Anda di halaman 1dari 6

Pada waktu ini kita sedar bahawa ramai yang memohon untuk bekerja di jabatan kerajaan

kerana beberapa sebab yang tertentu. Antaranya skim pencen yang boleh menjamin masa
depan setelah berhenti serta faedah-faedah lain yang agak menarik jika dibandingkan
dengan apa yang ditawarkan oleh kerajaan pada waktu dahulu.

Oleh kerana permohonan yang diterima sangat banyak dan jumlah calon yang layak juga
besar berbanding dengan kekosongan yang ada, sesi temuduga akan diadakan untuk
membuat saringan diantaranya atas sebab-sebab berikut:

 Majikan samada pengarah atau ketua jabatan yang akan menjadi penemuduga
mahu mengenali calon secara lebih dekat dan menilai dari segi fizikal samada
calon sesuai untuk melakukan tugas-tugas yang akan diberi. Untuk tujuan ini,
penampilan diri akan dinilai pada hari temuduga tersebut;
 Cara seseorang calon berkomunikasi samada dari segi nada suara, gaya bahasa
yang dituturkan, bahasa yang tidak dituturkan iaitu gaya gerak badan semasa
sesi temuduga, cara duduk dan pergerakan anggota badan semasa memberi
jawapan dan sebagainya;
 Sikap seseorang individu akan dapat dikenal pasti melalui maklum balas kepada
pertanyaan yang diajukan. Isi kandungan jawapan yang diutarakan seseorang
calon akan membantu penemuduga menganalisa samada calon sudah membuat
persediaan yang cukup atau sambil lewa. Ciri-ciri seperti adakah calon seorang
yang pentingkan diri sendiri atau suka membuat kerja dalam kumpulan dan
sebagainya akan dapat ditentukan melalui sesi soal jawab temuduga.
 Waktu sesi temuduga akan digunakan untuk menyemak dan menganalisa semua
dokumen kelayakan, sijil-sijil dan surat sokongan yang berkaitan. Penemuduga
akan dapat kenal pasti bahawa tiada maklumat yang palsu diberi semasa mengisi
boring permohonan dengan menyemak sijil atau dokumen asal.
 Penemuduga juga akan menilai samada calon betul-betul berminat untuk bekerja
di jabatan yang dipohon. Ini adalah kerana ada segelintir calon yang membuat
permohonan kerana desakan ahli keluarga.
 Apabila anda memahami apa yang ingin dicari dan dilihat oleh penemuduga semasa
sesi temuduga, pencarian maklumat akan menjadi lebih mudah. Anda juga akan
lebih fokus dan dapat membuat persediaan dengan lebih teratur.
 Pertama sekali anda harus fikirkan dan membuat persediaan bagaimana harus anda
menarik perhatian penemuduga terhadap penampilan anda bermula saat anda
melangkah ke bilik temuduga. Pakaian yang bersih, sopan dan menjaga tata susila
seorang individu perlu dijaga. Jangan pula memilih pakaian yang terlalu bergaya
seperti anda ingin ke majlis makan malam dan sebagainya. Pakaian yang anda
pakai mestilah selesa kerana anda tidak pasti tempoh masa yang akan diambil oleh
penemuduga.
 Contoh pakaian yang sopan dan tidak menjolok mata, kemas dan bersesuaian ialah
baju kurung untuk calon wanita dan kemeja berlengan panjang serta berseluar
panjang bukan dari jenis kain “jeans” bagi calon lelaki. Bagi calon lelaki juga, jangan
lupa untuk memakai stokin yang sesuai iaitu yang berwarna gelap dan bukan yang
menonjol seperti berbelang dan sebagainya. Pakailah tali leher dan jaket atau kot
untuk gaya yang lebih yakin. Bagi calon wanita pula, anda mestilah memakai kasut
yang menutup kaki dan tumit kasut yang tidak terlalu tinggi supaya anda selesa
untuk berjalan masuk dan keluar bilik. Anda pasti tidak mahu sesuatu menimpa
seperti kemalangan kecil berlaku di tempat temuduga bukan? Penampilan diri
semasa masuk, duduk, bercakap dan keluar dari bilik temuduga mestilah dijaga.
Setiap langkah dan tutur kata boleh memberi kesan terhadap prestasi temuduga
anda.
 Cara anda berkomunikasi amatlah penting. Anda dinasihatkan untuk memandang
penemuduga yang mengajukan soalan apabila menjawab. Adalah tidak beradab jika
anda berkomunikasi dengan penemuduga tetapi pandangan diarahkan ke tempat
lain. Walaupun anda kurang yakin dengan jawapan yang akan anda utarakan, anda
perlu teruskan sahaja dengan nada suara yang selesa dan menunjukkan riak muka
yang yakin.
 Walaupun gugup, anda harus tenangkan diri dahulu, mungkin anda boleh berbual
ringan untuk menghilangkan rasa gementar anda sebelum mula bercakap kerana ini
akan membantu menenangkan diri.
 Persiapan diri dari segi mengumpul maklumat pula akan membantu anda menjawab
soalan yang diajukan penemuduga dengan lebih yakin. Dokumen atau bahan
rujukan yang perlu anda baca untuk mencari maklumat dan membuat persediaan
sebelum menghadiri sesi temuduga termasuk dokumen pekeliling bagi perkhidmatan
awam yang menyediakan maklumat seperti tangga gaji penjawat awam, maklumat
berkenaan cuti, kenaikan pangkat dan sebagainya.
 Anda perlu membaca akhbar dan mengetahui isu-isu semasa yang berlaku di dalam
dan luar negara. Penemuduga biasanya akan mengajukan soalan tentang dasar
kerajaan dan maklumat berkaitan laporan ekonomi Negara. Oleh itu, calon
dinasihatkan untuk melengkapkan diri dengan beberapa maklumat pengetahuan am
yang penting seperti objektif dan peranan Rancangan Malaysia ke 8 (RMK8) atau
RMK9 dan sebagainya. Lain-lain maklumat yang mungkin akan ditanya adalah
tentang perbezaan antara Dewan Undangan Negeri dan Parlimen. Fungsi Sultan di
setiap negeri dan juga fungsi yang Dipertuan Agong. Calon juga perlu mengingati
nama-nama menteri setiap kementerian.
 Calon juga boleh bertanya penjawat awam yang dikenali tentang maklumat yang
perlu untuk membantu menjawab soalan denganlebih lancar dan yakin.
 Mencari maklumat melalui laman sesawang jabatan yang berkenaan terutamanya
jabatan yang anda pohon. Terdapat juga laman blog yang ditulis oleh calon-calon
yang pernah menghadiri sesi temuduga. Walau bagaimanapun, anda mesti berhati-
berhati untuk tidak mengambil terus maklumat dari laman blog kerana sesetengah
tulisan di blog adalah tidak relevan.
 Anda perlu mengawal diri semasa berkomunikasi supaya sikap anda yang positif
dapat ditonjolkan sekali gus memberi anda markah yang lebih dalam sesi temuduga
tersebut. Sikap seperti amalan menepati masa, tidak suka memberi alasan, suka
membantu orang lain dan sebangainya akan dianalisa oleh penemuduga dengan
pertanyaan pelbagai bentuk soalan. Anda perlu bijak menilai dan menjawab dengan
betul.
 Apabila anda dipanggil untuk temuduga pastikan anda mencatat segala butiran
berkenaan jawatan yang ditawarkan, tempat dan masa temuduga. Anda mesti
bersedia untuk menerangkan dengan yakin kenapa anda ingin menyertai jabatan
kerajaan. Antara jawapan yang anda boleh berikan ialah tujuan anda untuk
menyumbang bakti kepada rakyat dan negara kerana anda mempunyai kemahiran
tertentu seperti pengendalian komputer dan sebagainya.
 Anda mesti mengumpul segala maklumat berkenaan jabatan yang terlibat dan
nama-nama penting di dalam carta organisasi jabatan. Lebih baik lagi jika anda
boleh menghafal maklumat tersebut untuk membantu anda menjawab soalan yang
berkaitan semasa sesi temuduga
 Anda dinasihatkan juga untuk menghafal Rukun Negara dan boleh mengolah
maksudnya sekali. Fikirkan contoh-contoh yang boleh anda kaitkan bagaimana anda
akan terjemahkan Rukun Negara dan diri anda apabila anda berjaya dalam
temuduga dan jawatan yang dipohon.
 Soalan berkaitan integriti seperti Pelan Integriti Nasional dan maklumat tentang
rasuah adalah penting untuk anda kuasai.
 Dapatkan maklumat daripada rujukan yang bagus, buat peta minda supaya senang
anda ingat apabila ditanya, jawapan akan jadi lebih teratur. Isi jawapan yang teratur
akan membuatkan penemuduga tidak keliru dan lebih gembira.
 Calon mestilah bijak untuk menekankan kenapa pihak jabatan tersebut perlu
memberi peluang kepadanya untuk berkhidmat di jabatan tersebut. Berikan contoh
yang sesuai bagaimana jabatan akan dapat manfaat apabila mengambil anda
sebagai pekerja.
 Buat rujukan tentang apakah tugas yang akan dilakukan untuk jawatan yang
dipohon. Nyatakan kesediaan anda untuk bertugas diluar daerah jika perlu. Calon
yang fleksibel dan mudah untuk diajak berunding akan mendapat lebih markah
positif daripada penemuduga.

Nyatakan kesediaan anda untuk bekerja lebih masa apabila diperlukan. Berikan contoh
bagaimana anda sebagai seotrang pelajar di universiti adalah seorang yang akan bekerja
tanpa mengira masa supaya objektif yang ditetapkan tercapai.

Jangan lupa untuk membawa dokumen asal dan salinan dokumen untuk semakan oleh
penemuduga.

Calon temuduga perlu ingat untuk mengelak diri daripada melakukan kesilapan-kesilapan
berikut supaya peluang untuk ke tahap seterunya adalah cerah:

 Menepati masa adalah suatu perkara yang perlu anda titik beratkan. Jangan
sekali-kali anda hadir ke tempat temuduga lewat walaupun satu saat. Oleh itu,
mulakan perjalanan ke tempat temuduga lebih awal. Jika anda terpaksa menaiki
pengangkutan awam, sila semak jadual terlebih dahulu. Jangan menangguh
untuk menyemak jadual pengangkutan awam pada hari temuduga. Jika perlu,
minta pertolongan ahli keluarga untuk menghantar anda ke tempat temuduga.
Jika anda lewat, anda tidak akan bertenang dan sukar untuk menumpukan
perhatian semasa sesi temuduga. Ini akan menjadikan peluang anda untuk ke
tahap seterusnya terbantut;

 Kurang persediaan adalah kelemahan yang amat ketara yang akan menjejaskan
peluang anda untuk berjaya dalam sesi temuduga;

 Calon dinasihatkan supaya tidak bercakap terlalu banyak supaya jawapan yang
anda utarakan tidak berputar belit dan mengendungi maklumat yang tidak
bernas;

 Semasa berkomunikasi, calon diingatkan supaya menunjukkan rasa yakin.


Jangan teragak apabila menjawab soalan. Walau bagaimnapun, sikap yang
terlebih yakin juga mungkin tidak akan membantu calon untuk menambat hati
penemuduga. Sikap terlebih yakin selalunya melambangkan calon ialah seorang
yang suka meninggi diri;

 Pakaian yang tidak sesuai seperti yang telah dihuraikan dengan lebih lanjut pada
permulaan panduan ini;

 Berhati-hati semasa berjabat tangan atau bersalam dengan penemuduga. Calon


mesti menjaga tata tertib bersalam antara bukan muhrim bagi individu muslim.
Salaman yang lemah melambangkan individu yang tidak mempunyai keyakinan.
 Calon dinasihatkan supaya tidak menipu samada semasa menjawab soalan atau
apabila memberi maklumat peribadi. Anda mesti selalu berterus terang.

 Individu yang suka mengkritik pihak lain tidak akan mendapat sokongan daripada
penemuduga. Sikap ini perlu dijauhi.
Sesi temuduga yang bagus sepatutnya berjalan dengan komunikasi dua arah. Calon
dinasihatkan untuk menyiapkan beberapa soalan untuk diajukan kepada penemuduga.
Soalan yang diajukan mestilah yang berkaitan dengan jabatan, tugas-tugas yang akan
dibuat, kemudahan yang disediakan oleh jabatan seperti kelab sukan dan sebagainya.
Akan tetapi anda mesti berhati-hati supaya tidak mengajukan soalan yang mengundang
kontroversi atau maklumat yang sudah pun anda perolehi semasa sesi temuduga.

Untuk menunjukkan anda amat berminat dengan jawatan yang anda pohon, anda patut
mengajukan soalan tentang tempoh diambil oleh jabatan untuk megeluarkan keputusan
samada anda berjaya atau sebaliknya.

 Untuk menambat hati dan memberi anda satu kelebihan untuk berjaya, calon
dinasihatkan untuk menghantar surat yang ringkas tanda terima kasih anda kepada
setiap penemuduga selepas sesi temuduga.

Anda mungkin juga menyukai