Anda di halaman 1dari 19

1.

Budaya Bangsa Melayu


1.1 Definisi

Secara amnya, budaya (culture) bermaksud cara hidup manusia. Ia merupakan satu proses
perkembangan sahsiah, akal, semangat dan usaha manusia dalam sesuatu kelompok. Perkara ini dapat
dilihat melalui etimologi perkataan “budaya” yang bermaksud ” budi + daya “; yakni budi sebagai aspek
dalaman manusia yang meliputi akal dan nilai, manakala daya sebagai aspek lahiriah manusia yang
meliputi usaha dan hasilan. Maka pada kesimpulannya, budaya boleh difahamkan sebagai segala
penghasilan masyarakat manusia dalam pelbagai bentuk sama ada yang dapat dilihat atau tidak. Konsep
budaya merupakan satu konsep yang penting untuk membandingkan perbezaan antara suatu
masyarakat dengan suatu masyarakat yang lain.

Ciri-ciri Budaya

* Budaya merupakan pengkongsian suatu masyarakat


* Budaya tidak dapat berpisah dengan bahasa.
* Budaya diperolehi melalui proses pembelajaran.

1.2 Budaya membentuk jati diri.

Konsep kemuliaan insane dan ketinggian taraf sebagai nadi utama masyarakat bertamadun
perlu diterpkan dalam rangka pembinaan tamadun Malaysia. Istilah peradapan yang diperjuangkan oleh
masyrakat Melayu merangkumi ketinggian akhlak dan budi pekerti perlu mengatasi nilai-nilai material
yang diamalkan oleh sebahagian besar masyrakat hari ini.
Justeru, dalam usaha membina jati diri manusia Melayu ini ia memerlukan kebudayaan bangsa
yang selari dengan prinsip-prinsip Islam. Apa yang jelas mutahir ini ialah nilai-nilai kemuliaan insane ini
semakin terhakis akibat gelombang modenisasi dan globalisasi yang melanda umat Melayu Islam di
negara kita khususnya. Ia juga dapat diperincikan menerusi:

i. Pengaruh nilai individualistik. Fahaman ini tidak memberi penekanan kepada kehidupan
bermasyarakat. Maka unsur-unsur ketingian tamadun seperti saling menghormati, saling
menolong dan toleransi akan terkikis dari jiwa manusia.
ii. Meluaskan fahaman meteralisme. Fahaman yang bersifat kebendaan yang menjadikan
kekayaan sebagai ukuran dalam kehidupan. Hubungan antara manusia dilihat kepada nilai
benda yang diberi dan diterima dan hubungan sesama manusia tidak lagi bersifat
sacral(Zulkiflee & Mohd Nasir, 2005:89).
Tegasnya, dalam usaha membentuk identiti dan jati diri insan Melayu ini, sewajarnya umat Melayu hari ini
kembali semula menghayati apa yang telah diterap oleh umat Melayu zaman kegemilangan iaitu
penghayatan sepenuhnya terhadap ajaran Islam yang syamul yang tentunya akan melahirkan watak
insane Melayu yang beriman, bertakwa dan berakhlak mulia.

1.3 Ilmu mempertahankan Diri sebagai budaya bangsa melayu.

Akhir-akhir ini kita sering diperdengarkan dengan permasalahan kelunturan semangat sayang akan
diri anak muda kita, lantaran ramai dalam kalangan anak muda yang terjebak dengan pelbagai bentuk
gejala sosial dan keruntuhan akhlak. Bermacam-macam lagi budaya negatif yang merosakkan nilai
ketimuran dan agama telah menjangkiti anak muda kita. Apa sahaja yang datang dari barat dan luar
negara dianggap kemajuan dan perlu ditiru dan yang ada pada diri kita semuanya mundur, ketinggalan
zaman, tiada bernilai dan perlu dibuang. Keadaan rendah diri tidak bertempat seperti ini merupakan satu
bentuk penjajahan baru dan perlu dikaji puncanya agar kaedah pencegahan dapat dicari. Punca kepada
keadaan ini memang banyak sekali, namun ketiadaan konsep sayang akan diri inilah merupakan punca
utamanya. Kertas ini membincangkan tentang konsep dan elemen jati diri dan ketahanan diri yang ada di
dalam Seni Silat Cekak Malaysia. Seni Silat Cekak sebagai wasilah yang telah sedia memiliki elemen jati
dan ketahanan diri sekiranya dihayati oleh pengamalnya akan dapat membendung diri daripada dirasuk
oleh elemen luaran yang negatif dan sebaliknya menerima elemen positif yang selari dengan kehendak
agama Islam dan budaya Melayu kita. Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia sebagai sebuah badan
bukan kerajaan yang selama ini bergerak mempertahankan budaya asli yang positif juga mempunyai
peranan penting membantu kerajaan menangani kelunturan jati diri bangsa Melayu.

2.1 Takrif dan Konsep


Untuk mengupas tajuk yang diberikan, konsep-konsep asas ini perlu ditakrifkan secara lebih mendalam.
Saya berpendapat perkataan jati diri perlu lanjutan ungkapan seterusnya iaitu ketahanan diri. Hal ini
sesuai dengan maksud asal makna perkataan dan matlamat seminar ini. Jati bermaksud asli atau tulen
[1], sementara tahan pula bermaksud tidak berubah keadaannya atau tidak lekas rosak (luntur berubah
dll.) [1]. Oleh itu, kita perlu tahu yang asli atau asal pada diri kita agar ia tetap kekal dan tidak rosak oleh
sebarang anasir. Skop makna "diri" juga perlu difahami agar ia jelas. Konsep diri sekiranya diperluas
skopnya merangkumi semua yang berkait dengan fizikal diri (zahir), iaitu keluarga kita, kampung kita,
negara kita dan juga agama kita. Sekiranya dikaitkan pula dengan yang bukan fizikal diri (batin), ia
merangkumi, maruah, harga diri dan pegangan hati kita. Orang yang memiliki ketahanan diri akan
berupaya mengekalkan keaslian atau kejatian dirinya dalam sebarang situasi. Rajah 1.0 menggambarkan
konsep jati diri dan pertahanan diri berdasarkan pendidikan menerusi Seni Silat Cekak Malaysia. Sistem
pertahanan diri ini bertindak sebagai perisai yang dapat mengekal jati diri daripada di rosakkan oleh
anasir luar di samping menapis dan membenar masuk pengaruh luar yang baik untuk diserap tetapi
menangkis pengaruh luar yang buruk daripada meresap masuk.

Ilmu bela diri merupakan satu cabang ilmu (jasmani dan rohani) yang digunakan untuk menjaga diri
secara bersistem. Kepada orang Melayu, ilmu bela diri dikenali sebagai silat atau gayung. Berdasarkan
takrifan oleh Silat Cekak, silat bermaksud gerak bela diri orang Melayu. Gerak ini pada hakikatnya bukan
kita punya tetapi dikurniai oleh Allah kepada hambanya. Oleh itu silat sebenarnya merangkumi kedua-dua
aspek iaitu gerak zahir dan batin. Zahirnya perlu mahir dan batinnya pula kuat mentauhidkan Allah.
Sejarah lampau telah membuktikan betapa silat Melayu telah menjadi wasilah di dalam menjaga agama,
bangsa dan negara dari berbagai bentuk ancaman luar dan dalam. Sekiranya konsep dan falsafah asal
silat ini dikekalkan dan diterapkan menggunakan kaedah moden, ia akan dapat menambat hati anak
muda yang sememangnya dahagakan ilmu mempertahankan diri dan mengalami ketandusan aktiviti
pengisian masa senggang mereka. Saya yakin pendidikan yang diterapkan menerusi Seni Silat Cekak
Malaysia mampu menjadi salah satu elemen utama ketahanan diri dan seterusnya mengekalkan jati diri
pengamalnya.
3.0 Pendekatan Silat Cekak

Konsep sayang akan diri dan nyawa (roh) serta penerapan semula nilai positif perlu kaedah yang
bersesuaian dengan jiwa para remaja dan tidak pula menyinggung jiwa orang dewasa. Kaedah atau
pendekatan yang kurang sesuai akan menyebabkan segala input akan ditolak atau ia tidak dapat
menembusi benteng hawa nafsu. Sayang akan diri pula perlu kefahaman terhadap konsep kejatian dan
ketahanan diri. Berdasarkan pengalaman saya berkecimpung dengan Silat Cekak selama hampir 25
tahun, terdapat banyak elemen pendidikan diri yang amat tinggi nilainya dalam silat ini. Elemen-elemen
ini ada yang telah tersurat seperti mana termaktub di dalam pantang larang dan adat istiadat persilatan,
perlembagaan PSSCM dan peraturan-peraturan bertulis Lembaga Pelajaran & Tatatertib PSSCM.
Terdapat juga elemen yang tersirat yang diterapkan secara tidak langsung menerusi kaedah pengajaran
dan pembelajaran, pergaulan guru dan murid, contoh dan teladan para pemimpin dan bimbingan serta
didikan guru-gurunya. Pendekatan yang dikemukakan oleh Silat Cekak ini berupaya mendidik kita
mengenali jati diri yang sebenarnya dan seterusnya menjadikan kita menghargai dan bertanggungjawab
untuk menjaga kurniaan Allah yang ada pada diri kita.

3.1 Silat Cekak dan Konsep Jati Diri


Silat Cekak menjelaskan secara mendalam tentang konsep diri dan mengenal diri untuk mengenal
pencipta-Nya. Kata Guru "Kenalilah dirimu rata-rata, baru kita kenal Tuhanmu yang nyata" [2]. Kata-kata
ini selalu ditekankan agar kita tidak lupa diri dan sentiasa mensyukuri segala nikmat yang Tuhan
kurniakan kepada kita serta dapat menghilangkan sifat ego. Para pemimpin silat ini juga sering
menekankan bahawa mempelajari silat ini bukan untuk bermegah-megah tetapi semata-mata untuk
menjaga diri. Dengan kata lain silat ini bertunjangkan akidah seperti mana jelas ternyata dalam dua
daripada matlamat perjuangannya iaitu:

"Memberi pengertian tentang tujuan dan matlamat bersilat juga tujuan dan mengapa hidup serta
matlamat sebenar hidup" [3 ]. 

"Menanam semangat dan roh Islam sebagai pegangan dalam menghadapi sebarang keadaan"[3 ].

Matlamat sebenar hidup seperti yang dijelaskan oleh Almarhum Ustaz Hanafi (pengasas PSSCM) selaras
dengan yang dijelaskan dalam Al Quran: 

"Tidak Aku jadikan jin dan manusia, semata-mata untuk menjadi hambaKu".[Adz-Dzaariyat:56] 
Tujuan utama Seni Silat Cekak menekankan konsep menjadi hamba Tuhan ialah agar kita sentiasa ikhlas
dalam menjalankan tugas hidup kita. Sebagai panduan, Guru Utama PSSCM Y.M Tuan Haji Ishak Itam
sentiasa menjelaskan tujuan bersilat seperti di dalam rangkap kata berikut:

"Kita bersilat bukan kerana silat, kita bersilat kerana agama.


Kita bersilat bukan kerana silat, kita bersilat kerana Allah" [4 ]. 

Di samping penjelasan tentang diri, Silat Cekak juga menjelaskan tentang komponen diri. Diri kita terdiri
daripada dua komponen asas iaitu yang zahir dan yang batin, kedua-duanya perlu dididik agar ia
seimbang. Tulisan "Muhammad-Ahmad" yang ditulis secara timbal balik pada lambang Seni Silat Cekak
menggambarkan penekanan terhadap asuhan jasmani dan rohani seperti yang dimatlamatkan [13].
Perkara ini juga dijelaskan menerusi Pantun Cekak seperti berikut:

Silat Cekak Pada Lahirnya


Pengertian Gerak Pada Batinnya
Hendaklah Mahir Seluruh Anggotanya
Hendaklah Jujur Pada Jiwanya [6 ]

Di samping itu Silat Cekak juga menekankan agar kita menghargai nyawa yang Tuhan kurniakan kepada
kita. Nyawa merupakan amanah Tuhan yang perlu dijaga. Ciri-ciri pendidikan diri ini dirangkumkan dalam
sukatan pelajaran kelas teori dan amali Silat Cekak agar ia dapat difahami dan seterusnya diamalkan
oleh ahli-ahlinya [7, 8].

Adat istiadat Melayu yang tidak bercanggah dengan akidah Islam dikekalkan dan dimajukan dalam
perjuangan Seni Silat Cekak Malaysia. Perkara ini jelas dinyatakan dalam perlembagaan PSSCM iaitu:

"Memperkenalkan Seni Silat Cekak sebagai salah satu daripada kebudayaan warisan bangsa Melayu"
[5].

Secara praktikal, tatasusila Melayu kekal dalam amali Seni Silat Cekak, misalnya tidak ada kaedah
sepak-menyepak melebihi had atas pinggang digunakan. Orang Melayu menganggap menyepak ke arah
kepala orang adalah "kurang sopan" Begitu juga menunjuk ajar menggunakan kaki juga tidak sesuai
dengan budaya orang Melayu dan ia tidak digunakan dalam Seni Silat Cekak. Gerak-geri Seni Silat
Cekak amat bersopan, tertib, tidak gelojoh, menggunakan tangan di tempat tangan, dan menggunakan
kaki di tempat kaki; tidak menggunakan tangan di tempat kaki atau sebaliknya [9].
Pendekatan menerusi pantang-larang juga berupaya membantu ahli Silat Cekak mengenali jati diri dan
mempertahankannya. Sebagai contoh, pantang larang Seni Silat Cekak yang kelima iaitu "Tidak boleh
mencaci segala rupa Seni Silat Melayu asli yang lain", menjelaskan bahawa semua hak Melayu perlu
dihormati. Mencaci silat dan budaya Melayu yang lain walaupun rendah mutunya bererti mencaci diri
sendiri. Mencaci dan memfitnah merupakan tabiat buruk dan terlarang dalam agama kita yang perlu
dihakis dan dihindari. Di samping penerapan secara amali tentang konsep sayang akan hak sendiri,
penekanan terhadap kepentingan penggunaan bahasa dan peristilahan Melayu dan pengertiannya amat
ditekankan. Perkara ini tergambar dengan jelas menerusi ungkapan pantun Seni Silat Cekak, kertas kerja
dan ceramah pengasas Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia, Almarhum Ustaz Hanafi Hj. Ahmad.
Penekanan terhadap penggunaan istilah dan pengertian bahasa yang betul dan tepat amat penting agar
kita mewarisi budaya ilmiah dalam ilmu persilatan [10]. Sebagai contoh, penggunaan nama "kelas
latihan" bukannya "gelanggang" untuk tempat bersilat adalah bersesuaian dengan proses pengajaran
dan pembelajaran yang terdapat dalam Silat Cekak bukan bertarung atau bermain yang bersesuaian
dengan penggunaan istilah gelanggang.

Satu lagi perkara yang tidak kurang pentingnya ialah bagaimanakah kita hendak mengembalikan
semangat dan keyakinan bahawa bangsa kita juga memiliki khazanah budaya yang amat bernilai tinggi
yang dapat membina tamadun ummah. Aspek budaya ini merangkumi juga aspek seni bela diri atau silat.
Usaha dalam bentuk penerangan dan penjelasan tentang kebaikan dan kelebihan Silat Cekak memang
kerap diadakan agar kita sayangkan warisan sendiri yang tinggi mutunya. Keyakinan terhadap mutu Seni
Silat Cekak lahir menerusi kupasan secara ilmiah atau saintifik dan muzakarah ilmiah yang kerap
diadakan. Konsep sayang akan diri akan membiak menjadi sayangkan budaya warisan sendiri
seterusnya akan melahirkan jiwa patriotik yang sayang akan bangsa dan negara.

Oleh itu menerusi penjelasan di atas komponen jati diri dalam konteks perbincangan ini dapat
disimpulkan menjadi dua perkara pokok iaitu:

1. Agama Islam (pegangan hati)


2. Adat-istiadat atau budaya bangsa (Melayu)
Kedua-dua aspek jati diri yang perlu diterapkan dan dipelihara dalam diri kita telah jelas diterapkan dalam
Seni Silat Cekak. Untuk mengekalkan jati diri, kita perlu alat dan elemen untuk menerap dan
mempertahankannya agar ia tetap kekal dalam diri walau apa jua suasana luarannya. Dalam hal ini, Seni
Silat Cekak sekali lagi merupakan alat yang sedia memiliki elemen-elemen yang berupaya menjana
ketahanan diri.
Komponen Ketahanan Diri Seni Silat Cekak

Banyak sekali elemen-elemen positif dalam Seni Silat Cekak yang berupaya menjadi benteng yang kukuh
untuk mempertahankan jati diri. Sifat berani yang ditanamkan secara langsung menerusi sistem pelajaran
Seni Silat Cekak adalah salah satu aspek penting dalam hal ini. Silat Cekak tidak mengelak ke kiri atau
ke kanan tetapi mara ke hadapan menangkis serangan musuh dengan menggunakan 4 kaedah
pelajarannya walau apa sahaja jenis serangan yang datang [11]. 

Silat Cekak juga menunggu serangan dengan tangan kosong walaupun musuh bersenjata, yang juga
merupakan satu lagi latihan dan pendidikan diri untuk menjadi berani. Konsep berani ini amat penting
sehingga ia dianggap sepenuh Iman [4, 12]. Kita tidak boleh takut selain Allah, malahan hantu sekalipun
kita tidak boleh takut, kerana hantu juga makhluk Allah yang kena jadi. Menerusi penerapan konsep dan
latihan ini, lahirlah ahli yang cekal hatinya dalam menghadapi musuh-musuh Allah yang nyata dan tidak
nyata, sama ada dalam suasana aman atau tidak aman sekalipun.

Prinsip berdiri lurus ketika menunggu serangan musuh menggambarkan pendirian yang tetap atau tegas
pendirian (pegangan hati). Berdiri lurus ialah pendirian asal manusia juga pendirian yang disuruh oleh
agama Islam [4]. Berdasarkan kajian ilmu silat, kebanyakan ilmu bela diri sepakat memperakui bahawa
berdiri lurus merupakan pendirian tertinggi atau pendirian peringkat guru. Kelebihan berdiri lurus daripada
berkuda-kuda (gaya berdiri kebanyakan silat) semasa menghadapi serangan boleh dibuktikan secara
ilmiah [13]. Pendirian betul ini amat penting khususnya apabila kita menghadapi suasana luar yang amat
mencabar dan tidak menentu dewasa ini. Almarhum Ustaz Hanafi pernah mengungkapkan supaya kita
mencontohi ikan dalam lautan: 
"Ikan yang lahir dan tinggal di lautan tidak menjadi masin, perlu digaramkan juga apabila hendak
digoreng".

Seterusnya Ustaz Hanafi pernah berpesan kepada penuntut-penuntutnya: 


"Walau di mana sekalipun kita berada Tuhan itu tetap sama, Ia tetap melihat kita sama ada kita
melakukan perbuatan baik atau sebaliknya".
Pegangan hati atau iman yang kukuh kurniaan Allah dan yakin bahawa kita ini sentiasa diawasi oleh yang
empunya hak amat perlu kepada kita tidak kira di mana kita berada dan pada bila-bila masa. Penerapan
konsep berdiri lurus dan kaedah tangkisan serta berpegang teguh terhadap falsafah "ikan di lautan" dan
"Tuhan yang sa" merupakan pertahanan terkuat yang dapat mengekalkan jati diri kita.

Pantang-larang utama Seni Silat Cekak telah menggariskan beberapa prinsip utama yang dapat
memperteguh kekuatan dalaman diri (roh) kita. Tiga pantang larang utama Seni Silat Cekak, iaitu tidak
boleh derhaka kepada guru, ibu dan bapa ialah perintis kepada konsep mengenang jasa dan tatatertib
dalam menuntut ilmu. Di samping itu, Roh kita perlu dicuci dengan mengingati dan memohon keampunan
Allah di atas semua kesalahan seperti mana kita mencuci anggota lahiriah kita menerusi mandi dan
bersabun. Konsep suci dan bersih adalah tuntutan agama, iaitu apabila roh kita bersih baharulah segala
ilmu yang baik mudah diterima. Konsep menuntut ilmu dalam Islam pula perlu landasan seperti berikut:

"Tidak berilmu kalau tidak berguru. Berguru pula perlukan guru yang Mursyid lagi Sidik".

Oleh itu, inti sari taat kepada Guru ini ialah konsep "berkat" seperti mana ternyata dalam pantun Cekak
berikut:

"Taat kepada Guru membawa berkat


Sedikit belajar banyak yang dapat
Jika menderhaka menjadi mudarat
Semua ilmu tiada yang lekat" [6]

Dengan berkat dan didikan guru, kita akan terhindar daripada melakukan kerja-kerja mungkar dan sifat
buruk seperti khianat, rasuah, ego, berbohong dan sebagainya. Melalui gurulah kita akan dididik untuk
mentaati Rasulullah dan Allah. Gurulah yang kita dapat lihat secara lahiriah untuk mendidik kita mentaati
yang ghaib dan tidak terlihat menerusi mata kasar. Sementara kesan "keramat" dan "hikmat" kedua ibu
bapa pula akan kita perolehi menerusi ketaatan kita kepada kedua-duanya. Penekanan terhadap perkara
ini terkandung dalam rangkap Pantun Cekak yang berikut:

"Dua ibu bapa tak boleh derhaka


Besar jasanya kepada kita
Kalau derhaka bahaya menimpa
Di akhirat kita masuk neraka" [6]

Guru, ibu dan bapa merupakan tiga orang yang tidak memiliki sifat dengki dan senentiasa mengharapkan
atau mendoakan kejayaan murid dan anak-anaknya. 

Gerak silat merupakan pertahanan fizikal dan pendidikan yang diterapkan bersamanya merupakan
elemen penting yang akan menjadi benteng pertahanan kuat pengekalan jati diri. Sekiranya prinsip ini
dapat diikuti sepenuhnya, selamatlah semua generasi bangsa daripada segala masalah dunia dan
akhirat.
Kesimpulan

Kupasan ringkas berkenaan konsep jati diri sebenar dan komponen utamanya iaitu agama Islam atau
pegangan hati dan budaya Melayu yang positif perlu kepada pertahanan diri agar ia tidak pupus oleh
pengaruh luar. Seni Silat Cekak Malaysia sebagai salah satu bidang ilmu dapat menjelaskan secara tepat
komponen jati diri yang perlu ada dalam diri kita dan perlu dipertahankan. Seni Silat Cekak Malaysia yang
telah dijelaskan juga memiliki elemen-elemen pendidikan yang khusus dalam sistem pelajarannya dan
berupaya berperanan menjadi benteng atau pertahanan diri. Pendidikan dalam Seni Silat Cekak juga
berupaya melahirkan anggota masyarakat yang sayang akan diri, agama, bangsa dan negara dan
seterusnya menjadikan pengamalnya selamat di dunia dan di akhirat. Sebagai sebuah badan bukan
kerajaan (NGO), Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia berperanan membantu membentuk ahli
masyarakat yang mengenali jati dirinya serta berkeupayaan mempertahan jati diri ini. Oleh itu, kerjasama
erat di antara badan-badan NGO dan agensi pemerintah yang dipertanggungjawabkan amat penting
untuk menjamin keberkesanan pencapaian matlamat untuk membentuk bangsa Malaysia yang berjiwa
patriotik.
2. Ilmu mempertahankan diri.

2.1 Ilmu mempertahankan diri di dunia

a. Korea – Tae-kwondo
b. China – Kungfu
c. Indonesia – Pancak silat
d. Thailand – Muay Thai
e. Jepun – Karate
f. Jepun – Judo
g. Filipina – Kali
h. Prancis – Savate
i. Russia – Sambo
j. India – Silambam
k. Israel – Krav Maga
l. Mesir – Sebek kha
Seni silat cekak

Asal-usul silat cekak

Silat Cekak berasal dari Kedah. Pernah diamalkan oleh panglima-panglima kerajaan Kedah di zaman
Kesultanan Sultan Ahmad Tajuddin II.

Panglima Ismail, salah seorang panglima kanan kerajaan Kedah yang pernah menewaskan seorang
batak bernama Tuah (bukan Hang Tuah) telah menurunkan ilmu silat ini kepada Panglima Tok Rashid.
Manakala Panglima Tok Rashid pula telah mengamanahkan Silat Cekak ini kepada Yahya Said yang
berasal dari Batu Kurau, Taiping sebagai 'pemegang amanah'.

Panglima Tok Rashid meninggalkan wasiat kepada Yahya Said yang ketika itu berumur 20 tahun:

"Jika ada anak cucuku di Kedah hendak belajar silat ini, hendaklah kau pulangkan kembali".

Silat ini telah terpendam selama 40 tahun sehinggalah Y.M. Ustaz Haji Hanafi bin Haji Ahmad yang
berasal dari Kedah, telah bertemu dengan Yahya Said.

Oleh kerana minatnya yang amat mendalam terhadap silat ini, Y.M. Ustaz Haji Hanafi bin Haji Ahmad
telah dapat mewarisi kembali seni pusaka bangsa ini daripada Yahya Said. Pada 5 Ramadhan 1385
Hijrah, bersamaan 28 Disember 1965, bertempat di rumah Shafie Darus, Batu 4 3/4, Jalan Gunung Alor
Setar, Kedah; Silat Cekak berjaya dilahirkan kembali menerusi Perkumpolan Seni Sari Budaya Sri Kedah
yang ditubuhkan pada Februari 1964.

Kemudian pada 19 Ogos 1971, Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia didaftarkan dan diasaskan oleh YM
Al-Marhum Ustaz Hanafi bin Haji Ahmad Pada tahun 1975, Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia telah
menyaksikan logo baru baginya yang mana ianya juga telah diasaskan oleh Y.M. Al-Marhum Ustaz Haji
Hanafi bin Haji Ahmad, Guru Utama merangkap Presiden PSSCM.

Beliau telah meninggal dunia pada 13 Ogos, 1986 setelah menerajui PSSCM dan mengembangkan silat
ini ke seluruh negara selama 21 tahun.

Tanggungjawab ini diteruskan pula oleh Y.M. Haji Ishak bin Itam selaku Guru Utama merangkap
Presiden PSSCM pada 21 September, 1986. Majlis pengijazahan penuntut baru pertama kali dilakukan
oleh beliau di Universiti Pertanian Malaysia pada 13 Oktober, 1986. Seterusnya hingga sekarang
cawangan-cawangan PSSCM telah berkembang diseluruh Semenanjung Malaysia.
Sejarah penubuhan

Pada 5 Ramadhan 1385 Hijrah, bersamaan 28 Disember 1965, bertempat di rumah Shafie Darus, Batu 4
3/4, Jalan Gunung Alor Setar, Kedah; Silat Cekak berjaya dilahirkan kembali menerusi Perkumpolan Seni
Sari Budaya Sri Kedah yang ditubuhkan pada Februari 1964. 

Pada akhir tahun 1970, Seni Silat Cekak telah berhijrah ke Kuala Lumpur. Di Kuala Lumpur, ia
berkembang dari satu sudut yang kecil di kedai makan milik En. Hussain b. Ahmad, Jalan Raja Alang,
Kuala Lumpur. Seterusnya, beberapa kelas telah dibuka, antaranya di Kampung Baru. Kegiatannya di
Kuala Lumpur telah berjalan di bawah naungan seksi Seni Silat, Persatuan Bawean Putra, Kampung
Datuk Keramat, Kuala Lumpur. 

Pada 19 Ogos 1971, Silat Cekak telah diperkenalkan dan dikembangkan oleh YM AlMarhum Ustaz Haji
Hanafi bin Haji Ahmad melalui Persatuan Seni Silat Cekak Kedah Malaysia dan pada tahun 1975 pula,
melalui Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia. Pada tahun yang sama, buat pertama kalinya lambang
rasmi Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia telah diperkenalkan dan telah digunakan sehingga kini. 

Perkembangan awal Seni Silat Cekak Malaysia telah diterajui oleh YM AlMarhum Ustaz Haji Hanafi bin
Haji Ahmad sehinggalah beliau kembali ke Rahmatullah pada 13 Ogos 1986 selepas 21 tahun
mengembangkan Seni Silat Cekak Malaysia ke seluruh negara. 

Bak kata pepatah Melayu 'patah tumbuh hilang berganti', tanggungjawab tersebut telah diteruskan oleh
YM Tuan Haji Ishak bin Itam selaku Guru Utama dan Presiden PSSCM pada 21 September 1986
sehingga 3 Jun 2009 dan seterusnya oleh Y.Bhg. Datuk Haji Maideen Kadir Shah sehingga kini.
Carta organisasi

Ahli Jawatankuasa Pusat PSSCM


Sesi 2008-2011
 

Pemangku Presiden
Datuk Hj. Maideen Bin Kadir Shah

Setiausaha Agong
En. Roslin Bin Ali Omar
Bendahari Agong
En. Anuar Aziz @ Abd Aziz
Ketua Penerangan
En. Rosman Bin Mat Deli

Pen. S/U Agung I


En. Mohd Hafiz bin Jamil
Pen. Bend. Agung
En.  Suradi Bin Abdul Rahman
Pen. K.Penerangan
En. Shahrem bin Md Ramli

Pen. S/U Agung II


En. Khaharuddin bin Abd. Rahman

Ahli J/Kuasa

En. Safaran bin Ahmad


Prof. Madya Dr. Hj. Abdul Majid bin Ismail
En. Sazarin Bin Sardomo
Tn. Hj. Kassim bin Husin
Tn. Haji Fizol Mohd Saad
En. Faizal bin Mohd Yusof
En. Mohd Zaini Bin Marzuki
En. Mustafa bin Abdullah
En. Abdul Rahman bin Abdul Hamid
En. Mohmad Anuar bin Ahmad
En. Mohd Adanan bin Mohd Dom

Juruaudit
En. Isma Amri bin Abdul Manan

Penasihat Undang-Undang
En. Riza Makhzan Bin Arifin

Juruaudit
En. Malek Rizal bin Hizat
Matlamat  

1. Menghidupkan, memperkenalkan serta mempersebatikan pusaka bangsa yang merupakan seni


kebudayaan keturunan yang hampir dilupakan.
2. Menanamkan perasaan cinta dan kasih akan hak dan warisan mutlak bangsa Melayu.
3. Menanamkan semangat bahawa kitalah yang bertanggungjawab menjaga diri sendiri, tanpa
bergantung kepada orang lain.
4. Memberi pengertian tujuan dan matlamat bersilat, juga tujuan dan mengapa hidup serta matlamat
sebenar hidup itu.
5. Membasmi dan menentang tahyul dan khurafat yang tidak sesuai dengan iktikad Islam.
6. Menanamkan semangat dan roh Islam sebagai pegangan bagi menghadapi apa jua keadaan.

Perguruan

Salasilah guru

Panglima Ismail Panglima Kanan Negeri Kedah di zaman Kesultanan Ahmad Tajuddin II.
Panglima Tok Rashid Panglima Kanan Negeri Kedah telah menerima Silat Cekak dari wasilah
Panglima Ismail.
Yahya Said (Pemegang Menerima Silat Cekak dari Panglima Tok Rashid sebagai "Pemegang
Amanah) Amanah" selama 40 tahun dari 1925 hingga 1965.
Ustaz Haji Hanafi bin Haji Pengasas PSSCM dan sebagai Guru Utama merangkap Presiden selama 21
Ahmad tahun dari 1965 hingga 13 Ogos 1986.
Ustaz Haji Hanafi bin Haji Pengasas PSSCM dan sebagai Guru Utama merangkap Presiden selama 21
Ahmad tahun dari 1965 hingga 13 Ogos 1986.
Datuk Haji Maideen bin Guru Utama merangkap Pemangku Presiden PSSCM mulai dari 3 Jun 2009
Kadir Shah hingga sekarang.
Biodata pengasas

YM Ustaz Haji Hanafi bin Haji Ahmad 


Pengasas Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia

Walaupun Ustaz Hanafi dilahirkan dari keluarga petani, namun kepentingan pada pelajaran amat
diutamakan oleh bapanya dan beliau telah dihantar ke Sekolah Melayu Gunung bagi mendapatkan
pendidikan awal sehingga darjah empat. Kemudian beliau dihantar pula ke sekolah agama iaitu di Pondok
Alor Gonchah dan Guar Chempedak. 

Ketika berusia 18 tahun, Ustaz Hanafi telah memulakan penghidupannya sebagai perantau sambil menjual
ubat-ubatan bersama-sama dengan Pak Ngah Sharif yang bukan sahaja sebagai guru kepadanya tetapi
juga bapa angkatnya. Pak Ngah Sharif yang berasal dari Tokai, Kedah telah membimbing beliau
mengenali dunia manusia yang bermacam ragam. Ustaz Hanafi semasa hayatnya juga pernah menjadi
guru agama dan penyelia zakat. 

Ustaz Hanafi yang berjiwa besar, telah membabitkan dirinya dalam memperjuangkan semangat
kebangsaan Melayu. Beliau sebagai seorang aktivis dalam Pertubuhan Seberkas Kedah, pernah berjuang
bersama-sama rakan seangkatannya termasuk Tan Sri Khir Johari, Tan Sri Datuk Senu Abd. Rahman
serta Mashor Mohammad (abang kepada Datuk Seri Dr. Mahathir). 

Setelah hampir dua dekad beliau berkecimpung di arena politik, akhirnya beliau mengambil keputusan
untuk tidak aktif dalam politik tanah air memandangkan beberapa perubahan telah melanda suasana
politik ketika itu. Memadailah beliau menimba pengalaman bersama dengan politik tanah air ketika itu. 
Menyingkap semula zaman mudanya, Hanafi banyak menghabiskan masanya bagi menyelidiki dua bidang
yang digemarinya iaitu mencari silat Melayu yang benar-benar asli dan boleh dipertanggungjawabkan
untuk mempertahankan diri dan mendalami bidang kerohanian Islam khasnya ilmu tauhid. Keadaan ini
telah memberi peluang kepadanya bagi mempelajari pelbagai jenis silat Melayu dan menemui beberapa
tokoh agama termasuk Kiai Fathulah Suhaimi dan Tuan Haji Abdullah Fahim. 

Setelah mengkaji dan meneliti secara mendalam segala ilmu yang ditimba, Ustaz Hanafi akhirnya
membuat keputusan mahu mengembangkan Silat Cekak kepada masyarakat Melayu. Menerusi gerakan
silat inilah Ustaz Hanafi berhasrat mendidik anak-anak bangsa agar cintakan kebudayaan warisan dan
menyalurkan segala pengalaman serta ilmunya di bidang kemasyarakatan. 

Di dalam silat, Ustaz Hanafi telah berjasa dengan melahirkan semula Silat Cekak, jika bukan dengan
inisiatifnya, mungkin Silat Cekak akan luput dan tidak dikenali. Dalam usahanya mengembangkan silat
Melayu, Ustaz Hanafi sedar bahawa beberapa sikap dan tradisi yang perlu diubahsuai bagi menyesuaikan
dengan keadaan semasa. Perkara pokok yang diberi perhatian ialah mengubah corak hubungan antara
guru dan penuntut. 

Ustaz Hanafi Yakin kepada hubungan dua hala dan sebab itu rasa hormat dari penuntut bukan hanya
sekadar kerana ia guru, tetapi kerana sifat dan tindak tanduknya yang boleh memenangi hati murid. Ustaz
Hanafi beranggapan, sikap takut kepada guru dan mengikut apa sahaja kehendak guru di kalangan
penuntut akan merugikan sesuatu pergerakkan silat itu. 
Cara penyampaian silat kepada masyarakat umum turut diubahsuai. Ustaz Hanafi berjaya mengatur
sistem pelajaran dan corak pengajaran Silat Cekak secara saintifik dengan menggunakan kebijaksanaan
mental dan kaedah yang bersistematik. Setiap mata pelajaran diajar secara tertib dan teratur dengan
menerangkan matlamat dan sebab-sebab sesuatu pelajaran Silat Cekak. 

Ustaz Hanafi juga tidak ketinggalan untuk melakukan pengubahsuaian dalam majlis-majlis penerangan.
Penekanan yang diberikan kepada sesuatu majlis penerangan ialah memberitahu masyarakat betapa silat
masih sesuai untuk diamalkan dan cara bagaimana konsep Silat Cekak dilakukan. Bagi memastikan
kelicinan setiap perubahan dilakukan itu, beliau telah mewujudkan satu sistem pentadbiran yang cekap.
 Biodata guru utama

YM Tuan Haji Ishak bin Itam 


Guru Utama Seni Silat Cekak Malaysia (1986 - 2009)

 YM Tuan Haji Ishak bin Itam sejak dari kecil lagi telah meminati seni silat Melayu, iaitu bermula dari umur
9 tahun sehingga ke umur 18 tahun beliau telah mempelajari Silat Gayung Fatani melalui bapa
saudaranya En. Bakar dan En. Shafie b. Din. Seterusnya beliau mempelajari Silat Kuntau Jawa dari En.
Hassan Jawa selama 2 tahun dan kemudiannya telah mempelajari Silat Sendeng dan Silat
Minangkabau. 

Kemudian beliau mempelajari pula Tomoi Siam dari En. Osman b. Ahmad (Man Balak) sehingga beliau
menjadi Guru Tomoi selama 2 tahun. Semasa menjadi Guru Tomoi, beliau begitu yakin bahawa tiada
satu silat Melayu boleh mengalahkan Tomoi Siam. 

Selain daripada ilmu persilatan, beliau telah mempelajari ilmu kebatinan melalui Ustaz Azizan (Izan). Di
samping itu, beliau telah mempelajari cara-cara membuat ubat tradisional merawat penyakit kencing
manis. Tuan Haji Ishak b. Itam juga pernah mendapat pendidikan agama secara formal di Pondok Tuan
Haji Mat Salleh Mesir, Tanah Liat yang pada masa ini menempatkan Maktab Adabi. Kemudian belajar
pula di Pondok Pokok Sena (tafsir) dengan Tuan Guru Haji Ahmad b. Tuan Haji Hussein. 

Pada tahun 1969, YM Ustaz Haji Hanafi b. Haji Ahmad telah dapat membuka kelas di Bukit Mertajam
bertempat di Kubang Semang iaitu terletak lebih kurang 2 batu dari Cawangan PSSCM Seberang Perai
pada masa sekarang ini. Kelas ini adalah merupakan kelas pertama yang diwujudkan di Bukit Mertajam,
dimana pada masa tersebut bergerak di bawah Perkumpolan Seni Sari Budaya Sri Kedah. 

Kelas ini telah diasaskan oleh Encik Abdullah b. Mohamad Zain dengan penyertaan seramai 16 orang
penuntut. Dalam masa yang sama seorang tukang gunting rambut Encik Wan Omar telah berjaya
mengajak YM Tuan Haji Ishak b. Itam untuk mempelajari Silat Cekak ini.

YM Tuan Hj Ishak bin Itam telah berjaya belajar silat ini selama 30 hari latihan sahaja. Setiap kali latihan,
beliau sering dipukul oleh YM Ustaz Haji Hanafi dengan pokok teh pagar yang bertujuan hendak
mengajar beliau supaya bersabar dan menerima ilmu silat ini dengan ikhlas hati dari tangan gurunya
sendiri disamping menerima berbagai ujian dari gurunya. 

YM Ustaz Hanafi b. Haji Ahmad kemudiannya telah melantik beliau menjadi jurulatih. Sepanjang
penglibatan beliau sebagai jurulatih, banyak tempat dan Cawangan serta Kelas Latihan telah disertainya
termasuklah di TUDM Butterworth (1977), Kepala Batas (1978), Cheruk Tok Kun (1975) dan di Kulim
(1982). Beliau seringkali berulang alik mengajar silat ini di S. Perai dan P. Pinang. 

Apabila YM Ustaz Haji Hanafi kembali ke Rahmatullah pada 13 Ogos 1986, YM Tuan Haji Ishak bin Itam
telah diisytiharkan sebagai YM Guru Utama pada 21 September 1986. Kelas pertama diijazahkan oleh
beliau sebagai Guru Utama adalah di UPM pada 13 Oktober 1986 seramai 27 orang. YM Tuan Haji Ishak
b. Itam terus menerajui PSSCM sehingga 3 Jun 2009.
Y.Bhg. Datuk Haji Maideen Bin Kadir Shah 
Guru Utama Seni Silat Cekak Malaysia

Datuk Haji Maideen bin Kadir Shah dilahirkan di Sg. Besi, Kuala Lumpur pada 18 Julai 1957 bersamaan
20 Z ulhijjah 1376H (Khamis).  Bapanya Kadir Shah bin Syed Maidin dan ibunya Julaiha bte Mohd
Ibrahim. Beliau anak yang keenam daripada sembilan beradik. Mendirikan rumah tangga dengan Datin
Hajjah Roznida bte Ali Omar pada 16 September 1984 bersamaan 20 Zulhijjah 1404H (Ahad).

Mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Pasar Road, Jalan Pudu (darjah 1 - 2).  Kemudian
Sekolah Rendah Kebangsaan Ulu Klang (darjah 3 - 6).  Melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah
Lelaki Ampang (Ampang Boy School), Kuala Lumpur sehingga tingkatan tiga.  Dalam usia tersebut beliau
lebih cenderung dalam bidang perniagaan bermula secara kecil-kecilan sehingga berjaya bergelar Tokoh
Usahawan. Beliau juga dilantik sebagai Pengerusi Persatuan Peniaga-Peniaga Wisma Yakin, Kuala
Lumpur (PPWY).

Dari kecil lagi beliau amat meminati seni silat.  Beliau pernah mempelajari Silat Gayung Malaysia ketika
berusia 13 tahun.  Pada tahun 1974 semasa usia 17 tahun beliau belajar Seni Silat Cekak Malaysia
dengan al-marhum Ustaz Haji Hanafi bin Haji Ahmad, Guru Utama dan Presiden PSSCM di Jalan Haji
Sirat, Kg. Baru, Kuala Lumpur.  Datuk Haji Maideen telah berguru secara peribadi dalam bidang
keagamaan dan persilatan dengan Ustaz Hanafi selama 10 tahun.  Kemudian berterusan dengan YM
Tuan Haji Ishak bin Itam. Semasa remaja, beliau berguru dengan Tuan Syed Harun secara formal dalam
bidang al-Quran.  Pada tahun 1997 semasa usia 40 tahun, beliau telah mendalami ilmu al-Quran dengan
Tuan Syed Mustaffa bin Syed Othman, Imam Masjid Damai Datuk Keramat selama 2 tahun sehingga
khatam.

Pada tahun 1975 beliau telah mengambil Ujian Sijil Rendah Silat Cekak dan Ujian Sijil Menengah pada
tahun 1980. Al-marhum Ustaz Hanafi telah melantik beliau sebagai Jurulatih pada tahun 1977. Ahli LPT
dan AJK Pusat PSSCM pada tahun 1981. Beliau juga pernah mewakili PSSCM dalam Kejohanan Silat
Olahraga Kebangsaan di Kuala Lumpur pada tahun 1984 dan mewakili negara dalam Kejohanan Silat
Olahraga Sedunia pada tahun 1981 di Singapura serta 1982 di Jakarta Indonesia. Atas pengalaman
beliau selama 19 tahun dalam PSSCM, beliau dilantik sebagai Naib Presiden PSSCM oleh YM Tuan Haji
Ishak bin Itam pada tahun 1993.  Semasa “Krisis 1993 dan 1994”, beliau telah bersama-sama berjuang
mempertahankan PSSCM sehingga berjaya. Selaku orang kepercayaan Presiden dan Guru Utama,
beliau seringkali diberi mandat mewakili Guru Utama dan Presiden dalam urusan yang melibatkan
PSSCM, agensi kerajaan dan swasta. Ketokohan beliau sebagai seorang pemimpin, terbukti selama 35
tahun semasa khidmatnya dalam PSSCM.

YM Tuan Haji Ishak bin Itam telah menyerahkan Jawatan Guru Utama dan Presiden kepada Datuk Haji
Maideen pada hari Rabu, 03 Jun 2009 bersamaan 09 Jamadil-Akhir 1430H di kediamannya dan secara
beradat pada hari Khamis 23 Jun 2009 bersamaan 29 Jamadil-Akhir 1430H jam 1.00 pagi. Penyerahan
ini telah di terima oleh semua pentadbir PSSCM dan Ketua Cawangan Negeri.  Kelas pertama
diijazahkan oleh beliau sebagai Guru Utama adalah di Pusat Latihan Kuang pada hari Rabu 22 Julai
2009 bersamaan 29 Rejab 1430H seramai 116 orang.

Datuk Haji Maideen bin Kadir Shah telah diisytiharkan sebagai Guru Utama PSSCM dan Pemangku
Presiden PSSCM pada hari Sabtu 31 Oktober 2009 bersamaan 12 Zulkaedah 1430H semasa Mesyuarat
Agung Perwakilan Luar Biasa PSSCM yang berlangsung di Hotel DePalma, Ampang.

Atas jasa-jasa beliau dalam sumbangan kepada masyarakat, DYMM Seri Paduka Baginda Yang
DiPertuan Agung telah berkenan mengurniakan Pingat “Darjah Panglima Mahkota Wilayah” membawa
gelaran DATUK pada 02 Februari 2009 bersamaan 06 Safar 1430H.  Beliau juga merupakan Ahli Dewan
Perguruan Persekutuan Silat Kebangsaan (PESAKA) mulai 29 Disember 2009.
Pantang-larang

1. Tidak boleh derhaka kepada guru


2. Tidak boleh derhaka kepada ibu
3. Tidak boleh derhaka kepada bapa
4. Tidak boleh bergaduh sesama ahli
5. Tidak boleh mencaci silat Melayu yang asli

Struktur persilatan

Pelajaran Seni Silat Cekak Malaysia

a. Mempunyai kaedah A, B, C dan D. 4 pergerakan di tangan kiri dan 4 pergerakan di tangan kanan (kaki
tidak bergerak), berdiri lurus seperti berdiri waktu sembahyang (tidak berdiri kuda-kuda). 

b. Buah-buah dasar (basic) sambungan daripada kaedah A, B, C dan D; dilatih bergerak sekali tangan
dan kaki. c. Buah-buah pecahan atau buah-buah anak sambungan daripada buahbuah dasar pelajaran
yang kedua. Dengan buah-buah pecahan inilah untuk mempertahankan keselamatan daripada segala
rupa serangan. 

c. Buah-buah dasar dan pecahan-pecahan ini adalah buah-buah segala ilmu keputusan seluruh silat
Melayu di dalam alam Melayu seperti Keputusan Sendeng, Keputusan Gayung Fatani, Keputusan Silat
Harimau dan lain-lain seperti yang disebutkan pada bahagian awal tadi. 

Nama-nama buah Seni Silat Cekak antara lain ialah:

 Buah Pertama
 Buah Keputusan Gayung Fatani
 Buah Keputusan Sendeng Atas
 Buah Kilas Belakang
 Buah Kilas Hadapan
 Buah Kidong Kiri
 Buah Kuntau Jatuh
 Buah Kuntau Kiri & Kuntau Kiri Gantung
 Buah Kuntau Kanan Gantung
 Buah Hentak (Keputusan Silat Harimau)
 Buah Ali Patah Atas
 Buah Ali Patah Sudah
 Buah Selendang
 Buah Gari & Gari Gunting
 Buah Paras
 Buah Keputusan Pasung Kemanga
 Buah Keputusan Terlak
 Buah Keputusan Lintau
 Buah Hempok
 Buah Luncur
Pantun

Lahirnya Cekak kerana kesedaran


bukan bermusuh sebagai tujuan
untuk mendaulatkan seni kebangsaan
mensesuaikan dengan makna kemerdekaan 

Silat Cekak benar-benar asli


tidak bercampur hak luar negeri
hendaklah belajar bersungguh hati
untuk menjaga diri sendiri 

Silat Cekak tersangatlah mudah


bagi mereka yang mendapat hidayah
sungguhpun begitu hendaklah tabah
InsyaAllah mendapat faedah 

Silat Cekak pada lahirnya


pengertian gerak pada batinnya
hendaklah mahir seluruh anggota
hendaklah jujur pada jiwanya 

Taat ke guru membawa berkat


sedikit belajar banyak yang dapat
jika menderhaka menjadi mudarat
semua ilmu tiada yang lekat 

Sebenar guru ada hakikat


dikuat pula amalan syariat
ditambah pula ilmu makrifat
berpakaian pula dengan isyarat 

Dua ibu bapa tak boleh derhaka


besar jasanya kepada kita
kalau menderhaka bahaya menimpa
di akhirat kita masuk neraka 

Wajiblah menjaga diri sendiri


menerima amanah Tuhan Rabbi
supaya menjadi mukmin sejati
demi menegak Islam yang suci. 

Pantun Silat Cekak ini telah dicipta oleh YM AlMarhum Ustaz Haji Hanafi bin Haji
Ahmad dengan bertujuan untuk memberi gambaran kepada penuntut-penuntut Silat
Cekak bahawa Silat Cekak lebih menekankan kepada pendidikan rohani dan
jasmani yang tidak terkeluar dari landasan Islam.  Pantun di atas telah diterbitkan
oleh PSSCM secara rasmi melalui Majalah Suara Cekak 1 (1975) dan Suara Cekak
2 (1976).

Anda mungkin juga menyukai