Anda di halaman 1dari 4

LMCZ 1012 SENI TARI RAKYAT 1

SEMESTER 1 : SESI 2016/2017

TAJUK:

CIRI-CIRI UTAMA PENARI

PENSYARAH :

PN. HAZELINA BT. GHAZALY

NAMA :

CLAUDYA LUNCHA ANAK JULIN (A158595)

TARIKH PENGHANTARAN :

18 JANUARI 2017
LMCZ1012 SENI TARI RAKYAT 1 2016

Penari merupakan orang yang menari atau yang berlatih menari. Menurut Kamus Besar
Bahasa Indonesia, penari ialah orang yang (pekerjaannya) menari atau digelar sebagai anak tari.
Secara norma, seorang penari dianggap sebagai individu yang dilahirkan dengan bakat menari
sahaja dan bukan sesuatu aktiviti yang boleh dipelajari oleh semua golongan masyarakat. Namun
begitu, bukan bakat sahaja yang menjadi pengukur kepada lahirnya seorang penari terutamanya
penari yang baik. Bakat hanyalah merupakan tambahan kepada seseorang penari namun di
sebalik bakat yang diperoleh, seorang penari juga perlulah mempunyai ciri-ciri yang positif
seperti kerjaya-kerjaya yang lain juga. Terdapat banyak ciri-ciri penari yang baik seperti
mempunyai minat, berdisiplin, profesional, rajin, yakin dan sebagainya.

Ciri utama yang perlu ada pada seorang penari yang baik ialah minat. Dalam apa jua
aktiviti atau kerjaya yang diceburi, minat merupakan aspek yang paling penting. Hal ini kerana,
tanpa minat seseorang individu tidak akan mampu untuk mempelajari, memahami, malah
menguasai perkara yang diceburi. Dengan adanya minat, sikap atau perasaan positif yang lain
akan lahir secara semula jadi dalam diri seseorang. Sebagai contoh, individu yang mempunyai
bakat dalam tarian tetapi tidak mempunyai minat untuk memperkembangkan bakat tersebut tidak
akan mampu untuk menjadi seorang penari yang baik. Individu tersebut pasti akan
memperlihatkan sifat yang negatif terhadap bakatnya. Begitu juga dengan individu yang tiada
bakat dalam menari. Sudah pasti minatnya terhadap seni tari akan terhapus atau langsung tidak

2
LMCZ1012 SENI TARI RAKYAT 1 2016

menunjukkan minat untuk belajar menari. Oleh itu, memiliki minat dalam tarian merupakan ciri
utama yang perlu ada pada seorang penari.

Selain itu, seorang penari yang baik perlu mempunyai disiplin yang tinggi. Semua
kerjaya, aktiviti atau apa-apa sahaja yang diceburi oleh mana-mana individu tanpa mengira
peringkat umur mementingkan tahap disiplin peserta. Tanpa disiplin, individu tersebut tidak akan
dapat mencapai tahap yang telah ditetapkan untuk menguasai bidang tersebut. Begitu juga
dengan seorang penari yang baik. Aspek disiplin merupakan aspek yang amat penting kerana
tanpa disiplin, seorang penari tidak akan mampu untuk menunjukkan persembahan yang
cemerlang. Seorang penari yang baik perlulah berdisiplin dalam aspek masa. Hal ini kerana
tanpa disiplin dalam pengurusan masa, penari tidak akan mampu untuk membahagikan masa
dengan baik dan tidak akan dapat mematuhi pengagihan masa latihan yang telah ditetapkan.
Sebagai contoh, sekiranya latihan tarian akan bermula pada jam 2 petang, penari perlulah berada
di studio latihan sekurang-kurangnya 15 minit sebelum latihan dimulakan untuk membuat
aktiviti memanaskan badan dan menyediakan diri untuk memulakan latihan. Oleh itu, disiplin
seorang penari akan menentukan penari tersebut adalah seorang penari yang baik atau seorang
penari yang mementingkan diri-sendiri.

Di samping itu, seorang penari yang baik juga perlulah memiliki sikap yang rajin. Sikap
rajin bukan sahaja dari aspek latihan, tetapi juga dari aspek mengekalkan stamina, menjaga
penampilan dan juga membantu rakan-rakan penari yang lain. Aspek-aspek tersebut amat
penting dalam menjadikan seorang penari itu penari yang baik. Penari yang rajin berlatih bukan
hanya semasa sesi latihan yang diadakan di studio tetapi juga rajin melakukan latihan intensif
secara personal atau bersama-sama dengan rakan penari yang lain di luar waktu latihan. Dengan
cara ini, penari akan senang untuk mengingati tarian dan mendalami karakter dalam tarian
tersebut. Mengekalkan stamina dan menjaga penampilan juga menuntut kerajinan seorang penari
dalam melaksanakannya. Tanpa stamina yang stabil, penari akan cepat merasa lelah dan tidak
dapat memberikan persembahan yang cemerlang di atas pentas. Hal ini akan mempengaruhi
mutu persembahan sesebuah kumpulan. Rajin dalam menjaga penampilan pula penting kerana
penari banyak menggunakan alat solek yang mungkin mampu untuk merosakkan kulit muka.
Tuntasnya, penari yang baik perlulah memiliki sifat kerajinan.

3
LMCZ1012 SENI TARI RAKYAT 1 2016

Seorang penari yang baik juga perlulah bersikap profesional. Dalam erti kata lain, sikap
profesional dari segi personaliti penari tersebut sama ada semasa latihan atau semasa membuat
persembahan. Penari perlulah menghormati satu sama lain dan bekerjasama dalam menjayakan
sebuah persembahan. Penonton menilai penari bukan secara individu namun secara
berkumpulan. Jika terdapat seorang penari yang sengaja tidak menunjukkan persembahan yang
baik atau melakukan gerakan yang berbeza daripada penari-penari lain dalam kumpulan tersebut,
penonton akan menilai persembahan tersebut sebagai kurang baik atau kurang cemerlang kerana
terdapat kesilapan walaupun kesilapan tersebut dilakukan oleh seorang penari sahaja. Oleh itu,
dengan adanya kerjasama yang baik dan sikap menghormati antara satu sama lain, sebuah
kumpulan tarian sudah pasti akan dapat menunjukkan persembahan yang baik dan
menghiburkan.

Berilmu pengetahuan juga merupakan ciri yang perlu ada pada seorang penari. Dalam
konteks ini, penari perlulah mempunyai ilmu tentang latar belakang dan gaya tarian ditarikan.
Dengan cara ini, penari akan dapat mendalami tarian dengan lebih baik dan dapat memberikan
persembahan yang penuh dengan emosi kepada para penonton. Hasilnya, penonton juga akan
dapat mendalami jalan cerita tarian tersebut dan dapat menikmati tarian tersebut dengan baik.
Dengan adanya ilmu pengetahuan, penari juga akan dapat meningkatkan keyakinan diri semasa
mempersembahkan sesuatu tarian. Penari yang berilmu dan yakin merupakan ciri-ciri seorang
penari yang baik.

Kesimpulannya, seorang penari yang baik menggambarkan sikap sebenar individu


tersebut. Penari perlulah menunjukkan sikap-sikap yang positif untuk berjaya dalam bidang seni
tari kerana bidang tersebut bukanlah bidang yang mudah dan senang untuk diceburi oleh semua
individu namun jika penari tersebut berusaha untuk mencapai kejayaan, sudah pasti penari itu
mampu menjadi penari yang baik dan cemerlang.

Anda mungkin juga menyukai