Anda di halaman 1dari 1

KELETAH gandingan ibu dan anak menyelamatkan diri daripada terkena balingan selipar

ternyata mencuit hati.


Pada usia 43 tahun, Zarina Kamarul Bahrin, kelihatan lincah ketika beraksi dalam sukan
permainan rakyat yang sinonim dengan generasi terdahulu, sekali gus meraih sokongan
pengunjung Festival GegaRia 2018, hari ini.
Ibu kepada tiga cahaya mata itu menyifatkan sukan yang semakin luput dalam kalangan
generasi muda masa kini adalah permainan tradisi ahli keluarganya.
"Tiap kali balik kampung atau menganjurkan hari keluarga, permainan baling selipar ini mesti
menjadi acara kemuncak dan wajib diadakan.
"Ia sangat menyeronokkan sebab masa inilah kita nak lepas geram dengan membaling selipar
pada orang, namun ada mesej di sebaliknya.
"Permainan rakyat ini menyihatkan badan, selain merapatkan ukhuwah sekeluarga biarpun
kadang kala saingannya sengit," katanya.
Acara baling selipar menyaksikan perlawanan antara dua kumpulan diwakili tiga pemain
dianjurkan Street Team sempena Festival Gegaria 2018 di pekarangan Pusat Pameran dan
Konvensyen Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) di Kuala
Lumpur.
Zarina yang bertugas di MATRADE berkata, keluarganya mengikuti perkembangan Festival
GegaRia, namun tidak berkesempatan menyertainya berikutan kekangan masa dan lokasi
penganjuran.
"Bila tahu festival diadakan di MATRADE, saya dan keluarga tidak melepaskan peluang untuk
meluangkan masa dan menyertai setiap aktiviti dianjurkan.
"Pengisian Festival GegaRia sangat menepati citarasa golongan muda, selain menggabungkan
elemen pendidikan dan riadah untuk manfaat seisi keluarga," katanya yang hadir bersama
suami, Mohd Faidzul Sharifuddin, serta tiga anak, iaitu Fatin Zafira, Fatin Zahira dan Zarif
Farhan, masing-masing berusia antara sembilan hingga 15 tahun.