Anda di halaman 1dari 13

TEKS UCAPAN

AMANAT YAB MENTERI BESAR


AHAD, 14 JUN 2020
10:30 PAGI - 12:30 TENGAHARI

‘BERDAYA TAHAN DEMI KEMAKMURAN’

Salutasi

YANG BERHORMAT DATO’ HAJI AZMI BIN ROHANI,


SETIAUSAHA KERAJAAN JOHOR,

YANG BERHORMAT AHLI-AHLI MAJLIS MESYUARAT KERAJAAN NEGERI JOHOR,

TIMBALAN-TIMBALAN SETIAUSAHA KERAJAAN JOHOR,

PEGAWAI-PEGAWAI DAERAH,

KETUA-KETUA JABATAN KERAJAAN NEGERI JOHOR,

KETUA-KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF DI SYARIKAT BERKAITAN KERAJAAN (GLC),

YANG BERHORMAT DATO’-DATO’, TUAN-TUAN DAN PUAN-PUAN SERTA PARA


HADIRIN YANG DIHORMATI SEKALIAN,

SERTA SEMUA PEJABAT AWAM YANG SEDANG MENDENGAR AMANAT SAYA


MELALUI FACEBOOK LIVE.

1. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

2. Alhamdulilah, segala puji milik Allah S.W.T, selawat dan salam kepada Nabi
Muhammad S.A.W, kepada keluarga Baginda, kepada Tabi’in dan juga para Ulama.
Semoga memperoleh ihsan Allah di hari akhirat kelak.

Pendahuluan
3. Telah ditimpakan kepada kita, sebuah musibah yang maha menguji. Pandemik
COVID-19 telah melanda majoriti negara di seluruh dunia. Aktiviti perekonomian
terpaksa diberhentikan. Maka rakyat harus menerima hakikat bahawa, sentuhan fizikal
yang selama ini mengerat dan merapatkan, kini boleh menjadi punca kepada maut.

4. Hasil daripada langkah yang proaktif Kerajaan Malaysia, negara sekarang sedang
berada dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Kita semakin
pulih daripada pandemik ini. Sektor-sektor ekonomi juga semakin banyak dibuka.

5. Ini semuanya mustahil jika kita tidak akur dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Yang pastinya, kejayaan membendung COVID-19 sehingga membawa ke fasa
pemulihan sekarang adalah kejayaan anda semua.

6. Kejayaan para frontliners, para doktor, jururawat, anggota polis, dan anggota tentera.
Serta kejayaan penjawat awam yang bertugas ketika tempoh PKP.

7. Termasuklah wira-wira yang tidak didendang. Mereka yang bekerja di balik tabir,
untuk memastikan essential services kekal beroperasi. Dimana pun jua anda berada,
terima kasih. Semoga pengorbanan anda kepada watan dibalas Allah seadanya.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

8. Keberadaan saya di sini bukanlah bermula dari satu yang normal. Apatah lagi berasal
dari satu kebiasaan.

9. Kerajaan Pakatan Harapan berakhir terlalu awal dari masanya. The Pakatan Harapan
government ends before it’s time. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada
YB Dato’ Osman Sapian dan YB Dato’ Sahruddin Jamal. Jangan risau, dasar-dasar
yang bermanfaat akan saya teruskan demi kebaikan Johor.

10. Pengakhiran Kerajaan Pakatan Harapan adalah disebabkan oleh unforeseen


circumstances. Ia berasal dari kelemahan dan keangkuhan mereka sendiri.

11. Pada 24 Februari 2020, Perdana Menteri ke-7, Tun Dr. Mahathir Mohammad telah
meletakkan jawatannya. Maka bermulalah satu babak politik paling signifikan dalam
sejarah negara. Ia memberikan impak besar saya anggap sama seperti tragedi 13 Mei
1969.

12. Babak politik ini telah mengubah persepsi dan pemahaman rakyat berkenaan
demokrasi berparlimen serta Raja Berperlembagaan. Rakyat melihat bahawa politics
is a game of numbers. Nasib untung rugi mereka amat bergantung kepada bagaimana
game of numbers ini dimainkan.

13. Malangnya, dalam permainan ini, yang tersepit adalah rakyat. Yang tergendala adalah
seribu satu penyelesaian kepada segala permasalahan mereka.

14. Johor dapat mengelak dari terus diperjudikan oleh permainan ini, hasil daripada
kebijaksanaan Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor. Pada 26 Februari 2020, Duli Yang
Maha Mulia Tuanku telah memanggil mengadap kesemua Ahli-Ahli Dewan Negeri
Johor. Mereka telah diberi kebebasan untuk memilih di antara dua pakatan politik
yang ada.

15. Daripada 56 Ahli Dewan Negeri Johor, 28 memilih gabungan baharu (ketika itu belum
lagi dipanggil Perikatan Nasional) dan 26 kekal bersama Pakatan Harapan.

16. Maka dua hari selepas itu, saya telah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar
ke-18. Saya merupakan Menteri Besar yang ketiga, selepas Pilihan Raya ke-14 yang
lalu. Pada anggapan peribadi, saya merasakan bahawa saya merupakan Menteri
Besar yang paling kurang pengalamannya. Walaupun begitu, ikrar yang dilafazkan
adalah amanah yang akan terus saya junjung dan pelihara.

17. Sebelum Pilihan Raya ke-14, Menteri Besar Johor yang lain adalah daripada mereka
yang punya status. Mereka yang punya pengalaman, kerana sekurang-kurangnya
pernah menjadi Timbalan Menteri, mahupun Menteri di peringkat Persekutuan.

18. Namun, saya tidaklah begitu. Saya, Hasni Mohammad merupakan seorang Ahli
Dewan Undangan Negeri Benut lebih 10 tahun. Pernah juga saya berkhidmat sebagai
Ahli Parlimen Pontian dari 2004 hingga 2008 dan sedikit pengalaman sebagai seorang
EXCO Kerajaan Negeri.

19. Saya beranggapan demikian, kerana mengemudi Johor bukanlah suatu yang mudah.
Mentadbir negeri ini bukanlah satu kerja yang ringan. Semestinya ia bukan satu kerja
sambilan apatah lagi sambil lewa.

20. Namun begitu, saya amat percaya. Kekuatan saya adalah kekuatan mereka di
sekeliling saya. Mereka yang hanya mahu bekerja dan terus bekerja untuk Johor.

Saudara saudari,

21. Saya perlu akur akan konteks keberadaan saya. Saya datang di tengah-tengah
penggal pentadbiran. Masih lagi berbaki lebih kurang 2 tahun setengah, sebelum
pilihan raya yang seterusnya. Itu pun, jika pilihan raya tidak diadakan lebih awal.
22. Jika itu berlaku, saya mungkinlah Menteri Besar yang paling singkat antara yang
singkat. Mungkin juga digelar Menteri Besar COVID-19. Asyik sibuk berurusan
tentang COVID Semata-mata.

23. Kedatangan saya, bagi sesetengah orang mungkin dianggap sebagai pengacau.
Mungkin juga ada yang berkata “Ini kerajaan tebuk atap”, “Ini kerajaan khianat” atau
“Ini kerajaan pintu belakang”.

24. Lalu saya merenung, apakah makna sebenar kita berkerajaan? Apakah makna
sebenar kita mentadbir? Makna ini berlainan tafsirannya daripada satu orang dengan
orang yang lain.

25. Pernah dikisahkan, cerita mungkin tuan-tuan dan puan-puan pun tahu, tentang
pelbagai tafsiran enam orang buta. Mereka memberi deskripsi mengenai rupa bentuk
seekor gajah. Ada yang memegang ekor, dikatakannya tali. Ada yang memegang kaki,
dikatakannya tiang. Ada yang memegang telinga, dipanggilnya kipas. Yang
memegang badan, disamakan pula dengan dinding. Yang memegang belalai,
disamakan dengan ular. Dan yang memegang gading, disamakan dengan tombak.

26. Setiap daripada orang buta itu tidak salah. Mereka juga tidaklah betul. Mungkin
begitulah kepelbagaian niat dan interpretasinya. Bagi saya, tidak kisahlah apa yang
diperkatakan ramai. Niat saya cuma satu. Saya mahu bekerja untuk memakmurkan
negeri Johor. Untuk kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyatnya.

27. Aristotle, seorang ahli falsafah dari Yunani pernah menulis “Politicians also have no
leisure, because they are always aiming at something beyond political life itself, like
power and glory, or happiness.” And this particular politician chooses happiness. I am
happy when Johor is a better state.

Berdaya Tahan Demi Kemakmuran

Tuan-tuan dan Puan-puan,

28. Johor haruslah Berdaya Tahan Demi Kemakmuran. Dunia pasca COVID-19 adalah
dunia yang tidak menentu. Untuk kita terus memakmurkan Johor, negeri ini harus lah
berdaya tahan dalam ekonomi dan governans.

29. Dalam teks-teks sejarah Melayu, konsep kemakmuran sebuah negeri amat berkait
rapat dengan kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyatnya.
30. Jika majunya ekonomi, maka makmurlah sebuah negeri itu. Negeri yang makmur akan
mensejahterakan kehidupan rakyatnya. Maka, rakyat yang sejahtera, adalah hasil
daripada governans atau pentadbiran yang adil dan cekap.

31. Maknanya, ‘kemakmuran’ itu terdiri daripada tiga aspek. Pertama, ialah aspek
ekonomi. Kedua, aspek governans. Ketiga adalah aspek kesejahteraan rakyat.
Hikayat Raja Pasai, Sejarah Melayu, Hikayat Aceh, Peringatan Sejarah Negeri Johor,
Hikayat Siak dan Tuhfat an-Nafis merupakan antara teks sejarah yang menzahirkan
aspek-aspek berkenaan secara umumnya.

Daya Tahan Ekonomi

32. COVID-19 menyebabkan ekonomi negeri berada dalam trend menurun. Berikut
adalah tujuh realiti yang sedang dan bakal melanda kita.

1. Realiti pertama. Secara keseluruhan, ekonomi Johor melalui penunjuk


Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dianggarkan bahawa ekonomi negeri
akan menguncup pada kadar 0.8% hingga 1.2%. Secara kebiasaannya, KDNK
Johor akan menguncup lebih banyak dari kadar Nasional. Ini disebabkan oleh,
kebergantungan dinamik ekonomi negeri kepada negara Singapura.

2. Realiti kedua. Sektor hartanah Johor telah terjejas akibat PKP selain larangan
melancong dari negara China dan Singapura ke Malaysia. Negara tersebut
merupakan negara 10 teratas pembeli hartanah terbanyak di Johor bagi tujuan
pelaburan.

3. Realiti ketiga, industri pelancongan turut mendapat tempias negatif. Ianya


adalah lebih teruk dari pandemik SARS pada tahun 2003. Johor sepatutnya
sedang rancak menjayakan tahun VISIT JOHOR 2020.

4. Namun begitu, akibat pandemik ini, Tahun Melawat Johor 2020 terpaksa
dilanjutkan sehingga 2022. Dianggarkan, sektor perhotelan kehilangan lebih
17.4 juta pelancong dan 8.4 juta overnight visitors. Akibatnya, sektor
perhotelan telah mengalami kerugian melebihi 30%

5. Realiti keempat, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) juga secara


langsung terkesan.

6. Bagi Hiap Joo Bakery and Biscuit Factory di Johor Bahru, yang terkenal
dengan kek pisang resipi turun temurun mereka, keuntungan perniagaan telah
turun sebanyak 50%.
7. Sebuah kedai menjual snek tradisional kaum India di KOMTAR JBCC pula,
merungut hasil perniagaan turut menjunam lebih 50% sepanjang Perintah
Kawalan Pergerakan bermula.

8. Kesannya, dianggarkan 5% hingga 10% PKS terpaksa tutup perniagaan akibat


gangguan aliran tunai yang teruk.

9. Realiti kelima, adalah fenomena pengangguran yang bertambah. Di Johor,


kadar pengangguran dianggarkan akan meningkat. Sejumlah 173,000 orang
bakal kehilangan pekerjaan. Ini disebabkan oleh:
1. Pertama, kebergantung dinamik ekonomi Johor kepada ekonomi
Singapura.

2. Kedua, keadaan ekonomi Johor yang perlahan, terutama sekali dalam


sektor pelancongan dan sektor perkhidmatan.

10. Realiti keenam adalah nasib pekerja Johor di Singapura. Dianggarkan


sebanyak 415,000 rakyat Johor yang bekerja di sana. Mereka khuatir jika
mereka diberhentikan kerja akibat penguncupan ekonomi Singapura. Lebih-
lebih lagi yang bekerja dalam bidang low skill dan low pay.

11. Majikan di Singapura sekarang lebih suka untuk menggaji rakyat mereka
sendiri. Maka rakyat Johor pada masa hadapan akan lebih sukar untuk diterima
kerja di sana.

12. Realiti ketujuh adalah pola pelaburan asing ke Negeri Johor yang sedang
menurun. Kemajuan ekonomi kita amat bergantung kepada globalisasi. Johor
is an open economy, dependent on global trends. Pada tahun 2019,
kelembapan ekonomi dunia telah menyebabkan beberapa perkara:
1. Pertama - Jumlah pelaburan dalam sektor pembuatan telah menurun
sebanyak 62%.

2. Kedua - Jumlah pelaburan asing telah berkurangan sebanyak 73%


daripada RM24.04 bilion ke RM6.54 bilion.

3. Ketiga - Pelaburan domestik telah jatuh sebanyak 32% daripada


RM6.47 bilion ke RM4.92 bilion.

33. Kesannya, Gini Coefficient bagi Negeri Johor dijangka meningkat sebanyak 10%, iaitu
dari 0.354 kepada 0.389. Gini Coefficient merupakan penunjuk kepada
ketidaksamarataan dalam ekonomi kita. Dianggarkan juga, indeks kadar kemiskinan
negeri akan meningkat pada 1.5%, walaupun ia berada kepada kadar 0% sebelum
ini.

34. Oleh itu, Johor harus mendepani dunia pasca COVID-19 bersama dengan realiti-realiti
di atas. Ia sedang menghimpit jiwa dan periuk nasi rakyat. Pada saat ini, rakyat di luar
sana amat mendambakan pertolongan kita.

35. Sungguh besar cabaran kita sebenarnya. Negeri Johor harus memulakan langkah
untuk meningkatkan daya tahan ekonominya. Dan kita harus melakukannya dengan
segera. Kita tidak punya masa yang panjang untuk berlengah-lengah.

Daya Tahan Governans

Saudara-saudari,

36. Kewujudan Johor Civil Service bermula daripada segolongan elit Melayu yang
berpendidikan. Pada awalnya, mereka hanya mentadbir urusan perusahaan lada
hitam dan gambir di Johor.

37. Apabila semakin ramai yang berhijrah ke negeri ini, maka satu struktur pentadbiran
yang tersusun telah dibentuk. Pada tahun 1885, semasa Kerajaan Johor
memuktamadkan treaty of friendship dengan Great Britain, Johor sudah memiliki
jentera pentadbirannya sendiri.

38. Sesuai dengan kemegahan sejarah kewujudannya, JCS haruslah dilihat sama gah dan
sama tinggi seperti cerita asal usulnya.

39. JCS harus sentiasa mengukur prestasi. Pelan Pembangunan Mampan 2019-2030
mesti direalisasikan dengan serius. Titik-titik Sentuh Belanjawan 2020 juga wajib
diselesaikan.

40. Setiap kekurangan, kelebihan dan tindakan harus diukur. Agar yang kurang boleh
ditambah, yang lemah boleh diperkuatkan.

41. Para Pegawai Daerah harus strategik dalam mengenal pasti projek atau inisiatif pro-
rakyat di kawasan-kawasan Menteri mahupun Timbalan Menteri. Ini kerana, mereka
boleh membantu menjayakan projek atau inisiatif tersebut, atas kapasiti yang mereka
ada.
42. JCS harus sentiasa menyampaikan yang benar-benar belaka. Yang fakta dan yang
objektif semata. Kerana apa yang mereka kata, fikir dan lakukan adalah cerminan
Kerajaan Johor itu sendiri.

43. JCS harus cakna akan permasalahan baru yang timbul akibat COVID-19. Isu
pengangguran, isu sosial, isu ekonomi dan lain-lain. Bukan sahaja cakna, malah
kreatif dalam menyelesaikan permasalahan yang ada.

44. JCS harus bekerja dua kali lebih pantas. Kita sudah kehilangan banyak masa
semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa.

45. Kerajaan yang ada sekarang tiba di pertengahan penggal. Taklimat-taklimat jabatan,
agensi atau GLC yang berjela-jela tidak akan produktif melainkan gerak kerja dan
perancangan yang sedia ada segera dilaksanakan.

46. Kita telah melakukan ketidakadilan kepada rakyat. Jika kita duduk dalam bilik
mesyuarat berhawa dingin, tanpa mengamalkan cara berfikir dan cara bekerja yang
mampu membawa perubahan.

47. Ingatlah, rakyat di luar sana mengharap benar kepada kecekapan kita. Kerana
sepatutnya, kita lah yang sentiasa menurut perintah dan ikhlas berkhidmat demi
mereka.

48. Buat penjawat awam dan para pentadbir, sama ada dalam GLC, agensi-agensi
mahupun jabatan-jabatan. Bekerjalah. Pesan saya itu sahaja. Bekerjalah sekuat boleh
untuk kemakmuran Johor. Usah diendahkan suara-suara politik.

49. Kekal fokus untuk perbaiki diri. Tambah ilmu dan tambah kemahiran. Kerana kita
punya matlamat yang sama. Kita mahu potensi tersirat Negeri Johor digilap seadanya.

Negeri Johor Pasca COVID-19

Tuan-tuan dan Puan-puan,

50. Negeri kita menghadapi cabaran yang maha hebat. Kita akan hanya dapat mendepani
dampak COVID-19 jika kita punyai daya tahan ekonomi dan daya tahan governans
yang kuat.

51. Dunia pasca COVID-19 memerlukan tujahan baharu. Masalah yang timbul juga
memerlukan penyelesaian baharu. Maka langkah yang berani serta luar dari
kebiasaan harus diambil. Di sini, saya ingin mengumumkan tujuh ikhtiar besar. Ikhtiar
ini adalah sebagai exit plan Kerajaan Negeri daripada belenggu COVID-19.
52. Saya namakannya sebagai ‘Tujuh Ikhtiar Makmur Johor’.

53. Ikhtiar pertama adalah penubuhan Ibrahim Johor Economic Council (IJEC).
Permasalahan ekonomi akibat pandemik COVID-19 amat menduga kita. Oleh itu,
Negeri Johor memerlukan the best brains untuk menyediakan penyelesaian jangka
masa pendek, sederhana dan panjang untuk memulihkan ekonomi kita.

54. Majlis Ekonomi ini akan mengesyorkan penyelesaian kepada beberapa permasalahan
yang ada. Seperti, usaha untuk mencipta peluang pekerjaan baharu dan bagaimana
Johor dapat mengambil peluang daripada perang dagangan China - Amerika Syarikat.

55. Perang dagangan ini telah menyebabkan banyak perusahaan besar mula
memindahkan perniagaan mereka keluar dari China.

56. Oleh yang demikian, saranan daripada Majlis Ekonomi ini akan diterjemahkan kepada
dasar dan pembawakan ekonomi negeri pada masa hadapan.

57. Majlis Ekonomi ini akan disertai oleh beberapa orang tokoh, antaranya:

A. YBhg Tan Sri Dato’ Dr Ali Bin Hamsa


Mantan Ketua Setiausaha Negara

B. YB Dato’ Haji Azmi Bin Rohani


Setiausaha Kerajaan Negeri Johor

C. YBhg. Dato’ A. Rahim Nin


Pegawai Kewangan Negeri Johor

D. YBhg Datuk Shahril Ridza Ridzuan


Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad

E. YBhg Tan Sri Datuk Dr. Kamal Salih


Pengerusi Malaysian Institute of Economic Research (MIER)

F. YBhg Datuk Md Ariff Mahmood


Naib Presiden Eksekutif & Ketua Pegawai Eksekutif Hiliran Petroliam Nasional Berhad
(PETRONAS)

G. YBhg Datuk Syed Mohamed Bin Syed Ibrahim


Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation

H. YBhg Tan Sri Liew Kee Sin


Pengerusi Eksekutif Eco World Development Group Berhad

I. YBhg Datuk Ismail Ibrahim


Ketua Eksekutif Iskandar Malaysia Regional Development Authority (IRDA)

J. YBhg Datuk Rosman Mohamed


Ketua Pegawai Eksekutif Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat)

K. YBhg Dr. Abdul Razak Ahmad


Pengarah-Pengasas Bait Al Amanah

58. Di Malaysia, ada yang menggambarkan kereta terbang akan menjadi kebiasaan masa
hadapan. Mungkin kita lupa, nak download borang Bantuan Sara Hidup pun masih
tersekat-sekat. Apatah lagi nak terbangkan kereta?

59. Sehubungan dengan itu, ikhtiar kedua adalah menjayakan Johor Digital
Masterplan.

60. Kita harus jayakan usaha pendigitalan Negeri Johor. Pendigitalan kerajaan dengan
kerjasama sektor swasta ini harus dilakukan sekarang. Maka, Kerajaan Negeri melalui
masterplan ini akan memperkasakan pemegang taruh yang berkaitan. Kita harus
memastikan keupayaan digital di negeri ini setanding dengan negara-negara maju.

61. Hasilnya, cakupan Internet dan akses kepada maklumat akan menjadi lebih meluas
dan berkualiti tinggi untuk rakyat. Urusan kerajaan boleh dilakukan di mana-mana dan
pada bila-bila masa sahaja.

62. Matlamat masterplan ini adalah untuk mewujudkan Bank Digital. Kerajaan Negeri
dalam peringkat awal dalam merangka kerjasama dengan Bank Rakyat untuk
merealisasikan kewujudan Bank Digital ini.

63. Lepas ni, Pak Mat bolehlah jual sawit secara online. Cari pembida paling tinggi untuk
setan kelapa sawit. Bila Pak Mat ke pekan, boleh bayar barang dapur dengan
cashless money, dari akaun Digital Bank milik Pak Mat. Dengan ekonomi digital, tidak
apa yang mustahil.

64. Itulah the future of Johor. Tapi sebelum tu, line internet kena kuat dulu.

65. Dalam Pelan Rancangan Struktur Negeri Johor 2030, Singapore-Johor-Riau Growth
Triangle (SIJO-Kepri) dikatakan dapat memajukan ekonomi serantau. Apatah lagi
dalam konteks sekarang, SIJO-Kepri amat sesuai untuk dibangunkan semula. Ini
kerana, a post COVID-19 trade partnership is now focused on regions, instead of
global.
66. Pandemik COVID-19 yang masih aktif di beberapa buah negara di dunia telah
menyebabkan globalisasi semakin melembap. Dunia masih lagi tertutup, dan aktiviti
perdagangan berjalan sangat minimal. We are running by 90% economy.

67. Makanya, ikhtiar ketiga adalah menjayakan semula Singapore-Johor-Riau Growth


Triangle (SIJO-Kepri). Kita akan berusaha untuk menjayakan perjanjian tripartite ini
kembali, dan belajar dari kesilapan lama.

68. Orang kata, antara penyumbang terbesar kepada kegagalan SIJO-Kepri adalah
ketidakmatangan politik. Mungkin juga mereka benar. Besarnya ego seorang sosok
politik itu, sehingga dapat mengorbankan masa depan sebuah negeri dan bangsa.

Saudara saudari,

69. Ikhtiar keempat adalah Johor Investment Company (JICO) di Singapura.


Kewujudan pejabat JICO di Singapura bertujuan untuk memberikan pendedahan
kepada JCS tentang ilmu pentadbiran dan lain-lain kemahiran.

70. Menteri-Menteri Besar sebelum ini selalu kata, mereka mahu JCS bersama-sama
mereka. Tetapi mereka tidak pernah berfikir tentang bagaimana institusi JCS dan
ahlinya boleh ditingkatkan.

71. JICO adalah penzahiran komitmen saya terhadap JCS. Mereka akan dihantar
bertugas di pejabat itu untuk satu tempoh yang sesuai untuk menambahkan potensi
diri.

72. Diharapkan dengan kewujudan JICO ini, ia dapat menjadi wadah pembaharuan
menyeluruh institusi JCS pada masa hadapan.

73. Selain itu, JICO juga dapat memudah cara usaha perdagangan dan pelaburan di
antara Johor dengan Singapura. Melalui bantuan agensi dari Persekutuan, JICO boleh
menjadi one stop centre Kerajaan Johor di Singapura.

74. Ikhtiar kelima adalah Jajaran Ekonomi Baharu. Potensi ekonomi di kawasan Pantai
Barat harus dibangunkan semula. Johor wajib mengambil kesempatan atas
pembangunan projek Kuala Lumpur-Singapore High Speed Rail (HSR), dan stesen-
stesen yang melalui Muar, Batu Pahat dan Iskandar Puteri.

75. Dengan mobiliti manusia yang lancar, kawasan-kawasan sekitar stesen HSR akan
pesat membangun. Contohnya di daerah Batu Pahat. Meskipun sektor ekonomi
primer nya adalah pertanian, emerging economy daerah tersebut ialah perkhidmatan
kewangan.

76. Mungkin pada satu hari nanti, Batu Pahat bakal menjadi pusat kewangan Islam
serantau. Projek HSR bukan sahaja penyambung dari Bandar Malaysia ke Iskandar
Malaysia. Ia adalah nadi denyut kehidupan baharu kepada rakyat Johor khususnya.

77. Kita boleh lihat, kawasan sekitar jajaran HSR di Johor menjadi the second Klang
Valley. Lepas ini, tak usahlah anak-anak kita bekerja di Kuala Lumpur atau Selangor.
Kerja dah Batu Pahat pun sudah cukup glamour.

78. Ikhtiar keenam adalah Inisiatif Bank Makanan Johor. Johor harus mula rancak
mengeksport produk-produk makanan ke negara luar. Seperti Singapura dan Emiriah
Arab Bersatu. Johor juga perlu meningkatkan keupayaannya untuk menyediakan
keperluan makanan bagi kegunaan sendiri.

79. Inisiatif ini juga bakal memberi tumpuan serius kepada pembangunan sektor pertanian
yang lebih moden dan terkini. Dengan mengambil manfaat infrastruktur sedia ada
negeri yang lengkap dan terhubung.

80. Ikhtiar ketujuh adalah untuk menjayakan Pelan Pembangunan Mampan Johor
2019-2030. Keenam-enam ikhtiar di atas merupakan satu bentuk intervensi dan
pemerkasaan ke dalam Pelan Pembangunan Mampan Johor 2019-2030. Pelan
Pembangunan tersebut pula akan diangkat dan digerakkan dengan kerjasama EXCO,
agensi dan jabatan berkaitan.

81. Kita dapat merealisasikan ketujuh-tujuh ikhtiar tersebut, kerana gandingan kekuatan
Menteri-Menteri Persekutuan yang berasal dari Johor.

82. Menteri Luar Negeri, Menteri Perpaduan Negara, Menteri Pengangkutan, Menteri
Pengajian Tinggi, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah serta Menteri
Kesihatan. Yang utama, Perdana Menteri sendiri juga orang Johor.

83. Saya yakin, mereka akan membantu kita, dan membantu Negeri Johor untuk terus
makmur. Seperti usaha kita dalam membuka sempadan Malaysia - Singapura,
menjayakan JICO, SIJO-Kepri, Bank Digital, mahupun Inisiatif Bank Makanan Johor.
Ataupun memastikan projek keretapi laju dari Kuala Lumpur Singapura termasuklah
Johor Bahru - Singapura (RTS) berjalan mengikut jadual.

84. Peranan para EXCO, JCS, agensi dan jabatan juga turut sama diperlukan. Anda
semua harus sentiasa mengambil peranan aktif dalam menjayakan usaha-usaha di
atas.
85. Semuanya harus dipandu, dan berjalan dengan cermat serta sepantas mungkin.

Saudara-saudari semua,

86. Kesemua ikhtiar-ikhtiar ini adalah usaha amal bakti kita, untuk rakyat Johor. Ia
bukanlah ikhtiar-ikhtiar politik. Jauh sekali ikhtiar-ikhtiar yang populis.

87. Sesungguhnya, cerita-cerita kejayaan Johor, yang dibina atas keringat kita semua,
tidak harus berkubur dan lesu. Kita harus bangkit kembali sebagai antara negeri yang
dipandang tinggi dan dihormati oleh ramai.

88. Saya percaya, dengan daya tahan ekonomi dan daya tahan governans yang kuat, kita
boleh melakukannya. Johor akan menjadi lebih makmur dari sebelumnya. Maju
ekonominya dan sejahteralah penghuninya.

89. Seperti mengambil hikmah Qurani, agar Negeri Johor ini menjadi negeri yang
Toyyibatun, Wa Rabbun Ghafur. Negeri yang baik, yang makmur, dan negeri yang
dirahmati Tuhan.

90. Kepada Dato’ Setiausaha Kerajaan, Tuan Penasihat Undang-Undang, Dato’ Pegawai
Kewangan Negeri dan seluruh anggota pentadbiran Negeri Johor, untuk berkongsi
aspirasi dan hala tuju saya bagi Johor.

91. Saya amat sedar, masa tidak menyebelahi kita. Biasanya, dalam tempoh penggal
yang penuh, sebuah pentadbiran mempunyai 3 tahun untuk merancang dan 2 tahun
untuk melihat hasil perancangan itu.

92. Namun saya tidak punya kemewahan sebegitu. Maka, saya tidaklah mengharapkan
apa-apa. Kecuali, untuk saudara-saudari bekerja bersama saya. Sebaik dan sehabis
mungkin.

93. Tidak ada seminit pun saya, dan barisan EXCO lupa akan tanggungjawab hakiki kami.
Kami berjanji sepenuh hati untuk bekerja bersama anda, menumpukan sepenuh
fikiran dan daya usaha demi kemakmuran Johor.

94. Semoga Allah merahmati kita semua.

Sekian, Terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai