Anda di halaman 1dari 3

PERANAN MATEMATIK

Perkataan Matematik dipinjam daripada perkataan bahasa Inggeris iaitu


"mathematics" yang berasal dari Yunani μάθημα (máthēma), yang
bermaksud mempelajari, menimba, sains dan diperkenalkan untuk menjurus
kepada makna yang lebih sempit dan lebih teknikal bermaksud "bidang matematik",
walaupun dalam zaman klasik. Matematik atau disebut juga sebagai ‘Ilmu Hisab’
boleh ditafsirkan sebagai suatu kajian mengenai corak struktur, perubahan dan
ruang atau lebih senang untuk difahami sebagai kajian mengenai nombor dan
gambar rajah. Bidang ilmu ini telah lama diketahui oleh umat manusia sejak zaman
dahulu lagi dan terus berkembang dan digunakan sehingga masa kini dengan
penemuan dan kajian yang dijalankan. Oleh itu, pada hari ini dapatlah dilihat
bahawa bidang ilmu ini memainkan peranan yang penting dalam kehidupan kita
mencakupi pelbagai aspek.

Kehidupan seharian manusia berkait rapat dengan matematik sama ada


secara langsung walaupun tidak secara langsung tanpa disedari. Di sekolah, mata
pelajaran Matematik diajar kepada murid-murid daripada peringkat rendah sehingga
peringkat menengah dan berterusan ke tahap yang lebih tinggi. Mereka diajar dari
asas sebelum melangkah kepada lebih rumit dan kompleks yang melibatkan
keupayaan pemikiran individu. Semua orang tahu asas nombor dalam Matematik
iaitu 1 hingga 9 kemudian menjadi puluh, ratus, ribu dan seterusnya. Empat operasi
kiraan melibatkan operasi tambah, tolak, darab dan bahagi diajar kepada murid
sebagai pengenalan apa itu Matematik. Selain itu, ilmu ini dapat digunakan untuk
menyelesaikan masalah dan urusan seharian manusia. Contohnya dalam urusan
jual beli berlaku penggunaan Matematik. penjual dan pembeli perlu cara pengiraan
yang betul untuk menjual dan membeli sesuatu. Nilai wang yang digunakan perlulah
tepat supaya tidak berlaku salah faham.

Masih banyak kegunaan matematik yang tidak kita rasakan secara langsung,
mungkin kerana kita kurang peka terhadap peranan Matematik itu sendiri. Misalnya,
ketika menunggu nyalaan lampu isyarat. Tidakkah pernah kita terfikir bagaimana
pengiraan masa nyalaan lampu hijau, merah dan kuning bagi setiap laluan agar
tidak berlaku kesesatan lalu lintas. Kita juga sering kali akan terfikir, seandainya kita
dapat lampu merah, mengapa untuk lampu lalu lintas berikutnya juga mendapat
lampu merah. Begitu juga jika mendapat lampu hijau, kita turut akan mendapat
lampu hijau pula pada lampu lalu lintas Tentu ini semua merupakan pengiraan yang
memerlukan Matematik. Dalam hal masakan pula, untuk membuat kek memerlukan
kita tahu konsep sukatan. Ini perlu bagi mendapatkan kiraan sukatan yang betul
seperti sukatan tepung mesti sesuai dengan bilangan telur yang akan digunakan.
Jika kiraan sukatan tepat maka terhasillah aduan dan rasa kek yang diingini.

Fungsi matematik seterusnya ialah bidang ini juga berkait dengan bidang ilmu
yang lain. Ilmu ini turut diaplikasikan dalam bidang seperti Sains, Seni, Muzik dan
lain-lain lagi. Dalam cabang sains, matematik digunakan dalam eksperimen yang
dijalankan yang memerlukan pengorganisasian data-data dan penyediaan maklumat
statistik pengukuran bagi mendapatkan keputusan yang tepat. Bagi pengiraan
kelajuan dan jarak sesuatu objek memerlukan pengiraan mengikut formula yang
betul seperti dalam hukum inersia dan hukum graviti. Peredaran dan putaran bumi
dapat diketahui dengan menggunakan kaedah pengiraan yang betul yang dijalankan
oleh pakar bidang kaji alam semesta atau astronomi. Penggunaan matematik turut
berlaku dalam penentuan kiraan hari dan bulan untuk kalendar. Penghasilan lukisan
seni visual juga ada yang menggunakan konsep geometri dalam matematik iaitu
melukis cantuman bentuk-bentuk sekaligus menjadikan satu lukisan yang menarik.
Sama juga dengan garisan, dan lengkukan yang dilukis. Justeru, ilmu matematik ini
sememangnya merentasi aspek ilmu pengetahuan yang lain dan saling melengkapi.

Penggunaan ilmu ini juga amat penting dalam bidang ekonomi. Ini diakui
sendiri oleh ahli-ahli ekonomi. Bagi memahami analisis ekonomi, seseorang itu perlu
celik matematik dan statistik. Keputusan yang dibuat dalam pasaran modal, saham
dan kewangan banyak berasaskan kepada model matematik. Dalam sektor swasta
pula, seorang pengurus sesuatu firma perlu tahu untuk menggunakan pendekatan
matematik bagi merancang strategi firma yang bermatlamatkan keuntungan, seperti
strategi memaksimumkan jumlah hasil dan meminimumkan jumlah kos tertakluk
kepada batasan tertentu seperti harga input, harga output dan kuantiti input yang
ditetapkan. Malahan model struktur ekonomi boleh memberikan gambaran kasar
mengenai potensi ekonomi untuk mencapai matlamat pembangunan jangka panjang
seperti pertumbuhan pendapatan, pengwujudan peluang pekerjaan, pengagihan
pendapatan dan pembasmian kemiskinan. Oleh itu, dapat dilihat bahawa matematik
amat sinonim dalam bidang ekonomi.
Di sektor pembinaan dan pembangunan pula, peranan matematik turut
digunakan. Semua pembinaan bangunan di dunia ini perlu akan pengiraan skala dan
ukuran yang betul dalam pelan sebelum menghasilkannya. Para arkitek dan jurutera
sememangnya adalah pakar dalam bidang ini. contohnya, dalam pembinaan
sesuatu bangunan perlu untuk tahu ketinggian bangunan sesuai dengan struktur
permukaan bumi, ukuran untuk ruang yang diperlukan dalam satu-satu ruangan.
Ukuran yang salah akan membawa kesan yang buruk kepada sesuatu pembinaan.
Dalam perancangan bandar, ilmu ini penting juga bagi menjadikan sesebuah bandar
itu strategic dan teratur keadaannya. Bandar yang terancang menyumbang kepada
penambahan penduduk dan memberi keselesaan kepada mereka.

Seiring dengan kemajuan yang dicapai terutamanya dalam bidang teknologi


maklumat dan komunikasi (TMK) turut melibatkan pengunaan bidang matematik.
Perkembangan matematik ini memunculkan peralatan moden seperti komputer.
Matematik begitu biasa dengan pengiraan begitu juga dengan fungsi komputer yang
boleh digunakan bagi mengira dan pada papan kekunci diletakkan angka 0 hingga 9
namun kini fungsi komputer telahpun banyak kegunaannya. Misalnya, bagi
menghasilkan sesuatu perisian sistem ini perlu menggunakan nombor-nombor
tertentu. Begitu juga dalam proses pemprograman data dan fail yang perlu.
Sebenarnya, masih banyak lagi sumbangan matematik dalam perkembangan TMK
yang merupakan dasar ilmu komputer.

Kesimpulannya, peranan matematik sememangnya penting dalam kehidupan


manusia. Oleh itu, setiap individu perlu menguasai kemahiran dalam ilmu ini
terutama bagi murid-murid yang mesti diajar konsep dan asas matematik dengan
betul. Ada pepatah mengatakan "sesiapa yang menguasai matematik dan bahasa
maka ia akan menguasai dunia". Ertinya matematik sebagai media melatih untuk
berfikir kritis, inovatif, kreatif, dan mampu menyelesaikan masalah, sedangkan
bahasa sebagai media menyampaikan idea-idea atau gagasan serta yang ada
dalam fikiran manusia.