04/2017 Kutipan data temu bual PKK12 Kutipan data temu bual Fasa I
22 02/05/2017 Kutipan data temu bual PKK13 Kutipan data temu bual Fasa I
23 01/03/2017 Kutipan data temu bual PKK2 Kutipan data temu bual Fasa II
24 01/03/2017 Kutipan data temu bual PKK3 Kutipan data temu bual Fasa II
25 28/03/2017 Kutipan data temu bual PKK4 Kutipan data temu bual Fasa II
26 28/03/2017 Kutipan data temu bual PKK6 Kutipan data temu bual Fasa II
27 07/04/2017 Kutipan data temu bual PKK7 Kutipan data temu bual Fasa II
28 19/04/2017 Kutipan data temu bual PKK8 Kutipan data temu bual Fasa II
29 17/04/2017 Kutipan data temu bual PKK9 Kutipan data temu bual Fasa II
30 21/03/2017 Kutipan data temu bual PKK10 Kutipan data temu bual Fasa II
31 10/06/2017 Kutipan data temu bual PKK13 Kutipan data temu bual Fasa II
32 08/09/2016 Transkripsi data temu bual
bermula
33 15/06/2017 Proses transkripsi berakhir
34 21/03/2017 Kutipan data rakaman video
bermula
35 05/05/2017 Kutipan data rakaman video 5 rakaman video
berakhir
36 06/10/2016 Edaran borang refleksi kaunselor
bermula
37 04/08/2017 Kutipan borang refleksi kaunselor Borang refleksi kaunselor
berakhir dikembalikan
38 15/11/2016 Proses member checks bermula
39 02/07/2017 Proses member checks berakhir 10 orang peserta memulangkan
semula borang semakan
transkripsi
40 15/09/2016 Analisis data menggunakan
perisian NVIVO 11 bermula
41 15/09/2016 Proses pembentukan dan
pembinaan tema bermula
42 16/06/2017 Mendapatkan pandangan peer Perbincangan tema bersama
review rakan sekerja
43 12/07/2017 Proses pengesahan interrater 4 orang panel pakar interrater
bermula
44 07/08/2017 Penilaian interrater Pakar 1 Pakar 1 mengembalikan
(UPSI) borang penilaian
45 03/08/2017 Penilaian interrater Pakar 2 Pakar 2 mengembalikan
(UKM) borang penilaian
46 15/08/2017 Penilaian interrater Pakar 3 Pakar 3 mengembalikan
(UTM) borang penilaian
47 20/08/2017 Penilaian interrater Pakar 4 Pakar 4 mengembalikan
(UKM) borang penilaian
48 08/08/2017 Proses semakan interrater Pengiraan nilai Cohen’s Kappa
49 15/08/2017 Penulisan Bab IV
50 30/09/2017 Pembentangan peringkat
Kemajuan
51 02/10/2017 Penulisan Bab IV
bersambung…
118

…sambungan
52 15/10/2017 Menghantar penulisan Bab IV
kepada penyelia
53 15/11/2017 Penulisan Bab V
54 08/01/2018 Menyerahkan draf lengkap tesis
kepada penyelia
55 22/01/2018 Semakan dan pembetulan
56 09/02/2018 Menyerahkan borang dan tesis
untuk pembentangan peringkat
pemantapan
57 24/03/2018 Membentangkan kajian di Lulus pembentangan dan
peringkat pemantapan diperakukan oleh Pemeriksa
Dalam untuk ke peringkat viva
58 04/04/2018 Semakan dan pembetulan
59 23/04/2018 Menyerahkan notis viva ke pejabat
fakulti
60 06/08/2018 Menyerahkan tesis akhir kepada
penyelia
61 10/08/2018 Semakan dan pembetulan
62 20/08/2018 Menyerahkan tesis untuk proses
viva

Proses jejak audit juga dilakukan dalam penulisan kajian dengan cara mencatat
indeks dan penomboran untuk menyatakan punca bagi semua data dalam bentuk petikan
yang dijadikan sebagai bukti dalam dapatan kajian. Sebagai contoh seperti di Jadual
3.11:

Jadual 3.11 Contoh koding indeks, penomboran, punca data dan maksud koding

Koding Indeks, Penomboran Maksud Koding


dan Punca Data
TB/PK1/PKK6/K-KDK- TB – Temu bual
KsikNilSA /82-88 PK1 – Pusat Kaunseling Nombor 1
PKK6 – Pengamal kaunseling keluarga Nombor 6
K – Kompetensi Kaunselor
KDK – Kesedaran Kendiri Kaunselor
KsikNilSA – Kaunselor menilai sikap, nilai spiritual dan
agama
82-88 – baris petikan temu bual ke-82 hingga ke-88

Proses jejak audit telah dijalankan oleh pengkaji sebaik sahaja mendapat
kelulusan menjalankan kajian. Dengan menggunakan teknik jejak audit, pengkaji telah
mendokumenkan secara terperinci perkara-perkara yang dilalui dari awal proses
sehingga ke peringkat akhir kajian dijalankan. Hal ini termasuklah deskripsi terperinci
tentang kaedah pengumpulan data, penghasilan kod dan kategori, sumber perolehan
data serta kesimpulan yang dibuat sepanjang perjalanan kajian ini. Terdapat lima
119

panduan dalam menghasilkan laporan jejak audit menurut Akkerman et al. (2006) iaitu
pengkaji menyediakan lima komponen bahan iaitu permulaan dokumen, dokumen
akhir, data mentah, pemprosesan data dan pemprosesan dokumen. Keterangan dalam
penyediaan kelima-lima komponen bahan dalam teknik jejak audit dijelaskan seperti
dalam Jadual 3.12:

Jadual 3.12 Komponen jejak audit

Bahan Keterangan
1 Permulaan dokumen Dokumen-dokumen yang berkaitan dengan
kajian (bermula dari awal proses sehingga ke
peringkat akhir kajian).
2 Dokumen akhir Tesis
3 Data mentah Data mentah yang terdiri daripada rakaman
temu bual yang, borang refleksi kaunselor
dan borang pemerhatian rakaman video.
4 Pemprosesan data Data mentah diproses sebelum dianalisis.
Data temu bual ditranskripsikan dan diberi
penomboran indeks dan pengekodan.
5 Pemprosesan dokumen Dokumen yang merangkumi laporan yang
sistematik berkaitan pengumpulan data dan
analisis data, tindakan yang dilakukan dan
hasil kajian yang berkaitan.

Sumber: Akkerman et al. 2006

Proses pengauditan ini memerlukan seorang juruaudit yang pakar dalam bidang
kajian dan berupaya menilai dari perspektif metodologi serta mempunyai pandangan
yang bebas terhadap kajian yang dilakukan. Dalam hal ini, pengkaji mengambil saranan
Akkerman et al. (2006) yang menyatakan sekiranya kriteria ini dipenuhi, penyelia
pengkaji sendiri boleh bertindak sebagai juruaudit memandangkan beliau mempunyai
masa yang sesuai dan bersedia untuk membuat penilaian ke atas kualiti kajian ini.
Penyelia pengkaji telah menyemak satu persatu proses menjalankan kajian bermula
daripada penyediaan protokol soalan temu bual, proses pengutipan dan penganalisisan
data, pembinaan tema dan seterusnya pelaporan dapatan kajian.

ii. Teknik triangulasi

Teknik triangulasi digunakan untuk mengesahkan data secara merentas pelbagai kaedah
pengkajian, skema teoretikal dan kaedah pengumpulan data (Denzin & Lincoln 1994;
Patton 1990). Kaedah ini juga digunakan untuk mendapatkan pemahaman yang holistik
120

mengenai peserta kajian dan ke arah mendapatkan pengesahan terhadap penjelasan


yang munasabah mengenai kes yang dikaji (Denzin & Lincoln 1994; Flick 2009).
Dalam kajian ini, pengkaji menggunakan teknik triangulasi bagi memastikan
perbandingan data sama ada secara perbezaan atau persamaan yang diperoleh akan
memberikan data yang bermakna terhadap kajian (Shenton 2004).

Teknik triangulasi menggunakan tiga kaedah pengumpulan data iaitu 21 set


temu bual, 13 dokumen borang refleksi kaunselor dan lima sesi rakaman video.
Manakala 13 orang peserta kajian daripada tiga pusat kaunseling adalah sebagai data
sumber. Data yang berbeza dalam kaedah pengumpulan kajian kualitatif mendedahkan
pelbagai isu yang bermakna dan berkesan terhadap penerokaan kompetensi dan strategi
integrasi spiritual dan agama dalam kaunseling keluarga dan perkahwinan. Kaedah ini
juga dapat mengesahkan data kualitatif dengan membandingkan hasil dapatan kajian
daripada kaedah pengumpulan data yang berbeza (Oliver-Hoyo & Allen 2006).
Pengkaji melakukan dua teknik triangulasi iaitu; (i) triangulasi kaedah (data temu bual,
pemerhatian dan analisis dokumen) dan (ii) triangulasi sumber (13 orang peserta kajian)
yang dapat digambarkan melalui rajah di bawah:

Rajah 3.2 Reka bentuk triangulasi untuk pengumpulan data

Sumber: Adaptasi Oliver-Hoyo & Allen 2006


121

Sebagai prosedur mendapatkan kesahihan, pengkaji menjalankan proses yang


sistematik dengan menyusun data untuk mencari tema dan kategori yang muncul hasil
daripada timbunan data. Seterusnya pengkaji menyediakan borang triangulasi untuk
melihat jumlah ulangan yang berlaku (recurrence) terhadap sesuatu tema atau kategori
seperti di Lampiran Q.

iii. Teknik semakan peserta (Member checks)

Teknik Semakan peserta merujuk kepada kesahan peserta (Lietz & Langer 2006;
Merriam 2009) yang membolehkan peserta menyemak dapatan kajian yang dibuat oleh
pengkaji bagi memastikan data tersebut benar lagi tepat. Peserta-peserta kajian ini
membantu menampakkan kesilapan fakta yang dirujuk atau ketidakcukupan fakta yang
dicari oleh pengkaji (Lietz & Langer 2006). Interpretasi data dalam bentuk dapatan yang
dibuat oleh pengkaji disahkan oleh peserta kajian sesuai dengan yang dimaksudkan oleh
mereka.

Semakan peserta berlaku apabila data, dapatan, analisis, kategori, interpretasi


dan rumusan yang dibuat oleh pengkaji disemak oleh peserta kajian yang data asal
diambil. Proses ini boleh dilakukan secara formal dan tidak formal khususnya semasa
temu bual dijalankan. Teknik semakan peserta ini memberi peluang kepada peserta
memberi komen atau kritikan terhadap dapatan yang dihasilkan dan seterusnya
meningkatkan kesahan dan kebolehpercayaan kajian (Ismail Hj Raduan 2009). Proses
semakan data oleh peserta dan tafsirannya diuji secara berterusan adalah suatu tindakan
yang penting yang boleh diambil kerana ia menjadi suatu kriteria dalam kredibiliti
kajian (Guba 1982).

Dalam kajian ini pengkaji meminta peserta kajian memeriksa data dalam
verbatim temu bual serta interpretasi awal untuk memastikan adakah dapatan tersebut
tepat dan bersesuaian. Proses ini dilakukan secara berterusan sepanjang kajian
dijalankan iaitu setiap kali rakaman temu bual ditranskripsikan. Semasa menjalankan
kaedah semakan peserta, pengkaji menjalankan prosedur berikut:

i) Pengkaji menyerahkan kepada semua peserta kajian di ketiga-tiga pusat


kaunseling untuk menyemak data temu bual yang telah ditranskripsikan.
122

Sepuluh orang peserta kajian telah memberi maklum balas dan


mengembalikan data tersebut.

ii) Mengenal pasti sekiranya terdapat maklumat dan data yang kurang tepat.
Kaedah ini memberi ruang kepada peserta untuk membetulkan atau
menambah data yang difikirkan perlu.

iii) Menyoal peserta sama ada yang diperoleh itu telah lengkap dan
mencakupi tema dan kategori yang dikaji.

Peserta kajian diberikan borang pengesahan semakan transkripsi temu bual


seperti dalam Lampiran I untuk mengesahkan dan memperbaiki data atau dapatan yang
tidak tepat sekiranya ada. Sebarang komen atau cadangan menjadi tambahan kepada
dapatan kajian.

iv. Teknik pemerhatian jangka panjang

Teknik pemerhatian jangka panjang di lapangan kajian atau melakukan pemerhatian


berulang-ulang terhadap fenomena yang sama sepanjang proses kutipan data (Merriam
2009). Pengkaji berhubung dengan peserta kajian dalam tempoh yang agak lama iaitu
mulai September 2016 sehingga Ogos 2017 bagi proses pengutipan data. Tempoh masa
yang lama membolehkan pengkaji berada di lapangan agar dapat berterusan membina
hubungan dan kepercayaan dalam kalangan peserta kajian. Dengan cara ini, pengkaji
dapat menjalankan pengulangan pengumpulan data temu bual, kutipan dokumen dan
merakamkan video sesi kaunseling.

v. Teknik penelitian rakan sekerja (Peer review)

Teknik penelitian rakan sekerja merupakan penyemakan data bagi tujuan penilaian oleh
rakan sekerja (Merriam 2009). Dalam kajian ini pengkaji meminta seorang rakan
sekerja iaitu seorang kaunselor yang mempunyai pendidikan di peringkat sarjana dan
berpengalaman dalam mengendalikan kaunseling keluarga yang menggunakan
pendekatan spiritual dan agama. Rakan sekerja ini memberi komen dengan menyatakan
persetujuan terhadap tema-tema yang telah dibina dan mencadangkan pandangannya ke
atas dapatan tema dan kategori yang dibentuk sebagai dapatan kajian. Penelitian rakan
123

sekerja dapat memberikan sokongan kepada data dan tema yang dibina serta dapat
mencabar idea pengkaji dengan mengemukakan soalan-soalan yang dapat membantu
pengkaji berfikir dari sudut pandang yang berbeza. Keadaan ini membantu pengkaji
menghasilkan data yang lebih mantap dan bernas tentang hasil kajian.

vi. Teknik kolaborasi dengan peserta kajian

Teknik kolaborasi dengan peserta kajian adalah pengkaji melibatkan peserta kajian
dalam setiap fasa kajian dari peringkat pengkonseptualan kajian kepada penulisan
laporan dapatan (Merriam 2009). Tujuan kolaborasi ini adalah sebagai menghormati
dan menghargai setiap pandangan peserta malah hal ini dapat meningkatkan lagi
kredibiliti terhadap laporan kajian.

vii. Teknik refleksiviti pengkaji

Dalam kajian ini pengkaji menggunakan teknik refleksiviti bagi menjelaskan


kedudukan dan peranan pengkaji sebagai instrumen utama dalam kajian ini. Tindakan
ini dapat menerangkan usaha dan kemampuan pengkaji dalam meminimumkan unsur
bias terhadap dapatan kajian (Creswell 2014b). Penerangan ini dilakukan agar pembaca
dapat memahami kedudukan pengkaji serta langkah yang diambil untuk mengurangkan
unsur bias pengkaji dalam proses menganalisis dan menginterpretasikan data.

Sebelum memulakan pengajian di peringkat kedoktoran ini pengkaji menyedari


paradigma teori dan pendekatan metodologi kajian adalah berasaskan pemikiran dan
perspektif empirikal. Walaupun pengkaji bukan merupakan ahli dalam bidang
akademik tetapi latihan dan pengetahuan yang diperoleh dalam pengajian sebelum ini
banyak mempengaruhi cara pengkaji berfikir secara objektif iaitu melalui kaedah
empirikal dan pemerhatian. Pengkaji tidak pernah terdedah secara langsung berkaitan
penyelidikan menggunakan kaedah kualitatif. Justeru pada peringkat awal kajian,
pengkaji menghadapi sedikit kesukaran untuk memahami falsafah penyelidikan
menggunakan kaedah kualitatif ini. Pengkaji sering mempersoalkan dalam diri sendiri
tentang kesahihan dan ketepatan data yang bakal pengkaji peroleh. Namun begitu,
setelah meneroka dan memasuki dunia penyelidikan menggunakan kaedah kualitatif
pengkaji semakin memahami bentuk paradigma penyelidikan yang memberi kelainan
124

kepada corak pemikiran pengkaji sendiri. Data yang diperoleh dalam kajian ini memberi
suatu sudut pandang yang berbeza dan menghasilkan sesuatu yang baru dan bermakna
kepada pandangan dunia penyelidikan pengkaji.

Dari aspek latar belakang pula, pengkaji dibesarkan dalam keluarga yang
berpegang teguh kepada nilai, kepercayaan dan falsafah kehidupan beragama. Sejak
dari usia kanak-kanak pengkaji telah mengamalkan kehidupan beragama dengan baik.
Apabila semakin meningkat dewasa pengkaji merasakan pegangan dan penghayatan
keagamaan semakin kukuh dalam diri pengkaji. Walaupun begitu, pengkaji sentiasa
menyedari nilai dan kepercayaan hidup beragama terhadap diri sendiri tanpa
meletakkan sebarang nilai kepada orang lain. Keadaan ini telah lama dipraktikkan oleh
pengkaji sejak pengkaji mula mempelajari ilmu dalam bidang kaunseling. Pengkaji
sentiasa menyedari keadaan ini dan amalan ini diperkukuhkan dari semasa ke semasa
dengan cara sering mengingatkan diri sendiri tentang perkara ini. Dalam hal ini,
pengkaji menggunakan kemahiran sebagai seorang pengamal kaunseling profesional
yang tidak meletakkan sebarang nilai kepada klien dan sentiasa menjaga etika dan
profesional dalam amalan kaunseling.

Dalam kajian ini pengkaji mengaplikasikan kaedah yang sama dalam


memberikan sesuatu makna ke atas dapatan kajian. Pengkaji berusaha meminimumkan
nilai seobjektif yang mungkin agar tidak mempengaruhi proses menginterpretasikan
data. Seboleh-bolehnya pengkaji cuba menginterpretasikan data menurut kaca mata
peserta kajian itu sendiri. Hal ini dapat disahkan oleh peserta kajian menerusi teknik
semakan peserta yang telah dilakukan oleh pengkaji. Dalam kajian ini pengkaji
berusaha menjelaskan andaian, kepercayaan dan nilai yang datangnya daripada dapatan
kajian tanpa dipengaruhi oleh diri pengkaji sendiri. Ini bagi memastikan dapatan kajian
adalah hasil daripada perspektif dan pandangan kajian dan bukannya daripada bias
pengkaji dalam proses penyelidikan.

Sebagai manusia biasa tidak dapat dinafikan kemungkinan terdapat sedikit


pengaruh nilai kehidupan beragama pengkaji dalam gaya persembahan pelaporan kajian
ini. Walau bagaimanapun, pengkaji telah mengambil langkah mengurangkan malah
hampir menghilangkan unsur pengaruh dan bias yang terdapat dalam pelaporan kajian
125

ini menerusi semakan rakan sekerja. Namun, sekiranya pembaca masih mendapati
terdapat unsur pengaruh nilai dalam pelaporan kajian, hal ini menunjukkan semakan
telah pun dibuat namun dalam menyampaikan sesuatu maksud terhadap sesuatu perkara
dalam kajian ini, pengkaji tidak dapat mengelakkan daripada menyatakan ataupun
menggunakan sesuatu perkataan atau ayat untuk menggambarkan perkara tersebut.

viii. Teknik pengesahan pakar (Interrater reliability)

Selain pernyataan di atas dapat membuktikan kebolehpercayaan kajian, pengkaji juga


menggunakan persetujuan antara pakar iaitu mendapatkan nilai persetujuan Kappa
(Cohen’s Kappa). Zamri Mahamod dan Noriah Hj Mohd Ishak (2003) menyatakan
analisis indeks Cohen’s Kappa bertujuan mencari darjah persetujuan unit analisis
dengan tema atau konstruk yang dikaji ini dilakukan dengan memadankan unit daripada
data temu bual dengan tema-tema yang dominan dalam sesuatu data kualitatif seperti
dalam temu bual. Terdapat beberapa pendapat tentang indeks analisis Cohen’s Kappa
dalam menentukan darjah persetujuan antara pakar penilai dalam kajian kualitatif.
Persetujuan antara penilai-penilai bukan sahaja penting untuk menentukan nilai
kebolehpercayaan yang tinggi bagi setiap unit yang digunakan untuk menggambarkan
sesuatu tema malah ia dilihat sebagai suatu kaedah yang boleh menyumbang kepada
tahap kajian yang berkualiti kepada masa akan datang (Marques & McCall 2005).

Semakan kod (coding check) merujuk kepada bagaimana pengkaji membina


sistem kategori dan pengekodan untuk mengekodkan konstruk, kategori, tema, pola, kes
daripada koleksi timbunan elemen atau segmen berkaitan daripada dalam data mentah.
Pengekodan boleh disemak melalui proses persetujuan antara pakar menggunakan
pekali Cohen’s Kappa (Lampiran K). Pengkaji menggunakan analisis indeks Cohen’s
Kappa untuk mencari darjah persetujuan unit analisis terhadap tema yang dibina.
Kebolehpercayaan data dilakukan dengan memperoleh persetujuan sekurang-
kurangnya dua atau lebih dari semakan dipersetujui oleh panel-panel ini (Marques &
McCall 2005). Bagi tujuan tersebut, pengkaji menyediakan dua ruangan iaitu ruang
‘setuju’ dan ‘tidak bersetuju’ untuk ditandakan oleh pakar. Pengkaji juga menyediakan
ruang agar pakar-pakar ini dapat memberikan pandangan profesional mereka terhadap
persetujuan atau sebaliknya. Dalam kajian ini, pengkaji menggunakan khidmat empat
126

orang pakar yang terdiri daripada pensyarah kanan daripada tiga buah universiti awam
dalam bidang kaunseling keluarga dan bidang kaunseling keagamaan. Jadual 3.13
berikut ini menyenaraikan ringkasan profil pakar-pakar mengikut institusi dan bidang
kepakaran:

Jadual 3.13 Profil panel kesahan pakar

Bil Profil Ringkas Institusi Bidang


1 Dr. (Pensyarah Universiti) UPSI Modul Kaunseling Takziyah An-Nafs
2 Prof. Dr. (Pensyarah Universiti) UKM Dakwah / Kaunseling Pendekatan Islam
3 Prof. Dr. (Pensyarah Universiti) UTM Perundingan dan penyelidikan Psikologi &
Kaunseling / Kaunseling Model al-Ghazali
4 Prof. Dr. (Pensyarah Universiti) UKM Psikologi Pendidikan / Keluarga

Sebelum penilaian dilakukan, pengkaji telah memberi taklimat mengenai tugas


dan tanggungjawab yang perlu dilakukan. Selepas penilaian dijalankan, perbincangan
dilakukan dengan keempat-empat pakar berkenaan untuk mengenal pasti persetujuan
sama ada berbentuk persamaan atau perbezaan. Setelah perbincangan dilakukan,
pengkaji mengambil kira nilai persetujuan dan mencari nilai purata bagi ketiga-tiga nilai
berkenaan. Nilai persetujuan dan nilai purata menggunakan Cohen’s Kappa ditunjukkan
dalam Jadual 3.14.

Jadual 3.14 Nilai persetujuan dan nilai purata menggunakan Cohen’s Kappa

Tema Bilangan persetujuan Keseluruhan


item
Pakar Pakar Pakar Pakar
1 2 3 4
Enam faktor kompetensi kaunselor 39 39 39 39 39
Strategi integrasi implisit 20 20 20 20 20
Strategi integrasi eksplisit 21 21 20 21 21
Kaedah mengintegrasikan spiritual dan agama 8 8 8 8 8
Konsep-konsep pendekatan Islam yang digunakan 12 12 12 12 12
Kecenderungan kaunselor menggunakan implisit 5 5 5 5 9
Dorongan kaunselor 5 4 5 5 5
Cabaran yang dihadapi oleh kaunselor 5 5 5 5 5

Fa 115 114 114 115 N = 119


Fc 59.5 59.5 59.5 59.5
Fa−Fc 0.93 0.92 0.92 0.93
Nilai persetujuan Cohen’s Kappa k =
N−Fc
Purata persetujuan antara pakar penilai, k 0.93
127

Fa ialah bilangan item / unit yang dinilai persetujuan oleh setiap pakar

119
Fc ialah 50 peratus jangkaan persetujuan = 59.5
2

N ialah jumlah bilangan item / unit yang dinilai persetujuan

Fa−Fc
Nilai persetujuan Cohen’s Kappa = N−Fc

Pengkaji menggunakan skala persetujuan menurut saranan Cohen 1960 dalam


Stemler (2001) seperti Jadual 3.15 sebagai rujukan semasa menterjemahkan skala
persetujuan Cohen’s Kappa yang diberikan oleh setiap pakar. Semasa menganalisis
nilai skala Cohen’s Kappa, Stemler (2001) mencadangkan nilai persetujuan skala
Cohen’s Kappa yang bernilai 0.60 atau lebih menggambarkan persetujuan yang baik
yang diberikan oleh setiap pakar. Dalam kajian ini, pengkaji mendapati nilai purata
persetujuan Cohen’s Kappa yang diperoleh ialah k = 0.93. Ini menggambarkan tema,
sub-tema dan kategori yang dibina berdasarkan unit temu bual berada dalam keadaan
yang sangat baik.

Jadual 3.15 Skala persetujuan berasaskan nilai Cohen’s Kappa

Nilai Cohen’s Kappa Skala persetujuan


<0.00 Tiada persetujuan (No agreement)
0.00 - 0.20 Lemah (Slight)
0.21 - 0.40 Sederhana (Fair)
0.41 - 0.60 Sederhana (Moderate)
0.61 - 0.80 Baik (Substantial)
0.81 - 1.00 Sangat baik (Almost Perfect)

Sumber: Stemler 2001

3.9 KAJIAN RINTIS

Kajian rintis bagi kajian kes ini lebih berbentuk formatif dalam membantu pengkaji
mendapatkan maklumat dan menyemak semula kesesuaian soalan protokol Yin (2014).
Menurut Creswell (2014a) pengkaji boleh meminda soalan tersebut berdasarkan
maklum balas yang diterima daripada peserta kajian rintis. Hal ini selaras dengan
cadangan Merriam (2009) yang menyatakan kajian rintis digunakan untuk mencuba
soalan yang dibina, berlatih untuk menemu bual peserta kajian dan mengenal pasti
soalan yang mengelirukan serta menulis semula soalan dalam protokol berkenaan.
128

Pengkaji telah memulakan kajian rintis pada September 2016. Yin (2014) menyarankan
bahawa tempat kajian bagi kajian rintis ini hendaklah mudah dimasuki dan diuruskan.
Oleh itu pengkaji telah memilih dua orang kaunselor keluarga iaitu seorang daripada
Pusat Kaunseling 1 (PK1) dan seorang lagi daripada dari Pusat Kaunseling 2 (PK2)
yang memenuhi kriteria kajian dan mempunyai ciri-ciri yang sama dengan peserta
kajian sebenar.

Melalui kajian rintis ini, pengkaji telah mendapat pengalaman menemu bual dan
membuat rakaman suara peserta kajian serta mempelajari teknik menganalisis data
daripada transkrip temu bual. Pengkaji juga dapat memastikan protokol soalan difahami
oleh peserta kajian berdasarkan maklum balas jawapan yang diterima. Di samping itu
pengkaji dapat mengenal pasti kelemahan sendiri dari aspek teknik-teknik menyoal bagi
mendapatkan data yang kaya dengan menyemak soalan-soalan yang mungkin
menimbulkan kekeliruan atau kekaburan pemahaman peserta kajian (Turner 2010).
Pengkaji juga mendapat pengalaman yang bermakna dalam memahami situasi sebenar
semasa menjalankan kajian sebenar.

3.10 ETIKA DALAM KAJIAN KUALITATIF

Kajian ini melibatkan penerokaan yang mendalam berkaitan aspek kepercayaan, nilai
dan pegangan dalam spiritual dan keagamaan yang menjadi pegangan kaunselor. Begitu
juga halnya dengan klien yang terlibat dalam rakaman video sesi kaunseling yang
dijalankan secara tidak langsung mendedahkan isu-isu kekeluargaan yang berlaku.
Situasi ini boleh menyebabkan pencerobohan ke atas sempadan hidup dan kehidupan
orang yang terlibat dalam penyelidikan ini (Bradley 2015). Aspek etika merupakan
perkara yang penting yang ditekankan dan dipelihara oleh pengkaji dalam menjalankan
kajian ini. Menurut Bradley, terdapat tiga prinsip dalam etika menjalankan kajian dalam
kaunseling iaitu; (i) prinsip autonomi iaitu peserta kajian mempunyai hak sepenuhnya
mengetahui perihal kajian yang dijalankan, (ii) prinsip perlindungan bermaksud tidak
memudaratkan peserta, dan (iii) prinsip keadilan iaitu menjaga kebajikan dan memberi
keadilan yang sepatutnya kepada peserta. Dalam kajian ini, pengkaji bertindak bagi
memastikan berlakunya pematuhan kepada prinsip-prinsip etika dalam proses
menjalankan kajian ini seperti dalam jadual berikut:
129

Jadual 3.16 Prinsip pematuhan etika dalam proses kajian

Prinsip Etika Tindakan Pengkaji


Prinsip autonomi  Pengkaji memastikan hak individu untuk membuat pilihan sama
ada untuk terlibat atau tidak dalam kajian ini dan pengkaji
sentiasa menghormati keputusan tersebut.
 Pengkaji menetapkan kriteria pemilihan peserta kajian
berdasarkan kepada minat dan secara sukarela ingin menyertai
kajian ini. Oleh itu tiada sebarang paksaan dilakukan oleh
pengkaji dalam mendapatkan peserta kajian.
Prinsip perlindungan  Pengkaji menerangkan prosedur dan proses pengumpulan data
yang tidak menjejaskan atau berisiko terhadap peserta kajian.
 Pengkaji menyediakan borang informed consent dan
mendapatkan kebenaran termaklum sebelum proses
pengumpulan data dilakukan (Lampiran E dan F).
 Pengkaji melakukan sistem pengekodan dalam melaporkan
dapatan kajian
Prinsip keadilan  Pengkaji memastikan peserta kajian dilayan dengan penuh
keadilan.
 Pengkaji menetapkan tarikh-tarikh pengumpulan data mengikut
kesesuaian jadual dan persetujuan peserta kajian.

Sumber: Bradley 2015

3.11 KETEPUAN DATA

Dalam kajian kualitatif yang menggunakan reka bentuk kajian kes, Creswell (2007)
mencadangkan agar tidak melebihi 4-5 orang dalam satu kajian single-case kerana
berpendapat jumlah ini sudah mencukupi untuk mengenal pasti tema dalam kajian
tersebut. Walau bagaimanapun, sebelum menghentikan pemilihan peserta dalam proses
pengutipan data, pengkaji memastikan tiada lagi maklumat baru yang diperoleh dan
data-data yang dikutip itu didapati bertindan dengan maklumat yang diperoleh
sebelumnya (Bowen 2008; Othman Lebar 2014).

Pengkaji berkeyakinan proses pengutipan data telah mencapai titik ketepuan


pada peserta yang ke-13 berasaskan penemuan titik tepu (Francis et al. 2009).
Keyakinan tersebut berdasarkan saranan Morse (2015) yang menyatakan ketepuan data
dikenal pasti dengan sumbangan maklumat yang kaya dan mantap terhadap literatur
kajian. Oleh itu, pengkaji mengambil keputusan menamatkan proses pensampelan ini
dengan penuh keyakinan bahawa kajian ini telah menemui titik ketepuan data dan
mengambil kira matlamat kajian serta keperluan mencapai kedalaman kajian melalui
proses triangulasi sumber data telah ditemui (Othman Lebar 2014).
130

3.12 PROSEDUR PENGANALISISAN DATA

Pengkaji menjalankan proses menganalisis data secara serentak semasa kutipan data
dijalankan (Bogdan & Biklen 1998; Miles, Huberman & Saldana 2014) dan ia
merupakan proses berterusan dan non-linear (Othman Lebar 2014). Semasa temu bual
dijalankan pengkaji merakamkan temu bual menggunakan alat perakam Sony MP4
sebagai alat perakam utama. Selain itu, pengkaji juga menggunakan voice recorder
telefon pintar sebagai alat sokongan merakam data temu bual jika berlaku sesuatu yang
tidak diingini terhadap alat rakaman utama. Selepas itu, rakaman temu bual tersebut
ditranskripsikan dalam bentuk verbatim ke dalam komputer dengan menggunakan
perisian Microsoft Word. Verbatim tersebut terlebih dahulu telah diulang semak oleh
pengkaji sebanyak dua kali bagi memastikan tiada data yang terlepas.

Bagi kutipan data melalui pemerhatian rakaman video pula, pengkaji


menyediakan satu borang senarai semak bagi merekodkan data yang diperhatikan dalam
rakaman video tersebut. Pengkaji juga mengambil gambar-gambar di sekitar bilik
kaunseling sebagai data tambahan dalam menganalisis dokumen. Gambar-gambar
tersebut seperti kata-kata nasihat dan motivasi juga digunakan sebagai data tambahan
yang dimasukkan ke dalam NVIVO 11 untuk dilakukan refleksi dan pengekodan
dilakukan selari dengan pengekodan dalam temu bual mendalam dan pemerhatian.

Pengkaji menggunakan perisian NVIVO 11 dalam menguruskan timbunan data


yang diperoleh melalui teknik temu bual, rakaman video dan kutipan dokumen dalam
proses penganalisisan data. Penggunaan perisian NVIVO 11 bertujuan menguruskan
data kualitatif dengan baik dan teratur kerana perisian NVIVO 11 mampu menyusun
tema-tema dari semua data yang diperoleh oleh pengkaji. Bagi memastikan tema-tema
yang terhasil adalah tepat, pengkaji mengulang proses pembacaan untuk memberi
makna kepada ayat dalam verbatim tersebut. Pengkaji juga berbincang dengan rakan
(peer review) bagi mendapatkan maklum balas sekiranya terdapat kemusykilan atau
kekaburan berkaitan tema tersebut.

Dalam proses menganalisis dan menginterpretasikan data kajian, pengkaji


menggunakan enam langkah seperti yang dicadangkan oleh (Creswell 2014a).
Langkah-langkah tersebut adalah seperti berikut:
131

a. Menyediakan dan menyusun atur data untuk dianalisis

Sebaik sahaja pengkaji kembali dari lokasi kajian, langkah pertama yang diambil dalam
proses menganalisis data adalah menyediakan data mentah. Pengkaji mendengar semula
rakaman temu bual dan membuat transkrip ke atas data temu bual tersebut. Pengkaji
juga menyimpan nota pemerhatian yang dilakukan semasa temu bual dijalankan dalam
sistem komputer. Sebanyak 13 set data temu bual fasa pertama dan lapan set data temu
bual fasa ke-2 yang menjadikan keseluruhan 21 set data temu bual telah ditranskripsikan
sendiri oleh pengkaji. Pengkaji memperoleh 13 set borang refleksi kaunselor bagi data
analisis dokumen, 50 gambar dan tiga set laporan sesi. Manakala bagi data pemerhatian
rakaman video, pengkaji berjaya merakamkan sebanyak lima rakaman video sesi
kaunseling yang dijalankan oleh empat orang peserta. Pengkaji menggunakan data temu
bual sebagai data utama dalam pembinaan sesuatu tema bagi dapatan kajian. Seterusnya
pengkaji menggunakan perisian NVIVO 11 untuk memudahkan urusan proses saringan
data, pembinaan tema-tema, pengekodan, paparan hasil, pattern matching (pemadanan
pola) dan analisis tema.

b. Meneroka dan mengekodkan data

Dalam langkah ini pengkaji memulakan proses penerokaan data dengan membaca
transkrip temu bual secara sepintas lalu untuk mendapatkan gambaran awal terlebih
dahulu. Selepas itu, pengkaji membaca semula secara teliti dengan memberi tumpuan
kepada setiap baris, setiap ayat dan setiap perenggan dalam data tersebut. Pengkaji
memulakan proses pengekodan data menggunakan kaedah pengekodan terbuka (open
coding) dan secara induktif. Melalui proses pengekodan terbuka pengkaji memecah-
mecahkan, memeriksa, membanding dan mengkategorikan data. Proses pengekodan ini
membantu pengkaji menghasilkan sesuatu konsep yang kemudiannya dapat
dikumpulkan menjadi kategori (Othman Lebar 2014).

c. Proses pengekodan dan pembinaan tema

Proses pengekodan dan pembinaan tema merupakan langkah yang penting dalam proses
menganalisis data kualitatif. Dalam langkah ini, pengkaji menggunakan kod-kod yang
telah terhasil untuk dihimpunkan mengikut kategori dan seterusnya membina tema-
132

tema berdasarkan pemberian makna tertentu ke atas data tersebut. Pengkaji dapat
menyelesaikan tugas-tugas rumit ini menggunakan sistem komputer dengan perisian
NVIVO 11. Sebagai contoh dalam unit temu bual 1, peserta menyatakan: “Walaupun
duduk bawah jabatan agama tak semestinya agama itu kita zahirkan awal sesi, biar
agama tu datang sendiri agar dia menyerap masuk dalam hati manusia, kita mempunyai
cara kita, pendekatan kita, akhlak kita, budi bahasa kita dengan dia kan”. Dalam unit
temu bual ini, pengkaji telah mengenal pasti kategori ‘agama tidak dinyatakan pada
awal sesi’ yang dibentuk di bawah sub-tema ‘strategi integrasi secara implisit’ iaitu di
bawah tema ‘kaedah integrasi kaunselor’.

Manakala dalam contoh unit temu bual 2, peserta menyatakan “Saya nampak
kehidupan tu macam jauh kan, kalau boleh kita cuba dekatkan balik, kita bantu
hubungan dia dengan Allah lah…”. Dalam contoh unit temu bual 2, pengkaji telah
mengenal pasti kategori ‘Memandu klien ke arah agama’ yang dibentuk di bawah sub-
tema ‘strategi integrasi secara eksplisit’ di bawah tema ‘Amalan integrasi kaunselor’.
Jadual 3.17 menunjukkan bagaimana pengkaji membentuk koding, mengelaskan
kategori atau sub-tema dan menghasilkan tema berdasarkan unit analisis dalam data
temu bual seperti berikut:

Jadual 3.17 Contoh pengekodan, pembinaan kategori dan pembinaan tema

Contoh unit temu bual Koding Kategori / Tema yang


sub-tema dibina
Contoh unit temu bual 1 Agama Strategi Amalan
“Walaupun duduk bawah jabatan agama tak tidak secara integrasi
semestinya agama itu kita zahirkan awal sesi, dinyatakan implisit kaunselor
biar agama tu datang sendiri agar dia pada awal
menyerap masuk dalam hati manusia, kita sesi
mempunyai cara kita, pendekatan kita, akhlak
kita, budi bahasa kita dengan dia kan…”

Contoh unit temu bual 2 Memandu Strategi Amalan


“Saya nampak kehidupan tu macam jauh kan, klien ke secara integrasi
kalau boleh kita cuba dekatkan balik, kita arah eksplisit kaunselor
bantu hubungan dia dengan Allah lah…” agama

d. Melaporkan dapatan kajian

Pada peringkat awal menganalisis data, pengkaji menghasilkan 119 unit analisis namun
selepas melalui proses persetujuan pakar dan semakan semula bersama penyelia unit
133

analisis tersebut dikurangkan menjadi 115 unit analisis. Selepas menghasilkan tema,
pengkaji memulakan aktiviti pelaporan hasil dapatan kajian dengan menggunakan
analisis tema. Pengkaji menggunakan kaedah analisis tema untuk mengenal pasti dan
melaporkan pola sesuatu tema yang diperoleh dalam data (Liamputtong 2014).

e. Interpretasi dapatan kajian

Dalam langkah ini Creswell (2014a) mencadangkan berdasarkan pelaporan dapatan


kajian dengan membuat interpretasi dan memberi makna terhadap kajian. Interpretasi
ini membolehkan pengkaji memberikan pandangan peribadi, membuat perbandingan
antara dapatan kajian ini dengan ulasan kepustakaan yang telah dilakukan dan
mencadangkan limitasi serta kajian pada masa akan datang.

f. Mengesahkan ketepatan dapatan kajian

Langkah terakhir adalah memeriksa ketepatan kajian ini dengan menyemak semula
langkah-langkah dan prosedur kesahan serta kebolehpercayaan data melalui semakan
peserta, triangulasi dan jejak audit. Menurut Creswell tujuan pengesahan dijalankan
adalah untuk mendapatkan keterangan dan bukti yang sahih daripada peserta, pembaca
luaran atau sumber data itu sendiri tentang ketepatan maklumat dalam laporan kajian
kualitatif ini. Langkah yang diambil oleh pengkaji bagi memenuhi pengesahan ini,
pengkaji telah pun melalui proses penentuan trustworthiness melalui empat kriteria
seperti yang dinyatakan oleh Guba dan Lincoln (1982) iaitu aspek kredibiliti,
kebolehpindahan, kebolehsandaran dan kebolehsahan. Bagi memenuhi empat kriteria
ini pula pengkaji telah menjalankan teknik-teknik kesahan dan kebolehpercayaan yang
terdiri daripada teknik jejak audit, triangulasi, semakan peserta, pemerhatian jangka
panjang, penelitian rakan sekerja, refleksiviti pengkaji dan teknik persetujuan antara
pakar (interrater reliability).

3.13 RUMUSAN

Bab ini telah menghuraikan secara jelas dan terperinci prosedur metodologi kajian ini
yang menggunakan reka bentuk kajian kes. Tatacara dan proses pengumpulan data,
penganalisisan data, kesahan dan kebolehpercayaan telah diambil kira bagi menjaga
134

kualiti kajian agar tepat dan boleh dipercayai. Pengkaji sentiasa melakukan proses
penambahbaikan bagi memastikan kualiti dapatan kajian ini memenuhi kriteria dan
kehendak kajian. Penambahbaikan awal dilakukan semasa pengkaji menjalankan kajian
rintis. Oleh itu, proses penyesuaian dan penambahbaikan terus dilakukan semasa
pengumpulan data dan penganalisisan data melalui kaedah temu bual mendalam,
pemerhatian rakaman video dan analisis bukti dokumen.

Anda mungkin juga menyukai