Anda di halaman 1dari 3

KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Tanggal 26 Julai setiap tahun, warga

pengguna dan peniaga meraikan Hari Pengguna Malaysia (HPM).

Tarikh itu dipilih sempena pembentangan Akta Perlindungan Pengguna di Parlimen


pada 26 Julai 1999 yang kemudiannya diwartakan pada 9 September 1999.

Mewujudkan tarikh khas itu mencerminkan satu keputusan yang bijak dalam usaha
kerajaan memupuk kesedaran kepenggunaan yang positif di kalangan rakyat.

Hakikatnya, kesedaran kepenggunaan boleh dipupuk dan dipertingkatkan seandainya


para pengguna dan peniaga tahu akan peranan, hak dan tanggungjawab masing-
masing dalam pembangunan negara.

Menyedari peri pentingnya hubungan simbiotik kedua-dua golongan ini, Kementerian


Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah memilih
"Pengguna Bijak, Peniaga Beretika, Negara Sejahtera" sebagai tema sambutan HPM
2005.

TEMA

Menghayati temanya, "Pengguna Bijak dan Peniaga Beretika" merupakan gabungan


toleransi yang menjadi salah satu matlamat dalam dunia kepenggunaan.

Amalan bijak dan beretika penting selaras dengan matlamat Dasar Negara iaitu
membangunkan masyarakat bermoral, berhemah, berilmu, kreatif dan bersatu padu.

Pengguna bijak disifatkan sebagai kearifan pengguna membuat pertimbangan,


bermaklumat dan bertanggungjawab ke atas sebarang tindakan yang dibuat. Ini
termasuklah berbelanja mengikut keperluan, kemampuan dan tidak keterlaluan.

Beretika pula dicerminkan melalui amalan prinsip-prinsip kemanusiaan seperti


bermurah hati, saling menghormati, bertimbang rasa, berdisiplin, berinisiatif,
berakhlak dan amanah dalam perniagaan.

Sempena sambutan HPM 2005 yang akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri
Abdullah Ahmad Badawi pada 26 Julai di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC),
pelbagai aktiviti dan program diatur. Antaranya ialah pameran dan ekspo jualan,
pemberian anugerah, konvensyen, seminar, forum dan malam media massa.

AKTIVITI

Pameran Kepenggunaan dan Ekspo Jualan selama enam hari bermula 26 Julai
bertempat di KLCC diadakan sebagai satu wadah KPDNHEP membina pengetahuan,
pendidikan dan kesedaran kepada pengguna.

Mengandungi dua segmen, informatif dan jualan mega, segmen informatif


memfokuskan kepada usaha mendidik, memberi kesedaran dan pengetahuan dalam
pameran bermaklumat yang melibatkan agensi kerajaan, pertubuhan bukan
kerajaan, pembekal perkhidmatan dan institusi kewangan.

Segmen jualan mega pula menampilkan syarikat-syarikat yang menawarkan pelbagai


barangan dan perkhidmatan pada kadar diskaun yang hebat sebagai tanda meraikan
para pengguna/pengunjung.
Turut diadakan ialah pertandingan melukis untuk kanak-kanak, persembahan artis
jemputan, demonstrasi produk baru dan sebagainya.

Selain mempromosikan perniagaan dan memberi jaringan perniagaan dengan lebih


meluas serta berinteraksi secara terus dengan pengguna, pameran ini juga diharap
mampu mewujudkan persefahaman dan kerjasama erat antara pengguna, peniaga,
kerajaan dan media massa di dalam aspek kepenggunaan yang boleh membantu
negara mencapai Wawasan 2020.

Forum Perdana Ehwal Islam bakal membincangkan isu-isu kepenggunaan yang


menyentuh pengguna Islam di negara ini akan diadakan pada 30 Julai di Semporna,
Sabah, dengan kerjasama Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Jabatan Kemajuan
Islam Malaysia (JAKIM) dan RTM.

ANUGERAH

Bagi aspek anugerah, empat kategori anugerah disenaraikan sebagai menghargai


dan mengiktiraf sumbangan cemerlang individu/organisasi/kelab sekolah kepada isu
kepenggunaan dalam negara.

Anugerah-anugerah itu ialah Anugerah Tokoh Pengguna, Anugerah Organisasi


Pengguna Terbaik, Anugerah Media Pengguna Terbaik dan Anugerah Syarikat Mesra
Pengguna.

Anugerah Syarikat Mesra Pengguna merupakan satu kategori baru diperkenalkan


sebagai tanda pengiktirafan kepada syarikat yang mengamalkan perniagaan beretika
dan mengutamakan keperluan pengguna/pelanggan.

Ia juga sebagai satu galakan atau insentif supaya syarikat-syarikat meningkatkan


kualiti barangan dan perkhidmatan mereka demi manfaat pengguna.

Konvensyen Kepenggunaan Peringkat Kebangsaan pula yang akan diadakan dengan


kerjasama FOMCA pada 2 hingga 3 Ogos di Hotel Istana akan membincangkan
pelbagai isu kepenggunaan oleh panel-panel yang terkenal dalam bidang
kepenggunaan.

Sebagai menghargai sumbangan dan sokongan media massa dalam dunia


kepenggunaan, majlis Malam Media Massa akan berlangsung pada 5 Ogos bertempat
di Hotel Mandarin Oriental.

Larian Pengguna pula akan diadakan pada 7 Ogos di Dataran Merdeka, bertujuan
untuk membentuk masyarakat pengguna supaya mengamalkan gaya hidup sihat.

Manakala Seminar Kepenggunaan Peringkat Asia Tenggara akan diadakan pada 21


hingga 24 September dengan kerjasama Consumer International dan akan
membincangkan isu kepenggunaan serantau.

Pendek kata, kepenggunaan diwujudkan tidak sekadar untuk membanteras kenaikan


harga yang tidak berpatutan dan memastikan keluaran barangan bermutu serta
mengikis amalan perniagaan tidak beretika malah ia juga adalah untuk membentuk
masyarakat penyayang.
Dan ternyata, kelahiran masyarakat penyayang hanya boleh direalisasikan andaikata
pengguna mengamalkan sikap bijak dan peniaga beretika, dua elemen yang
merupakan pemangkin ke arah kesejahteraan dan kemakmuran negara.

-- BERNAMA