Jelajahi eBook
Kategori
Jelajahi Buku audio
Kategori
Jelajahi Majalah
Kategori
Jelajahi Dokumen
Kategori
Dunia siber atau juga dikenali sebagai dunia tanpa sempadan merupakan teknologi maklumat
yang sangat canggih dimana ia berfungsi sebagai medan rangkaian maklumat yang
merangkumi semua dimensi kehidupan manusia. Teknologi maklumat memainkan peranan
penting dalam hidup manusia pada masa kini. Teknologi yang dahulunya merupakan satu gaya
hidup golongan tertentu, kini menjadi satu kemestian dalam kehidupan kita seharian. Teknologi
komunikasi membolehkan kita berkomunikasi pada jarak jauh dan mendapatkan maklumat
yang dahulunya mungkin sukar didapati dengan pantas dan cekap. Hari ini, teknologi
komunikasi telah menjadi sebahagian daripada keperluan kehidupan manusia.
Apabila membicarakan perkara berkaitan dunia siber, tanpa kita sedar kita juga sedang
membicarakan perubahan budaya baharu yang dicetuskan oleh revolusi teknologi maklumat
yang memberi impak yang besar terhadap masyarakat pada hari ini. Tanpa disangkal lagi dunia
siber sememangnya memberi kesan yang hebat sama ada dari sudut positif mahupun negatif.
Akan tetapi, dengan penggunaan dunia siber tanpa sempadan ini dilihat lebih banyak
mendatangkan kesan buruk kepada semua pengguna tanpa mengira umur dari dewasa, remaja
dan tidak lupa juga kanak-kanak. Tambahan pula generasi masa kini telah banyak didedahkan
kepada dunia siber. Terdapat juga kanak-kanak yang didedahkan kepada dunia siber tanpa had
kawalan oleh ibu bapa yang tidak bertanggungjawab.
Terdapat pelbagai cabaran yang perlu ditangani untuk mengelakkan perkara yang tidak
diingini berlaku. Salah satu cabaran yang dihadapi adalah berkenaan dengan kesahihan atau
ketulenan sesuatu berita atau maklumat yang terdapat di media sosial. Seperti yang kita tahu,
semua informasi boleh didapatkan hanya di hujung jari. Malangnya, maklumat-maklumat yang
diperolehi hari ini kebanyakannya palsu atau tidak tepat. Jika pembaca tidak menapis maklumat
tersebut dengan teliti dan kemudian berkongsi kepada kenalan, ia akan menyebabkan berita
atau informasi palsu tersebut menjadi tular. Sedikit sebanyak perkongsian berita palsu ini akan
menjejaskan beberapa pihak yang terlibat dengan penularan berita palsu tersebut. Oleh yang
demikian, kita perlulah berhati-hati sebelum berkongsi maklumat yang diperoleh supaya tidak
terlibat dengan penyebaran maklumat palsu. Maklumat atau informasi yang diterima perlulah
diselidik terlebih dahulu tentang kebenarannya dan seterusnya barulah kita membuat keputusan
untuk berkongsi maklumat tersebut jika sahih. Kita sebagai pengguna media sosial mestilah
cakna dalam mendisiplinkan diri sebagai pengguna yang berhemah. Apa yang
membimbangkan adalah masyarakat hari ini terlalu mudah mempercayai berita-berita palsu
yang telah disebarkan.
Pada zaman milenial ini juga dapat kita lihat dunia siber ibarat isi dan kuku dalam diri
seseorang manusia. Walaubagaimanapun, antara cabaran besar yang perlu kita hadapi adalah
perlindungan data peribadi di dalam dunia maya. Terdapat banyak kes-kes yang terjadi dimana
berlakunya kecurian maklumat data peribadi di dunia siber. Kecurian identiti berlaku apabila
seseorang individu mencuri maklumat individu lain dan menggunakannya tanpa kebenaran
untuk sebarang tujuan. Ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira faktor usia dan
jantina. Malah, ada juga kes yang berlaku melibatkan identiti individu yang telah meninggal
dunia. Penjenayah siber hari ini, beroperasi dengan licik. Mereka mempunyai pelbagai sumber
dan kaedah untuk mendapatkan maklumat berkaitan identiti mangsa. Mereka tidak lagi
melakukan jenayah ini secara sendirian. Mereka cenderung untuk bekerja secara bersindiket.
Kumpulan sindiket terancang sebegini, sukar untuk dibanteras kerana mereka professional dan
sukar dikenalpasti. Maklumat peribadi merupakan privasi kepada seseorang pengguna. Apabila
data peribadi tersebut disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab, ia akan
mendatangkan kesan buruk kepada pemilik data tersebut. Kita perlulah bertindak dengan
segera jika menjadi salah seorang mangsa kecurian identiti. Untuk memudahkan urusan
bertindak balas dengan masalah ini, kerajaan telah menubuhkan pusat rujukan mangsa
kecurian identiti untuk membantu mangsa dalam usaha ini. Maklumat tersebut boleh diperolehi
di laman web Communication and Multimedia Consumer Forum of Malaysi. Akan tetapi,
masalah kecurian identity ini boleh dicegah oleh diri kita sendiri dengan tidak berkongsi
maklumat peribadi dengan sewenang-wenangnya.
Di samping itu, terdapat perkara lain yang lebih membimbangkan apabila membicarakan
tentang dunia siber ini iaitu pemasalahan remaja. Seperti yang kita dapat lihat pada hari ini,
dunia siber dan remaja seakan tidak dapat dipisahkan. Mereka terlalu taksub dengan media
sosial, permainan dalam talian serta hiburan-hiburan yang sangat melalaikan. Remaja masa
kini lebih gemar menghabiskan masa berjam-jam di hadapan komputer, semata-mata untuk
mencari kepuasan diri dengan melayari internet. Sekiranya tidak dikawal dengan baik ia akan
menjadi masalah besar kepada sistem pendidikan. Ini adalah disebabkan oleh obsesi terhadap
internet dan media sosial telah mendorong mereka menghabiskan masa di kafe siber. Amat
malang sekali apabila pelajar sekolah yang sepatutnya berada di sekolah untuk mengikuti
pembelajaran sanggup ponteng sekolah semata-mata untuk aktiviti seperti chatting, permainan
video dan pelbagai lagi aktiviti yang tidak bermanfaat. Apabila mereka tidak hadir ke sekolah,
mereka akan tercicir daripada mengikuti pelajaran dan menyebabkan prestasi pencapaian
akademik juga terjejas. Hal ini menunjukkan bahawa penggunaan teknologi moden seperti
internet secara tidak sihat mampu memberi kesan sosial dan akademik kepada pengguna,
terutamanya kepada pelajar sekolah yang terdiri daripada golongan remaja.
Seterusnya, dunia siber juga membawa kepada perubahan gaya hidup dan pencemaran
bahasa. Pengaruh dunia siber yang semakin kehadapan ini telah mengubah sosiobudaya dan
bahasa komunikasi. Kebanyakannya gaya hidup masyarakat kita harini telah dipengaruhi oleh
kemodenan gaya hidup Barat. Ianya termasuk dalam aspek pakaian, tingkahlaku, gaya bahasa,
makanan dan sebagainya. Dengan adanya dunia siber juga telah membuatkan pengguna
menjadi anti-sosial. Anti-sosial merupakan satu perilaku apabila seseorang individu tidak
menghiraukan orang sekelilingnya. Seseorang yang anti-sosial menunjukkan sikap tidak
bertanggungjawab serta kurangnya penyesalan mengenai kesalahan-kesalahan yang mereka
lakukan. Panggilan anti-sosial ini kebanyakkannya diberikan kepada golongan yang sentiasa
bersama dengan telefon bimbit mereka seharian tanpa menghiraukan apa yang berlaku di
sekeliling mereka. Ini adalah salah satu perubahan gaya hidup yang amat tidak sihat kerana
kurangnya interaksi secara ‘face to face’. Selain itu, antara permasalahan yang menarik dalam
isu dunia siber ialah kerosakan bahasa komunikasi kita sedangkan pepatah Melayu ada
menyebut, “Yang kurik Itu kendi, yang merah itu saga, yang elok itu budi, yang indah Itu
bahasa”. Bahasa SMS dan chatting menggunakan tulisan yang ringkas dan mudah. Kesannya
terbawa bawa ke dunia realiti sehingga banyak pihak menerima pakai bahasa tersebut dalam
komunikasi harian mereka terutama dalam kalangan anak remaja. Contohnya, perkataan
Assalamualaikum sudah diringkaskan dengan berbagai cara seperti Askum, Akum, Aslam dan
Salam yang sudah tersebar luas penggunaannya. Perkataan ini langsung tidak tepat dari
susunan ejaan, kata-kata, maknanya dan ianya jelas merosakkan penggunaan istilah,
perkataan dan bahasa itu sendiri.
Konklusinya, dunia siber mendatangkan pelbagai kesan buruk dan cabaran yang sukar
diselesaikan tanpa kawalan yang ketat. Oleh yang demikian, kita sebagai pengguna aktif dunia
siber terutamanya media sosial perlulah bertindak bijak dalam menggunakan platform
komunikasi di dunia siber. Semua masalah ini dapat diselesaikan jika ianya bermula dengan diri
sendiri iaitu seperti kata pepatah “mencegah lebih baik dari merawat”.
RUJUKAN
1)Laman Web:
-https://www.greelane.com/ms/kemanusiaan/isu-isu/identity-theft-definition-4685649/
-http://umum-pengertian.blogspot.com/2016/05/pengertian-umum-sikap-antisosial-ciri.html
-https://www.consumer.ftc.gov/features/feature-0014-identity-theft
-http://cfm.org.my/industry_news/20090820/elakkan-kecurian-identiti-nasihat-daripada-cfm
2)Buku
-Mohd Dahlan A. Malek, PhD Sekolah Psikologi & Kerja SosialUniversiti Malaysia Sabah Ida
Shafinaz Mohamed Kamil, MA Sekolah Perniagaan & Ekonomi Universiti Malaysia Sabah
dalam artikel “Jenayah Dan Masalah Sosial Di Kalangan Remaja: Cabaran Dan Realiti Dunia
Siber” hlm 3-4.
-Mohamed Imran Mohamed Ariff, Mohd Yadman Sarwan, Mohamad Zaki Zainul Universiti
Teknologi Mara Perak, Kampus Seri Iskandar. “Isu, Cabaran Dan Impak Ict – Satu Pendekatan
Dalam Islam” dalam Prosiding Seminar Kebangsaan E-Komuniti 2005 .UKM 6-7 Disember
2005. Putrajaya. Hlm. 8