Anda di halaman 1dari 2

MALAYSIA DI PENTAS DUNIA

Teringat ketika tangan ini menyelak sebuah buku atlas di perpustakaan, mengamati
betapa kerdilnya Malaysia yang terpelosok di tenggara dunia. Namun, jangan disangka
cili tidak berapi, kini Malaysia sudah menjadi sebuah negara yang gah di seantero dunia.
Bak kata orang tua-tua “ duduk sama rendah, berdiri sama tinggi”. Fikir-fikirkan...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani

Jutaan apresiasi kepada pimpinan majlis, saf hakim yang sentiasa cakna dengan keadilan
dan berintegriti, saudara penjaga masa yang semestinya menjunjung prinsip Al-Asr,
barisan warga pendidik budiman, seterusnya generasi pendukung wacana wawasan
negara.

Assalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatu dan salam perdana lakaran 1 Malaysia.

Malaysia Di Pentas Dunia, begitulah murninya mauduk pidato yang akan saya hidangkan
kepada hadirin untuk menjadi santapan minda di pagi yang gemilang ini. Sebelum,
menjelmakan butir-butir bicara bermadah, mohon diizinkan untuk melakukan
pendefinisian terhadap mauduk pidato saya daripada aspek hurufiah mahupun secara
generalisasi. Malaysia merupakan sebuah negara yang terletak di Asia Tenggara yang
terdiri daripada masyarakat berbilang kaum. Pentas pula merujuk kepada tempat
berdirinya seseorang melakukan acara. Manakala dunia merujuk kepada kawasan yang
luas di muka bumi ini. Oleh itu, secara holistiknya, Malaysia Di Pentas Dunia membawa
konotasi yang mendalam iaitu, keadaan Negara yang kita cintai ini semakin dipandang
tinggi oleh masyarakat dunia lantaran keberjayaan Malaysia mencipta nama dan
mencorak mutiara berharga dalam semua lapangan sama ada ekonomi, politik dan social.
Maka, pada hari ini, saya akan mengetengahkan fenomena anjakan paradigma Malaysia
setelah 5 darsawarsa pasca merdeka.

Bersaksikan warga dewan yang penuh bervisi,


Di bawah lembayung kata “Ekonomi Malaysia terus kukuh dan teguh” menjadi
hujah saya yang pertama. Berbicara tentang ekonomi, maka kekuatan Malaysia tidak
boleh disangkal lagi. Kita singkap sedekad yang lalu apabila satu persatu Negara
serantau dunia jatuh tersungkur ekoran kegawatan ekonomi yang melanda dunia.
Hakikatnya, ketika itu juga, Malaysia hampir tersungkur dek pelukan IMF. Namun,
kepintaran pemimpin kita ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad, begitu bijak
mengemplementasikan tambatan ringgit untuk mengurangkan beban Negara Lantaran
dengan kondusi ekonomi Negara yang kukuh dan teguh, menjelma pujian dari Negara
barat mengiktiraf ekonomi Malaysia sebagai ekonomi gergasi dunia.

Sidang hadirin yang budiman,


Indikator saya yang kedua ialah di bawah kata kunci “politik di Malaysia lambang
keamanan dunia”. Hari-hari, kita sering mendengar pergolakkan yang wujud di seluruh
dunia. Malah, kekacauan yang melanda diterjemahkan melalui rusuhan berdarah dan
ledakan senjata. Lihat sahaja kepimpinan Husni Mubarak di Mesir yang telah pun
tumbang, getaran pergolakan politik acuan Muammar Gadafi di Libya semakin hari
semakin pudar. Di Malaysia, dengan konsep demokrasi dan raja berpelembagaan, Negara
mampu mengerakkan politiknya di mata dunia. Sukar untuk menjentik kekukuhan Negara
yang kini tidak dapat di nafikan lagi.

Sidang hadirin yang santun budi,


“Sains dan teknologi Negara adalah kelas pertama”, menjadi inti hujah saya yang
ketiga. Kini, Negara kita semakin ampuh di pentas dunia kerana inovasinya dalam
penciptaan mahupun penyelidikan. Kejayaan demi kejayaan terus terungkai dan menjadi
keutuhan apabila, Dr sheikh Muzafar Sukor Berjaya menjejak kaki ke angkasa. Tetapi,
ada yang cuba memberikan tomahan bahawa itu kejayaan biasa. Namun, sedar atau tidak,
kejayaan itu adalah satu pintu permulaan Negara kita dalam perlumbaan meneroka sains
angkasa. Malah, ianya tidak termampu untuk direalisasikan oleh negara yang seusia
dengan Malaysia. Syabas dan tahniah kepada angkasawan pertama Negara. Saya tetap
teguh di belakang Dr.

Sidang hadirin yang penuh intelektual,


Di penghujung kalam, kita perlu sedar, kematangan Negara semakin menyerlah
dek semangat waja yang ditunjukkan oleh pemimpin negara dan disepadukan dengan
keazaman rakyatnya tercinta. Suka saya mengajak seisi dewan sekalian, untuk sama-
sama menabur bakti, menghulurkan secebis kekuatan untuk merealisasikan hasrat
Negara. Beringatlah, jangan pisang berbuah dua kali, apabila kita terlalu mudah
diperbodohkan oleh penjajah yang silih berganti, menjadikan kita sebagai kuli di Negara
sendiri. Tanamkan tekad di dalam hati, bulatkan azam penuh bermisi, jadikan Negara
Malaysia, Negara tersohor di mata dunia.

Saya akhiri pidato saya dengan Wabilahitaufik wal hidayah, assalammualaikum w.t.w.