Anda di halaman 1dari 10

BAHAGIAN A

Rupa dan bentuk pendidikan yang sesuai dengan generasi abad 21 telah banyak
diperkatakan bagi memenuhi keperluan dan harapan pendidikan masa kini. Kaedah
tradisional "chalk and talk" semata-mata dilihat memerlukan anjakan kepada kaedah yang
lebih dinamik dan kreatif, sesuai dengan teknologi yang ada sekarang. Suasana pembelajaran
dan pemudahcaraan (pdpc) di dalam kelas amat dititikberatkan. Ini adalah penting kerana,
proses pembelajaran yang menarik dapat menarik minat pelajar untuk belajar dan sekaligus
membantu pelajar lebih mudah memahami isi sesuatu pembelajaran. Kaedah pembelajaran
dan pemudahcaraan (pdpc) yang digunakan oleh para pendidik perlulah mengikut situasi dan
keadaan serta selaras dengan teori pembelajaran yang telah dikemukakan oleh ramai pakar
psikologi dunia.

P. Johnson di dalam bukunya yang bertajuk “Education Psychology: Theories of


Learning and Human Development” menyatakan suasana sistem pendidikan konvensional
masa kini dikebanyakkan sekolah ialah pelajar-pelajar sering diminta untuk menjadi pelajar
yang pasif dengan hanya mendengar penerangan yang dibuat oleh guru mereka. Mereka
belajar di dalam keadaan seolah-olah dimanipulasikan dengan ganjaran ke atas pencapaian
mereka, persaingan dan ketakutan untuk menghadapi kegagalan. Pelajar-pelajar ini juga
dikatakan belajar secara tidak semulajadi dan mempelajari perkara-perkara yang tidak relevan
atau berkaitan dalam hidup mereka. Mereka juga hanya diberi perhatian untuk pencapaian
akademik semata-mata tanpa memikirkan keadaan emosi, intuisi, kreativiti atau rohani
mereka. Para pelajar akan belajar di dalam keadaan tertekan kerana terpaksa menghadapi
suasana pembelajaran seperti ini dan terpaksa menghadapi pandangan masyarakat terhadap
pencapaian mereka.

“Pembelajaran merupakan proses memperolehi ilmu pengetahuan atau kemahiran”.


Mengikut Robert M. Gagne (1970) dalam The Condition of Learning,
pembelajaran merupakan “perubahan tingkahlaku atau kebolehan seseorang yang dapat
dikekalkan, tidak termasuk perubahan yang disebabkan proses pertumbuhan”. Mengikut
Woolfolk (1980) dalam Educational Psychology for Teachers, pembelajaran dilihat sebagai
perubahan dalaman yang berlaku kepada seseorang dengan membentuk perkaitan yang baru,
atau sebagai potensi yang sanggup menghasilkan tindak balas yang baru. Kurikulum
pendidikan merupakan satu wadah penting dalam menjana anjakan paradigma dalam diri
setiap individu dan ia juga memainkan peranan penting untuk melahirkan insan deduktif yang
dinamik dalam semua aspek kehidupan (Mastura Badzis, 2008). Kurikulum pendidikan di
sekolah-sekolah disediakan oleh Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK). Kurikulum yang
dibangunkan oleh BPK ini juga perlulah selaras dengan dasar dan Falsafah Pendidikan
Negara. Dalam seluruh aspek kegiatan pendidikan, Kurikulum mempunyai kedudukan yang
sangat penting. Memandangkan peranan kurikulum sangat penting di dalam sistem
pendidikan dan dalam perkembangan kehidupan manusia, maka kita perlulah memahami
konsep dan dasar pembentukan sebuah kurikulum itu. Ada banyak perkara yang
mempengaruhi pembentukan kurikulum di dalam sistem pendidikan. Antaranya ialah
kepercayaan falsafah, perspektif psikologi, kesan masyarakat dan kesan sejarah terhadap
kurikulum. Walaubagaimanapun perspektif psikologi merupakan perkara yang memainkan
peranan paling penting dalam pembentukan kurikulum.

Sebagai seorang pendidik, kita perlulah sentiasa memperbaiki kaedah pembelajaran


dan pemudahcaraan (pdpc) kerana ada kemungkinan kaedah yang kita gunakan tidak menarik
dan sekaligus mematikan minat pelajar untuk memahaminya. Guru perlu pandai
mengaplikasikan pengetahuan baru dengan pengetahuan sedia ada pelajar dan sentiasa
mengaitkan dengan situasi sebenar pelajar. Dengan itu, pelajar pasti akan lebih memahami
dan boleh meneroka sendiri sesuatu ilmu dengan seronok. Apa yang perlu kita faham melalui
pembelajaran yang menyeronokkan? Lumrah seorang kanak-kanak yang suka bermain, pasti
ia berkaitan dengan konsep main ketika belajar. Buktinya, menurut Noriati, Boon dan
Sharifah Fakhriah, bermain merupakan satu pendekatan terancang dan berstruktur bagi
memberi peluang kepada murid untuk belajar dalam suasana yang menyeronokkan, bebas dan
selamat kerana ia meliputi aktiviti yang memberikan kegembiraan kepada mereka.

Psikologi berasal dari perkataan Yunani yang bermaksud jiwa. Ia adalah satu disiplin
yang ditujukan untuk kajian tingkah laku, minda dan pemikiran. Apabila diterapkan kepada
proses pembelajaran dan pemudahcaraan (pdpc), ia memberikan akar untuk memahami
bagaimana pelajar belajar dan memahami pengetahuan. Psikologi adalah berkaitan dengan
bagaimana manusia belajar dan berperilaku. Kajian saintifik mengenai pembelajaran manusia
hanya bermula pada akhir abad ke-19. Wwalaupun para ahli falsafah seperti Aristotles,
Socrates, al-Farabi dan Conficius telah berusaha untuk menjelaskan pembelajaran manusia
lebih awal. Pelbagai pendekatan dan kaedah penyelidikan telah berkembang dalam mengkaji
bagaimana manusia belajar. Perkembangan dalam bidang psikologi pendidikan memberikan
beberapa teori tentang bagaimana kanak-kanak berfikir dan memahami konsep ketika mereka
membesar dan dalam pada masa yang sama hasil kajian di bidang psikologi sosial
mendedahkan bahawa pembelajaran berlaku di dalam suasana budaya (cultural setting)

Penggubal-penggubal kurikulum bagi sekolah-sekolah dan institusi-institusi


pendidikan perlu tahu bagaimana pelajar belajar dan mempertimbangkan perbezaan individu
apabila mereka membentuk kurikulum. Kurikulum itu akan dianggap sebagai berjaya apabila
pelajar mendapat manfaat dari kurikulum yang dibentuk. Kurikulum-kurikulum yang
digunapakai di sekolah-sekolah dan institusi-institusi pendidikan dibuat berdasarkan kepada
perspektif psikologi atau ‘school of thought’. Secara umumnya terdapat empat perspektif
yang memberi kesan kepada kurikulum dan ia diklasifikasikan sebagai Behaviorisme,
Kognitivisme, Humanisme dan Konstruktivisme.

Salah satu objektif pendidikan di sekolah adalah untuk memenuhi kelas dengan
kegembiraan dan kehidupan yang akhirnya akan menyokong perkembangan individu secara
holistik. Seperti apa yang kita pelajari dalam teori konstruktivisme, setiap individu itu perlu
sentiasa membina pengetahuan sendiri melalui pengalaman sedia ada kepada pengetahuan
baru. Pelbagai pendekatan pembelajaran perlu disediakan bagi memberi peluang kepada
pelajar untuk membina kefahaman terhadap perkara yang dipelajari dengan mewujudkan
jaringan atau hubungan antara idea dan fakta yang sedang dipelajari. Kelemahan kaedah
pengajaran dan pembelajaran yang paling ketara sekali ialah bahan bantu mengajarnya yang
tidak lengkap dan kurang menarik. Selain itu, bahasa pengantar yang digunakan
kemungkinan besar menjadi masalah dalam penerimaan ilmu pelajar. Kurangnya aktiviti
maklum balas antara pelajar di dalam kelas menjadikan pembelajaran tidak menyeronokkan
dan kaedah pengajaran yang sama setiap kali di dalam kelas pastinya menimbulkan
kebosanan. Ini bermakna, guru tidak menggunakan pendekatan Humanisme terhadap
pengajaran dan pembelajaran. Sebagai guru, kita hendaklah memberi fokus kepada pelajar,
bukannya subjek yang diajar. Guru perlu membuat perancangan pengajaran dan mengambil
kira minat, kecenderungan, kesediaan belajar dan perbezaan individu untuk menjadikan
pengajaran mereka lebih menarik dan menyeronokkan.

Melalui rencana “Fail profil nilai potensi pelajar” oleh Anuar Ahmad, beliau
menyatakan bahawa jika dilihat dari pandangan tokoh-tokoh pendidikan seperti Jerome
Bruner, Jean Piaget dan Professor Paul Hirst, mereka menolak penilaian akademik semata-
mata kerana sistem ini akan merosakkan konsep kendiri kanak-kanak. Begitu juga dengan
tokoh psikologi pendidikan seperti A.M Skinner, Maslow dan Erikson yang mencadangkan
agar kanak-kanak di peringkat pelajaran rendah perlu diberikan peluang untuk mendapat
sebanyak mungkin pengalaman pembelajaran dan tidak perlu dilakukan bentuk penilaian
yang terlalu akademik yang akan merosakkan sistem konsep kendiri mereka. Oleh itu, satu
‘revolusi’ perlu dilakukan untuk mengubah kaedah pengajaran tersebut. Pembelajaran akan
lebih menarik jika wujudnya ‘interaksi’ atau maklum balas yang pelbagai melalui
persekitaran mereka. Kenyataan ini benar sekali kerana menurut Gagne (1916-2002) dalam
teori pembelajaran kognitif, beliau lebih menekankan pembelajaran melalui rangsangan-
rangsangan dari persekitaran luar yang akan diterima dalam sistem saraf melalui deria-deria
manusia. Gagne menambah lagi, pengalaman-pengalaman yang disimpan dalam stor ingatan
jangka panjang adalah penting bagi manusia untuk mengaitkannya dengan pengalaman-
pengalaman baru untuk memudahkan proses pembelajaran baru berlaku. Kaedah ini
mengalami proses pemindahan pembelajaran dan maklum balas yang perlu dibuat sebagai
pengukuhan untuk mentaksir perlakuan pembelajaran pelajar semasa sesi pengajaran
berjalan.

Dalam proses pembelajaran dan pemudahcaraan (pdpc), amat wajar jika pelajar
dibenarkan untuk berinteraksi dengan persekitarannya, dengan guru, dan rakan-rakan sekelas.
Ini dapat membina perhubungan sosial yang baik dalam kalangan mereka. Selain itu, terdapat
juga teori pembelajaran sosial yang dapat diaplikasikan melalui interaksi yang wujud dalam
pembelajaran. Menurut Kamarudin (1993), teori ini menganggap manusia sebagai makhluk
yang aktif dan di dalam proses pembelajaran, pelajar harus dapat belajar dalam situasi dan
konteks sosial sebenar yang berupaya memberi peluang mereka berinteraksi dengan
persekitaran yang pelbagai. Kita juga dapat mengaplikasikan prinsip-prinsip konstruktivisme
yang menyatakan bahawa pembelajaran berlaku melalui interaksi dengan orang lain. Interaksi
dan pengaruh sosial dengan persekitaran murid-murid akan membawa kepada pemikiran aras
tinggi mereka. Pelajar tidak seharusnya duduk di dalam kelas semata-mata. Mereka harus
digalakkan untuk meneroka persekitarannya. Apa yang penting, pembelajaran akan lebih
menarik jika murid-murid tidak hanya duduk di dalam kelas. Sebagai contoh, guru boleh
membenarkan pelajar mencari serangga dari taman di persekitaran sekolah. Dengan itu,
pelajar dapat mempelajari kemahiran meneroka persekitaran yang menekankan kepada
pembelajaran yang menyeronokkan dan bermakna. Ini bererti, konsep bermain sekali lagi
amat sesuai diaplikasikan serta diterapkan ke dalam strategi pengajaran guru dalam sesuatu
mata pelajaran. Hal ini kerana, pengertian main itu bukan sekadar berseronok, tetapi
merupakan satu pendekatan terancang untuk memberi peluang kepada pelajar belajar dalam
suasana yang tidak begitu formal, menyeronokkan, bebas dan selamat. Main dapat
digolongkan kepada empat aspek iaitu main sebagai kemajuan yang melihat main sebagai
satu proses belajar, main sebagai kuasa merujuk kepada pertandingan, main sebagai fantasi
yang berkait dengan kemajuan dan akhir sekali main yang mengutamakan kualiti pengalaman
main itu sendiri (Noriati, Boon dan Sharifah Fakhriah, 2009). Hasil daripada aktiviti main,
sesuatu pembelajaran akan menjadi lebih menarik kerana pelajar dapat meneroka setiap
aktiviti pembelajaran itu melalui aktiviti bermain.

Selain daripada itu, tugasan secara berkumpulan perlu diberikan agar pelajar dapat
membina hubungan baik dengan rakan sekelas dan juga membina keyakinan diri mereka
apabila guru meminta mereka membentangkan tugasan tersebut di hadapan kelas. Melalui
tugasan berkumpulan itu, guru dapat mengenalpasti dan memberi perhatian kepada pelajar
yang dapat memberikan maklum balas yang baik ataupun tidak. Hal ini selaras dengan
implikasi pendekatan humanis yang kita telah fahami bahawa pembelajaran guru fokus
kepada pelajar, bukannya subjek. Setiap pemilihan tugasan pembelajaran dapat merangsang
minat dan naluri ingin tahu dalam kalangan murid-murid dan aktiviti memberi tugasan secara
berkumpulan akan dapat memberi impak kepada mereka sekaligus dapat memotivasikan diri
mereka untuk belajar dan meminati sesuatu. Oleh itu, penekanan terhadap perhubungan atau
maklum balas dalam sebuah pembelajaran adalah sangat penting. Ini selaras dengan konsep
komuniti pembelajaran dalam teori behavioris yang merujuk kepada sekumpulan manusia
yang belajar bersama-sama dalam satu persekitaran yang selamat dan disertai dengan dialog,
maklum balas, refleksi dan penurunan kuasa (Choong,2008). Tugasan berkumpulan akan
dapat mewujudkan kolaborasi sesama pelajar melalui pembelajaran koperatif.

K. T. Compton (seorang ahli fizik terkenal) menyatakan bahawa sains merupakan


“sikap ingin tahu, pemerhatian dan penaakulan mengenai dunia ini”. Ini bermakna, proses
pembelajaran amat mementingkan murid-muridnya supaya berhubung dengan alam
persekitaran untuk membentuk “sikap ingin tahu, pemerhatian dan penaakulan” agar
kemahiran ini dapat merangsang semua deria mereka. Melalui penyataan tersebut, dapat kita
merumuskan bahawa teori pembelajaran sosial dan sosial kognitif dapat diaplikasikan dengan
jelas. Buktinya, dalam pembelajaran celik akal Kohler, beliau telah mengemukakan beberapa
prinsip dan salah satu daripadanya ialah konsep berfikir. Sikap ingin tahu murid-murid akan
merangsang mereka berfikir untuk mencari jawapan terhadap apa yang mereka ingin ketahui.
Sebagai contoh, dalam pembelajaran sains. Pastinya murid-murid mempunyai sikap ingin
tahu tentang bagaimana terjadinya gerhana bulan dan gerhana matahari. Mereka pasti akan
berfikir untuk mencari jawapan bagi persoalan tersebut. Secara amnya menurut Bruner pula,
konsep “mengetahui” adalah satu proses. Apabila murid-murid diberi satu situasi yang agak
kompleks, mereka akan berusaha mencari penyelesaiannya. Oleh itu, amat penting untuk
guru merancang aktiviti-aktiviti penemuan untuk murid-murid. Bukan itu sahaja, melalui
pembelajaran penemuan Bruner, ia dapat menggalakkan murid-murid untuk menggunakan
intuisi, imaginasi dan kreativiti secara aktif (Choong, 2008). Pendekatan ini telah
menggunakan penaakulan induktif seperti yang dinyatakan oleh K. T. Compton di mana guru
akan bermula dengan sesuatu yang khusus kemudian berakhir dengan yang umum. Sebagai
contoh, dalam mata pelajaran Sains, guru memberi contoh-contoh haiwan yang hidup di darat
dan air, kemudian minta murid-murid pula memberikan contoh-contoh haiwan yang lain
berdasarkan contoh yang telah diberi oleh guru tersebut.

Seterusnya, menurut Bandura, manusia secara semulajadi belajar melalui proses


peniruan atau pemerhatian iaitu dengan cara melihat orang lain melakukan, mendapat
ganjaran daripada perlakuan atau melihat orang menerima hukuman daripada perlakuan
(Noriati, Boon, Sharifah Fakhriah, 2009). Penyataan K. T. Compton yang menekankan proses
pemerhatian dapat dibuktikan melalui penyataan Bandura seperti di atas. Proses pemerhatian
ini melibatkan individu melihat dan meniru tingkahlaku orang lain. Sebagai contoh yang kita
dapat lihat dengan jelas melalui kajian Bandura ke atas kanak-kanak tadika. Kajian ini telah
diterangkan dalam huraian teori pembelajaran pemerhatian. Melalui pembelajaran
pemerhatian, terdapat tiga bentuk peniruan menurut Bandura iaitu peniruan secara langsung,
peniruan sekat lakuan dan tak sekat lakuan serta peniruan elisitasi. Oleh itu, amat wajar
supaya kelemahan dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran diperbaiki agar tidak
mematikan minat pelajar terhadap proses pembelajaran. Justeru itu, kreativiti guru sangat
penting untuk memastikan suasana pembelajaran sains yang menarik. Perubahan yang dapat
dilihat kini ialah guru banyak menggunakan teknologi maklumat dalam pembelajaran. Akan
tetapi, guru juga perlu berusaha untuk menghasilkan pelbagai kaedah pembelajaran yang
menarik melalui teknologi maklumat tersebut.

Di dalam Teori Pembelajaran Penerimaan Ausuble, beliau telah menghasilkan satu


konsep penting dalam pengajaran dan pembelajaran iaitu Advance Organizer (AO). Melalui
AO, guru bukan sahaja dapat mengaplikasikannya dalam kaedah pembelajaran menggunakan
teknologi maklumat, malah guru dapat memberi idea kepada murid-murid untuk
menghasilkan peta minda yang cantik dan kreatif di dalam buku kerja mereka. Dengan itu,
pembelajaran melalui teknologi maklumat akan lebih menarik dan bermakna. Ausuble juga
berpendapat pembelajaran bermakna boleh berlaku melalui penggunaan bahan yang
bermakna. Bukan itu sahaja, selain penggunaan teknologi maklumat, terdapat banyak lagi
kaedah lain untuk menarik minat murid-murid dalam mata pelajaran sains. Sokongan
daripada ibu bapa juga amat penting dalam membentuk minat anak-anak mereka dalam
bidang sains. Ibu bapa juga punya peranan tersendiri. Mereka boleh membawa anak-anak
mereka meneroka alam persekitaran. Melalui penerokaan itu, ibu bapa boleh
mengaplikasikannya dalam bidang sains dan dapat menyediakan anak-anak mereka untuk
menghadapi zaman dewasa kelak. Selain itu, melalui penerokaan alam persekitaran juga, ibu
bapa boleh menjadi role model seperti yang dinyatakan oleh Albert Bandura melalui peniruan
secara langsungnya. Sebagai contoh, ibu bapa yang suka menanam bunga di rumah. Ibu bapa
akan meletakkan pasu bunga di luar rumah di tempat yang tanaman tersebut boleh
mendapatkan air, cahaya dan udara. Anak-anak mereka pasti akan melihat dan secara
langsung mereka akan mengikut tindakan ibu bapa mereka ketika hendak menanam pokok
dan mengaplikasikannya dalam proses pembelajaran

Kesimpulannya, sebagai seorangpendidik kita perlulah sentiasa meningkatkan kualiti


diri agar kaedah pembelajaran dan pemudahcaraan (pdpc) yang dilaksanakan di dalam atau di
luar kelas adalah berkesan. Kaedah pembelajaran dan pemudahcaraan (pdpc) berkesan
memerlukan guru yang berkebolehan untuk mengaplikasikan hadiah dan hukuman
bersesuaian mengikut tahap murid, mampu mengendalikan pelbagai kaedah, strategi dan
teknik pembelajaran dan pemudahcaraan (pdpc) dengan berkesan dan memberi kesan akhir
murid cemerlang dalam akademik dan sahsiahnya serta para pendidik perlu mempunyai
perancangan strategik dengan menjadikan analisis SWOT atau Blue Ocean Strategy sebagai
perkara rutin bagi mempertingkatkan keberkesanan pembelajaran dan pemudahcaraan (pdpc).
Disamping itu, peningkatan kualiti pembelajaran dan pemudahcaraan (pdpc) sangat
memerlukan kajian, maka para pendidik digalakan untuk melaksanakan Kajian Tindakan,
Refleksi Kendiri dan seterusnya melaksanakan pembaharuan dalam pembelajaran dan
pemudahcaraan (pdpc). pembelajaran dan pemudahcaraan (pdpc) yang berkesan sangat
bergantung kepada ketinggian tahap penguasaan ilmu dan kepakaran penggunaan
kepelbagaian sumber oleh pendidik mengikut tahap kebolehan serta gaya belajar murid. Guru
berkesan adalah adalah mereka yang mempunyai ilmu pengetahuan yang luas, kritis dan
kreatif.

RUJUKAN
AndrewP.Johnson.(2014). Education Psychology: Theories of Learning and Human
Development. Minnesota State University.National Science Press.

Anuar Ahmad (2009). Fail Profil Nilai Potensi Pelajar:Utusan Malaysia. [Online].
Diperoleh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?
y=2009&dt=0721&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_02.htm [2009, Julai 22].

Abdul Rahim Hamdan. (2012). Bab 3 – Model Pembentukkan Kurikulum. Dalam Pengajian


Kurikulum. Johor Bharu: Penerbit UTM Press.

Abu Bakar Nordin dan Ikhsan Othman. (2003). Falsafah Pendidikan dan Kurikulum.Tanjong
Malim: Quantum Books.

Choong Lean Keow (2008). Murid dan Alam Belajar untuk Program Perguruan Pendidikan
Rendah Pengajian Empat Tahun. Subang Jaya, Selangor: Kumpulan Budiman Sdn.n
Bhd.

Jamaludin Ramli. (2010). Bab 6: Pengertian konsep kendiri. In: Psikologi Pendidikan.
Universiti Teknologi Malaysia.1-9.

Kamarudin Hj. Husin (1993). Pedagogi 3 Penggunaan Psikologi dalam Bilik Darjah.
Longman Malaysia Sdn. Bhd.

Kamaruzaman Abd. Ghani (2003). Pendidikan Rohani Dalam Sistem Pendidikan Negara :
Satu Pemikiran Semula. Pemikiran Dalam Pendidikan. Bangi: Fakulti Pendidikan,
UKM.

Kementerian Pendidikan Malaysia. (2012). Pelan Pembangunan Pendidian Malaysia 2013-


2025.
Lee Shok Mee (1994). Asas Pendidikan 2 Psikologi dalam Bilik darjah. Kumpulan Budiman
Sdn. Bhd.

Mok Soon Sang (2008). Pedagogi untuk Pengajaran dan Pembelajaran. Penerbitan
Multimedia Sdn. Bhd.

Noriati A. Rashid, Boon Pong Ying, Sharifah Fakhriah Syed Ahmad (2009). Siri Pendidikan
Guru Murid dan Alam Belajar. Shah Alam, Selangor: Oxford Fajar

Khalim Zainal. (2007). Memahami tingkah laku remaja bermasalah dari perspektif Teori
Tingkah Laku, Humanistik, & Tret Personaliti. Jurnal Pengajian Umum. 9(1). 43 – 55

Manning, D. (1971) Chapter 1 – Humanistic School. Dalam Toward a Humanistic


Curriculum.
New York: Harper and Row Publisher.

Mohd. Azhar B. Abd. Hamid, Adanan B. Mat Junoh, Ishak B. Mad Shah Dan Mohd.
Koharuddin B. Mohd. Balwi. (2004). Pembelajaran Arahan Kendiri Dan
Hubungannya Dengan Kefahaman Terhadap E-Pembelajaran: Satu Kajian Di
Kalangan Staf Akademik Universiti Teknologi Malaysia, Skudai.

Mohamad Mohsin Mohamad Said dan Nasruddin Yunos. (2005). Peranan guru dalam
memupuk kreativiti pelajar. Jurnal Pengajian Umum. 9(1). 57 – 71.

Mohamad Mohsin Mohamad Said dan Nasruddin Yunos. (2008). Pemikiran kritis dan
kemahiran menyelesaikan masalah. Prosiding SKIKS 08. 89-96

Noresah Ahmad. (2007). Kamus Dewan Edisi Keempat. Selangor. Dewan Bahasa dan
Pustaka.

Noriati A. Rashid, Boon P. Y., & Sharifah Fakhriah Syed Ahmad. (2009). Murid dan Alam
Belajar. Shah Alam: Oxford Fajar Sdn. Bhd.
Subramaniam, P. R. (2009). Motivational Effects of Interest on Student Engagement and
Learning in Physical Education: A Review. International Journal of Physical
Education VOL 46 (2).

Anda mungkin juga menyukai