Anda di halaman 1dari 5

Tajuk: Membandingkan secara kritis hasil karya penulis kolonial dengan penulis

tempatan yang wujud pada zaman sebelum negara mencapai kemerdekaan.

1.0 Pengenalan
Penulis merujuk kepada orang yang menulis, kolonial merujuk kepada pegawai-
pengawai pemerintah kerajaan penjajah manakala tempatan bermaksud di tempat itu
sendiri (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2005). Oleh itu dapat dirumuskan, dalam konteks
pensejarahan Tanah Melayu, penulis kolonial merujuk kepada pegawai penjajah sama
ada penjajah Portugis, Belanda atau British yang menulis tentang sejarah Tanah Melayu
manakala penulis tempatan merujuk orang Melayu sama ada daripada Semenanjung
Tanah Melayu atau seluruh Kepulauan Melayu yang menulis berkaitan sejarah Tanah
Melayu. Penulis-penulis ini sama ada penulis kolonial atau penulis tempatan telah
banyak menyumbangkan hasil-hasil karya tulisan mereka kepada pensejarahan Tanah
Melayu. Oleh itu, fokus penulisan ini adalah untuk membandingkan secara kritis hasil
karya penulis kolonial dengan penulis tempatan yang wujud pada zaman sebelum
negara mencapai kemerdekaan. Rajah 1 menunjukkan aspek yang dibandingkan dalam
penulisan ini.

Aspek

Persamaan Perbezaan

Corak Motif Kepentingan


penulisan penulisan fakta

Rajah 1: Aspek yang dibandingkan.

1
2.0 Membandingkan secara kritis hasil karya penulis kolonial dengan penulis
tempatan yang wujud pada zaman sebelum negara mencapai kemerdekaan

Kepentingan fakta
Hasil karya penulis kolonial dengan penulis tempatan mempunyai perbezaan dari
kepentingan fakta dalam penghasilan karya. Karya penulis kolonial lebih mementingkan
fakta berbanding karya penulis tempatan yang banyak mengandungi unsur mitos (Syed
Ismail Syed Mustapa & Meor Aris Meor Hamzah, 2016). Hal ini kerana kaedah
pensejarahan moden yang diperkenalkan oleh Von Ranke iaitu objektiviti dalam sejarah
merupakan asas pegangan penulis kolonial. Kaedah ini memerlukan karya sejarah
ditulis sebagaimana yang sebenar-sebenarnya terjadi dengan mengemukakan fakta
bersandarkan kepada penggunaan sumber yang asli (Abu Talib Ahmad & Cheah, 2014).
Maka para pegawai kolonial perlu membuat penyelidikan bagi mendapatkan fakta dan
sumber-sumber yang asli untuk menghasilkan karya mereka.
Misalnya, dalam melakukan kajian terhadap amalan dan kepercayaan tertentu
masyarakat Melayu, para pengkaji kolonial sanggup menemui orang-orang sumber bagi
mendapatkan fakta penulisan yang tepat seperti R.O. Winstedt yang melakukan kajian
terhadap amalan perbomohan dan upacara keramat dalam kalangan masyarakat
Melayu. Beliau telah melihat sendiri ritual-ritual perbomohan di Tanah Melayu pada
masa tersebut sebelum menulis hasil kajiannya iaitu Shaman, Saiva and Sufi: A Study of
the Evolution of Malay Magic (1925) (Mohd Farhan Abd Rahman, Rohailin Zainon & Nor
Adina Abdul Kadir, 2015). Selain itu, untuk memahami budaya dan bahasa masyarakat
tempatan, penulis kolonial juga turut mendapatkan bantuan daripada para pemikir
tempatan (Syed Ismail Syed Mustapa & Meor Aris Meor Hamzah, 2016). Contohnya, W.
G. Shellabear telah mendapatkan bantuan daripada Sulaiman bin Mohammed Nur untuk
mengkaji hikayat Melayu seperti Hikayat Hang Tuah dan Hikayat Seri Rama.
Kepentingan fakta dalam karya penulis kolonial juga dapat dilihat daripada
penggunaan sumber yang dinyatakan dengan jelas dalam hasil karya mereka.
Contohnya penulisan Frank Swettenham dalam bukunya British Malaya (1907) yang
menceritakan mengenai kemasukan pengaruh kolonial dan pentadbirannya di Tanah
Melayu yang diambil daripada rekod-rekod kerajaan Negeri-Negeri Selat (NNS) dan
Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (NNMB) sesuai dengan kedudukannya sebagai
Gabenor NNMB sebelumnya (Lampiran 1). R.O. Winstedt juga telah menyatakan
dengan jelas sumber-sumber yang dirujuk dalam hasil kajiannya Shaman, Saiva and
Sufi: A Study of the Evolution of Malay Magic (1925) (Lampiran 2).
Berbeza dengan karya penulis kolonial, karya penulis tempatan bercampur baur di

2
antara perkara mitos dan legenda yang tidak diterima dalam sejarah serta fakta sejarah
yang terselindung di sebalik hal-hal yang bersifat mitos dan legenda tersebut (Mazlina
Harun, 2001). Menurut Roolvink (1957), pensejarahan tradisional Melayu terpecah
kepada dua bahagian iaitu bahagian pertama yang penuh dengan mitis-legendaris iaitu
hal-hal berkait dengan mitos dan legenda dan bahagian kedua yang lebih bersifat
sejarah. Misalnya karya Hikayat Melayu (1998), memperlihatkan gaya penulisan sastera
di bahagian awal penceritaannya dengan kemasukan unsur sastera seperti mitos dan
legenda. Unsur seperti ini amat jelas dilihat pada halaman satu (1) sehingga halaman
empat ratus dua (402). Halaman seterusnya memperlihatkan masih ada unsur-unsur ini
bergabung jalin dengan kehidupan realiti sebenar masyarakat pada masa itu tetapi
dilihat sudah berkurangan kerana lebih memaparkan keadaan sebenar zaman
pemerintahan keturunan Raja Kecil Siak.
Karya penulis tempatan juga dibuat tanpa kajian dan lebih berpandukan kepada
pemikiran dan intelek para penulisnya. Walaupun sesetengah penulisan tempatan dilihat
mengambil sumber-sumber daripada penulisan lain untuk dimuatkan dalam penulisan
mereka, penyataan sumber tidak dinyatakan dalam penulisan mereka. Sebagai contoh,
penulisan Bustanus Salatin yang menggalurkan kembali sejarah raja-raja Melayu
semestinya merujuk sumber seperti Sejarah Melayu atau sumber Pahang dalam
penulisannya, akan tetapi penulisnya, Syeikh Nuruddin al-Raniri tidak menjelaskan
sumber penulisannya (Rozita Che Rodi, Hashim Musa & Salmah Jan Noor Muhammad,
2015). Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa terdapat perbezaan dari aspek kepentingan
fakta di antara karya penulis kolonial dengan penulis tempatan.

Corak penulisan
Selain perbezaan yang telah dinyatakan, terdapat juga persamaan di antara karya
penulis kolonial dengan penulis tempatan. Persamaan yang dimaksudkan ialah corak
penulisan yang bersifat sentrik. Para penulis kolonial cenderung untuk melakukan
penulisan bersifat euro-centric. Hal ini berlaku kerana para pegawai British telah
didoktrinkan dengan satu bentuk pemikiran, pandangan dan penelitian yang direka
bentuk oleh pelbagai institusi pendidikan dan latihan kepada pegawai awam kolonial
yang telah membina tanggapan rasmi, formal dan peribadi tentang betapa rendahnya
martabat masyarakat dan budaya peribumi berbanding ketinggian dan martabat
masyarakat dan budaya Barat (Syed Ismail Syed Mustapa & Meor Aris Meor Hamzah,
2016).
Sebagai contoh, J. Rigby yang mengkaji Undang-Undang 99 Perak dan R. J.
Wilkinson yang mengkaji Undang-Undang Adat Perpatih dan Temenggung menolak
undang-undang Melayu tersebut sebagai sebuah undang-undang yang lengkap seperti

3
legal code dalam perundangan Barat. Mereka berpendapat, undang-undang adat di
Tanah Melayu sebaliknya hanya bersifat digest iaitu bersifat intisari terhadap sebuah
perundangan yang boleh diterima pakai seperti di Barat (Jelani Harun, 2013). Hal ini
jelas menunjukkan bagaimana para penulis kolonial cuba melihat undang-undang adat
di Tanah Melayu dari sudut perundangan kolonial sedangkan perkara ini adalah berbeza
sama sekali.
Penulisan yang bersifat euro-centric telah mewujudkan sikap bias mereka dalam
melakukan pengadilan moral ke atas tokoh-tokoh tertentu. Sebagai contoh, ketika
menulis mengenai penentangan pahlawan tempatan terhadap pentadbiran British di
Tanah Melayu seperti Tok Janggut, Mat Kilau dan Haji Abdul Rahman Limbong, British
menganggap mereka sebagai penderhaka sedangkan penulis tempatan menganggap
mereka sebagai seorang pejuang yang berani. Penulisan euro-centric dalam kalangan
pegawai British juga dapat dilihat melalui ulasan R.O. Winstedt terhadap Hikayat Hang
Tuah. Beliau menolak kewujudan Hang Tuah sebagai seorang Laksamana di Istana
Melaka kerana beranggapan wujudnya pengaruh sastera panji (epik Jawa) dalam
Hikayat Hang Tuah menjadikan watak Hang Tuah tidak lebih daripada sekadar mitos
seperti epik-epik Hindu-Jawa yang lainnya (Lampiran 3).
Dalam karya penulis tempatan pula, terdapat sentrik seperti bugis-centric dalam
karya Tuhfat al-Nafis tulisan Raja Ali Haji. Hal ini kerana dalam kebanyakan hal, suku
Bugis dilihat sebagai suatu bangsa yang kuat dan berjaya, selain mempengaruhi banyak
perkara dan keputusan di alam Melayu (Arba’iyah Mohd Noor, 2014) (Lampiran 4).
Misalnya, beliau mendakwa bahawa Hang Tuah yang merupakan panglima dalam
zaman Kesultanan Melayu Melaka itu adalah seorang yang berketurunan Bugis.
Dakwaan beliau adalah untuk mengukuhkan gambaran mengenai kepahlawanan Bugis
yang ditonjolkan dalam karya tersebut. Malah, dalam satu bahagian lain, beliau turut
mengangkat darjat suku Bugis dengan menyatakan bahawa orang-orang Bugis adalah
keturunan Nabi Sulaiman dan Puteri Balkis (Lampiran 5).

Motif penulisan
Karya penulis kolonial dan penulis tempatan juga mempunyai persamaan dari segi
aspek motif penulisan iaitu untuk mengangkat martabat seseorang atau sesuatu bangsa.
Penulis kolonial misalnya menulis karya dengan tujuan untuk mengangkat martabat
penjajahan kolonial di Tanah Melayu. Bagi membuktikan kejayaan pentadbiran mereka
yang dianggap mampu membawa kemodenan dan ketamadunan di Tanah Melayu,
penulisan sejarah adalah penting dalam memperincikan segala pencapaian yang telah
dilaksanakan oleh pentadbiran mereka di Tanah Melayu ketika itu (Yusoff Iskandar,
1992). Sebagai contoh, Frank Swettenham dalam buku British Malaya telah

4
menggambarkan bagaimana beliau cuba menunjukkan kemampuan pentadbiran kolonial
di bawah beliau sebagai Gabenor di NNMB pada waktu tersebut. Judul karya tersebut
sendiri sudah memberi gambaran tentang isi kandungan, idea utama atau temanya yang
sudah pasti tidak lari daripada menghuraikan peranan dan kejayaan pihak kolonial
British di Tanah Melayu.
Karya penulis tempatan pada zaman feudalisme Melayu pula mempunyai motif untuk
mengangkat martabat dan keagungan raja (Zainal Abidin Abdul Wahid, 1992).
Contohnya karya Bustanus Salatin karangan Syeikh Nuruddin ar-Raniri dilihat
cenderung untuk mengagungkan-agungkan Sultan Acheh manakala Tuhfat al-Nafis
terlalu mengagungkan suku Bugis dalam istana Riau pada ketika itu (Lampiran 6).
Kecenderungan ini berlaku disebabkan oleh keterikatan para penulis dan pujangga
istana terhadap titah dan perintah diraja ke atas mereka yang dititahkan untuk menulis
kitab-kitab sejarah. Misalnya, Tun Seri Lanang telah menyelenggara dan melengkapkan
kitab Sejarah Melayu atas perintah Yang di Pertuan Raja di Hilir, Sultan Abdullah
Mu’ayat ibni’l Sultan Abdul Jalil Syah setelah dibawa oleh Orang Kaya Suguh dari Goa
(Johari Talib, Maharam Mamat & Maznah Ibrahim, 2017).

3.0 Kesimpulan
Sebagai kesimpulannya, terdapat perbezaan dari aspek kepentingan fakta dan
persamaan dari aspek motif dan corak penulisan di antara hasil karya penulis kolonial
dan penulis tempatan. Hal ini menunjukkan hasil karya penulis kolonial dan penulis
tempatan mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Oleh itu, para pengkaji
sejarah perlulah mengkaji semua hasil karya pensejarahan yang dihasilkan sama ada
oleh penulis kolonial atau penulis tempatan agar kita dapat mengetahui peristiwa yang
benar-benar berlaku pada masa lampau.