Anda di halaman 1dari 5

Definisi Sastera 

                        Perkataan ‘sastera’ berasal daripada bahasa Sanskrit castra yang


membawa maksud kitab suci. Kesusasteraan pula membawa pengertian sebagai
segala penghasilan sastera yang dinikmati atau disampaikan, baik melalui tulisan
dan pembacaan mahupun melalui lisan dan pendengaran.(Harun Mat Piah et
al;2006 hlm 6). Sastera merupakan satu bidang seni kreatif yang medium
pengantarnya adalah bahasa. Sastera bermula dari tradisi lisan dan semakin
berkembang mengikut peredaran semasa. 
Pernyataan ini disokong oleh M.K Danziger dan W.S Jahnson (1983:2)
yang mendefinisikan sastera sebagai satu seni yang menggunakan kata-kata sama
ada lisan atau bertulis. Bahkan sastera juga merangkumi semua aspek yang
menggunakan bahasa yang bersifat kreatif, menurut Ismail Husein (1998:23). Ini
juga ditegaskan oleh Abu Bakar Hamid (1997:13) yang memberi pengertian sastera
sebagai satu seni yang bercorak intelektual dan gabungan kepuasan intelek dan
kepuasan estetik. 
                        Karya-karya sastera memaparkan perutusan, amanat serta lontaran
idea dan fikiran pengarangnya. Hasil karya itu mencerminkan gagasan dan daya fikir
pengarangnya yang ingin dikongsi bersama pembaca. Sebuah karya itu terhasil
daripada cetusan gabungan daya rasa, kepekaan dan keprihatinannya terhadap apa
yang diamati dan dialami oleh masyarakat. Menurut Syed Ali Ashraf (1989:36)
sastera bukan sahaja satu bentuk ilmu yang berseni tetapi ianya merangkumi segala
aktiviti manusia secara kreatif. 
Meneliti pandangan yang diutarakan oleh para sarjana memperlihatkan
bahawa sastera ditandai dengan pelbagai ciri khusus. Justeru, tugasan ini akan
membincangkan dan menjelaskan konsep kesusasteraan, ciri-ciri khusus sastera,
kategori serta fungsinya dengan contoh-contoh yang bersesuaian. 
            Dalam hal ini perbincangan akan ditumpukan kepada kategori sastera
mengikut masa dan bentuk seperti yang dijelaskan oleh Harun Mat Piah (2003).
Untuk maksud ini, beberapa bahan dan teks sastera akan dirujuk sebagai bahan
analisis yang mewakili karya tradisional mahupun moden. Antara sumber petikan
yang akan diketengahkan bagi kategori sastera tradisional genre prosa ialah dari
Sejarah Melayu dan Sastera Rakyat. Manakala rangkap dari Gurindam Dua
Belas akan dikaji untuk mewakili sastera tradisional genre puisi. Sastera Melayu
moden yang berbentuk prosa pula akan diwakili oleh karya-karya Abdullah Munsyi
manakala sajak Kamala yang bertajuk “Telok Gong” pula akan mewakili puisi Melayu
moden.

Konsep Kesusasteraan      
      Sastera merupakan satu bidang seni kreatif di mana bahasa adalah medium
pengantarnya. Sastera ditandai dengan beberapa unsur khusus yang mampu
membentuk tamadun dan peradaban sesuatu masyarakat selain memperlihatkan
sikap dan pandangan pengarangnya. (Arba’ie et al,2008) Secara ringkasnya sastera
dilengkapi dengan unsur-unsur yang berikut:
S – Seni bahasa yang indah
A – Akaliah atau sisipan ilmu dan pemikiran pengarang
S – Sensori atau daya sensitiviti pengarang
T – Tersurat & tersirat
E – Estetika atau keindahan dari segi bahasa
R – Realiti kehidupan
A – Alternatif 
                         Sastera Melayu mempunyai seni bahasa yang indah dan tersusun.
Diksi yang digunakan dapat memberi kesan penghayatan kepada pembaca. Ianya
mempamerkan kepakaran dan keahlian seorang pengarang itu untuk meluahkan
dan mengungkapkan makna yang difikirkan.  Adunan teknik-teknik yang sesuai dan
ketepatan diksi  menjadikan sesebuah karya itu hidup dan bertenaga.  
            Selain daripada penggunaan bahasa-bahasa yang indah dan
tersusun, sastera juga diiringi  dengan unsur akaliah. Dalam erti kata lain, seorang
pengarang perlu memikirkan perutusan, amanat, atau lontaran idea yang ingin
disampaikan atau dikongsi dan direnungi bersama oleh pembaca.  (Arba’ie et
al,2008 hlm 1) Unsur akaliah ini merupakan langkah pertama yang perlu ditetapkan
sebelum terhasilnya sesebuah karya. 
Dengan perutusan yang diingin disampaikan, seorang pengarang perlu
mengolah dan menggabungkan serta melengkapi karyanya itu dengan daya rasa
atau sensitiviti mereka. (Arba’ie et al,2008 hlm 1) Untuk itu, seorang pengarang
haruslah bersifat sensitif atau peka dan prihatin akan masyarakatnya. Pengamatan
pengarang akan masyarakatnya dijadikan sumber asas dalam menghasilkan
sesebuah karya. Kewujudan pelbagai daya rasa ini akan membangkitkan dan
meninggalkan kesan perasaan kepada pembacanya. Daya rasa seperti belas
simpati, benci , marah atau geram akan dihubungkaitkan dengan fenomena yang
dipaparkan. Karya itu akan lebih bernilai sekiranya apa yang dipaparkan pernah
dilalui atau dialami oleh pembaca.     

Sastera juga mempunyai unsur tersurat dan tersirat. Sastera tidak terhasil
dengan  kekosongan.(Ara’ie et al,2008 hlm 5) Ianya terhasil atas dorongan tertentu
dengan menggunakan sumber-sumber yang terdapat di persekitaran. Penafsiran
pembaca yang berencam mengundang pembaca memikirkan mesej yang ingin
disampaikan. Namun tidak semua lambang yang tersurat itu memberi erti apa yang
tersirat. Akan wujud makna-makna simbolik di sebalik kata-kata yang diungkapkan.
            Sastera juga mempunyai nilai estetikanya. Selain pemikiran, gaya
bahasa, bentuk struktur dan tema juga memainkan peranan penting untuk menilai
kesan estetika sesebuah karya itu. 
            Sesebuah karya sastera juga merupakan cerminan realiti kehidupan.
Persoalan-persoalan yang dipaparkan dalam sebuah karya sastera merupakan
rakaman realiti dalam masyarakat. Ianya merupakan renungan serta pengamatan
pengarangnya dan diterjemahkan secara halus dan berhemah. (Arba’ie,2008 hlm 2)
            Sastera yang terhasil merupakan satu alternatif kepada pengarang
untuk meluahkan perasaan, melepaskan kecaman-kecaman dan bauran rasa yang
terbuku di dada. Ianya bertepatan dengan fungsi sastera sebagai alat pelepasan
nilai rasa dan jerit naluri kehidupan manusia sejagat. (Arba’ie et al,2008 hlm 3)

Kategori  Kesusasteraan Melayu

Dalam kesusasteraan Melayu, pengkategorian sastera dilakukan berdasarkan


zaman atau masa sesebuah hasil sastera itu dikesan atau wujud. (Arba’ie et al,2008
hlm 8) Secara umumnya, pengkategorian sastera akan merujuk kepada tradisional
dan moden. Sastera Melayu tradisional meliputi dua genre iaitu prosa dan puisi.
Genre prosa dan puisi tradisional adalah seperti yang tersenarai:
Prosa                                                                          Puisi 
Sastera Rakyat                                                          Pantun
Sastera Pengaruh Hindu                                          Syair
Sastera Zaman Peralihan                                        Peribahasa
Sastera Pengaruh Islam                                           Teromba
Sastera Panji                                                            Talibun 
Sastera Ketatanegaraan                                    Nyanyian Kanak-kanak
Sastera Undang-undang                                          Jampi Mentera
Sastera Saduran                                                       Gurindam Zikir
Cerita Berbingkai                                                Seloka, Kit’ahMasnawi

 Manakala bagi kategori Sastera Moden, genre prosa dan puisi moden pula adalah
seperti berikut:
            Prosa                                                                          Puisi
            Cerpen                                                                       Sajak
            Novel
            Drama
                         
                        Walaupun kedua-dua sastera tradisional dan moden mempunyai
genre prosa dan puisi, namun, ciri-ciri khusus akan dibincangkan selanjutnya untuk
membandingkan sastera tradisional dan moden.
  

Ciri-Ciri Sastera Melayu Tradisional

                        Sastera Melayu tradisional merupakan karya-karya yang telah


diwarisi secara turun-temurun. Sastera tradisional disebarluaskan melalui lisan dan
memberi gambaran cara hidup atau budaya sesuatu masyarakat. Ia bersifat kolektif
atau hak milik bersama. Tiada sesiapa yang tahu siapa pengarangnya dan tidak
diketahui tarikh sesuatu sastera itu dihasilkan. Ianya lahir di kalangan masyarakat
masa lampau dan disampaikan secara lisan dari satu generasi ke satu generasi
yang lain kerana pada umumnya masyarakat pada zaman tersebut masih belum
mengenal huruf dan tidak tahu menulis. Penyebaran sastera Melayu tradisional juga
terhad disebabkan khalayak yang terbatas dan bersifat esklusif. 
Oleh kerana ianya disampaikan melalui lisan, banyaklah berlakunya
perubahan dan tokok tambah serta penyesuaian. Tema, latar serta watak dalam
sastera tradisional berpusat kepada masyarakat yang mewarisinya dan dipandang
tinggi oleh masyarakat tersebut sehinggakan karya-karya itu dianggap suci dan
keramat. 
Ciri-Ciri Sastera Melayu Moden
                        Sastera Melayu Moden pula mempunyai ciri-ciri yang berlainan
dengan sastera Melayu tradisional. Jika sastera Melayu tradisional tersebar melalui
lisan, maka sastera Melayu moden pula disebarkan melalui tulisan. Penyebaran
hasil-hasil sastera yang berbentuk tulisan ini semakin berkembang dengan
kehadiran mesin cetak. Penyebaran ini semakin meluas dan berjaya menembusi
masyarakat pembaca yang ramai. Ini berbeza dengan sastera tradisional yang
hanya diketahui oleh golongan tertentu sahaja. Jika sastera Melayu tradisional
terhad kepada sesebuah masyarakat tertentu sahaja yang bersifat esklusif, sastera
Melayu moden pula merupakan sebaliknya. Ianya bersifat individu atau
perseorangan kerana disertakan dengan nama pengarangnya. Ianya tidak lagi
bersifat kolektif atau kepunyaan umum tetapi khusus dimiliki oleh pengarangnya.
Bahkan sastera Melayu moden mempunyai sistem hak cipta terpelihara.     
                        Walaupun ciri-ciri sastera tradisional dan moden ini
bertentangan, namun masih terdapat persamaan dari segi fungsi sesebuah karya
sastera itu dihasilkan.